Sabtu, 19 Februari 2011

SEMUA DALAM TADBIR ALLAH....SEMUA DAH DITENTUKAN DALAM TAKDIR....RAKYA BANGUN DISEBAB KEKAYAAN YANG TAK MUNASABAH

Bahrain haramkan perhimpunan




MANAMA - Pihak berkuasa Bahrain mengharamkan perhimpunan-perhimpunan awam dan menghantar kereta-kereta kebal ke jalan-jalan sekali gus memburukkan lagi cubaan untuk mengembalikan keamanan yang telah menyebabkan lima orang penunjuk perasaan antikerajaan terbunuh.

Dalam tunjuk perasan itu, lebih 200 yang lain cedera dan menjadikan sebuah hospital menjadi tempat melepaskan kemarahan terhadap pemerintahan monarki.

Jalan-jalan di Bahrain hampir kosong selepas insiden berdarah itu.

Namun, beribu-ribu penunjuk perasaan terus berarak di bandar-bandar di Libya dan Yaman.

Gelombang ketidaktentuan politik dilihat berterusan di dunia Arab yang menyaksikan pemimpin di Mesir dan Tunisia berjaya ditumbangkan oleh rakyat.

Selepas membenarkan tunjuk perasaan puak Syiah selama beberapa hari di Manama, pasukan polis anti-rusuhan menggempur Dataran Pearl dengan melepaskan gas pemedih mata dan memukul penunjuk perasaam.

Pada minggu ini sahaja, jumlah kematian mencecah tujuh orang.

Menteri Luar Bahrain, Khalid Al Khalifa menegaskan tindakan itu wajar kerana penunjuk perasaan telah membahayakan negara dan menjurus kepada perselisihan mazhab. - Agensi


Polis tahan 9 penuntut antarabangsa

19/02/2011 5:58pm

KANGAR - Polis menahan sembilan penuntut antarabangsa dari dua institusi pengajian tinggi di Perlis dan Kedah kerana menimbulkan kekecohan serta membelasah seorang anggota polis di sebuah karaoke, di sini, awal hari ini.

Kejadian pada pukul 4 pagi itu menyebabkan dua penuntut terbabit dan seorang penduduk tempatan cedera.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kumpulan penuntut dari China yang dipercayai mabuk itu pada mulanya dikatakan mengganggu seorang wanita tempatan berketurunan Cina yang menyambut hari lahir di karaoke itu.

Akibat gangguan itu, berlaku pergaduhan antara mereka dan penduduk tempatan dan anggota polis yang ditugaskan memantau keadaan di situ turut dibelasah dan mengalami cedera ringan, katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tujuh penuntut termasuk dua wanita itu adalah dari institusi pengajian di Perlis manakala dua lagi rakan mereka dari Kedah. - Bernama



Punca kebangkitan rakyat di Asia Barat

KEBANGKITAN rakyat di negara-negara Asia Barat yang bermula di Tunisia sebelum merebak ke Mesir dan kini di Yemen, Bahrain dan Libya tidak berlaku tanpa sebab.

Gelombang kebangkitan rakyat itu bermula selepas para penunjuk perasaan berjaya menyebabkan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan bulan lalu.

Ia kemudian diikuti oleh rakyat di Mesir yang berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah sehingga mengakibatkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan selepas hampir 29 tahun memerintah.

Kebangkitan itu kemudian diteruskan oleh rakyat di Libya, Bahrain dan Yemen yang menuntut reformasi pemerintahan dilakukan.

Semua kebangkitan rakyat itu berlaku dalam zaman Facebook, Twitter dan Internet serta komunikasi penghantaran mesej yang laju menerusi telefon bimbit.

Laman web sosial dan telefon bimbit itu membantu kejayaan tunjuk perasaan di Mesir namun punca sebenar gelombang kebangkitan tersebut adalah tiadanya program ekonomi tersusun untuk rakyat di negara-negara tersebut.

Negara Mesir moden sudah lama wujud tetapi apakah yang dilakukan oleh Hosni semasa beliau memerintah untuk membaiki taraf hidup rakyat?

Rakyat di negara itu sudah bosan dengan taraf pembangunan yang berkualiti rendah sedangkan anak-anak pemimpin di negara berkenaan menikmati pendidikan dan gaya kehidupan mewah.

Negara-negara itu sudah tidak lagi dijajah oleh penjajah tetapi ketiadaan kemajuan yang dinikmati oleh rakyat menyebabkan mereka mudah bersatu untuk menentang pemerintah.

Hosni tumbang bukan disebabkan oleh musuh-musuh politiknya yang kuat tetapi di tangan rakyat yang merupakan golongan biasa tanpa sebarang kekayaan.

Selama hampir 29 tahun berkuasa, rakyat tidak lagi menyanjung keberanian Hosni berdepan dengan Israel dalam peperangan pada masa lalu sebaliknya mereka menuntut dengan berani dengan memberitahu beliau supaya berundur.

Selama ini, strateginya untuk kekal berkuasa dengan menyekat beberapa laman sosial di zaman Internet dan menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat yang tidak menyokongnya musnah hanya disebabkan tunjuk perasaan rakyat selama 18 hari.

Kesilapan pemimpin-pemimpin di Asia Barat ialah mereka cuma menonjolkan kehebatan diri mereka di depan rakyat tetapi pada masa yang sama gagal untuk menyediakan pelan pembangunan ekonomi yang bersistematik untuk pembangunan.

Itulah dilema yang dihadapi oleh Hosni, Zine El Abidine dan kini pemimpin terkenal dari Libya, Muammar Gaddafi, keluarga diraja Bahrain dan Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh.



Dua maut letupan di Yemen


SEJUMLAH penunjuk perasaan antipemerintah bersolat Humaat di bandar Taez, Yemen semalam.


TAEZ, Yemen - Para penunjuk perasaan antipemerintah di sini terkejut apabila sebutir bom tangan yang dilemparkan ke arah mereka meletup semalam menyebabkan dua orang terbunuh manakala beberapa puluh yang lain cedera, kata saksi-saksi.

Kejadian tersebut berlaku ketika beberapa pertempuran ganas tercetus di ibu kota Yemen, Sanaa.

Saksi-saksi berkata, serangan bom tangan itu berlaku ketika kumpulan penunjuk perasaan berhimpun di pusat bandar di sini selepas solat Jumaat untuk menuntut pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh.

Tunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Presiden Yemen itu bermula sejak seminggu lalu.

Seorang pegawai tempatan memberitahu agensi berita AFP bahawa bom tangan itu dilontar ke arah para penunjuk perasaan dari sebuah kereta bergerak laju yang memiliki nombor pendaftaran pemerintah.

Menurutnya, mereka yang menaiki kereta pemerintah itu telah dikenal pasti identitinya.

"Terdapat dua orang tetapi kami tidak akan mengaitkan fahaman politik mereka," tambahnya.

"Angka kematian dalam serangan di sini mencecah dua orang dengan 27 yang lain cedera," kata seorang pegawai perubatan.

Dalam perkembangan berkaitan, di ibu negara Yemen, Sanaa, beberapa saksi berkata, sekurang-kurangnya empat penunjuk perasaan antipemerintah cedera apabila kumpulan yang setia kepada Ali menyerang satu tunjuk perasaan.

Seorang koresponden AFP memberitahu, beberapa wartawan dipukul teruk oleh kumpulan penyokong parti Kongres Rakyat Umum (KGC) pimpinan Ali.

Mereka turut menyerang para penunjuk perasaan dengan menggunakan cota dan kapak.

Beribu-ribu penunjuk perasaan, kebanyakannya pelajar, telah berhimpun selepas solat Jumaat di sebatang jalan raya utama di Sanaa.

"Rakyat mahu menggulingkan pemerintah," kata mereka.

Sementara itu, tiga orang ditembak mati oleh pihak polis dan sekitar 20 cedera semalam apabila pasukan keselamatan bertempur dengan penunjuk perasaan di bandar pelabuhan Aden, selatan Yemen.

Seorang pegawai di Hospital Jumhuriah, Aden, berkata, tiga mayat telah dihantar ke rumah mayat sambil menambah 19 orang cedera, dua daripada mereka parah dan terpaksa menjalani pembedahan.

Polis melepaskan tembakan kearah beribu-ribu penunjuk perasaan yang berarak semalam di kawasan Al-Mansura di Aden untuk mendesak pengunduran Ali yang memerintah Yemen selama 32 tahun.

Di Sanaa, para penunjuk perasaan semakin bertindak ganas di sebalik gesaan Ali yang menggesa dialog diadakan untuk membentuk pemerintahan penyatuan kebangsaan.

Beliau dilantik memerintah untuk penggal ketujuh selepas pilihan raya pada September 2006.

"Rakyat Yemen memiliki hak untuk kebebasan bersuara dan serangan terhadap mereka dan wartawan yang membuat liputan tentang tunjuk perasaan di negara itu adalah tidak boleh diterima," kata pertubuhan hak asasi Amnesty International dalam satu kenyataan dari London.

Pertubuhan tersebut memetik beberapa sumber di Yemen memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 10 penunjuk perasaan di Sanaa telah cedera, termasuk beberapa orang yang mengalami kecederaan di kepala selepas pasukan keselamatan yang memakai pakaian awam melepaskan tembakan dengan menggunakan peluru hidup.

Selain kemiskinan dan pengangguran, pemerintahan Ali turut bergelut dengan pergerakan pemisah di selatan, penentangan di utara dan pengukuhan Al-Qaeda di negara itu.



Abramovich miliki wang tunai RM355.8 juta


KAPAL layar milik Roman Abramovich yang tidak diisytiharkannya dalam deklarasi kekayaan untuk membolehkan dia bertanding dalam kerusi parlimen Rusia.


MOSCOW - Kekayaan bilionair Rusia, Roman Abramovich didedahkan kepada umum buat pertama kalinya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Deklarasi kekayaan itu dibuat berdasarkan undang-unndag antirasuah Rusia bagi membolehkan Abramovich bertanding merebut kerusi parlimen.

Bilionair berusia 44 tahun itu yang juga pemilik kelab bola sepak liga Inggeris, Chelsea dilaporkan memiliki lebih banyah hartanah di Britain berbanding tempat-tempat lain di dunia.

Beliau memiliki enam buah apartmen mewah dan sebuah rumah di Britain berbanding empat kediaman di Rusia, dua buah di Amerika Syarikat (AS) dan tiga buah lagi di Perancis.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa beliau merancang mengubahsuai beberapa buah flat di tengah London untuk dijadikan banglo berharga sekitar £150 juta (RM738 juta).

Abramovich berhasrat untuk tinggal di kediaman barunya itu bersama teman wanitanya, Daria 'Dasha' Zhukova.

Selain hartanah, deklarasi itu turut mendedahkan bahawa Abramovich memiliki simpanan wang tunai hampir £72 juta (RM355.8 juta) dalam 22 akaun bank selain pegangan saham bernilai lebih £25 juta (RM123 juta).

Bagaimanapun, deklarasi kekayaan Abramovich mengundang kritikan di laman-laman blog Rusia kerana beliau gagal menyenaraikan beberapa asetnya yang lain.

Abramovich dilaporkan gagal mendedahkan koleksi kapal layar mewah atau beberapa pesawat dan helikopter yang dimilikinya. - Agensi


Protes Hari Kemarahan: 24 maut dibunuh rejim Gaddafi



LUAH PERASAAN...penunjuk perasaan memusnahkan monumen dibina kerajaan Libya di Tobruk, semalam.
LUAH PERASAAN...penunjuk perasaan memusnahkan monumen dibina kerajaan Libya di Tobruk, semalam.

KAHERAH: Perarakan Hari Kemarahan di Libya bertukar menjadi ganas apabila anggota keselamatan rejim Muammar Gaddafi menembak mati sekurang-kurangnya 24 orang, semalam.

Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW), berkata keganasan berlaku di dua bandar utama Libya, Benghazi dan al-Baida.


Memetik sumber tidak dikenali, HRW berkata, penunjuk perasaan ditembak dengan peluru hidup.

Pengarah HRW bagi rantau Timur Tengah dan Afrika Utara, Sarah Leah Whitson, berkata serangan ganas ke atas demonstrasi aman itu adalah bukti jelas kekejaman Gaddafi jika dia berdepan dengan rasa tidak puas hati rakyatnya.


“Warga Libya sepatutnya tidak perlu merisikokan diri sendiri untuk mendapatkan hak sebagai manusia,” katanya.


Pembangkang menggunakan Facebook bagi menggerakkan orang ramai menyertai perarakan Hari Kemarahan semalam, tetapi Gaddafi, 68, membalasnya dengan menganjurkan demonstrasi penyokong kerajaan di tengah Tripoli.


Ratusan orang menyertai perhimpunan di Dataran Hijau di ibu negara Libya sambil membawa sepanduk memuji-muji Gaddafi, antara lain sebagai ‘pemimpin revolusi.’ Dia turut muncul seketika sejurus selepas tengah malam dan mendapat sambutan hangat.


Tulang belakang rejim Gaddafi, Jawatankuasa Revolusi, berkata mereka tidak akan membiarkan protes rakyat menggagalkan kejayaan rakyat, mengancam keselamatan serta kestabilan negara.


Di bandar raya kedua terbesar di Libya, Benghazi, HRW berkata, protes disertai ratusan peguam, aktivis dan orang ramai yang mahu kedaulatan undang-undang dihormati. - AFP


Warga Kaherah berkumpul kenang pejuang reformasi



KAHERAH: Ribuan bendera dikibar di Dataran Tahrir, semalam, bagi meraikan kejatuhan Hosni Mubarak serta memberi tekanan berterusan kepada junta tentera Mesir.

Jumlah itu dijangka terus bertambah apabila warga Kaherah selesai menunaikan solat Jumaat.


Pada masa sama, sebuah pancaragam tentera yang lengkap beruniform memainkan lagu patriotik bagi meraikan orang ramai.

Aktivis reformasi menyeru orang ramai menyertai perarakan besar-besaran di dataran itu bagi memperingati penunjuk perasan yang syahid dalam memperjuangkan pembaharuan.


Ia juga memberi tekanan kepada junta tentera membebaskan ramai lagi tahanan politik di penjara Mesir.


Kumpulan penggerak reformasi Mesir, Gabungan Pemuda Revolusi, berkata rakyat Mesir perlu berhimpun bagi mengenang pejuang ‘kebebasan, maruah dan keadilan.’ Sekurang-kurangnya 365 orang maut dan 5,500 cedera dalam kebangkitan rakyat Mesir menggulingkan Hosni baru-baru ini. - AFP


Rakyat mahu raja disingkir


MANAMA: Beribu-ribu orang yang berkabung atas kematian penunjuk perasaan menyeru rakyat Bahrain bangkit menumbangkan pemerintah monarki dan melaksanakan reformasi, semalam.

Ketika orang ramai menyertai perarakan mengebumikan mangsa pembunuhan itu, sejumlah kereta kebal ditempatkan di jalan raya bagi mengawal keadaan di negara yang menjadi sekutu Barat paling strategik di Teluk.


Desakan menumbangkan pemerintahan beraja di Bahrain membayangkan peningkatan kemarahan politik rakyat - majoritinya berfahaman Syiah - yang tidak puas hati dengan pemerintahan kerajaan berfahaman Sunnah.

Kecenderungan itu semakin ketara selepas pihak berkuasa ganas menyuraikan penunjuk perasaan yang berkhemah di ibu negara Bahrain itu.


Setakat ini, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan lebih 230 cedera.


Negara itu pula kini diperintah seperti di bawah undang-undang darurat.



Arab Saudi mula cemas berdepan kebangkitan rakyat



RIYADH: Ahli keluarga diraja Arab Saudi, Putera Talal Abdul-Aziz, mengingatkan negara itu mungkin menjadi sasaran terbaru kebangkitan rakyat jika kerajaan tidak melakukan reformasi.

Katanya, masih belum terlambat bagi kerajaan mengelak kebangkitan rakyat itu jika langkah mengubah keadaan di Arab Saudi dilakukan segera.


Dalam temu bual dengan stesen BBC Arabic yang dibiayai kerajaan, Talal berkata, hanya Raja Abdullah yang mampu membawa perubahan diharapkan.

“Jika tidak, keadaan boleh bertukar menjadi sangat berbahaya,” katanya. - Press TV



Arab Saudi mula cemas berdepan kebangkitan rakyat



RIYADH: Ahli keluarga diraja Arab Saudi, Putera Talal Abdul-Aziz, mengingatkan negara itu mungkin menjadi sasaran terbaru kebangkitan rakyat jika kerajaan tidak melakukan reformasi.

Katanya, masih belum terlambat bagi kerajaan mengelak kebangkitan rakyat itu jika langkah mengubah keadaan di Arab Saudi dilakukan segera.


Dalam temu bual dengan stesen BBC Arabic yang dibiayai kerajaan, Talal berkata, hanya Raja Abdullah yang mampu membawa perubahan diharapkan.

“Jika tidak, keadaan boleh bertukar menjadi sangat berbahaya,” katanya. - Press TV

Tiada ulasan:

Catat Ulasan