Selasa, 12 Oktober 2010

SIAPA YANG KELIRU


HUKUM QISAS: Penjelasan Kepada yang Keliru
Nasrudin Hassan
Penjelasan Hukum Qisas Menurut Perspektif Islam

1. Pertamanya saya ucapkan terima kepada semua di atas komentar yang diberikan, terhadap artikel saya sebelum ini yang bertajuk [ Mencari Keadilan Melalui Syariat Islam ] semoga ianya mencambahkan lagi perbincangan secara tanpa emosi, tetapi lebih akademik dan berfakta tentang realiti Qisas yang sedang dibincangkan ini.
Secara ringkas point yang dilontarkan oleh mereka yang mempertikai artikel saya sebelum ini berkisar tentang 3 perkara penting, iaitu

* adakah Qisas boleh dilaksanakan di dalam konteks kes pembunuhan Dato’ Sosilawati,

* adakah hudud hanyalah hukuman (Hudud is merely the punishment), dan

* ketiganya punca korupsi puncanya adalah akhlak individu pemerintah, bukan sistem.


2. Berkenaan point pertama, realiti hukum Islam, isu sama ada non-muslim tertakluk kepada hukuman Islam atau tidak , ia bukanlah satu isu yang dilihat secara bundle dan ia juga tidak lah distandardizekan ke atas semua jenis kesalahan, tetapi ianya berbeza mengikut case by case.
Dalam kes Qisas yang melibatkan pembunuhan dan begitu juga kecederaan, maka non-muslim yang terlibat dalam jenayah tersebut turut tertakluk kepada hukuman jika keluarga mangsa [ muslim ] menuntut supaya hukuman dilaksanakan.

Ini kerana, Maqasid dan Hikmat pengsyariatan hukuman Qisas antaranya ialah untuk menjadikan mangsa kes berpuas hati yang diistilahkan sebagai Al-Jabr di dalam Fiqh Islam. Justeru itu, hukuman itu dipilih dan diputuskan oleh keluarga mangsa, bukan oleh penjenayah sebagaimana yang digambarkan oleh sebahagian pihak yang mempertikaikannya.


3. Justeru itu, tidak timbul dalam kes Dato’ Sosilawati hukuman ini tidak praktikal atau tidak relevan jika di dapati pembunuhnya adalah non-muslim, justeru pemutus hukuman itu ialah keluarga Dato’ Sosilawati, bukan pembunuh dan penjenayah.
Ini adalah realiti hukum Qisas , terdapat perbezaan dengan sebahagian hukum hudud. Sebagai contoh, kesalahan meminum arak hukumannya adalah hudud. Kes ini menggariskan syarat pesalah yang tertakluk kepada hukuman Hudud berbeza dengan pesalah kes Qisas, di mana pesalah yang tertakluk kepada hukuman ini hanyalah golongan muslim . [ tidak kepada non-muslim. ]

Titik perbezaan ialah, kesalahan membunuh bukan sahaja diakui oleh Islam sebagai jenayah, tetapi juga diakui oleh semua agama, semua bangsa, semua kaum, semua etnik dan semua manusia. Ini berbeza dengan kesalahan meminum arak, di mana kesalahan itu hanya menurut agama Islam dan beberapa agama samawi, tetapi ia tidak dianggap kesalahan bagi agama yang lain dan juga bagi mereka yang tidak beragama, sehinggalah kemabukan yang hasil dari minum arak itu membawa kepada kemalangan atau jenayah.


4. Justeru itu, dalam bab meraikan kebebasan beragama dan berfahaman, kerajaan Islam tidak boleh menghalang golongan non-muslim meminum arak apatah lagi menjatuhkan hukuman hudud bagi non-muslim yang meminum arak. Ini kerana, kesalahan itu bersifat kesalahan agama, maka hukuman hudud dalam kes ini hanya tertakluk kepada orang Islam, bukan kepada non-muslim. Ini sebenarnya bagi merealisasikan maksud firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah ayat 256 yang berbunyi ‘tiada paksaan dalam agama’.

Jadi, semua kes yang melibatkan kesalahan dari sudut pandangan agama seperti tidak bersolat jumaat, tidak berpuasa dan seumpamanya, ia hanya melibatkan muslim , sementara non-muslim tidak terlibat langsung dalam kes seperti ini .

Tambahan pula, dalam kes Qisas terdapat mangsa yang memerlukan pembelaan, manakala di dalam kes Hudud arak, tidak terdapat mangsa yang memerlukan pembelaan. Yang ada hanyalah pesalah, iaitu peminum arak yang muslim, tetapi bukan mangsa.

5. Berkenaan point ke dua pula, adakah hudud hanyalah bersifat hukuman semata - mata sehingga tidak melibatkan penyiasatan dan lain-lain .
Jawapannya ialah, perundangan Islam seperti hudud, qisas dan ta’zir bukan sahaja bersifat penjatuhan hukuman, tetapi ia adalah sistem yang lengkap, iaitu bermula daripada berlakunya pembunuhan, penyiasatan, pembuktian, pendakwaan, penghakiman, penjatuhan hukuman dan sehinggalah kepada kesan penjatuhan hukuman seperti isu siapakah yang akan menanggung keluarga mangsa dan keluarga pesalah selepas si pesalah di jatuhkan hukuman bunuh. Sememangnya banyak media terutamanya media arus perdana milik pemerintah banyak memomokkan hanya point ‘bunuh balas’ dengan ‘pancung dikhalayak ramai’ sehingga hukum Islam ini menjadi ‘alergik’ yang ditakuti oleh masyarakat bukan sahaja khusus kepada non-muslim, tetapi juga ditakuti oleh orang Islam yang ‘jahil agama’.


6. Artikel saya yang lepas, sememangnya saya mengfokuskan tentang isu hak pendakwaan dan penyiasatan yang merupakan sebahagian daripada sistem lengkap perundangan Qisas. Di situ saya membezakan antara hak keluarga dan mangsa dalam sistem perundangan Qisas dibandingkan di dalam sistem perundangan konvensional. Di mana hak asli [tulen] penyiasatan, pembuktian dan pendakwaan adalah hak keluarga mangsa dan dibantu oleh kerajaan.
Namun reality perundangan konvensional, keluarga mangsa bukan sahaja tidak berhak terlibat di dalam penyiasatan, pembuktian dan pendakwaan, malahan tidak berpeluang untuk akses kepada bukti dan cara siasatan.

Lantaran itu , apa yang didakwa [ oleh beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan undang - undang Islam ] bahawa pegawai penyiasat, polis dan hakim boleh dirasuah dan terdedah manipulasi kes sebagaimana dalam sistem hari ini tidak akan berlaku.

Perbezaannya ialah, dalam sistem Islam, siasatan boleh dilakukan sendiri oleh keluarga mangsa jika mereka berkemampuan. Jika mereka tidak berkemampuan, mereka boleh melantik golongan atau pihak yang berkemampuan, sama ada dengan sukarela atau dengan upah. Jika mereka tidak mampu mengupah disebabkan tiada kewangan, maka pada masa itu menjadi kewajipan ke atas kerajaan membantu keluarga mangsa seperti menyediakan kewangan dan kepakaran.
Mereka yang terlibat dengan pembuktian dan penyiasatan mempunyai interest atau kepentingan dengan keluarga mangsa, justeru mereka dilantik atau diupah oleh keluarga mangsa sendiri, bukan oleh pihak kerajaan. Maka, bagaimanalah pemimpin yang korup boleh merasuah dan menyuap pegawai penyiasat sebagaimana yang boleh berlaku di dalam sistem konvensional, kerana authority siasatan dilakukan sendiri oleh keluarga mangsa, atau orang yang dipercayai yang dilantik oleh keluarga mangsa.


7. Berasaskan kepada kenyataan ini , tidak timbul isu AG’s Chamber dan polis terdedah kepada sogokan supaya men’declare’kan NFA (no further action) dan ‘lack of evidence’ kerana mereka tidak berauthority membuat pengisytiharan tersebut. Yang berauthority menentukan sama ada NFA atau sebaliknya, atau menentukan ‘lack of evidence’ atau sebaliknya adalah keluarga mangsa, bukan AG’s Chamber atau polis sebagaimana di dalam sistem konvensional.

Dalam kes mendiang Al-Tantuya sebagai contoh, ruang-ruang penyelewengan terbuka cukup luas. Saya terlebih dahulu menghormati keputusan mahkamah dan tidak mahu mempertikaikan keputusan yang telah dibuat. Tetapi apa yang saya cuba bangkitkan di sini ialah, kita tidak boleh menolak keraguan dan hak mereka yang meragui beberapa isu di sebalik realiti yang berlaku.

Keraguan itu timbul seperti tanda tanya adakah disebalik mereka yang didapati bersalah terdapat dalang yang lain atau tidak? Apakah kepentingan mereka-mereka yang didapati bersalah dengan mendiang Al-Tantuya? Adakah mereka yang didapati bersalah akan diampunkan? Jika dijatuhkan hukuman, boleh atau tidak kemungkinan mereka sebenarnya akan dibebaskan dengan senyap-senyap dan akan diberikan kemewahan di luar negara?


8. Kesemua kebarangkalian ini sebenarnya boleh berlaku. Jika orang politik yang terlibat, tidak mustahil mereka akan merasuah pegawai penyiasat untuk menutup bukti terhadap dalang di sebaliknya, tidak mustahil lembaga pengampunan akan memberikan keampunan jika mereka mempunyai hubungan dengan mereka-mereka yang terlibat dengan jenayah, tidak mustahil mereka yagn didapati bersalah dikatakan telah dijatuhkan hukuman tetapi sebenarnya dilepaskan dengan diberikan kemewahan di luar negara seperti Australia dan lain-lain. Semua kemungkinan ini boleh timbul dalam realiti sistem perundangan konvensional.

Semua kebarangkalian ini boleh berlaku justeru disebabkan keluarga mangsa bukan sahaja tidak berhak terlibat di dalam penyiasatan dan pembuktian, tetapi sehinggakan tidak berhak untuk akses kepada maklumat pembuktian. Tambahan pula, keluarga mangsa lansung tidak ada hak dalam pengampunan si penjenayah dan juga tidak terlibat sewaktu hukuman di jatuhkan.

9. Berbeza dengan sistem perundangan Islam, semua kebarangkalian ini akan tertutup justeru keluarga mangsa adalah pemilik asal kepada authority untuk menyiasat dan mengumpulkan bukti, tidak sebagaimana di dalam sistem konvensional. Mereka juga adalah pemilik asal terhadap hak untuk membuat pendakwaan jika cukup bukti dan menarik semula pendakwaan dan pertuduhan jika bukti tidak mencukupi.

Jika tertuduh di dapati bersalah, maka hak mengampunkan adalah hak asli [ tulen ] keluarga mangsa yang mempunyai interest atau kepentingan dengan si mangsa, bukan lembaga pengampunan yang tidak mempunyai interest atau kepentingan dengan mangsa dan keluarganya. Maka jika keluarga mangsa ingin menuntut qisas, maka perlaksanaan boleh dilakukan sendiri oleh keluarga mangsa, bukan oleh pihak penjara.

10. Dalam kes contoh ini, saya menghormati keputusan mahkamah dan tidak mahu mempertikaikan keputusan mahkamah dalam isu ini. Tetapi saya cuba membangkitkan tanggapan-tanggapan yang boleh timbul berkenaan isu ini sebelum ia di bawa ke mahkamah dan selepas diputuskan oleh mahkamah, bukan keputusan mahkamah itu sendiri.

Begitu juga dengan hakim yang bukan sahaja perlu seorang yang layak menurut ciri-ciri Islam, tetapi juga mendapat persetujuan daripada mereka yang tertuduh dan menuduh. Ini seperti hakim dalam kes penghukuman terhadap Bani Quraizah dan Saidina Ali yang menuduh seorang Yahudi mencuri baju besinya. Hakimnya adalah bukan sahaja seseorang yang adil dan baik yang mencukupi syarat hakim, tetapi ianya dipersetujui oleh kedua-kedua pihak yang terlibat.

11. Di dalam Islam, kadangkala penyiasatan boleh berlaku secara terbuka yang melibatkan saksi yang ramai bagi mengelakkan berlakunya manipulasi bukti dan kerelaan saksi dan tertuduh yang terlibat.

Di dalam kitab Tabsirah Al-Ahkam ada meriwayatkan tentang seorang lelaki yang membawa harta yang banyak mengembara dengan sekumpulan lelaki. Tiba-tiba, lelaki tersebut tidak pulang bersama-sama rombongannya. Rombongan tersebut memberitahu kepada anak lelaki tersebut bahawa ayahnya telah meninggal. Anak itu bertanya ke manakah pergi hartanya yang banyak? Mereka menjawab tidak ada.

Kemudiannya anak kepada lelaki yang hilang tersebut membawa kes itu kepada Saidina Ali yang merupakan khalifah pada waktu itu. Mereka yang terlibat disoal-siasat seorang demi seorang secara berasingan. Soal siasat itu dihadiri oleh bukan sahaja keluarga mangsa, tetapi dihadiri juga penulis keterangan, saksi-saksi bebas bagi memastikan perjalanan soal siasat itu berjalan dengan adil.

Seorang demi seorang mereka yang tertuduh disoal dan memberikan jawapan dihadapan khalayak. Setiap tertuduh diambil dan ditulis maklumat tentang bagaimanakah keadaan lelaki yang mati itu, pada hari apakah beliau bertolak, dimanakah beliau singgah, apakah punca kematian, apa yang berlaku kepada hartanya yang banyak, siapakan yang memandikannya, siapakah yang mengkapankannya, siapakah yanag menyembahyangi jenazahnya, di manakah ia dikuburkan dan lain-lain soalan. Setiap seseorang menjawab di hadapan orang ramai dengan jawapan yang berlainan.

Setiap kali selesai penyiasatan setiap individu, Saidina Ali bertakbir yang juga turut disambut oleh orang ramai. Ini menyebabkan, tertuduh-tertuduh yang tidak mengetahui apakah jawapan sahabatnya yang sedang disoal siasat menyangka takbir tersebut dilaungkan oleh Saidina Ali dan orang ramai bersamanya justeru sahabatnya yang sedang disoal siasat sudah mengaku perbuatannya.

Dalam pusingan berikutnya, Saidina Ali dan orang-orang yang bersamanya melakukan perkara yang sama, iaitu melaungkan takbir di setiap akhir sesi soal jawab. Setiap tertuduh terbabit merasakan sahabat-sahabatnya telah mengaku dan setiap mereka akhirnya menceritakan perkara sebenar, iaitu mereka telah merampas harta lelaki tersebut dan seterusnya membunuhnya.

11. Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah, sewaktu soal siasat itu berlansung, ia bukan sahaja di hadiri oleh keluarga si mangsa, tetapi juga di hadiri oleh saksi-saksi bebas, guna bagi mengelakkan manipulasi bukti dan statement pengakuan oleh mereka yang dituduh dan yang terlibat.
Realitinya, di dalam sistem perundangan konvensional langsung tidak memberikan hak keluarga mangsa untuk mengakses bukti-bukti dan juga statement-statement saksi dan tertuduh, berbeza dengan sistem Qisas Islam. Inilah dia ruang rasuah, korupsi dan manipulasi yang terdapat dalam sistem konvensional, tetapi tidak terdapat di sistem Islam.

12. Adapun berkenaan dengan point yang ke tiga, iaitu korupsi yang berpunca daripada akhlak individu, bukanlah sesuatu yang dinafikan. Tulisan saya yang lepas, tidak pernah sama sekali menafikan tentang akhlak menjadi punca korupsi yang berlaku di dalam negara. Tetapi apa yang ditekankan di dalam tulisan tersebut ialah kita perlu keluar daripada kotak pemikiran bahawa punca korupsi itu hanyalah semata-mata berpunca dan disebabkan oleh moral dan akhlak mereka yang terbabit.
Di samping bersetuju dengan akhlak dan sikap korup individu pemerintah adalah antara punca korupsi, dalam masa yang sama saya mengajak orang ramai berfikir kepada perkara yang di luar dari kotak permasalahan tersebut, iaitu bagaimana sistem hari ini memberikan ruang dan peluang kepada golongan korup melempiaskan hawa nafsu mereka.


13. Realitinya ialah , akhlak sahaja tidak memadai untuk memastikan negara tidak korup tanpa wujudnya sistem yang baik. Jika apa yang disebutkan pengkritik artikel saya sebelum ini , bahawa semua individu terdedah kepada korup tanpa mengira muslim atau non-muslim adalah satu reality tanpa mengira muslim atau non-muslim, ini bermakna sesiapa sahaja yang kita lantik susah untuk dipastikan dia tidak korup, justeru korup atau tidak hanya terbukti selepas ia memerintah. Kalau yang baru naik memerintah itu cerdik politik , korupsinya akan terselindung, kalau dia ‘bodoh politik’, atau ‘cerdik politik’ tapi pembangkang lebih kuat dan lebih cerdik dari pemerintah, maka korupsinya akan terdedah juga.


14. Dalam statement pengkritik [ yang mengkritik artikel saya yang lalu ] , bahawa semua orang terdedah kepada korup. Kenyataan itu bermaksud kalau kita tukar pemimpin UMNO sekarang yang kita anggap sebagai korup, adakah kita boleh yakin pemimpin yang akan menggantikan UMNO dalam sistem UMNO yang sama tidak korup macam UMNO?

Pula , kalau kita yakin bahawa muslim atau non-muslim sama ada di dalam PAS, PKR , DAP dan lain-lain parti terdedah kepada korup, lalu bagaimana kita boleh yakin mereka boleh menggantikan UMNO?

Jika non-muslim dan muslim sendiri dalam kontek Malaysia tidak boleh dijamin mereka tidak korup, dan juga justeru tidak ada alat untuk scan bahawa pemimpin alternative tidak korupsi sebagai yang sedia ada, maka di sinilah relevannya saya mengajak semua rakyat Malaysia berfikir tentang sistem yang boleh menutup ruang naiknya golongan yang korup sebagai pemerintah atau menutup ruang korupsi atau paling kurang tidak memberikan ruang yang luas bagi golongan korup yang terlantik melempiaskan nafsu korupsinya.

15. Dalam Islam, pemerintah adalah “pengurus bagi pihak rakyat” dan ia bukan owner kepada negara, sama ada bukan owner terhadap harta negara, tetapi juga bukan owner kepada perundangan negara. Pemimpin di dalam Islam seperti ‘pengurus kedai runcit’, di mana ia bukan pemilik kepada hasilan jualan dan juga bukan pemilik kepada sistem dan peraturan syarikat yang diuruskannya justeru dia tidak berhak mengubah sistem dan peraturan yang telah ditetapkan oleh tuannya.

Tuan dan pemilik rangkaian - rangkaian perniagaan kedai runcit yang bijak, ia akan lebih menekankan sistem yang digunapakai seperti 'Pos System', mempertingkatkan Standard of Procedure (SOP), memasang CCTV di kaunter wang dan lain-lain, guna untuk memastikan pengurus tidak menyalahgunakan kuasa dan melarikan wang jualan. Lalu, sistem itu mestilah sistem yang boleh memberikan peluang yang minimum atau mensifarkan peluang kepada pengurus untuk melakukan penyelewengan. Kemudian barulah isu akhlak dan moral pengurus dibangkitkan.


16. Kalau owner kepada rangkaian runcit tadi hanya memikirkan pekerjanya yang terbukti sudah menyeleweng, kemudian memikirkan siapakah bakal calon yang akan ditemuduga tidak menyeleweng, bagaimana mahu dikenalpasti bakal pengganti kepada pengurus rangkaianya yang telah dibuang disebabkan penyelewengan, maka masalah penyelewengan dalam business yang besar tidak akan selesai melainkan ownernya juga mesti mencari sistem dan cara terbaik untuk menutup ruang penyelewengan pengurus-pengurus yang dilantik.

Oleh kerana itu, kita melihat kedai-kedai runcit kecil yang biasapun sanggup menghabiskan ribuan ringgit bagi membeli sistem audit dan sistem rekod seperti Pos Sistem dan lain-lain, guna bagi mengelakan berlakunya penyelewengan.

17. Begitulah ibarat yang boleh dilihat dalam kontek mengenengahkan pentingnya sistem di samping akhlak dan moral mereka yang memegang amanah dan tanggungjawab. Bahkan sebenarnya, sistem yang baik di dalam negara adalah jauh lebih penting berbanding sistem yang baik di dalam rangkaian perniagaan justeru urusan negara jauh lebih rumit, besar dan penting berbanding urusan perniagaan.

Ringkasnya, step utama dan pertama yang terbaik untuk menangani korupsi ialah sistem itu sendiri mestilah dipastikan dapat meminimumkan atau mengsifarkan peluang perasuah dan penyeleweng dariapda merasuah dan melakukan penyelewengan. Selepas kita memastikan sistem kita adalah sistem terbaik, barulah kita pergi kepada moral dan akhlak mereka yang mengunakan, menjalankan atau terlibat dengan sistem tersebut.

Tambahan pula, korupsi atau tidak seseorang pemerintah bukanlah sesuatu yang senang untuk dikesan. Hari ini, kita mungkin tidak berpuashati dengna moral dan akhlak pemimpin UMNO, selepas ini kita belum tahu pemimpin yang akan kita lantik ,. tidak seperti akhlak dan moral pemimpin UMNO pada hari ini justeru tidak ada alat yang boleh scan dan detect hati dan niat seseorang, sama ada dia adalah orang yang korup, berkepentingan atau tidak. Adalah tidak wajar kita hanya memperjudikan nasib kita untuk menunggu orang yang kita lantik terbukti korup atau tidak tanpa kita juga bergantung kepada sistem yang baik.

18. Menurut Islam, mencegah berlakunya rasuah dan korupsi itu bukan sahaja nilai moral dan akhlak individu pemegang amanah. Tetapi benteng utama penutupan pintu rasuah dan korupsi ialah sistem, kemudian barulah individu pelaksana sistem. Justeru itu, isu korupsi yang terdedah dalam kes pembunuhan, terlebih awal dicover oleh sistem Qisas itu sendiri bagi menutup mereka yang korup, berkuasa, kaya dan sebagainya memanipulasi kes yang akhirnya menjadikan mangsa jenayah tidak terbela.

Justeru itu, rakyat sepatutnya diajak berfikiran lebih terkehadapan, iaitu selain kita memikirkan untuk mencari pemimpin yang bermoral dan berakhlak, kita perlu mula memikirkan tentang sistem terbaik bagi menggantikan sistem yang sebenarnya sudah terbukti kegagalannya dalam mencegah jenayah, menginsafkan penjenayah dan juga menutup ruang pemimpin korup melempiaskan nafsu mereka.

19. Saya sebenarnya sangat bersetuju dengan beberapa pandangan pengkritik , yang menyatakan punca korupsi hari ini ialah moral mereka yang terbabit. Tetapi apabila mereka menyatakan muslim corrupt, non-muslim juga corrupt, llalu macamana sebenarnya kita nak mencegah corruption ini?

Jika non muslim tidak corrupt, kita boleh melantik non-muslim. Kalau non-muslim juga korup, lalu kita nak lantik siapa? Kalau tidak ada orang yang tidak terdedah kepada korup dan tidak ada alat yang boleh scan siapa corrupt dan siapa tidak corrupt, jadi bagaimana kita mahu mengatasi korupsi ini ?

Justeru persoalan-persoalan ini sebenarnya menyebabkan artikel saya yang lepas mengajak rakyat supaya menganjak paradigma daripada berbincang tentang korupsi individu-individu pemimpin kepada perbincangan sistem terbaik di samping isu akhlak dan moral pemerintah.

20. Saya berpendapat bahawa, sistem yang korup melahirkan pemimpin yang korup dan memberikan peluang yang luas kepada golongan korupsi melempiaskan nafsu mereka. Manakala sistem yang baik menjadikan orang yang korup tidak berpeluang melakukan korupsi manakala orang yang bijak menyembunyikan korupsinya juga tidak berpeluang untuk melempiaskan nafsu korupsinya.

Sejarah Islam seperti yang diceritakan di dalam surah Saba’, pemimpin yang korup jika ingin melempiaskan nafsu korupsinya, maka perkara pertama yang dia perlu buat ialah, membuang sistem Islam tersebut. Selepas sistem itu tidak ada atau tidak diguna pakai, kemudian barulah pemerintah yang korup boleh melempiaskan nafsu korupsi dan menyembunyikannya daripada orang ramai.


21. Terakhirnya ialah, pengalaman ‘dark age’ barat yang menjadi mimpi ngeri sehingga menyebabkan mereka terlalu takut untuk menyebut ‘god’s law’ , tidak boleh di samakan dengan sistem pemerintahan Islam.

Cuma saya tidak mahu panjangkan isu sejarah ini untuk tidak melarikan fokus asal berkenaan dengan Qisas dan perbandingannya dengan realiti undang-undang konvensional. Selepas selesai isu ini, jika ada kelapangan masa yang sesuai , kita boleh bincangkan perbezaan besar realiti God’s Law di dalam sejarah Eropah dan Shariah Law di dalam sejarah Khilafah Islam.


PENUTUP.

Ringkasnya, negara yang adil, kuat dan makmur akan tercapai bukan sahaja bergantung kepada pemerintah yang bermoral, tetapi juga bergantung kepada sistem yang diguna pakai.

Oleh itu, apabila jenayah yang semakin menjadi-jadi, korupsi semakin jelas kelihatan, pemerintah yang korup tidak berhenti bahkan bersilih ganti. Maka tibalah masanya kita sama-sama membuka dan menganjak paradigma kita untuk memikirkan tentang sistem. Lalu saya cadangkan sistem Islam sebagai sistem terbaik jua sebagai alternatif di atas kegagalan sistem yang sedia ada untuk membendung rasuah dan jenayah .

Juga apa yang saya seru ialah, supaya kita semua cuba berbahas perkara dan realiti ini secara harmoni, tanpa prejudis, tanpa meletakkan ‘taji’ dikaki, supaya kebenaran dapat dinilai tanpa ada pihak yang terguris.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan