Sabtu, 23 Oktober 2010

RAMPAIAN BERITA...JADIKAN IKTIBAR...SEMUANYA DALAM ILMU ALLAH SWT

Pasangan tunang termuda di dunia



HALA melihat cincin di jarinya yang disarungkan Khalid.
HALA melihat cincin di jarinya yang disarungkan Khalid.

DUBAI: Dua kanak-kanak Syria yang berusia tiga dan lima tahun mungkin menjadi pasangan termuda di dunia yang ditunangkan atas persetujuan masing-masing. Ibu bapa Hala, 3, dan tunangnya Khalid, 5, mendakwa kanak-kanak terbabit bersetuju untuk dijodohkan.

Kisah mereka disiarkan laman web tempatan Syria, Akes Alser dan menjadi perbualan rakyat. Kedua-dua keluarga kanak-kanak itu yang menetap di Homs, kira-kira 180 kilometer di utara Damsyik turut menerima ucapan tahniah daripada orang ramai.


Bapa Khalid, Juma memberitahu Gulf News, anaknya itu waris tunggal daripada perkahwinannya sejak lebih 25 tahun lalu.

“Saya dan isteri mendapat Khalid selepas 20 tahun berkahwin melalui kehamilan yang rumit. Sekiranya dia anak lelaki, saya berjanji akan mengikat tali pertunangan untuknya ketika dia berusia lima tahun dan akan mengahwinkannya dengan perempuan pilihannya pada usianya mencecah 15 tahun,” kata Juma.

“Hari berlalu hinggalah Khalid terpikat dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang ditemuinya ketika lawatan keluarga ke bandar pinggir laut di Lattakia,” tambah Juma.

Menurut Juma, perkahwinan kedua-duanya mungkin akan menjejaskan persekolahan mereka

“Saya akan menanggung perbelanjaan pendidikan mereka hingga ke peringkat universiti,” tutur Juma.


Khalid dikatakan merindui kekasihnya itu selepas pulang semula ke Homs. Dia juga enggan pergi ke kelas bimbingan kanak-kanak sekiranya Hala tidak pergi bersamanya

“Khalid memberitahu saya dan ibunya dia mahu tinggal bersama Hala atau membawa gadis cilik itu ke rumah mereka di Homs. Bakal pengantin perempuan itu nampaknya memang sangat luhur,” kata Juma.


“Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan hinggalah isteri saya menelefon ibu Hala dan meminta pandangannya. Ibu Hala berkata, anaknya juga mengalami tanda-tanda kesepian dan mereka amat gembira jika anak mereka ditunangkan.”

“Detik itu saya teringat janji yang saya buat sebelum Khalid lahir dan memutuskan untuk membeli cincin untuk mereka. Kami pergi semula ke Lattakia dan meraikan pertunangan anak kami,” kata Juma lagi. - Agensi.



BILA HUKUM ALLAH TAK ADA..MEREKA TAK TAKUT PUNYA...


Rumah urut diserbu polis raih pendapatan RM2,000 sehari

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Sebuah rumah urut di Taman Danau Desa di sini hanya memiliki tujuh tukang urut wanita, namun kecantikan paras rupa dan bentuk badan mereka membolehkan premis itu meraih pendapatan lebih RM2,000 setiap hari.

Kegiatan tidak bermoral di premis itu yang turut menyediakan khidmat urutan batin bagaimanapun tidak kekal lama selepas diserbu polis malam tadi.

Serbuan dilakukan oleh pasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) kira-kira pukul 10 malam.

Pegawai Turus D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat penduduk sekitar yang bimbang dengan kewujudan rumah urut itu sejak lima hari lalu.

Menurutnya, dengan menggunakan tukang urut wanita berusia 20 hingga 30 tahun, premis tersebut mampu meraih pendapatan lumayan.

"Ini terbukti apabila kita merampas wang tunai RM2,000 yang dipercayai hasil kegiatan tidak bermoral. Selain itu tujuh tukang urut yang terdiri daripada wanita warga China dan Vietnam turut ditahan," katanya.

"Mereka yang ditahan ialah empat warga China dan tiga warga Vietnam kerana menyalahguna pas lawatan sosial," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini awal pagi ini.

Razali menambah, turut ditahan ialah lima lelaki warga tempatan termasuk dua pelanggan.

"Hasil siasatan awal, kita dapati premis tersebut mengenakan bayaran RM60 untuk urutan biasa dan jika pelanggan mahu merasai urutan istimewa mereka dikenakan sebanyak RM100.

"Urutan istimewa itu ialah urutan batin yang akan dilakukan terhadap pelanggan dalam keadaan berbogel," jelasnya.

Katanya, kesemua tukang urut yang ditahan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63



15 kes blog sebar fitnah dirujuk Peguam Negara

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis sudah melengkapkan siasatan terhadap 15 kes melibatkan blog dan portal yang dikatakan menyiarkan fitnah dan tuduhan palsu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, laporan siasatan kesemua kes itu juga sudah dirujuk kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Jadi kita nak menekankan bahawa kerja-kerja siasatan dan susulan, beres di peringkat polis dan SKMM,’’ katanya kepada pemberita ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO 2010 di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai desakan beberapa wakil UMNO negeri pada perhimpunan itu yang mendesak supaya kerajaan tidak lagi sekadar mengeluarkan amaran sebaliknya bertindak tegas terhadap blog penyebar fitnah dan tuduhan palsu.

Menurut Rais, kini terpulang kepada Peguam Negara untuk memutuskan sama ada hendak memulakan pendakwaan terhadap blog dan portal berkenaan.

‘‘Saya turut bersetuju dan menyokong pandangan umum supaya penguatkuasaan undang-undang diperketatkan dan mereka yang bersalah dikenakan hukuman,’’ katanya



Dr Mahathir yakin pilihan raya umum bukan dalam masa terdekat


2010/10/23

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat meskipun terdapat gesaan daripada Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, agar perubahan parti dilakukan dengan segera.

"Saya tak ingatlah akan cepat. Ada masa lagi," katanya ringkas ketika ditemui selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menyentuh mengenai ucapan penggulungan Najib selaku presiden parti, Dr Mahathir berkata ia bukan sahaja membangkitkan semangat UMNo yang dahulu malah turut menjawab banyak persoalan yang dibangkitkan dan menghapuskan kekeliruan

Beliau turut menyokong rancangan Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk turun padang melawat lebih 20,000 cawangan UMNO di negeri-negeri kerana ia akan merapatkan perhubungan antara pemimpin dengan rakyat.

Mengulas mengenai pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan yang diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, Dr Mahathir, berkata ia adalah perubahan yang baik namun ia perlu dilaksanakan dengan tegas.

Muhyiddin, dalam sesi penggulungan perhimpunan antara lain mengumumkan bahawa mata pelajaran Sejarah dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013, selain dijadikan mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah. - BERNAMA


KPKK mohon kementerian teliti isu guru kerja Sabtu


2010/10/23

KANGAR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPKK) hari ini meminta Kementerian Pelajaran agar meneliti isu guru yang terpaksa bekerja pada hari Sabtu dengan menghadiri pelbagai kegiatan termasuk kelas tambahan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata buat masa ini semakin ramai guru terpaksa

mengorbankan hari rehat tersebut yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga kerana tugas-tugas berkenaan.

"Sewajarnya perkara ini diteliti kerana ia juga menjadikan beban tugas guru
semakin bertambah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat
Exco KPKK di sini.

Selain itu, Hashim berkata KPKK juga meminta kementerian agar memberi
pendedahan secukupnya mengenai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) kepada
kira-kira 10,000 guru sekolah rendah di negara ini sebelum dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata, perkara itu perlu kerana rata-rata guru belum memahami
KSSR yang akan menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) tersebut.

"Bagi memastikan pelaksanaan KSSR berkesan, guru harus diberi pendedahan yang secukupnya kerana kurikulum tersebut menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran," katanya.

Mengulas isu berkaitan, Hashim berkata KPKK juga akan menghantar permohonan kepada Kementerian Pelajaran agar meneliti pengurusan kewangan Persatuan Sukan
dan Kebudayaan Perkhidmatan Perguruan (PSKPP).

Beliau berkata, ini kerana sehingga kini tidak ada satu laporan yang jelas
mengenai pengurusan kewangan persatuan tersebut yang diletakkan di bawah Jabatan
Pelajaran negeri.

Katanya KPKK juga menerima aduan daripada guru yang dipaksa membayar yuran antara RM3 dan RM5 setahun oleh persatuan tersebut walaupun ia sebenarnya
tidak wajib.

"Guru tak boleh dipaksa bayaran yuran. Jabatan Pelajaran tak ada hak (memaksa guru). Ini sukarela," katanya

Hashim turut menegur tindakan Jabatan Pelajaran daerah di sebuah negeri yang
bertindak di luar batas profesional apabila mengedarkan senarai nama guru dan
butiran peribadi mereka termasuk gaji, kepada sekolah tempat guru terbabit
mengajar untuk menuntut tunggakan yuran PSKPP. - BERNAMA


Sejarah subjek wajib lulus SPM mulai 2013


2010/10/23

KUALA LUMPUR: Sejarah akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Perkara ini diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi


PAS akui khuatiri pengaruh Ku Li


2010/10/23

GUA MUSANG: PAS mengakui peluangnya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas tergugat sekiranya Barisan Nasional (BN) meletakkan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon pada pilihan raya kecil 4 November depan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengakui terpaksa bekerja keras jika parti itu mahu kekal menguasai DUN berkenaan kerana pengaruh Tengku Razaleigh di kawasan Parlimen Gua Musang masih begitu tebal

Berikutan itu, beliau berharap Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak dinamakan BN sebagai calonnya pada pilihan raya kecil terbabit

“Dia (Tengku Razaleigh) pemimpin veteran, tidak mungkin terima (jika dicalonkan BN), lagipun dia pemimpin disegani kerana begitu lama berkhidmat kepada rakyat di Gua Musang,” katanya selepas Ceramah Perdana Sempena 20 Tahun Pemerintahan Kerajaan PAS di Kelantan dan pengumuman calon parti itu bagi kerusi DUN Galas, di sini, kelmarin.

Pada majlis berkenaan, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengumumkan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad, 44, sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Galas.

Dr Zulkefli yang berasal dari Kuala Krai dan membuka klinik sendiri di Ciku, dekat sini sebelum ini pernah tewas kepada Tengku Razaleigh ketika bertanding merebut kerusi Parlimen Gua Musang.

Abdul Hadi menyifatkan Dr Zulkefli calon terbaik dalam senarai nama calon dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti itu, sekali gus yakin beliau mampu mengekalkan kemenangan PAS di Galas walaupun pernah tewas merebut kerusi Parlimen Gua Musang pada pilihan raya umum lalu.
“Kita pilih Dr Zulkefli kerana dia sudah lama menerajui PAS di Gua Musang, tidak pernah kecewa walaupun pernah kalah dengan Ku Li dan banyak jasa ditaburkan kepada rakyat di sini,” katanya.



NEGARA

Penyamun umur 13 tahun dicekup


ANTARA barangan yang dirampas daripada 'Rambo Kecik' ketika ditahan Isnin lalu.


JOHOR BAHRU – Mungkin tidak tahu apa yang hendak dibuat di rumah sejak berhenti sekolah, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun bertindak melakukan kegiatan samun di sekitar Teluk Danga di sini sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff (gambar) berkata, suspek yang digelar ‘Rambo Kecik’ gara-gara bertubuh kecil, sering menggunakan pisau rambo bersaiz mini untuk mengugut mangsanya setiap kali melakukan kegiatan tersebut.

Menurut beliau, suspek juga dipercayai tidak takut dengan mangsa yang bersaiz lebih besar dan berusia, selain dikatakan tidak teragak-agak bertindak kejam termasuk mencederakan mangsanya di lorong-lorong yang sunyi di sekitar Teluk Danga di sini.

Bagaimanapun katanya, kegiatan suspek berakhir juga apabila berjaya ditangkap selepas baru menyamun seorang lelaki berusia 23 tahun pukul 1.30 petang Isnin lalu.

“Mangsa yang melawan ketika diugut supaya menyerahkan telefon bimbit oleh suspek berjaya melarikan diri sebelum melaporkan perkara itu kepada pihak keselamatan di Teluk Danga.

“Suspek yang berjaya ditahan tidak lama selepas itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya


DUNIA

Kolar udara ganti topi keledar


GAMBAR menunjukkan kolar udara mengembang di bahagian kepala satu patung dalam ujian yang diadakan di Sweden oleh syarikat Hvvding.


STOCKHOLM - Dua pelajar reka cipta di Sweden menghasilkan perlindungan kepala alternatif untuk penunggang basikal dan motosikal yang tidak suka memakai topi keledar, lapor sebuah akhbar semalam.

Perlindungan kepala itu dikenali sebagai topi keledar Hvvding yang merupakan kolar udara yang mengembang dalam masa 0.1 saat sekali gus melindungi kepala dan leher seseorang penunggang semasa kemalangan.

Kolar udara itu yang dipakai pada bahagian leher penunggang, mengambil masa enam tahun untuk dicipta.

Ia mengandungi beg udara yang dilipat rapi dan akan mengembang apabila sensor di dalamnya mengesan goncangan kuat atau lambungan.

Sebuah silinder kecil gas helium kemudian mengepam kolar tersebut dalam masa cuma 0.1 saat.

Seorang perekanya, Anna Haupt berkata, syarikat Hvvding merancang memasarkan rekaan itu ke Eropah Utara dan Britain pada awal tahun depan pada harga sekitar £260 (RM1,272) sebuah. - Agensi



DUNIA

Perancis cari kaedah pulih bekalan minyak




PARIS - Pemerintah Perancis menyatakan kekurangan bekalan bahan api yang disebabkan banyak loji penapisan dan depot minyak ditutup akibat tunjuk perasaan, dijangka berterusan selama beberapa hari lagi.

Tunjuk perasaan yang memasuki hari kesembilan semalam itu diadakan oleh anggota-anggota kesatuan sekerja dan pelajar bagi membantah had umur persaraan dilanjutkan daripada 60 tahun kepada 62 tahun.

Perdana Menteri Perancis, Francois Fillon semalam mengadakan perjumpaan dengan para eksekutif industri untuk mencari jalan bagi memulihkan bekalan.

Menteri Pengangkutan Perancis, Jean-Louis Borloo menyatakan, pihaknya tidak bercadang untuk memperkenalkan langkah bagi mencatu bekalan minyak.

Pemerintah Perancis juga mengarahkan syarikat-syarikat minyak supaya menyimpan bahan api bagi memastikan stesen-stesen minyak mempunyai stok, terutamanya apabila cuti sekolah akan bermula pada hujung minggu ini. - AP


DUNIA

Pejabat dihias dengan unik


PEKERJA-PEKERJA bekerja dalam dek kapal dikelilingi satu trek perlumbaan di firma Davison Inventionland, Pittsburg, Amerika Syarikat.


PITTSBURG, Amerika Syarikat - Pejabat sebuah firma reka cipta, Davison Inventionland di sini ditransformasikan menjadi dek sebuah kapal dikelilingi oleh satu trek perlumbaan selain terdapat sebuah replika istana, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebuah rumah pokok dan air terjun turut disediakan dalam pejabat itu manakala mesyuarat diadakah di meja bulat dalam istana tersebut.

Tujuan pihak pengurusan menyediakan semua kelengkapan unik itu adalah kerana mahu idea pekerja-pekerjanya yang terdiri daripada pereka cipta menjadi realiti untuk dilihat oleh para pelabur.

"Hasil kerja terbaik datangnya daripada keseronokan," kata pengasas firma itu, George Davison. - Agensi


Sami rakam aksi 600 wanita mandi dipenjara 17 tahun



PHNOM PENH: Sebuah mahkamah Kemboja mengarahkan seorang bekas sami Buddha dipenjara 17 tahun kerana merakamkan aksi dua remaja perempuan mandi berbogel di kuilnya, kata pegawai mahkamah, semalam.

Net Khai, 37, ditahan dan statusnya sebagai sami dilucutkan pada Jun lalu selepas didakwa merakam secara rahsia lebih 600 wanita dan remaja mandi berbogel menggunakan air di kuil dan berkongsi imej berkenaan dengan orang lain.


Sejak perbuatannya terbongkar, seorang demi seorang wanita tampil mengadu kepada media, termasuk dua daripadanya berusia di bawah 18 tahun ketika kejadian berlaku.


Pegawai pendakwa, Plang Sophal, berkata sami itu dipenjara atas kesalahan menghasil dan mengedarkan bahan pornografi membabitkan dua gadis

Mahkamah sama turut mengarahkan tertuduh membayar ganti rugi RM36,700 kepada kedua-dua mangsa.


Kata Plang, hukuman itu diharap menjadi pengajaran kepada semua pihak, termasuk sami

“Orang ramai mesti menjauhkan diri daripada aktiviti seperti itu,” katanya.


Bulan lalu, Net Khai dijatuhi hukuman penjara setahun atas tuduhan sama membabitkan wanita berusia 25 tahun. - Agensi.



Aida tekad lapor polis



JAKARTA: Selepas gagal bertemu pendakwah terkenal Indonesia, Zainuddin MZ pada Selasa lalu, Aida Saskia kini mendakwa dia mengambil sikap pasrah.

Katanya, walaupun dijanjikan untuk bersemuka dengan tokoh bergelar Pendakwah Sejuta Umat itu, Aida, 25, kecewa apabila ia tidak menjadi kenyataan.


Bagaimanapun, katanya, dia dijanjikan tarikh lain untuk menyempurnakan hajatnya.


“Saya bukan cakap sembarangan. Pertemuan yang sepatutnya diadakan Selasa lalu ditunda, tapi jika memang beliau kesempitan masa, kita tunggu kesempatan lain,” katanya kepada media, semalam

Dengan kegagalan itu, Aida - penyanyi dangdut yang terkenal dengan lagu Ayam Jago - turut memikirkan tindakan lanjut jika isu dakwaannya dirogol pendakwah itu gagal diselesaikan.


Kata Aida, jika sehingga Isnin ini dia masih tidak diberi peluang bersemuka dengan Zainuddin, penyanyi itu akan mengadu kepada polis

“Sebelum ini saya pernah berjanji untuk bertindak mengikut undang-undang.


“Justeru, merujuk kes ini kepada polis adalah satu daripada langkah yang diambil,” katanya.


Sementara itu, di mana Pendakwah Sejuta Umat itu berada ketika ini masih belum dapat dipastikan kerana rumahnya dikatakan kosong.


Malah, Aida sendiri mengaku dia tidak tahu kedudukan Zainuddin.


“Saya adalah pihak yang menunggu dan kita lihat sama-sama nanti jika beliau memang berniat baik,” katanya. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan