Isnin, 28 Februari 2011

BAGI YANG LAIN..JADIKAN IKTIBAR...ROMPAK HARTA RAKYAT@SALAH GUNA KUASA...LEPAS DIDUNIA...AKHIRAT SANGKUT...MAKA BERTAUBAT DAN BERTAQWALAH...

Situasi memuncak di Libya

TRIPOLI 27 Feb. - Penduduk di ibu negara Libya berkurung ketakutan di rumah hari ini ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengalihkan perhatian kepada pertumpahan darah di negara ini dengan menggesa pemimpin Libya, Muammar Gadaffi 'meletak jawatan sekarang'.

Di Misrata, bandar ketiga terbesar yang jatuh ke tangan pembangkang dalam pertempuran berdarah sepanjang beberapa hari lalu, helikopter milik rejim menembak penduduk yang berkabung di majlis pengkebumian, lapor saksi kepada AFP.

Bunyi tembakan senjata berat turut kedengaran ketika saksi menghubungi AFP memaklumkan seorang lelaki ditembak ketika mahu memasuki masjid di upacara berkabung itu dengan tembakan turut disasarkan ke bangunan stesen radio pembangkang.

Negara-negara Barat pula bertindak menutup kedutaan dan memanggil pulang kakitangan diplomatik mereka ketika Britain mengumumkan penghantaran pesawat tentera untuk memindahkan lebih 150 rakyatnya yang terperangkap di khemah-khemah di padang pasir selepas menerima kecaman berhubung usaha perpindahan.

Sementara itu, bekas Menteri Kehakiman Libya, Mustafa Abdel Jalil mengumumkan beliau sedang membentuk kerajaan peralihan untuk menggantikan rejim Gaddafi yang kini hanya menguasai beberapa kawasan barat Libya, di sekeliling ibu negara Tripoli dan beberapa kawasan kubu kuat di selatan negara ini yang kering kontang, menurut saksi.

Abdel Jalil berkata, pentadbiran baru itu akan melibatkan komander tentera biasa yang kebanyakannya beralih menyokong pembangkang dan akan membuka jalan kepada pilihan raya yang adil dan bebas dalam tempoh tiga bulan.

"Kerajaan kebangsaan kami melibatkan tentera dan orang awam. Ia akan memerintah tidak lebih daripada tiga bulan dan selepas itu pilihan raya bebas dan adil akan diadakan bagi membolehkan rakyat memilih pemimpin mereka," katanya kepada wartawan di Al-Baida, kawasan kubu kuat pembangkang.

Penunjuk perasaan setakat ini telah menguasai kebanyakan bahagian timur Libya dan semakin hampir ke ibu negara Tripoli, di mana penyokong setia Gaddafi diarahkan menembak penunjuk perasaan pada lingkungan pandangan mata, lapor saksi.

Di Tripoli, kereta kebal dan semua kenderaan dipandu oleh penyokong rejim mengawal hampir semua jalan-jalan di ibu negara itu.

Britain, AS dan Kanada telah menutup pejabat kedutaan mereka di Tripoli, manakala Perancis menggantung operasi kedutaan mereka di negara itu.

Menurut Menteri Pertahanan Britain, Liam Fox, dua pesawat pengangkut tentera, C130 Hercules telah memasuki kawasan pedalaman untuk memindahkan 150 rakyatnya yang terperangkap di selatan negara itu.

Beberapa negara asing lain turut bergelut membawa keluar rakyat masing-masing ekoran keadaan yang semakin runcing di Libya dengan disifatkan oleh mangsa yang dibawa keluar sebagai 'situasi dahsyat'.

Ramai yang dibawa keluar dari Libya menggunakan darat dengan lebih 38,000 orang dipindahkan melalui Ras Jedir, kawasan bersempadan dengan Tunisia. - AFP


Perdana Menteri Tunisia berundur


Perusuh melarikan diri semasa bertempur dengan pasukan keselamatan yang didakwa melepaskan tembakan ke udara di pusat bandar Tunis, kelmarin. - Reuters


TUNISIA 27 Feb. - Perdana Menteri Tunisia, Mohamed Ghannouchi meletakkan jawatannya hari ini, ketika keganasan sedang berlaku di negara Afrika Utara tersebut.

Ghannouchi, 69, dikritik hebat kerana kelemahan pimpinannya ketika pemerintahannya bersama presiden Zine El Abidine Ben Ali yang tersingkir daripada pemerintahan kerana kebangkitan rakyat.

Walaupun Ben Ali melarikan diri ke Arab Saudi pada 14 Januari lalu, Ghannouchi yang berkhidmat selama 11 tahun sebagai Perdana Menteri berjanji untuk tetap memerintah negara itu sehingga pilihan raya yang dijangka diadakan pada musim panas ini.

Ghannouchi mengumumkan peletakkan jawatannya di rangkaian televisyen dan radio tempatan sehari selepas empat orang penunjuk perasaan terbunuh dalam satu pertempuran dengan pihak polis.

Empat mangsa itu terkorban dalam satu pertempuran melibatkan pasukan keselamatan dan kumpulan perusuh di tengah Tunisia semalam, kata pegawai Kementerian Dalam Negara kepada Reuters.

Pegawai tersebut yang enggan dikenali menjelaskan, pertempuran itu menyebabkan 12 orang mengalami kecederaan dan ia terjadi selepas rusuhan dicetuskan penyokong setia bekas Presiden Zine al-Abidine Ben Ali.

"Seramai 100 perusuh telah ditangkap dan mereka mengaku dipaksa oleh bekas pegawai Ben Ali. Ada di antaranya memberitahu mereka dibayar untuk melancarkan rusuhan tersebut," kata pegawai itu.

Sebelum ini, seorang saksi Reuters menyaksikan tentera Tunisia melepaskan tembakan ke udara dan menggunakan gas pemedih mata untuk mengawal perusuh yang membawa kayu dan memecahkan cermin tingkap kedai berhampiran Stesen Barcelona, Tunis.

Kadar jenayah di negara Afrika Utara itu naik mendadak sejak satu pemberontakan yang menggulingkan Ben Ali tercetus 14 Januari lalu dan pegawai keselamatan sering berkata, penyokong beliau cuba untuk memporak-perandakan keadaan.

Pertempuran tersebut berlaku selepas satu protes secara besar-besaran diadakan pada malam Jumaat lalu bagi menentang pembentukan kerajaan sementara oleh Ben Ali.

Semasa protes tersebut, pasukan keselamatan bertindak melepaskan tembakan ke udara untuk mengawal perusuh yang membakar tayar dan membaling batu.. - REUTERS


Raja Hamad pecat empat menteri




MANAMA 27 Feb. - Pemerintah Bahrain, Raja Hamad al-Khalifa semalam memecat empat anggota Kabinetnya ketika pemimpin pembangkang, Hassan Mushaima (gambar) kembali dari buangan dan menggesa pemerintah negara ini menyokong pembaharuan yang akan disusuli dengan tindakan.

Ribuan penunjuk perasaan menyuarakan tuntutan mereka dengan berhimpun di bangunan kerajaan di ibu negara ini.

Dua anggota kerabat diraja adalah antara mereka yang dipecat, sebagai tindak balas kepada aduan penunjuk perasaan yang mengatakan dewan pemerintah al-Khalifa memegang terlalu banyak kuasa.

Perdana Menteri Bahrain, Khalifah ibn Sulman al-Khalifah yang merupakan bapa saudara kepada Raja Hamad yang telah berkuasa selama lebih empat dekad dan menjadi sasaran penunjuk perasaan menuntut pembaharuan, bagaimanapun masih kekal memegang jawatan itu.

Kepulangan Mushaima, pemimpin senior yang kembali ke Bahrain selepas hidup dalam buangan, mungkin akan mencetuskan fasa baru pergerakan antikerajaan.

Mushaima yang sebelum ini dituduh berkomplot menggulingkan pemerintahan negara, menggesa kerajaan supaya lebih responsif dengan tuntutan penunjuk perasaan. - REUTERS


Tripoli terima tekanan hebat

NEW YORK - Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin mengecam tindakan Gaddafi menyerang penunjuk perasaan di Libya dan mengarahkan siasatan jenayah perang dimulakan.

Selain itu, Eropah merangka usul sekatan ekonomi ke atas keluarga Gaddafi untuk dipertimbang di Majlis Keselamatan PBB, semalam.

Usul itu turut menggesa sekatan penjualan senjata kepada Libya dan menuntut Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyiasat jenayah kemanusiaan di negara bergolak itu.

Dalam perkembangan sama, Amerika Syarikat (AS) menutup kedutaannya di Tripoli kelmarin selain membekukan aset milik Gaddafi.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) turut mempertimbang peranan yang boleh diambil dalam keganasan di Libya dan sedang menunggu kebenaran PBB untuk menguatkuasakan zon larangan terbang bagi menghalang Tripoli menggunakan pesawat pejuang untuk menyerang penunjuk perasaan.

Sehingga kini, tiada tanda-tanda Gaddafi akan tunduk kepada tekanan antarabangsa sebaliknya beliau berjanji akan terus memerintah dan bersedia mati di bumi Libya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan