Jumaat, 24 Disember 2010

KETERBUKAAN.TELUS..ADIL DAN JAUH DARI DOUBLE STANDARD.TAK MENZALIMI.TAK MENGAMBIL HAQ ORG SECARA BATIL...MENIPU...RASUAH DLL...RAKYAT LA NI BIJAK

PAS: Tun Ibrahim, pahlawan dan negarawan
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 23 Dis: PAS mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen (B) Tun Ibrahim Ismail, 88, yang meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini awal pagi tadi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemergian Allahyarham Tun Ibrahim satu kehilangan besar buat negara dan jasanya akan sentiasa dikenang dan dihargai.

"Allahyarham banyak berjasa kepada negara khususnya dalam bidang pertahanan.

"Beliau di zaman hayatnya juga banyak menyelesaikan konflik antara negara.

"PAS akan mengenang Allahyarham sebagai pahlawan dan negarawan," katanya lagi.

Allahyarham difahamkan, menghembus nafas terakhir pada 4.40 pagi tadi.

Jenazah beliau telah dibawa ke rumahnya di No 22, Villa Sang Suria, Jalan Mesra off Jalan Damai Kelab Aman di sini sebelum dibawa ke Masjid Negara untuk dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Asar.

"Saya mewakili PAS menyeru seluruh pimpinan dan ahli PAS yang berada di Lembah Klang agar ke masjid negara untuk solat jenazah," katanya.

Allahyarham sebelum ini dirawat di hospital berkenaan kerana sakit tua, sejak tiga bulan lepas.

Anak kelahiran Johor Baharu ini yang asalnya merupakan Pegawai Kadet dalam pasukan Askar Timbalan Setia Johor merupakan Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang ketiga.

Pada 30 Nov 1977, beliau menamatkan perkhidmatan setelah 36 tahun berkhidmat sebagai tentera dan sekaligus menamatkan perkhidmatan selama tujuh tahun sebagai PAT.

Sepanjang menjadi PAT, beliau dikatakan banyak mengatur kerjasama dengan negara-negara jiran bagi membanteras ancaman komunis.

Allahyarham pernah berkhidmat di dalam pasukan Force 136 sekitar 1940-an bagi menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Dalam pada itu, orang ramai boleh menziarahi dan memberi penghormatan terakhir terhadap Ibrahim di Dewan Syarahan Utama Masjid Negara mulai 3 petang ini.

Menurut kenyataan Masjid Negara, solat jenazah akan diadakan sejurus selepas solat Asar manakala upacara pengebumian akan disempurnakan di Makam Pahlawan selepas itu


Akta JPJ: Mohon pada Agong jalan terakhir
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Pakatan Rakyat hari ini memohon Yang di-Pertuan Agong menangguhkan kelulusan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang diluluskan Dewan Negara baru-baru ini.

Permohonan itu dibuat dalam memorandum yang diserahkan kepada Tuanku melalui Setiausaha Sulit Kanan, Datuk Mohd Zuki Ali pagi tadi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, memorandum itu merupakan jalan terakhir setelah usaha mereka menghalang kelulusan rang undang-undang itu sehingga ke peringkat Dewan Negara tidak berhasil.

"Tidak ada jalan lain lagi, jalan terakhir memohon kepada Tuanku sahaja. Saya sudah hantar surat kepada Dewan Negara minta ia ditolak, tapi diluluskan juga," kata beliau kepada pemberita selepas penyerahan itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena juga memohon Tuanku menitahkan rang undang-undang berkenaan dibahas semula di Parlimen kerana ianya dibuat secara tergesa-gesa.

"Jadi kita pohon Tuanku mengambil perhatian terhadap perkara ini kerana ini melibatkan kepentingan rakyat, bukan isu politik.

"Saya sedia bertemu Tuanku memberi penjelasan lanjut bersama pegawai undang-undang kita", kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase).

Tidak selesai masalah

Menurut Mahfuz juga, pindaan-pindaan terhadap akta ini hanya bersifat teknikal dan bertujuan memperkenalkan sistem penguatkuasaan automatik (Automated Enforcement System-AES).

Beliau mempersoal tindakan kerajaan memberikan kontrak kepada dua syarikat iaitu Beta Tegap Sdn. Bhd. dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd sebelum rang undang-undang itu diluluskan.

"Timbalan Menteri menyatakan letter of award belum dikeluarkan tetapi letter of intent telah diberikan sedangkan pindaan rang undang-undang belum diluluskan, nampaknya Kementerian telah mendahului Parlimen dalam hal ini," katanya.

Pindaan ini juga didakwa tidak menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit seperti masalah kemalangan maut yang semakin meningkat, masalah senarai hitam pemilik kenderaan dan juga masalah saman ekor.

"Persoalannya bagaimana kedudukan saman-saman ekor yang dikuatkuasakan sebelum pindaan ini kerana imej yang dirakam yang digunakan sebelum pindaan tidak boleh diguna di mahkamah," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai pengkhianatan kepada rakyat.

"Sekarang ini saman pun nak diswastakan. Ini satu pengkhianatan kepada rakyat. Rakyat sudah terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, bila diswastakan saman, ianya satu tindakan yang membebankan rakyat.

"Sudah pasti syarikat yang diberi kontrak ini mahukan keuntungan sebab dia akan dapat habuan untuk setiap saman yang dikeluarkan," katanya.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pula berkata, kerajaan tidak memikirkan kesan jangka panjang terhadap sesuatu rang undang-undang yang diluluskan.

"Penswastaan JPJ ini satu konsep yang salah. Umno BN hanya memikirkan kepentingan mereka dan menguntungkan sesetengah pihak. Pengurusan kerajaan tidak bijak dan tidak mengkaji kesan jangka panjang sebaliknya membuat sesuatu secara tergesa-tergesa.Itulah BN," katanya.

Dalam pada itu, ahli jawatankuasa Kase , Taufek Abdul Ghani memberitahu, Kase akan bermesyuarat pada 27 Disember ini untuk merangka tindakan seterusnya bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat berkenaan perkara ini.

Turut mengingiringi Mahfuz ialah bendahari PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai dan AJK PAS Pusat, Taib Azamuddin yang juga ahli Parlimen Baling selain dua peguam Kase


Umno BN tak faham masalah peneroka
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyeru warga Felda menolak Umno yang jelas gagal memahami masalah peneroka.

Katanya, sikap elit pemimpin Umno yang tidak mahu turun padang menyelami masalah peneroka namun mendabik dada sebagai pembela rakyat, hanya mempamerkan mentaliti murahan mereka.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa cadangan Pakatan Rakyat untuk membahagikan semua tanah rancangan Felda kepada anak peneroka hanya sekadar gimik politik.

"Itulah dia mentaliti murahan pemimpin Umno. Oleh kerana mereka menjadi pemimpin elit mereka tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di bawah.

"Oleh kerana dia jarang turun padang dia gagal untuk menghayati kehendak rakyat. Untuk pengetahuan Ahmad Maslan dan pemimpin-pemimpin Umno, antara isu kritikal yang telah melanda generasi kedua dan ketiga Felda ialah soal kediaman," katanya.

Jelasnya, isu penempatan generasi kedua dan ketiga Felda sewajarnya dapat diselesaikan Umno BN sejak dari dahulu lagi memandangkan Felda ditubuhkan sebelum merdeka lagi.

"Sepatutnya soal kediaman ini telah ditangani lama oleh mereka sebab felda ini telah wujud sejak tahun 1956. Hari ini jumlah peneroka asal semakin berkurangan dan generasi kedua dan ketiga yang duduk di tanah rancangan Felda, dan mereka tidak punya tempat tinggal sebab rumah yang didiami itu adalah rumah pusaka.

"Apabila mereka ada ramai adik beradik mereka jadi berbalah kerana memikirkan soal kediaman dan kediaman itu satu sahaja. Sebab itu kita menangani isu perumahan ini sebagai agenda penting kita.

Jika Pakatan memerintah katanya, generasi kedua akan dibantu sama ada dalam bentuk peruntukan awal mendirikan rumah-rumah atau dalam bentuk subsidi dengan anak-anak syarikat kerajaan negeri.

"Ini tanggungajawab asas kerajaan tapi dia (Ahmad Maslan) tak faham, dia ingat semua anak peneroka tinggal di luar," jelasnya.

"Tapi saya nak sebutkan pengalaman di Johor, tanah yang diberi hak milik oleh kerajaan negeri, mereka tak buat apa pun akhirnya tumbuh lalang dan anak-anak peneroka yang mengharapkan satu program pembangunan perumahan, tidak berlaku dan ini yang sedang kita tangani dan ini yang gagal ditangani oleh BN," katanya lagi



Felda 'rayu' jangan saman
Khairil Abdul Rahim

BANDAR JENGKA, 23 Dis: Sudah terhantuk baru terngadah. Begitulah yang diibaratkan kepada pekeliling daripada Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab yang disifatkan memujuk peneroka supaya tidak menggunakan saluran undang-undang bagi menuntut hak mereka.

Naib Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Aris Fezul Ismail, menyifatkan risalah bertajuk ‘Penyelesaian masalah, Isu atau Pertelingkahan Melalui Kaedah Timbang Tara’ yang diedarkan kepada peneroka-peneroka serta dibacakan isinya di masjid-masjid di sini seolah-olah melambangkan keresahan Felda menghadapi kebangkitan peneroka.

Antara lain, risalah dua helai itu menyatakan tindakan saman oleh peneroka terhadap agensi pembangunan tanah itu didakwa telah menyebabkan wujud suasana yang tidak harmoni antara peneroka dengan pengurusan Felda.

Kandungan risalah tersebut turut membangkitkan, surat perjanjian asal antara peneroka dengan Felda telah memperuntukkan bahawa sekiranya terdapat perselisihan antara kedua belah pihak perlu dirujuk kepada Penimbang tara iaitu Perdana Menteri selaku menteri yang bertanggungjawab kepada Felda.

Aris yang juga Setiausaha Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat mempertikaikan, kenapa baru kini iaitu selepas peneroka menang saman di Felda Kemahang 3 dan Felda Sungai Koyan timbul tawaran menyelesaikan lambakan permasalahan peneroka melalui kaedah Timbang tara.

“Sebelum ini Anak sendiri pernah menghantar memorandum kepada Pengerusi Timbang tara iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi jangankan kata penyelesaian, respons pun tidak ada. Bahkan kalau kita dengar baru-baru ini bagaimana PM dengan angkuhnya menempelak siapa kata Felda bankrap adalah pengkhianat. Bolehkah orang seperti ini mahu dirujuk sebagai penimbang tara?

“Bukan itu saja, baru-baru ini Anak telah menyerahkan memorandum 20 perkara berkaitan masalah peneroka kepada Timbalan Menteri yang menjaga Felda Datuk Ahmad Maslan yang konon katanya nak selesaikan dalam tempoh dua minggu. Tapi sekarang dah hampir dua bulan, respons pun tak dengar.

“Di Pahang ini sendiri, Exco yang menjaga Felda Datuk Tan Aminuddin. Apabila peneroka membangkitkan hak mereka yang diceroboh pada satu ketika dulu, beliau bingkas mencabar mana-mana peneroka yang tak setuju dengan Felda boleh keluar dari tanah rancangan. Pada saya ini satu kenyataan angkuh seolah-olah peneroka-peneroka ini menumpang dan mengemis sedangkan mereka tuan tanah,” hujahnya.

Tambah Aris, suasana yang tidak harmoni dicetuskan sendiri oleh pengurusan Felda. Contohnya dalam kes Felda Kemahang apabila Ketua Hakim Negara berkata Felda terbukti menipu peneroka dalam kes kadar perahan gred (KPG) sawit, Felda masih tidak mengaku kesalahan malah enggan membayar ganti rugi kepada peneroka.

“Begitu juga dengan kes peneroka Felda Sungai Koyan yang mana mahkamah telah putuskan peneroka layak menerima wang tabung tanam semula (TTS) tetapi menterinya kata Felda memang nak bayar sedangkan dalam mahkamah peguam mereka bermati-matian berusaha supaya Felda tidak mahu bayar. Pada saya sikap seperti ini semua tidak membawa keharmonian,” katanya.

Mengenai saranan Pengarah Besar Felda agar peneroka mengemukakan sebarang aduan dan permasalahan kepada pengurusan rancangan melalui blok, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gabungan Pertubuhan Wanita (GPW) dan pertubuhan belia, Aris berkata ia hampir mustahil kerana semuanya dilantik oleh Felda dan bukan dipilih oleh peneroka malah dikuasai parti politik kerajaan.





“Barangkali Datuk Dzulkifli tidak turun ke bawah melihat bahawa kebanyakan pemilihan ketua-ketua blok yang mewakili 24 orang ahli dipilih berdasarkan mana yang Felda suka, bukannya pilihan peneroka secara mutlak. Naib Pengerusi JKKR yang sepatutnya dipilih melalui mesyuarat agung, tapi hanya ditentukan oleh Felda. Jadi dia mewakili Felda, bukan suara peneroka. Sebab itu dapat dilihat bagaimana sikap mereka terhadap peneroka tanam sendiri iaitu seperti anak tiri yang melakukan satu kesalahan besar.

“Pertubuhan belia pula hanya ada pada nama saja. Mesyuarat agung pun tak pernah sehingga tak tahu siapa AJK. Mana perginya peruntukan kewangan? Sama jugalah dengan AJK masjid, bukan dilantik melalui mesyuarat agung,” jelasnya



Adun Selinsing cabar Umno dedah bukti
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selising, Drs Saipul Bahrin Mohamad mencabar Umno mengemukakan bukti kononnya beliau pernah ditangkap ‘berzina’ dengan isteri orang dalam koc VIP kereta api ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan.

Beliau membuat cabaran itu ekoran pendedahan Umno Online kelmarin, yang memetik Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian yang mencabar Saipul Bahrin atau PAS sendiri supaya memberikan penjelasan mengenai dakwaan itu.

“Mengapa nak cabar PAS beri penjelasan, cukup saya sahaja yang beri penjelasan. Kalau ada laporan Majlis Agama Islam sila dedahkan, kalau ada video skandal saya, sila dedahkanlah.

“Ini satu fitnah untuk menjatuhkan saya, sebelum (pilihan raya umum) 2008 lagi Umno buat isu ini untuk fitnah saya, bukan isu yang baru.

“Saya baru balik dari Mekah tiga hari lalu, saya sudah membaca kesemua laporan blog-blog Umno itu... benda-benda ini sebenarnya ditimbulkan sejak 2000 lagi.

“Hanya orang yang fitnah sahaja kata ada laporan, ada video dan ada gambar skandal saya kerana mereka pun tahu saya tak buat, kenapa tidak didakwa di mahkamah (kalau ada bukti),” ujarnya seperti dipetik The Malaysian Insider.

Tak reti dosa pahala

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan orang yang menggunakan blog sebagai medan membuat fitnah sebagai 'buta' dosa dan pahala.

Ketika diminta mengulas isu yang kini sedang leka didendangkan blogger pro-Umno itu, Mursyidul Am PAS itu didakwa berkata "Kerja orang blog ini tak reti dosa pahala,".

Kelmarin, Umno Online turut melaporkan pengakuan saksi utama kes skandal tersebut iaitu Saidi Husin yang kini kononnya menjadi isu kontroversi dalam dunia blog, Youtube dan Facebook.

Saidi, lapor portal rasmi itu merupakan Ketua Keselamatan PAS Semarak merangkap Ketua Keselamatan Pondok-Pondok Negeri Kelantan sebelum meninggalkan PAS.

Blog itu turut mendesak Saipul Bahrin supaya tidak berdiam diri dan mengambil tanggungjawab menjelaskan isu skandal kontroversi tersebut.

Namun, laporan tersebut tidak mendedahkan klip video, gambar atau laporan bertanggungjawab mengenai skandal tersebut.



Bincang isu negara Islam kukuhkan Pakatan

Mohd Shubihi Muhamad Zain

SIK, 23 Dis: Kesediaan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh memulakan perbincangan berhubung konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS akan memberikan satu harapan baru kepada pengukuhan Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR.

Karpal sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2 di Kepala Batas, baru-baru ini, telah meminta isu negara Islam segera dibincangkan oleh Pakatan Rakyat kerana tidak mahu Barisan Nasional (BN) mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik (gambar) yang ditemui semalam menyifatkan kesediaan tokoh itu sebagai suatu perubahan besar yang bakal mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua parti yang telah sedia terjalin.

"Selama ini kerjasama PAS-DAP seperti terhalang oleh kerana isu negara Islam yang sering dipergunakan oleh pemimpin Umno dan BN untuk menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam di negara ini.

"Kesediaan Karpal Singh berbincang dengan PAS berhubung perkara itu amat dialu-alukan dan ianya memberikan satu petunjuk jelas bahawa pemimpin dan orang bukan Islam dari Pakatan telah mula menerima keadilan Islam yang kita diperjuangkan," katanya.

Tambahnya lagi, kebelakangan ini ramai pemimpin Pakatan yang bukan beragama Islam telah mula mempelajari dan memahami agama Islam secara serius.

"Kerjasama yang dibuat antara kita dengan DAP di dalam Pakatan Rakyat di atas matlamat menegakkan keadilan bersama telah menarik minat mereka untuk mendampingi dan mempelajari Islam itu sendiri.

"Malah ada di antara mereka menggunakan ayat-ayat Al-Quran untuk menguatkan hujah yang sekaligus membuktikan bahawa mereka kini yakin dengan keadilan Islam yang kita perjuangkan," katanya.

Che Uda berharap agar pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat menyegerakan tindakan berhubung dengan cadangan yang dilontarkan oleh Karpal itu bagi mengeratkan kerjasama dan menjalinkan hubungan terus di antara semua parti komponen.



Tua satu kemestian, sakit boleh dielakkan

Li Fook Gao
"Perut adalah sumber untuk semua penyakit."

Saban hari, manusia dilanda dengan penyakit-penyakit kritikal, seperti sakit jantung, diabetes dan serangan kanser pada usia yang semakin muda jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya, walaupun kita sedang berada di zaman kecanggihan teknologi kini.

Mengapa?

Apa yang telah berubah di dalam dunia manusia?

Ataupun disebabkan perubahan dalam diet pemakanan kita?
Ya, ada antara kita yang akan berbalah bahawa diet dan ciri pemakanan kita tiada beza dengan ibubapa kita semasa muda, namun betapa yakinkah kita terhadap kenyataan tersebut?

Mari kita lihat beberapa contoh:

1. Air minuman.

Adakah kualiti air minuman daripada air paip sekarang setanding dengan apa yang diminum pada zaman ibu bapa kita? Di zaman mereka, manusia minum air dari perigi dan juga sungai, akan tetapi mengapakah mereka jauh lebih sihat berbanding dengan kita pada usia yang sama?

Di mana silapnya

2. Santan/Susu kelapa

Inilah boleh dikatakan makanan rugi orang Melayu. Namun, berapakah ramai antara kita telah mula menggunakan ‘ready-made’ santan yang boleh bertahan berminggu lamanya sebagai gantian kepada santan segar yang diperah daripada kelapa?

3. Minyak masak.

Apakah jenis minyak masak yang digunakan oleh ibu bapa kita waktu dulu untuk menyediakan makanan? Apa pula kandungannya? Bandingkan dengan minyak masak yang kita gunakan sekarang.

Selama ini, manusia tidak sedar bahawa kandungan diet makanan mereka telah berubah secara beransur-ansur daripada menggunakan bahan segar untuk makanan kepada menggunakan bahan segar yang diawet dengan pengawet kimia berlebihan.

Adakah kesihatan manusia diberi penekanan dalam proses penghasilan bahan pengawet untuk makanan? Mungkin ada, akan tetapi ia bukanlah satu perkara yang diberi penekanan khusus.

Pengawet-pengawet kimia dihasilkan hanya untuk memenuhi tujuan utama – iaitu untuk mengaut lebih keuntungan dengan memanjangkan hayat makanan supaya peniaga mempunyai masa yang lebih panjang untuk menjualnya kepada pengguna.

Bahan pengawet boleh diibaratkan sebagai ‘pelekat gajah (elephant glue)’ – di mana mereka digunakan untuk mengekalkan struktur makanan sehingga hari manusia mengambil keputusan untuk menikmati makanan yang diawet tersebut.

Contoh yang paling lumrah boleh dilihat dalam mee segera – tanyalah diri sendiri, berapa lamakah mee segera kering dalam pek boleh bertahan? Sekarang bandingkan pula dengan mee segera yang telah dilalukan air panas, di mana pengawetnya telah dilunturkan.

Bayangkan sekarang, berapa banyakkah ‘elephant glue’ yang berada di dalam badan kita searang daripada mee segera yang kita makan selama ini?

Adakah kita masih tidak tahu mengapa kita semakin tidak sihat dari hari ke hari? Dan ini hanya melibatkan mee segera, bagaimana pula jika kita menimbangkan ia dengan makanan-makanan yang lain?

Keadaan kesihatan manusia sekarang bertambah lebih teruk apabila mereka mengamalkan gaya pemakanan yang tidak sihat selain daripada faktor kesan pengawet makanan yang dibincangkan tadi.

Keadaan kesihatan tubuh badan kita pada masa ini adalah hasil terus daripada apa yang kita makan selama ini. Kebanyakan sistem dalam badan kita telah terganggu dan rosak akibat daripada tabiat pemakanan kita.

Obesiti, gout, kencing manis, sakit sendi, kulit kering, kemurungan, sembelit, sakit jantung, kanser dan lain-lain penyakit semuanya adalah hasil kesan pemakanan kita.

Malahan sikap dan pemikiran kita turut dibentuk daripada pemakanan kita.

Sebagai contoh, kita selalu mengatakan bahawa penyakit-penyakit seperti kencing manis, kanser, sakit jantung dan sakit sendi adalah penyakit berwaris dari generasi ke generasi.

Tapi adakah kita sedar bahawa, datuk, nenek kita yang mengalami kencing manis mungkin juga disebabkan cara pemakanan dan pemasakan mereka yang tidak seimbang?

Dan jika cara pemakanan dan pemasakan yang tidak seimbang ini pula diwarisi ibu dan bapa kita, apakah kita akan hairan sekiranya mereka juga terkena penyakit yang sama apabila umur mereka lanjut? Ini kerana sememangnya selain faktor genetik, antara sebab terbesar penyakit itu melanda adalah berpunca daripada hasil daripada diet pemakanan mereka sendiri selama ini.

Bermula dari sekarang, kita harus memainkan peranan kita masing-masing untuk menyedarkan ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan kita sekalian bahawa semua penyakit manusia bermula daripada perut iaitu berpunca daripada apa yang kita makan selama ini.

Seperti yang diterangkan di atas, keadaan kesihatan manusia bertambah buruk dengan kehadiran bahan-bahan pengawet kimia pada masa kini yang hanya bertujuan untuk mengaut keuntungan.

Generasi ini, usia manusia mengalami penyakit kronik seperti sakit jantung dan kencing manis telah mencatatkan penurunan yang ketara, di mana ada antara kita yang berumur 20-an ke 30-an sudahpun mengalami kencing manis atau sakit jantung.

Bayangkan, apa yang akan berlaku pada generasi hadapan?

Kehidupan manusia tidak sepatutnya menjadi satu perkara yang menyedihkan pada hari tua.

Manusia harus dididik untuk berhenti percaya bahawa mereka akan mengalami sakit kronik apabila tiba waktunya. Itu adalah tidak benar.

Benar hakikatnya bahawa kita akan menjadi tua, tetapi hakikat bahawa kita akan mendapat penyakit kronik satu hari nanti adalah sesuatu yang boleh diusahakan untuk dielakkan.

Caranya senang – kita boleh memadamkan perkataan-perkataan seperti gout, kencing manis, serangan jantung, kanser, alergi dan lain-lain lagi kamus kita dengan hanya menukar dan melengkapkan diet kita seharian dengan semua mineral dan vitamin yang diperlukan badan.

Diet yang seimbang bagaikan baja yang sesuai untuk tumbuhan, sekiranya betul dan tepat, tumbuhan itu akan berbuah dan berbunga lebat sepanjang hayatnya. Kita boleh menyelamatkan umat manusia dengan berkongsi apakah itu diet yang baik untuk dirinya.

Ya, dengan diet seharian yang tepat, kita boleh kekal sihat sentiasa.

Untuk mendapatkan diet seharian yang seimbang dan tepat tanpa perlu bersusah payah, anda disyorkan untuk menambah Vinegar Istimewa kami kepada diet anda seharian… dan anda bakal menyaksikan perubahan menakjubkan dalam kehidupan dan kesihatan anda dan sekeluarga dalam waktu yang singkat.

Sekian saja untuk minggu ini. Kita akan membahas lebih lanjut bagaimana Vinegar Istimewa kami dapat membantu dalam melengkapkan diet seharian kita sekalian pada minggu depan.

Wassalam.

www.vinegaristimewa.com



Saman ekor macam peragut tunggu mangsa
Alias Mat

Saya menyokong Kempen Anti Saman Ekor (KASE). Ini disebabkan rakyat seperti saya sering teraniaya dengan saman ekor. Anggota polis sering menunggu di kawasan 60 km/j untuk memerangkap kami.

Yang kami persoalkan ialah cara pegawai polis menyaman kami. Semua sudah maklum iaitu pegawai akan bersembunyi di sebalik pokok dan lain-lain supaya kehadiran polis tidak disedari. Kaedah ini sama macam peragut yang menunggu mangsanya leka atau cuai untuk meraih keuntungan.

Kerajaan berjaya mengaut wang saman berjuta-juta. Namun keadaan jalan raya di Malaysia terutama di jalan persekutuan dan negeri tak banyak berubah sejak 10 tahun dahulu.

Saya sering berulang-alik dari Teluk Intan ke Kampar, Perak. Keadaan jalan seperti 16 tahun dulu juga tiada perubahan pun. Ke mana wang saman disalurkan?

Harap KASE berjuang untuk rakyat dan kebenaran.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.



Kebebasan Asasi & Kewarganegaraan
Majlis Peguam Malaysia
Apa itu kebebasan asasi?

Kebebasan asasi adalah hak dan kebebasan yang kita punyai sebagai manusia. Sesetengah kebebasan asasi ini diperuntukan di dalam Perlembagaan. Oleh itu, hak dan kebebasan ini dikatakan ‘dijamin’ dan tidak boleh diambil melainkan Perlembagaan membenarkannya.

Kebebasan Asasi yang dijamin oleh Perlembagaan

Perkara 5 – Hak kehidupan dan kebebasan diri

Setiap orang mempunyai hak kehidupan dan kebebasan diri. Nyawa atau kebebasan diri tidak boleh dilucutkan melainkan ia mengikut undang-undang. Mahkamah telah menyatakan bahawa hak kehidupan termasuklah hak untuk pendapatan dan kehidupan berkualiti sementara kebebasan diri termasuklah hak privasi.

Seseorang yang ditangkap dan ditahan:-

· harus dimaklumkan secepat mungkin tentang alasan penangkapannya;
· punya hak untuk berunding dan dibela oleh peguam pilihannya (dikenali sebagai ‘akses kepada representasi guaman’); dan
· harus dibawa di hadapan seorang majistret dalam masa 24 jam dan tidak boleh ditahan selanjutnya tanpa kebenaran majistret, yang dipanggil sebagai ‘perintah reman’.

Jika seseorang itu ditahan tanpa mengikut undang-undang, Mahkamah akan mengarahkan supaya dia dibawa ke Mahkamah untuk dibebaskan. Ini dipanggil ‘habeas corpus’. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang hak anda apabila ditahan pihak polis dalam risalah ‘Polis dan Hak-hak Asas Anda’ yang diterbitkan oleh Majlis Peguam dan boleh didapati di www.malaysianbar.org.

Perkara 6 – Larangan keabdian dan kerja paksa

Tidak ada sesiapa yang boleh ditahan sebagai abdi atau dipaksa untuk bekerja. Tetapi Parlimen boleh membuat undang-undang bagi mewajibkan khidmat negara. Kerja atau khidmat yang dikehendaki daripada sesorang yang disabit kesalahan bukanlah dikira sebagai paksaan kerja.

Perkara 7 – Perlindungan daripada undang-undang jenayah retrospektif dan perbicaraan berulang

Seseorang tidak boleh dihukum untuk sesuatu yang tidak salah pada masa ianya dilakukan. Contohnya, sekiranya undang-undang menjadikan kesalahan untuk memandu melebihi had laju 80km/j, seseorang yang memandu melebihi had tersebut sebelum undang-undang digubal tidak boleh dihukum. Ini dikenali sebagai larangan terhadap undang-undang retrospektif.

Sekiranya hukuman bagi suatu jenayah itu ditingkatkan, seseorang yang melakukan kesalahan sebelum ianya ditingkatkan tidak boleh dikenakan hukuman yang ditingkatkan. Contohnya, sekiranya undang-undang dipinda supaya hukuman bagi kesalahan melebihi had laju ditingkatkan kepada hukuman penjara daripada hukuman denda, seseorang yang bersalah sebelum ia dipinda tidak boleh dikenakan hukuman penjara.

Seseorang yang dibebaskan atau disabitkan untuk sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula untuk kesalahan yang sama, melainkan sabitan atau pembebasan itu dibatalkan dan perbicaraan semula diarahkan.

Perkara 8 – Kesamarataan


Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Melainkan Perlembagaan membenarkannya, warganegara tidak boleh didiskriminasi hanya atas alasan agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina:-

· di bawah mana-mana undang-undang;
· di dalam pekerjaan dengan mana-mana pihak berkuasa awam; atau
· bagaimana mana-mana undang-undang digunapakai berkenaan dengan harta atau apa-apa perdagangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.

Tetapi, Perkara 8 tidak terpakai untuk undang-undang:-

· yang mengawal selia undang-undang diri;
· berkenaan dengan institusi dan pejabat agama;
· perlindungan, kesentosaan atau kemajuan atau perizaban kuota pekerjaan bagi Orang Asli Semenanjung Malaysia;
· yang menyatakan bahawa seseorang yang dipilih atau dilantik ke dalam pihak berkuasa Negeri dan pengundian bagi pemilihan tersebut, harus bermastautin di dalam Negeri itu;
· di dalam Perlembagaan Negeri yang digubal sebelum Hari Merdeka (31 Ogos 1957); dan
· menghadkan pengambilan masuk tentera ke dalam Rejimen Askar Melayu kepada orang Melayu.

Perkara 9 – Kebebasan bergerak

Seorang warganegara tidak boleh dibuang negeri atau dihalang masuk ke dalam negara. Secara amnya, setiap warganegara punya hak untuk bergerak bebas dan tinggal di dalam mana-mana bahagian negara melainkan terdapat undang-undang berkenaan dengan keselamatan negara, ketenteraman awam, kesihatan awam atau hukuman pesalah.

Kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak berbanding Negeri-negeri lain juga membenarkan undang-undang digubal untuk mengawal kemasukan dan permastautinan di Sabah dan Sarawak. Perkara mengenai kepentingan dan perlindungan istimewa Sabah dan Sarawak ini dinyatakan di dalam Buku Panduan Rakyat: 7. Sabah & Sarawak.

Perkara 10 – Kebebasan bercakap, berhimpun dan membentuk persatuan


Warganegara mempunyai kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu tetapi boleh disekat oleh Parlimen atas apa-apa sebab dibenarkan oleh Perlembagaan. Mahkamah telah menyatakan bahawa Parlimen hanya boleh mengenakan sekatan yang diperlukan secara berpatutan.

Kebebasan bercakap dan mengeluarkan fikiran

Setiap warganegara mempunyai kebebasan bercakap dan mengeluarkan fikiran. Tetapi Parlimen boleh menggubal undang-undang untuk menyekat hak ini jika perlu atau suaimanfaat bagi kepentingan:-

· keselamatan Malaysia;
· hubungan baik dengan negara lain;
· ketenteraman awam atau moraliti; atau
· melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan

Dalam mengenakan sekatan bagi kepentingan keselamatan negara atau ketenteraman awam, Parlimen boleh menggubal undang-undang untuk melarang dipersoalkan perkara-perkara berkenaan dengan kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Tetapi, adalah tidak salah di sisi undang-undang untuk mengulas tentang perlaksanaan perkara-perkara tesebut.

Hak berhimpun secara aman dan membentuk persatuan

Setiap warganegara punya hak untuk berhimpun secara aman dan membentuk persatuan. Tetapi Parlimen boleh gubal undang-undang untuk menyekat hak ini jika perlu atau suaimanfaat begi kepentingan:-

· keselamatan negara;
· ketenteraman awam; atau
· moraliti (hanya bagi hak untuk membentuk persatuan)

Parlimen juga boleh gubal undang-undang untuk menyekat hak menubuhkan persatuan berkenaan dengan buruh dan pendidikan.

Perkara 11 – Kebebasan beragama

Setiap orang punya hak untuk menganuti atau mengamal agamanya dan untuk mengembangkan agamanya.

Tetapi, undang-undang boleh diluluskan untuk mengawal atau menyekat perkembangan agama, doktrin atau kepercayaan di kalangan penganut agama Islam.

Seseorang tidak boleh dipaksa untuk membayar cukai di mana hasilnya akan digunakan bagi maksud agama yang bukan agamanya sendiri. Setiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal agamanya, menubuhkan dan menyelenggarakan institusi bagi maksud agama/khairat dan memperolehi dan mentadbir harta.

Perkara 12 – Hak berkenaan dengan pendidikan


Berkenaan dengan perkara berikut, tiada warganegara boleh didiskriminasi hanya atas sebab agama, bangsa, keturunan atau tempat lahir:-

· bagaimana sebuah institusi pendidikan yang diselenggara oleh pihak berkuasa awam ditadbir, termasuk kemasukan pelajar atau pembayaran yuran; atau
· bagaimana wang pihak berkuasa awam digunakan untuk pentadbiran atau pendidikan pelajar di dalam mana-mana institusi pendidikan.

Seseorang itu tidak diwajibkan untuk belajar atau mengambil bahagian dalam mana-mana upacara/sembahyang sesuatu agama yang bukan agamanya. Untuk tujuan ini, agama seseorang di bawah umur 18 adalah ditetapkan oleh ibu, bapa atau penjaganya.

Setiap kumpulan agama boleh menubuhkan dan menyelenggara institusi untuk pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu. Tidak boleh ada diskriminasi hanya atas alasan agama berkenaan dengan institusi tersebut. Tetapi, Kerajaan Persekutuan dan Negeri boleh menubuhkan atau membantu penubuhan institusi Islam, mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan membelanjakan wang untuk tujuan ini.

Perkara 13 – Hak terhadap harta


Harta seseorang itu tidak boleh dilucutkan melainkan undang-undang membenarkannya. Tetapi, sekiranya undang-undang membenarkannya, ianya harus memperuntukkan bahawa orang itu dibayar pampasan yang mencukupi untuk harta tersebut.


Kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah & Sarawak


Yang di-Pertuan Agong (“YDPA”) harus memelihara :-

· kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak; dan
· kepentingan sah komuniti-komuniti lain di Malaysia.

Berkenaan dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak, kuota yang difikirkan patut oleh YDPA boleh dirizab untuk orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak:-

· bagi pekerjaan dalam perkhidmatan awam (melainkan perkhidmatan awam sebuah Negeri);
· untuk biasiswa, bantuan dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya; dan
· untuk permit dan lesen apabila ia diperlukan bagi operasi mana-mana perdagangan atau perniagaan oleh undang-undang Persekutuan.


Bagaimanakah anda menjadi warganegara Malaysia?


Ada 4 cara untuk seseorang itu menjadi warganegara Malaysia:-

· melalui kuatkuasa undang-undang;
· melalui pendaftaran;
· melalui naturalisasi; atau
· melalui pencantuman wilayah.

Kewarganegaraan melalui kuatkuasa undang-undang


Majoriti rakyat Malaysia mendapat kewarganegaraan melalui kuatkuasa undang-undang. Contohnya, orang-orang berikut (antara lain) yang lahir sebelum Hari Malaysia (16 September 1963) adalah warganegara Malaysia melalui kuatkuasa undang-undang:-

· Seseorang yang sejurus sebelum Hari Merdeka adalah warganegara Malaya.
· Seseorang yang dilahirkan di dalam Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka dan sebelum Oktober 1962.

Orang-orang berikut yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia adalah warganegara melalui kuatkuasa undang-undang:-

· Seseorang yang dilahirkan di dalam Malaysia dengan salah seorang ibu atau bapanya pada ketika dia dilahirkan adalah seorang warganegara atau permastautin tetap Malaysia.

· Seseorang yang dilahirkan di luar Malaysia dan bapanya pada ketika kelahirannya adalah:-

o seorang warganegara yang lahir di Malaysia ; atau
o seorang warganegara yang pada ketika kelahiran tersebut adalah dalam perkhidmatan Malaysia atau mana-mana Negeri; atau
o seorang warganegara dan kelahiran tersebut adalah didaftarkan di pejabat konsol Persekutuan atau dengan Kerajaan Persekutuan (jika di Brunei atau mana-mana wilayah ditetapkan) dalam masa 1 tahun (atau apa-apa tempoh yang lebih lanjut yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan).

· Seseorang yang lahir di Singapura dan sekurang-kurangnya ibu atau bapanya pada masa kelahirannya adalah warganegara Malaysia.

· Seseorang yang lahir di dalam Malaysia dan tidak dilahirkan sebagai warganegara negara lain.

Kewarganegaraan melalui pendaftaran

Seorang wanita yang berkahwin dengan warganegara Malaysia dan yang mana perkahwinannya telah didaftarkan di Malaysia boleh didaftarkan sebagai warganegara sekiranya:-

· dia masih bersuami dan suaminya adalah warganegara pada permulaan Oktober 1962; atau
· Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa dia telah bermastautin di dalam Persekutuan selama 2 tahun sebelum tarikh permohonan dan berniat untuk bermastautin tetap dan dia berkelakuan baik.

Seseorang yang dibawah umur 21 tahun boleh didaftarkan sebagai warganegara sekiranya sekurang-kurangnya ibu atau bapanya adalah (atau pada masa kematian) seorang warganegara. Kerajaan Persekutuan juga boleh mendaftarkan seseorang di bawah umur 21 tahun keadaan khas yang difikirkan sesuai.

Perlembagaan juga mempunyai peruntukan bagi mereka yang berhak didaftarkan sebagai warganegara jika mereka lahir sebelum Hari Merdeka di dalam Persekutuan atau mereka bermastautin di Sabah dan Sarawak pada Hari Malaysia.

Kewarganegaraan melalui naturalisasi


Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa keadaan khas yang difikirkan sesuai ataupun atas permohonan seseorang yang berumur 21 tahun atau lebih dan bukan warganegara, memberikan perakuan naturalisasi sekiranya orang itu telah bermastautin di dalam Persekutuan bagi tempoh yang dikehendaki dan berniat berbuat demikian secara tetap, berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan memadai dalam bahasa Melayu.

Kewarganegaraan melalui pencantuman wilayah

Sekiranya terdapat wilayah baru yang dimasuk ke dalam Malaysia selepas Hari Malaysia, Parlimen boleh menetapkan siapa di dalam wilayah tersebut adalah warganegara.


Soalan-Soalan Lazim


1. Saya percaya hak-hak saya telah dihalang/ dicabul. Apakah yang patut saya lakukan?
Anda boleh membawa tindakan ke Mahkamah. Mahkamah akan menilai sama ada hak asasi anda telah dicabul dan jika ya, Mahkamah boleh memutuskan bahawa pencabulan tersebut adalah tidak sah di sisi undang-undang.

2. Adakah kebebasan asasi saya mutlak?

Tidak. Perlembagaan telah menetapkan beberapa cara bagaimana kebebasan anda boleh disekat. Walaubagaimanapun, Mahkamah telah menyatakan bahawa kebebasan asasi dibawah Perlembagaan harus diaplikasi seluas yang mungkin dan sebarang undang-undang-undang yang mengehadkannya harus diaplikasi sesempit yang mungkin.

3. Apa itu SUHAKAM?

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) adalah satu badan yang ditubuhkan dibawah suatu akta Parlimen untuk memberi pendidikan berkenaan hak asasi manusia, menasihat dan membantu Kerajaan dalam undang-undang hak asasi manusia dan pertikaian serta menyiasat aduan-aduan berkenaan pencabulan hak asasi manusia.


4. Saya adalah seorang rakyat Malaysia yang memperoleh kewarganegaraan melalui kuatkuasa undang-undang. Bolehkah kewarganegaraan saya dilucutkan?

Kerajaan Persekutuan hanya boleh melucutkan kewarganegaraan anda jika ia berpuas hati bahawa anda telah memperoleh kerakyatan daripada negara lain atau jika anda telah secara sukarela menuntut dan menggunakan hak yang hanya diberikan untuk rakyat negara tersebut sahaja.

Apa Seterusnya?

Pelajari tentang Perlembagaan anda melalui Buku Panduan Rakyat kami berkenaan dengan Apa Itu Perlembagaan Persekutuan?, Institusi-institusi Perlembagaan & Pemisahan Kuasa, Hubungan Persekutuan-Negeri, Parlimen, Eksekutif, Kehakiman, Sabah & Sarawak dan Pilihanraya & Demokrasi!
-----------------------------------------
Anda juga boleh mengetahui tentang Kempen PerlembagaanKu atau mengikutinya di:

§ www.perlembagaanku.com
§ www.malaysianbar.org.my/constitutional_law_committee
§ www.facebook.com/MyConstitution
§ www.twitter.com/MyConsti
§ www.youtube.com/user/PerlembagaanKu

Kami boleh dihubungi di:

Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan
Sekretariat Majlis Peguam
No.15, Leboh Pasar Besar
50050 Kuala Lumpur
t: 03.2031.3003
f: 03.2026.1313
e: perlembagaanku@gmail.com



Tiada ulasan:

Catat Ulasan