Ahad, 20 Mac 2011

MUNGKIN CAMPURTANGAN LUAR...DATANG HASIL DARI TINDAKAN KITA...KAN BAIK KITA SERAH KUASA YG ADA..KAN ELOK



112 peluru berpandu dilancar ke atas Libya
Mac 20, 11 9:22am


Kapal perang dan kapal selam Amerika dan British melancarkan fasa pertama serangan peluru berpandu ke atas pertahanan udara Libya dan pegawai pertahanan Amerika berkata, serangan itu dipercayai mengakibatkan kerosakan besar.

Dalam serangan tersebut, 112 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan ke atas lebih 20 sasaran di pantai untuk membuka laluan kepada pasukan udara bersekutu bertindak melumpuhkan pertahanan udara Libya, lapor AP.

Para pegawai pertahanan Amerika berkata adalah terlalu awal untuk menilai kesan serangan tersebut, tetapi berasaskan kepada ketepatan sasaran peluru yang dilancarkan, mereka merasakan ia mengakibatkan kerosakan teruk ke atas pertahanan udara Libya.

Pegawai berkenaan tidak mahu disebut namanya kerana misi serangan tersebut masih berterusan.

Ketika mengumumkan misi serangan tersebut ketika melawat Brazil, Presiden Barack Obama berkata beliau keberatan mengambil langkah ketenteraan tetapi yakin ianya perlu untuk menyelamatkan nyawa orang awam.

Obama mengulangi bahawa beliau tidak akan menghantar tentera Amerika memasuki Libya.
NONE
"Kami tidak boleh melihat sahaja apabila seorang pemimpin yang zalim memberitahu rakyatnya bahawa tidak akan ada belas kasihan ke atas mereka," katanya di Brasilia.

Setakat ini, Amerika dilihat menghadkan peranannya dalam campurtangan di Libya, dengan fokus pertamanya untuk melumpuhkan pertahanan udara Libya, dan kemudian menyerahkan kepada negara-negara Eropah dan mungkin negara-negara Arab untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di atas ruang udara negara Afrika Utara.

Naib Panglima William E. Gortney memberitahu wartawan bahawa serangan peluru berpandu itu adalah permulaan kempen yang dikenali sebagai 'Operation Odyssey Dawn'.

Katanya, matlamatnya ialah untuk menghalang tentera Muammar Gadhafi daripada melakukan lebih banyak keganasan ke atas orang awam - terutama di dalam dan di sekitar kubu pemberontak di Benghazi -- dan melumpuhkan keupayaan ketenteraan Libya untuk mencabar zon larangan terbang.

NONESementara itu, Wartawan AFP pula melaporkan, bom digugurkan awal pagi ini berhampiran Bab al-Aziziyah, ibu pejabat Gaddafi di Tripoli, dan mencetuskan kemarahannya, yang berkata Mediterranean kini telah menjadi 'medan perang'.

Televisyen Libya sebelum itu melaporkan bahawa ratusan rakyat telah berkumpul untuk membentuk perisai manusia di Bab al-Aziziyah dan di lapangan terbang antarabangsa ibunegara itu.

Satu pegawai Libya memberitahu AFP, sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dalam serangan tersebut, yang bermula pada 1645 GMT (12.45 pagi waktu Malaysia) oleh sebuah pesawat pejuang Perancis ke atas sebuah kenderaan tentera yang didakwa Perancis milik pasukan pro-Kadhafi.

Stesen televisyen Libya memetik tentera negara itu yang mengesahkan setakat ini 48 maut manakala 15 lagi cedera dalam serangan udara pertama tentera Bersekutu, awal pagi tadi.

Serangan itu membabitkan sepanjang pesisir pantai barat dan timur terutama di di bandar Zuwarah, Tripoli, Sirte dan Benghazi.

Media di Libya juga melaporkan pesawat pejuang barat mengebomkan sasaran awam di di Tripoli, menyebabkan kematian, manakala jurucakap tentera pula berkata serangan juga mengenai tangki yang membekalkan bahan bakar ke bandar Misrata yang dikuasai pemberontak, di timur Tripoli.

Gaddafi, dalam ucapan ringkas yang disiarkan di televisyen negara itu, mengecam serangan tersebut dan berikrar akan bertindak balas.

"Kini gudang senjata telah dibuka dan semua rakyat Libya telah dipersenjatai untuk menentang kuasa barat," katanya.


Libya berdepan tindakan ketenteraan


SEKUMPULAN pemberontak menaiki sebuah kereta kebal yang dirampas daripada tentera Libya di Benghazi semalam.


PARIS - Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya sedang bersedia untuk mengenakan tindakan ketenteraan ke atas Libya berikutan kedegilan pemimpin Libya Muammar Gaddafi yang terus menyerang kubu kuat pemberontak di Benghazi dan melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengenakan zon larangan terbang di sana.

Presiden AS, Barack Obama memberi amaran bahawa Gaddafi bakal berdepan tindakan keras jika tenteranya tidak berhenti menyerang dan berundur dari bandar yang dikuasai oleh puak pemberontak.

Syarat Obama dilihat lebih spesifik berbanding apa yang terkandung dalam resolusi PBB yang diluluskan pada Khamis lalu. Kapal-kapal AS di Laut Mediterranean dikatakan bersedia untuk menyerang pangkalan udara Libya bagi membuka jalan kepada tentera Eropah dan Arab untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di seluruh Libya.

Pesawat pejuang dari Perancis, Britain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertumpu di pangkalan-pangkalan udara di seluruh Itali sebelum memulakan operasi di bawah arahan dan kawalan AS serta pangkalan tentera lautnya di Naples.

"Syarat-syarat ini tidak boleh dirunding. Jika Gaddafi tidak mematuhi resolusi PBB, masyarakat dunia akan mengenakan tindakan. Resolusi ini akan dilaksanakan menerusi tindakan ketenteraan," kata Obama.


SEORANG pejuang wanita memegang senapang AK-47 di sebatang jalan di kubu kuat pemberontak, Benghazi.


Enam buah pesawat pejuang F-16 milik Denmark dikatakan telah mendarat di stesen udara tentera laut AS di Sigonella, Sicily. Itali menawarkan tujuh pangkalan tentera laut dan udaranya yang sudah pun menempatkan tentera AS, NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dan Itali.

Menteri Pertahanan Itali, Ignazio La Russa menyatakan Itali bukan sekadar meminjamkan pangkalan tenteranya, malah bersedia memberi sokongan ketenteraan.

Sementara itu, Perdana Menteri Norway, Jens Stoltenberg menyatakan bahawa pihaknya sedia untuk menyumbang enam pesawat pejuang F-16 bagi operasi ketenteraan ke atas Libya. "Pesawat tersebut akan tiba dalam tempoh beberapa hari lagi," kata Stoltenberg.

Pesawat pejuang dari Britain, Perancis dan UAE dijadual berlepas dari pangkalan tentera Corsica, Perancis. Perbincangan untuk mempercepatkan tindakan ketenteraan ke atas rejim Gaddafi turut disuarakan di Eropah dan Amerika Utara. Negara-negara seperti Sepanyol dan Kanada mula menggerakkan peralatan ketenteraan sebagai persediaan untuk menyerang.

Cameron mengakui bahawa United Kingdom sudah memulakan persiapan untuk menggerakkan pesawat pejuangnya. Dalam beberapa jam lagi, tenteranya akan digerakkan ke pangkalan-pangkalan udara untuk 'tindakan sewajarnya.' Sepanyol dan Kanada juga menyatakan mereka akan menyediakan tentera dan jet pejuang.

Tindakan itu akan disegerakan jika Gaddafi meneruskan operasi ketenteraannya. Gaddafi diberi masa sehingga tengah hari semalam untuk mematuhi resolusi tersebut. Semalam, pemimpin dunia bertemu di Paris untuk membincangkan tindakan ke atas Libya.

Mesyuarat yang merupakan inisiatif Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy itu turut dihadiri oleh Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton dan Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Presiden Perancis.




Canselor Jerman, Angela Merkel yang dijangka tidak akan ambil bahagian dalam sebarang tindakan ke atas Libya juga menghadirkan diri. Jordan, Maghribi, Qatar dan UAE merupakan antara negara Arab yang menghadiri mesyuarat sama. Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari akan hadir selaku Ketua Liga Arab. Setiausaha Agung badan tersebut, Amr Moussa juga mengambil bahagian.

Semalam, duta-duta dari 28 buah negara anggota NATO bermesyuarat di Brussels mengenai penglibatan NATO untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya. Namun, tiada keputusan dicapai bagi menunggu hasil mesyuarat di Paris.

Dalam satu sidang akhbar di Tripoli, jurucakap kerajaan, Moussa Ibrahim membacakan surat daripada Gaddafi kepada Obama dan pemimpin Barat yang lain.

"Libya bukan hak anda. Libya adalah hak rakyat Libya. Resolusi Majlis Keselamatan tidak sah," jelas surat yang ditujukan kepada Sarkozy, Cameron dan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon.

Ini bukanlah kali pertama Barat masuk campur dalam hal ehwal negara yang berdaulat. Sebelum ini, AS dan tentera sekutunya pernah menceroboh Iraq, Afghanistan dan Somalia.

Antara alasan signifikan kenapa AS dan sekutunya bersungguh-sungguh mahu menceroboh Libya ialah kerana negara itu kaya dengan sumber minyak dan gas asli. Negara seluas 679,359 meter persegi itu memiliki populasi seramai 6.42 juta orang. - Agensi


Tentera Gaddafi mara ke Benghazi



BENGHAZI: Tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi semalam memasuki bandar raya ini, memaksa pemberontak yang menguasainya sejak bulan lalu berundur.

Seorang jurucakap pemberontak berkata, tentera Gaddafi memasuki bandar Benghazi sementara satu sumber Reuters memberitahu, pemberontak mendirikan halangan konkrit untuk mempertahankan markas mereka.


Serangan tentera Libya dilakukan walaupun kerajaan Gaddafi berkata ia melaksanakan gencatan senjata sementara Perancis meramalkan tindakan ketenteraan oleh Barat sudah pasti dilancarkan.

Kerajaan turut menafikan tenteranya berada di dalam atau sekitar Benghazi.


Seorang jurucakapnya berkata, kerajaan melaksanakan gencatan senjata itu dan menuduh pemberontak melancarkan serangan.


Menurutnya, pemberontak menyerang kedudukan tentera kerajaan di barat Benghazi, memaksa anggota tentera bertindak balas bagi mempertahankan diri.

“Mereka menggunakan helikopter dan pesawat untuk mengebom kedudukan tentera kami,” kata jurucakap itu.


Dalam pada itu, sebuah jet pejuang ditembak jatuh di bandar berkenaan.

“Saya melihat pesawat itu berpusing-pusing, keluar dari awan, menuju ke satu sasaran dan kemudian terkena tembakan lalu menjunam dan terbakar.


“Ia kelihatan cuba menyerang berek tentera di Benghazi,” kata koresponden Reuters, Angus MacSwan.


Pemberontak berkata, beberapa jet tentera Libya sebelum ini mengebom jalan raya menuju ke Lapangan Terbang Benghazi dan kawasan sekitarnya.


“Semalam (kelmarin) mereka berada 60 kilometer. Hari ini (semalam) mereka sudah berada kira-kira 20 kilometer dan boleh tiba di Benghazi dalam masa setengah jam hingga 90 minit,” kata pemberontak, Khalid Ahmed. - Agensi


Tentera Gaddafi cabul gencatan senjata


Sebuah jet pejuang Libya menjunam ke bumi (kiri) selepas ditembak di kubu kuat pemberontak, di Benghazi, Libya semalam sebelum terhempas (bawah) dan menghasilkan kepulan asap hitam. - AFP


BENGHAZI 19 Mac - Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi hari ini melancarkan dua serangan udara ke atas bandar Benghazi, kawasan kubu kuat pemberontak.

Tentera kerajaan turut melepaskan tembakan meriam secara berterusan sehingga kelihatan asap tebal di ruang udara di selatan bandar ini.

Stesen al-Jazeera melaporkan, seramai 26 maut, sementara lebih 40 yang cedera kini dirawat di sebuah hospital di Jala, di sini.

Beberapa letupan kuat turut didengari dari tengah bandar Benghazi, ketika pesawat tentera terbang rendah dan ruang udara bandar ini diselubungi asap hitam.

Serangan balas tembakan mortar kedengaran dan trak-trak membawa mesingan dapat dilihat di jalan raya di Benghazi selepas bunyi tembakan dan letupan berterusan sepanjang malam tadi.

Serangan udara pertama berlaku pada pukul 7.20 pagi (1.20 petang waktu Malaysia) diikuti serangan kedua kira-kira 20 minit kemudian, tetapi identiti pesawat yang melancarkan serangan itu tidak diketahui.

Pada pukul 8.17 pagi waktu tempatan, siri letupan kecil dipercayai dari roket Katyusha mencetuskan sekurang-kurangnya tujuh lagi asap hitam kecil di selatan bandar ini.

Pada pukul 8.40 pagi waktu tempatan, pesawat tentera terbang rendah di tengah bandar ini dan beberapa letupan besar.

Serangan udara itu dilancarkan selepas kerajaan Libya mengumumkan gencatan senjata berikutan langkah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membenarkan penggunaan tentera untuk menghalang operasi oleh Gaddafi ke atas pemberontak dan penduduk awam. - AFP


Jet tempur ditembak, terhempas

BENGHAZI 19 Mac - Sebuah pesawat tempur jenis MIG-23 ditembak jatuh hari ini di kubu kuat pemberontak, Benghazi, menyebabkan ia terhempas.

Pesawat tersebut melayang-layang di udara selepas beberapa minit ditembak dan terbakar di bahagian sayap kanannya sebelum jatuh terhempas di kawasan kediaman di selatan bandar itu.

Juruterbangnya bagaimanapun berjaya keluar daripada pesawat sebelum ia terhempas.

Menurut Institut Pengajian Strategik Antarabangsa di London, pesawat jenis MIG-23 buatan Rusia itu digunakan dalam perkhidmatan tentera Libya.

Bagaimanapun, pemberontak Libya mengakui pesawat yang terhempas itu milik mereka dan ia terhempas selepas diserang tentera Libya. - AFP



Tentera Gaddafi tembak jatuh pesawat penentang

Serangan udara muncul ketika kerajaan Libya timbang laksana gencatan senjata

BENGHAZI: Pesawat tentera setia kepada Muammar Gaddafi melakukan dua serangan udara ke atas kubu pemberontak di barat daya bandar ini awal pagi semalam dan asap tebal dilihat menjulang dari kawasan yang disasarkan, walaupun pemimpin Libya itu ditekan negara Barat agar mengadakan gencatan senjata.
Sementara itu, kumpulan pemberontak mengesahkan pesawatnya ditembak jatuh di sini oleh pasukan Gaddafi dalam insiden dramatik yang dirakam kamera di tengah-tengah bandar dikuasai pemberontak ini.
“Ya, ia adalah salah satu daripada pesawat kami. Ia ditembak jatuh oleh tentera Gaddafi,” kata seorang pegawai kanan pemberontak.

Sementara itu, pesawat dapat didengar awal pagi semalam terbang di atas pusat bandar, di mana letupan dan tembakan meriam antipesawat kedengaran sepanjang malam.

Serangan udara pertama muncul pada jam 5.20 pagi waktu tempatan, diikuti serangan kedua 20 minit kemudian, menghasilkan asap hitam tinggi menjulang yang terus berada di langit hampir setengah jam kemudian.

Pada jam 8.17 pagi, satu siri letupan kecil, kemungkinan dari roket Katyusha, menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh letusan kecil asap hitam di selatan bandar ini.
Serangan udara itu muncul ketika kerajaan Libya berkata ia sedang menimbangkan untuk mengadakan gencatan senjata yang diumumkan sejurus selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Libya.

Namun tentera pemberontak yang cuba menggulingkan pemimpin Libya berkata tentera Gaddafi terus mengebom bandar, ketika mencadangkan gencatan senjata.

Di TRIPOLI, Timbalan Menteri Luar Libya menafikan melancarkan serangan ke atas Benghazi dan berkata tentera kerajaan tidak akan melanggar gencatan senjata.

“Pasukan bersenjata kini terletak di luar bandar Benghazi dan kami tiada hasrat memasuki Benghazi,” kata Khaled Kaaim kepada media.

Kaaim juga menggesa pengerahan segera pemantau asing, menyatakan jika tidak “tuduhan dan tuduhan balas tidak akan berhenti.” – AFP

Pemimpin negara Arab, AS, Barat bincang tindakan ketenteraan

2011/03/20

PARIS: Pemimpin negara Arab, Amerika Syarikat dan negara Barat lain mengadakan pertemuan di sini semalam bagi membincangkan kemungkinan melancarkan tindakan ketenteraan terhadap pasukan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

Duta Perancis ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Gerard Araud, berkata beliau menjangka tindakan ketenteraan itu akan dilancar beberapa jam selepas mesyuarat membuat keputusan.
Mesyuarat berkenaan menyusuli resolusi Majlis Keselamatan PBB yang membenarkan masyarakat antarabangsa melancarkan tindakan untuk melindungi orang awam di Libya.
Sementara itu, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut mengadakan mesyuarat tergempar untuk menyemak rancangan yang menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Libya.

Majlis NATO dijangka mengeluarkan arahan untuk melancarkan operasi berkenaan dalam beberapa hari lagi. Pegawai badan itu berkata kakitangan tentera sedang menyempurnakan rancangan untuk mengerah berpuluh-luluh jet pejuang, jet pengebom, helikopter dan pesawat pemantauan di selatan Eropah.

Mesyuarat majlis NATO itu dihentikan semalam untuk menanti keputusan mesyuarat di Paris berkenaan.

Amerika Syarikat (AS) mempunyai beberapa pasukan tentera dan kapal tentera laut di kawasan berhampiran Libya, termasuk kapal selam, kapal perang, kapal tempur dan kapal mendarat.
Pegawai AS belum mendedahkan peranan yang bakal dimainkan negara kuasa besar itu tetapi Presiden Barack Obama berkata ia tidak akan membabitkan tentera darat.

Pesawat AWACS milik NATO sudah pun memantau sepanjang 24 jam sehari ruang udara di atas pesisir pantai Libya bagi memberi laporan perkembangan di ruang udara dan medan perang negara Afrika Utara itu.

Penganalisis berkata pesawat yang akan menguat kuasa zon larangan terbang itu akan menggunakan pangkalan di Sigonella, Sicily, Aviano di utara Itali, Istres di selatan Perancis dan Ventiseri-Solenzara di Corsica. – AFP

AS, Eropah Bergabung Serang Libya

BENGHAZI, Libya: Amerika Syarikat (AS) dan Eropah membentuk gabungan bagi melakukan serangan ke atas pertahanan Presiden Muammar Gaddafi dan pasukan udaranya dengan peluru berpandu dan serangan udara pada Sabtu, melancarkan tindakan ketenteraan antarabangsa terbesar sejak perang Iraq.

Pemimpin Libya sejak sekian lama itu bersumpah untuk mempertahankan negaranya daripada apa yang digelarkan "pencerobohan salibi" dan memberi amaran bahawa penglibatan kuasa antarabangsa akan mendedahkan rantau Mediterranean dan Afrika Utara kepada bahaya dan meletakkan nyawa orang awam dalam risiko.

Pasukan tentera AS berkata, 112 peluru berpandu Tomahawk dilepaskan daripada kapal laut dan kapal selam Amerika dan British ke atas lebih 20 sasaran di persisiran pantai bagi memberi laluan kepada peronda udara menghalang pasukan udara Libya daripada melakukan penerbangan.

Jet pejuang Perancis melepaskan tembakan serentak pertama, diikuti beberapa serangan di kawasan pemberontak di Timur.

Presiden Barack Obama berkata, tindakan ketenteraan itu bukan pilihan pertamanya dan mengulangi pendiriannya untuk tidak menghantar tentera darat AS ke Libya.

"Ini bukan hasil rundingan yang AS atau mana-mana rakan sekutu kami inginkan," kata Obama dari Brazil, di mana beliau memulakan lawatan selama lima hari ke Amerika Latin. "Kita tidak boleh berdiam diri apabila si penzalim memberitahu rakyatnya tidak akan ada belas kasihan."

Ribuan penyokong rejim berpusu-pusu memenuhi kem tentera Bab al-Aziziya di Tripoli di mana Gaddafi menetap untuk berlindung. Senjata pemusnah pesawat dapat didengari melakukan serangan sepanjang malam di Tripoli.

Serangan tersebut yang bertujuan menguatkuasakan zon larangan terbang oleh PBB, merupakan rentetan akibat usaha pihak antarabangsa untuk menghalang Gaddafi selepas beberapa minggu rayuan oleh puak pemberontak yang mendapati kerugian besar apabila rejim itu melepaskan serangan besar-besaran menggunakan kehebatan serangan udara dan senjatanya.

Sementara pihak berkuasa pertahanan AS memberi amaran bahawa adalah terlalu awal untuk menjangkakan kesan akibat serangan hebat itu, namun ketepatan sasaran peluru berpandu kapal laut itu dijangka mampu memberi kemusnahan besar ke atas pertahanan udara Libya.

Gaddafi yang mentadbir Libya selama 41 tahun, ketika dalam temubual telefon bersama stesen televisyen Libya berkata, beliau membuka depoh senjata untuk membenarkan rakyatnya melindungi diri mereka. Beliau berkata, tindakan antarabangsa ke atas tenteranya tidak ada justifikasi, menggelarnya 'pencerobohan kolonial yang boleh mencetuskan peperangan berskala besar".

Beliau berkata, Majlis Keselamatan PBB dan komuniti antarabangsa bertanggungjawab untuk "menghalang serangan terang-terangan yang tidak adil ke atas negara berdaulat itu serta-merta".

Rejim beliau turut bertindak pantas dalam serangan balas itu dengan menghantar pesawat pejuang, kereta kebal dan pasukan tentera ke Benghazi, pusat pemberontak dan bandar pertama yang jatuh akibat pemberontakan yang bermula 15 Februari lalu. Tidak lama kemudian serangan kerajaan berhenti.

Gabungan serangan yang digelar Operasi Odyssey Down, ditubuhkan ekoran persidangan tergempar di Paris di mana 22 pegawai kanan dan pemimpin tertinggi bersetuju melakukan tindakan sewajarnya agar Gaddafi menghormati resolusi Majlis Keselamatan PBB pada Khamis, yang mengarahkan zon larangan terbang dan menuntut gencatan senjata, kata Presiden Perancis Nicolas Sarkozy.

"Konsensus kami kukuh dan azam kami jelas. Rakyat Libya harus dilindungi dan dengan kesukaran menamatkan keganasan terhadap orang awam dengan pantas, gabungan ini sudah bersedia untuk bertindak pada kadar segera," kata Obama sebelum itu. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan