Isnin, 22 November 2010

ALLAH DAH TAHU SAPE YANG MENANG...TAKDIR DAN SEGALANYA...DALAM TANGAN DAN ILMU ALLAH...BERUSAHALAH UNTUK ALLAH...

PRU 13: Hanya si tidur nyenyak tidak dengar loceng amaran

Oleh A. Shukur Harun shukurharun@yahoo.com


Perkembangan terkini politik Malaysia memperlihatkan usaha sungguh-sungguh dari Umno/BN untuk ‘merampas’ negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat.

Tentu saja tumpuan utamanya ialah negeri Selangor di mana setiap hari pemimpin Umno/BN serta media yang mereka kuasai mengkritik setiap sudut kerajaan Selangor – bermula sejak kejatuhan BN dalam PRU Ke-12 2008 lapan lagi.

Momentum Umno/BN untuk merebut kembali kemenangan dalam PRU Ke-13 nanti melonjak sejak ke kemenangan mereka di Bagan Pinang, kemenangan tipis PAS di Manik Urai, kekalahan Pakatan di Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi.

Kesungguhan mereka untuk merebut kembali kemenangan ini jangan sama sekali dipandang remeh oleh Pakatan Rakyat, dengan ilusi bahawa mereka tidak akan berjaya, justru rakyat sudah melakukan perubahan sejak 2008, sementelah lagi majoriti pengundi bukan Melayu menyokong mereka. Dengan itu kononnya tidak ada apapun yang boleh merisaukan.

Jika ada pendukung Pakatan Rakyat membuat tanggapan seperti ini, segeralah membetulkan persepsi yang salah ini dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan. Terimalah hakikat kelemahan Pakatan Rakyat, khususnya PAS, di Bagan Pinang dan Galas, sementara di Manik Urai PAS menang tipis. Ini loceng amaran yang sangat kuat yang hanya tidak didengar oleh mereka yang tidur nyenyak.

Perlu diingat, parti lawan memiliki segala kekuatan - wang yang banyak, tipu muslihat, ugutan, menggunakan jentera kerajaan, undi pos, mengumpan rakyat terpencil di kawasan pedalaman dan segalanya, tentu saja ini sebagai cabaran kepada Pakatan Rakyat untuk menghadapi kekuatan ini.

Selangor, negeri yang menjadi sasaran utama Umno/BN selain Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, adalah sebuah negeri termoden, bersifat kosmopolitan dengan nisbah penduduk bandarnya hampir sama banyak dengan penduduk luar bandarnya.

Maknanya Selangor adalah sebuah negeri pelbagai kaum dan agama, dengan puluhan institusi pengajian tinggi dengan jumlah golongan terpelajar begitu besar. Oleh itu tentu saja ada pemikiran sesetengah orang bahawa dengan golongan terpelajar yang ramai di Selangor ini, ditambah dengan sifatnya sebagai negeri masyarakat majmuk, tidak sukar untuk Pakatan Rakyat mengekalkan kuasanya dalam PRU akan dating.

Pemikiran ini perlu diperbetulkan kerana di sana, masih ramai rakyat Selangor – terutamanya di kawasan pedalaman seperti di Ulu Selangor, Tanjung Karang, Sabak Bernam, Dengkil, Semenyeh dan kawasan seumpamanya – masih belum sampai maklumat secukupnya mengenai kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memang diakui telah banyak melakukan sesuatu yang terbaik untuk rakyat Selangor dan ini tidak payah dihurailkan satu persatu di mana Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan para exconya serta para pegawai bawahannya bertungkus lumus untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri itu.

Namun mestilah diakui bahawa sektor penerangannya, baik di peringkat parti di dalam PR, mahupun jentera kerajaan peringkat daerah dan mukim, belum lagi menyebarkan penerangan seluas-luasnya. Bagaimana pula dengan peranan Ahli Majlis Daerah, Penghulu, JKKK, ketua kampung, Jawatankuasa Masjid dan lain-lain dalam tugas memberikan penerangan mengenai pelbagai program pembangunan Negeri Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah menyediakan peruntukan jutaan ringgit untuk jentera penerangannya. Bagaimanakah program penerangannya yang boleh memberi kesan maksima, bagaimana dengan taburan gerak kerjanya, adakah sasaran program penerangan itu tepat atau sebaliknya.

Bagaimana pula kebijaksanaannya menangkis tuduhan, tohmahan malah fitnah dari parti lawan dan bagaimana pula methodnya ketika berinteraksi dengan rakyat.

Inilah persoalan yang berlegar dan cabaran yang dihadapi oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor di mana situasinya tentu sebanyak sedikit berbeza dengan negeri Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Bagi negeri Kedah, ada simpati yang mendalam dari pelbagai pihak terhadap rakyat Kedah yang mengalami banjir besar di mana pelbagai lapisan rakyat
menunjukkan simpati dan menghulurkan bantuan.

Memang ada isu yang ditimbulkan oleh parti lawan, namun kebanyakan isu itu dapat dijelaskan sebaik-baiknya oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak, para exco dan pimpinan yang lain. Jentera penerangannya, nampaknya lancar dan berkesan.

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, walaupun ‘diserang’ habis- habisan oleh parti lawan dengan resepi perkauman yang pelik-pelik, tetapi Ketua Menterinya, Lim Guan Eng dan para exconya dapat menjawab dan menangkis dengan berkesan pelbagai tuduhan perkauman.

Pulau Pinang yang majoriti penduduknya berada di kawasan bandar atau semi bandar mudah disampaikan maklumat. Dengan itu tidak mudah bagi Umno/ BN untuk merampas negeri itu dalam PRU akan dating.

Sementara itu, Kelantan sudah sinonim dengan PAS, justru dengan segala kekuatannya, sukar bagi Umno/BN untuk merampas negeri pimpinan ulama itu. Namun dengan kemenangan tipis PAS di Manik Urai dan kekalahannya di Galas, adalah wake-up call, loceng amaran yang amat kuat kepada PAS untuk membetulkan kedudukannya, mana-mana yang tidak betul.

Tidak mungkin boleh diterima pemikiran, kalau ada, bahawa PAS Kelantan sudah amat teguh dan tidak tidak mudah dicabar. Kelemahan jentera kerajaan di peringkat ground-lavel, jajahan, kampung dan sebagainya masih wujud.

Isu pemberian dan pengambilan tanah, isu air, kebersihan, perumahan dan sebagainya masih ada yang belum diselesaikan.

Oleh kerana Kerajaan PAS Kelantan sudah 20 tahun memerintah, secara otomatis memberikan gambaran bahawa Kerajaan PAS Kelantan sudah tidak boleh lagi memberikan alasan bahawa masih ada program pembangunannya yang belum terlaksana.

Kesimpulannya di sini, Kerajaan Pakatan Rakyat mestilah bersiap sedia secukupnya untuk menghadapi cabaran Umno/BN dalam PRU akan datang.

Untuk itu segala krisis dalaman dan luaran dalaman, jika ada dalam Pakatan, mestilah diselesaikan segera.

Tidak syak lagi, pertarungan dalam PRU Ke-13 nanti akan lebih sengit dan getir, justru suasana PRU 2008 dulu mungkin berbeza dengan suasana dalam PRU Ke-13 nanti. Oleh itu, jangan berilusi bahawa kemenangan 2008 itu akan berulang jika tidak bekerja keras mempertahankannya


Bapak bukti Anak berjaya
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Penubuhan Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak) yang diumumkan kerajaan semalam membuktikan usaha Anak selama ini berjaya.

Anak atau nama penuhnya Gabungan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, ditubuhkan bagi membuka mata kerajaan tentang permasalahan peneroka Felda, kata pengerusinya, Mazlan Aliman.

"Penubuhan biro ini saya anggap satu pengiktirafan kepada Anak yang kita tubuhkan.

"Hasrat penubuhan Anak adalah bagi merangsang kesedaran semua pihak terhadap masalah peneroka dan kita telah berjaya buka mata mereka," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Biarpun mengalu-alukan penubuhan biro itu, Mazlan berkata ianya tetap terkebelakang kerana sepatutnya ia ditubuhkan sejak awal penubuhan Felda lagi.

Beliau juga mendakwa penubuhan tersebut tidak lebih dari 'gimik politik' Umno menutup kelemahan Felda menjelang PRU 13 yang dijangka tahun hadapan.

Bagaimanapun katanya, Anak sedia bekerjasama dengan Bapak untuk menyelesaikan kes tertunggak peneroka yang ada.

"Tak ada masalah Anak nak tolong Bapak, tapi kalau Bapak tak boleh harap, biarlah Anak yang buat," katanya sinis.

Untuk permulaan katanya, Anak akan menyerahkan 20 kes yang ada pada mereka kepada Bapak.

"Kita nak tengok Bapak boleh tak selesaikan 20 kes pertama ini dalam masa seminggu seperti yang dijanji Datuk Ahmad Maslan (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

"Kita cabar mereka tunjukkan keikhlasan dan komitmen untuk bantu masalah peneroka di 317 tanah rancangan," katanya.

Anak sebelum ini dikenali sebagai NGO yang membela nasib peneroka yang dinafikan hak oleh Felda.

Ianya termasuk isu wang tanam semula yang dimenangi peneroka di Pahang dan Kelantan.

Mazlan juga mendakwa nama Bapak yang diumumkan itu seolah-olah menciplak nama NGO yang telah ditubuhkannya sebelum ini untuk menangani masalah peneroka Felcra.

NGO Bapak sepatutnya akan dilancar pada 26 Disember ini bertempat di Ipoh, Perak


PRU 13: Pakatan Rakyat P Pinang sudah sedia
Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 22 Nov: Pakatan Rakyat Pulau Pinang bersedia berhadapan dengan jentera Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU 13) pada bila-bila masa sahaja.

Semua jentera Pakatan Rakyat yang menggabungkan tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS telah menyatakan pergerakan dan persetujuan bersama dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan raya yang diadakan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) malam tadi sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Pelancaran yang ditandatangani oleh Timbalan PKR Pulau Pinang, Law Choo Kiang yang mewakili pengerusinya, Datuk Mansor Othman, Timbalan DAP Pulau Pinang, Lim Hock Seng yang mewakili pengerusinya, Chow Kon Yeow serta Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man.

Law Choo Kiang dalam ucapanya mahukan kerajaan menonjolkan aktiviti menjurus kepada rakyat supaya program yang diatur menepati sasaran.

Beliau tidak mahu Pakatan 'syok sendiri' sebaliknya bersungguh-sungguh memperkemaskan sistem komunikasi untuk berkongsi maklumat bagi menjalinkan kekuatan menghadapi fitnah yang dilemparkan oleh BN.

"Kita kena jauhkan sindrom Mac 2008 yang menyaksikan kemenangan Pakatan Rakyat dan jangan terlalu yakin untuk mengulanginya tanpa ada usaha yang padu dilakukan oleh ketiga-tiga parti, sebaliknya rancang dan agendakan program terus ke dalam masyarakat," tegasnya.

Bagi Lim HockSeng pula, DAP kena bangun dan bingkas pada setiap pergerakan dan usah lagi melangkah secara perlahan kerana langkah sebegitu selalunya disekat oleh Umno dan BN.

Katanya, mereka melemparkan berbagai tuduhan palsu demi mendapatkan semula undi terutamanya masyarakat Cina yang telah berpatah arang ekoran terlalu banyak penyelewengan BN sewaktu berkuasa.

Mendampingi rakyat jelata tambahnya, merupakan jalan terbaik untuk Pakatan Rakyat menyalurkan maklumat secara terus, bukan menerusi media pro BN yang lidah bercabang dan tidak bersikap profesional.

"Semua tuduhan palsu kena dinafikan secepat mungkin kerana ia sedikit sebanyak memberi kesan pada kita.

“Apa pun, setakat ini semua yang dilemparkan terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya diatasi sekaligus memakan diri BN dan konco-konconya," katanya.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saleh Man pula mahukan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memperbanyakkan program kebajikan.

Bukan itu sahaja, malahan usaha mendaftarkan ahli atau pengundi hendaklah dicergaskan supaya Pakatan Rakyat tidak terlalu menaruh harapan kepada kelemahan pentadbiran dahulu.

"Kita kena cari sasaran kita sendiri dengan menengahkan sesuatu isu bukan mengharapkan isu nasional yang kadang-kadang tidak menimbulkan kemarahan penduduk," jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir.

Konvensyen Pakatan Rakyat bertemakan 'Kerajaan Berjiwa Rakyat, Memartabatkan Rakyat' yang pertama kali diadakan turut membincangkan lima kertas kerja.

Ucaptama yang disampaikan oleh Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng bertajuk ‘Kerajaan Berjiwa Rakyat: Memartabatkan Rakyat' turut menarik perhatian wakil Jepun, Tetsuro Kai dan wakil Indonesia, Chilman Arisman yang hadir sama pada majlis itu


Negeri Pakatan tidak akan bersama dalam PRU 13?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Ketika berita angin bertiup kencang pilihan raya umum ke 13 (PRU 13) akan diadakan awal tahun depan, pelbagai pihak dalam Pakatan Rakyat pula membuat andaian negeri-negeri mereka tidak semestinya bersama dalam pilihan raya itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan jelas berkata, Pakatan akan berbincang terlebih dahulu sesama mereka iaitu PKR, DAP dan PAS sebelum membuat keputusan untuk menyertai pilihan raya itu atau tidak.

Ini kerana, mereka yang menguasai empat negeri, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan berhak membuat keputusan sebaliknya iaitu pilihan raya berasingan dengan tarikh yang diumumkan oleh kerajaan pusat.

Lim Guan Eng, ketika berucap di Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang semalam berkata, ketiga-tiga parti komponen Pakatan itu akan mengadakan konvensyen mereka sendiri sebelum membuat keputusan untuk menyertai pilihan raya itu atau tidak.

Pendapat beliau disokong oleh anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

"Kita ada negeri yang hendak diuruskan selepas diberikan mandat pada tahun 2008 lalu. Kita akan cukupkan penggal kita. BN di peringkat pusat mempunyai masalah kredibiliti sendiri. Jika mereka mahukan pilihan raya, biarkanlah mereka," kata Dr Hatta kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa membuat cadangan yang serupa.

Beliau mencadangkan agar negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak mengikut secara membabi buta cadangan kerajaan pusat dan negeri BN membubarkan Parlimen dan Dun mereka.

"Kita mesti ada kuasa tawar menawar. Kalau kita ikut sahaja kehendak mereka bermakna, mereka sentiasa menetapkan kehendak mereka dan kita mengikut mereka sahaja," kata Husam dalam satu kenyataannya.

PRU 13 dikatakan akan diadakan pada awal tahun depan iaitu antara Mac atau April 2011.

Bendahari PKR yang juga anggota Parlimen Selayang, William Leong berkata, pihaknya mendapat maklumat ia akan diadakan April tahun depan iaitu serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Para media BN pula diarahkan agar memainkan berita baik untuk BN bagi melahirkan rasa senang rakyat kepada parti yang memerintah negara itu di samping memburuk kerajaan Pakatan Rakyat.

Tindakan Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan PKR selepas tertinggal dalam pemilihan timbalan presiden telah dijadikan modal oleh media BN untuk menghuruharakan PKR.

Pemilihan dalam PKR juga dihebohkan kononnya berlaku kekecohan besar dalam parti itu, walaupun PKR menegaskan ia hanya kekecohan kecil sahaja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein juga menyerang Pakatan apabila menolak usahanya untuk mendaftarkan simbul bersama dalam pilihan raya negeri Sarawak kononnya Pakatan hanya bersatu dari segi simbul sahaja tetapi berpecah.

Negeri-negeri Pakatan juga didakwa gagal melaksanakan manifesto pilihan raya mereka namun begitu manifesto yang mana gagal dilaksanakan tidak dinyatakan oleh beliau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan