Selasa, 16 November 2010

JANGAN MENUDUH...SEDANG YANG MENUDUH PUN BIH KURANG....BIARLAH BERSIKAP ADIL

Hayati pengorbanan Siti Hajar laksana amanah Allah
Nuridah Mohd Salleh

Seringkali kita dipaparkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya Nabi Ismail a.s. apabila menjelang kedatangan Eidul Adha. Peristiwa yang menggambarkan keimanan yang kental dan keyakinan yang jitu, ketaatan dan pengorbanaan diantara seorang ayah dan anak lelakinya terhadap perintah Allah s.w.t merupakan suatu kisah teladan yang unggul bagi panduan kita mengharungi kehidupan di dunia ini.

Sayangnya kita jarang sekali mendengar ataupun terlalu sedikit saja para penceramah yang telah menyentuh dengan huraian yang mendalam peranan dan pengorbanan Siti Hajar sebagai seorang isteri dan ibu dalam peristiwa tersebut. Seharusnya kita hayati bagaimana ketabahan dan ketaatan seorang isteri bersama anak yang masih kecil ditinggalkan oleh suaminya di suatu lembah padang pasir yang kering kontang tanpa penduduk semata-mata untuk menyempurnakan perintah Allah s.w.t.

Sesungguhnya jika kita mengambil iktibar dari peristiwa tersebut di dalam konteks kegiatan dakwah haraki, peranan dan tanggungjawab Muslimat adalah amat besar serta tidaklah mudah tanpa pergantungan kepada pertolongan dari Allah s.w.t. Peranan, sikap dan tindakan yang telah ditunjukkan oleh Siti Hajar itu sudah cukup untuk kita teladani. Tanpa keimanan yang penuh ikhlas, keyakinan yang jitu, kesetiaan kepada suami, dapat diragui bahawa Siti Hajar berjaya mengharungi segala cabaran yang terbentang di depan matanya.

Sebenarnya dari teladan yang ditunjukkan oleh Siti Hajar itu peranan besar Muslimat adalah sebagai pembantu dan pelengkap terhadap amanah dan tanggungjawab perjuangan Islam bukannya pesaing.

Firman Allah s.w.t , pada surah at-Taubah, ayat 71 yang bermaksud:“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

Jelaslah juga dari pengertian ayat tersebut bahawa Allah s.w.t mengiktiraf peranan besar yang mesti dilaksanakan oleh Muslimat walaupun bentuk tugas dan skop yang berlainan. Bagi Muslimat PAS, kita yakini bahawa segala perancangan dan usaha-usaha yang telah dan akan kita laksanakan adalah selari dengan semangat ini. Natijahnya adalah bahawa tiada siapa yang boleh meragui kesetiaan dan sumbangan besar Muslimat terhadap perjuangan PAS dalam mengharungi segala cabaran yang mendatang.

Justeru itu, dalam kita perlu sedari juga bahawa di dalam usaha-usaha kita meneruskan perjuangan ini kita sentiasa memerlukan pertolongan dari Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t, pada surah Muhammad, ayat 7 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

Pada pandangan jumhur ulama bahawa tindakan kita bergerak dalam jamaah Islam, isitiqamah dan bersungguh-sungguh melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita adalah satu manifestasi “menolong agama Allah”. Jika kita dapat menghayati dan berjaya melaksanakan tututan jamaah dengan ikhlas, maka layaklah kita mendapat pertolongan dari Allah s.w.t.

Oleh itu dalam era Pakatan Rakyat kini di mana PAS adalah komponen sebuah parti pemerintah di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, peranan Muslimat adalah berlainan daripada masa-masa lampau. Kita perlu pastikan bahawa peranan kita didalam melaksanakan tugas selaku Ahli Parlimen, anggota Exco, Adun atau Ahli Majlis kerajaan tempatan serta JKK selaras dengan matlamat parti kita dan tuntas dengan permuafakatan dalam tuntutan Pakatan Rakyat.

Peranan PAS adalah penting dalam memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Tetapi perlu diingat bahawa didalam kegairahan kita melaksanakan tugas-tugas kepada rakyat semua aktiviti dan tuntutan jamaah kita juga perlu berjalan seiring dan tidak dikesampingkan. Parti kita mesti diperkukuhkan agar ianya dapat berperanan dengan efektif pada permuafakatan kerajaan Pakatan Rakyat. Parti yang lemah akan mengakibatkan kerajaan jadi kucar kacir. Tiada kerajaan tanpa parti.

Akhir kata pada kesempatan ini saya bagi pihak Dewan Muslimat PAS Pusat ingin mengucapkan selamat menyambut Eidul Adha dan hayatilah pengorbanan serta ketabahan Siti Hajar dalam semua aspek kehidupan kita, kepada seluruh kepimpinan Dewan Muslimat di pelbagai peringkat, pendokong dan penyokong PAS di seluruh Malaysia.



Zaid: Husam desak Bernama tarik balik berita
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa mendesak Bernama menarik balik berita berhubung PAS terbuka menerima sesiapa sahaja termasuk Datuk Zaid Ibrahim.

Berikut adalah kenyataan penuh Husam.

Saya merujuk kepada laporan Bernama bertajuk 'Husam: PAS terbuka terima sesiapa, termasuk Zaid' dan akhbar lain yang menggunakan laporan yang sama.

Kebelakangan ini Bernama atas kapasitinya sebagai agensi berita rasmi negara telah membuat laporan "rasmi" untuk kegunaan media lain seolah-olah laporannya adalah betul dan rasmi sedangkan isinya adalah rekaan dan tidak benar.

Apa yang dilaporkan Bernama yang kononnya dipetik daripada kenyataan saya semalam adalah tidak benar dan direka-reka.

Saya amat kesal dengan laporan itu dan mendesak Bernama menarik balik "berita" yang dikeluarkan itu


Ganeson dicabar Dun bersidang tanpa provokasi
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim (gambar) mencabar Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, R. Ganesan memastikan sidang pada 30 November ini berjalan dengan lancar tanpa provokasi daripada Adun Barisan Nasional.

Khalil selaku Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat negeri berkata, sebelum ini Ganesan gagal menunaikan janjinya memastikan sidang berjalan lancar apabila banyak perkara yang bertentangan dengan peraturan dewan dilakukan Adun BN.

"Kalau berani saya cabar Ganesan pastikan sidang berjalan tanpa ada gangguan.

"Bukankah sebelum BN kalah dalam pilihan raya umum ke-12 di Perak dia mampu kendalikan sidang tanpa gangguan polis. Kenapa selepas kalah polis begitu ramai?

"Seperti sidang sebelum ini Ganesan juga menjanjikan perkara yang sama tetapi tidak ditunaikan, dan tidak selayaknya seorang speaker berbohong," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Khalil turut menuntut Ganesan menjelaskan mengenai kepincangan sidang Dun sebelum ini, yang disifatkan sebagai tidak mengikut amalan demokrasi.

"Saya tuntut Ganesan untuk menyatakan sikapnya kepada kepincangan sidang Dun sebelum ini dan adakah perkara tersebut akan berulang lagi.

"Sebetulnya banyak lagi kepincangan dalam setiap kali sidang sejak BN rampas kuasa pada 6 Feb 2009," katanya.

Ia termasuk pembesar suara Adun Pakatan tidak berfungsi, pemerhati luar dihalang untuk hadir sidang, hanya media pro BN yang dibenarkan membuat liputan dan tidak kurang dari 300 orang polis berpakaian seragam berkawal di luar dan dalam dewan.

Tambah Khalil, meskipun BN namun mereka tetap menyalahkan Pakatan dan memburuk-burukkanya melalui media.

"Yang memalukan Adun PR yang yang sering dipersalahkan sedangkan semuanya berpunca dari BN.

"Saya rasa sekali lagi hasrat kami untuk bersidang dan berbahas dengan baik tanpa ganguan masih tidak terjamin," katanya lagi.

Ganesan seperti dilaporkan sebuah akhbar semalam, meminta wakil rakyat supaya mengelak daripada menimbulkan kekecohan semasa Sidang Dun Penggal Ketiga yang akan bermula 30 November ini.

Beliau dilaporkan sebagai berkata, tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap wakil rakyat yang menimbul kekecohan berdasarkan Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak.

Katanya, sebanyak 59 notis telah dihantar kepada kesemua Adun pada 28 Oktober lalu untuk menghadiri sidang kali ini


Akaun wang ihsan pelajar tiada duit?
Wartawan Kita

KOTA BHARU, 16 Nov: Anehnya wang ihsan sebanyak RM15 juta dikatakan telah diagih kepada pelajar miskin, namun sehingga kini ramai ibu bapa mendakwa akaun bank anak mereka yang dibuka tidak ada duit.

Mereka memberitahu pelajar yang disenarai mendapat wang ihsan diminta pihak sekolah membuka akaun bank bagi membolehkan wang ihsan disalurkan.

“Malangnya ketika saya semak akaun anak saya minggu lepas tidak ada wang yang dimasukkan,” dakwa seorang bapa dari Kuala Krai.

Difahamkan setiap pelajar miskin diuar-uarkan mendapat wang ihsan antara sebanyak RM150 hingga RM200.

Pelajar yang disenaraikan mendapat wang tersebut dipastikan tidak mendapat bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mendakwa wang ihsan sebanyak RM15 juta telah dibelanjakan daripada RM25 yang diperuntuk tahun ini.

Menurutnya bakinya sebanyak RM10 juta lagi besar kemungkinan digunakan bagi bantuan banjir.

Bagaimanapun di Kampung Manek Urai ramai penyokong Umno difahamkan mendapat wang ihsan bagi membaiki rumah bernilai lebih RM5,000 setiap seorang.

Hampir kesemua rumah penyokong Umno di kampung tersebut dibaiki di mana ada yang membesar bahagian hadapan, dapur dan menukar zink serta dinding baru.

Malah pada kempen pilihan raya kecil Dun Galas Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan mengedarkan risalah projek mega kerajaan Barisan Nasional (BN) Dun Galas dari sumber royalti minyak.

Projek yang disenaraikan pada risalah tersebut termasuk mewujudkan Berjaya Gua Musang Theme Park yang digambarkan seperti pusat perjudian di Genting Highlands bernilai RM1.5 bilion.

Selain itu cadangan projek Golf Club & Country Resort bertaraf 5 Star bernilai RM850 juta.

Kesemua cadangan tersebut bernilai lebih RM2 bilion iaitu sama dengan jumlah wang royalti yang dituntut kerajaan negeri sejak tahun lepas.

Sedangkan sebelum ini pemimpin Umno berkali-kali menafikan Kelantan mempunyai hak ke atas royalti minyak kerana kedudukan telaga di luar kawasan tiga batu nautika.

Seorang lagi bapa juga dari Kuala Krai mendakwa ketika beliau ke bank bagi menyemak status akaun wang ihsan anaknya tidak ada wang yang dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

Program wang ihsan juga menjadi bahan kempen Umno untuk menarik ibu bapa hadir ke sekolah.

Kelmarin program serupa diadakan di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 2 Pasir Mas di mana ibu bapa dipaksa hadir pada program pengagihan wang ihsan.

Seorang bapa yang juga pegawai kerajaan pusat mendakwa program tersebut dirasmikan seorang pemimpin Umno di Pasir Mas.

“Ceramah Pemuda Umno Pasir Mas itu bukan mengenai pendidikan sebaliknya mengenai politik Umno dan mencemuhkan pihak lawan.

“Saya lihat ramai ibu bapa yang hadir keluar dewan kerana mereka ditipu hadir bagi mendengar ceramah pemimpin Umno yang berselindung di sebalik program pengagihan wang ihsan,” ujarnya


Media tidak beretika perlu diajar
Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 16 Nov: Ketua Dewan Pemua PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan at-Tantawi (gambar) menegaskan, memang layak media yang tidak beretika mesti diajar sebagai teladan untuk mereka mengkaji semula laporan yang berat sebelah.

Berucap pada malam penutup Karnival Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU) malam tadi, beliau berkata tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah melarang media pro Umno membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) merupakan reaksi biasa sebagai protes bukanya menghalang kebebasan media.

"Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan memang patut sebab media pro Umno buat liputan berat sebelah berkaitan banjir. Media hanya tumpukan pada sumbangan Kerajaan Pusat, seolah-olah menidakkan bantuan kerajaan negeri. Lepas tu hentam tanpa bagi peluang Menteri Besar menjawab," terangnya.

Sebagai contoh, katanya ketika bantuan Dewan Pemuda PAS Pusat yang berkampung di Kubang Rotan di mana mangsa banjir diberikan sumbangan dan disajikan gulai daging lembu pada hari pertama, pada hari kedua pula ayam masak merah manakala hari ketiga gulai telur ikan masin.

“Bila hari ketiga, datang TV3 dan terus menemu ramah mangsa yang dihidangkan gulai telur ikan masin. Mereka buat cerita bukan-bukan kononnya mangsa diberikan hidangan yang tidak seberapa, ada pilih kasih dan seumpamanya.

"Itulah kejahatan yang dibuat, mereka mencipta isu demi kepentingan Umno dan Barisan Nasiona (BN). Mereka meninggalkan etika yang mengkehendaki bersikap jujur dan tulus pada sebarang laporan," jelasnya kecewa.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyifatkan, laporan yang dibuat oleh media pro Umno itu didalangi oleh beberapa individu yang sengaja mengambil kesempatan berlakunya banjir terburuk yang melanda Negeri Kedah.

Beliau juga yakin peristiwa yang berlaku itu tidak akan mendorong rakyat untuk kembali ke pangkuan Umno yang telah membohongi mereka sejak 50 tahun lalu.

"Rakyat Kedah pasti tahu cerita sebenar apa yang berlaku. Semua itu pembohongan media pro Umno yang senantiasa mencari ruang untuk mereka mengucar-kacirkan pemerintah Pakatan Rakyat,” katanya


SPR perlu agresif sifar rasuah pilihan raya
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 16 Nov: Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) Bahagian Timur berpendapat sasaran sifar rasuah dalam pilihan raya hendaklah dijadikan objektif utama di samping usaha berkesan digerakkan bagi mempastikan etika, keadilan dan kebebasan pilihan raya tercapai.

Pengarah Mafrel Bahagian Timur, Dr Abdul Halim Yusof berkata, ini kerana pilihan raya yang adil, bebas dan telus itu merupakan ‘jantung kepada demokrasi’.

Justeru, katanya semua pihak mestilah memainkan peranan bagi mempastikan objektif itu terlaksana.

Tambahnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah mewujudkan strategi lebih agresif dan berkesan dalam mencapai sifar rasuah.

Sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula, ujarnya hendaklah melaksanakan operasinya lebih terbuka di lapangan semasa pilihan raya supaya menjadi strategi bagi menutup pintu rasuah.

“Dalam masa sama, rakyat perlu dididik tentang maksud an bentuk rasuah yang boleh terjadi dalam pilihan raya. Ini penting agar rakyat boleh menjauhinya, sementara ‘peniup wisel’ pula mampu memainkan peranan dengan berkesan.

“Walau pun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N.45 Galas pada 4 November lalu Mafrel tidak diberikan akreditasi oleh SPR dalam kerja pemantauan, namun Mafrel tidak berputus asa dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab sosialnya dengan meneruskan pemantauan perjalanan pilihan raya,” katanya.

Beliau turut mengulas betapa perlunya pendekatan baru dalam kempen pilihan raya termasuk ketidakwajaran kehadiran polis dalam jumlah yang ramai.

“ini kerana dalam konteks PRK N.45 Dun Galas, 88 peratus responden menyatakan tidak wujud pergaduhan atau keganasan, manakala selebihnya mengakui wujud sedikit pergaduhan tetapi tidak serius.

“Sementara 86 peratus tidak merasai apa-apa kebimbangan untuk keluar mengundi dan semua pihak perlu berusaha mengurangkan kos pilihan raya,” katanya.

Analisis dari Laporan Kajian Persepsi Penduduk Kawasan N.45 Dun Galas yang di sediakan Mafrel Kelantan juga menekankan aspek pengundian pada hari bekerja di mana ramai penduduk setempat tidak bersetuju.

Ini, katanya kerana kemungkinan membebankan pengundi dari segi aspek pergerakan, masa, pekerjaan atau perniagaan mereka


Yayasan Selangor: MB minta Noh beri penjelasan
Harakahdaily
SHAH ALAM 16 Nov: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mahu Datuk Seri Noh Omar membuat penjelasan berhubung kenyataannya semalam yang mendakwa majlis makan tengahari sempena ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor adalah RM800,000.

Sambil menafikan dakwaan Timbalan Pengerusi Umno Selangor itu, Khalid berkata, jumlah yang dilaporkan kepadanya hanya RM 300,000 dan bukan RM800,000 seperti yang didakwa.

"Angka yang diberikan kepada saya hanya RM300,000.

"Biar beliau (Noh Omar) tampil dan menjelaskan (angka RM800,000)," kata Khalid kepada pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor semalam.

Beliau mengulas dakwaan Noh kelmarin bahawa kos sebenar adalah melebihi RM300,000 dan menjangkau RM800,000.

Majlis itu sepatutnya diadakan semalam namun dibatalkan selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan untuk tidak hadir kerana dukacita setelah dimaklumkan perbelanjaan melebihi RM300,000.

Kelmarin, Khalid dalam satu kenyataanya juga menjelaskan siasatan awal berhubung keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi majlis sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor telah dimmulakan.

Sementara itu, menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar yayasan itu, Mohd Sharifuldin Sulaiman diarah cuti bergaji selama sebulan berkuat kuasa serta merta sehingga siasatan selesai.

"Kerajaan menghargai setiap maklumat salah laku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab.

"Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salah guna kuasa ke muka pengadilan," katanya


Pendidikan seks hanya untuk poket kroni
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 16 Nov: PAS mendakwa cadangan kerajaan mahu melaksanakan pendidikan seks bermula sekolah rendah pada tahun hadapan, tidak lebih untuk kepentingan kroni Umno BN dan bukan ikhlas mahu mengatasi masalah pembuangan bayi.

Bagi PAS, cadangan itu bukan satu penyelesaian konkrit malah dilihat peluang untuk kroni Umno merebut projek mencetak buku dan alat bantu mengajar sahaja.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad dalam satu kenyataan berkata, PAS merasa pelik tindakan kerajaan yang memperkenalkan pendidikan seks dalam usia yang begitu muda iaitu sejak sekolah rendah.

Sedangkan, seks adalah naluri yang Allah anugerahkan kepada semua manusia yang hidup di atas muka bumi ini dan apa yang perlu diterapkan ialah bagaimana cara mengawal diri, adab pergaulan lelaki dan perempuan, akhlak dan cara berpakaian.

"Sepatutnya kerajaan perlu bertindak bagi mengawal gejala pembuangan bayi dengan menyekat punca berlaku perzinaan seperti mengawal penyiaran televisyen, iklan, filem, majalah lucah yang menjadi penyumbang kepada gejala perzinaan.

"PAS berpadangan ia lebih kepada orientasi perniagaan. Bukankah pemimpin umno BN adalah orang yang pakar menyamun harta rakyat dengan cara terhormat dan terlepas daripada undang-undang," katanya.

Tambahnya lagi, seketika dahulu heboh mengenai remaja lepak, rempit, maka di kemukakan Program Rakan Muda dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang memberi projek segera kepada kroni Umno.

Kemudian, Umno katanya 'buat-buat bising' mengenai pencapaian pelajar dalam Bahasa Inggeris, sehingga mngemukakan cadangan agar pelajaran Metematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris.

Namun projek-projek tersebut akhirnya hanya merugikan wang rakyat namun tiada kesan besar yang boleh dibanggakan.

"Lesap wang rakyat kepada kroni untuk LCD dan note book hampir RM6 bilion.

"Sekarang heboh pula buang bayi maka dikemukakan mata pelajaran seks. Sudah pastilah syarikat kroni sedang menunggu mangsa untuk membaham pula," katanya lagi.

Beliau turut mempersoal sikap pemimpin Umno yang dilihat seperti perihatin terhadap akhlak dan moral masyarakat, sedangkan katanya, Umno jugalah yang menjadi penaja besar kepada program penyumbang keruntuhan akhlak.

Umno juga katanya seperti lebih senang jika rakyat rosak akhlak, kerana mereka tidak peduli kepada permasalahan negara dan penyelewengan dalam pentadbiran.

"Kementerian Pelajaran hendak mencadangkan pendidikan seks di sekolah rendah, seiring dengan cadangan untuk mengadakan hub hiburan malam, bukankah ini idea Pak Pandir namanya.

"Ibarat tangan kanan meletak baja manakala tangan kiri meletak racun," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan