Khamis, 27 Januari 2011

BIAR MENANG DENGAN BERMARUAH...SEBAB BERMARUAH ATAU TAK...AKHIR JADI BAHAN SEJARAH....CUCU CICIT MENILAI KITA DIHARI KEMUDIAN....

Tuah salam Cikgu Mala
Ahmad Lutfi Othman

Memang sudah dijangka. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Presidennya, Dr Chua Soi Lek sudah memulakannya, lama sebelum diisytiharkan pilihan raya kecil di Tenang. Dalam suasana pemimpin Umno lain dilihat tidak senang duduk dengan Anwar Ibrahim dan asyik menyerang hebat KeADILan, Soi Lek memilih PAS sebagai sasaran utamanya.

Dengan nada "berlapek", ahli politik yang pernah popular dengan penyebaran meluas video seksnya itu, seperti "mengangkat dan memuji" PAS, tetapi semuanya berhelah dan sarat dengan motif politik. Berulang kali Soi Lek menegaskan PAS akan menjadi peneraju utama Pakatan Rakyat (dan bukannya KeADILan) serta mempunyai ahli yang berdisiplin serta struktur organisasi lebih kemas.

Tidak dinafikan kebenaran "sanjungan" Soi Lek, namun segalanya bertujuan bagi menjarakkan pengundi Cina dengan Pakatan, atas jangkaan masyarakat Tionghua mudah digertak dengan imej palsu PAS yang akan direka-reka nanti. Dan tanpa menunggu lama, rakyat dapat melihat, bukan sahaja Soi Lek, malah anak beliau, yang menggantikannya sebagai Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong, turut memperalatkan taktik kotor yang "mudah dibaca" itu, dengan melakukan fitnah dan pembohongan mengenai isu penjualan arak terhadap calon PAS di Tenang.

Begitulah, MCA -- rakan karib Umno, yang mula membentuk Perikatan dan kini terus menjadi tunjang dalam Barisan Nasional -- berfikiran dangkal dan cetek jangkauan politiknya. Mereka terus bermimpi bahawa pengundi Cina masih senang dikelirukan dengan tohmahan tidak berasas terhadap PAS. Sedangkan zaman pengundi dapat diadu-domba dengan "DAP yang pekat rasis Cina" dan "PAS yang fanatik dan ekstrim Islam" sudah pun berlalu.

Seolah-olah apabila dikaitkan PAS dengan agenda politik Islam, maka masyarakat Cina, tanpa berfikir panjang, secara automatik akan lari menjauhkan diri daripada parti Islam itu. "Politik label" yang ketinggalan zaman cuba dipakejkan dalam bentuk baru di Tenang tetapi majoriti rakyat Malaysia -- bukan sahaja pengundi Tinghua -- yang lebih bermaklumat terdedah dengan elemen politik baru, hanya mentertawakan golongan desparado itu.

Isu perkauman dan memperalatkan sentimen sempit agama, meskipun nampak masih berkesan untuk melakukan provokasi dan meraihkan sokongan, tetapi sebenarnya sedang perlahan-lahan meninggalkan pentas sejarah. Rakyat semakin terbuka dan bijak menilai. Generasi baru khususnya tidak lagi terikat dan terkongkong dengan bebanan masa lampau yang memetak-metakkan mereka atas nama kaum.

Pimpinan MCA yang cukup kecewa dengan prestasi terburuk parti itu dalam pilihan raya umum 2008, melihat Tenang sebagai peluang untuk bangkit semula, sekali gus dapat menyekat momentum luar biasa Pakatan bagi membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan dalam PRU13. Kesempatan itu dirasakan lebih signifikan apabila yang yang bertanding adalah calon PAS.


Walhal PAS telah melalui pelbagai fasa yang melonjakkannya sebagai parti yang paling terdedah dengan kepelbagaian dan keunikan pengalaman politik. PAS bukan lagi parti yang mudah disisihkan dengan dakwaan kosong yang "dikitar semula", malah merupakan "pemain utama" yang semakin disegani kawan dan lawan. Kehadiran PAS dalam kompleksiti masyarakat majmuk dirasai keberkesanannya. Saya tidak fikir Soi Lek gagal untuk mengikuti perkembangan PAS itu.

Bermula "isu salam" calon PAS, Cikgu Normala Sudirman, ternyata MCA terjebak dengan perangkap sendiri. Umno pun turut terpalit apabila cuba untuk mengintai keuntungan politik jangka pendek daripadanya. Lagak Umno (baca kemunafikan) -- tentu bersama Utusan Malaysia -- yang seolah-olah mahu menjadi wira agama dalam beberapa kes di negeri-negeri Pakatan, terutama Selangor (Adun wanita DAP masuk surau dan kawasan masjid) dan Pulau Pinang (berdoa untuk bukan Islam dan perarakan Maulid), terserlah kejanggalannya.

Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin seperti sudah menerima tempias dan bahananya. Eksploitasi ketertiban Cikgu Mala menjaga adab Islam ketika bersalam diakui bakal menikam balik Umno-BN.

Muhyiddin cepat-cepat mahu mengurangkan risiko politik apabila Umno diserang kerana gagal memberi kefahaman tentang hal-hal asas Islam kepada sekutunya, MCA. Beliau tidak mahu isu ini dipanjangkan kerana "ada perkara yang lebih pokok yang patut BN lakukan". Tambahnya, "BN tidak mahu eksploitasi soal-soal begitu." Sedangkan peringatan yang sama disuarakan lebih lebih awal oleh pemimpin PAS sendiri. Pilihan raya adalah medan menguji isu-isu lebih serius, kritikal dan mendasar.

Ternyata PAS tidak keseorangan. Bukan sahaja tokoh-tokoh Islam seperti mufti dan NGO Muslim mempertahankan Cikgu Mala, malah rakan-rakan PAS dalam Pakatan turut memahami isu yang sengaja diputar-belitkan itu. Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo menempelak tindakan Soi Lek yang membangkitkan isu bersalam, sekali gus mempertahankan tindakan Cikgu Mala yang bertindak menurut ajaran Islam. Lebih buruk, gelagat isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor pula yang terheret dalam pidato pemimpin Pakatan. Ia masih berlegar sekitar isu wanita, 'kan?

Tinjauan Malaysiakini di bandar Labis Tengah dan Tenang Station mendapati hampir semua yang ditemui berpendapat MCA tidak seharusnya memainkan isu berjabat tangan itu kerana ia melibatkan agama calon. Mereka lebih mementing prestasi kedua-dua calon. Malah ada yang berpendapat, mereka menyokong MCA di peringkat parlimen (Labis), tetapi menyokong pembangkang di peringkat Dun (Bekok dan Tenang), bagi mewujudkan "semak dan imbang".

Apa pun, bagi saya, pengalaman PAS berdepan serangan MCA ini cukup bermanfaat untuk ditekuninya menjelang PRU13 nanti. Kecenderungan pengundi Melayu di kawasan Felda dan negeri Johor umumnya juga menarik untuk diteliti.



Apa pengundi Tenang mahu?
Subky Latif
KEMPEN Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, Johor antara Cikgu Normala Sudirman dari PAS dengan ADO ‘Tok Ai’ Azahar Ibrahim dari BN bermula dengan parti yang bertahan mendakwa pencabarnya, PAS menabur dan menyebar fitnah serta menyerang peribadi calon.

Mengepalai dakwaan itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri. Ia dikut oleh semua termasuk calon Tok Ai.

Kempen BN itu bermula dengan giar empat, sedang PAS baru giar satu.

Fitnah adalah asing bagi PAS. Tetapi sebelum wujud arena media baru – Facebook dan laman sesawang, Umno sudah pesat dengan sebaran surat layang. Dari kempen pemilihan cawangan hingga ke Majlis Tertinggi orang ramai menerima surat layang yang sesarat-saratnya yang sarat dengan fitnah dan serangan peribadi.

Ia budaya Umno dan orang Umno mahir dengan teknologi itu.

Tidak mustahil tektik itu diguna bagi memerangkap PAS supaya PAS habis masa untuk menjawabnya hingga terabai kerja kempen yang lain.

Dari laporan media arus perdana yang tentunya memihak kempen BN, semua telah ada. Segala yang dinamakan pembangunan telah memenuhi semua penjuru DUN Tenang dan Parlimen Labis. Tidak lagi yang tidak maju di kawasan-kawasan Felda di situ.

Apabila semua telah ada, apa lagi yang pengundi Tenang mahu? Jika Cikgu Mala menang tidak banyak lagi kekurangan hingga PRU 13 nanti. Jika Tok Ai menang, tidak banyak lagi yang hendak ditambah menjelang PRU 13 nanti kerana semuanya telah ada.

Maka apa lagi yang dimahu oleh rakyat?

Apa yang baru yang rakyat Tenang mahu ialah perubahan. Dalam PRU 12, Mac 8, 2008 dulu hampir separuh pengundi yang mengundi mahukan perubahan. Kebanyakan yang tidak mengundi dipercayai mahukan perubahan.

Hanya orang Melayu dalam Umno tidak mahukan perubahan. Yang di luar Umno mahukan perubahan. Pengundi Cina amat positif dengan perubahan. Yang tidak jadi pengundi tentu berkongsi pendirian dengan pengundi Cina itu.

Kemahuan kepada perubahan itu amat ketara di kalangan pengundi India. Hatta Samy Vellu dan orang nombor duanya di Hulu Selangor tewas bersama calon MIC yang lain. Semua calon pembangkang yang bertanding dengan MIC kecundang.

Kejayaan agen perubahan itu tidak cukup untuk membawa perubahan disebabkan ia hanya dapat mengurangkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Ia belum dapat majoriti. Di negeri-negeri yang Pakatan kuasai tidak dapat melakukan perubahan total kerana cengkaman kerajaan pusat masih menyengat.

Laporan odit negara memberi kredit kepada perubahan di negeri-negeri Pakatan. Cuma media arus perdana tidak mengakui perubahan itu sudah bermula.

Apakah rakyat masih mahukan perubahan yang belum sepenuhnya dicapai itu?

Tanda-tanda menunjukkan kemahuan mahukan perubahan di kalangan orang Melayu sama kuat dengan yang berpuas hati dengan keadaan yang ada. Tidak berubahpun tidak mengapa asal bersama Umno. Pengundi-pengundi Cina bersabar menunggu perubahan. Sekalipun ia tidak dapat dicapai sepenuhnya sebelum ini, tetapi ia tidak berputus asa untuk mencuba lagi.

Tetapi apa yang berlaku di PRK Bagan Pinang dan di Hulu Selangor menunjukkan pengundi India mulai berubah balik ke belakang. Samy Vellu sendiri sanggup melepaskan pimpinan MIC asal pengundi India kembali menyokong Barisan Nasional.

Malah Perdana Menteri Najib sendiri bersedia untuk memberi apa saja kepada pengundi India bagi menghalang perubahan menyeluruh yang dituntut oleh rakyat.

Jika pengundi India mahu balik ke belakang, apa sebenarnya yang dikehendaki oleh pengundi India dalam pilihan kecil dan pilihan raya umum? Adakah pengundi India mahu apa yang masyarakat India boleh dapat saja atau ia mahu melihat perubahan total yang dihendaki oleh rakyat secara menyeluruh?

Tahun 2008 dulu pengundi India adalah bersama sekalian yang mahukan perubahan. Perubahan itu ialah mendapatkan kehidupan yang lebih baik melalui pemerintahan yang adil, memecahkan kebuntuan perkauman yang membelenggu penduduk, memerangi rasuah dan membasmikan penyelewengan, menyekat amalan boros dan pembaziran; meletakkan polis, SPR, kehakiman termasuk Jabatan Peguam Negara di landasan yang betul.

Adalah wajar pengundi India bertanya apa yang masyarakat India boleh dapat dari perkembangan politik yang ada? Dan sememangnya wajar bagi semua kaum bertanya apa yang kaum masing-masing boleh dapat dari sebuah pilihan raya.

Adalah mustahak sekolah-sekolah Tamil dapat bangunan baru dengan peralatan lengkap dan prasana yang sentiasa terurus. Tetapi ia tidak sama dengan tuntutan membebaskan perkhidmatan polis, mahkamah, jabatan penguam negara, SPRM dan lain-lain dari belenggu kebekuan yang mematikan ruh profesionalismanya.

Belenggu itu menjadikan rakyat, negara dan jenteranya beku, mundur dan hamba.

Memang semuanya sudah ada dalam negara sekarang tetapi keadaan sama seperti rakyat Hong Kong di bawah British. Mereka tidak ada kedaulatan, kebebasan dan kemerdekaan untuk menentukan nasib sendiri. Mereka mahu maruah dan kedaulatan.

Kita ada semua tetapi kita mahukan perubahan supaya kita ada maruah dan kedaulatan. Perubahan itu perlu dituntut oleh semua seperti menuntut kemerdekaan dulu. Ia bukan dituntut oleh orang Melayu saja. Ia ikut dituntut bersama oleh Cina dan India. Perubahan tidak berlaku kalau sekadar dituntut oleh Cina dan Melayu. Penyertaan India perlu seperti yang ditunjukkan tahun 2008 dulu.

Pengundi India di Tenang ada peranan bagi meneruskan perubahan yang sudah dimula itu. Mereka perlu ditanya apakah mereka mahukan perubahan untuk semua? Balik ke zaman sebelum 2008, bererti mengekalkan rasuah, penyelewengan, pembaziran, perkauman, penindasan dan tiada perubahan.

Menuntut perubahan seperti menuntut kemerdekaan semula, mesti dituntut bersama Melayu, Cina, India dan lain-lain.



Laksanakan 'PAS Ganti Umno' di Tenang

Suhaimi Mokhtar *

PAS ganti Umno, satu slogan yang progresif, merangsang pembakaran semangat dan daya juang yang perlu dikekalkan momentumnya kerana ia mampu menukar lanskap politik tanahair dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.

Slogan yang sarat dengan erti perjuangan ini perlu digilap dan diperbaharui sepanjang masa bagi merealisasikannya menjadi realiti dan tidak tinggal menjadi slogan semata-mata. Penghayatan, dukungan dan komitmen seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong PAS mampu nanti memberi inspirasi kepada rakyat, khususnya pengundi terutama generasi muda, antaranya yang mengundi buat pertama kalinya dalam pilihanraya ke-13 ini.

Mulakan perjuangan untuk merealisasikan slogan keramat ini dalam pilihanraya kecil Tenang. Suatu kejutan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai dan paling kurang majoriti Umno-BN dikubu kuat mereka akan mengecil yang memberi petanda dan isyarat bahawa perubahan besar sedang melanda politik negara.

PAS memang tepat dan wajar mengganti Umno kerana persaingan politik di negara ini sejak pilihanraya pertama 1955 sebelum merdeka lagi ialah antara PAS dan Umno. Pada pilihanraya pra-merdeka pada 1955 untuk memilih 52 orang anggota Majlis Perundangan Persekutuan, PAS ketika itu mampu meraih satu kerusi sahaja.

Tetapi dalam pilihanraya-pilihanraya seterusnya, pada 1959 dan seterusnya, PAS telah membuat kehadirannya dirasakan dan memberi saingan hebat, walaupun mengalami jatuh-bangun dalam perjuangan politik tanahair selama demokrasi melalui pilihanraya diperkenalkan dinegara ini.

Jatuh bangun PAS dalam pilihanraya ada hubungannya dengan persempadanan semula kawasan pilihanraya yang dibenarkan oleh perlembagaan setiap sepuluh tahun sekali di samping kecacatan dan penyelewengan dalam pengundian yang tidakpun dimonitor oleh mana-mana pihak bebas.

PAS mempunyai segala kekuatan untuk mengganti Umno sebagai wadah perjuangan yang bersifat masa. PAS memiliki sifat perjuangan yang lebih releven kerana mengasaskan perjuangan pada Islam.

Setelah lebih 53 tahun Umno memerintah dan menerajui negara maka kini adalah masanya untuk mengubah lankskap politik negara. Berdasarkan pencapaian PAS dan pembangkang dalam Pakatan Rakyat dalam pilihanraya ke-12, maka momentum untuk perubahan dalam pilihanraya ke-13 dijangka
berlaku.

Keputusan-keputusan dalam pilihanraya kecil juga menggambarkan petanda yang baik untuk Pakatan Rakyat menerajui pemerintahan negara selepas pilihanraya ke-13, walaupun ada diantara pilihanraya-pilihanraya kecil turut dimenangi oleh Umno-BN.

Lebih baik bagi Pakatan Rakyat ke Putrajaya, tampuk pentadbiran Kerajaan Pusat, dengan mandat rakyat dalam pilihanraya dari mengharapkan berlaku lompatan parti dari anggota-anggota parti komponan BN untuk menyeberangi ke pihak pembangkang.

Apa yang perlu dilakukan oleh PAS dan parti sekutunya, DAP dan PKR sekarang ialah memperkukuhkan teraju kerajaan negeri yang dikuasai oleh ketiga-tiga parti itu. Rakyat sedang menilai performance pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri di bawah pakatan dan membandingkannya dengan performance kerajaan negeri di bawah Umno-BN. Dalam konteks ini Umno-BN mempunyai kelebihan kerana menguasai Kerajaan Pusat.

Kerajaan Pusat membentuk kerajaan dalam kerajaan di peringkat negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dengan menyalurkan peruntukan-peruntukan projek tertentu melalui jabatan dan agensi pusat di peringkat negeri. Kecualilah grant untuk negeri yang perlu dibayar oleh pusat sebagaimana yang digariskan oleh perlembagaan dalam sistem federalism.

Kerajaan Pusat mengamalkan sikap bermusuh dengan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang dengan sering menggunakan kuasanya yang tidak mengikut perlembagaan sebagai membalas dendam terhadap pengundi yang mengundi pembangkang. Ini dapat dilihat apabila hak kerajaan negeri yang telah ditentukan dan dimeterai, seperti royalti petrol tidak diagihkan kepada kerajaan negeri.

Ketika PAS menguasai Kerajaan Negeri Terengganu pada 1999 hingga 2004, royalti minyak Terengganu ditarik-balik dan ditukar menjadi wang ihsan dengan menyalurkannya melalui jabatan pusat. Kini hak royalti kerajaan Negeri Kelantan juga disekat. Sikap zalim ini akan menerima padahnya nanti.

Penyalahgunaan kuasa keterlaluan yang dilakukan oleh Umno-BN bertujuan untuk mengekalkan kuasanya yang terus terhakis dan paling buruk ialah pada pilihanraya lalu, apabila Umno-BN kehilangan majoriti dua pertiganya diparlimen yang digarapnya setiap kali pilihanraya sebelumnya. Keupayaan
Umno-BN mengekalkan kuasanya juga kerana kerusi-kerusi yang dimenanginya di Sabah dan Sarawak dan sebagai membalasnya pimpinan Umno melantik ramai pemimpin-pemimpin dari kedua negeri itu dalam pimpinan Kerajaan Pusat.

Umno menggunakan slogan ‘Umno dulu, kini dan selamanya’ bagi mengekalkan kuasa. Tetapi Umno tidak mampu mengekalkan kuasa selamanya dan tanda-tanda kearah itu mulai jelas seperti yang ditunjukkan dalam pilihanraya lalu. Peratus undi popular Umno-BN merudum turun ketahap paling rendah dalam pilihanraya lalu.

Umno-BN bagi mengekalkan kuasa akan mengunakan pelbagai cara yang tidak demokratik dan kerana itu pilihanraya akan datang memerlukan kehadiran pemerhati luar yang bebas bagi menyelia pilihanraya yang dianggap paling kritikal dalam sejarah pilihanraya di negara ini.

Parti pemerintah akan melihat bagaimana keputusn pilihanraya Tenang dan beberapa pilihanraya kecil lain yang menunggu bagi menentukan bila pilihanraya umum hendak diadakan. Pillihanraya Dewan Negeri Sarawak akan memberi isyarat kepada Umno-BN bagi menentukan bilakah pilihanraya umum hendak diadakan, sama ada sebelum tamat tempoh penggal parlimen ini pada 2013 atau lebih awal dari itu.

PAS perlu menambah kerusi kemenangan bagi menggantikan Umno dan PAS mampu melakukannya jika pilihanraya diadakan dengan telus tanpa penyelewengan dan di padang yang sama rata.

Umno-BN telah memerintah terlalu lama menjadikan polisi Umno sudah tidak releven dan tidak semasa dengan kehendak dan inspirasi rakyat terutama genarasi baru yang terpelajar, celik alam siber dan tidak lagi bergantung kepada maklumat tradisi akhbar-akhbar yang dikuasai dan dikongkong oleh kerajaan.

PAS berupaya mengganti Umno kerana sandaran perjuangannya berlandaskan Islam yang mempunyai potensi matlamat yang lebih jauh dan diri berbanding dengan perjuangan Umno-BN yang perkauman dan berpuak-puak mengikut kaum masing-masing.

Perjuangan PAS buat pertama kalinya telah diterima sebagai perjuangan yang melampaui sempadan kaum apabila orang-orang bukan Islam mengundi calon-calon PAS. Calon-calon PAS perlu menunjukkan peribadi Islam yang adil dan saksama dan ciri-ciri inilah yang menagih simpati pengundi bukan Islam
untuk mengundi PAS.

Orang-orang bukan Islam membandingkan keikhlasan dan peribadi pimpinan Umno dan PAS dan ternyata mereka lebih tertarik dengan cara hidup dua orang tok guru yang mencerminkan kepimpinan PAS keseluruhannya, yang membawa cara hidup sederhana dan tawaduk.

Seluruh jentera pilihanraya PAS perlu digembelingkan dari sekarang untuk memenuhi hasrat yang terkandung dalam slogan ‘PAS ganti Umno’.
------------------
Penulis adalah bekas Timbalan Ketua Pengarang kumpulan Utusan Melayu. Beliau pernah menjadi Setiausaha Akhbar Presiden PAS dan Ketua Pengarang Harakah.


Tolak debat: Ahmad Maslan takut berdepan peneroka
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Mazlan Aliman menyifatkan penolakan debat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan sebagai tidak berani bertanggungjawab kepada peneroka.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, Ahmad sepatutnya berani jika yakin kerajaan dan Felda tidak membuat sesuatu yang mengainaya peneroka.

"Jika selama ini dia kata dia bantu peneroka, dia menuduh Anak dan Pakatan Rakyat pemecah belah. Habis tu kenapa dia tolak," katanya kepada Harakahdaily sambil menyelar Ahmad sebagai penakut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penolakan Ahmad untuk berdebat dengan beliau.

Ahmad hari ini menolak cabaran Mazlan untuk berdebat mengenai masalah yang dihadapi oleh peneroka Felda.

Sebaliknya, beliau mengemukakan cabaran kepada Mazlan untuk berdialog secara tertutup bersama beliau dan pegawai Felda dengan harapan dapat menyelesaikan 20 perkara yang dibangkitkan oleh Presiden Anak itu.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga Timbalan Pengarah Jentera Operasi Pilihan Raya PAS bagi PRK Tenang tetap dengan keputusan mengajak Ahmad berdebat dan memberi masa sampai esok kepada Ahmad.

"Kalau dia nak ajak dialog tertutup, tak payah la saya susah-susah cabar debat. Saya ada nombor telefon dia, sembang kedai kopi pun boleh," katanya.

Namun jelasnya, tujuan lebih besar cabaran debat terbuka tersebut adalah mahu rakyat khususnya peneroka mendengar sendiri penjelasan Ahmad, dan boleh bertanya terus tentang masalah yang dihadapi peneroka.

"Saya tunggu sampai esok, kalau dia tak terima juga, maknanya dia pengecut dan perlu letak jawatan.

"Rakyat tak perlu timbalan menteri yang takut berdepan dengan rakyat sendiri," katanya.

Anak sebelum ini menyerahkan 20 perkara itu kepada Ahmad Maslan pada November tahun lalu yang mana antara lainnya melibatkan isu peneroka yang disingkir, isu hutang dengan Felda sehingga mencecah RM80,000 dalam masa tujuh tahun, dan masalah pembahagian pusaka oleh generasi kedua Felda.

NGO tersebut kemudiannya menghantar surat tawaran kedua kepada Ahmad Maslan semalam untuk berdebat mengenai isu tersebut.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan