Selasa, 29 Mac 2011

BILA AJAL DAN TAKDIR TIBA....IA TETAP MATI.....DOA ORANG DIZALIMI MAKBUL...JANGAN HINA ISLAM...JANGAN ISLAM KITA ARAH...SEPATUT ISLAM ARAH KITA....

PAS tanding 5, DAP 15 kerusi di Sarawak
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Pakatan Rakyat hari ini mengesahkan PAS bertanding di lima kerusi dan DAP 15 pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang, manakala PKR pula masih meneruskan perbincangan pembahagian dengan SNAP.

"...selebihnya itu (kerusi) Keadilan dan kita sampai tengahari tadi masih ada rundingan dengan SNAP," kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu diumumkan pada sidang media selepas mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.

Turut serta pada sidang media itu, Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan, Idris Ahmad, Presiden PKR, Datin Sri Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga hadir pada mesyuarat sebelum itu bagaimanapun terpaksa keluar awal kerana mempunyai urusan.

"Nama-nama kerusi dan calon itu serah kepada parti masing-masing dan akan diumumkan di Kuching.

"Pandangan kita tak perlu umum di sini kerana kita hanya dapat input dari negeri. Kita hanya mengesahkan perundingan di negeri," kata Anwar lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa ketika dihubungi Harakahdaily turut mengesahkan rundingan PAS dengan PKR dan DAP selesai.

Beliau yang juga Pengarah Pilihanraya PAS bagi pilihan raya negeri Sarawak berada di sana sejak minggu lalu bagi urusan perbincangan kerusi tersebut.

"Kita sekarang sedang memantau persiapan kita di semua kerusi yang kita bertanding di sini," katanya.


Membuka laluan tsunami politik ke Sarawak yang tersekat pada 2008
Ahmad Lutfi Othman
Tempoh kempen pilihan raya Sarawak ditetapkan selama 10 hari, iaitu kurang sehari daripada pilihan raya negeri kesembilan tahun 2006. Walaupun ia lebih lama berbanding cadangan Pengerusi Pemuda BN Sarawak yang mahu dihadkan hanya kepada seminggu, namun ia masih kurang berbanding masa berkempen dalam pilihan raya umum ke-12, Mac 2008. Ketika itu, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi memanjangkan waktu berkempen kepada 13 hari.

Dalam pilihan raya umum 1999, iaitu yang terakhir yang dijalankan di bawah era Dr Mahathir Mohamad, hanya sembilan hari diperuntukkan bagi tempoh berkempen.

Semakin kecil jumlah hari berkempen, maka pihak pembangkang nampak lebih tertekan, sekali gus memberi kelebihan buat BN. Misalnya, dalam PRU13, hari-hari awal kempen menunjukkan pengundi seperti tidak berminat untuk menyertai program ceramah oposisi, tetapi apabila memasuki minggu kedua kempen, sambutannya begitu hebat, terutama di bandar-bandar besar.

Luas kawasan negeri Sarawak ialah 124,386 km persegi, iaitu hampir sama dengan keluasan Semenanjung, 131,598 km persegi. Fakta itu sudah mencukupi untuk menjustifikasikan keperluan tempoh berkempen yang lebih lama di Sarawak, berbanding masa 13 hari dalam PRU13.

Faktor demografinya menyukarkan calon-calon dan parti-parti yang bertanding bagi menemui pengundi untuk berkempen secara berkesan.

Blogger A Kadir Jasin menekankan: "BN Sarawak mempunyai kelebihan (advantage) berbanding pembangkang dalam aspek kewangan dan logistik. Kempen di Sarawak sukar kerana keluasan wilayah dan kesukaran untuk sampai ke pedalaman. Banyak tempat hanya boleh dihubungi dengan helikopter."

Bagi BN, ia langsung tidak menghadapi kesukaran. Sejak sekian lama, situasi pilihan raya di Malaysia menyaksikan BN memperalat dan memperkakaskan segala kemudahan dan sumber kerajaan. Salahguna kuasa yang menjolok mata itu tidak pula dianggap satu kesalahan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya.

Lebih malang apabila SPR -- tidak seperti badan seumpamanya di negara-negara lain, termasuk di rantau ini, yang "bertaring" dan dihormati -- bukan saja "tidak berkuku", malah dilihat sebagai salah satu daripada agen untuk memenangkan BN.

Jentera kerajaan siap dipergunakan semahunya. Para taukeh dan saudagar gergasi, yang mendapat limpahan projek melalui proses yang sarat dengan korupsi, saling membantu kempen mengaburi mata rakyat.

Usah cerita soal RTM yang akan memberikan sepenuh sokongan untuk menyiarkan apa jua propaganda, juga menyebarluaskan tohmahan terhadap saingan politik BN.

Stesen swasta, misalnya Media Prima, yang dilihat lebih kreatif dan berinovasi dalam menampilkan slot terbitannya turut berlumba-lumba menawarkan khidmat.

Jangan terkejut kalau dalam kes Sarawak sekarang, Ketua Menteri Taib Mahmud yang terdesak itu akan bermurah hati memberikan imbalan kewangan dalam jumlah yang cukup besar -- puluhan juta ringgit -- bagi melicinkan operasi stesen TV berkenaan. Tentunya untuk membuat liputan yang menyeluruh ke setiap pelosok Bumi Kenyalang itu, ia memakan kos yang tinggi.

Benar, ketika Pengerusi dan ahli-ahli SPR didakwa "berbicara dengan lidah Umno-BN serta menuruti sepenuhnya kehendak elit penguasa di peringkat persekutuan" -- dan gagal memenuhi peruntukan Perkara 14(2) Perlembagaan -- parti-parti pembangkang masih mampu menang di beberapa negeri dan menguasai jumlah kerusi Parlimen yang agak besar, tetapi ia bukan petunjuk untuk membuktikan pilihan raya kita berjalan secara bebas dan adil. Sama sekali tidak!

Sebenarnya, jika sistem demokrasi di Malaysia telus, tulen dan matang serta membenarkan persaingan politik yang cukup terbuka dan saksama, maka kemungkinan besar BN dan dahulunya Perikatan sudah lama dapat ditumbangkan.

Rakyat dapat menikmati proses pertukaran kerajaan sekiranya mereka merasakan perlu berbuat demikian tanpa perlu melalui pelbagai ugutan atau tawaran rasuah politik.

Partisipasi rakyat dalam amalan demokrasi bukan lagi hanya mengundi sekali dalam masa lima tahun, tetapi berupaya untuk membentuk atau mempengaruhi dasar-dasar awam secara berterusan, selain memastikan khazanah negara dan wang pembayar cukai diuruskan secara berhemat dan transparen. Ruang awam diperluaskan agar rakyat dapat memberikan pandangan, teguran hatta kritikan tajam.

Satu perkara yang nyata dalam kes Sarawak, dan juga pilihan raya lainnya, bahawa ramalan terhadap tarikh penamaan calon dan hari mengundi (sekali gus tempoh berkempen) selalunya tepat. Ia tidak bermakna tukang ramal mempunyai firasat yang hebat tetapi tekaan itu sebenarnya datang daripada sumber pejabat ketua menteri atau perdana menteri.

Memang pada mulanya tarikh penamaan calon dijangka 9 April, tetapi beberapa kemudian seorang rakan dari Kuching, penganalisis politik terkenal, menghantar SMS memaklumkan ia dipercepatkan pada 6 April, dengan tarikh pengundian kekal 16 April. Pada 23 Mac, Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd Yusuf hanya mengulangi pengumuman tarikh-tarikh berkenaan secara rasmi sahaja.

Ternyata dalam hal ini, SPR langsung tidak berkuasa, sekadar mengaminkan apa juga strategi ketua menteri atau perdana menteri. Sewajarnya tempoh berkempen ini dikanunkan dalam Perlembagaan secara jelas, iaitu minimum 21 hari.

Saya lebih berminat untuk meneropong pilihan raya Sarawak dalam konteks cabaran proses pendemokrasian di sana. Soal Pakatan Rakyat dapat menafikan majoriti dua pertiga BN, atau menyebabkan kredibiliti BN tergugat dengan teruk ekoran skandal Taib dan pelbagai isu kritikal, seperti tanah hak adat pribumi (NCR), memerlukan pemerhatian lain.

Saya cukup rimas apabila mendapat tahu Taib dengan sewenang-wenangnya menggunakan "kuasa istimewa" imigresen Sarawak untuk menghalang tokoh-tokoh tertentu pembangkang dari Semenanjung daripada memasuki negeri itu. Antara yang pernah disekat ialah Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan (Disember 2008) dan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa (kali pertama Feb 2009, dan kedua Mac 2011).

Dalam realiti politik baru, insiden seumpama itu begitu memalukan. Saya tidak pasti bagaimana dengan iklim kebebasan bersuara di Sarawak secara keseluruhannya. Cuma saya difahamkan, budaya takut masih kuat mencengkam. Ia tidak sukar difahami memandangkan regim Taib sudah berakar selama 30 tahun.

Diharapkan rakyat, terutama pengundi muda, yang lebih tinggi taraf celik politiknya agar berani bersuara, sekurang-kurangnya menyatakan protes terbuka menentang amalan primitif yang bercanggah dengan norma-norma demokrasi, di samping membuka laluan untuk tsunami politik yang tersekat pada 2008 membadai Sarawak dan Sabah dalam PRU13 nanti.

------
Artikel ini disiapkan pada 24 Mac 2011


Kenapa kementerian tidak cermat pilih teks sastera
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mempersoal sikap tidak cermat Kementerian Pelajaran dalam memilih teks sastera sebagai rujukan pelajar tingkatan lima sehingga mencetuskan ketegangan di antara kaum.

Merujuk novel Interlok yang mencetuskan rasa tidak puas hati kaum India kerana penggunaan beberapa perkataan yang didakwa menghina kaum mereka, Salahuddin berkata, jika kementerian bijak membuat keputusan, perkara sebegini tidak akan berlaku.

"Dalam isu Interlok ini kenapa Kementerian Pelajaran tak cermat dalam memilih hasil karya ini. Ada banyak lagi karya sastera mengenai perpaduan yang ditulis sasterawan yang layak dijadikan teks di sekolah.

"Kenapa pilih novel yang boleh mencetuskan perbahasan walaupun itu karya sastera yang membuatkan kita resah hari ini," kata beliau dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Tanpa menafikan hak seorang sasterawan untuk berkarya mengikut disiplin ilmu yang dipegang, beliau berkata kementerian tidak seharusnya meminta penulis novel tersebut menarik balik perkataan yang terkandung di dalamnya.

"Saya percaya dan yakin dengan disiplin ilmu. Saya percaya karya yang dihasilkan karyawan negara kita, setiap orang berhak mempertahankannya.

"Tapi ketidakcermatan ini bermula dari awal. Kenapa hari ini ada panel kaji Interlok dan kemudiannya minta seniman negara tarik balik perkataan di dalamnya.

"Ini bukan disiplinnya. Mengikut disiplin ilmu, kalau kita tak bersetuju dengan sesuatu karya, tulis buku yang lain. Bukan minta tarik balik perkataan yang boleh menjejaskan kredibiliti sasterawan negara," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Menyentuh mengenai subjek sejarah yang akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau berkata teks sejarah itu harus ditulis tanpa ada usul penipuan fakta.

Teks ini, katanya perlu disediakan oleh panel bebas yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan.

"Bagaimana penyediaan teks sejarah itu? Dari mana ia harus bermula? Siapa panel yang bertanggungjawab untuk menggubal atau menyediakan teks sejarah yang bakal dijadikan bahan untuk seluruh pelajar khususnya bagi mereka yang akan mengambil SPM sebagai subjek wajib lulus.

"Sejarah mesti ditulis dengan adil, tepat dan betul supaya setiap rakyat dapat suatu pengetahuan yang akan membentuk minda dan emosi.

Tambahnya, teks sejarah yang sedia ada lebih mengagungkan tokoh barat dan mengenepikan pejuang-pejuang tulen dalam memerdekakan negara.

"Buku teks dahulu banyak mengagungkan tokoh-tokoh penjajah. Tapi apabila kita belajar secara khusus tentang sejarah kita akan mendapati kebanyakan fakta memang tidak adil.

"Sebagai contoh kemerdekaan negara tidak hanya bermula pada tahun 1946 tapi jauh lebih awal dari itu," katanya.

Tambahan pula katanya, dunia hari ini menyediakan pelbagai teknologi yang membolehkan segala fakta didapati di mana-mana sahaja.

"Keluasan ilmu hari ini tidak boleh disembunyikan. Manusia boleh acess dengan hujung jari sahaja.

"Jangan nafikan mana-mana golongan yang memberi sumbangan besar ke arah kemerdekaan negara," katanya.

Tidak mustahil fitnah dikembalikan kepada tuannya

Ismail Hashim, Foto: Shukri

SHAH ALAM, 28 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan umat Islam jangan mengejutkan fitnah yang sedang tidur kerana bahayanya akan menimpa semua orang.

Menurutnya, Allah SWT menyatakan kejahatan fitnah bukan hanya terkena orang zalim sebaliknya akan terkena sesiapa sahaja.

Katanya, fitnah apabila melanda dalam masyarakat adalah seperti malam gelap gelita dan sesiapapun sudah tidak dapat membezakan siapa yang ada di hadapannya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib dalam majlis Solat Hajat dan Pidato Khas anjuran Pakatan Rakyat yang sedang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini.

(Gambar: Ribuan turut menunaikan solat hajat yang diimamkan Presiden PAS)

Tuan Ibrahim berkata sifat fitnah, ia hanya laku ketika awal sahaja selepas itu, ia akan ditolak oleh masyarakat dan rakyat.

Beliau mengaitkan fitnah isu video seks yang ditolak selepas sahaja saiz perut pelakon kelihatan berbeza.

"Kerana itu, dalam hal ini kita kena menjaga perut kita kerana kini ia sudah menjadi bahan bukti.

"Dalam zaman teknologi tinggi kini, jika perut atau bahu kelihatan berbeza, keadaan ini masih boleh dibaiki dengan editan dalam waktu sekejap sahaja," tegasnya.

Disiplin Islam, ujarnya, menegaskan setiap berita apabila ia datang wajib dikaji selidik terlebih dahulu, bukan tayang baru hendak dikaji.

Inilah yang menyebabkan berlakunya fitnah besar, ujarnya, melibatkan maruah termasuk keluarga dan sanak saudara.

"Tidak mustahil untuk Allah kembalikan fitnah itu kepada tuannya dan jadikan fitnah itu sebagi sumber kebangkitan rakyat," katanya.

Sementara itu selepas solat Isyak tadi, berlangsung solat hajat yang diimamkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut berlangsung sekarang ini adalah pidato khas oleh pimpinan PR seperti Presiden PAS sendiri, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.


Mengapa baru sekarang tawar RM5 juta
M Faqih

KOTA BHARU, 28 Mac: ”Pada masa itu tidak ada orang hendak tawar RM5 juta untuk beli tapak Arked MPKB... kalau ada marilah.

”Namun mengapa baru sekarang pula ditimbulkan,” kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Nazran Mohamad.

Akhbar hari ini melaporkan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh mendakwa seorang ahli perniagaan, Sheikh Ahmad Rozi Sheikh Ahmad memberitahunya melalui telefon mahu membeli tapak Arked MPKB dengan harga RM5 juta.

”Beliau memberi komitmen untuk membuat tawaran itu dengan harga RM5 juta,” kata Fatmi pada persidangan media bersama Pengerusi Persatuan Peniaga Arked MPKB, Salim Ahmad.

Pada pilihan raya umum 2004, Sheikh Ruzi merupakan calon BN di Dun Bunut Payong. Keluarganya difahamkan tinggal di Kampung Bunut Payong.

Selepas tewas pada pilihan raya tersebut beliau tidak muncul lagi dalam politik Umno di Kota Bharu. Calon BN di Dun berkenaan digantikan Rosmadi Ismail pada pilihan raya umum 2008.

Namun tiba-tiba beliau muncul kembali kononnya mahu menawarkan RM5 juta bagi membeli tapak bazar Arked MPKB.

Nazran berkata, MPKB BRI menjual tapak bangunan tersebut kepada sebuah syarikat dengan bayaran pendahuluan hampir RM4 juta. Selain itu MPKB BRI juga memiliki kepentingan 30 peratus dalam projek yang dimajukan.

”MPKB BRI juga mendapat keuntungan lain setelah dibangunkan hotel, ruang perniagaan dan aparment.

”Selain itu kita akan boleh bayaran cukai pintu, orang ramai boleh bekerja, dari istilah ekonomi dipanggil sebagai local economic develepment,” katanya.

Ditanya mengapa tapak bangunan dijual kata beliau bangunan tersebut sudah diakui tidak selamat untuk digunakan.

Menurutnya selepas mendapat laporan tersebut MPKB BRI terpaksa mengambil tindakan membuka tawaran kepada mana-mana syarikat yang berminat.

Beliau juga berkata, peniaga di tingkat atas Arked MPKB diberi lot perniagaan baru di Bazar Tok Guru dan peniaga makanan di tingkat bawah pasar lama diberi pilihan berniaga di Bazar Tengku Anis atau berhampiran Tesco.

”Mereka sudah terima untuk berniaga di situ cuma belum lagi pergi. Kerajaan sebenarnya lebih menjaga kebajikan rakyat, di mana dibina dahulu premis perniagaan sebelum peniaga diarah berpindah.

”Hendak cari kerajaan mana yang beri kebajikan begitu rupa. Begitu juga kerajaan minta MPKB BRI beli satu tingkat di Bazar Tengku Anis bagi membolehkan peniaga menjalankan perniagaan,” ujarnya.

Ditanya dakwaan Persatuan peniaga Arked MPKB lot di Bazar Tok Guru sempit katanya, persatuan mahu semua peniaga mendapat tempat di tingkat bawah.

”Pada masa itu (mesyuarat) wakil mereka setuju biar pun kecil setiap lot asalnya peniaga dapat berniaga di tingkat bawah.

”Sekarang timbul macam-macam kerenah. Kita di Kelantan lebih bernasib baik kerana kerajaan mengamalkan dasar Islam yang lebih bertimbang rasa,” katanya.


Jangan sampai rakyat doa wakil rakyat mati
Nazri Abdullah & Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menasihatkan kerajaan BN agar tidak hanya menjalankan projek pembangunan bila ada pilihan raya.

Katanya, keadaan itu telah menimbulkan satu kefahaman di kalangan rakyat bahawa untuk mendapat kemudahan asas perlu berlaku pilihan raya di tempat mereka.

"Kita merasakan dukacita bila ada rakyat menunggu-nunggu wakil rakyat mati untuk mudah mendapat kemudahan asas," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 (Bacaan kali kedua) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau sebelum itu membangkitkan isu kemudahan infrastruktur di beberapa kawasan khususnya pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang masih belum diselesaikan kerajaan biarpun sudah lebih 50 tahun memerintah.

Apatah lagi katanya, Sarawak mempunyai hasil negeri yang banyak namun rakyatnya masih dibelengu kemiskinan dan kawasan-kawasannya masih tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap.

"Bila ada pilihan raya kecil barulah diwarwarkan akan diadakan kemudahan-kemudahan.

"Ini pendedahan yang memalukan setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan," tambahnya.

Sehubungan itu beliau tidak mahu rakyat terus diperbodoh kerajaan dan menggesa kerajaan menjalankan tanggungjawab setiap masa dan bukan menunggu pilihan raya.

Sementara itu beliau turut membangkitkan masalah pemantauan pemberian subsidi minyak kepada nelayan.

Merujuk kes nelayan di Terengganu beliau berkata, nelayan kecil di negara ini terpaksa berdepan kapal armada yang memonopoli subsidi tersebut.

"Kementerian pertanian diberi peruntukan besar khususnya dalam memberi subsidi kepada nelayan.Tapi jumlah subsidi yang besar bocor,diberi kepada armada daripada kroni tertentu yang menggunakan pekerja asing daripada Vietnam,Thailand dan sebagainya.

"Mereka memunggah minyak subsidi dengan banyak sehingga sukar nelayan tempatan mengambil minyak di stesen-stesen minyak kerana diganggu oleh armada yang besar," katanya.

Tambahnya,meskipun ada tindakan daripada pihak terbabit berkaitan perkara ini,namun ianya seolah-olah melepaskan batuk di tangga sahaja.

Situasi yang sama katanya terus berlaku dengan golongan nelayan terus tertindas.

"Semua tahu armada ini menjual minyak subsidi ini di laut.Walaupun sebelum ini ada tindakan diambil kepada individu tertentu tetapi seolah-olah melepaskan batuk di tangga sahaja.

Ini satu kebocoran subsidi yang tidak dinikmati rakyat yang berhak menerimanya," katanya.


DENGAN KATA LAIN

SEPATUTNYA KITA IKUT TELUNJUK ISLAM...NI ISLAM IKUT TELUNJUK KITA...KITA MEMANG MENEMPAH NAHAS@NERAKA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan