Rabu, 19 Januari 2011

MASING2 NAK JADI PEMIMPIN....INGAT! DI AKHIRAT ALLAH AKAN TANYA AKAN KEPIMPINAN KITA...JIKA GAGAL...MASUK NERAKA...

Parti dirasmi: KITA tidak lagi berseorangan
Regina Lee
Jan 19, 11
11:03am


Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang diterajui Datuk Zaid Ibrahim dirasmikan pagi ini dengan dibarisi nama-nama terkenal daripada pelbagai parti.

NONEAntara mereka termasuk ahli parlimen Padang Serai dari PKR, N Gobalakrishnan dan presiden PPP Datuk M Kayveas. Selain itu perwakilan daripada Snap dan bekas pemimpin PKR yang lain termasuk bekas setiausahanya, Datuk Salahuddin Hashim dan bekas timbalan setiausahanya yang dipecat P Jenapala juga hadir.

"Kita tidak lagi berseorangan," kata Zaid dalam ucapan perasmiannya.

Beliau yang juga bekas ahli majlis tertinggi PKR meninggalkan parti itu dengan alasan tidak berpuas hati dengan cara pemilihan kepimpinan.

Zaid mengambil kepimpinan sebuah parti kecil yang berpangkalan di Kelantan, Akim sebelum menamakannya semula sebagai KITA pada mesyuarat agung luar biasa parti berkenaan pada Disember lalu.


Teo Nie Ching terima nota ugutan
Nazri Abdullah

KAJANG, 19 Jan: Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching tengah hari ini akan membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Kajang selepas menerima sepucuk surat ugutan terhadapnya.

Pembantu peribadinya, Chen Fan Dao yang dihubungi Harakahdaily memberitahu, seorang kakitangan yang bertugas di pejabat DAP cawangan Kajang Baru menemui seekor ayam yang dipenuhi darah digantung pada pintu masuk pejabat mereka.

Ayam tersebut diletakkan bersama sekeping nota yang dilekatkan pada pintu tersebut bertulis 'Ingat, ini satu peringatan Teo Nie Ching! Tentera Jihad'.

"Kita jumpa benda itu lebih kurang jam 8.30 pagi ini.

"Darah masih lagi keluar dari ayam ini, dan kita rasa ia baru disembelih," katanya.

Ekoran itu, beliau bersama Teo akan membuat laporan polis berhubung perkara itu jam 11.30 pagi ini.

Teo Nie Ching sebelum ini pernah menjadi sasaran kecaman oleh akhbar Utusan yang mendakwa beliau memakai baju kebaya ketat dan tidak memakai tudung ketika hadir di sebuah surau di Kajang Ogos tahun lalu.

Manakala serangan kedua pula pada Disember lalu apabila Teo sekali lagi didakwa tidak menutup aurat ketika menyertai senamrobik anjuran sebuah masjid di Cheras.




Malaysia bankrap jika laksana program Buku Jingga?
Harakahdaily

Dalam laporan berita Utusan Malaysia bertarikh 13 Jan 2011, Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin berkata bahawa Program 100 Hari Pakatan Rakyat akan hanya menghancurkan ekonomi negara kerana tidak menyumbang sebarang kebaikan terhadap pertumbuhan ekonomi.[1]

Kritikan beliau berasaskan tiga perkara, iaitu: 1) Program tersebut semata-mata bersifat agihan dan tiada usaha untuk mencambah ekonomi; 2) Subsidi dberikan secara besar-besaran sehingga mengalami hutang yang besar seperti Greek dan Itali; serta 3) Menyerahkan pengurusan ekonomi kepada kerajaan dan menolak sektor swasta.

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) telah membuat perbandingan terperinci dengan mendalami Buku Jingga Pakatan Rakyat untuk meneliti kritikan-kritikan tersebut. Secara kesimpulannya, KPRU berpendapat bahawa ketiga-tiga hujah yang menjadi asas kritikan ISIS adalah songsang dan tidak berasas.

Program 100 Hari Pakatan Rakyat bersifat agihan


Berdasarkan Buku Jingga yang bertajuk Agenda Pakatan: Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan, dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan dalam Dasar Bersama.[2]

Program 100 Hari Pakatan Rakyat hanya merupakan permulaan kepada reformasi tersebut yang berasaskan Dasar Bersama. Dasar-dasar pertumbuhan ekonomi yang lebih luas disebut dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang menyentuh ekonomi berprestasi tinggi, berkemahiran tinggi, ekonomi telus, desentralisasi dan pengupayaan pengurusan ekonomi negeri, tenaga kerja dan lain-lain.[3]

Maka Program 100 Hari Pakatan Rakyat merupakan program konkrit yang bakal (atau mula) dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas Pakatan Rakyat mendapat mandat rakyat, dan sebab itu adalah kurang adil jika program 100 hari didakwa bersifat agihan dan tidak mengutamakan perkembangan ekonomi. Sebagai sebuah badan pemikiran bersejarah, ISIS seharusnya memahami bahawa dasar pertumbuhan memerlukan pembaharuan dan transformasi berbentuk struktur yang berjangka panjang, malah program 100 hari adalah sekadar permulaan kepada agenda reformasi ekonomi politik Pakatan Rakyat.

Malaysia akan muflis jika melaksanakan Program Pakatan Rakyat

Kedua, ISIS juga menuduh bahawa dalam Program 100 Hari Pakatan Rakyat, subsidi dberikan secara besar-besaran sehingga Malaysia mengalami hutang yang besar seperti Greek dan Itali. Untuk membuat perbandingan, nisbah hutang isi rumah dan hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Greek, Itali dan Malaysia telah diberikan seperti yang berikut:



Definasi bankrupsi bagi sesebuah kerajaan adalah apabila hutang kerajaan tersebut telah melepasi KDNK (nisbah melebihi 100%) dan tidak mampu menjelaskan hutang bon. Greek berada dalam risiko bankrupsi apabila pemegang bon bimbang bahawa kerajaannya tidak dapat menjelaskan hutang bon bernilai AS$23 bilion yang matang pada April dan Mei 2010.

Situasi Malaysia jauh berbeza berbanding dengan situasi Greek. Hutang kerajaan Malaysia berada pada paras 53.7%, manakala hutang Greek dan Itali mencecah 126.8% dan 116% masing-masing. Penambahan RM19.2 bilion ataupun 3.68% daripada KDNK tersebut tidak akan mengakibatkan Malaysia muflis.

Lagipun, punca utama krisis hutang Greek adalah disebabkan korupsi dan rasuah, yang mana juga diperakui oleh Perdana Menterinya George Papandreou. Dalam Indeks Persepsi Rasuah, kedudukan Greek adalah pada tangga ke-78, lebih teruk daripada Malaysia yang menduduki tangga ke-56.[10]

Maka kita boleh menyatakan bahawa, walaupun tadbir urus dan pengurusan kewangan kerajaan Malaysia adalah semakin teruk, tetapi adalah kurang bertanggungjawab jika kita membuat kesimpulan secara tergesa-gesa bahawa Malaysia akan muflis jika melaksanakan pakej 100-hari tersebut yang hanya akan membelanjakan RM19.2 bilion. Lebih-lebih lagi, seperti apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen UMNO Johor Bahru Datuk Seri Shahrir Abdul Samad, kerajaan BN masih gagal menjelaskan ketirisan dan kebocoran berjumlah RM28 bilion yang berlaku dalam perbelanjaan kerajaan.[11] Jika RM28 bilion ketirisan ini dapat dijimatkan, kerajaan masih dapat menikmati lebihan sebanyak RM8.8 bilion selepas pelaksanaan Program 100 Hari Pakatan Rakyat,

Menyerahkan pengurusan ekonomi kepada kerajaan dan menolak sektor swasta


Menyentuh kritikan ISIS terakhir bahawa Dasar Pakatan Rakyat menyerahkan pengurusan ekonomi kepada kerajaan dan menolak sektor swasta, KPRU berpendapat bahawa sebenarnya Dasar Bersama Pakatan Rakyat amat mengutamakan daya saing negara, malah juga bertekad merancakkan pelaburan tempatan dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta menggamit pelaburan asing langsung yang berterusan agar menjadikan ekonomi Malaysia berdaya maju.[12]

Apa yang ditolak dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat adalah penswastaan yang membebankan rakyat, struktur subsidi yang menguntungkan kroni dan korporat besar, sistem tender yang tidak adil, telus dan terbuka, serta sistem cukai yang regresif. Maka Pakatan Rakyat bukan menyerahkan segala pengurusan ekonomi kepada kerajaan tetapi sekadar mengembalikan peranan kerajaan yang sebenar (reinstate the role of the government) sementara merombak semula sistem sedia ada yang mengekang pertumbuhan sektor swasta.

KESIMPULAN

KPRU berpendapat bahawa ISIS harus mengkaji Dasar Bersama dan juga Program 100 Hari Pakatan Rakyat secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum membawa hujah dan membentangkan kenyataannya. Adalah amat tidak bertanggungjawab bagi sebuah badan pemikiran yang berwibawa membuat dakwaan secara suka hati dan tidak berasaskan fakta dan analisa konteks program tersebut.


[1]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_09.htm

[2] Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, 2011, m.s 17

[3] http://www.keadilanrakyat.org/images/stories/webimg/docs/Dasar-PakatanRakyat.pdf

[4] http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/9/8/business/6994480&sec=business

[5] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/government-debt-in-2009-more-than-50pc-of-gdp-says-audit/

[6] http://www.investmentandbusinessnews.co.uk/headline/portugal-ireland-debts-wages-house-prices/

[7] http://www.bloomberg.com/news/2010-12-08/italy-budget-adds-political-risk-to-debt-woes-for-berlusconi-euro-credit.html

[8]http://www.google.com/publicdata?ds=jnhjj7mtl7cmt_&met=gd_pc_gdp&idim=eu_country:IT&dl=en&hl=en&q=italy+government+debt

[9] Kenyataan Akhbar DSAI, ”Pakatan Hanya Perlukan RM19 bilion untuk Rakyat”, 11 Jan 2011

[10] http://www.transparency.org/policy_research/surveys_indices/cpi/2010/results

[11] http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/polisi-awam/129-kerajaan-gagal-jelaskan-ketirisan-rm28-bilion

[12] Dasar Bersama Pakatan Rakyat, 2009, m.s 9

**Disediakan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)



Fan Yew Teng kawan PAS
Subky Latif

PADA malam 5 Januari 2011 lalu saya hadir dalam satu majlis khas memperingati mendiang Fan Yew Teng anjuran DAP pusat di Dewan YMCA Kuala Lumpur.

Penasihat DAP Lim Kit Siang, Dr. Chen Man Hin, Pengerusi DAP Karpal Singh antara yang hadir. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menjadi orang pertama dari sebaris orang kenamaan kenalan mendiang Fan memulakan kata-kata kenangan terhadapnya sebagai seorang perwira negara terbilang yang hidupnya amat sederhana.

Fan meninggal dalam usia 68 tahun di Bangkok awal Desember lalu kerana mengidap sejenis penyakit kenser. Dia adalah seorang pimpinan muda DAP sejak awal menjadi MP termuda pada tahun 1969 seangkatan dengan Lim Kit Siang, Lee Lam Thye yang sudah tidak ada dalam DAP dan Goh Hock Guan, Setiausaha Agung DAP yang kedua yang juga hilang dari politik.

Entah mengapa Fan yang pernah memangku Setiausaha Agung DAP semasa Lim Kit Siang ditahan di bawah ISA telah terpisah dari DAP menyertai beberapa NGO menentang perang Amerika dan imperialis di mana-mana di dunia. Dia membela semua orang yang tertindas dari setiap agama dan bangsa.

Tetapi hujung 90an dia kembali ke dalam DAP dan mati sebagai seorang DAP.

Saya adalah antara orang PAS yang dijemput untuk memberi kata-kata penghormatan kepada Fan kerana saya kenal dia sejak dia mula menjadi Ahli Parlimen.

Saya kenal Fan sebagai antara orang Cina yang menjadi kawan kepada PAS sejak orang bukan Melayu masih takut kepada PAS dan dia muncul di majlis PAS ketika PAS menghadapi kesukaran untuk memperkenalkan PAS kepada masyarakat bukan Islam.

Kemudian apabila PAS memperkenalkan sisipan bahagian Inggeris Harakah, maka Fan menjadi kolomnis yang setia. Sehingga setahun lalu tulisannya tidak ada lagi dan saya tidak tahu mengapa. Saya tidak tahu tentang keuzurannya. Saya tahu dia pulang menghadapi Tuhan apabila membaca tulisan Lit Kit Siang mengenanginya di Harakah.

Usaha awal PAS untuk mendekati masyarakat bukan Islam awal tahun 80an, Fan sudah tidak ada dalam DAP. PAS Wilayah Persekutuan menganjurkan beberapa seminar mengenai Islam dan perundangannya di Dewan Bahasa dan Pustaka di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur Fan sering hadir sebagai pembentang kertas kerja dan peserta yang aktif.

Ketika itu PAS pantang bertemu dengan DAP. Sebarang kerjasama PAS dan DAP amat sensitif. PAS amat takut menemui DAP kerana ia akan menjadi momokan besar Umno yang sukar dipatahkan. Bahkan DAP pula tidak berani mendekati PAS kerana ia akan menjadi modal besar MCA yang menyulitkan DAP.

Maka Fan Yew Tenglah orang yang berani hadir ke tengah orang PAS. Sejak itu saya menyarankan untuk berbincang dengan DAP. Kedau-duanya tidak bersedia. Yang bersedia ialah Fan yang memimpin sebuah parti kecil serpihan DAP yang dikenali SDP.

Saya bertemunya beberapa kali di Ipoh bagi mengadakan persefahaman pilihan raya menjelang PRU 1986. Selepas itu dia tidak meneruskan politik partinya itu tetapi tetap cergas dalam NGO menentang kezaliman.

Ada yang memberitahu saya Fan mempelajari banyak aspek kemurnian Islam terutama keadilannya. Dalam ucapan dan tulisannya selalu memetik aspek keadilan Islam sebagai mana yang acap dibuat oleh pimpinan muda DAP sekarang termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Sehingga ada yang menyangka Fan mungkin menganut Islam dan ramai yang mengenalinya mengharapkan dia bertukar agama.

Tetapi kami tidak dapat mengubah kepercayaan seseorang. Hanya Allah yang berkuasa berbuat demikian.

Pada PAS kalau Fan tidak boleh menjadi Islam, kita sudah cukup gembira dia menjadi kawan kepada orang Islam dengan menjadi seorang yang cenderung dan berfikiran Islam. Adalah satu rahmat kalau semua Malaysia boleh menjadi Islam. Tetapi ia suatu yang tidak dapat difikirkan. Kita sudah bersyukur kalau rakyat seperti Fan menjadi kawan kepada Islam sebagai rakyat yang berfikiran Islam di samping mempunyai pegangan agama sendiri.

Fan adalah rakan yang memulakan kecenderungan itu dan sekarang orang bukan Islam yang menjadi kawan kepada PAS berada di mana-mana dalam masyakat kita. Orang yang menjadi kawan PAS itu adalah kawan Islam.

Muafakat berkawan antara PAS dan DAP yang payah dipecah oleh musuh politik mereka sekarang adalah satu sambutan menggalakkan yang dimulakan dengan penglibatan Fan lebih 20 tahun dulu.

Penampilan awal Fan itu dapat saya kira sebagai penampilan DAP menjadi kawan PAS yang setia. Maka pemergian Fan dalam suasana PAS dan DAP sedang meningkatkan setiakawannya adalah satu kehilangan yang besar.


Mustafa sertai forum di PWTC

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali akan menyertai forum "Cabaran Kepimpinan Melayu di Masa Depan" di PWTC, 12 Februari ini.

Turut serta menjadi penal bersama beliau adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad manakala moderatornya adalah Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Forum yang dianjurkan oleh Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi (Aspirasi) diadakan sempena dengan Simposium Dilema Melayu. Ucaputama program ini akan diberikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Forum yang akan disertai oleh Mustafa ini akan diadakan pada jam 5 - 7 petang di Dewan Merdeka, PWTC. Menurut sumber, orang ramai dijemput menyertainya namun tempat duduk adalah terhad.



500 lot tanah hasil perjuangan Anak
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Peruntukan RM8.5 juta untuk 500 lot tanah oleh Felda kepada generasi kedua Felda Johor yang diumum Datuk Najib Tun Razak semalam adalah hasil perjuangan Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), kata Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad.

Katanya, dengan desakan berterusan yang dibuat Anak yang dipengerusikan Mazlan Aliman, akhirnya peneroka kini mandapat hak mereka semula.

"PAS mengucap tahniah kepada perjuangan Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang dipimpin oleh Saudara Mazlan Aliman Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang telah berjaya menampakkan hasil.

PAS ujanya turut memanjat kesyukuran kepada Allah kerana tuntutan untuk rakyat sudah di ambil berat oleh Perdana Menteri.

Namun beliau yakin, pengumuman terbaru Najib itu dibuat kerana takutkan sokongan masyarakat Felda amat menggalakkan kepada Pakatan Rakyat, ditambah dengan janji 100 hari Pakatan Rakyat yang akan menghapuskan Felda Plantation yang dianggap tidak adil kepada peneroka.

"PAS yakin stok penimbal Umno di Felda semakin reput, sebab itu tindakan Datuk Najib meluluskan projek di Tenang.

"Mungkin inilah risikan yang telah sampai kepada beliau, jika tidak generasi kedua akan beralih sokongan," telahnya.

Bagaimanapun katanya, adalah tidak adil jika pemberian tersebut hanya diberi kepada peneroka Felda di Johor sahaja sedangkan terdapat 317 rancangan dengan bilangan 900,000 peneroka di seluruh negara.

"Tidak adillah jika peneroka Johor sahaja yang dapat, kebetulan ada pilihnaraya kecil Tenang, bagaimana pula nasib peneroka yang tidak ada pilihanraya kecil," katanya.

Walau bagaimana pun tambahnya, PAS yakin peneroka sudah celik maklumat, terutama generasi muda Felda setelah setengah abad hak mereka dinafikan oleh kerajaan BN.

"Sekarang baru kerajaan sedar untuk cakna kepada peneroka kerana BN tidak lagi boleh berada di zon selesa hasil daripada perjuangan Anak di bawah kendalian PAS," katanya.



Najib tiada modal kritik Buku Jingga
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Keengganan Datuk Seri Najib Razak berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu janji 100 hari Pakatan Rakyat, menunjukkan perdana menteri itu sebenarnya tiada modal untuk mengkritik tawaran tersebut.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata, tawaran yang dikemukakan Pakatan Rakyat sebenarnya sangat bertanggungjawab dan telus sehingga pemimpin Umno takut untuk menerima kenyataan.

Beliau berkata demikian pada forum 100 hari Pakatan Rakyat malam tadi yang turut membidas keengganan Khairy menyertai forum tersebut.

"Sebab kenapa Najib dan kenapa Khairy tak ada di sini malam ini kerana mereka tidak mungkin boleh menolak hujah dan fakta yang telah kita berikan. Kalau Najib ada jawapan dah lama beliau buat debat terbuka dan siar di televisyen.

"Tapi sebab beliau tak ada jawapan, hari ini bila ditanya sekali lagi kenapa beliau mengelak dari berdebat yang dijawabnya adalah serangan peribadi , sebab Anwar itu bersalah, ada kes mahkamah, masalah lompat parti dalam PKR. Apa kena mengena lompat parti dengan pemberian subsidi? soalnya sinis.

Selain Rafizi, Forum anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat dan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan itu turut disertai dua lagi ahli panel iaitu Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.

Dr. Dzulkefly dalam hujahnya mendakwa program 100 hari Pakatan Rakyat bukan sekadar angan-angan kosong namun disertai dengan formula dan perkiraan yang tepat untuk dilaksanakan.

Beliau yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS berkata, Pakatan Rakyat sebelum ini telah membuktikan mereka berjaya menggunakan hasil negeri untuk kebajikan rakyat.

"Yang kami kemukakan dalam buku jingga itu bukan satu cita-cita yang melangit, sebabnya kami telah lakukan sejak tiga tahun sejak kami mentadbir negeri Selangor, Pulau Pinang dan lain-lain," katanya.

"Apabila kami bentangkan buku jingga, tak ada cara lain mereka (Umno) boleh takutkan rakyat kecuali mengungkapkan kata-kata keramat bahawa negara akan bankrap kalau Pakatan memerintah termasuk kalau kita berikan RM500 kepada setiap guru di negara ini," katanya lagi.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga berkata, semua negara ketika ini sedang berhadapan dengan "peperangan mengatasi hutang dunia".

Malaysia yang menanggung hutang kira-kira RM362.69 bilion juga tegasnya tidak terlepas daripada menghadapi peperangan itu dan menyebabkan kerajaan cukup takut untuk memberikan subsidi kepada rakyat.

"Perdana Menteri mengingatkan rakyat bahawa kalau rakyat diberikan subsidi RM19 bilion setahun, maka negara akan bankrap.

"Kalau sebelum 8 Mac 2008 bolehlah gunakan kaedah menakut-nakutkan rakyat kerana rakyat belum berapa celik maklumat tapi hari ini dengan politik baru, rakyat sudah diperkasakan dan dimerdekakan dengan maklumat dalam media baru," katanya.

Tony Pua pula berkata, melalui Program 100 Hari Pakatan Rakyat, negara boleh mengambil alih konsensi lebuh raya tanpa menyebabkan negara bankrap.

“Mereka (BN) kata pengambilan ambil alih lebuh raya akan memufliskan negara tapi tidak sebaliknya kita boleh membantu rakyat," kata Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Pakatan Rakyat menggariskan 10 perkara asas dalam Program 100 mereka jika diberi mandat memerintah Malaysia.

Perkara tersebut adalah:

1. Mereformasikan institusi penting negara seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan;
2. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA);
3. Mengarahkan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol;
4. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat;
5. Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap guru sebagai penghargaan kepada mereka;
6. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan;
7. Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar;
8. Membatalkan Felda Plantations bagi membuka ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga FELDA;
9. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20 peratus;
10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan