Jumaat, 31 Disember 2010

AZAM TAHUN2 MENDATANG...MERAPAT2 DIRI DENGAN ALLAH SWT...MEMPERJUANG AGAMA ALLAH...MEMPERBAIKI AKHLAK...MEMBUANG SIFAT2 MAZMUMAH DAN MASUKKAN MAHMUDAH

SUK mula tugas angkat sumpah depan MB
Ismail Hashin

SHAH ALAM, 31 Dis: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, keutamaan beliau sekarang adalah untuk mengembalikan sepenuhnya kuasa mentadbir negeri kepada kuasa yang dipilih rakyat.

Abdul Khalid berkata, menjadi amalan biasa sebelum ini pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) terlebih dahulu mendapat penerimaan Sultan dan Menteri Besar (MB).

Tetapi menerusi isu menghapuskan kekebalan Sultan sejak 1993 oleh Umno, kuasa melantik SUK telah 'dilupuskan' daripada Sultan dan MB.

Sejak itu, jelasnya, tiada lagi kuasa sultan dan MB untuk melantik Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang selain SUK.

Namun menurutnya, dalam pada itu masih terdapat satu kuasa menteri besar iaitu, setiap SUK yang ingin memulakan tugas mesti mengangkat sumpah di hadapan MB.

Abdul Khalid menegaskan demikian dalam majlis solat hajat dan bacaan Yaasin yang diadakan di kediaman rasmi beliau di sini, malam tadi.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjamaah, ucapan dari MB dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, solat hajat, bacaan Yaasin dan solat Isyak yang dipimpin oleh Ketua Penerangan KeAdilan, Dr Mohd Nor Manuty.

"Dalam menjalankan amanah rakyat mentadbir negeri ini, membina satu pasukan terbaik adalah keperluan utama untuk sama-sama merancang dan bertukar fikiran.

"Selain itu, SUK mestilah orang yang berpengalaman, dapat berucap dan difahami rakyat, menguasai Bahasa Inggeris dengan baik terutamanya dengan pelabur.

"Paling utama juga, beliau mestilah mempunyai rasa kemesraan tentang perjuangan rakyat, mampu menjana negeri terulung di negara ini, pembangunan dan perusahaan serta sebagai negeri maju," tegasnya.

Meskipun bagi beliau, isu ini merupakan perkara kecil sahaja dalam pengurusan namun bimbang jika disalahgunakan bukan untuk membangun tetapi meruntuhkan Negeri Selangor.

Sementara itu, Khalid di dalam ucapannya berkata, Sultan sewajarnya tidak dilibatkan di dalam politik jika ingin mendapat sokongan dari keseluruhan rakyat.

Beliau juga berkata, sudah menjadi amalan sesiapa pun tidak hadir sesuatu majlis walimatul-urus jika tidak mendapat undangan hadiri kenduri berkenaan.

"Datuk Khusrin perlu faham-faham sendiri, nama beliau tidak ada dalam senarai jemputan sebagai SUK," sindirnya akhiri ucapan.



Najib di Selangor dan uniknya Tenang
Ahmad Lutfi Othman
Inikah bentuk transformasi politik Najib Razak? Apa ertinya jika sekadar menggantikan tiga pengerusi perhubungan Umno negeri dengan timbalan mereka? Ekoran itu, apa sebenarnya perubahan yang bakal dinikmati rakyat? Apa kena-mengena pergolakan dalaman Umno dengan impian warga Malaysia yang mahukan kehidupan lebih makmur, adil dan Islami?

Tuntutan agar sistem politik yang lebih berintegriti, bertanggungjawab, terbuka, telus, demokratik, menggalakkan partisipasi rakyat, tidak meminggirkan suara minoriti, perubahan menyeluruh proses pilihan raya, kebebasan bersuara, dan seterusnya senarai panjang yang perlukan reformasi segera, langsung tidak disentuh Najib. Pengumuman Tengku Adnan Tengku Mansor itu hanya merupakan sebahagian persiapan Umno mempertahankan sisa-sisa kuasa, dan tiada hubungan dengan transformasi politik negara.

Di kala semua negeri-negeri lain diketuai anak tempatan, bagaimana pula dengan tindakan mengekalkan Najib di Selangor dan pelantikan Isa Abd Samad sebagai Pengerusi Felda? Awal-awal lagi Isa menjelaskan misi utamanya sarat dan tebal dengan motif politik, bagi mengekang pengaruh pembangkang. Tunggulah karenah bekas menteri yang pernah disabitkan dengan amalan rasuah politik dalam pemilihan Umno itu, yang kini mendapat kepercayaan Najib bagi mempertahan kubu terakhir Umno di kawasan Felda.

Ketiga-tiga naib presiden Umno diminta melepaskan jawatan penting di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu, namun Najib sebagai pengerusi Umno di Selangor masih mempertahankan kedudukannya. Apakah ia bermaksud negeri termaju itu merupakan sasaran utama Umno-BN, yang tidak dapat tidak mesti ditawan semula dalam PRU13, walau dengan apa cara sekali pun? Ataupun timbalan pengerusi, Noh Omar belum cukup bersedia memikul tanggungjawab besar, selain dibimbangi tindak-balas pengikut Dr Khir Toyo jika Najib menyerahkan posisi strategik kepada Menteri Pertanian itu?

Apa pun, keputusan mempertahankan Najib di Selangor menunjukkan dengan jelas keseriusan Umno untuk menebus semula kekalahan BN yang memalukan pada Mac 2008. Selangor adalah lubuk emas yang tidak boleh dibiarkan lama berada di bawah seteru politik BN. Laluan ke Putrajaya tambah meyakinkan jika negeri-negeri maju dan kaya seperti Selangor kekal dikuasai Pakatan Rakyat. Justeru, usah terkejut dengan "permainan paling kotor" yang bakal dipersembahkan Najib di Lembah Klang.

Kontroversi perlantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baru, Mohd Khusrin Munawi, membayangkan "komplot" terancang BN itu. Pandangan Menteri Besar, Abd Khalid Ibrahim langsung tidak dipedulikan, malah tidak dimaklumkan pun.

Rombakan kepemimpinan Umno di Perlis lebih melucukan, sekali gus menonjolkan pertelingkahan serius. Bekas menteri besar, Shahidan Kassim yang dilantik timbalan Dr Md Isa Sabu awal-awal lagi menegaskan: "Jika tanya pasal gandingan, bagi saya itu suatu yang mustahil terutama untuk bekerjasama dengan individu yang saya lihat sebagai 'menyamun' jawatan saya sebelum ini."

Meskipun Ahmad Bashah Md Hanipah diberi kepercayaan mengetuai misi merebut Kedah daripada Pakatan Rakyat, yang jelas pengaruh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam pentadbiran Najib nampak menyerlah apabila Mukhriz Mahathir menjadi orang no. 2 di sana. Mukhriz tidak mempunyai apa-apa jawatan penting di peringkat Umno bahagian, tetapi dijangka akan ditonjolkan sebagai pesaing Menteri Besar, Ustaz Azizan Abd Razak. Serentak dengan itu, dipercayai beberapa pemimpin Umno negeri yang dikaitkan dengan Abdullah Ahmad Badawi bakal melalui laluan sukar.

Ahmad Said di Terengganu mungkin lega seketika namun pengikut Idris Jusoh dipercayai tidak semudah itu untuk menyerah kalah. Terengganu merupakan negeri yang sentiasa menyaksikan pertarungan sengit PAS-Umno sejak merdeka. Konflik dalaman mana-mana parti berkenaan boleh menjadi faktor besar dalam menentukan siapa menerajui kerajaan negeri.


II.

Sesi permukiman Harakah berjalan lancar Sabtu dan Ahad lalu. Penalis yang diundang bersikap terbuka dan terus-terang. Tanpa selindung, mereka melontarkan pandangan kritis dan teguran keras menusuk. Sememangnya harapan buat Harakah cukup tinggi terutama apabila menyedari akhbar di negara ini sentiasa dikongkong oleh akta yang menekan dan kepentingan politik elit penguasa.

Cabaran PRU13 menuntut bukan saja kesungguhan luar biasa petugas Harakah, tetapi juga kesediaan mereka untuk berubah dan memperbaiki kesilapan. Perkembangan pantas dunia maklumat akan meninggalkan mereka yang lembab, jauh di belakang. Kesempatan terbaik tidak selalu datang, dan sekiranya ia gagal dimanfaatkan dengan cepat dan cekap, Harakah akan dihukum sejarah.

Akhbar tanpa wibawa, dan yang dipertikai kredibilitinya, tentu gagal berperanan dengan berkesan, meskipun angka jualannya tinggi. Perang media kini semakin sengit dan kompleks. Usaha mempengaruhi pembaca, terutama kecenderungan mengundi, merupakan tugas cukup sukar. Sudut pandangan kita tidak mudah ditelan lagi, walaupun oleh ahli parti dan pembaca setia, sebaliknya terpaksa melalui proses saringan ketat.

Kesalahan yang dilakukan berulang-kali, termasuk dalam hal-hal yang dianggap kecil, seperti kesilapan ejaan dan susunan ayat berterabur, mempunyai pengaruh besar dalam melunturkan keghairahan pembaca. Kami amat menyedari hakikat persaingan dunia siber dan kematangan pembaca untuk memilih hanya yang terbaik.

Saya turut menerima pandangan pembaca melalui emel. Ternyata ramai yang mahukan Harakah bingkas menerajui gerakerja reformasi. Banyak kekeliruan yang gagal dijelaskan dengan baik. Isu-isu penting sering berlalu dan hilang begitu sahaja. "Kami mahukan liputan Harakah yang mudah untuk menangkis fitnah media BN, dengan dibantu fakta dan hiasan menarik," kata seorang peminat.

"Buat jadual bagi memudahkan pemahaman pembaca. Utamakan isu rakyat, jangan sendatkan dengan aktiviti Pakatan sahaja. Gambar biar jelas dan ada hubungan dengan berita, jangan tangkap muat. Banyak tajuk Harakah lembik tak bermaya, belajar daripada media Indonesia. Akhbar perlukan perancangan teliti, usah ambik mudah," seorang pembaca lain berkomentar panjang.


III.

Buku 'Islam dalam Perlembagaan Malaysia', tulisan Prof Dr Abdul Aziz Bari, cukup lama tersimpan di rak tanpa sentuhan. Karya terbitan Intel Multimedia and Publicatiion (2005) itu seperti tidak dipedulikan sehinggalah saya mengulas tentang ucapan Karpal Singh di Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat tempoh hari. Apabila Pengerusi DAP itu menyentuh hal Negara Islam, saya segera teringatkan idea Aziz bahawa Islam masih boleh dilaksanakan di negara ini melalui kerangka Perlembagaan. Satu idea yang cukup menarik dalam konteks realiti politik Malaysia.

Buku setebal 160 halaman ini mempunyai kekuatan tersendiri untuk memaku pembacaan saya. Huraiannya terhadap beberapa peruntukan Perlembagaan mengenai Islam, seperti Perkara 3, berbeda dengan pandangan yang biasa kita dengar. Beliau turut tidak bersetuju Malaysia dilabelkan sebuah negara sekular biarpun ia belum memenuhi ciri Negara Islam.

Ungkapan "Islam ialah agama bagi Persekutuan ..." seolah-olah mengisyaratkan negara ini mempunyai agama atau anutan tertentu seperti seorang manusia. Aziz turut mencatatkan: "Perlembagaan tidak menyebut bahawa undang-undang syariah tidak boleh dilaksanakan." Ditegaskan bahawa Perlembagaan yang ada tidak perlu dibuang hanya untuk melaksankan Islam. Ini kerana perlembagaan mempunyai mekanisme penyesuaian.

Pihak berkuasa negeri, katanya, boleh melaksanakan undang-undang jenayah Islam tetapi ia memerlukan pindaan Perlembagaan bagi (a) meminda Perlembagaan dan mengecualikan jenayah di bawah undang-undang Islam daripada bidang kuasa Persekutuan dan (b) menaikkan atau mengubahsuai undang-undang yang membataskan bidang kuasa mahkamah syariah tadi. Huraian beliau seterusnya segar dan tersusun.

Di antara tajuk-tajuk dalam buku ini ialah Islam di dalam Kerangka Perlembagaan Malaysia; Peranan Islam Melalui Kerangka Perlembagaan dan Perundangan Malaysia: Potensidan Masalahnya; Halangan Pelaksanaan Hukum Jenayah Islam di dalam Perlembagaan; Murtad dalam Konteks Kebebasan Beragama di Malaysia.

Aziz juga menjelaskan bahawa hujah-hujah yang mendakwa sifat sekular Perlembagaan itu sebenarnya tidak muktamad. Banyak undang-undang yang telah diluluskan bagi pelaksanaan Islam termasuk Akta Bank Islam 1983. Perhatikan analoginya: "Kalau Perlembagaan -- sebagaimana yang disebut Suruhanjaya Reid -- yang hendak mendaulatkan demokrasi boleh menerima undang-undang yang antidemokrasi, mengapa Perlembagaan tidak boleh menerima Islam tidak boleh menerima Islam, yang tidak ditentangnya secara jelas?"

Buku berharga RM20 ini memang memerlukan penelitian agak serius, namun penjelasannya mudah diikuti. Ia mungkin dapat menjawab beberapa persoalan yang sering dibangkitkan dalam polemik kaedah pelaksanaan Negara Islam di Malaysia. Sama ada memang benar Perlembagaan itu menjadi halangan utama atau ia sedia diubahsuai sekiranya ada keazaman politik yang tinggi?

Seperti diakui Aziz: "Meskipun ruang yang ada agak terhad kepada pelaksanaan undang-undang Islam, ia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya." Tulisan pakar perlembagaan ini elok untuk dibahaskan dengan lebih lanjut.


IV.

Pilihan raya kecil Tenang mempunyai keunikan tersendiri. Ia diadakan di negeri yang dahulunya dikenali sebagai kubu terkuat Umno. Kini PAS sudah ada dua wakil dalam Dun Johor. Konstituensi campuran di kawasan desa ini bakal menyaksikan, apakah kemenangan BN di Hulu Selangor, Batu Sapi dan Galas adalah trend yang menakutkan Pakatan Rakyat atau akan terhenti di Labis?

(Peratusan komposisi pengundi di Tenang itu, jika diaplikasikan kepada situasi di Lembah Klang ataupun suasana di Perak atau Kedah, ia pasti memihak Pakatan Rakyat).

Melalui siri PRK, PAS mempertahankan Bukit Gantang, merampas Kuala Terengganu, melepaskan Galas dan kekal kalah di Bagan Pinang. Di kala setiap parti giat melakukan persiapan, Tenang bakal membawa implikasi menarik menjelang PRU13. PAS memikul amanah dan panji-panji Pakatan. Misi ke Putrajaya terbuka kepada tafsiran yang begitu luas selepas 30 Januari nanti.

Di Semenanjung, hanya Johor tetap dianggap negeri selamat buat BN. Walaupun Melaka belum mempunyai Adun pembangkang Melayu, namun sekiranya Negeri Sembilan dapat "dilanggar" Pakatan (selepas majoriti dua pertiga BN dinafikan dalam sidang Dunnya dalam PRU12), Ali Rustam mungkin terpaksa mengangkat bendera putih, apatah lagi pengaruh DAP di kalangan masyarakat Tionghua Melaka begitu kental.

Tenang juga mempunyai hubungan sentimental yang cukup signifikan dengan MCA. Bekas presidennya, Ling Liong Sik selama empat penggal menjadi Ahli Parlimen Labis. Kini Presiden MCA, Chua Soi Lek, yang terpaksa menyerahkan kerusi itu kepada anaknya pada 2008, berdepan cabaran getir. MCA yang tewas teruk dalam PRU12 sama sekali tidak boleh mengizinkan Tenang mencalarkan lagi imejnya, apatah lagi di tangan PAS.

Soi Lek pasti sudah siap dengan perencanaan rapinya dalam pertarungan paling kritikal ini. Walaupun calon BN adalah daripada Umno, tetapi yang paling terkesan dengan keputusan nanti adalah MCA.

Pengundi Melayu yang berpusat di kawasan Felda turut diuji. Percubaan pertama Isa Samad dinantikan. Beliau pasti mahu menunjukkan kejaguhannya kepada Najib. Namun, siapa menduga peneroka Felda Melayu di Johor akan membuat kejutan di Tenang? Ya, cukup banyak sudut menarik yang boleh diulas nanti. Jumlah pengundinya tidak ramai, sekitar 15,000 tetapi undian mereka boleh merubah lanskap politik negara, atau ... ia sekadar rutin biasa sahaja?





Selamat datang Teo Nie Ching
Nasrudin Hassan Tantawi
1. Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching hari ini difahamkan membuat ikrar bahawa beliau akan terus melawat masjid sekalipun dikritik hebat oleh media ekoran tindakan beliau sebelum ini memasuki surau dan membuat ucapan di dalamnya serta mengadakan senamrobik di perkarangan Masjid Taman Cheras Jaya .

2. Saya mengalu - alukan ikrar sedemikian sekaligus menunjukkan Teo Nie Ching telah mula tertambat hati dengan rumah Allah [ samaada surau atau masjid ] dalam keadaan ada sebahagian ummat Islam sendiri rasa tidak berminat untuk mengunjungi surau dan masjid apalagi untuk duduk bersimpuh di dalamnya demi mendalami agama atau i'tikaf mendekatkan diri kepada Allah swt.

3. Mudah - mudahan ikrar itu sebagai permulaan untuk beliau melihat dari dekat bagaimana akhlak dan cara hidup Islam yang murni serta menghakis saki baki rasa keliru terhadap agama Islam . Memahami Islam dari sumbernya yang betul adalah menyelamatkan seseorang daripada keliru setelah melihat sebahagian ummat Islam sendiri tidak mematuhi hukum hakam Islam .

4. Sementara penganjur atau Imam dan AJK masjid - masjid yang bakal dilawati oleh Teo nanti mestilah mengambil langkah pro aktif untuk memberi penjelasan dan gambaran yang tepat mengenai Islam kepada beliau. Bukan hanya kehadhiran Teo untuk menyelesaikan tugasan politik beliau sebagai wakil rakyat atau ahli parlimen tetapi juga sebahagian dari tugas beliau sebagai pemimpin ialah memahami agama dan budaya rakyat yang diwakilinya.

5.Masjid mestilah peka dan aktif menjadi sebuah institusi untuk menyampaikan risalah Islam kepada seluruh ummat manusia samaada muslim atau non muslim .Justeru masjid bukan hanya tempat untuk mengerjakan solat tetapi mestilah menepati sebuah institusi ummah yang lengkap dengan aktiviti atau gerakkerja menyebarkan risalah suci agama Islam yang diwahyukan oleh Allah swt.

6. Malah masjid selayaknya menjadi pusat pengajian akademik , pusat rawatan , pusat kebajikan dan seumpamanya demi menjaga kemaslahatan dan kebaikan ummah. Menjauhkan orang dari masjid adalah suatu yang bertentangan dengan spirit penubuhan masjid itu sendiri . Wajarlah kita bersyukur kepada Allah swt dalam keadaan ramai orang menjauhkan diri daripada masjid tiba - tiba Yb Teo Nie Ching berikrar mahu terus mengunjungi masjid . Saya mengucapkan selamat datang kepada beliau .

7. Namun begitu suka saya tegaskan bahawa Teo Nie Ching pula wajarlah diberitahu beberapa perkara berkaitan adab dan akhlak atau moral yang perlu dipelihara sewaktu beliau melawat atau mengunjungi masjid. Kerana mengunjungi masjid sebagai rumah ibadah dan tempat suci ummat Islam tentunya berbeza dengan lawatan beliau ke pasar atau rumah - rumah kediaman biasa.

8. Antara yang mudah dan asas terlebih dahulu perlu diberi perhatian oleh Teo Nie Ching ialah memastikan tindak - tanduk serta penampilannya tidak mencetus rasa singgung hati dari kalangan ummat Islam seperti cara berpakaian . Selayaknya Teo tidak mengenakan pakaian yang ketat , sendat , singkat serta mendedahkan bahagian - bahagian tubuh kerana ia mencemarkan kemuliaan Islam. Jangan tiru pemakaian yang menjolok mata sekalipun ia dipakai oleh sebahagian ummat Islam . Kerana pakaian sedemikian dicela oleh Islam sekalipun pemakainya adalah orang Islam sendiri . Orang Islam yang memakai pakaian yang mendedahkan aurat apatah lagi menjolok mata akan dimurkai dan dilaknat oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia .

- Sebahagian adab yang perlu diberi perhatian juga ialah , hadhir ke masjid janganlah bermaksud mempersenda rumah Allah dengan perlakuan yang tidak layak dan sopan. Imam dan AJK masjid bertanggungjawab memastikan perkara seperti ini , namun jangan menyukarkan keadaan sehingga tertutup hati orang yang mahu mengunjung dan mendekati diri dengan masjid lantaran itu adalah peluang keemasan untuk pihak masjid berdakwah. Bukan senang nak dapat peluang orang nak datang ke masjid dalam keadaan dunia hari ini ramai pula yang mahu menjauhkan diri dari masjid.

[ kesemua adab atau etika mengunjungi masjid adalah terpakai kepada semua terutama orang Islam sendiri . Jika non muslim tidak boleh berpakaian menjolok mata dan berkelakuan tidak sopan ketika mengunjungi masjid maka demikian jugalah muslim/ah ]

9. Kesempatan ini saya juga mahu menegur pemimpin - pemimpin ummat Islam , tidak kira dari mana parti dia wakili [ terutama parti pemerintah kerana mereka pemimpin negara ] agar tidak mendedahkan aurat atau menjaga agar isteri dan anak - anak mereka tidak mendedahkan aurat serta menjebakkan diri dalam kancah maksiat dan mungkar. Barulah ia menjadi contoh yang baik kepada masyarakat dan orang ramai seperti Teo Nie Ching . Kalau isteri pemimpin negara sendiri tidak menutup aurat , maka bagaimanalah pemimpin itu mahu menegur Teo Nie Ching ? tentu ia suatu yang sangat memalukan .

10. Saya menyeru terutama kepada pimpinan pemuda PAS agar mula aktif dan untuk memberi penjelasan mengenai Islam kepada semua termasuk non muslim . Islam adalah untuk semua . Islam juga adalah penyelesaian kepada masaalah yang dihadapi oleh manusia . Tidak ada sebab manusia mahu menolak Islam agama yang diwahyukan oleh Alllah swt Tuhan yang mencipta manusia itu sendiri




100 Hari: Pakatan bentuk negara lebih baik
Harakahdaily

PETALING JAYA, 31 Dis: Janji 100 hari Kerajaan Pakatan Rakyat menuju Putrajaya adalah suatu yang azam yang benar dan menjanjikan suatu perubahan yang pasti buat pembentukan sebuah Malaysia yang lebih baik.

Demikian kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin (gambar) sempena menyambut 2011.

“Hatta, bersempena tahun baru 2011, dengan rendah hati dan penuh kesyukuran saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 buat semua warganegara yang dibela, yakni keseluruhan rakyat Malaysia umumnya, dan warga Parlimen Ampang khasnya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, beliau berkata menyedari hakikat tahun baru yang tiba, setiap warga Malaysia haruslah terus menanamkan sikap keadilan dan senantiasa menjunjung tinggi prinsip Perlembagaan Berdemokrasi sebagai cara pilihan kehidupan yang adil dan sejahtera.

Katanya, sorotan 2010 banyak memberi keinsafan kepada kita, namun nampaknya tidak kepada pemerintah.

Beliau menambah, kerakusan kerajaan Umno BN menaikkan harga barang, menyalahgunakan kuasa, memporak-perandakan institusi kehakiman, menginjak-injak maruah dan terus menodai hak rakyat adalah sesuatu yang amat dikesali dan tidak boleh dimaafkan.

Katanya, kronologi salah laku kerajaan Umno BN andai dibukukan pun belum tentu entah berapa ribu muka surat dapat ditulis.

Menurutnya, fitnah demi fitnah, rasuah demi rasuah, pembaziran demi pembaziran yang terus tidak berkesudahan selama 53 tahun pemerintahan Umno BN.

“Maka, dengan khabar menjelangnya Pilihanraya Umum ke-13 yang semakin hampir, saya yakin, semua pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan gentar dan bersedia menghadapinya,” ujarnya




Jangan sampai rakyat kata kerajaan buruk siku
Dumexjiman

Terima kasih diucapkan kepada kerajaan Barisan Nasional atas insentif untuk kakitangan kerajaan sebanyak RM500 pada bulan Disember. Terpancar sedikit senyuman di wajah mereka.

Setidaknya duit tersebut dapat meringankan beban ibu bapa bagi persediaan persekolahan anak-anak.

Di dalam kesibukan ibu bapa menyediakan perihal sekolah anak-anak, secara sedar atau tidak pada bulan itu juga pihak polis mengadakan diskaun untuk saman trafik. Secara kasar ianya tidak nampak cacat celanya, akan tetapi bila di teliti ia tidak lebih dari mengambil kesempatan atas pemberian bonus tersebut.

Persoalannya, mengapa bulan Disember dipilih untuk mengadakan diskaun tersebut. Mengapa tidak diadakan pada bulan Mac, selepas keadaan kewangan rakyat kembali selesa.

Dalam berita sibuk mengatakan yang tawaran diskaun tersebut tidak mendapat sambutan, walhal waktu ini semua sedia maklum yang wang perlu ditumpukan pada persekolahan anak-anak.

Maka saya mohon agar pihak PDRM memikirkan hal tersebut, jangan sampai rakyat kata "KERAJAAN BURUK SIKU".

Baru diberikan bonus RM500 dan secara senyap minta PDRM ambil semula..

Satu lagi yang dikatakan "RAKYAT DIDAHULUKAN".

Dumexjiman,

Bandar Tun Hussein Onn.




XPDC dakwah Gamis sambut 2011

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Dis: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menjemput seluruh mahasiswa dan anak muda Malaysia bersama-sama menyertai XPDC Dakwah tahun baru 2011 di sekitar KLCC pada hari ini.

“XPDC ini adalah sebagai salah satu usaha mahasiswa Islam yang sayangkan masysrakat Malaysia terutama golongan muda yang banyak terlibat dengan aktiviti tidak sihat dan gejala sosial ketika meraikan sambutan tahun baru seperti seks bebas, minum arak dan berpakaian tidak senonoh,” ujar timbalan pengarah program, Syahirah Zulkifli.

Katanya, Gamis melalui Majlis Dakwah dan Kebajikan Nasional telah menjadikan XPDC itu sebagai acara tahunan mahasiswa sebagai usaha memberi khidmat kaunseling secara terus dari mahasiswa ke masyarakat dalam usaha membantu kerajaan mengurangkan masalah buang bayi dan seks bebas.

Dengan itu, pihaknya menjemput seluruh mahasiswa Malaysia sebagai mahasiswa yang prihatin untuk turun bersama-sama dalam program tersebut.

Tambahnya, antara agenda utama pada malam nanti adalah solat hajat di Masjid As-Syakirin KLCC, mengedarkan risalah, ucapan umum mahasiswa, forum dan khidmat kaunseling.

Mahasiswa, ujatnya diminta berkumpul di Masjid KLCC sekitar jam 6.30 petang untuk mengelakkan kesesakan untuk sampai di sana, diteruskan dengan solat Maghrib, solat hajat berjemaah sempena tahun baru, solat Isyak dan diteruskan dengan forum di masjid KLCC dan yang terakhir mengedarkan risalah.

Untuk memudahkan mahasiswa ke sana, boleh menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan LRT dan terus ke KLCC.

Tambahnya, untuk pertanyaan dan maklumat lanjut boleh rujuk di blog rasmi Gamis di www.mygamis.blogspot.com




Tak mampu tenangkan gelora Umno Kedah
Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 31 Dis: PAS dan Pakatan Rakyat Kedah merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kerana memilih Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah dan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai gandingan 'terbaik' untuk meneraju Umno di negeri ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang ditemui berkata, perlantikan kedua-dua tokoh itu dilihatnya tidak mampu mendatangkan ancaman besar kepada Pakatan Rakyat Kedah.

"Perlantikan kedua-dua tokoh itu membuktikan bahawa Umno sudah ketandusan pemimpin yang berkarisma untuk diangkat sebagai calon Menteri Besar sekiranya mereka berjaya merampas kembali negeri ini dalam pilihan raya akan datang.

"Ahmad Bashah bukan sahaja dikenali di kalangan ahli-ahli Umno sebagai pemimpin yang kurang berkemampuan, malah mereka juga tak yakin dengan kredibilitinya untuk bersaing dengan Datuk Seri Ustaz Azizan Razak sebagai Menteri Besar yang telah berjaya memimpin pentadbiran negeri dengan baik walaupun baru tiga tahun diberi kepercayaan berbuat demikian," katanya.

Mahfuz yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah turut mempunyai alasan untuk meragui keupayaan Mukhriz bergandingan dengan Ahmad Bashah memimpin Umno Kedah.

"Saya melihat Mukhriz yang dilantik sebagai timbalan kepada Ahmad Bashah sebagai 'orang baru' yang diangkat naik bukan dengan keupayaan sendiri tetapi menumpang populariti orang lain, iaitu bapanya Tun Mahathir Mohamed.

"Beliau juga merupakan pemimpin Umno di Kubang Pasu yang jarang sekali menghadiri mesyuarat bahagian kerana tidak sebulu dengan beberapa pemimpin di situ yang dikatakan bertanggungjawab dalam komplot menyingkirkan bapanya sebagai perwakilan ke perhimpunan Umno suatu ketika dulu," ujarnya.

Mahfuz turut berpandangan, perlantikan kedua-dua tokoh itu sukar untuk menenangkan gelora politik dalaman Umno Kedah apabila tumbang dalam piihan raya lalu, sebaliknya Pakatan Rakyat akan merintis jalan mudah untuk mempertahankan kemenangan yang sedia ada.

"Saya dihubungi ramai orang-orang lama Umno Kedah, ada di antara mereka yang masih aktif berpolitik dan sebahagiannya telah bersara dan mereka turut berkongsi berpandangan sama dengan saya.

"Walau bagaimanapun, kita amat mengalu-alukan perubahan dalam pucuk kepimpinan Umno Kedah dan berharap kepimpinan baru ini akan memberi kerjasama sebaik mungkin kepada kerajaan negeri.

"Saya juga harap mereka tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan amalan demokrasi di samping bersikap lebih terbuka menerima sebarang kritikan," katanya.

Rombakan badan-badan perhubungan Umno, Isnin lalu telah melantik Ahmad Bashah untuk mempengerusikan Umno Kedah, manakala, Mukhriz dilantik sebagai timbalan berkuatkuasa 1 Januari nanti.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan