Khamis, 28 Oktober 2010

TAKUTLAH KITA DENGAN BAKARAN API NERAKA......

Masyarakat Tioghua senang dengan Dr. Zulkefli
Hafiz Irwan

GUA MUSANG, 28 Okt: Masyarakat Tionghua Galas yakin calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mampu meneruskan kesinambungan perjuangan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Dr Zulkefli yang pernah bertanding di Galas pada pilihan raya 2004, dikenali mereka sebagai mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan sudah semestinya berupaya untuk menerajui perubahan rakyat semua kaum di kawasan itu.

Selain sifatnya yang lemah lembut, tidak lokek mengukir senyum setiap kali bertemu orang ramai membuatkan Dr Zulkefli senang didampingi oleh segenap lapisan masyarakat.

Seorang masyarakat Cina, Chee Kin Hwa, 53, berkata, pemilihan Dr Zulkefli sebagai calon wakil rakyat Galas adalah tepat berdasarkan pengalamannya yang pernah berkhidmat kepada rakyat.

“Dr Zul bagus. Dia orang baik, tidak sombong dengan orang ramai sama ada kenal atau tidak kenal kalau berhadapan dengan dia kita mudah akan dapat merasai kemesraannya.

“Saya percaya kaum Cina di Galas akan memberi sokongan seratus peratus kepada Dr Zul dalam pilihan raya kecil ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru, Gua Musang dekat sini malam tadi.

Chee berkata, sebagai masyarakat veteran dia amat memahami citarasa atau sentimen pengundi Cina Galas yang lebih mengutamakan pemimpin yang berperwatakan bersih, telus, adil serta ikhlas dengan rakyat.

Chong Kun Sew, 42, menerima kerajaan pimpinan ulama berdasarkan sikap terbuka PAS yang tidak pentingkan satu bangsa, sebaliknya meletakkan kepentingan masyarakat semua kaum atau bangsa di dalam negara dengan sama rata.

“Kita mahukan seorang pemimpin yang boleh jaga rakyat. Ada masa untuk jenguk rakyat, tanya khabar apa masalah rakyat, bukan masa pilihan raya sahaja hendak jumpa rakyat selepas itu hilang, setahun tak boleh jumpa sekali, sibuk kononnya.

“Saya yakin Dr Zul boleh jadi seperti Chek Hashim dulu. Kalau lebih dari itu lagi bagus,” katanya yang pernah menemani Allahyarham Che Hashim semasa mendapat rawatan di Cina sebanyak lima kali.

Allahyarham Chek Hashim meninggal dunia pada 27 September lalu akibat barah usus pernah menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San oleh pakar dari Beijing.

Sementara itu, Wong Siew Lan, 45, memberitahu masyarakat Cina masih mengenang pemergian Allahyarham Chek Hashim yang dianggap kehilangannya sukar dicari ganti, dan berharap Dr Zul menjadi penerus demi keharmonian masyarakat Galas.

“Kaum Tionghua Gua Musang banyak terhutang budi pada wakil rakyat Chek Hashim. Sikap bertanggungjawab, rendah diri, suka menolong dan tidak berkira dengan rakyat, menjadikan kehilangannya seperti sukar dicari ganti.

“Saya menyeru semua pengundi Cina terus undi calon PAS (Dr Zulkefli) sebagai tanda kasih sayang berkekalan kepada Chek Hashim yang telah banyak membuat jasa kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Yap Chan Look, 34, berkata PAS mempunyai harapan besar untuk pertahankan kemenangannya di Galas.

“Tanggungjawab kerajaan Pas kepada rakyat adalah jelas. Mereka telus. Kebajikan rakyat diageh dengan adil tak kira kaum Cina, India atau Asli.

“Saya fikir tidak ada sebab rakyat semua kaum hendak tolak atau tukar perjuangan Pas kepada parti lain,” jelasnya.

Jumlah pengundi Cina Dun Galas adalah 20.06 peratus dengan 2,317 orang pengundi



Lambat siap: Penjelasan Zambry dituntut
Harakahdaily

IPOH, 28 Okt: Dewan Pemuda PAS Perak, mahu kerajaan negeri itu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung beberapa projek yang gagal siap mengikut jadual seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Jabatan Audit Negara 2009 awal minggu ini.

Naib Ketuanya, Salman Saleh berkata penjelasan itu sangat penting kerana projek yang dilaporkan tersebut adalah berkaitan dengan keperluan yang selama ini ditunggu rakyat.

Ianya termasuk projek Rumah Rehat Kampar, Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping, Pusat Rehat dan Rekreasi Changkat Jering, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Kompleks Pusat Penjaja Glutton Square Teluk Intan, Padang Seri Iskandar, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), dan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar.

"Kita mahukan penjelasan kerana ianya berkait rapat dengan rakyat terutamanya kemudahan-kemudahan yang sebelum ini pernah menjadi janji kerajaan negeri, namun malangnya tidak dapat disiapkan malah merugikan wang rakyat.

"Kita juga menuntut satu Jawatankuasa Khas bagi menyiasat permasalahan yang telah timbul samaada secara sengaja ianya dilewatkan atau sebaliknya," katanya.

Tambahnya lagi, keadaan itu juga jelas menunjukkan sikap tidak peka dan lepas tangan kerajaan negeri untuk memantau setiap projek selepas ianya diluluskan.

"Sikap pertanggungjawaban di atas kelewatan projek-projek tersebut sudah tentu akan diletakkan kepada pihak kedua atau ketiga di dalam menyabitkan kesalahan tersebut kelak.

"Yang pastinya, pentadbir kerajaan negeri akan terlepas di atas kelemahan dan kecuaian bagi mengatasi masalah tersebut," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd.Kadir membentangkan kertas putih di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak nanti bagi memperjelaskan isu tersebut.

"Kita amat kesal jika kerajaan negeri tidak bertindak tegas terhadap mereka-mereka yang mencari keuntungan di atas kelemahan pengurusan dan menekan rakyat atas kelemahan yang seolah-oleh sengaja diada-adakan," jelasnya



Umno BN tidak yakin media arus perdana
Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 27 Okt: Keresahan Umno BN untuk mendapat sokongan pengundi di Dun Galas semakin terserlah apabila mereka terpaksa mengeluarkan sendiri bahan cetak SUARA GALAS pada hari penamaan calon untuk dijadikan bahan kempen.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sedangkan dalam masa yang sama, mereka telahpun mempunyai pelbagai saluran media cetak dan elektronik.

Ketika ditemui mengulas perkara tersebut, katanya penyebaran risalah empat muka yang diterbitkan oleh Badan Perhubungan Umno negeri itu jelas menggambarkan mereka tidak lagi menaruh keyakinan akhbar arus perdana milik mereka untuk menawan hati pengundi di Dun Galas.

Beliau berkata, perbuatan tersebut seolah-olah meniru langkah PAS yang telah mengeluarkan GALAS KITO pada edaran pertama sehari sebelum penamaan calon.

“PAS telah mengambil langkah proaktif dalam penyebaran maklumat kepada pengundi kerana kita sedar sebaran media terhadap pelbagai aktiviti kita amat terhad, kita hanya ada Harakah, dikeluarkan dua kali seminggu sahaja,” ujar beliau.

Sementara itu, Yamin Hamid, 35, dari Kampung Lembaga, Sungai Terah berkata, Umno BN yang menyebarkan risalah tersebut kerana mereka sedar akhbar arus perdana tidak mendapat sambutan di Gua Musang.

"Kalau dah orang umno-BN sendiri pun tak yakin dengan akhbar harian mereka, tak kanlah kita di Gua Musang ini pula nak percaya berita yang disebarkan oleh akhbar tersebut.

Bagi Nurul Hidayah Ahmad, 27, Batu Papan pula berkata, semasa berada di tempat pernamaan calon turut mendapat senaskah akhbar harian secara percuma.

“Nampak sangat pihak Umno BN ini terdesak untuk menyebarkan maklumat palsu mereka, sehinggakan sanggup mengedar akhbar secara percuma pada hari tersebut,” katanya lagi


KITA AKAN DIPERSOAL DIAKHIRAT....KALAU KITA BENAR2 BERIMAN PADA HARI KEMUDIAN@PEMBALASAN

Patologi: Peluru tembusi tengkorak Aminul
Okt 28, 10 11:09am

Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati beberapa bulan sebelum sempat meraikan hari jadi ke-15nya pada 26 April 2010, tidak ditembak dari jarak dekat.

Menurut ahli patologi Dr Khairul Azman Ibrahim, dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, tembakan yang dikesan itu berbentuk bulat dan bukan “berbentuk bintang dalam kes-kes yang ditembak kurang daripada jarak satu kaki”.

Katanya juga, tiada kesan terbakar - satu ciri ketara dalam luka yang ditembak dari jarak dekat.

"Saya juga dimaklumkan oleh pegawai penyiasat terdapat lubang peluru di cermin belakang kereta (dipandu Aminulrasyid)," katanya.

Khairul berkata remaja berkenaan mati “beberapa saat atau minit” selepas peluru mengenai bahagian kiri belakang tengkoraknya dan menembusi otak sebelum keluar dari tengkorak daripada bahagian kanan, berhampiran keningnya.

"Peluru tembus di bahagian depan tengkorak tetapi bukan di kulit menyebabkan bahagian sekitar lebam di bahagian kening mata kanan,” katanya.

Menurut beliau lagi peluru juga dijumpai di bawah kulit.

Beliau juga memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Shah Alam, luka lain seperti kesan calar adalah kemungkinan akibat pergeseran dengan objek tumpul yang mungkin disebabkan oleh perlanggaran atau hentakan dari dashboard kereta.

Katanya lagi, beliau menerima mayat remaja itu pada jam 5.55 pagi 26 April 2010 dan badannya sudahpun kaku, menunjukkan Aminulrasyid sudah mati lebih empat jam.

Aminulrasyid ditembak pada jam 1.30 pagi 26 April tahun lalu di Jalan Tarian 11/2, Shah Alam, kira-kira 50 meter dari persimpangan di rumahnya. Koperal Jenain Subi, 48, dituduh menembak mati remaja tersebut selepas keretanya dikejar polis dan berdepan dengan hukuman 30 tahun penjara jika sabit kesalahan


TEGUR PUN ADA SIR@SEMBUNYI....SELEMAH2 IMAN.....ALLAH TAHU APA YANG TERSIRAT....INGATLAH MATI...JANGAN MENYESATKAN ORANG LAIN....

Hab hiburan tetap salah, ulama tegur secara 'sir'
Jimadie Shah Othman
Okt 28, 10
10:00am


Ulama muda Umno akan sentiasa menegur segala kesilapan pemerintah, termasuk berhubung rancangan mewujudkan hab hiburan sekiranya ia bercanggah dengan ajaran Islam, kata Fathul Bari Mat Jahya.

Bagaimanapun, menurut pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (iLMU) itu lagi, teguran yang dibuat mestilah dalam bentuk sir atau rahsia bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan yang lebih besar.

“Secara prinsipnya, pusat hiburan, tidak kira di mana pun ia berada, tidak kira dibina oleh sesiapa pun, selagi ia bercanggah dengan hukum Allah, secara dasarnya ia tetap salah.

“Tetapi soal menegur, itu (hal) antara kami dan pemerintah dan tidak sewajarnya didedahkan (kepada orang ramai),” kata Fathul Bari yang menyertai Umno Jun lalu bagi tujuan “menasihati” pemimpin.

Menurut perancangan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan Isnin lalu, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan.

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Lebih mengejutkan, dicadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014.

Bercakap kepada Malaysiakini lewat petang semalam, Fathul Bari menjelaskan, pandangannya itu dibuat berdasarkan contoh daripada atsar atau pertuturan sahabat Nabi Muhammad yang bernama Usamah bin Zaid.

Fahtul Bari berkata, sahabat Rasulullah itu memilih menegur kelemahan khalifah ketika itu Usman bin Affan secara tertutup dan tidak dihebahkan kepada orang ramai.

Sementara itu, mengulas bantahan pelbagai NGO Islam terhadap perkara itu, Fathul Bari berharap persoalan kepentingan Islam diutaran tanpa sikap prejus dan merentasi kepentingan politik kepartian kerana menurutnya “yang benar itu tetap benar”.

Semalam, kecuali Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), pelbagai NGO Islam mula menyuarakan bantahan keras terhadap rancangan yang disediakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Pertubuhan terbabit antaranya, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPPM) dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Dijangkakan, rancangan 'kontroversi' itu bakal mengundang lebih bantahan dalam masa terdekat, termasuk daripada kalangan parti pembangkang

HANGAT DIPASARAN...MEREKA YANG TAK AMANAH...TAK TAKUT NERAKA ALLAH...


Dr Asri: 'Hantu' mana curi wang zakat kita?
Okt 27, 10 3:13pm

Ekoran laporan audit berhubung perbelanjaan dan pelupusan eset Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Isnin lalu didakwa 'mengesahkan' wujudnya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara.

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) berkata, laporan Jabatan Audit Negara - antaranya menyatakan hasrat MAIWP melupuskan 70 penghawa dingin yang masih baik - memerlukan penjelasan dan jawapan sejauh mana ketepatannya.

"Ya, itu telah mengundang rasa tidak puas sesetengah pihak. Namun, kita terpaksa nyatakan.

"Apa tidaknya, berbilion wang zakat dan selainnya diperuntukkan untuk umat Islam, tetapi keadaan yang kita lihat terus menyayat hati, sehingga ada keluarga yang terpaksa hidup di bawah jambatan di KL seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

"Ke mana pergi segala peruntukan ini?" soal pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009 yang dikeluarkan Isnin lalu, 70 unit penghawa dingin itu tiada disenaraikan dalam Laporan Lembaga Pemeriksa tetapi pengurusan MAIWP mencadangkannya untuk pelupusan.

Miskin terus merempat

Selain itu, semasa perpindahan ibu pejabat MAIWP pada Februari 2008, sebanyak 348 aset alih bernilai RM136,265 seperti kelengkapan pejabat, perabot dan penghawa dingin ditinggalkan.

Penemuan lain melibatkan kes pembelian barangan hampir RM80,000 yang tidak digunakan, kehilangan aset bernilai RM45,789 serta pembelian minyak yang meragukan dan melebihi kapasiti tangki.

Dalam satu kenyataan awal petang ini, Dr Mohd Asri berkata, pendedahan audit itu amat menghairankan kerana ketika ratusan juta ringgit wang zakat dipungut, si miskin terus menderita dan merempat.

"Hantu manakah yang mencuri atau menipu wang zakat kita, sehingga yang berhak tidak memperolehinya? Tangan-tangan siapakah gerangan? Jembalang di hutan, atau lebai berserban?

"Yang menggunakan nama syaitan, atau yang menggunakan nama Tuhan? Akhirnya wang umat Islam ketirisan dan kecurian," katanya dengan nada sinis.

Sehubungan itu, tokoh ulama yang terkenal dengan kelantangannya itu berkata, fungsi zakat perlu dimuhasabah semula sejauh mana kejujuran, kesungguhan dan ketelusan pengurusan zakat yang sepatutnya telah lama membangunkan umat Islam.

Ambil kesempatan asnaf amilin

"Apa yang berlaku di Wilayah Persekutuan adalah isu (yang) didedahkan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan pengurusan kewangan umat Islam di negeri-negeri lain.

"Apa yang kita pasti laporan kemiskinan yang menyayat hati terus wujud di pelbagai negeri, sementara kemewahan PUZ (Pusat Urus Zakat) juga ternyata (berlaku) di pelbagai negeri.

"Adakah wujud kesungguhan untuk mereka membaiki keadaan umat Islam? Atau jangan sampai ada mereka yang mengambil kesempatan atas nama asnaf amilin (petugas zakat), sedang tugasan tidak setara mana, tapi habuan yang diambil berlebihan," kata Dr Mohd Asri.

Menurut beliau, kewujudan kes seperti itu mengikis keyakinan rakyat terhadap pengurusan atau integriti "institusi-institusi yang berjenama agama".

"Ia akan menyebabkan rakyat berfikir mereka tidak patut menyerahkan urusan agama kepada institusi-institusi ini yang sentiasa terdedah kepada pelbagai persoalan yang meragukan," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Asri berpendapat, perubah pemerintahan secara keseluruhan mungkin satu percubaan yang boleh dibuat dalam membaiki keadaan tersebut.

"Itu pun jika pasukan kerajaan baru mempunyai pemikiran yang bersih, jujur dan terbuka. Jika tidak, hal yang sama akan berulang," tambahnya lagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan