Selasa, 15 Februari 2011

BUKAN SAMBUTAN SERTA MENYAYANGI MENGIKUT BULAN TETAPI ELOK SEPANJANG HAYAT KITA...DENGAN MENGAMAL SUNNAHNYA...

Insan Ulung Kekasih Allah SWT


Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Di mana apabila tibanya bulan Rabi'ulawwal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad S.A.W.

Kelahiran dan kebangkitan junjungan besar nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada manusia dan rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan dan hidup bermusuhan antara satu sama lain. Yang kuat memerintah yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah, undang-undang terletak pada pandangan nafsu dan bukannya berdasarkan wahyu sehingga hidup manusia bercelaru hilang pedoman dan tempat rujukan untuk berlindung.

Sejarah telah mencatatkan kisah perjalanan pahit maung kehidupan Rasulullah S.A.W. di dalam tugasnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia ini, baginda pernah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dipulau kaum keluarganya namun untuk meninggalkan amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwanya.

Justeru, Rasulullah S.A.W. yang diutuskan kepada umat manusia sebagai penghulu segala rasul, wajib kita sama-sama mentaatinya, dengan erti kata melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala tegahannya. Mudah-mudahan kita beroleh kecemerlangan dan kegemilangan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7:

Maksudnya : "Dan apa jua suruhan yang di bawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab siksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)".

Melalui cacatan sejarah juga kita dapati bagaimana kehidupan Rasulullulah S.A.W. yang sentiasa dijaga dan dipelihara oleh Allah S.W.T. bagi menjamin dakwahnya diterima oleh masyarakat. Walaupun baginda hidup dalam suasana masyarakat jahiliah yang sesat bertuhankan nafsu, namun baginda tidak terlibat dengan penyembahan berhala, minum arak, berjudi, malah tidak pernah berhibur dengan hiburan yang melalaikan. Begitu juga, baginda bersifat amanah sehingga digelar "al-Amin" serta sentiasa menjaga pergaulan dan percakapannya.

Baginda Raslulllah S.A.W. turut dididik dengan ujian bagi mematangkan fikiran dan tindakannya, di mana sejak kecil lagi baginda menjadi yatim piatu dengan kewafatan ayahanda dan bonda yang tercinta. Penjagaan baginda yang yatim piatu diambil alih oleh datuk kesayangannya Abdul Mutalib, tetapi Allah S.W.T. sekali lagi menguji baginda dengan kematian datuknya ketika baginda berusia lapan tahun dan penjagaan baginda berpindah kepada bapa saudaranya Abu Talib. Cuba kita bayangkan?. Bagaimana nabi yang bakal melaksanakan tugas dakwah Islam yang begitu besar dan berat telah diuji dengan kehilangan ahli keluarga ketika usianya yang masih kecil. Tetapi Allah maha penentu segala-galanya, di mana setiap sesuatu yang berlaku mempunyai hikmatnya yang tersendiri. Ujian kewafatan ahli keluarga tercinta telah mendidik baginda sebagai seorang yang cepat matang dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun, marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.

Sebagai seorang pemimpin agong baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan jauh dan akal fikiran yang tajam serta semangat juang yang tinggi, kekuatan rohani yang mendalam, tabah dan keberanian menempuh berbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita contohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Makkah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam pada hari ini hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan akal dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Ini kerana setiap umat Islam pada hari ini adalah bertanggungjawab meninggikan dan mempertahankan agama Allah.

Di antara ciri-ciri dan sikap terpuji baginda Rasulullah S.A.W. yang perlu dicontohi :

1. SEBAGAI KETUA KELUARGA YANG MULIA DAN BERTANGGUNGJAWAB.

Dalam kesibukan baginda sebagai pemimpin negara, sebagai pendakwah, ketua tentera dan pelbagai urusan lainya tetapi baginda tidak pernah melupakan soal membina keluarga yang harmoni. Bagaimana baginda menunjukkan kaedah yang berkesan untuk melahirkan sebuah rumahtangga Islam sejati yang berjaya melahirkan generasi Islam yang bertakwa. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 6 :

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

2. SEBAGAI PEMIMPIN YANG BIJAKSANA

Rasulullah S.A.W. merupakan seorang pemimpin yang ikhlas dalam memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam. Peribadi baginda yang luhur, tidak ingin dipuji, tidak mementingkan diri sendiri, tidak mementingkan kebendaan serta mengejar pangkat dalam perjuangannya. Akhirnya baginda telah berjaya membentuk peribadi, masyarakat dan negara Islam yang unggul dan terbilang.

Amat sesuai baginda menjadi contoh teladan yang paling baik. Sabda baginda :

" اِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ "

Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ".

3. MEMILIKI AKHLAK YANG SEMPURNA.

Baginda diutuskan bersama akhlak yang sempurna sebagai asas panduan kepada setiap lapisan masyarakat. Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Ahzab ayat 21 :

Maksudnya : "Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."

Seterusnya baginda terkenal dengan ketegasan dalam perjuangan mempertahan agama Allah tanpa rasa takut dan menolak sebarang bentuk tawaran keduniaan. Seandainya sifat seumpama ini dapat kita laksanakan pastinya Islam bertambah maju dan setiasa disegani kawan mahupun lawan.

Dalam membina masyarakat yang harmoni pula baginda menggariskan beberapa panduan antaranya menanamkan sifat berkasih sayang, tolong menolong, menjaga hak kejiranan dan sebagainya demi menjaga dan membentuk masyarakat sejahtera.

Inilah antara sifat-sifat dan ketabahan baginda Rasulullah S.A.W. di dalam menegakkan agama yang benar dan diredhai Allah S.W.T. Maka bersempena sambutan Maulidur Rasul yang kita sambut pada tahun ini hendaklah dilakukan dengan hati yang benar-benar insaf dan ikhlas serta berbeza dengan cara sambutan Maulidur Rasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab yang terlalu gembira menyambut kelahiran baginda dengan sanggup memerdekakan hamba kesayangannya serta menyembelih 100 ekor unta tetapi akhirnya apabila baginda menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam yang dibawa oleh baginda maka dialah orang paling keras menentang baginda sehingga kisahnya dirakamkan dalam surah al-Masad.

Oleh itu, kita perlu sedar dan insaf sambutan yang kita raikan mestilah selari dengan apa yang diucapkan, jangan kita bersungguh-sungguh memuji akhlak Rasulullah S.A.W. Tetapi akhlak remaja kita terbiar semakin hari semakin liar, tidak terkawal dan terlalu mementingkan hiburan sehingga mengabaikan tuntutan agama. Begitu juga, jangan kita hanya memuji baginda yang mengharamkan arak, judi dan riba sedangkan di sekeliling kita arak, penagihan dadah, pil khayal, ubat batuk dan segala macam yang memabukkan semakin manjadi-jadi seakan-akan tidak ada penghujungnya.

Maksudnya : "Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (arab) yang ummyyin, seorang rasul (nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaannya), dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hokum-hukum syari'at). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." ( Surah al-Jumuah ayat : 2 )

Nabi kita Muhammad SAW adalah seorang Rasul yang telah menyelesaikan segala permasalahan umat dan telah menyempurnakan amanah Allah SWT sewaktu hayat Baginda dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga kepada kita sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyah. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sekalian sesat selagi mana kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi". (Riwayat Iman Malik )

Text diambil dari Khutbah Jumaat oleh Jakim http://www.islam.gov.my/khutbah-online kata kunci Rasulullah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan