Ahad, 21 November 2010

HASAD DENGKI NI SERTA SEGALA BENTUK MUNGKAR DAN PERKARA HARAM...DATANGNYA DARI HASUTAN SYAITAN

Cheng Ho ikon hubungan kaum di Malaysia

Mohamed Zainal Abidin Hussin

KOTA BHARU, 20 Nov: Cheng Ho perlu dikenang sebagai ikon penting dalam sejarah manusia yang menjadikan perjuangan untuk keamanan dan kemakmuran bersama jauh mengatasi kepentingan puak dan bangsa.

Pengerusi Ekspo Cheng Ho yang sedang berlangsung di Kota Bharu, Datuk Husam Musa berkata watak besar dari China ini akan pasti dikenang kerana jasanya dalam memperkenalkan nilai persahabatan dan kebajikan yang membelakangkan persoalan puak, agama dan keturunan dalam membangunkan tamadun.

"Cheng Ho yang mewakili kerajaan China yang amat berkuasa pada zamannya sentiasa merendah diri dengan memberi hadiah, membawa khidmat perubatan dan mengajak berkongsi teknologi baru dengan raja-raja dan rakyat yang dilawatinya di seluruh dunia," kata beliau ketika menutup Seminar Cheng Ho dan penyebaran Islam di Asia Tenggara di Balai Islam Lundang, hari ini.

Seminar sehari itu menampilkan Prof Tan Ta Sen (Singapura), Prof. Hum Sin Hoon dan Mr. Zheng Zi Hai membentangkan kertas kerja masing-masing, manakala Prof. Madya Obaidellah Mohamad bertindak sebagai moderator.

Menurut Husam, semangat Cheng Ho perlu disuburkan semula dalam situasi masyarakat Malaysia yang dibina dengan kecurigaan perkauman selama berpuluh-puluh tahun.

"Kita mahu membina masyarakat baru, yang bersatu atas nilai-nilai tinggi, mengutamakan kebenaran, kebajikan, perkongsian dan semangat tolong menolong dan meninggalkan konsep mengapi-apikan perkauman sempit," ujarnya.

Bangsa, kata beliau memang sesuatu yang tidak mungkin hapus, namun asas persahabatan perlu dibina dengan asas yang lebih kukuh sebagaimana ditunjukkan oleh Cheng Ho.

"Cheng Ho beragama Islam, dia boleh berkhidmat memimpin armada milik maharaja China yang bukan Islam dan mengendalikan puluhan ribu angkatan laut yang memiliki pelbagai latarbelakang.

"Situasi ini tidak mungkin terjadi jika kita terbawa-bawa dengan pemikiran sempit perkauman dan tidak mengutamakan persahabatan dan kepentingan bersama," ujar beliau.

Ekspo Cheng Ho kata beliau, bukan sekadar mendominasi urusan perniagaan dan perdagangan tetapi juga meliputi pertukaran budaya dan pendidikan.

"Pelbagai pertunjukan tempatan dan antarabangsa di bawa bersama ekspo ini bagi menunjukkan mereka yang memiliki keyakinan diri yang tinggi mampu menjulang kecemerlangan dalam apa jua bidang," katanya.

Beliau turut mengumumkan beberapa pihak di negara China telah bersetuju untuk mengadakan program pertukaran pelajar dengan Kelantan.

"Kita telah diberi beberapa tempat untuk belajar di beberapa pusat pengajian dengan pembiayaan sepenuhnya oleh masyarakat di sana," tambah beliau


Hasad dengki punca Pusat enggan iktiraf Dinar Kelantan

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 20 Nov: Tindakan kerajaan Pusat tidak mengiktiraf penggunaan Dinar dan Dirham Kelantan dibayangi sifat prejudis dan hasad dengki terhadap pemerintahan PAS, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mengulas jawapan bertulis Menteri Kewangan terhadap soalan lisannya di Dewan Rakyat yang bertanya pendirian Kerajaan Pusat tentang pengenalan Dinar dan Dirham yang diterbitkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Menteri dalam jawapannya mendakwa penggunaan wang emas dan perak dalam urus niaga akan menyebabkan orang ramai menanggung risiko harganya yang sentiasa turun naik.

Selain itu, pengguna juga akan bermasalah untuk mengesahkan ketulenan emas atau perak serta kemungkinan berlakunya pemalsuan yang berleluasa.

"Amat malang sekali jawapan dari Menteri Kewangan adalah seperti tertera di atas.

"Ternyata apabila Kerajaan Negeri Kelantan memperkenalkan Dinar dan Dirham sebagai instrumen kewangan selain dari mata wang – ’legal tender’, kerajaan BN terus mengecam seolah-olah ia satu kesalahan.

"Prejudis itu juga terserlah dengan memaparkan pelbagai aspek negatif dan risiko yang kononnya akan menimpa rakyat dan pengguna," kata Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Kerajaan Kelantan melancarkan Dinar Emas pada 12 Ogos lalu atas penegasan ianya bukanlah matawang, tetapi hanyalah pengenalan kepada sistem barter trade (perdagangan pertukaran).

Menurut Dzulkefly, prejudis tersebut jelas boleh dilihat apabila Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan gold coin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu.

Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya ialah RM1,082.

Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104.

"Sungguh malang andainya pimpinan Umno terus menyimpan perasaan prejudis sehinggakan yang rugi ialah rakyat sementara kebaikan yang mahu disampaikan kepada umat terhalang kerana sikap yang sempit dan perasaan yang dilingkungi hasad.

"Pemikiran yang waras dan jiwa yang murni akan dapat mengenali betapa ’politik sempit’ dan kelonggaran pegangan kepada agama Islam akan meletakkan perhitungan kepentingan politik kepartaian mengatasi tuntutan kewajaran dan kebenaran yang dianjurkan oleh Islam," katanya


Tiada ulasan:

Catat Ulasan