Khamis, 18 November 2010

JIKA IA JAHIL TAK MAHU MENGAJI AGAMA...RASUAH..FITNAH...ZINA..ZALIM DLL ..BIASA AJE...GULUNGAN NI DA TAK TAKUT NERAKA...SYAITAN DAN KAWAL MEREKA INI

Ahmad Maslan menteri penuh, Khairy timbalan?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Nov: Desas desus rombakan kabinet didakwa bakal menyaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan akan menjadi menteri penuh manakala Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebagai timbalan menteri.

Sumber-sumber memaklumkan rombakan tersebut dijangka diumumkan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak minggu depan atau awal bulan Disember

Empat menteri disebut-sebut akan digugurkan. Mereka ialah Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia dan Sukan); Datuk Shaziman Mansor (Kerja Raya); Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Seri Ng Yen Yen (Pelancongan).

Beberapa menteri pula dijangka bertukar kementerian seperti Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang kini Menteri Dalam Negeri dipindahkan ke Kementerian Pertahanan.

Dua bekas menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur yang kini Setiausaha Agung BN dan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said akan kembali ke kabinet.

Jika ianya benar,beberapa penganalisis politik melihat ianya sebagai petanda bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir dan Najib sedang memperkemas pasukannya.

Mereka tidak menolak kemungkinan PRU-13 akan diadakan tahun hadapan berasaskan BN pada waktu ini yakin mereka telah mendapat kembali sokongan rakyat.

Penanda aras paling akhir bagi mereka setakat ini adalah Pilihan Raya Kecil Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan calon mereka.

Beberapa pihak turut mendakwa cadangan melantik Ahmad Maslan ke jawatan menteri penuh kerana "sumbangan" besarnya menjadi jurucakap dalam isu Felda.

Beliau dilihat paling menonjol membela dakwaan "salahurus" dalam Felda biarpun dalam beberapa kes mahkamah yang dimenangi peneroka.

Rombakan kabinet kali ini juga dilihat sebagai peluang terakhir bagi ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyertai kabinet sebelum pilihan raya umum akan datang.

Khairy tidak dilantik menganggotai kebinet apabila Najib mengambil alih pentadbiran April lalu, sedangkan Datuk Mukhriz Mahathir yang mencabarnya bagi jawatan nombor satu pergerakan itu, mengisi jawatan timbalan menteri.

Selain itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim juga dilantik sebagai timbalan menteri


Jadikan masjid tempat ilmu, satukan ummah
Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 18 Nov: Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim berharap masjid sebagai rumah Allah menjadi tempat yang subur dengan majlis ilmu dan menyatukan ummah.

Beliau juga menyeru Islam untuk mengorbankan waktu lima kali sehari semalam untuk memenuhi masjid dan surau bagi memastikan tidak berlaku fenomena kekurangan jemaah.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak menyeru umat Islam mengorbankan waktu yang ada untuk menimba ilmu agama di mana sahaja.

Tegasnya, ilmu merupakan pusaka yang terbaik yang boleh diwarisi kepada anak-anak.

“Dengan ilmu, anak-anak kita akan mencapai matlamat kehidupan dan reda Allah SWT.

"Sesungguhnya para jemaah mestilah bertanggungjawab untuk memastikan rumah Allah ini tidak kosong dari jemaah, juga kita mesti pastikan anak-anak kita sudah dididik dengan ilmu agama secukupnya," katanya semasa berkhutbah Hari Raya Aidil Adha di Surau Parit Haji Nasir, di sini semalam.

Khalil yang ditemui selepas itu menyatakan bahawa kehidupan masyarakat dalam Dun Titi Serong adalah amat sinonim dengan masjid dan surau.

"Oleh itu program ‘Mesra Masjid dan Surau’ yang pernah saya katakan sejak awal saya menang di sini masih diteruskan sehingga sekarang," jelasnya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Sehubungan itu, beliau juga mengharapkan pihak jawatankuasa masjid dan surau dalam Dun itu sudi untuk menyampaikan maklumat sekiranya terdapat masalah dan keperluan yang perlu diambil perhatian.

"Sekiranya kita mampu untuk membantu, kita akan usahakan melalui saluran tertentu, yang penting pejabat kami kenalah diberikan aduan terlebih dahulu.

"Kerana itu saya sangat menghargai pihak jawatankuasa masjid dan surau dalam Dun Titi Serong yang sentiasa mengambil langkah untuk mengimarahkan rumah Allah.

“Selain dari solat berjemaah, banyakkan menganjur kelas-kelas pengajian di samping mengadakan aktiviti rutin mingguan seperti bacaan Yaasin pada malam Jumaat, dan sambutan hari kebesaran Islam secara terus menerus," ujarnya lagi


Majlis Qurban perkukuh ukhuwah
PAS Miri

MIRI, 18 Nov: Program Qurban dan Kebajikan PAS Miri 1431H berjaya dilaksanakan dengan jayanya di sekitar Dun Senadin.

Bermula program puasa sunat Hari Arafah pada Selasa, 9 Zulhijjah dan iftar petugas PAS di semua peringkat meraikan Idul Adha 1431H dengan sederhana sekali.

Buat julung kali, dua ekor lembu dikorbankan pada pagi hari yang mulia, semalam dengan dana disumbangkan oleh ahli dan petugas PAS Kawasan Miri.

Selain sumbangan barang keperluan yang disumbangkan sejak hari Isnin kepada penduduk sekitar Kampung Tukau,Tudan dan Luak, program kali ini turut melibatkan agihan korban pada Idul Adha.

Sebanyak 180 bungkusan daging korban yang telah diedarkan di setiap pelosok kampung sekitar Miri termasuk Kuala Baram.

Suasana ukhuwah dan gembira jelas terpancar di wajah para penerima pada hari yang mulia ini.

Program diketuai Setiausaha PAS kawasan, Arif dan AJK Pemuda dan Muslimat.

Satu Majlis Jamuan Idul Adha akan diadakan di rumah Yang Dipertua PAS kawasan pada hari tasyrik terakhir, Sabtu ini bersempena dengan majlis aqiqah beberapa anggota PAS Miri yang baru menerima cahaya mata


Kedai tutup: Presiden MCA salahkan Aidil Adha
Harakahdaily

KOTA BHARU, 18 Nov: Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sekali lagi cuba mencetuskan isu untuk membelasah PAS semalam apabila mempersoalkan mengapa kebanyakan kedai di Kota Bharu tutup sempena sambutan Aidil Adha.

“Disebabkan Hari Raya Haji, semua kedai nampak tertutup untuk sambutan ataupun ini adalah arahan daripada majlis tempatan? Ia sunyi di Kota Bharu,” soal Chua di Twitter walaupun sememangnya umum diketahui bahawa sambutan Hari Raya Haji di Kelantan dan beberapa negeri lain adalah jauh lebih meriah berbanding Hari Raya Aidilfitri.

Kenyataan bekas Menteri Kesihatan yang pernah terpalit dengan skandal seks apabila videonya dengan seorang wanita tersebar di khalayak ramai, menerima kritikan keras daripada ahli parlimen Batu, Tian Chua yang menyelar Chua cuba menjadikan cuti sambutan Aidil Adha sebagai satu isu.

Kenyataan Chua turut dibidas oleh para pengikutnya di Twitter sehingga beliau dituduh sebagai seorang ahli politik yang bangkrap idea.

“Reportlah polis. Minta suruhanjaya diraja. Buat demo ke,” cabar seorang pengguna Twitter Noor Azam yang juga kelihatan tersinggung dengan kenyataan Chua.

Ini bukan kali pertama presiden MCA itu menonjolkan kedaifannya terhadap hal-hal berkaitan Islam.

Pada bulan Ogos yang lepas, Chua telah menimbulkan kontroversi apabila mengatakan antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam.

Beliau turut mendakwa pertarungan keIslaman antara Umno dan PAS sebagai punca utama negara terperangkap dalam golongan negara berpendapatan sederhana untuk sedekad yang lalu.

Kenyataan Chua tersebut menerima kritikan pedas dari ahli politik kedua-dua sisi dan disebabkan itu, sebagai jalan keluar bekas menteri Kesihatan telah menyalahkan online portal Malaysiakini dan The Malaysia Insider kerana 'salah memetik' kenyataannya




PAS tidak perlu ceramah jika media adil
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 18 Nov: PAS tidak akan bergelut lagi mengatur ceramah menerangkan isu kepada rakyat sekiranya media di Malaysia bersikap adil, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Ketika ditemui selepas menyampaikan khutbah Aidiladha di Markaz Tarbiah PAS Negeri Pulau Pinang di Pongsu Seribu, semalam beliau menyokong penuh tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang tidak membenarkan media pro Umno BN membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah.

(Gambar: Mohamad Sabu menyembelih lembu korban.)

Beliau menambah, isu banjir tidak sepatutnya dijadikan isu politik sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan negeri membantu mangsa banjir.

"Jika media di Malaysia bersikap adil dengan memberi ruang untuk PAS dan parti dalam Pakatan Rakyat bersuara di mana-mana siaran sama ada cetak atau elektronik, saya yakin PAS tidak payah lagi berceramah di sana ke mari malahan boleh menumpukan pada gerakan kebajikan dan dakwah," jelasnya.

Ini tidak, katanya media bersikap seperti 'jakun' membantu kerajaan BN yang nyata zalim serta takut kepada erti kekalahan sebenar.

Justeru itu, ujarnya mereka sanggup menggadai prinsip dan etika kewartawanan semata-mata mahu mengikut telunjuk kepimpinan yang telah terbukti rasuah dan melakukan penyelewengan.

"Mereka tetap jakun dari dulu sehingga hari ini, tidak sebagaimana media di Indonesia, Thailand dan Vietnam bakal mengikut rentak negara berkenaan," tegasnya.

Sementara itu, semasa berkhutbah beliau berpesan kepada umat Islam supaya memperhambakan diri kepada Allah Taala dengan melaksanakan semua suruhan sama ada ianya masuk akal atau sebaliknya.

Menurutnya, Nabi Ibrahim a.s. yang mendapat mimpi untuk menyembelih anaknya Ismail a.s terus sahaja melaksanakan arahan tersebut biarpun ianya tidak lojik bagi manusia yang jahil.

"Anak yang sedang membesar mana boleh dikorbankan, mesti ada perasaan sayang dan kasih. Tetapi, kerana ianya suruhan Allah SWT kena dituruti," jelasnya dalam program Korban Perdana anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang.

Lima ekor lembu dikorbankan dan dibahagikan kepada fakir miskin di cawangan-cawangan


Haji: Bukan hanya ibadah ritual tapi Islam masuk Yathrib

Nik Nasri Malek

Musim haji bukan sahaja disibukkan dengan urusan menunaikan ibadat haji, tetapi dalam sejarah Islam telah digunakan oleh Nabi SAW untuk menyebarkan Islam ke Yathrib. Dalam kitab al-Madinah al-Munawwarah: Fajr al-Islam wa al-Asr ar-Rashidi jilid 1 ms 100-102 disebut Islam masuk ke Yathrib melalui 5 peringkat dan ia mula berlaku di musim haji. Peringkat-peringkat itu ialah:

1. Musim haji tahun ke 11 kenabian: Nabi melintasi beberapa orang pemuda Yathrib dari kalangan Khazraj di Mina menawarkan kepada mereka Islam, membacakan al-Quran. Pemuda-pemuda ini teringat kata-kata Yahudi di Yathrib bahawa Yahudi mengambil ‘berkat’ nama Muhammad sehingga mereka menang perang mengalahkan kabilah Arab. Lalu pemuda-pemuda ini sedar bahawa Muhammad yang sedang menawarkan Islam di Mina inilah orang yang disebut-sebut oleh Yahudi itu. Mereka menerimanya. Semenjak itu nama Nabi Muhammad SAW tersebar di Yathrib.

2. Musim haji tahun ke 12 kenabian: 12 lelaki Yathrib menemui Nabi di Aqabah, mengambil janji setia beriman kepada Allah dan tidak melakukan akhlak keji seperti bunuh, zina, curi, bohong dan lain-lain sifat keji. Baiah Aqabah pertama ini dipanggil Baiah Nisa’ kerana tiada jihad di dalamnya. Nabi SAW menghantar Mus’ab bin Umair ke Yathrib untuk mengajar dan menyampaikan Islam di sana.

3. Musim haji tahun ke 13: Lebih 70 orang Yathrib menemui Nabi SAW di Aqabah. Mengambil janji setia dengan Baginda dalam Baiah Aqabah ke 2 untuk taat dan dengar ketika rajin dan malas, suka atau tidak, tidak takut celaan orang yang mencela dan bersedia mempertahankan Nabi sebagaimana mereka mempertahankan anak isteri mereka. Nabi SAW memilih 12 naqib/ketua iaitu 9 orang dari Khazraj dan 3 orang dari Aus untuk memastikan Baiah itu dilaksanakan.

4. Para Sahabat Nabi SAW mula berhijrah seorang demi seorang, satu kumpulan demi satu kumpulan setelah diizinkan oleh Nabi berhijrah ke Yathrib.

5. Nabi SAW tiba di Yathrib bersama Abu Bakar Isnin 12 RabiulAwwal tahun pertama Hijrah.

Jelas kepada kita bahawa musim haji bukan sahaja musim untuk menunaikan ibadah haji secara ritual atau melengkapkan rukun Islam ke 5 tetapi punya nilai taqwa tinggi apabila di musim haji inilah Islam mula memasuki hati manusia di Yathrib yang datang ke Mekah menunaikan haji sehingga akhirnya tegak negara Islam di Madinah yang menjalankan dan melaksanakan bukan sahaja ibadah haji tetapi juga keseluruhan Islam itu.

Nik Nasri Malek,

Kemaman, Terengganu


Jauhi rasuah, fitnah dan zalim sesama manusia
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Umat Islam diajak memulakan proses penghayatan semangat Aidiladha di dalam setiap kehidupan terlebih dahulu selaku individu muslim.

“Marilah kita tingkatkan penghayatan diri kita terhadap kefahaman ajaran Islam dan membudayakan seluruh perintah dan larangan agama di dalam kehidupan diri,” kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Muhamad Razak Idris.

Katanya, umat Islam juga hendaklah meningkatkan kegiatan kerohanian dan mengukuhkan nilai-nilai luhur dan kualiti dalam kehidupan seharian dan kerjaya.

“Hal ini tentu sekali menuntut kita menghayati perintah beramanah dan berintegriti di dalam setiap pekerjaan.

“Kita hendaklah menjauhi perbuatan rasuah, menjauhi fitnah dan zalim terhadap sesama manusia,” ujarnya dalam perutusan Aidiladha 1431 Hijrah yang disambut hari ini.

Tambahnya, kesemuanya itu akan dapat disempurnakan menerusi kekuatan kerohanian yang berteraskan kepada keyakinan serta kepatuhan sepenuhnya terhadap Allah S.W.T

Berikut adalah perutusan penuh beliau.

Tahmid kesyukuran ini melambangkan kerendahan hati manusia di dalam mengabdikan diri setulus-tulusnya terhadap Allah s.w.t. Sesungguhnya, Aidil Adha mempunyai pengajaran yang amat besar kepada kehidupan kita sebagai seseorang Muslim dan umat Islam. Dalam hubungan ini, antara pengajaran terbesar sekali ialah tentunya tentang semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail di dalam menyempurnakan perintah Allah. Pengorbanan baginda mereka di dalam menjunjung perintah Allah adalah lambang kepatuhan tertinggi seorang hamba kepada Penciptanya.

Penghayatan serta kefahaman terhadap pengorbanan yang dilakukan baginda seharusnya diinsafi serta dihayati oleh seluruh umat Islam, terutama di kalangan para belia. Selaku kelompok teras masyarakat, para belia mempunyai kekuatan untuk memainkan peranan sebagai agen perubah yang positif terhadap persekitaran mereka. Peranan ini boleh dijayakan menerusi proses penghayatan semangat Aidiladha dalam konteks pengukuhan semangat pengorbanan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada seluruh ajaran Islam di dalam amalan dan penghayatan diri.

Kita yakin, sekiranya penghayatan semangat pengorbanan dan ketaatan yang tinggi ini dapat dijelmakan, sebagai agen perubahan, para belia akan mendorong kewujudan sebuah persekitaran hidup yang bercorak Islami sejajar dengan tuntutan syariah. Persekitaran yang Islami adalah prasyarat asas yang akan membawa kepada sebuah kehidupan yang yang diberkati dan seterusnya membawa kepada kelahiran umat terbaik - khayra ummah.

Bagi tujuan tersebut, marilah kita memulakan proses penghayatan semangat Aidiladha ini di dalam setiap kehidupan diri kita terlebih dahulu selaku individu Muslim. Marilah kita tingkatkan penghayatan diri kita terhadap kefahaman ajaran Islam dan membudayakan seluruh perintah dan larangan agama di dalam kehidupan diri. Kita juga hendaklah meningkatkan kegiatan kerohanian dan mengukuhkan nilai-nilai luhur dan kualiti dalam kehidupan seharian dan kerjaya.

Hal ini tentu sekali menuntut kita menghayati perintah beramanah dan berintegriti di dalam setiap pekerjaan. Kita hendaklah menjauhi perbuatan rasuah, menjauhi fitnah dan zalim terhadap sesama manusia. Kesemua ini akan dapat disempurnakan menerusi kekuatan kerohanian yang berteraskan kepada keyakinan serta kepatuhan sepenuhnya terhadap Allah S.W.T, yang disegarkan melalui amalan-amalan kerohanian seperti solat sunat, membaca Al-Qur’an serta zikir.

Semoga Allah swt merahmati segala urusan kehidupan kita semua dan memberi kekuatan untuk kita terus gigih dan komited di medan dakwah. Dan khusus untuk para jemaah haji di Mekah, bagi pihak Abim, kami mendoakan semoga semua memperoleh haji dan mabrur dan sentiasa berada di dalam kesihatan yang terbaik untuk menyempurnakan ibadah terpenting Islam ini. Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan