Selasa, 21 Disember 2010

KEJAYAAN AKAN TERJELMA JIKA RAKYAT SELESA...AMAN ..ADIL DAN TIDAK PILIH KASIH...RAMAINYA ORANG BERTAKWA

Pemuda PAS mahu isu 'gay' dikhutbahkan

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 21 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat, mahu semua pihak berwajib memantau kegiatan 'gay' yang didakwa semakin berleluasa.

Ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily berkata, pihaknya bimbang melihat premis-premis gay yang kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Sebagai satu langkah pencegahan, beliau mahu permasalahan gejala songsang ini turut disebut dalam khutbah Jumaat selain pemantauan terhadap aktiviti golongan itu.

"Setakat ini, kita selaku rakyat Malaysia masih belum pernah mendengar mana-mana masjid di Malaysia diberikan teks khutbah mengenai keburukan gay dan impaknya kepada Negara," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa semua perkara yang menyentuh soal agama dan akidah umat Islam di Negara ini akan sentiasa dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) termasuk laman blog gay.

Bagi Nasarudin, pemantauan dari sudut blog tidak cukup dan lebih penting katanya pemantaun premis dan aktiviti yang dianjurkan golongan itu perlu diperbanyakkan.

"Dewan Pemuda PAS juga mendesak agar pihak-pihak berwajib memantau premis-premis yang dimiliki oleh golongan ini.

"Dewan Pemuda PAS juga bersedia untuk membantu bagi membanteras kemungkaran ini," katanya lagi.

Selain itu, pihak JAKIM jelasnya perlu memantau segala jenis hiburan yang terdapat di Negara ini.

Lebih mengejutkan, apabila 'ikon' gay yang baru-baru ini dibenarkan untuk membuat konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ianya ditambah pula dengan pembikinan filem “ Anu dalam botol “ yang didakwa cuba menyuburkan lagi gejala itu kepada masyarakat.



PR perlu gerakkan 'kempen selamatkan Parlimen'
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 21 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan seluruh pemimpin Pakatan Rakyat di setiap peringkat menggerakkan 'kempen menyelamatkan institusi Parlimen' yang didakwa telah disalahguna.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, gerakan itu perlu dibuat segera bagi menyelamatkan Parlimen dari digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

"Kita perlu selamatkan institusi ini dan PAS perlu mainkan peranan utama.

"Jika tidak dilakukan segera, banyak lagi pencabulan akan berlaku dan dibimbangi parlimen bukan lagi tempat membela nasib nasib rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penggantungan empat ahli parlimen Pakatan Rakyat minggu lalu.

16 Disember lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh (Bukit Gelugor), Mohamed Azmin Ali (Gombak) dan Sivarasa Rasiah (Subang), digantung dari menghadiri sidang dewan rakyat selama enam bulan kerana didakwa menghina dewan berhubung isu Apco.

Bagi Mahfuz, penggantungan itu jelas melanggar proses keadilan apatah lagi semua yang tertuduh tidak diberi ruang membela diri sebelum keputusan dibuat.

Beliau berpandangan, apa yang berlaku itu juga secara jelas menunjukkan kepentingan politik Umno mengatasi kuasa parlimen melalui Speaker dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Malah lebih dikesali katanya, tindakan tersebut juga telah mencemarkan bukan sahaja nama baik parlimen itu sendiri malah juga mencemarkan nama baik Yang Dipertuan Agong.

"Insiden ini telah mencemarkan nama baik Yang Dipertuan Agong yang mana kedudukan Tuanku adalah paling tinggi dalam institusi Parlimen," katanya lagi.

Dalam pada itu, isu penggantungan keempat-empat anggota parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terus dibidas semua pihak.

Pakar Perlembagaan, Professor Dr. Abdul Aziz Bari dalam temubualnya bersama Harakah memberitahu, apa yang berlaku dalam insiden penggantungan di parlimen itu tidak ubah seperti 'Mahkamah Kangaroo'.

Baginya, kesemua tertuduh sewajarnya diberi peluang untuk menjelaskan kedudukan mereka sekaligus membela diri.

"Pelik betul, hendak mendengar penjelasan itu pun BN takut.

"Apa yang speaker takutkan, apa bahayanya mendengar apa yang Anwar Ibrahim hendak katakan," katanya


Pluralisme: Umno perlu cermin diri sendiri
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 21 Dis: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diminta menegur dahulu tindakan Umno BN yang dilihat bukan sahaja mengamalkan pluralisme tetapi mengelirukan rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohammad Sabu berkata, Jamil Khir seharusnya berani bersuara menyatakan pendirian berhubung beberapa perlakuan pemimpin Umno BN yang secara jelas tidak mengikut ajaran Islam sebenar.

"Umno/BN masih keliru dengan apa yang dibuat mereka, contohnya penganjuran Islamic Fashion Festival oleh (Datin Seri) Rosmah, perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam seperti meyambut tahun baru yang melampaui batas dan mendapat keizinan kerajaan.

"Semua perbuatan mereka tidak melambangkan apa yang mereka cakap," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Jamil Khir bahawa fahaman pluralisme agama adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Jamil Khir mengulas pandangan yang berpendapat bahawa golongan yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman pluralisme ala John Hick dan perlu ditentang kerana fahaman tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.

Mohammad juga berkata, jika Jamil Khir boleh mengeluarkan kenyataan bahawa fahaman pluralisme agama mampu membuat orang Islam terpesong dari landasan Islam sebenar, beliau juga harus menyedari ianya juga berlaku dalam Umno BN.

kekeliruan ini ujarnya dapat dilihat dalam kes penggunaan kalimah Allah yang tidak selaras di setiap negeri dan kes penangkapan individu yang dikatakan pengikut ajaran Syiah di negara ini.

"Begitu juga dalam kes mereka melakukan penangkapan yang dikatakan golongan syiah itu dan sama juga kes penggunaan nama Alllah. Di Wilayah Persekutuan boleh guna, di sabah sarawak boleh guna, tapi negeri lain tak boleh.

"Jadi kita pun tak tahu bagaimana ukuran Islam oleh Jamil Khir," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Jamil Khir agar berbincang dengan ulama muktabar sebelum mengeluarkan sesuatu pendapat agar ianya tidak mengelirukan rakyat.

"Kita harap beliau boleh bincang lagi dengan ulama muktabar untuk mengeluarkan pandangan sebab belaiu menteri, sudah tentu sebarang pandangan beliau diambil kira.

"Bincang dulu dengan ulama muktabar. Beliau bekas askar sahaja, tahu berkawat sahaja," katanya berseloroh.




Pakatan: Gagasan terbaik untuk negara
Sunday, 12 Muharram 1432

Intipati ucapan Presiden PAS sempena Konvensyen Pakatan Rakyat kedua di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 19 Disember 2010

Mukaddimah

Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi berada dalam kesempatan yang sangat bermakna di penghujung tahun 2010, setelah setahun lalu kita sama-sama melakarkan sejarah dengan mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di Shah Alam pada bulan Disember 2009.

Tentunya Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua ini pula akan menjadi medan kita bermuhasabah, menilai keperluan, menanda aras pencapaian dan menambahbaik tindakan, setelah kita diberikan amanah menguruskan kerajaan di empat buah negeri dan seterusnya memimpin rakyat untuk membuat perubahan di negeri-negeri yang lain, insya Allah.

Ketetapan Konvensyen Pertama

Setahun yang lalu, kita telah sama-sama menerokai dasar bersama yang dipersetujui, dengan rangka matlamat melaksanakan muafakat yang sangat bermakna dalam negara kita ini bagi membebaskan negara dari kemelut yang sangat menekan rakyat dan penuh dengan penyakit di segenap sudut, seterusnya membentuk gagasan alternatif terbaik untuk negara.

Maka kita telah mencorakkan dasar bersama yang penting di bawah Muafakat Rakyat iaitu untuk (1) Mengembalikan demokrasi telus dan tulen, (2) Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil, (3) Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan (4) Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara.

Semua dasar bersama ini akan terus dilaksanakan selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan suatu penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya.

Dalam hal ini, PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan kita adalah dalam ruang lingkup undang-undang negara dengan mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar. Dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di negara kita ini.

PAS percaya bahawa kekeliruan terhadap Islam yang adil yang ingin dibawa oleh PAS berlaku kerana contoh dan tafsiran salah terhadap Islam yang ditunjukkan oleh UMNO selama ini, sehingga melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan.

PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia. Kita mesti menyedari bahawa di sana ada perkara yang sama dan berbeza dalam kalangan manusia yang perlu diraikan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Firman Allah SWT, maksudnya:

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [Surah al-Hujurat: 13]

Kita juga telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Seluruh ketetapan yang sama-sama kita lakarkan dalam konvensyen yang lalu, sebenarnya telah menjawab segala tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah.

Hakikatnya, merekalah yang sebenarnya tidak menghormati tonggak demokrasi berparlimen, apabila dengan penuh keangkuhan telah menggunakan kuasa bagi menyingkirkan Ahli Parlimen kita dari Parlimen Malaysia. Apa yang berlaku hingga kini ialah, mereka takut untuk berhujah dan gagal memberikan apa-apa jawapan yang meyakinkan mengenai isu yang diperkatakan. Merekalah sebenarnya yang telah memberikan nama buruk negara ke persada dunia.

Persidangan Shah Alam 2010

Selain dari itu, kita juga menjadikan persidangan yang dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri, semuanya dari Negeri Pakatan Rakyat pada 29 November lalu sebagai komitmen kita untuk menambahbaik aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran kerajaan yang kita pimpin.

Saya amat berharap agar segala buah fikiran dan perancangan yang begitu baik itu tidak menjadi bahan yang tinggal di atas kertas sahaja, tetapi diberikan kefahaman kepada pegawai pentadbiran kerajaan agar mereka memahami aspirasi kita dan seterusnya melaksanakannya.

Masa Bergerak Ke Depan

Hari ini juga kita berhimpun, dengan penegasan yang lebih bermakna, bahawa kita ingin terus melakukan perubahan, di atas prinsip Tahalluf Siyasi, yang menggariskan prinsip kebersamaan kita dengan menekankan persamaan untuk memerangi kezaliman, ketidakadilan serta rasuah tanpa menafikan asas pembentukan negara Malaysia dan struktur masyarakatnya.

Pada hari ini juga kita menghasilkan satu dokumen kerja dan sasaran yang ingin kita capai dalam berbagai sudut. Cabaran terbesar kita nanti ialah bagaimana kita menterjemahkan perancangan ini ke dalam bentuk tindakan yang bukan sahaja difahami oleh pelaksana yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan di bawah negeri Pakatan Rakyat, tetapi juga difahami oleh rakyat yang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat khususnya, dan rakyat dalam negara kita ini umumnya. Rakyat lah nanti yang akan menjadi hakim di atas kesungguhan dan komitmen kita untuk melaksanakan perubahan. Jangan kita sekali-kali membiarkan rakyat menghukum kita dalam pilihanraya umum yang akan datang nanti.

Kita juga sedar dan insaf, bahawa perubahan menyeluruh yang diimpikan oleh gagasan Pakatan Rakyat tidaklah mudah dicapai, kerana kita berdepan dengan konsep federalisme songsang yang dipegang oleh Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional, yang tidak lagi menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam negeri yang telah memilih Pakatan Rakyat.

Selain dari itu, kita juga berdepan dengan kekangan pentadbiran yang sudah membarah selama puluhan tahun di bawah Kerajaan BN. Dalam masa yang sama, kita juga dibelenggu dengan kelemahan diri sendiri apabila ada di antara kita yang mula hilang tumpuan, setelah kita mula diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional ini. Kadangkala kita berhadapan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah, dan di sinilah cabaran terbesar kita yang perlu dirungkaikan supaya kita menjadi gagasan terbaik untuk negara ini.

Saya menyeru kepada semua para hadirin yang menjadi petugas kepada perubahan dalam negara kita ini, supaya kita tidak sekali-kali tersasar dari tujuan kita untuk melakukan perubahan menyeluruh yang bermakna kepada generasi yang akan datang.

Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahan-kelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulin bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan kepada rakyat.

Perlu kita ingat, bahawa Pakatan kita ini bukan sahaja bergerak untuk menafikan kekebalan pemerintahan Barisan Nasional semata-mata, tetapi adalah untuk melaksanakan perubahan yang adil di mana keharmonian dan keupayaan masyarakat memahaminya dijadikan teras dalam perubahan dalam negara kita ini.

Perlu muhasabah

Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu. Berdasarkan maklumat kelemahan kita ini, maka kita perlu bangkit kembali dengan terus melaksanakan penambahbaikan dalam pemerintahan kita dan memperkemaskan jentera parti di negeri-negeri yang belum bersama kita.

Asas perubahan

PAS ingin menyatakan bahawa dasar yang ingin kita laksanakan dalam negeri di bawah Pakatan Rakyat perlulah bertitik tolak dari pemahaman bahawa (1) kita membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita, (2) kita ingin meletakkan negara dan negeri di atas dasar yang sepatutnya, (3) semuanya dilaksanakan dengan semangat dalam perkara yang menjadi Dasar Bersama kita.

Tetapi kita tiada masa yang panjang untuk melakukan semua ini kerana musuh akan sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang telah kita sama-sama bina. Negeri yang sama-sama kita bina ini pula tidak akan memberikan sebarang makna dalam politik baru negara kita, sekiranya kita gagal menunjukkan kaedah pemerintahan yang jauh lebih baik dari negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional.

Pemerintahan yang lebih baik yang ingin kita capai ialah bukan hanya berkaitan dengan pencapaian ekonomi semata-mata, dan juga bukan hanya mengenai dasar perindustrian serta pelaburan sahaja, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang berselerakan di kiri kanan persekitaran mereka dan dalam masa yang sama jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.

Apa yang kita mahu, bahawa kita perlulah juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain. Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

Dalam melaksanakan dasar dalam negeri yang diperintah Pakatan Rakyat secara bersama, maka penting juga untuk kita berhati-hati dengan cuba lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini. Jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan kita.

Kegagalan untuk memahami perkara asas ini akan membuka ruang kepada UMNO dan BN untuk menyebarkan dakyah mereka menerusi media massa yang dikawal oleh mereka. Kita akan berada dalam keadaan yang sangat ‘defensive’ untuk melawan kuasa media mereka yang akhirnya membuatkan rakyat terbanyak akan menjadi keliru. Akhirnya kita semua akan rugi.

Pendekatan bertahan ini perlulah diubah, dengan kita sendiri menentukan agenda kita bersama rakyat, dan bukan hanya responsif terhadap serangan musuh. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita memasuki fasa seterusnya dalam gerakerja kita, dengan kita menggunakan media kita sendiri yang boleh sampai kepada rakyat. Gerakerja ini perlulah disusun secara bersama di kalangan negeri Pakatan Rakyat, petugas parti dan semua kalangan pengamal media yang bersama dengan kita.

Persediaan Pilihan Raya

Belum pun kita sempat melaksanakan amanah dengan sempurna, angin yang bertiup kencang di waktu ini telah memberi gambaran bahawa saat dan ketika untuk kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke 13 detiknya semakin hampir. Suasana sebegini dizahirkan oleh pimpinan utama BN bahawa mereka merasakan semakin selesa dan kononnya rakyat akan kembali bersama mereka.

Kepada mereka, marilah kita pertegaskan pada hari ini bahawa kita bukan sahaja komited untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini, tetapi kita akan bangkit untuk merubah kedudukan percaturan politik yang menjadi dominasi Barisan Nasional selama ini, insya Allah.

Kita juga mencabar pimpinan Barisan Nasional untuk berani turun ke gelanggang secara amanah dan jujur, tanpa bergantung kepada agensi dan institusi kerajaan, tidak memperkudakan media massa serta menaburkan janji kosong pilihanraya yang saban tahun menjadi rasuah mereka kepada rakyat. Marilah kita turun ke gelanggang secara penuh demokrasi, bukannya berpaut kepada demokrasi yang rosak.

Kepada saudara saudari yang hadir dalam konvensyen ini, ingatlah bahawa sekiranya kita ingin mencapai kejayaan yang lebih baik dari pilihan raya umum yang lalu, maka pada ketika dan saat ini kita perlu memperkemaskan jentera pilihan raya, mempersiapkan petugas, merangka strategi berkesan, membaiki kelemahan, dan seterusnya menampilkan calon yang amanah dan jujur kepada rakyat.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa konvensyen, pimpinan Pakatan Rakyat, para perwakilan dan pemerhati, dan rakyat yang bersama kita di merata tempat, serta sekalung terimakasih kepada tuan rumah konvensyen yang menjayakan perhimpunan yang bersejarah ini.

Mudah-mudahan konvensyen kali kedua ini mampu untuk mencapai objektif yang dicita-citakan.






Tujuh kejayaan Konvensyen Pakatan Rakyat
Abd Shukur Harun

Setinggi-tinggi tahniah kepada pimpinan dan seluruh warga Pakatan Rakyat kerana berjaya sepenuhnya mengadakan Konvensyen Kedua Pakatan di Pulau Pinang Ahad lalu.

Tahniah khusus kepada Dr. Mujahid Yusof Rawa, Pengarah Sekretariat Konvensyen dan seluruh panitia besar dan kecilnya kerana menyelenggarakan Konvensen tersebut dengan teratur, lancer dan mencapai matlamat serta menarik perhatian umum.

Ada tujuh kejayaan besar konvensyen itu ialah:

Pertama: Mampu mencapai matlamat mengumpul dan memperlihatkan kesepakatan dan kekuatan Pakatan Rakyat walaupun selama dua tahun ini ia ‘diserang’ tidak henti-henti oleh musuh politiknya dari segenap sudut.

Kira-kira 2,000 yang hadir tidak berganjak dari awal hingga akhir menghadiri Konvensyen tersebut - menjadi manifestasi keazaman dan kesungguhan warga Pakatan Rakyat untuk mempertahankan Pakatan.

Kedua, telah berjaya menjawab semua fitnah dan tuduhan musuh politknya dengan jelas dan meyakinkan. Puluhan pengamal media – dalam dan luar negara – menyaksi dan melaporkan jawapan ini.

Ketiga, kejayaan Pameran Kejayaan Pakatan Rakyat yang memerintah beberapa buah negeri. Pameran tersebut member erti dan memeriahkan konvensyen tersebut.

Keempat, keputusan padu – dengan sebulat suara - mengekalkan terus Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang, walaupun beliau digantung selama enam bulan sebagai ahli parlimen. Ini tentu sekali mengecewakan harapan musuh politik Pakatan Rakyat untuk menyisihkan sama sekali Anwar dari arena politik nasional dan antarabangsa.

Keputusan terus mengekalkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membuat ucapan penggulungan di konvensyen tersebut.
"Kita tetap mahu berketuakan beliau," kata Datuk Seri Abdul Hadi yang diiringi tepukan gemuruh para perwakilan dan pemimpin Pakatan yang menyertai konvensyen itu.

Anwar bersama dengan Azmin Ali (Gombak), Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan R Sivarasa (Subang) telah digantung dari Dewan Rakyat Khamis lalu, tanpa diberi peluang membela diri bersabit isu Apco.

Kelima, pengumuman Karpal Singh yang menegaskan bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan mempertahankan perlembagaan dengan segala peruntukan yang terkandung di dalamnya.
“Isunya ialah negara Islam dan ia harus diselesaikan secepat mungkin. DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Soal bersabit negara Islam adalah sesuatu yang kami boleh berunding dan saya yakin kita boleh mencapai konsensus,” kata Karpal. Ini kali pertama Karpal membuat pengumuman sedemikian.

Walaupun pengumumkan pemimpin DAP ini kemungkinan tidak akan meredakan tuduhan musuh politik Pakatan, namun pengumuman ini sangat membantu menjelaskan kedudukan isu Islam ini kepada semua pihak.

Kejayaan keenam Konvensyen Pakatan Rakyat itu ialah mengumumkan program 100 hari untuk rakyat melalui reformasi tulen yang boleh dilaksanakan di bawah pentadbiran Pakatan apabila berkuasa.

Program itu adalah resolusi sepuluh perkara yang menggariskan secara terperinci bagaimana Pakatan akan mentadbir negara untuk kebaikan semua rakyat Malaysia jika berkuasa. Pemimpin Pakatan akan menandatangani dokumen tersebut, yang dijangka akan dijadikan manifesto gabungan itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Kejayaan ketujuh konvensyen itu ialah mengesahkan dokumen bertajuk 'Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia' yang menggaris banyak isu yang dibangkitkan, seperti krisis, resolusi, program 100 hari, kenyataan bersama, deklarasi dan dasar-dasar Pakatan ketika gabungan mempersiapkan diri untuk menawan Putrajaya.

Dokumen 20 halaman itu yang akan diedarkan secara meluas, akan menerangkan kepada pengundi iaitu rancangan bagaimana gabungan itu akan memerintah negara jika mengambil alih Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan awal tahun depan.
Keseluruhannya ialah mesej konvensyen ini sangat jelas bahawa masa, kekuatan tenaga dan segala yang ada pada Pakatan Rakyat tidak boleh lagi dibazirkan walau seketikapun melainkan berusaha keras dengan bijaksana, menyusun langkah dengan strategi berkesan untuk mendapat mandat dari rakyat bagi ke Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini bukan sebuah ilusi atau khayalan pengembara, tetapi sebuah kenyataan – lebuh raya perjuangan yang panjang dan terbentang luas - yang sangat menjanjikan kemenangan jika Pakatan Rakyat dapat mengekalkan terus kesepaduan dan gerak kerja serta strategi yang bijaksana.

Selepas konvensyen ini, gerak kerja terawal bagi pendukung Pakatan Rakyat sedang menanti di Dun Tenang, Labis, Johor untuk berdepan dengan sebuah pilihan raya kecil di sana.

Tentu saja kesepaduan warga Pakatan Rakyat dan rakyat umum yang menyokongnya akan menumpukan perhatian ke sana, sebuah pilihan raya kecil berskala besar justru Umno BN dijangka akan berhempas pulas untuk mempertahankan Dun tersebut, sementara Pakatan Rakyat pula – yang diwakili PAS - juga akan berusaha keras untuk menawan Tenang.

Kita yakin dengan suntikan semangat baru di konvensyen di Pulau Pinang itu, warga Pakatan Rakyat akan berusaha keras dengan penuh keazaman, mengatur strategi kempen dengan bijaksana.

Warga Pakatan Rakyat tentu saja mampu berdiri gagah di Dun Tenang ini justru ia telah menunjukkan kemampuan menangkis segala serangan politik musuh politik Pakatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan