Khamis, 24 Mac 2011

BILA KITA TIDAK ADIL@DOUBLE STANDARD...YANG BEGITU JELAS...TAK BOLEH DIPUTARBELIT LAGI...RAMAI YG DAH MELUAT....

Nanyang minta maaf, PAS tunggu The Star
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Mac: Pejabat Presiden PAS sehingga kini masih menunggu apa reaksi akhbar milik MCA, The Star ekoran laporan palsu yang dibuat oleh akhbar berkenaan mengenai judi.

"Kita masih menunggu reaksi The Star setelah akhbar Cina Nanyang Siang Pau memohon maaf dan menarik balik laporan salahnya," kata Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Politik Presiden PAS.

Akhbar The Star hari ini hanya menyiarkan berita bahawa akhbar Nanyang telah menarik balik laporan yang tidak benar tersebut namun akhbar itu sendiri tidak memberikan sebarang reaksi terhadap tuntutan Pejabat Presiden PAS sebelum ini.

Ahmad Samsuri sebelum ini dalam kenyataannya mendesak akhbar The Star dan Nanyang menarik balik laporan palsunya berkaitan dengan ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Besut, Terengganu.

(GAMBAR: Laporan akhbar Nanyang iaitu pembetulan dari Ahmad Samsuri dan kenyataan minta maaf di bawahnya)

Menurut The Star, Nanyang Siang Pau telah memohon maaf kepada Presiden PAS kerana tersalah petik kenyataan beliau apabila berkata Pakatan Rakyat akan menutup semua aktiviti judi jika berjaya mengambil alih Putrajaya.

Dalam permohonan maafnya, Nanyang berkata laporannya Isnin lepas tersilap kerana salah terjemahan.

"Apa yang Hadi kata pada hari itu adalah Pakatan akan mansuhkan saman ekor jika mereka mengambilalih Kerajaan Persekutuan.

"Kami memohon maaf atas kekeliruan dan kesilapan ini," kata akhbar Nanyang sebagaimana yang dilaporkan The Star hari ini.

Dr Ahmad Samsuri sebelum ini dalam kenyataannya berkata, PAS membantah terhadap berita bertajuk DAP clashes with PAS over gambling ban, again yang dimuatkan dalam portal berita Malaysiakini, 21 Mac 2011 dan The Star, 22 Mac 2011 dengan tajuk Hadi: Pakatan will ban all gambling in Islamic state.

Artikel berita yang yang dimuatkan dalam portal berita Malaysiakini dengan tajuk di atas, di perenggan enam dan tujuh adalah dirujuk, iaitu: According to reports by Chinese dailies Nanyang Siang Pau and China Press, Hadi allegedly announced during a rally in Jerteh last Saturday that PAS would implement Islamic policies should the party come to power, including a nationwide ban on gambling. He was quoted as saying that the other Pakatan parties had reached a consensus with PAS over the matter.

Manakala Portal The Star pada 22 Mac 2011 juga melaporkan berita dengan tajuknya: Hadi: Pakatan will ban all gambling in Islamic state.

“Adalah dengan ini ingin dipertegaskan bahawa Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak pernah menyebut sama sekali perkara yang dinyatakan sebagaimana di atas dalam ceramah beliau di Jerteh pada Sabtu lepas atau bila-bila masa di mana-mana tempat,” kata Dr Ahmad Samsuri dalam kenyataan itu.

Ujarnya, persoalan bahawa PAS bercanggahan dengan DAP dalam isu berkenaan adalah tidak berbangkit sama sekali.

Rakaman ucapan Presiden PAS itu boleh dirujuk di web www.terengganukini.net.

“Kami amat kesal dengan pemberitaan yang salah ini dan meminta kepada pihak yang melaporkannya untuk memohon maaf secara terbuka dan seterusnya menarik balik berita berkenaan dengan membuat pembetulan terhadap kesilapan yang sangat besar itu,” tegasnya.

(GAMBAR: Laporan akhbar The Star yang melaporkan Abdul Hadi berkata demikian dalam ceramahnya)

Malaysiakini dalam laporannya memetik laporan akhbar Cina Nanyang sebagai sumbernya namun akhbar The Star telah menjadikan ucapan Abdul Hadi di Jertih, Besut Terengganu sebagai sumbernya yang jelas tidak wujud.


PKR desak Najib jelaskan bincang dalang video
Harakahdaily

PETALING JAYA, 24 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu membuat kenyataan segera mengenai hasil perbincangannya dengan ketiga-tiga dalang video seks yang memalukan Malaysia demi membersihkan namanya dan Umno.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keengganan kerajaan mengambil tindakan tegas dan segera ke atas semua dalang yang terbabit menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa ada penglibatan pimpinan kerajaan yang serius di dalam konspirasi itu, tidak ubah seperti mana konspirasi tahun 1998 dahulu.

Beliau menyatakan demikian dengan merujuk kepada kenyataan yang dibuat semalam oleh Datuk Shazryl Eskay Abdullah, salah seorang dari tiga dalang yang menamakan diri mereka ‘Dato T’ berhubung pembabitan mereka di dalam skandal seks video yang memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Eskay menyatakan bahawa dia juga turut dirakam di dalam video tersebut.

“Ini mengesahkan teori bahawa lelaki yang pada awalnya dilihat sedang mengaturkan sesuatu di dalam bilik dan disyaki bertanggungjawab memasang alat perakam adalah Eskay sendiri,” kata Nazmi dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, ia juga selari dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk Johari Abdul semalam bahawa si pelaku tahu perbuatan seks akan dirakamkan kerana pada awalnya dia dirakam bersama-sama seorang lelaki lain yang disyaki sedang menyiapkan peralatan rakaman.

Beliau menambah, pengakuan Eskay menimbulkan keraguan besar kepada jalan ceritanya iaitu kononnya dia disuruh oleh Anwar untuk mengambil jamnya yang tertinggal, lalu terjumpa peralatan rakaman semasa mencari jam tersebut.

“Jelas bahawa itu pembohongan kerana dia sendiri mengaku bahawa dia adalah lelaki terbabit yang disyaki bertanggungjawab memasang alat rakaman di permulaan rakaman video tersebut.

“Dakwaannya kononnya dia terjumpa video itu adalah penipuan semata-mata dan tidak masuk akal,” ujarnya.

Justeru, beliau mendesak Perdana Menteri sendiri memberi maklum balas kepada satu laporan bahawa ketiga-tiga orang dalang itu berjumpa dengan Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri di Parlimen untuk berbincang mengenai perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya telah dimaklumkan bahawa Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Umno di pejabatnya di Parlimen petang semalam, maka Perdana Menteri memang berada di Parlimen ketika ketiga-tiga dalang ini dilihat di Parlimen semalam.

“Perkara ini menimbulkan tanda tanya yang serius mengenai setakat manakah pembabitan pimpinan kerajaan dalam pembikinan dan penayangan video seks ini, yang melanggar beberapa peruntukan undang-undang secara jelas,” katanya.

17 diskriminasi kerajaan Pusat terhadap Kelantan
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 24 Mac: Kerajaan PAS Kelantan terus menjadi mangsa diskriminasi Kerajaan Persekutuan sejak memerintah negeri itu 20 tahun lalu dengan pelbagai cara, terutama menerusi 17 aspek yang dapat dikesan dengan nyata.

Tindakan diskriminasi pertama yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan berlaku apabila Kerajaan Pusat menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), sebaik sahaja PAS berjaya memerintah negeri itu pada tahun 1990, bagi tujuan mengganggu sistem pentadbiran kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menjelaskan, dengan wujudnya JPP, berlakulah sistem dualisme dalam pentadbiran negeri Kelantan, apabila turut diwujudkan kakitangan jabatan di peringkat negeri, jajahan, daerah sehingga di kampung-kampung.

Menurut beliau, disebabkan keadaan itu, di negeri Kelantan turut terdapat dua penghulu bagi setiap daerah, apabila seorang darinya dilantik oleh kerajaan negeri dan seorang lagi dilantik oleh Kerajaan Persekutuan yang memainkan peranan menerusi JPP.

Katanya, tindakan tersebut merupakan satu penderaan yang amat nyata dari Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kelantan, akibat permainan politik kotor para pemimpin Umno BN yang marahkan rakyat Kelantan menyokong PAS pada PRU tahun itu.

"Lanjutan dari itu, Tok Guru Nik Aziz selaku Menteri Besar Kelantan hanya sempat mempengerusikan sekali sahaja Majlis Tindakan Negeri Kelantan. Selepas itu majlis itu dibubarkan dan tidak lagi dibenarkan mana-mana agensi Persekutuan hadir ke dalam Majlis Tindakan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan," katanya.

Ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, beliau menjelaskan, tindakan diskriminasi ketiga, Menteri Besar tidak lagi dilantik menjadi Pengarah Keselamatan Negeri Kelantan, tempatnya digantikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Keempat, baja subsidi tidak lagi diberikan secara menyeluruh oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kelantan, khususnya yang bekerja sebagai petani, tetapi hanya diberikan kepada mereka yang mendapat sokongan dari JPP yang tentunya hanya kepada para penyokong Umno BN sahaja.

"Akibatnya, Kerajaan Negeri Kelantan mulai tahun 1991 terpaksa membelanjakan RM3.2 juta di dalam belanjawan negeri bagi menampung pembiayaan baja subsidi kepada para petani," katanya.

Kelima, menurut beliau, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi dijemput di dalam Mesyuarat-mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dikatakan MBs Club, sebaliknya dijemput pemimpin Umno yang kalah dalam pilihanraya menghadiri mesyuarat itu mewakili Menteri Besar.

"Keenam, geran Persekutuan dalam benteuk capitation grant, federal road grant, growth grant, dalam bentuk geran keseimbangan dan lain-lain diberi amat lewat. Ini kami di negeri Kelantan untuk tahun ini dibayar tahun hadapan, sedangkan di negeri-negeri lain ada yang dibayar tiap-tiap bulan, ada yang dibayar pada bulan Januari dan Jun," tegasnya.

Ketujuh, peruntukan geran rumah awam kos rendah sebanyak RM12 juta yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan melalui pihak Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan telah ditarik balik sebaik sahaja PAS berjaya memerintah Kelantan.

Kelapan, jelas beliau, permintaan Tuan Guru Nik Aziz sejak tahun 1991, menerusi pertemuannya dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad agar diwujudkan satu pelabuhan di Kelantan, tetap tidak dilayan oleh Kerajaan Persekutuan hingga kini.

"Kesembilan, Tok Guru minta supaya tanah yang telah pun diambil di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa untuk memanjangkan landasan penerbangan, sampai ke hari ini pun tidak dapat digunakan lagi," katanya.

Kesepuluh, royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan tetap terus dinafikan sehingga hari ini, sehingga kerajaan Kelantan terpaksa membawanya ke mahkamah untuk mendapatkan royalti minyak dan gas hak rakyat negeri Kelantan.

"Kesebelas, apabila berubah kerajaan, wakil kerajaan negeri untuk berada di dalam Lembaga Pengarah KESEDAR tidak lagi diminta daripada kerajaan negeri, tetapi dilantik mengikut kesukaan pihak Kerajaan Persekutuan sendiri.

"Keduabelas, pengambilan peneroka untuk menduduki Felda dihentikan. Kemudian mereka majukan sendiri dan mengambil untung melalui apa yang dinamakan ladang Felda Plantation. Pada hal, tanah Felda diberikan oleh kerajaan negeri untuk dimajukan, dibangunkan dan menempatkan peneroka," jelasnya.

Pentadbiran Majlis Sukan Negeri Kelantan, menurut Wan Abdul Rahim, sehingga kini turut didiskriminasikan oleh Kerajaan Pusat terhadap kerajaan Kelantan, sehingga menjadikannya tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri dan seperti mempunyai dua identiti, tidak seperti di negeri-negeri lain.

"Begitu juga dengan agensi-agensi pelancongan. Pada hal kita sudah ada Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) yang di bawah Exco yang jaga portfolio pelancongan, ada pegawai kerajaan yang ditugaskan menjadi pengarahnya, tetapi Kementerian Pelancongan melantik pula satu agensi lain untuk mengendalikan soal-soal pelancongan di Kelantan," ujarnya.

Beliau turut kesal kerana Yang di-Pertua Dewan Rakyat sendiri turut terpengaruh dengan suasana politik negara, apabila Majlis Persidangan Speaker-Speaker Malaysia yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat sudah tidak diadakan lagi, sejak PRU tahun 2008 lalu.

"Kemuncak penderaan yang dilakukan oleh pihak berkenaan di Kelantan, apabila Umno Negeri Kelantan menjemput pemimpin-pemimpinnya pada satu hari dalam tahun 1993, buat satu pentas di Padang Sekolah Ketereh di Kota Bharu, jemput seorang kerabat kononnya dari Kuala Lumpur naik ke pentas dan mengangkat tangan.

"Serentak dengan itu dilaungkan "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku" dan diikuti oleh semua orang Umno di situ. Tabal Raja baru di Kelantan pada tahun 1993. Ini bukan pembohongan. Ini bukan fitnah. Ini ada rakaman yang dibuat oleh polis dan agensi-agensi.

"Jadi sampai ke hari ini, saya sebagai rakyat negeri Kelantan tertanya-tanya, bilakah pendakwaan akan dilakukan terhadap penderhaka ini?

"Ini yang betul-betul menderhaka. Kita, budaya Melayu, kita orang Melayu. Kalau kita angkat tangan kepada satu orang menyatakan "Daulat Tuanku", sebenarnya kita menderhaka kepada Raja yang ada di negeri masing-masing," ujar beliau.

Beliau turut membangkitkan perkara itu dalam persidangan Dewan Rakyat pada 16 Mac lalu, ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.


Nilai integriti untuk lindungi kejahatan BN
Harakahdaily

PARIT BUNTAR, 24 Mac: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya membuat laporan polis yang mengaitkannya dengan Altantuya Shaariibuu.

Beliau merujuk kepada keberanian tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat laporan polis sehari selepas tuduhan video seks.

Katanya, ia sama dengan kes Altantuya kerana keduanya melibatkan maruah dan Najib juga mestilah menbuat laporan polis untuk menunjukkan satu usaha membersihkan dirinya.

"Kes Altantuya sudah lama berlaku namun Najib belum membersihkan dirinya dan tidak ada usaha ke arah itu," jelasnya.

Merujuk kepada ulasan Datuk Seri Mustapa Mohamad yang menggesa rakyat untuk menilai tahap integriti, Khalil menganggap itu adalah pandangan yang sengaja diadakan untuk melindungi kejahatan yang dilakukan oleh pimpinan BN sekian lama.

"Macamlah rakyat sudah tidak pandai menilai tahap integriti di negaranya sendiri.

“Mengapa beliau (Mustapa Mohamed) gesa rakyat untuk buat penilaian tahap integritinya jika belum disabitkan kesalahan,” katanya yang juga Adun Titi Serong ketika ditemui di sini.

Tambahnya, Anwar Ibrahim telah mengemukakan laporan polis berhubung fitnah jahat video seks, membuktikan beliau berani dan mahu menafikan perkara yang memang beliau tidak lakukan dengan saluran keadilan yang ada iaitu mahkamah.

Menurutnya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, tindakan Anwar membuat laporan polis tersebut adalah suatu perkara biasa jika dituduh berkaitan isu yang tidak pernah dilakukan.

“Tapi jika ada individu yang difitnah, tindakan yang mesti dilakukan ialah kemukakan laporan polis sebagaimana yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, dunia sedang melihat bagaimana senario politik yang tidak matang.

“Perdana Menteri Malaysia dan pemimpin BN jelas mengamalkan toleransi terhadap budaya politik yang bersifat undang-undang rimba,” jelasnya.

Menurutnya pemimpin sepatutnya memikirkan untuk memperkenalkan dasar-dasar yang lebih perihatin dan mesra rakyat dalam memenuhi amanah kepimpinan negara.

Namun, ujarnya yang rakyat lihat kerja mereka menyerang parti lawan dan pimpanannya denga rekaan cerita yang bukan-bukan.

Tambahnya, paling malang segala institusi kerajaan disalahgunakan untuk melangsungkan kerja jahat mereka bagi kekal berkuasa.

Tidak hairanlah, ujarnya mengapa isu yang memalukan negara membiak dengan pesat sejak akhir-akhir ini.

“Rakyat menilai kerajaan sedia ada yang tidak pernah berubah untuk menyelamatkan Malaysia.

“Protes perlu dilakukan terhadap Umno BN, dan protes tersebut perlu diterjemahkan pada kertas undi pada pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April ini dan PRU 13 tidak lama lagi, perubahan perlu berlaku di Malaysia,” tegasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan