Isnin, 15 November 2010

BERGAUL BEBAS TU HARAM..BUKA AURAT ITU HARAM...TAK TAU KER....

Zaid Keluar PKR

PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim membuat keputusan untuk keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana sudah tidak tahan lagi dengan apa yang berlaku dalam parti itu.

"Saya tahu ramai yang menghitung hari saya dalam parti kerana ada pemimpin yang sengaja membuat serangan peribadi terhadap saya.

"Saya keluar parti kerana ingin memisahkan diri saya daripada penipu-penipu ini. Saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menyebarkan fitnah tanpa rasa bersalah dengan syarat matlamat mereka tercapai," katanya kepada The Star.

Zaid yang menyertai PKR pada Jun 2009 selepas dipecat daripada Umno berkata, beliau ingin berehat seketika untuk ‘melepaskan diri daripada semua perhatian’.

"Saya tidak pernah marah kepada parti, saya cuma benci dengan pemimpin-pemimpin yang gila kuasa dalam parti," katanya.

Bekas menteri Kabinet itu menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presdein PKR minggu lalu, kerana mendakwa, kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dalam pemilihan PKR dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

Lebih mengejutkan apabila beliau turut menasihatkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti kerana PKR tidak dapat melaksanakan agenda pembaharuannya selagi Anwar mengutamakan calon timbalan presiden, Azmin Ali untuk berkuasa dalam parti.

Zaid berkata beliau telah dikritik hanya kerana dia meminta satu pilihan raya parti yang bersih dan bebas.

Katanya sejak dari awal proses pengundian apabila beliau mendahului dalam perebutan jawatan nombor dua dalam parti dia telah menggesa pemimpin-pemimpin parti supaya melihat secara serius masalah ketaksekataan dalam proses pengundian.

"Bagaimana mereka secara terang-terangan boleh berbohong dengan mendakwa saya hanya membuat bunyi bising selepas lawan saya (Azmin) mendahului pada hari ketiga pengundian" soal beliau.

"Mereka gelar saya seorang pengacau. Mereka kata saya kuda Trojan yang akan memusnahkan parti. Mereka juga tuduh saya ejen Umno yang cuba memusnahkan parti dari dalam.

"Saya tidak boleh terima semua penipuan ini. Mereka (pemimpin PKR) tidak boleh menerima kritikan. Mereka menyerang orang yang bercakap benar daripada meneliti aduan-aduan yang diterima,” tambahnya.

Menurut pemerhati politik, Zaid akan keluar daripada PKR dan menubuhkan partinya sendiri


Gosip Hamil, Ibu Raja Farah Terguris

SHAH ALAM: Ibu Raja Farah, Farizah Abu Samah mengakui terguris dengan dakwaan mengatakan anaknya yang juga aktres terkenal tempatan itu telah hamil sebelum nikah dengan Megat Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria.

Walaupun Farah tidak tinggal bersama-sama keluarga sebaliknya menyewa bersama rakannya, namun Farizah sentiasa memerhatikan dan mengambil berat tentang anak perempuan tunggalnya itu.

“Saya selalu perhatikan Farah setiap hari, memang badannya naik mendadak bermula Mac lalu kerana dia seorang yang berselera makan.

“Tak sangka pula orang boleh tohmah dia seperti itu. Sebagai seorang ibu, apabila badan dia berisi saya tengok perutnya tiada pula apa-apa perubahan,” ujarnya kepada mStar Online ketika majlis kesyukuran dan doa selamat sempena pernikahan Farah dan Megat pada 12 November lalu di Tropika, Bukit Jelutong di sini.

Tambahnya: “Mentang-mentanglah kita buat perbincangan perkahwinan senyap-senyap, terus orang buat cerita seperti itu. Semasa perbincangan dibuat, hanya keluarga dan jiran tetangga yang tahu.

“Biar apa pun orang katakan, Farah sangat cekal. Tetapi sebelah pihak lelaki mesti berasa malu. Bonda Megat ada mengatakan fitnah yang dilakukan itu merupakan suatu dosa besar berbanding membunuh. Jadi, siapa yang melakukan fitnah itu kena tebus semula dosa yang dilakukan.”

Bagaikan mahu menutup kepedihan yang dirasai, Farizah sebaliknya lebih memanjat kesyukuran kepada Allah kerana dia sendiri tidak menyangka jodoh Farah sampai awal.

Dia juga kagum dengan sikap Farah yang melakukan semua persiapan kahwin secara sendiri dengan bantuan Megat.

“Walaupun sibuk penggambaran, apabila dia tidak bekerja, dia pergi mencari barang hantaran. Semuanya dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri lalu,” katanya.

Megat Bashirun Qhuyum merupakan menantu pertamanya memandangkan dua abang Farah belum berkahwin dan adik lelakinya masih menuntut di tingkatan lima.

Apabila melihat kesungguhan dan keserasian Megat terhadap Farah, terus dia berkenan untuk menjadikan pemuda itu sebagai menantu.

Kedua-dua pasangan itu pertama kali berkenalan di Melaka ketika adik bongsu Farah menyertai pertandingan gimnastik Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) mewakili Selangor pada Mac lalu


Reputasi Ezuwan Terjejas Kerana Diana Danielle & Raja Farah

Ezuwan Ismail

PEREKA fesyen Ezuwan Ismail bukan mahu melatah tetapi dia merasakan perlu memberi penjelasan apabila isu “baju gemuk” yang hangat diperkatakan sekarang ini telah menyebabkan reputasinya semakin terjejas.

Semuanya bermula pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) yang berlangsung pada 24 Oktober lalu apabila orang ramai memperkatakan bentuk badan Raja Farah kelihatan pelik kerana dia dilihat semakin berisi ketika menjadi pengacara untuk acara karpet merah festival itu.

Alasan yang diberikan Raja Farah, pakaian berkenaan membuatkan dia kelihatan “gemuk” sedangkan berat badannya tidaklah naik secara mendadak.

Sebaliknya Ezuwan kepada mStar Online sebelum ini menjelaskan, dia diminta menghasilkan baju dalam tempoh yang singkat atas permintaan Raja Farah sendiri.

Tidak cukup dengan insiden itu, tiba-tiba pelakon Diana Danielle turut menolak untuk memakai pakaian rekaan Ezuwan dengan alasan serupa sehingga ia turut “dicuit” di media. Tampil membuat pengakuan secara eksklusif di Mingguan mStar, Ezuwan secara jujur mengakui reputasinya sebagai pereka fesyen yang baru meningkat naik terjejas akibat insiden-insiden kecil itu.

Lebih parah apabila perkara itu mengaitkan nama artis terkenal tanah air yang boleh memberi pengaruh besar kepada pelanggan-pelanggannya.

“Saya terima kritikan yang diberi dengan hati terbuka. Tapi saya kecewa kenyataan mereka tentang baju saya yang membuat mereka nampak gemuk dan berisi telah menyebabkan kredibiliti dan periuk nasi saya terjejas.

“Bukannya apa, kenyataan artis itu telah memberi implikasi buruk kepada saya sehinggalah mempengaruhi kepercayaan para pelanggan.

“Saya bukannya malu dengan kejadian itu dan saya juga tidak menafikan menghasilkan pakaian untuk mereka tetapi insiden berkenaan ternyata mempengaruhi perniagaan saya,” katanya.

Raja Farah

Jelas Ezuwan, tidak timbul masalah sekiranya para artis atau sesiapa sahaja enggan memakai pakaian rekaannya tetapi mereka harus berhati-hati untuk memberi sebarang kenyataan selain perlu melihat apakah masalah sebenar yang berlaku.

Menurut Ezuwan, kerjasama yang diberikan kepada artis berkenaan selama ini bagaikan tidak dihargai. Malah dia turut kesal niat murninya menyediakan busana untuk diperagakan di majlis-majlis tertentu pula dipandang sebelah mata.

“Sebagai pereka fesyen sudah tentu saya mahu sesiapa yang memakai pakaian rekaan saya kelihatan cantik. Selalunya sebelum membuat baju, saya dan pelanggan akan bertemu dan berbincang beberapa kali sebelum pakaian berkenaan dijahit.

“Saya beri peluang kepada mereka untuk beri pandangan dan idea bagaimana untuk menjadikan mereka lebih cantik apabila di pentas ataupun di televisyen.

“Bagaimanapun kalau mereka rasa tak sesuai dengan idea dan pandangan yang dilontarkan, mereka boleh membuat keputusan untuk tidak menggunakan pakaian rekaan saya.

“Apa yang saya sedih, ada sesetengah artis sanggup memakai pakaian yang diberikan dan selepas itu memberi kritikan sehingga menuduh pakaian saya menjadi punca mereka kelihatan bertambah “buruk” dan ia benar-benar menjatuhkan maruah saya,” katanya.

Diana Danielle

Jelas Ezuwan, masalah berkenaan menjadi bertambah rumit apabila Norsiah Ramli membuat kenyataan menerusi laman sosial Facebook mengatakan sebab-sebab tertentu kenapa anaknya, Diana Danielle enggan memakai pakaian rekaan Ezuwan.

Sedangkan ada sebab-sebab tertentu Diana enggan memakai pakaian dari butiknya itu, bukan disebabkan bentuk rekaan yang dihasilkan.

Kata Ezuwan, tuduhan yang dilemparkan oleh kedua-dua artis itu hanyalah untuk menutup kelemahan mereka selain mengelak daripada menjadi bahan kritikan pihak media.

Malangnya, tindakan tersebut menyebabkan Ezuwan terkena tempias yang sukar untuk dihapuskan.

“Jika saya yang diperlekehkan, saya tidak kisah tetapi jika mereka menganggap pakaian saya buruk saya agak berkecil hati kerana ia mempengaruhi pelanggan-pelanggan saya yang lain. Sedangkan artis yang memakai pakaian saya tidak pun membeli pakaian itu sebaliknya minta ditaja.

“Sekarang ini bila ada pelanggan yang mahu buat tempahan pasti akan menyindir saya “berisi” dan “gemuk” sebagai bahan lawak. Malah apa yang saya tahu ada sesetengah artis sendiri menjadi takut apabila menyebut nama saya sebagai penaja pakaian mereka untuk acara-acara tertentu,” katanya kesal.

Dalam pada itu, Ezuwan memberitahu dia tidak menyalahkan Diana Danielle dan Raja Farah seratus peratus dalam hal tersebut tetapi peristiwa itu memberi pengajaran buatnya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Banyak yang saya belajar dari insiden yang terjadi. Selepas ini saya lebih berhati-hati untuk memilih siapa yang layak memakai pakaian rekaan saya.

“Saya mahu mereka yang akan mengayakan pakaian saya adalah di kalangan mereka yang menghargai hasil karya saya. Cukuplah saya yang beria-ia menghasilkan baju secara percuma untuk sesetengah artis selama ini tidak dihargai,” kata Ezuwan.

Mahu jernihkan keadaan - Norsiah

Sementara itu, ibu kepada Diana Danielle, Norsiah Ramli ketika dihubungi menganggap penjelasannya di Facebook tentang pakaian rekaan Ezuwan adalah bagi menjernihkan keadaan.

Niat sebenar Norsiah bukan untuk menutup periuk nasi Ezuwan yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

“Hubungan saya, Diana dan Ezuwan baik. Tujuan saya memberi komen di Facebook cuma untuk menjelaskan perkara sebenar dan bukan mahu memanjangkan cerita. Saya menganggap Ezuwan seorang pereka fesyen yang mempunyai masa depan yang sangat cerah.

“Cuma pada hari itu sahaja, rekaannya tidak sesuai dengan Diana. Bagaimanapun, saya masih mengharapkan kerjasama daripadanya. Lagi pula industri hiburan ini kecil sahaja tidak elok untuk bermasam muka atau bergaduh,” katanya.

Tiada niat tunding jari - Raja Farah

Manakala bagi Raja Farah, dia tidak berniat untuk menuding jari kepada Ezuwan tentang baju yang diperagakan. Dia juga akui perkara tersebut disebabkan kesuntukan waktu.

“Saya tidak pernah salahkan dia kerana saya faham situasi dia ketika itu. Saya juga masih mahu bekerjasama dengan dia untuk masa akan datang,” jelasnya ringkas.

* Artikel ini dipetik dari Mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Kelang



Irma Hasmie Mahu Hidup Tenang

JANJI yang diikat di antara dua hati tidak semestinya berakhir dengan ikatan perkahwinan.

Hakikat itu terpaksa di terima oleh pelakon Irma Hasmie dan Nabil Ahmad apabila cinta yang disulam itu terputus di tengah jalan.

Menerima dan pasrah dengan apa yang telah ditetapkan kedua-dua mereka menganggap perpisahan yang terjadi adalah suratan yang sudah tertulis dan perlu dilaluinya dengan tenang.

Sepanjang sesi fotografi bersama Mingguan mStar berlangsung, Irma cuba menyembunyikan kesedihan di sebalik gelak tawanya namun dari raut wajah wanita berusia 28 tahun ini, masih terpalit rasa kecewa.

Satu sahaja permintaannya agar tidak membicarakan soal bekas kekasihnya itu lagi. Ujar Irma, cukup-cukuplah apa yang sedang dihadapinya kini.

“Saya mahu hidup tenang, tidak mahu bercakap soal dia dan apa yang sudah terjadi di antara kami. Saya tidak menyalahkan takdir kerana apa yang berlaku saya anggap sebagai lumrah kehidupan.

“Itulah hidup, kadang kala kita suka dan kadang kala kita berduka. Saya terima dan cuba laluinya seperti biasa. Apa yang saya jalani sekarang sama seperti dahulu juga, bagi saya tidak ada satu pun aktiviti harian yang saya ubah selepas perpisahan ini,” katanya.

Tambahnya, dia kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Awan Dania untuk musim ketiga selain menjadi pengacara program Galaksi terbitan TV9.

Jelas anak jati Kuala Lumpur ini, dia tidak mahu lari daripada masalah, dia juga tidak merancang untuk bercuti panjang bagi menenangkan fikiran. Dia tidak mahu menoleh ke belakang dan mengenang kembali kisah lalu.

“Mungkin segelintir mereka yang putus cinta akan bercuti untuk menenangkan fikiran ketika menghadapi masalah ini tapi tidak saya. Bagi saya cara itu seperti mahu lari dari masalah.

“Saya dah tutup buku lama dan mulakan yang baru. Saya bersyukur kerana diberikan kekuatan di saat-saat ini. Jika sudah termaktub olehNya, saya terima dan reda dengan dugaan ini,” katanya.

Tiada kekasih baru

Setiap percintaan memerlukan sebuah pengorbanan, biarpun tidak dihargai atau disia-siakan. Bagi Irma tiada pengorbanan yang dilakukan buat si lelaki yang bergelar kekasih melainkan sudah sah menjadi suami.

“Sebagai seseorang yang masih belum berkahwin, pengorbanan saya hanya kepada keluarga dan diri sendiri. Tidak ada pengorbanan untuk lelaki yang bergelar kekasih melainkan kalau seseorang itu sah menjadi suami saya.

“Pengorbanan terbesar saya ialah untuk keluarga kerana ketika saya gembira atau bersedih mereka sentiasa berada di sisi memberikan sokongan,” katanya.

Bercerita mengenai pengganti kekasihnya itu, tegas Irma dia belum memikirkan perkara tersebut sebaliknya berharap cinta yang bakal menjengah hatinya itu biarlah datang dengan sendiri tanpa dipaksa.

“Setakat ini saya rasakan terlalu awal untuk bercakap tentang pengganti atau teman lelaki baru. Biarlah ia terjadi secara semula jadi. Saya tiada perancangan lagi tentang itu.

“Apa yang penting, saya tidak bersendirian ketika melalui situasi yang menyedihkan ini dan bersyukur keluarga dan teman-teman rapat banyak memberikan kekuatan serta nasihat untuk meneruskan kehidupan.

“Fasa baru dalam hidup saya ialah dengan mengisi masa lapang bersama mereka yang berada di sekeliling saya. Mereka melayan saya seperti biasa bagaikan tiada apa yang berlaku,” ujarnya sambil tersenyum.

Tidakpernah menumpang Nabil

Pernah dituduh cuba menumpang kesenangan juara pertandingan Raja Lawak tersebut, Irma mengakui kesal dengan lemparan kata-kata itu.

Soalnya, mengapa dia perlu bersusah payah bekerja sepanjang hubungan mereka terjalin jika dia terpaksa bergantung harap kepada Nabil?

“Mereka hanya melihat dari jauh dan menganggap yang bukan-bukan. Jika saya menumpang kesenangan Nabil saya tidak perlu bekerja tetapi selama ini saya bekerja kuat untuk mencari rezeki.

“Semua perbelanjaan hidup, saya gunakan wang dari hasil titik peluh dan usaha saya sendiri. Insya-Allah sekarang ini saya juga dalam perancangan untuk membuka sebuah perniagaan sebagai persediaan masa depan,” katanya.

Solekan CHOMEL (012-6841591)

Pakaian EZUWAN ISMAIL (012-2646871)




Tiga Bintang AF Tidak Iri Hati

SHAH ALAM: Bagaikan ‘menjadi’ hasil artis kelahiran Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) iaitu Aril, Akim dan Hafiz apabila buat pertama kalinya mereka bertiga disatukan dalam drama bersiri Kau Dan Aku musim kedua (KDA2).

Biarpun masing-masing diberikan karakter berlainan, mereka tidak pernah berasa tergugat atau iri hati antara satu sama lain.

Aril melakonkan watak seorang pelajar yang ego dan dalam masa yang sama menyembunyikan identiti sebenarnya.

Walaupun wataknya merupakan seorang yang serius, tetapi Aril akan berubah menjadi seorang yang ‘gila-gila’ apabila bersama-sama rakan baiknya lakonan Ammar dan Hafiz.

Dalam drama tersebut, Aril bergaduh dengan Akim kerana mereka pernah berebutkan Mila.

“Kami seperti adik-beradik dan tidak pernah iri hati atau mengutuk antara satu sama lain. Jika ada pun sebelum ini lebih banyak kepada gurauan,” kata Akim.

Sementara Hafiz pula menganggap Aril ibarat abang sulung mereka memandangkan lelaki itu paling tua antara mereka bertiga.

“Alhamdulillah, hubungan kami bertiga dari AF7 berkekalan sehingga sekarang. Selain tiada iri hati, kami juga tidak pernah terfikir untuk overshadow antara satu sama lain.

“Dalam hubungan ini, Aril banyak memberikan nasihat kepada saya dan Akim,” ujar Hafiz yang pertama kali terlibat dalam KDA2.

Sementara Aril dan Akim pernah muncul semasa KDA1. KDA2 akan disiarkan di Astro Ria (saluran), setiap Selasa, 9 malam mulai 23 November ini.

KDA2 turut menampilkan pelakon popular Tony Eusoff, Anith Aqilah, Kathy Fauziah, Zulkifli Zain, Alif, Raja Farah, Farish, Amar, Mimi, Ika Nabila, Anita Baharom, Puteri Fateen, Riezman dan Sabrina Ali.

Drama 26 episod ini menyambung kisah warna-warni kehidupan pelajar Kolej Harmoni. Setelah Mila melanjutkan pelajaran di United Kingdom, muncul seorang gadis bercita-cita besar dan bersemangat tinggi bernama Elena (Anith).

Kelebihannya yang memukau dan sikapnya yang mudah mesra menyebabkan dia disenangi ramai terutama tenaga pengajar.

Namun, situasi ini tidak disenangi oleh sebahagian pelajar yang menganggapnya sebagai ancaman apatah lagi dengan statusnya sebagai pelajar junior.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan