Jumaat, 18 Februari 2011

JATUH NAIK SESEBUAH NEGARA ITU KETENTUAN ALLAH...LAGI CEPAT JATUH JIKA TAK ADIL...MENINDAS...RASUAH DAN SAPU HAK@WANG RAKYAT..AKHIRAT MEREKA DIDAKWA..

Pemuda Mesir tubuh parti



KAHERAH: Kumpulan pemuda Mesir yang menggerakkan reformasi di negara itu bertindak menubuhkan parti politik baru, semalam, ketika sebuah jawatankuasa berusaha menggubal perlembagaan baru sebagai persediaan pilihan raya umum dalam tempoh enam bulan.

Majlis Tertinggi Tentera yang menguasai kerajaan selepas Hosni Mubarak tumbang kini tertekan apabila dituntut membebaskan tahanan politik.


Mereka turut mahu perintah darurat ditarik balik.

Pemimpin prodemokrasi pula bercadang mengumpulkan sehingga sejuta orang di jalan raya bagi menyertai Perarakan Kemenangan hari ini untuk meraikan penyingkiran Hosni.


Perarakan itu juga mungkin dibuat bagi memberi peringatan kepada tentera terhadap apa yang boleh mereka lakukan melalui protes jalan raya.


Sementara itu, kehidupan seharian di Mesir selepas era Hosni, 82, belum pulih sepenuhnya apabila kereta kebal masih banyak ditempatkan di jalan raya Kaherah.

Institusi kewangan pula masih ditutup, kakitangan awam terus mengadakan protes dan sekolah masih belum dibuka.


Jurucakap tentera, Jeneral Ismail Etmaan, berkata Mesir kini berdepan ujian.

“Adakah anda gembira berdemonstrasi, mogok dan membiarkan kilang dan bank terus ditutup?” katanya melalui ucapan di televisyen, malam kelmarin.


Menurut Ismail, tentera akan memulihkan keadaan Mesir tetapi ia memerlukan bantuan orang awam.


“Tentera ada cita-cita tertentu dan akan mengembalikan kuasa kepada pihak awam apabila keadaan mengizinkan,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, dua kapal perang Iran membatalkan rancangan melalui Terusan Suez, sekali gus melegakan tentera yang berdepan dengan konflik polisi jika ia diteruskan.


Cadangan Iran itu dianggap Israel sebagai ‘provokasi’ dan jika diteruskan akan membawa Mesir - sekutu rapat Tel Aviv dan Washington selama ini - ke dalam konflik diplomatik. - Reuters


Bahrain gempur Dataran Mutiara


MANAMA: Polis antirusuhan menyerbu Dataran Mutiara yang menjadi kubu penunjuk perasaan antikerajaan awal pagi semalam, sambil melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata.

Ekoran keganasan itu, kata saksi dan pembangkang, empat orang awam maut.


Menurut mereka, kadar kecederaan akibat serbuan mengejut polis kira-kira jam 3 pagi itu mencecah 95 peratus.

Saksi berkata polis menyerbu kawasan lapang itu menyebabkan ratusan penunjuk perasaan yang bermalam di bawah khemah lari bertempiaran.


Mereka kemudian terus diburu ketika helikopter polis berlegar-legar di udara.


Di Hospital Salmaniya, petugas sibuk mengendalikan mangsa cedera dibawa ambulans dan kereta persendirian sehingga tiga jam selepas serbuan bermula.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, mereka tidak ada pilihan selain menyerbu penunjuk perasaan berkenaan.


“Tindakan dibuat selepas semua peluang berdialog gagal,” katanya. - AFP


Penyokong Ali, pembangkang bertempur: 25 cedera



SANAA: Pertembungan di antara kumpulan antikerajaan dan penyokong rejim Presiden Ali Abdullah Salleh menyebabkan sekurang-kurangnya 25 cedera di Sanaa, semalam. Pihak berkuasa pula ditempatkan di bandar raya Aden bagi menghadapi kemungkinan protes besar-besaran diadakan.

Kira-kira 2,000 penunjuk perasaan - kebanyakannya mahasiswa - meninggalkan Universiti Sanaa menuju Dataran Tahrir di tengah Sanaa sebelum mereka diserbu penyokong kerajaan.


Kumpulan yang setia dengan Ali menunggu penunjuk peraasan berhampiran kawasan universiti itu sejak awal pagi dan menyerang mereka menggunakan batang kayu dan batu.

Sebaik saja aktivis pembangkang melaungkan slogan “Rakyat mahu menumbangkan rejim”, mereka dihujani batu daripada penyokong Ali.


Polis terpaksa melepaskan tembakan amaran bagi mengawal keadaan, tetapi mereka kemudian berundur dari situ apabila penyokong kerajaan terus menyerang aktivis universiti. - AFP


Penembak tepat bunuh orang awam



PUJAAN HATI...penyokong Muammar Gaddafi menyatakan sokongan kepada pemimpin Libya itu di Tripoli, semalam.
PUJAAN HATI...penyokong Muammar Gaddafi menyatakan sokongan kepada pemimpin Libya itu di Tripoli, semalam.

TRIPOLI: Sekurang-kurangnya empat terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Libya, kata pemimpin pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan, semalam.

Menjelang perarakan Hari Kemarahan yang dianjurkan aktivis siber hari ini, mereka mendakwa pasukan keselamatan Libya dan Jawatankuasa Revolusi menggunakan peluru hidup bagi memaksa penunjuk perasaan aman anjuran pergerakan pemuda al-Baida bersurai.


Pertubuhan hak asasi berpangkalan di London, Libya Watch, berkata sekurang-kurangnya empat penunjuk perasaan maut.

Pertubuhan hak asasi manusia yang berpangkalan di Geneva, Human Rights Solidarity, pula berkata penembak tepat ditempatkan di bumbung bangunan membunuh sehingga 13 penunjuk perasaan.


Berpuluh-puluh yang lain pula cedera.


Perarakan Kemarahan yang dirancang itu bakal menjadi ujian kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, 68, yang memerintah negara itu sejak 1969. - AFP


Mubarak trauma lepas digulingkan
Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Ramai orang ingin mengetahui nasib bekas diktator Mesir, Hosni Mubarak yang telah digulingkan baru-baru ini yang bermula dari laman sosial, facebook dan twitter.

Menurut berita-berita dari on-line di Eropah dan di Asia Barat sendiri bahawa Hosni Mubarak kini masih di Sham el-Sheikh, sebuah bandar peranginan di Laut Merah, Semenanjung Sinai. Keadaan kesihatannya sangat merosot dan kini dijaga rapi oleh para doktornya dengan kawalan ketat oleh tentera elite di kediamannya itu.

Diberitakan bahawa beliau masih trauma dengan peristiwa kejatuhannya di mana berjuta-juta orang berdemonstrasi di pelbagai tempat di Mesir. Dikatakan dalam keadaan sekarang bila-bila masa saja beliau boleh diterbangkan keluar negeri sama ada ke Israel, negara Arab atau ke Eropah untuk rawatan.

Tetapi nampaknya bukan ke Amerika kerana Amerika dikatakan ‘tidak mengalu-ngalukannya’. Namun, khabarnya, Mubarak mahu mati di tanah airnya sendiri.

Mubarak diterbangkan ke bandar peranginan itu bersama keluarganya setelah menyampaikan ucapan terakhirnya, di mana ia menyerahkan
kekuasaan eksekutif kepada mantan Wakil Presiden Omar Suleiman dan kini kuasa itu diambil alih oleh Majlis Tentera.

Belum pasti sama ada beliau akan menjalani rawatan di rumah sakit atau hanya dirawat di rumahnya di Sharm al-Sheikh itu.

Sumber menyatakan bahwa Mubarak telah pengsan dua kali sebelum merakamkan ucapan terakhirnya, yang disiarkan di seluruh negara.

Diberitakan, telah terjadi ketegangan di Istana Presiden sebelum Mubarak menyampaikan ucapan perletakan jawatannya. Menurut sumber on-line lagi, sepatutnya Mubarak berundur beberapa hari sebelum itu. Tetapi baru kemudian dia meletakkan jawatan.

Orang yang paling bertanggungjawab terhadap penangguhan beberapa hari Mubarak dari berhenti itu ialah Gamal Mubarak, anak kedua Mubarak.

Tentera sebenarnya sudah menyiapkan ucapan perletakan jawatan Mubarak dan beliau tinggal membacakannya. Tetapi beberapa jam sebelum pengumuman itu disiarkan di TV pukul 11 malam Jumaat waktu Mesir, Gamal mengubah isi ucapan ayahandanya beberapa kali.

Di istana itu selain Mubarak dan Gamal, ada pula Omar Suleiman, Menteri Penerangan, Anas al-Fiqqi, beberapa pegawai tinggi dan Alaa Mubarak, abang Gamal.

Di Mesir Al Akhbar melaporkan, sebelum ‘mengubah’ isi ucapan ayahnya, Gamal terlebih dulu bertengkar dengan Alaa. Pertengkaran keduanya begitu keras sehingga hampir setiap orang di dalam istana mendengarnya. Beberapa pegawai tinggi bahkan ikut campur menenangkan keduanya.

Dalam bertengkaran itu, Alaa menyalahkan Gamal yang katanya telah mendorong negara ke dalam kancah rasuah dengan membantu rakan- rakan terdekatnya masuk ke pusaran kekuasaan.

"Kamu bukan membantu ayah supaya tetap dihormati hingga akhir hidupnya, tetapi kamu memusnahkannya,” kata Alla. Bagaimanapun akhirnya Mubarak menyampaikan ucapan perletakan jawatannya.

Campur tangan Gamal di saat-saat terakhir itu tidak diketahui oleh Rumah Putih, Amerika yang beberapa jam sebelumnya sangat yakin Mubarak akan meletakkan jawatan malam itu.

Pengarah CIA, Leon Panetta bahkan memastikan Mubarak akan berhenti segera. Presiden Barack Obama memberitahu mahasiswa di Michigan bahwa "kita akan menyaksikan sejarah baru di Mesir hari ini."

Tapi beberapa jam setelah itu Obama mendengar pernyataan yang simpang siur dari Kaherah.

Langkah Mubarak untuk meletakkan jawatan malam Jumaat itu telah menyebabkan Hussein Badrawi, Setiausaha Agung Partai Demokratik Nasional, partai yang memerintah, memutuskan berhenti segera.

Dialah orang pertama yang membocorkan berita Mubarak akan berhenti malam itu. Badrawi hairan kerana ia hanya tahu beberapa jam sebelum Mubarak telah memenuhi desakan tentera agar meletakkan jabatan. Menteri Penerangan juga turut berhenti.

Sementara itu, setelah beberapa waktu lalu Ikhwan Mesir menyatakan bahwa mereka tidak akan mendirikan atau menjadi partai politik, namun berita terbaru tidak begitu jadinya.

Ikhwanul Muslimin menyatakan pada hari Isnin lalu bahawa mereka akan membentuk kelompoknya sebagai partai politik setelah perlembagaan Mesir dipinda yang membolehkannya menjadi parti politik dan bertanding.

Dalam sebuah kenyataannya, Ikhwanul Muslimin menyatakan keyakinannya bahwa Dewan Tertinggi Angkatan Tentera Mesir akan menghormati semua janji-janjinya yang dinyatakan dalam lima pernyataannya minggu lalu.

Ikhwan meminta pihak tentera mengumumkan jadual untuk meminda perlembagaan dan mengadakan pilihan raya umum baru yang bebas, disusul oleh pemilihan presiden baru. Ikhwan juga menuntut supaya dibebaskan semua tahanan politik.

Ikhwanul Muslimin, diharamkan sejak tahun 1954 hingga zaman Hosni Mubarak. Ketika demonstrasi besar-besaran di Mesir baru-baru ini Ikhwan mengambil bahagian penting dan orang-orangnya menyediakan para doktor dan makanan serta pakaian untuk para penunjuk perasaan.



Tuan Ibrahim: Produk baru pelancongan negara
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Menteri pelancongan melahirkan kebimbangan dengan tindakan Dewan Pemuda PAS melaksanakan pemeriksaan ke atas remaja yang melakukan maksiat sempena hari Valentine Day pada malam 14hb Feb lalu; di antara alasannya ialah kebimbangan tindakan ini akan mengurangkan kehadiran pelancong ke Malaysia.

Memandangkan industri pelancongan domestik berkembang dengan pesat kini, dicadangkan satu lagi produk baru industri negara iaitu pelancongan politik.

Selepas PRU ke 12, kita telah mengadakan 15 kali PRK, dengan yang ke 16 akan berlangsung di Kerdau - menyaksikan pelbagai aktiviti yang turut sama menjana ekonomi setempat; dan ini merupakan tarikan baru bagi menjana ekonomi.

Semua bersetuju bahawa budaya politik Malaysia ialah menimbunkan pelbagai projek bilamana adanya PRK; dan keadaan ini sangat menggembirakan penduduk sesuatu kawasan.

Projek yang sukar diperolehi pada waktu biasa dengan pelbagai alasan, akan dapat dengan mudah bilamana adanya PRK; bahkan pemimpin dengan bangga mengistiharkan peruntukan jutaan ringgit bagi mendapatkan sokongan pengundi pada waktu ini.

Maka tidak hairan kalau ada penduduk berdoa agar wakil rakyat di kawasannya meninggal dunia lebih awal, kerana ini akan menguntungkan penduduk di kawasan berkenaan.

Apa yang menarik juga ialah kedatangan ‘pelancong politik’ pada hari penamaan calon, hari pengundian dan hari-hari berkempen; keadaan ini tentunya akan meningkatkan pendapatan peniaga dan penduduk setempat.

Bayangkan sewa rumah untuk petugas, yang biasanya kalau kawasan Kerdau, Galas, Tenang dan Batang Ai yang hanya RM150.00-RM200 sebulan telah mencecah ke RM4,000 sebulan; maka ia benar-benar mendatangkan hasil lumayan kepada penduduk setempat.

Demikian juga industri makanan, restoran dan percetakan tentulah pendapatan mereka lebih lumayan sepanjang tempoh tersebut. Demikian juga kontraktor, pencacai politik murahan akan mendapat habuan masing-masing dari wang rakyat ini.

Di atas nama menghadapi PRK, ianya adalah ‘permit mudah’ bagi menghalalkan perbelanjaan wang negara ini. maka produk ini seharusnya ‘dikembangkan’ supaya ianya menjadi produk tetap sepanjang 5 tahun tempoh PRU.

Kerajaan boleh mencadangkan beberapa cadangan bagi suasana ini dapat berterusan sepanjang tempoh tersebut, dengan meletakan syarat kepada bakal-bakal calon dalam PRU.

Antara kategori yang boleh dicadangkan ialah:

1. Calon mesti berumur 70 tahun ke atas.

2. Mempunyai masalah kesihatan yang serius, dan yang berulang alik ke hospital digalakkan, dicadangkan ada KPI bagi jumlah rawatan diterima.

3. Mereka yang mempunyai kencing manis lebih daripada bacaan angka 20 amat digalakkan.

4. Mempunyai masalah ginjal, dan sekurang-kurangnya dua kali seminggu adalah lebih baik. Kerana setiap kali berita YB masuk hospital, akan dapat liputan media, dan ini dapat memberi peluang kepada penduduk untuk membuat persiapan awal.

5. Mempunyai masalah jantung; dan mereka yang belum menjalani pembedahan jantung digalakkan.

6. Calon yang ada bebanan hutang, kerana hal ini akan memberi peluang kepadanya untuk songlap duit rakyat, dan melakukan rasuah; lalu mahkamah menjatuhkan hukuman yang akan menghilangkan kelayakan sebagai wakil rakyat; dan PRK akan diadakan.

7. Kerajaan disarankan menerima terus mana-mana kerusi yang diistiharkan kosong oleh Speaker, kerana apa yang penting PRK akan menjana ekonomi untuk rakyat-barulah sesuai dengan slogan rakyat didahulukan.

8. Mereka yang mempunyai penyakit kulit seperti panau, kurap dan gout tidak digalakkan bertanding, kerana ianya tidak akan menjadi berita penting bagi satu-satu kawasan pilihanraya.

Seandainya cadangan tersebut dianggap terlalu ekstrem, maka dicadangkan SPR memikirkan satu kaedah baru bagi memperbaiki sistem politik di Malaysia agar rakyat lebih tenang menghadapi hari-hari mereka.




Dr Rajie Hadi: Sebuah harapan PRK Merlimau
Dr Rajie Hadi

SEORANG anak jati Merlimau di perantauan memberitahu penulis bahawa beliau turut merasakan dengung gendang pilihan raya kecil (PRK) kian hampir bergema lagi di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, Melaka. Yang menang akan dituntut melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. Setiap omong-omong kosong akan dinilai rakyat dari semasa ke semasa.

Sehubungan ini kita akan menyaksikan beberapa peruntukan dan bajet pembangunan mengejut akan mencurah-curah datang; terutamanya fenomena mahu menambat hati pengundi-pengundi bukan Melayu, pengundi-pengundi atas pagar dan pengundi-pengundi yang pandai bermain silap mata.

Apa yang kita tidak mahu, pihak yang menaburkan projek jangan terpedaya dengan kelicikan pengundi minoriti yang muncul secara tiba-tiba menangguk di air keruh. Keadilan bukanlah bermakna konsep kesamarataan tetapi keadilan hendaklah kena pada tempatnya.

Kita tidak mahu, masjid Kampung Simpang Pantai yang berusia hampir 100 tahun terbiar reput kerana dimamah usia. Kita juga tidak mahu sekolah agama rakyat yang masih berdinding kayu akan rebah menyembah bumi. Dan kita juga tidak mahu sepanjang jalan antara pekan Merlimau ke bandar Jasin keadaannya bergelap pada malam hari dan membahayakan penggunanya.

lnilah senario yang patut difokuskan dan antara permintaan penduduk Dun Merlimau untuk kesejahteraan mereka. Usahlah mewawarkan berlebih-lebihan bantuan pembinaan dan penyediaan tapak SJK Tamil yang kelak menikam diri sendiri. Walhal anak-anak kaum lndia yang sekitar ratusan sahaja; biarlah dibantu mengikut peruntukan yang sederhana berdasarkan atas keperluan.

Kita tidak mahu projek jutaan ringgit yang ditaburkan akan lebih terarah kronisme dan korupsi. Kita tahu dan sedia akur dalam apa jua PRK usaha menambat hati pengundi menjadi agenda utama. Namun kita tidak mahu umpama ‘ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan’.

Justeru adalah lebih baik kempen dan janji diberikan untuk kesejahteraan rakyat yang menghadapi beban kenaikan harga barangan, minyak dan desakan hidup. Dan berusaha memberi jaminan kepada ribuan graduan menganggur mengisi peluang-peluang pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta. Dan tidak lupa memfokuskan usaha membela nasib anak-anak Melayu/lslam dan bumiputera selaras dengan hak-hak mereka dalam Perlembagaan Persekutuan. Apatah lagi lebih 60% pengundi Merlimau terdiri pengundi Melayu/lslam.

Seperkara yang harus diingat, dalam sibuk-sibuk projek ditaburkan dan tender-tender mula dirangka, pernahkah para pemimpin Melayu/lslam Bumiputera memikirkan sejenak betapa anak-anak pribumi di menara ganding terpaksa mengikat perut kerana wang pinjaman PTPTN terpaksa ditolak dengan bayaran yuran dan sewa asrama IPT yang mahal sekarang?

Apakah ini kesan dasar penswastaan yang menolak kebajikan rakyat? Jawapannya ada di tangan rakyat. Ketahuilah bahawa dengan wang pinjaman PTPTN yang berbaki kecil itulah digunakan oleh para pelajar yang tidak berkemampuan untuk perbelanjaan makan minum dan buku-buku yang tidak mencukupi.

Apalah salahnya memberi biasiswa kepada semua pelajar bumiputera IPTA dengan beberapa syarat sebagai dorongan motivasi kerana kejayaan mereka mengangkat maruah agama dan bangsa. Pada mulanya ramai antara kita tidak percaya akan keluhan para pelajar di IPT sekarang dan menuduh mereka tidak mahu berdikari.

Tetapi apabila penulis sendiri meneliti bayaran-bayaran caj yang dikenakan oleh lPT sekarang barulah penulis akur akan penderitaan mereka. Harapan mereka walau tanpa biasiswa pun, paling kurang jika bayaran asrama dihapuskan atau diminimumkan cajnya sudah memadai. Ketahuilah anak-anak bumiputera bakal dikelilingi beban hutang dan tekanan hidup pada masa mendatang. Bahkan mereka juga menghadapi pelbagai cabaran kehidupan era ICT ini sama ada yang terpaksa diterima atau ditolak.

lnilah salah satu bahagian episod kehidupan yang tidak pernah pun disentuh dalam PRK! ltu belum lagi masalah-masalah keruntuhan akhlak anak-anak remaja Melayu-lslam. Apakah ini kerana para pemimpin kini terlalu banyak politiking. Sebenarnya banyak masalah besar lagi di hadapan kehidupan kita!

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia






Rasulullah bawa misi perubahan
Nuridah Mohd Salleh

Saban tahun umat Islam di Malaysia khususnya tidak pernah lupa untuk menyambut ulang tahun kelahiran junjungan besar Rasulullah s.a.w. Berbagai majlis sambutan diadakan di masjid-masjid dan surau-surau serta pada kebiasaannya diadakan juga upacara rasmi perarakan maulidur rasul.

Sebenarnya kita tidaklah semata-mata hanya memperingati dan merayakan kedatangan Rabiul Awal bulan kelahiran baginda. Tapi apa yang lebih penting di dalam kegairahan kita bersama-sama menyambut hari kelahiran baginda ialah iktibar dari misi perjuangannya dalam membawa manusia berhijrah dari kegelapan jahiliah kepada cahaya iman dan taqwa kepada Allah s.w.t.

Misi perubahan yang menjadi intipati perjuangan baginda adalah untuk menegakkan Islam. Islam yang telah diwahyukan oleh Allah s.w.t sesuai dengan peranan baginda sebagai Rasul - “pesuruh Allah” sepertimana yang ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya pada surah Ali Imraan: ayat 144 yang bermaksud:

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir) ?.............”

Di dalam kesempatan kita menyambut maulidur rasul ini seringkali kita terlupa atau tidak memberikan fokus terhadap misi perjuangan baginda. Misi perubahan yang unggul di dalam sejarah kemanusiaan membawa Islam sebagai ad-Deen - “a way of life” selari dengan sifatnya yang universal merentasi semua kaum dan warna kulit iaitu Islam untuk semua – “Islam for all”. Kesejagatan keadilan Islam ini terserlah jika kita menghayati dan menyelusuri sirah perjuangan baginda.

Di samping itu kita selalu mendengar puji-pujian dan laungan para peserta perarakan malidur rasul bahawa baginda adalah sebagai contoh teladan unggul bertepatan dengan firman Allah s.w.t di dalam al-Quran pada surah al-Ahzaab: ayat 21 yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (kerdhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang).”

Adalah penting terutamanya kepada pendokong dan daie gerakan Islam mengambil iktibar dari peristiwa misi awal baginda pergi berdakwah ke Taif. Sambutan yang baginda terima daripada penduduk Taif sangat mengecewakan. Bukan saja mereka tidak ambil peduli ajakan baginda untuk membuat perubahan malah baginda dihujani dengan batu-batu hingga menyebabkan baginda luka berdarah. Melihatkan keadaan baginda yang terluka itu malaikat meminta baginda agar mengizinkannya untuk membalikkan batu-batu besar agar menghempap mereka semua ke dalam bumi.

Tapi apakah yang diminta oleh baginda ketika bermunajat kepada Allah? Baginda memohon Allah memberikan hidayah kepada mereka kerana mereka masih jahil. Sikap unggul penuh kesabaran dan ketabahan serta pemaaf ini perlu kita contohi dalam misi untuk membawa perubahan.

Baginda sesekali tidak menaruh dendam malah berlapang dada menerima kejahilan mereka dan bersimpati memohon Allah memberikan hidayah petunjuk kepada mereka. Seharusnya inilah salah satu contoh teladan yang patut kita ikuti di dalam komitmen kita berjemaah baik sesama anggota jemaah mahupun kepada sasaran dakwah kita.

Sesungguhnya kalau kita bersikap membalas dendam dan tidak mengambil contoh teladan daripada Rasulullah itu, pada hakikatnya kita samalah jahil dengan mereka yang memusuhi kita. Malah misi perubahan yang kita ingin jayakan tidak akan tercapai.

Seharusnya dari penolakan yang kita terima itu kita hendaklah bermuhasabah mencari pendekatan yang lebih baik untuk memenangi hati mereka. Ingatlah sebuah hadis baginda Rasulullah yang bermaksud bahawa semua amalan itu bermula dengan niat di hati. Jika niat di hati kita penuh dengan dendam kesumat natijah yang akan kita dapat akhirnya akan memusnah kita. Tapi jika niat kita ikhlas kerana Allah maka hasil yang akan kita perolehi kelak, insya Allah akan membahagiakan kita dan semua yang berkenaan.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama beriltizam membawa misi perubahan ke arah sebuah masyarakat yang adil dan berkebajikan untuk semua dengan mengambil contoh teladan dari Rasulullah s.a.w. Marilah kita jayakan moto Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua – “Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia”.

NURIDAH MOHD SALLEH,

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat

12 Rabi'ul Awwal 1432h/15 Februari 2011


Tiada ulasan:

Catat Ulasan