Isnin, 28 Mac 2011

Adab Membuang Air.

Adab Membuang Air.

Sakaratul Maut.

Anas r.a


Dari Anas r.a katanya : “Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya” : “Bagaimana keadaanmu?” Pemuda itu menjawab : “Aku berharap kepada (rahmat) Allah – Ya Rasulullah! – dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa ku”. Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w bersabda : “Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti”. (Anas r.a)

Apabila menghadapi sakaratul maut setiap umat Islam diminta agar sentiasa mengingati Allah dengan bersungguh-sungguh serta berdoa semoga Allah memberi pertolongan kepadanya semasa mengalami penderitaan tersebut. Kita hendaklah menanamkan perasaan takut terhadap kemurkaan Allah dan mengharapkan rahmat daripada-Nya pada setiap masa apatah lagi di saat-saat genting menghadapi sakaratul maut kerana hal ini ada ganjaran dan penghargaan yang besar daripada Allah S.W.T malah dengan adanya perasaan tersebut juga akan menghindarkan kita daripada terdorong melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah.


Redha Menerima Ujian Allah

Anas r.a

Nabi s.a.w bersabda : “Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada Malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya”. (Anas r.a)

Setiap manusia hendaklah menerima segala ujian Allah dengan hati yang tabah, sabar dan redha kerana sikap yang demikian akan membawa kebaikan pada dirinya. Jika ia membiasakan dirinya dengan amalan yang baik semasa ia sihat atau senang kemudian tidak dapat melakukannya disebabkan kesakitan atau kemalangan yang menimpanya, maka Allah memerintahkan malaikat amal mencatat amalan yang baik yang tidak dapat dikerjakannya itu. Sekiranya Allah menyembuhkan sakitnya atau menghilangkan bencana yang menimpanya itu maka Allah jadikan ujian-Nya itu sebagai “kaffarah” (yang menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu) serta dijadikan hidupnya berkeadaan baru, suci dan bersih daripada dosa. Namun sekiranya Allah S.W.T sempurnakan ajalnya dengan kemalangan itu, maka ia akan dikurniakan keampunan dan dilimpahkan rahmat kepadanya.


Kebaikan Kecil Yang Besar Nilainya.

Muslim


Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira) dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia”. (Hadis Riwayat Muslim)

Hidup ini harus dipenuhi dengan amal soleh dan meninggalkan semua amal jahat kerana itulah sifat sebenar mukmin. Islam mengajarkan segala perbuatan baik dilakukan dengan ikhlas sama ada besar atau kecil, sedikit atau banyak tetap dinilai oleh Allah SWT dan tersedia baginya ganjaran pahala. Allah SWT menggalakkan kita berlumba mengerjakan kebaikan dengan tidak menetapkan nilai atau ukurannya seperti firman-Nya bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah : Ayat 148) Adakalanya kebaikan itu mungkin kecil pada pandangan manusia, tetapi nilainya besar pada pandangan Allah. Hadis ini mengisahkan seorang lelaki melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu. Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat besar iaitu syurga penuh kenikmatan. Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredhaan Allah. Mungkin rahmat dan redha Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan. Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan redha Allah SWT.


Seharum Kasturi. Bukhari

Muslim

Abu Hurairah ra berkata, Nabi SAW bersabda : “Tiap-tiap luka yang menimpa seseorang muslim di jalan Allah nescaya lukanya itu di hari kiamat tetap seperti ketika dia ditikam mengeluarkan darah. Warnanya warna darah, tetapi baunya bau kasturi”. (Bukhari dan Muslim)

Allah SWT memberi jaminan bahawa sesiapa yang berjihad di jalan-Nya dengan keimanan yang ikhlas kerana Allah SWT akan diberikan ganjaran pahala dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab dan tanpa diminta pertanggungjawaban terhadap dosa yang dilakukannya itu. Kematiannya di medan perang adalah mati syahid dan orang yang mati syahid tidak akan dimandikan. Bau hanyir darah itu akan bertukar wangi, sewangi kasturi di akhirat kelak.

Adab Membuang Air

Muslim


Dari Salman RA katanya dia ditanya oleh seseorang: Bukankah Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kamu segala-galanya hingga masalah buang air juga? Jawabnya: Benar! Beliau melarang kita mengadap kiblat ketika buang air besar atau kecil. Beliau juga melarang beristinjak dengan tangan kanan, beristinjak kurang dari tiga biji batu dan istinjak dengan kotoran ternak yang telah keras atau dengan tulang. (Hadis Riwayat Muslim)

Buang air adalah suatu kebiasaan yang diselalu dilakukan setiap hari. Disebabkan oleh kebiasaan itulah seringkali kita kurang memperhatikan adab-adab dalam melakukannya. Dalam Islam terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan: Tidak membawa barang yang tertulis nama Allah, kitab al-Qur’an atau sebahagian dari ayat-ayatnya.Membaca doa sewaktu hendak memasuki tandas dan apabila keluar dari tandas.Mendahulukan kaki kiri ketika masuk dan mendahulukan kaki kanan ketika keluar.Tidak mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya sebagai menghormati Kaabah.Mengelak membuang air di dalam lubang yang terdapat haiwan di dalamnya.Mengelak dari tempat orang berteduh/bernaung, di jalanan atau tempat laluan manusia.Tidak buang air kecil atau besar di dalam air yang tergenang atau air mengalir yang biasa digunakan manusia untuk bersuci.Tidak mencuci kotoran dengan tangan kanan yang menyentuh kotoran untuk menjaga kebersihan.Dilarang bercakap ketika membuang air, tidak boleh memberi salam, menjawab salam dan berzikir secara lisan. Istinjak bermaksud bersuci sesudah buang air besar mahupun air kecil iaitu membersihkan air kecil mahupun besar dari badan dengan air dan jika tidak ada air bolehlah beristinjak dengan batu atau benda-benda lain yang meresap.


Adab Ketika Minum

At-Tarmizi


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya : “Jangan kamu minum sekaligus seperti binatang ternakan minum, tetapi minumlah dua kali atau tiga kali, membaca bismillah bila mula minum dan membaca alhamdulillah sesudah selesai”. (at-Tirmidzi)

Islam mementingkan adab dan sopan dalam segala perkara termasuklah makan dan minum. Ketika makan kita ditegah daripada gelojoh begitu juga ketika minum hendaklah minum dengan perlahan dan jangan bernafas dalam bekas minuman serta dilarang juga minum sambil berdiri. Semua ini kerana mengambil kira faktor kesihatan dan kebersihan disamping dapat mencerminkan tatatertib yang sopan bagi seorang Islam. Mengecap rezeki yang dimakan atau diminum sebaik-baiknya ialah dengan membaca bismillah sebagai memuji Allah S.W.T yang mengurniakan rezeki dan mengucapkan alhamdulillah sebagai mensyukuri nikmat yang telah diberikan itu.


Bernazar Dengan Maksiat

Bukhari
Dari Imran bin Hushain ra katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh melaksanakan nazar yang berupa maksiat dan tidak boleh orang melaksanakannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Nazar disyariatkan oleh Islam dan diharuskan untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT. Perkara yang dinazar hendaklah merupakan perkara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT di mana Islam tidak membenarkan umatnya bernazar dengan perkara yang telah diharuskan oleh syarak kerana perkara itu tidak membawa kepada pahala atau dosa bagi sesiapa yang melakukannya. Contohnya seseorang itu bernazar untuk makan, minum, tidur dan sebagainya. Perkara yang dinazarkan juga janganlah terdiri daripada kewajipan yang memang telah diwajibkan seperti bernazar untuk mengerjakan puasa di bulan Ramadhan dan sebagainya. Islam juga melarang kita bernazar dalam perkara yang makruh atau diharamkan seperti membunuh, berzina dan sebagainya. Ini adalah kerana bernazar untuk melakukan perkara makruh dan haram bukan lagi termasuk dalam perkara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah malah perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah. Selain itu adalah tidak sah hukumnya orang yang bernazar secara dipaksa.

1 ulasan:

  1. salam ukhuwah,

    subhanallah..indahnya agama kita..segalanya telah termakltub...sama2 kita mengamalkan sunnah

    BalasPadam