Isnin, 25 Oktober 2010

TAK GUNA KAYA DAN HIDUP MEWAH JIKA MENIPU SERTA TAK JUJUR DALAM BERNIAGA....BAKARAN API NERAKA LEBIHAN DAHSYAT DARI KESENANGAN SEMENTARA....

'Sandwich kosong' untuk pelajar, sardin lesap
Regina Lee
Okt 25, 10
3:12pm


Kanak-kanak sekolah yang dijanjikan roti sandwich sardin tetapi hanya dibekalkan dua keping roti dengan marjerin.

Perkara itu didedahkan dalam laporan Ketua Auditor Negara 2009 yang mendapati Rancangan Makanan Tambahan oleh kerajaan tidak menepati apa yang serpatutnya seperti yang berlaku di SK Jeroco di Lahad Datu.

Selain sardin, sandwich yang dijanjikan itu sepatutnya juga mempunyai timun, tomato dan salad, tetapi kanak-kanak itu cuma dibekalkan dengan marjerin.

Selain SK Jeroco, pembekal makanan di lima sekolah rendah yang lainj sekitar Malaysia juga didapati membekalkan kualiti makanan yang jauh lebih rendah daripada menu yang dicadangkan mengikut Rancangan Makanan Tambahan di sekolah-sekolah.

"Selepas maklum-balas daripada pakar pemakanan daripada jabatan pemakanan, Kementerian Kesihatan, kami dapati makanan daripada menu yang dibekalkan boleh menyebabkan pemakanan yang tak seimbang dan akan membantutkan perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak,” petik laporan Ketua Audit Negara itu.

Bernilai lebih rendah

Enam lagi pembekal didapati menyediakan makanan yang langsung berbeza dengan apa yang dicadangkan dalam program itu, lazimnya makanan berkenaan bernilai lebih rendah daripada sepatutnya.

Rancangan Makanan Tambahan diperkenalkan 30 tahun lalu bagi memberi kanak-kanak kurang berkemampuan makanan percuma pada nilai RM1.80 (di Semenajung Malaysia) dan RM2.05 (di Sabah dan Sarawak).

Namun, laporan Ketua Audit Negara mendapati beberapa kontraktor terus menipu dalam pembekalan makanan kanak-kanak.

Antaranya adalah apa yang berlaku di SJK(C) Choong Hua 2 di Bidor, Perak. Pembekal makanan kantin menyediakan bungkusan mee segera kepada kanak-kanak, di mana sepatutnya mereka dibekalkan dengan bihun goreng.

Antara alasan lazim yang dikemukan oleh sekolah dan juga pembekal adalah “kesukaran mendapatkan bahan mentah, khususnya untuk sekolah di kawasan pedalaman.

Laportan Ketua Audit Negara itu juga mendedahkan kualiti makanan yang rendah di beberapa hospital.

"Dalam persampelan, kami dapati Hospital Sultan Ismail Hospital membekalkan makanan yang berkualiti rendah. Ayam gorengnya masih berdarah, manakala Hospital Besar Pulau Pinang pula menyediakan sup sayur yang mempunyai rambut di dalamnya,” petik laporan itu




Sekolah beli pokok 880% lebih mahal
Rahmah Ghazali
Okt 21, 09
11:24am


Kementerian Pelajaran membelanjakan hampir RM60,000 untuk kerja membekal, menanam dan penyelenggaran taman sebuah sekolah di Pasir Puteh, Kelantan kerana membayar harga pokok-pokok yang terlalu mahal, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2008.

NONELaporan tersebut yang dibentangkan di Parlimen Isnin lalu, mendedahkan bahawa kementerian telah membeli pokok dan tanaman senitaman bagi Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, Pasir Putih, Kelantan dari pembekal tempatan secara pembelian terus.

Menurut laporan tersebut, kementerian berkenaan, sebagai contohnya, telah membayar sehingga RM4,550 bagi 13 pokok kemboja dan RM9,000 bagi 12 pokok pinang merah.

Bagaimanapun, selepas semakan dibuat dengan pembekal tempatan lain yang menawarkan perkhidmatan yang sama, laporan itu berkata, didapati kementerian tersebut boleh membeli pokok yang sama dengan harga yang jauh lebih murah.

NONESebagai contohnya, pokok kemboja dan pinang merah - bagi jumlah yang sama - masing-masing boleh dibeli dengan harga RM585 dan RM1,560.

Oleh itu, kata laporan tersebut, kementerian berkenaan telah membelanjakan antara 470 peratus hingga 880 peratus atau empat hingga lapan kali lebih mahal daripada harga pasaran.

Berdasarkan laporan tersebut, kementerian tersebut telah membayar RM37,450 bagi pokok-pokok tersebut, sedang ia sepatutnya dalam menjimatkan sekurang-kurangya RM31,000



Kenapa tiada laporan audit dua enjin jet hilang?
Tan Keng Liang Dis 24, 09 12:16pm

Saya merujuk isu kecurian dua buah enjin jet pejuang Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kecurian enjin tersebut didakwa berlaku sekitar tahun 2007.

Selain daripada enjin, Kementerian Pertahanan juga dilaporkan menyatakan terdapat peralatan-peralatan lain yang mungkin turut lesap.

Ketika ini, kementerian berkenaan dan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan untuk melakukan siasatan penuh terhadap kes tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya kepada mereka yang terbabit, yang turut dilabel sebagai "pengkhianat" negara kita.

Sudah jelas, kecurian harta pertahanan negara, tanpa mengira nilainya, suatu tindakan pengkhianatan negara. Harta pasukan tentera dibeli untuk mempertahankan kedaulatan negara dan dibiayai dengan wang rakyat.

Dalam perkara ini, adalah membimbangkan kenapa kehilangan dan kecurian harta pertahanan negara yang sebegitu besar tidak dibangkitkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara bagi tahun 2007 atau 2008?

Kejadian ini berlaku pada 2007 dan Kementerian Pertahanan menfailkan laporan polis pada tahun yang sama.

Sudah pasti perkembangan itu sewajarnya mencetuskan kewaspadaan kepada proses audit harta kementerian tersebut.

Bawah Seksyen 6 Akta Audit 1957, pengauditan Ketua Audit Negara termasuklah menentukan sama ada perhatian yang sewajarnya telah diambil untuk memberikan penjelasan mengenai - dan untuk memastikan - penggunaan, pengawalan, penyenggaraan dan pelupusan yang sepatutnya segala harta awam pihak bawah auditannya.

Seksyen 9(5) akta tersebut memperuntukkan bahawa Ketua Audit Negara boleh - dalam apa-apa laporan yang dikemukakan mengikut Perkara 107(1) Perlembagan Persekutuan (lebih dikenali sebagai Laporan Tahunan Ketua Audit Negara) - membuat syor dan boleh secara umum memberikan ulasan tentang semua perkara yang berhubungan dengan akaun, wang dan harta awam.

Berhubung kehilangan harta pertahanan negara tersebut, Ketua Audit Negara seharusnya membangkitkan penyelewengan itu dalam laporan tahunannya kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Oleh itu, Ketua Audit Negara perlu memberi penjelasan kenapa penyelewengan tersebut tidak dibangkitkan dalam laporan tahunannya sehingga kini?

Kerajaan juga harus mengambil tindakan untuk memastikan Ketua Audit Negara akan membangkitkan dalam laporan tahunannya semua penyelewengan yang membabitkan harta kerajaan pada masa hadapan.


Tan Keng Liang ketua Pemuda Gerakan Kedah



Borang bertimbun, PTPTN hadapi defisit RM46bilion
Okt 25, 10 4:34pm

Hampir 82 peratus permohonan yang diterima oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tahun 2008 dan 2009 masih belum diproses.

Menurut Lapran Ketua Audit Negara, 61 peratus daripada 103,525 borang yang diterima pada 2008 dan semua 124,070 borang yang diterima pada 2009 masih belum diproses.

Pasukan audit juga mendapati borang yang tidak lengkap disusun dalam keadaan yang tidak teratur di pejabat Unit Perjanjian di ibu pejabat PTPTN.

Malah, laporan itu juga menyiarkan gambar bagi membuktikan dokumen berkenaan hanya ditutup dengan kanvas dengan penerangan ngambarnya menjelaskan ia bertujuan melindung dokumen itu daripada siling yang bocor.

"Pada pendapat kami, PTPTN sepatutnya melengkapkan perjanjian pinjaman pelajar dengan menandatanganinya pada kadar segera.

"Sebagai tambaha, (borang) perjanjian mesti disimpan dalam cara yang teratur bagi memudahkannya dicari,” petik Laporan Ketua Audit Negara yang diedarkan kepada ahli parlimen hari ini.

Menurut laporan itu, PTPTN akan menghadapi aliran tunai defisit RM45.89 bilion menjelang tahun 2016.








Sabah negeri termiskin, BN patut malu, kata PAS
Okt 25, 10 1:22pm

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidn Yasin sepatutnya merasa malu kerana Sabah yang kaya dengan hasil mahsul bumi, tetapi menjadi negeri termiskin di Malaysia, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

"Sabah di bawah Umno yang masih ketinggalan, nombor satu miskin dan diikuti oleh negeri Terengganu. Kedua-dua negeri ini Umno yang memerintah dan mempunyai minyak, tetapi rakyatnya makan taik minyak.

"Sedangkan Kelantan yang diperintah oleh PAS, menduduki nombor enam, kemajuannya jauh berbeza dengan negeri yang Umno perintah.

"Sepatutnya Tan Sri Muhyiddin kena merasa malu, kenapa Sabah yang kaya dengan hasil mahsul bumi, tetapi menjadi negeri termiskin di Malaysia?" soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Idris juga membidas Muhyiddin yang membuat kenyataan bahawa “kalau harapkan PAS untuk membawa kemajuan seperti mengharapkan bulan jatuh ke riba.

Katanya, kenyataan timbalan presiden Umno itu bersifat emosi dan sebenarnya sebagai cubaan menutup janji Umno yang belum tertunai di pilihan raya kecil Manek Urai, yang lalu.

“Muhyiddin sebenarnya sedang beremosi apabila janji di Manek Urai belum lagi ditunaikan, namun kini datang pula pilihan raya kecil di Galas yang hanya bersebelahan.

"Ia merupakan satu mimpi yang menakutkan, kerana tidak terfikir ada pula pillihan raya kecil di Kelantan, kebetulan tidak jauh daripada Manik Urai.

"InsyaAllah rakyat Galas akan ajar pemimpin dan parti yang pandai menabur gula di bibir pada 4 hb Nov 2010," katanya.

Muhyiddin pada sidang media selepas pengumuman calon BN bagi kerusi DUN Galas, di Gua Musang semalam berkata Umno bercakap begitu bukan kerana mereka parti yang bongkak atau sombong tetapi berdasarkan realitinya yang memang mereka berupaya.

Kata Idris lagi, kenyataan Muhyidin itu seperti menggambarkan beliau seorang yang terhalang dari menerima maklumat dan tidak pernah melihat bagaimana PAS Kelantan membangunkan negeri selama 20 tahun lebih memerintah.

"Ini satu kenyataan yang bersifat emosi, mungkin Tan Sri Muhyiddin baru keluar betapa daripada Gua Tempurung terus ke Galas.

"Mungkin beliau juga seorang yang buta maklumat dan tidak pernah melihat dunia Kelantan," katanya.

Menurutnya lagi, pengundi Galas sudah selesa di bawah PAS dan Pakatan Rakyat dan mereka sendiri telah melihat keupayaan PAS memerintah Kelantan berbanding dengan Umno.

Rakyat katanya sudah muak dengan sikap Umno yang hanya bercakap dengan penuh retorik setiap kali pilihan raya diadakan.

Menurut Idris, rakyat, khususnya di Kelantan juga menyedari “busuk hati” pemimpin Umno yang tidak menghormat federalisme sehingga menyebabkan 118 projek kerajaan pusat di Kelantan tidak dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Keenam pada 1991 yang lalu.

"Inilah sikap busuk hati pemimpin Umno yang mengkhianat sesama bangsa, kerana perbezaan ideologi.

"Usah buang masa di Galas. Rakyat Galas sudah tidak perlu kepada Umno dan orang-orang yang sama seperti Muhyiddin," katanya


Ucapan Najib: SKMM sasar penulis blog pula
Okt 25, 10 4:17pm

Penulis blog Malaysian Chronicle, Wong Choon Mei hari ini diarahkan oleh Suruhajaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk memberi keterangan berhubung sebuah artikel berkaitan ucapan perasmian Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu.

NONEDalam ucapannya itu, Najib mengajak ahli Umno mempertahankan Putrajaya - ia dilaporkan dalam bahasa Inggeris oleh blog berkenaan pada Khamis - hari yang sama ucapan itu disampaikan.

Peguamnya, Latheefa Koya berkata, Wong disoal siasat di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya pada jam 11 pagi tadi, mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

Latheefa yang juga ketua penerangan PKR berkata pada mulanya, beliau menemani Wong sewaktu mereka bersama-sama memasuki pejabat SKMM pada jam 11 pagi.

Bagaimanapun, kata Latheefa, kira-kira lima minit selepas berada di pejabat tersebut, dua pegawai atasan SKMM menemui beliau dan menjelaskan sekiranya beliau ingin duduk bersama Wong, SKMM akan mengambil keterangannya pula sebagai saksi.

Katanya, selepas perbicangan bahawa Wong perlu ditemani peguam dan pegawai tersebut "masih bertegas" untuk menyoal penulis itu, maka Wong memberi keterangan tanpa peguam.

"Beliau cuba menjawab soalan yang beliau selesa untuk menjawab. Beliau tidak menjawab soalan yang (beliau rasa perlu) mendapat nasihat yang sewajarnya daripada peguam," katanya.

NONEMenurut Latheefa, SKMM mengambil keterangan Wong selama kira-kira dua jam setengah dan berakhir kira-kira jam 1.30 petang.

Jumaat lalu, SKMM juga menjalankan siasatan terhadap portal berita bebas, Malaysiakini berhubung dua laporan mengenai mengenai ucapan Najib yang bertajuk - We must defend Putrajaya at all costs: Najib dan PM moves to snuff out racial debates.

Portal berita bebas itu juga disiasat mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua pengarang kumpulan, Malaysiakini, Steven Gan menyifatkan siasatan SKMM itu sebagai "membuang masa" dan adalah keterlaluan bagi SKMM menyiasat dua laporan tersebut yang pada umumnya adalah daripada ucapan Najib.

"Kami tidak memutarbelitkan apa yang beliau kata. Semua yang dilaporkan oleh Malaysiakini diambil dari ucapannya," kata Gan



Laporan Ketua Audit: SPRM buka 20 kertas siasatan
Okt 25, 10 9:45am

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak 20 kertas siasatan dan penyiasatan serta lima kertas pemeriksaan dan perundingan, hasil daripada Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan tahun lalu.

Menurut satu kenyataan, setakat ini, tiga individu telah didakwa di mahkamah, empat laporan SPRM dikemukakan kepada ketua jabatan berkenaan dengan cadangan prosiding tata tertib terhadap pegawai terlibat, lima surat nasihat dikeluarkan kepada jabatan berkaitan serta lima kajian sistem dan prosedur bagi menutup sebarang ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah atau penyelewengan.

"Kes-kes siasatan yang ditutup tanpa sebarang tindakan pula adalah disebabkan sama ada tiada perlakuan jenayah rasuah atau penyelewengan jenayah atau kerana tiada keterangan bagi mencadangkan sebarang pertuduhan," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut kes yang dibawa ke mahkamah membabitkan tiga pegawai sebuah syarikat subsidiari Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan melibatkan penggunaan peruntukan sebanyak RM888,000 yang tidak mendapat sebarang kelulusan lembaga pengarah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah jenayah, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan masih dalam perbicaraan



Aduan SPRM terhadap salahguna kereta SUK Pahang
Jimadie Shah Othman
Okt 21, 09
6:24pm


Dewan Pemuda PAS (DPP) Pahang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyalahgunaan kenderaan milik kerajaan negeri itu, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Aduan tersebut dibuat oleh Naib Ketua DPP Pahang, Abdullah Abdul Karim di pejabat SPRM Temerloh - yang mengendalikan aduan di bahagian Pahang Barat - kira-kira jam 4 petang tadi.

Menurut Abdullah, laporan itu dibuat kerana semakan pihaknya mendapati terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam penggunaan kenderaan kerajaan negeri.

"Kita takut terdapat penggunaan minyak digunakan bagi tujuan peribadi. Kita bukan hendak tuduh, tetapi ia meragukan," katanya yang juga ahli jawatankuasa pusat dewan itu.

Menurut laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan kelmarin, terdapat 24 kes penyalahgunaan kad inden bagi perolehan bahan api melibatkan lima kenderaan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang.

Kesemua pengisian itu merekodkan pengisian sebanyak lima liter dengan jumlah kos bahan api sebanyak RM574.53. Malah, sebuah Proton Perdana direkodkan mengisi minyak bernilai lebih RM100 sebanyak dua kali dalam masa satu minit.

Jabatan Audit Negara turut mendapati perolehan bahan api yang melebihi tangki kenderaan, selain penggunaan kad inden terhadap kereta yang telah lama dilupuskan.

Selain itu, kos penyenggaraan kenderaan, antaranya penyenggaraan empat buah Proton Perdana V6 Executive di pejabat SUK antara 2004 dan 2008 lebih tinggi berbanding dengan kos perolehan kenderaan tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Abdullah berkata, mereka berharap SPRM dapat menyelesaikan kes itu dengan segera kerana segala bukti berkaitan telah pun ada.

"Mereka tidak perlu ambil masa lama. Kes ini bukannya susah sangat. Semua dokumen telah disediakan (Jabatan Audit Negara).

"Mereka cuma perlu semak dokuman di pejabat SUK dan pastikan siapakah dalang yang menyalahgunaan kenderaan kerajaan itu," katanya.

Tambahnya, jika dalam tempoh seminggu kes itu tidak dapat ditangani, DPP Pahang akan memanjangkan kes itu kepada pihak polis.

"Kita percaya ini di bawah bidang kuasa SPRM. Bagaimanapun, jika tidak ada sebarang respons, kita akan buat laporan polis pula," kata Abdullah.

Aduan Abdullah diterima seorang pegawai penguatkuasa di pejabat tersebut yang berjanji akan memajukan aduan tersebut kepada pihak atasan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan