Jumaat, 28 Januari 2011

YANG MEMERHATI ALLAH DAN 2 MALAIKAT PENCATIT...JANGAN DOUBLE STANDARD@TAK ADIL...KERJA DAN BERPARTI NIAT KERANA ALLAH SAJA..JIKA INGIN SELAMAT....

Laporan CNN lambang ketakutan Najib - Anwar
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Laporan Cable News Network (CNN) yang bertajuk “Saudis discover new funding channels for Taliban, al Qaeda” memperlihatkan ketakutan Datuk Seri Najib Razak untuk berhadapan Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum yang akan datang.

Demikian kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut Anwar, laporan CNN yang baru sahaja beredar beberapa jam lalu menyebut antara lainnya, Presiden Umno itu menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada Kerajaan Arab Saudi kerana terdapat dua Putera Arab Saudi yang menyokong dan membiayai beliau untuk Pilihanraya Umum yang akan datang.

Katanya, laporan ini menyerlahkan ketakutan serta rekayasa Najib untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat yang setiap hari berusaha membina dokongan rakyat terhadap usaha mereka demi menyelamatkan Malaysia dari segala kepincangan yang disebabkan oleh kelemahan mentadbir pimpinan negara serta ketirisan akibat dari rasuah yang semakin membarah.

Kehadiran Buku Jingga (gambar kanan), sebuah dokumen yang mengandungi hasrat serta saranan Pakatan Rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari terus parah akibat kerakusan dan ketidakcekapan pimpinan Umno-BN, memunculkan rasa takut Najib, tegas Anwar.

Katanya, Najib sedar dokumen tersebut mendobrak ilusi upaya pemulihan yang didendangkan Umno-BN kepada rakyat.

Presiden Umno itu pastinya tahu rakyat tidak akan menerima bulat-bulat pengumuman demi pengumuman yang digarap semata-mata memenuhi maksud iklan, dakwa beliau.

"Ketakutan ini malah membuat beliau enggan berdebat secara terbuka berkenaan kedudukan ekonomi negara dengan saya. Malah, Perdana Menteri tidak segan silu menyerang saya secara peribadi sedangkan hasrat debat terbuka itu semata-mata mahu menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat Malaysia.

"Saya tidaklah terkejut sekiranya Perdana Menteri sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmah saya.

"Mereka sebenarnya sudah mula merasai angin Perubahan yang bakal melanda. Mereka sedar rakyat Malaysia sudah mulai mual dengan segala macam kebobrokan. Kepimpinan Umno-BN sebenarnya fobia dengan kemaraan rakyat," kata Anwar lagi.



Kesihatan suami: Normala seru tanya doktor
Harakahdaily

LABIS, 28 Jan: Calon PAS bagi PRK Tenang, Normala Sudirman mahu semua pihak merujuk kepada doktor yang mengeluarkan cuti sakit kepada suaminya, sebelum membuat sebarang spekulasi.

Menurutnya, jawapan dari doktor berkenaan adalah lebih wajar kerana hanya doktor tersebut sahaja mengetahui kenapa suaminya Maarof Abdul Mutalib wajar diberi cuti.

"Saya rasa lebih baik media bertemu doktor yang mengeluarkan surat, kerana sebagai doktor dia lebih profesional dan tahu kenapa surat dikeluarkan kepada pesakitnya," katanya pada sidang media PAS di Tenang hari ini.

Beliau membuat gesaan demikian sebagai menjawab laporan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia hari ini yang memaparkan tajuk 'Suami Normala sakit kritikal?'.

Laporan itu mempersoalkan status kesihatan Maarof kerana mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini.

Selain akhbar, beberapa blog turut mempersoalkan status Maarof kerana bercuti cuti sakit yang panjang.

Malah sijil sakit itu juga disiarkan di sebuah blog berkenaan dan laporannya membayangkan Maarof sedang berdepan masalah kesihatan yang serius.

Laporan tersebut juga menjadikan persoalan sekitar status kesihatan suaminya itu menjadi fokus utama soalan wartawan, apatah lagi Maarof tiada bersama Normala pada kempen pagi tadi.

Bagaimanapun menurut Normala, suaminya terpaksa menyelesaikan satu tugas lain dan tidak dapat menemaninya pada kempen hari ini.

Tambah Normala, gambaran 'terlantar' yang diberikan media berhubung status kesihatan suaminya juga adalah tidak tepat.

"Istilah sakit itu bukan terlantar, kita dah jelaskan pagi tadi oleh pihak operasi...Media lebih baik tanya doktor," ulangnya lagi setelah diaju bertubi-tubi wartawan.

"Setakat ini keadaannya ok insyaAllah, emosinya stabil dan ok.

Sepanjang pengetahuannya kata Normala, suaminya itu seorang yang jarang mengambil cuti, selain kerap menghantar pelajar bermain hoki pada setiap Sabtu dan Ahad.

Sehubungan itu katanya, apa yang dilaporkan media hanya spekulasi dan berharap media melaporkan dengan tepat.


Awas, Suhakam perhati anda di Tenang
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan memantau Pilihanraya Kecil DUN N-5 Tenang yang akan diadakan pada 30 Januari 2010.

Sehubungan dengan itu Kaunter Aduan Bergerak Suhakam akan beroperasi pada hari Ahad, 30 Januari 2010 di perkarangan Terminal bas dan teksi Labis, 85300 Labis, Segamat, Johor.

Demikian kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan medianya kepada Harakahdaily.

Objektif utama Kaunter Aduan Bergerak Suhakam adalah untuk memberi pendedahan mengenai hak asasi manusia dan memastikan proses pilihan raya kali ini menghormati hak pengundian sejagat terutama sekali dalam kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, berpersatuan, akses kepada maklumat dan hak kepada keselamatan berhubungkait dengan pilihanraya.

"Antara pihak yang akan dipantau termasuklah badan-badan berkuasa, media serta parti-parti politik yang terlibat.

"Kaunter Aduan Bergerak Suhakam boleh dihubungi untuk sebarang aduan tentang kes pencabulan hak asasi manusia berhubungkait dengan Pilihanraya Kecil DUN N-5 Tenang," katanya.

KAUNTER ADUAN BERGERAK SUHAKAM (SUHAKAM@TENANG)
E-mel: complaints@suhakam.org.my
Tel: Encik Muhammad Sha'ani Abdullah 013 3363647
Encik Megat Adzwan Shah 010 2917021


Ustaz Hadi, Anwar di wacana Muqasid Syariah Ahad ini

Harakahdaily

SHAH ALAM, 28 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Dr Siddiq Fadzil akan menyertai wacana Maqasid Syariah dan Masyarakat Majmuk Ahad, 30 Januari ini.

Wacana untuk memperkasakan fikrah rakyat ini akan diadakan di Auditorium Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
(SUK) Selangor di Shah Alam, Selangor.

Program ini akan di fasilitatorkan oleh Dr Mohd Nor Manuty, Ketua Penerangan PKR akan diadakan dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari.

Media dijemput membuat liputan majlis ini.



Arahan polis dan SPR mahu selamatkan BN

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 28 Jan: Arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada parti politik khususnya Pakatan Rakyat sewaktu berkempen di Dun Tenang lebih bersifat "menyelamatkan BN".

Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim berkata, tindakan pihak polis menghalang pengguna kenderaan mengibarkan bendera parti pada kenderaan mereka seolah-olah dipengaruhi oleh pihak tertentu.

Namun katanya, pada masa yang sama SPR membenarkan baju mempunyai logo 1Malaysia dipakai di tempat mengundi.

"Polis mengeluarkan arahan supaya semua kenderaan berhenti mengibar bendera parti pada kenderaan yang disifatkan seperti berkempen tanpa permit.

"Saya berasa hairan dan ajaib kerana dalam masa yang sama SPR mengesahkan sekali lagi lagi bahawa lambang 1Malaysia pada baju dibenarkan dipakai di tempat mengundi.

"Nampaknya kedua agensi ini saling mengeluarkan arahan yang menampakkan satu langkah untuk menyelamatkan BN," katanya yang juga Pengerusi Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Khalil turut mempersoal arahan pihak polis itu kerana pengguna jalan raya berhak meletakkan apa-apa bendera pada kenderaan kerana mereka membayar cukai jalan.

"Saya persoalkan kenapa kenderaan persendirian tidak dibenarkan meletakkan bendera di keretanya sedangkan mereka sudah membayar cukai jalan dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, polis hanya mengeluarkan arahan demikian pada musim pilihan raya umum dan pilihan raya kecil sahaja namun membiarkan keadaan itu berlaku pada musim perayaan yang lain seperti sambutan hari kemerdekaan dan sebagainya.

"Apakah yang salah dan menganggu kententeraman awam kalau kenderaan pasang bendera dan apa lagi ianya bermusim masa pru dan prk sahaja," katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Abdul Majid Mohd Ali mengeluarkan arahan kepada parti-parti politik agar mendapatkan permit terlebih dahulu untuk berkempen dan menyifatkan perbuatan mengibarkan bendera sebagai salah kerana tidak mempunyai permit.




Nik Aziz kuliah Dhuha di Tenang
Gambar Wan Zahari

LABIS, 28 Jan: Orang ramai khasnya para petugas PAS dan Pakatan Rakyat memenuhi Dataran Wayang Pacak, Labis pagi ini untuk mendengar Kuliah Dhuha yang diberikan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

Biasanya di pagi Jumaat ini, Nik Aziz memberikan kuliah di Dataran Ilmu di perkarangan Bangunan PAS Kelantan, dekat Kota Bharu.

Namun hari ini sempena dengan kempen pilihan raya kecil Tenang, Nik Aziz memberikan kuliahnya di sini.

Nik Aziz sudah tiga hari berada di Tenang selepas tiba sejak dua hari lepas.

Malam ini beliau dijangka akan bersama Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng dijangka memberikan ucapan di Ceramah Perdana di depan Dataran Wayang Pacak ini.

Ini adalah ceramah umum terakhir menjelang hari pengundian pilihan raya kecil ini Ahad ini.



Biasiswa JPA: Yang tidak berjaya dibiarkan sahaja
Dr Rajiee Hadi

BERHUBUNG pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada kakitangan kerajaan yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah lanjutan (master, PhD, diploma lanjutan dan seumpamanya)sama ada di dalam negeri mahupun di luar negara kebiasaannya memperoleh Cuti Belajar Bergaji Penuh dengan Hadiah Latihan Biasiswa Persekutuan). Mereka yang berjaya biasanya juga memperoleh prestasi cemerlang dalam sistem pemarkahan prestasi PTK dan SKT dengan mamperoleh mata agreget yang tinggi dan sokongan daripada pelbagai pihak.

Dalam erti kata yang lain mereka adalah dikatakan penjawat awam cemerlang. Namun isu mereka yang sambung belajar sepenuh masa cuti bergaji penuh dan hadiah biasiswa latihan di peringkat ijazah lanjutan yang tidak berjaya meraih ijazah atau gelar sarjana atau kedoktoran bukan isu baru,Bahkan isu ini telah berlaku lebih 10 tahun lalu.

Justeru, sama ada mereka gagal atau berjaya itu adalah persoalan mereka. Soalnya, yang menjadi isu pokok pada zaman ini adalah persoalan menggunakan wang rakyat.Kita sedia ketahui berapa ramai di luar kepompong mereka ada ratusan bahkan ribuan penjawat-penjawat awam yang serius dan komited mahu menimba ilmu di peringkat sarjana dan PhD terpaksa belajar separuh masa menggunakan wang saku sendiri bahkan terpaksa menjual aset dan bergolok gadai, berderai air mata. Kita tidak mahu ada pegawai-pegawai kerajaan yang sambung belajar di UK atau USA atau di mana-mana luar negara disindir dengan kata-kata study on leave ke holiday on leave?

Sebenarnya penjawat kumpulan professional kerajaan hanya memerlukan minimum kelayakan akademik asas yang diambil kira ialah setakat ijazah pertama dengan kepujian untuk dilantik perkhidmatan awam kerajaan.

Oleh itu mereka yang memiliki iazah lanjutan cuma dianggap satu bonus atau kelebihan. Apatah lagi biasiswa tersebut disebut ‘Hadiah Biasiswa Persekutuan’ atau dengan nama dan jenama lain mungkin dianggap 'tidak wajib berjaya'.

Walau bagaimanapun bagi mereka yang berkhidmat sebagai tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi, ijazah lanjutan adalah suatu keperluan utama. Kebiasaannya ditawarkan oleh JPA atau disalurkan di bawah mana-mana kementerian terutama Kementerian Pelajaran, Kemeneterian Pengajian Tinggi, IPTA, Kementerian Pertanian, Kementerian Belia & Sukan dan lain-lain lagi.

Yang kita tidak mahu, ada sesetengah mereka belajar sekerat jalan dan tidak tamat. Alangkah rugi dan membazirnya wang rakyat dan peluang anak-anak kita yang baru menjejak kaki ke menara gading di peringkat ijazah pertama yang terpaksa berhutang sana sini jika wang rakyat yang digunakan itu dipersia-siakan.

Kegagalan penjawat awam yang cuti belajar sepenuh masa dengan hadiah biasiswa meraih ijazah lanjutan bukanlah suatu rahsia. Tetapi sehingga kini tidak ada sesiapa mempersoalkannya. Apakah dengan mengenakan tindakan denda ganti rugi atau caj biasiswa bertukar menjadi pinjaman atau dikenakan tindakan tatatertib maka penjawat-penjawat ini boleh dijamin berjaya?

Kepada mereka, janganlah dikhianati amanah dan wang rakyat. Baik yang belajar di luar negara atau dalam negeri, rebutlah peluang menimba ilmu dengan jayanya. Jangan kita sering dengar mereka berjaya membawa Mercedes Benz dengan APnya tetapi senyap-senyap membisu apabila ditanya apakah ijazah master atau PhD yang dirangkulnya… lngat, ini wang rakyat, hasil cukai daripada rakyat!

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan