Ahad, 20 Februari 2011

PEMIMPIN YANG MENGAKU ISLAM SEPATUTNYA MEMIMPIN BERPANDU QURAN DAN HADIS...BUKAN IKUT BARAT ATAU IKUT KEPALA OTAK SEMATA2...

Cara membuktikan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w



Setelah nyata kepada kita kewajipan menyintai dan mengasihi Nabi Muhammad SAW berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli yang jelas, marilah pula kita cuba membincangkan tanda dan bukti kasih dan kecintaan seseorang terhadap baginda . Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentuk cinta sejati.Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas-murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.


Selain memiliki semangat di atas, orang-orang yang benar-benar mengasihi Nabi SAW harus terdapat pada dirinya bukti dan tanda berikut:

1. Menjunjung agama Nabinya, mengamalkan Sunnahnya, menurut perkataan dan perbuatannya dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Dia juga mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara ‘kasih’ dan ‘taat’ ini terlihat jelas dalam firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu.” (ali ‘Imran: 31)

Namun semangat semata-mata tidak memadai jika tidak berpaksikan di atas ilmu yang kukuh. Lebih-lebih lagi pada zaman fitnah ini, kegagalan seseorang itu mengenal mana satu Sunnah dan bidaah akan memungkinkan terjebak ke dalam lubuk bidaah yang dianggap sebagai Sunnah. Akhirnya Sunnah dipinggirkan dan bidaah ditegakkan.

Orang yang tersemat di dalam hatinya kasih yang sejati terhadap Rasulullah SAW juga, tidak akan mempedulikan kemarahan manusia lain dalam usahanya mentaati Allah SWT dan Rasul SAW.

2. Sudah menjadi adat dan lumrah berkasih, seorang kekasih akan sering menyebut dan mengingati kekasihnya. Justeru, apabila hati seseorang itu telah mengisytiharkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, maka lidahnya akan sering menyebut nama Kekasihnya SAW dan kotak fikirannya akan sentiasa mengingati Baginda SAW.

Selaku umat Muhammad SAW, kita amat bertuah kerana telah diajar berselawat ke atas kekasih kita Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT. Maka kita beruntung kerana dapat beribadah dengan menyebut, memuji dan berselawat kepada insan yang paling kita cintai dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang memuji Nabi SAW serta lafaz selawat yang diajar sendiri oleh Baginda SAW.

Kita juga dididik oleh Nabi SAW dan ulama pewaris Baginda SAW menghormati hari dan bulan kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul SAW dan Isra’ Mikraj dengan mengisinya dengan pelbagai amalan yang kesemuanya ada kaitan dengan Nabi SAW dalam kerangka ubudiah kepada Allah SWT. Walaupun ada segelintir di kalangan orang Islam sendiri mencurigai bacaan dan amalan-amalan ini.

Menghayati dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih-sayang dengan Nabi SAW dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini, menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan kasar.

3. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan sentiasa berasa rindu untuk bertemu dengan Baginda SAW; untuk melihat zatnya di alam yang kekal abadi kelak, atau sekurang-kurangnya jika dapat menatap kelibat wajahnya yang mulia barang seketika dalam mimpi-mimpi mereka. Sudah pasti setiap kekasih sangat merindui untuk bersua dan menatap wajah kekasihnya.

Kerinduan sebeginilah yang dapat kita rasakan jika kita menyorot kehidupan generasi sahabat. Misalnya, kita dapat turut berkongsi keriangan dan kegembiraan Abu Musa al Asy’ari r.a dan rombongan kaumnya dari Yaman yang berkunjung ke Madinah.

Mereka mempercepatkan langkah dan begitu girang untuk menemui Rasulullah sambil mendendangkan syair kegembiraan: “Esok kita akan bertemu dengan para kekasih kita, Muhammad dan sahabat-sahabatnya!” Setibanya mereka di Madinah dan Masjid Nabi, mereka terus menghadap dan memuliakan Nabi SAW. (riwayat Al-Baihaqi)

4. Seseorang yang mengasihi Baginda SAW juga akan membesarkan diri dan suruhan Baginda termasuk memuliakannya ketika menyebut namanya. Malah ada yang sehingga menunjukkan rasa rendah dan hina diri ketika mendengar nama Baginda SAW disebut di hadapan mereka.

Berkata Ishaq al-Tujibi r.a, sahabat-sahabat Nabi SAW selepas kewafatan Baginda SAW tidak akan menyebut nama Baginda SAW melainkan mereka akan merendahkan diri dan menggigil serta menangis kerana diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat berpisah dengannya.

Hal ini sangat berbeza dengan sesetengah mereka yang mengaku sebagai ahli agama pada zaman kita yang tidak mahu membesarkan dan menobatkan keistimewaan Nabi Muhammad SAW tetapi hanya menumpukan kepada risalahnya dan sunnah yang dibawa olehnya. Seolah-olah Nabi SAW hanyalah berperanan seumpama posmen penghantar surat atau orang suruhan bawahan!

Sedangkan apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya.

Mengasihi Nabi SAW

Ada juga sesetengah mereka yang menolak penggunaan gelaran Sayyidina bagi Nabi SAW sedangkan Nabi SAW lebih daripada layak mendapat gelaran tersebut tetapi dalam masa yang sama mereka bebas menggunakan pelbagai gelaran dalam kehidupan mereka.

5. Orang yang mengasihi Nabi SAW juga sepatutnya akan mengasihi orang yang dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya nasab keturunannya dari kalangan ahli-ahli bait dan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar.

Mereka juga akan memusuhi orang yang memusuhi mereka dan membenci orang yang membenci mereka dan keturunan mereka.

Hakikatnya, sesiapa yang mengasihi seseorang, dia akan mengasihi semua perkara yang disukai oleh orang yang dikasihinya.

Ini ialah sirah para Salaf al-Salih; mereka akan mengasihi segala yang dikasihi oleh Rasulullah SAW sehinggakan terhadap perkara-perkara yang sekadar diharuskan dan digemari oleh nafsu (yang tidak diharamkan oleh syarak).

Anas ibn Malik r.a misalnya, setelah melihat Rasulullah SAW mencari-cari labu di dalam dulang ketika sedang menikmati makanan, maka semenjak hari itu dia turut sentiasa suka kepada labu.

6. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan membenci apa yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi Sunnahnya, melakukan perkara bidaah dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.

Allah SWT menjelaskan: Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujadalah: 22)

“Mereka” yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah para sahabat Baginda SAW yang telah membunuh orang yang mereka kasihi dan juga bapa-bapa mereka yang ingkar dan kafir semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Ibnu Abbas RA menyatakan, di antara sahabat Baginda SAW yang dimaksudkan di dalam ayat itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.

Beliau sanggup membunuh bapanya dalam peperangan Uhud manakala Saidina Abu Bakar r.a sanggup berlawan satu lawan satu dengan anaknya sebelum memulakan peperangan Badar, tetapi dihalang oleh Rasulullah SAW. Inilah antara bukti cinta yang tidak berbelah-bagi terhadap Baginda SAW.

7. Orang yang benar-benar mencintai Nabi SAW juga pasti akan kasih terhadap al-Quran yang diutuskan kepada Rasulullah SAW yang dengannya manusia mendapat petunjuk. Mereka akan mengikut jejak Baginda SAW yang menjiwai al-Quran dan berakhlak dengannya seperti yang ditegaskan oleh Ummul Mukminin, Aisyah r.ha dalam katanya, “Akhlak Baginda SAW adalah al- Quran itu sendiri”.

Mengasihi al-Quran bererti membacanya, beramal dengannya, memahaminya, menjunjung suruhan dan meninggalkan larangannya.

8. Tanda kasih terhadap Nabi SAW juga ialah berasa kasih dan belas terhadap umatnya dengan memberi nasihat kepada mereka, berusaha melakukan kebaikan dan menghapuskan kemudaratan daripada mereka.

Inilah sebahagian daripada bukti dan tanda yang harus ada pada para pencinta Nabi SAW. Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa semata-mata?

Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah SAW!

Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa Negeri Sembilan

Keutamaan mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang pencinta Allah SWT dan NabiNya SAW yang tidak asing lagi, Rabi’ah al Adawiyyah dalam syairnya: “Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat-patuh kepada yang dikasihinya.”



Bintang All Black peluk Islam



Menjadi sensasi dalam liga ragbi remaja, kemudian menyertai skuad bintang All Black, dan pada waktu yang sama menjadi peninju heavyweight yang berbakat. Tidak setakat itu, Sonny Bill Williams juga telah memeluk Islam.

Sekalipun terdapat khabar angin tentang bintang berusia 25 tahun ini memeluk Islam, namun akhbar Herald, Ahad lalu, mendedahkan bahawa beliau telah bersyahadah sejak dua tahun yang lalu.

Sejak itu, beliau menjadi Muslim pertama yang mengenakan jersi All Black, dan meminta makanan halal semasa kempen jelajah Hemisfera Utara tahun lepas.

Bulan Ramadan pada tahun ini akan jatuh dalam bulan Ogos – semasa All Black mengambil bahagian dalam pertandingan Tiga Negara. Di sinilah fasa terakhir persediaan pasukan bagi menyiapkan diri bertanding dalam Piala Dunia.

Menurut sahabatnya, Williams sering hadir menunaikan sembahyang Jumaat di sebuah masjid di Christchurch.

Naib presiden Persekutuan Pertubuhan Islam NZ, Javed Khan, berkata bahawa komuniti Muslim memang sedia maklum tentang hal itu.

“Beliau mengamalkan agama dan beliau telah menjadi contoh yang baik untuk remaja. Kami berdoa supaya beliau akan memenangi Piala Dunia untuk kami. Semua orang bercakap tentangnya. Dalam komuniti Islam, setiap kami mengenali setiap seorang yang lain.”

Kedua-dua pengurus William, Khoder Nasser dan mentornya yang juga bintang liga dan peninju, Anthony Mundine (gambar mereka bertiga), adalah Muslim, begitu juga dengan adiknya Johnny, yang tinggal dengan beliau di Christchurch.

Kawan William, Tairek Smith berkata yang dia selalu bersembahyang bersama William sejak beliau memeluk Islam Sunni dalam satu majlis di masjid Regent’s Park di barat Sydney pada 2008, iaitu masjid yang juga dihadiri oleh Hazem El Masri (gambar), bekas rakan sepasukannya dalam Kelab Canterbury Bulldogs.

Pengurus All Black, Darren Shand (gambar) berkata kepercayaan agama bintang tersebut mempunyai kesan yang “minima” kepada pasukan.

Katanya: “Beliau telah memberitahu kami tentang keperluan dietnya dan kami memang telah beri kelonggaran. Kami sediakan daging halal dan lain-lain dan beliau tidak memperbesar-besarkan isu itu.

“Kami tidak membawa agama dan benda yang berkaitan dalam sukan ini. Itu adalah kehidupan peribadi mereka dan mereka yang menentukannya.”

Bila ditanya jika amalannya itu bercanggah dengan falsafah All Blacks yang menggalakkan pemain-pemain supaya berfikiran bebas dan berdikari, Shand berkata Williams adalah seorang yang jenis “menyerap” informasi.

“Itulah sebabnya beliau berjaya dalam semua sukan yang diceburi. Beliau hanya tandakan semua kotak. Dia ingin menjadi yang terbaik.”

Sejak memeluk Islam, Williams berusaha untuk tidak mengulangi insiden-insiden memalukan yang berkaitan dengan alkohol.

Beliau sekarang ini sedang menjalani latihan bersama kelab Crusaders bagi menghadapi kempen Super Rugby dan tidak dapat dihubungi untuk mengulas dengan lebih lanjut.

Source: Berita Islam Global



Ancaman bagi orang bakhil


Memberi bantuan meringankan rakan yang ditimpa musibah juga adalah antara sedekah yang amat digalakkan oleh agama. - Gambar hiasan

SURAH ini termasuk dalam surah Makkiyah, keseluruhan ayatnya berjumlah 21 ayat, dan turun selepas surah al-A’la. Hubungan surah dengan surah yang sebelumnya, iaitu pada surah terdahulu ada disebutkan tentang kebahagiaan orang yang mengotorkannya.

Dalam surah ini pula Allah SWT sebutkan bentuk kebahagiaan yang akan diperolehi dan bentuk kecelakaan yang akan didapati. Jadi, surah ini seolah-olah huraian yang lebih terperinci daripada surah sebelumnya.

Firman Allah SWT: Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), dan siang apabila ia lahir terang-benderang, demi yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina).

Ibn Kathir berkata, yakni jika menutupi makhluk dengan kegelapannya dan cahaya dengan sinarnya begitu juga demikian sama ciptaan manusia. Ketika sumpahan ini menggunakan hal yang bertentangan maka yang disumpah pun juga saling bertentangan.

Syed Qutud dalam Fi Zilal al-Quran menyebut: Biar bagaimanapun percubaan yang dilakukan oleh para pengingkar dan para penyesat untuk menolak hakikat ini dan mengalihkan pandangan-pandangan manusia daripada mengamatinya, namun hati manusia tetap berhubung dengan alam buana ini.

Mereka juga menerima saranan-saranannya, memerhati perubahan-perubahannya dan memahami secara spontan setelah berfikir dengan mendalam bahawa di sana ada satu kuasa pentadbir yang pasti dirasa dan diakui kewujudannya di sebalik pendapat-pendapat yang karut dan sikap yang menolak dan mengingkarinya.

Begitu juga penciptaan jenis lelaki dan perempuan atau jantan dan betina. Penciptaan jenis pada manusia dan binatang-binatang mamalia itu bermula dengan setitis nutfah yang menetap dalam rahim atau dengan satu sel dari lelaki yang bersatu dengan sebiji telur perempuan. Tetapi mengapakah pada akhir perkembangannya tidak sama, yang ini menjadi lelaki dan yang itu menjadi perempuan. Siapakah yang memerintah begitu?

Penemuan faktor-faktor yang menjadikan nutfah ini lelaki dan nutfah itu perempuan tidak mengubah hakikat, kerana yang menjadi pokok pertanyaan mengapa faktor-faktor itu wujud pada nutfah ini dan tidak wujud pada nutfah yang lain?

Bagaimana kejadian lelaki dan perempuan (betina dan jantan) ini merupakan kejadian yang selaras dengan garis perjalanan hidup dan menjamin kesinambungan hidup melalui proses beranak-pinak sekali lagi?

Adakah ini berlaku secara kebetulan? Tetapi kebetulan juga mempunyai undang-undangnya dan mustahil segala-galanya berlaku secara kebetulan. Mahu tidak mahu pasti diakui bahawa di sana ada Tuhan Pentadbir yang menciptakan lelaki dan perempuan kerana tujuan dan matlamat yang tertentu. Kebetulan dan kejadian secara automatik sama sekali tidak mempunyai tempat dalam peraturan alam ini.

Penutup

Ayat-ayat di atas dan ayat-ayat sebelumnya dapat juga difahami sebagai perintah untuk melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan menghindari yang tidak bermanfaat, serta beramal sesuai dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya. Kemudian menyerahkan persoalan-persoalan ghaib, seperti balasan dan ganjaran kepada Allah SWT.

Ini serupa dengan perintah untuk mencari rezeki yang dituntut dari kita adalah berusaha sekuat kemampuan, lalu menyerahkan hasil usaha itu kepada Allah SWT.

Jangan sekali-kali mengadu nasib dalam memperolehi rezeki kerana perolehan rezeki serta kegagalan memperolehnya sering kali berkaitan dengan upaya anda.

Syed Qutub berkata: Demikianlah berakhirnya bahagian pertama surah ini dan dari bahagian ini ternyatalah bahawa di sana terdapat dua jalan yang diikuti manusia di setiap zaman dan tempat.

Kedua-dua jalan itu merupakan dua golongan atau dua panji yang berlainan walaupun bentuk dan warnanya beraneka ragam.

Setiap orang yang berbuat untuk dirinya apa yang dipilih olehnya, sedangkan Allah akan memberi kemudahan kepadanya untuk menuju ke jalan pilihannya sama ada jalan kesenangan atau jalan kesukaran.

Source: Utusan Malaysia Online


Pemimpin wajib lunas amanah rakyat



TUGAS pemimpin politik bukan mudah kerana setiap amanah yang digalas adalah tanggungjawab perlu dilunaskan sebaik mungkin demi memastikan kebajikan rakyat terjamin. Dalam mencapai tujuan murni itu, semua tindakan diambil perlu dinilai sedalam mungkin berlandaskan prinsip menepati janji, bersikap jujur, adil dan saksama.

Peranan politik yang dimainkan pemimpin tidak terhad kepada tugas dalam negara kerana mereka turut dilihat pemimpin lain di peringkat antarabangsa dan apa juga tindakan dilakukan bakal memberi impak kepada kebajikan rakyat serta negara keseluruhannya.

Oleh itu, peranan pemimpin politik mengekalkan keharmonian dan kemajuan negara penting, lebih-lebih lagi dengan keadaan landskap politik tempatan yang bercorak heterogen (berbilang kaum, tradisi dan agama).

Corak politik antarabangsa yang begitu meluas turut mempunyai pengaruhnya tetapi Islam sudah menggariskan beberapa prinsip penting yang perlu diselusuri pemimpin politik untuk melaksanakan tugas sebagai penentu kebajikan rakyat diwakili.

Pemimpin wajib menepati setiap janji dimeterai baik secara lisan ataupun bertulis. Di peringkat tempatan, janji itu termasuklah ucapan sewaktu berkempen. Manifesto yang dicanang juga adalah jaminan diberikan kepada rakyat, maka seharusnya jaminan itu dikotakan sepenuhnya.

Hak rakyat tidak kira bangsa, agama atau kawasan perlu diberi perhatian. Allah berfirman yang bermaksud: “Kecuali orang musyrikin yang kamu mengadakan perjanjian (dengan mereka) dan mereka tidak mengurangi sesuatu pun (dari isi perjanjian) dan tidak (pula) mereka membantu seseorang yang memusuhi kamu, maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai batas waktunya. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertakwa.” (Surah At-Taubah, ayat 4)

Janji yang ditebarkan perlu mengambil kira keperluan dan kehendak semua kaum. Dalam erti kata lain, pemimpin politik mesti bersikap adil dan saksama dalam menimbang tara keputusan politik yang hendak dibuat.

Firman Allah yang bermaksud: “Hai orang beriman, hendaklah kamu jadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Maa-idah, ayat

Di peringkat antarabangsa pula, janji termasuklah perjanjian ditandatangani ketua negara, baik secara dua hala, berbilang-hala dan perjanjian dalam negara kawasan seperti ASEAN, meliputi perjanjian perdagangan, takrif cukai, sekuriti, kerjasama ketenteraan atau perkongsian teknologi.

Demi memastikan situasi menang-menang, pemimpin perlu berhati-hati dan teliti sebelum memeterai mana-mana perjanjian dengan negara luar supaya kebajikan rakyat terjamin.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang khianat.” (Surah Al-Anfaal, ayat 58)

Pemimpin politik wajib bercakap jujur terutama dalam perkara kritikal membabitkan kepercayaan rakyat kerana kredibiliti seseorang pemimpin bergantung pada kemampuannya meraih keyakinan rakyat.

Keyakinan rakyat dapat diraih melalui sifat kebolehpercayaan ditunjukkan pemimpin. Rakyat semestinya mahu meletakkan harapan mereka pada wakil rakyat yang jujur dan bercakap benar.

Oleh itu, pemimpin harus berhati-hati dalam setiap tutur kata bagi memastikan jaminan kejujuran hadir dalam setiap perkataan yang dilontarkan kepada umum.

Jika seseorang pemimpin itu bukan saja berjaya melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat, bahkan dapat menambat rasa kasih pemimpin di hati rakyat, maka balasannya adalah sangat tinggi dan setimpal di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombong diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan (kesudahan yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah Al-Qashash, ayat 83)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan