Khamis, 25 November 2010

TAK KIRA SAPE....TERMASUK PEMIMPIN...SAMPAI HAYAT...MATILAH...MAKA INGATLAH MATI KETIKA KITA MEMIMPIN..

KIAhli terus, di mana MCA dan MIC?
Selena Tay


Baru-baru ini, BN telah meluluskan keahlian terus kepada orangramai untuk menyertai BN tanpa menyertai mana-mana komponen BN seperti Umno, MCA dan MIC. Ini mewujudkan persepsi kepada orangramai bahawa BN semakin terbuka demi menyemarakkan konsep 1Malaysia.

Tetapi penulis berpendapat bahawa hasrat Umno (ya, Umno ialah BN dan BN ialah Umno) sebenarnya ialah untuk mendapat sokongan dan dokongan rakyat dengan sekaligus terus memberi kuasa muktamad kepada Perdana Menteri Najib Razak untuk membuat keputusan mengenai keahlian. Dengan ini, Najib akan terus mendapat kuasanya dari ahli-ahli yang menyertai secara keahlian terus sebab ahli-ahli yang menyertai secara keahlian terus adalah seolah-olah dibawah bidangkuasa Najib.

Pada masa yang sama kuasa parti komponen yang lain seperti MCA dan MIC akan dikurangkan kerana Umno tidak perlu lagi bergantung kepada mereka untuk merekrut ahli baru ke dalam BN. Justeru itu, ini merupakan tamparan yang hebat kepada MCA dan MIC yang kuasa mereka semakin terhakis tetapi adakah mereka sedar akan hal ini dan terus mendiamkan diri untuk membodek Umno? Sudah jelaslah jawapannya.

Dengan jumlah ahli yang akan bertambah disebabkan oleh ramai NGO Melayu yang akan menyertai BN untuk menguatkan BN, Najib pun dengan cepat akan mengumumkan Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13).

Program-program transformasi dan ekonomi yang dilancarkan oleh Kerajaan BN seperti ETP (Economic Transformation Programme), GTP (Government Transformation Programme) dan NEM (New Economic Model) semuanya memakan masa yang lama untuk menampakkan apa-apa hasil. Oleh itu, adalah bijak untuk BN mengadakan PRU-13 dengan cepat sebelum rakyat di bandar yang pandai menggunakan internet membuat bising bahawa program-program transformasi dan ekonomi ini nampaknya tidak berapa berhasil pun.

Penulis berpendapat kerajaan BN ingin cepat mengadakan pilihanraya umum sebab rakyat masih belum bangun dari tidur lagi contohnya rakyat di kampung dan kawasan pendalaman seperti di Galas dan Batu Sapi. Itulah tandanya BN semakin goyah sebab tidak berani dan tidak yakin untuk mengadakan pilihanraya umum setelah rakyat bangun dari tidur. Ya, strategi BN adalah cerdik dan Pakatan mestilah bersedia untuk menangani strategi ini supaya tidak terperangkap dengan tiba-tiba.

Sebuah akhbar harian Inggeris tempatan pada awal minggu ini ada menyiarkan ramalan seorang pakar feng shui yang meramalkan bahawa PRU-13 akan diadakan sebelum bulan Mei tahun depan. Walaupun penulis bukan pakar feng shui, penulis berani meramalkan bahawa PRU-13 akan diadakan diantara 10hb Mac hingga 31hb Mac tahun depan sebab penulis telah menjadi pemerhati politik lebih dari dua dekad.

Selain dari faktor keahlian terus dan faktor ekonomi, satu lagi faktor yang menunjukkan bahawa BN semakin goyah ialah hasrat kerajaan BN untuk menggubal undang-undang hasutan untuk merangkumi dunia siber.

Adakah kerajaan BN berhasrat untuk mengekang minda rakyat yang celik menggunakan internet dengan memperkenalkan undang-undang siber yang kononnya akan dilaksanakan untuk menghentikan hasutan di dunia siber?

Perkara ini timbul sebab bloger-bloger pro-BN telah kalah apabila berdebat dengan bloger-bloger pro-Pakatan di dunia siber. Bloger-bloger pro-BN sering berdebat dengan menggunakan kata-kata yang kasar, kesat, biadab dan rasis. Oleh itu masyarakat umum sudah tidak dapat menerima hujahan bloger-bloger pro-BN. Kerajaan BN merasa goyah dengan hujahan bloger-bloger pro-Pakatan yang berdebat dengan idea yang bernas, bukti yang kukuh dan bersopan pula. Demi ingin terus berkuasa di Putrajaya, BN pun hendak mengawal minda penduduk bandar yang mempunyai akses internet.

BN juga tahu bahawa Pakatan Rakyat tidak mempunyai dana dan oleh itu berhasrat untuk mengadakan PRU-13 dengan secepat mungkin untuk melakukan satu 'quick kill'. Tanpa dana, cetak banner pun susah apa lagi mahu dikatakan?

Penulis ingin menggesa semua parti komponen Pakatan Rakyat supaya dengan segera mengorak langkah untuk mendapatkan dana. Juga semua penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat mesti berusaha jimatkan wang mulai hari ini supaya boleh menderma kepada PAS, DAP dan PKR dalam bulan Mac 2011 nanti.

Masa dah suntuk! Pakatan Rakyat mesti memulakan persiapan dari saat ini juga!
-----------------------------
Penulis adalah ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS


Pakatan Rakyat bahagi kerusi selepas konvensyen
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, proses persiapan pilihan raya Pakatan Rakyat bermula dengan perhimpunan penyokong parti di Pulau Pinang, 18 Disember depan dan disambung dengan Konvensyen Pakatan Rakyat pada keesokan harinya.

"Pada peringkat ini, kita mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan selepas itu membawa kepada pembahagian kerusi di kalangan komponen Pakatan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang parlimen, petang ini.

Ia juga, katanya sebagai menunjukkan kekuatan Pakatan Rakyat walaupun diasak dengan pelbagai dakwaan melalui media massa.

"Kami juga telah memutuskan untuk membuat persiapan pilihan raya di Sarawak, contohnya telah ada jawatankuasa yang telah ditubuh yang akan melangsungkan keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

"Segala program yang sedang kami rancang adalah satu manifestasi kepada pengukuhan Pakatan Rakyat itu sendiri sebagai alternatif kepada rakyat," katanya yang juga ahli Parlimen Bachok.

Selain itu, mesyuarat itu turut memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan pengundi awam menjadi pengundi pos.

"Ada maklumat tambahan mengenai pemindahan nama orang awam menjadi pengundi pos dan cara pendaftaran yang masih belum diperbaiki.

"Kita akan selaraskan mesyuarat di antara jawatankuasa pilihan raya Pakatan Rakyat dengan pihak Bersih supaya maklumat ini dapat mereka teliti.

Sementara itu, Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen kali kedua Disember depan bagi membincangkan beberapa isu penting termasuk soal tanah, Felcra dan Felda.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ianya akan diakan pada 19 Disember di Dewan Milennium Seberang Perai, setelah mendapat persetujuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Antara isu pokok yang akan dibahaskan ialah isu tanah termasuk Felda, Felcra dan tanah adat, soal air, tol, pelaburan,masalah pekerja, wanita Sabah dan Sarawak.

"Kita juga putuskan pimpinan Pakatan Rakyat mulai Disember ini akan melancarkan majlis penerangan di beberapa buah negeri sebagai permulaan," kata beliau selepas mempengerusikan Majlis Pakatan Rakyat.

Anwar juga memberitahu, menteri-menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat akan bersidang di Shah Alam Isnin ini juga bagi membincangkan beberapa perkara khususnya mengenai ekonomi negeri.

"Persidangan menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat akan diadakan pada 29 November di Shah Alam dan di antara isu yang akan dibangkitkan termasuk soal menjana koridor dan kekuatan ekonomi, infranstruktur pelaburan, megimbangi kepentingan antara kaum dan dasar pertanian, federalisme dan perhubungan kerajaan pusat dengan negeri, pembangunan masyarakat dan komunikasi massa," katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung PAS dan PKR, Datuk Mustafa Ali dan Saifuddin Nasution Ismail serta beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.


PRU 13: Hanya si tidur nyenyak tidak dengar loceng amaran
Oleh A. Shukur Harun shukurharun@yahoo.com


Perkembangan terkini politik Malaysia memperlihatkan usaha sungguh-sungguh dari Umno/BN untuk ‘merampas’ negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat.

Tentu saja tumpuan utamanya ialah negeri Selangor di mana setiap hari pemimpin Umno/BN serta media yang mereka kuasai mengkritik setiap sudut kerajaan Selangor – bermula sejak kejatuhan BN dalam PRU Ke-12 2008 lapan lagi.

Momentum Umno/BN untuk merebut kembali kemenangan dalam PRU Ke-13 nanti melonjak sejak ke kemenangan mereka di Bagan Pinang, kemenangan tipis PAS di Manik Urai, kekalahan Pakatan di Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi.

Kesungguhan mereka untuk merebut kembali kemenangan ini jangan sama sekali dipandang remeh oleh Pakatan Rakyat, dengan ilusi bahawa mereka tidak akan berjaya, justru rakyat sudah melakukan perubahan sejak 2008, sementelah lagi majoriti pengundi bukan Melayu menyokong mereka. Dengan itu kononnya tidak ada apapun yang boleh merisaukan.

Jika ada pendukung Pakatan Rakyat membuat tanggapan seperti ini, segeralah membetulkan persepsi yang salah ini dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan. Terimalah hakikat kelemahan Pakatan Rakyat, khususnya PAS, di Bagan Pinang dan Galas, sementara di Manik Urai PAS menang tipis. Ini loceng amaran yang sangat kuat yang hanya tidak didengar oleh mereka yang tidur nyenyak.

Perlu diingat, parti lawan memiliki segala kekuatan - wang yang banyak, tipu muslihat, ugutan, menggunakan jentera kerajaan, undi pos, mengumpan rakyat terpencil di kawasan pedalaman dan segalanya, tentu saja ini sebagai cabaran kepada Pakatan Rakyat untuk menghadapi kekuatan ini.

Selangor, negeri yang menjadi sasaran utama Umno/BN selain Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, adalah sebuah negeri termoden, bersifat kosmopolitan dengan nisbah penduduk bandarnya hampir sama banyak dengan penduduk luar bandarnya.

Maknanya Selangor adalah sebuah negeri pelbagai kaum dan agama, dengan puluhan institusi pengajian tinggi dengan jumlah golongan terpelajar begitu besar. Oleh itu tentu saja ada pemikiran sesetengah orang bahawa dengan golongan terpelajar yang ramai di Selangor ini, ditambah dengan sifatnya sebagai negeri masyarakat majmuk, tidak sukar untuk Pakatan Rakyat mengekalkan kuasanya dalam PRU akan dating.

Pemikiran ini perlu diperbetulkan kerana di sana, masih ramai rakyat Selangor – terutamanya di kawasan pedalaman seperti di Ulu Selangor, Tanjung Karang, Sabak Bernam, Dengkil, Semenyeh dan kawasan seumpamanya – masih belum sampai maklumat secukupnya mengenai kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memang diakui telah banyak melakukan sesuatu yang terbaik untuk rakyat Selangor dan ini tidak payah dihurailkan satu persatu di mana Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan para exconya serta para pegawai bawahannya bertungkus lumus untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri itu.

Namun mestilah diakui bahawa sektor penerangannya, baik di peringkat parti di dalam PR, mahupun jentera kerajaan peringkat daerah dan mukim, belum lagi menyebarkan penerangan seluas-luasnya. Bagaimana pula dengan peranan Ahli Majlis Daerah, Penghulu, JKKK, ketua kampung, Jawatankuasa Masjid dan lain-lain dalam tugas memberikan penerangan mengenai pelbagai program pembangunan Negeri Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah menyediakan peruntukan jutaan ringgit untuk jentera penerangannya. Bagaimanakah program penerangannya yang boleh memberi kesan maksima, bagaimana dengan taburan gerak kerjanya, adakah sasaran program penerangan itu tepat atau sebaliknya.

Bagaimana pula kebijaksanaannya menangkis tuduhan, tohmahan malah fitnah dari parti lawan dan bagaimana pula methodnya ketika berinteraksi dengan rakyat.

Inilah persoalan yang berlegar dan cabaran yang dihadapi oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor di mana situasinya tentu sebanyak sedikit berbeza dengan negeri Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Bagi negeri Kedah, ada simpati yang mendalam dari pelbagai pihak terhadap rakyat Kedah yang mengalami banjir besar di mana pelbagai lapisan rakyat
menunjukkan simpati dan menghulurkan bantuan.

Memang ada isu yang ditimbulkan oleh parti lawan, namun kebanyakan isu itu dapat dijelaskan sebaik-baiknya oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak, para exco dan pimpinan yang lain. Jentera penerangannya, nampaknya lancar dan berkesan.

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, walaupun ‘diserang’ habis- habisan oleh parti lawan dengan resepi perkauman yang pelik-pelik, tetapi Ketua Menterinya, Lim Guan Eng dan para exconya dapat menjawab dan menangkis dengan berkesan pelbagai tuduhan perkauman.

Pulau Pinang yang majoriti penduduknya berada di kawasan bandar atau semi bandar mudah disampaikan maklumat. Dengan itu tidak mudah bagi Umno/ BN untuk merampas negeri itu dalam PRU akan dating.

Sementara itu, Kelantan sudah sinonim dengan PAS, justru dengan segala kekuatannya, sukar bagi Umno/BN untuk merampas negeri pimpinan ulama itu. Namun dengan kemenangan tipis PAS di Manik Urai dan kekalahannya di Galas, adalah wake-up call, loceng amaran yang amat kuat kepada PAS untuk membetulkan kedudukannya, mana-mana yang tidak betul.

Tidak mungkin boleh diterima pemikiran, kalau ada, bahawa PAS Kelantan sudah amat teguh dan tidak tidak mudah dicabar. Kelemahan jentera kerajaan di peringkat ground-lavel, jajahan, kampung dan sebagainya masih wujud.

Isu pemberian dan pengambilan tanah, isu air, kebersihan, perumahan dan sebagainya masih ada yang belum diselesaikan.

Oleh kerana Kerajaan PAS Kelantan sudah 20 tahun memerintah, secara otomatis memberikan gambaran bahawa Kerajaan PAS Kelantan sudah tidak boleh lagi memberikan alasan bahawa masih ada program pembangunannya yang belum terlaksana.

Kesimpulannya di sini, Kerajaan Pakatan Rakyat mestilah bersiap sedia secukupnya untuk menghadapi cabaran Umno/BN dalam PRU akan datang.

Untuk itu segala krisis dalaman dan luaran dalaman, jika ada dalam Pakatan, mestilah diselesaikan segera.

Tidak syak lagi, pertarungan dalam PRU Ke-13 nanti akan lebih sengit dan getir, justru suasana PRU 2008 dulu mungkin berbeza dengan suasana dalam PRU Ke-13 nanti. Oleh itu, jangan berilusi bahawa kemenangan 2008 itu akan berulang jika tidak bekerja keras mempertahankannya



Bekas KM Pulau Pinang, Lim Chong Eu meninggal dunia
Nov 24, 10 10:45pm

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr Lim Chong Eu, 91 meninggal dunia hari ini akibat serangan angin ahmar.

Ketua menteri selama 21 tahun itu meninggalkan seorang balu, dua anak lelaki dan dua anak prempuan.

Dr Lim dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di Tanjong Bungah di Georgetown setelah dibawa balik dari Hospital Pulau Pinang petang tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon ketika dihubungi mengesahkan berita mengenai kematian Dr Lim itu.

Satu makluman rasmi akan diumumkan, kata Koh.

Dr Lim, dimasukkan ke di wad Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 26 Okt lalu dan terus tidak sedarkan diri.

Beliau menjadi ketua menteri kedua Pulau Pinang selepas Tan Sri Wong Pow Nee dan memegang jawatan itu dari 12 Mei 1969 hingga 25 Oktober 1990.

Beliau menjadi presiden Gerakan selama sembilan tahun mulai 1971.

Di bawah kepimpinannya, Gerakan menyertai BN pada 1972

Tiada ulasan:

Catat Ulasan