Sabtu, 23 Oktober 2010

POLITIK...SEMUA NAK MENANG..TAPI JANGAN MENANG DENGAN TIPU MUSLIHAT....HUKUMNYA DILARANG DALAM ISLAM...MENANG PUN TAK GUNA...

Mendaya: Adakah Najib ‘menjalankan tipu daya’
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Perkataan 'mendaya' yang digunakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada ucapan dasarnya 'Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran' dilihat mengelirukan.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Ketiga, tafsiran rasmi 'mendaya' adalah ialah "menjalankan tipu daya (muslihat), menipu".

Kamus yang dicetak pada 1997 lalu turut menjelaskan contoh penggunaan kalimah 'mendaya' yang tepat.

"Apabila sudah begitu, mudahlah mereka mendayakan kami spt (seperti) yg (yang) sudah diperdayakannya beberapa orang pelayan," dipetik dari halaman 278 kamus tersebut.

Pun begitu, Utusan Malaysia (muka surat 2) hari ini melaporkan, "ucapan bertajuk 'Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran' yang disampaikan dalam nada yang serius itu berjaya memaku para perwakilan dan pemerhati selama satu setengah jam untuk sama-sama menghayati menghayati isi hati dan wawasan perjuangan beliau (Najib)”.

Dijangkakan kalimah 'mendaya' yang digunakan Najib bakal menggamit polemik awam khususnya pada sambungan sidang Dewan Rakyat, Isnin depan.



Pemuda PAS bantah festival busana hina Islam
Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 22 Okt: Umat Islam yang prihatin menyertai tunjuk perasaan secara aman bagi membantah penganjuran Festival Busana Muslim yang menghina Islam.

Bantahan secara aman itu dianjurkan oleh Pemuda PAS Terengganu diadakan selepas mereka menunaikan solat Jumaat di Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu dan Masjid Batu Rakit, Setiu.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani ketika menyertai demonstrasi aman di luar kawasan Masjid Pengadang Baru berkata bantahan diadakan serentak di seluruh negara oleh Pemuda PAS Pusat dan negeri-negeri selepas solat Jumaat, hari ini.

Katanya, penganjuran Festival Busana Muslim yang diadakan di Monte Carlo pada 9 Ogos lalu yang dinaungi ‘Wanita Pertama’, Datin Seri Rosmah Mansor jelas menghina Islam kerana pakaian model yang terlibat tidak menutup aurat.

“Ada model menggayakan fesyen yang memakai baju tidak menutup aurat dengan tulisan ‘Muhammad’ yang jelas memalukan umat Islam.

“Pemuda PAS bantah sekeras-kerasnya dan jika dibuat sekali lagi di negara ini akan ditentang dan akan kerah seberapa ramai umat Islam untuk bantah sehingga penganjuran itu dibatalkan,” tegasnya.

Beliau berkata, Pemuda PAS amat sensitif dan akan menentang dengan apa cara sekali pun walau terpaksa dengan pengorbanan darah dan nyawa.

“Pemuda PAS desak Rosmah selaku penaung program itu minta maaf secara terbuka dan pihak berkuasa ambil tindakan,” ujarnya di hadapan kira-kira 1,000 orang.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ketua Pemuda PAS Marang, Wan Ahmad Zuki Wan Ismail turut serta.

Di Masjid Batu Rakit, lebih 500 umat Islam menyertai bantahan tersebut


Galas: Pengalaman lebih dua tahun beri kelebihan
Muhammad Yusri Amin

GUA MUSANG, 22 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu adalah platfom baik buat PAS dalam menghadapi semula PRK itu 4 November nanti.

Menurutnya, kemenangan lalu itu memberikan kelebihan pada PAS untuk lebih mengenali masyarakat di kawasan itu dan tahu selok belok permasalahan mereka.

Kelebihan itu penting katanya, kerana PAS bukan saja berdepan dengan Umno-Barisan Nasional (BN) tetapi juga berdepan dengan jentera Kerajaan Persekutuan.

“Tidak syak lagi mereka itu menggunakan jentera-jentera kerajaan.

“Oleh sebab itu kita terpaksa bekerja lebih kuat,” katanya kepada media selepas majlis perisytiharan calon malam tadi.

PAS meletakkan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon mereka.

Perisytiharan calon itu dibuat sempena ceramah sambutan 20 tahun Membangun Bersama Islam Kerajaan Kelantan di bawah pemerintahan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

Selain Mursyidul Am PAS, turut hadir Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dan kepimpinan Pakatan Rakyat lain.

“Umno sudah tidak ada kelebihan, berada pada peringkat bertahan dan itu faktor untuk Umno yang bersifat ‘basuh tangan’ terhadap kesilapan-kesilapan yang mereka lakukan selama ini.

“Mengenai isu-isu yang dibawa PAS pada PRK Galas, itu terpulang kepada ‘gendang yang dipalu’ Umno-BN, namun kita tidak terikat dengan gendang mereka,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa tidak nampak pengundi di Dun Galas akan terpengaruh dengan isu-isu yang dimainkan Umno-BN.

“Bahkan isu yang ditonjolkan Umno BN itu akan memberi kesan yang negatif kepada mereka sendiri, ini kerana mereka mengulangi kesilapan-kesilapan yang lama di samping mendepani masalah yang belum dapat diselesaikan,” katanya



Festival busana: Mana dia ulama muda Umno
Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 22 Okt: "Di mana perginya 40 ulama muda Umno dan mana dia mufti yang selalu tangkas mengeluarkan kenyataan bila berlaku sesuatu peristiwa yang menyebelahi Umno," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam perhimpunan aman di hadapan Masjid Jamek Permatang Janggus selepas solat fardhu Jumaat tadi.

Seramai 200 orang jemaah mengadakan bantahan secara aman terhadap Festival Busana Muslim yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur dan bakal diadakan lagi pada bulan depan.

Tegasnya, Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mengecam sekeras-kerasnya tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan penaung festival berkenaan kerana sanggup menggadai agama Islam semata-mata untuk mendapatkan publisiti.

“Kenapa ulama muda dalam Umno dan mufti di negeri-negeri membisu tanpa mengeluarkan sesuatu kenyataan yang membela Islam dan mendesak Rosmah Mansor memohon maaf pada umat Islam di dunia atau khasnya di Malaysia,” ujarnya.

Katanya, Rosmah yang juga mendapat gelaran baru 'First Lady' tidak wajar bertindak membelakangkan para agamawan disebabkan mahu namanya berada di kemuncak.

"Jelas isteri Datuk Seri Najib menghina Islam menerusi penganjuran festival yang berselindung di belakang nama Islamik tetapi fesyen yang diperagakan tidak sesuai dengan Islam bahkan Rosmah sendiri tidak mengenakan pakaian yang sesuai dengan tema ketika merasmikan program tersebut,” katanya.

Di Pulau Pinang, dua masjid dijadikan lokasi bantahan berkenaan iaitu di Masjid Jamek Hashim Yahya, Jelutong dan Masjid Jamek Permatang Janggus bagi zon Seberang Perai


The power of surah Yasin
Harakahdaily

Ketahui dan nikmati kelazatan dari surah Yasin! Berapa ramai antara kita yang berjaya menghafal surah Yasin? Namun, berapa ramai pula yang tahu dengan mendalam maksud dalam surah Yasin?

Bukankah lebih bermakna dan berkat ibadah yang kita lakukan jika dapat mendalami maksud yang disampaikan dalam surah Yasin.

Izinkanlah kehadiran buku kecil bertajuk ‘The power of surah Yasin’ ini membantu anda dalam memahami isi yang terkandung dalam surah Yasin. Terdapat beberapa poin penting yang terdapat dalam buku ini seperti berikut:

1.Pengertian secara terperinci setiap ayat dalam surah Yasin
2. Sebab nuzul ayat
3. Huraian dan pengajaran dalam surah Yasin
4. Setiap huraian disokong dengan penjelasan al-Quran dan Hadis.
5. Fadilat dalam membaca surah Yasin

Ilmu penyuluh jiwa, gapailah manfaat dalam membaca Yasin justeru pahalanya menyuluh jiwa anda. Mudah-mudahan ibadah anda lebih mantap selepas membaca setiap helaian dalam buku ini serta dapat memberi informasi bermanfaat kepada anda tentang surah Yasin.

Buku tafsir surah yasin ini adalah karya Dr. Abdul Wahab Mohd Salleh. Beliau merupakan mantan pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran & al-Sunnah, UKM.

Buku ini adalah terbitan terbaru dari Kemilau Publika Sdn Bhd. Jika anda ingin memilikinya sila hubungi 03-61573314/emel: sales@kemilau.com.my atau dapatkan di kedai-kedai buku rangkaian MPH, Popular dan kedai buku berhampiran anda. Layari www.kemilau.com.my



PKR masih letak harapan runding di Batu Sapi
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali masih memberikan harapan untuk membolehkan pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Bagi beliau, pertandingan tiga penjuru di Batu Sapi antara calon Pakatan dari PKR, SAPP dan PBS dari BN sesuatu yang tidak baik.

"Sayang tak dapat elak tiga penjuru di Batu Sapi," kata Syed Husin dalam twitternya.

Namun begitu, beliau tetap menaruh harapan agar berlaku pertandingan dua penjuru sahaja di Batu Sapi.

"Masih ada masa runding dan elak (tiga penjuru)," tulis beliau dalam twitternya.

Ekoran itu, beliau berkata, suasana lebih baik kelihatan di Galas berbanding Batu Sapi.

Baru-baru ini, Pakatan Rakyat mengumumkan calon dari PKR akan diletakkan untuk bertanding dalam pilihan raya Batu Sapi itu.

Pengumuman itu dibuat selepas Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menyerahkan Pakatan Rakyat Sabah membuat rundingan bagi menentukan calon mereka di Batu Sapi.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, PAS juga berminat untuk bertanding di Batu Sapi kerana 61 peratus pengundinya adalah beragama Islam.

Bagaimanapun, pilihan raya kecil Batu Sapi dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan SAPP apabila usaha mencari jalan penyelesaian antara kedua-dua parti pembangkang itu menemui jalan buntu semalam.

Bagaimanapun, PKR dan SAPP bersetuju untuk tidak berkempen menentang satu sama lain dan menjadikan BN sebagai sasaran bersama dengan harapan pilihan raya kecil itu boleh dijadikan "sumber rujukan" oleh mereka apabila mengadakan rundingan pada masa akan datang.

SAPP akan mengumumkan calonnya Sabtu ini, manakala Leong sekadar berkata PKR akan mengumumkan calonnya "sedikit masa lagi".

BN akan mengumumkan calonnya daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) Ahad ini.

Mesyuarat peringkat tertinggi lebih sejam semalam diadakan oleh kedua-dua parti itu dengan bendahari PKR mewakili Pakatan Rakyat manakala SAPP pula diketuai oleh presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan penamaan calon pada Selasa ini manakala pengundian adalah pada 4 November ini.

Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa bertanding manakala pada pilihan raya umum 2008 mengalahkan calon bebas

Pemuda PAS yakin Zulkefli mampu galas amanah

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong penuh calon pilihan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, Dr Zulkefli Mohamad yang diumum malam tadi.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, pemuda PAS yakin Dr Zulkefli mampu menggalas amanah tersebut dengan jayanya dengan bantuan seluruh jentera parti pelbagai peringkat.

Ini kerana Dr Zulkefli mempunyai pengalaman luas dengan politik di Galas apabila pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 di Dun Galas dan pilihan raya umum 2008 bagi Parlimen Gua Musang.

“DPPP sokong penuh calon PAS yang diumum oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz semalam bagi mewakili PR di Dun Galas," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengerahkan seluruh jentera pemuda turun ke Galas bagi membantu memenangkan calon PAS tersebut.

Bagaimanapun katanya, pemuda PAS dinasihatkan agar berhati-hati dan tidak terpengaruh provokasi pihak lawan.

"Pemuda PAS perlu turun ke Galas dengan akhlak yang tinggi, semangat juang yang tabah serta elak diri dari terjebak dengan sebarang provokasi," tambahnya lagi.

Beliau juga optimis PAS mampu mengekalkan kerusi Dun tersebut jika jentera menjalankan tanggungjawab sebaiknya dan ikhlas dalam perjuangan.

"Perjuangan Islam pasti menang apabila Allah redha. Allah hanya redha pada yang ikhlas dan benar dalam perjuangan, kerana kedua-duanya itu adalah asas kepada kejayaan," katanya.

PAS malam tadi mengumumkan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas.

Pengumuman itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis pengisytiharan calon di Dataran Ilmu, Gua Musang.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Hadir sama pada majlis tersebut, semua pimpinan utama PAS Pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa. Turut serta ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham



Jentera PAS turun dengan 'underdog' di Galas

Analisa Berita Zulkifli Sulong

GUA MUSANG, 22 Okt: Walaupun dilihat mendahului BN, namun jentera pilihan raya PAS di Galas meletakkan diri mereka underdog (di belakang) dalam gerak kerja pilihan raya kecil ini.

"Kalau di Manik Urai undi popular kita merosot 6 peratus dalam pilihan raya kecil berbanding undi kita dalam pilihanraya umum, maka di Galas kita meletakkan kita ketinggalan 6 peratus juga iaitu dari menang dengan 54 peratus dalam pilihan raya umum kepada kalah iaitu 48 peratus sahaja sekarang," kata Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (gambar), Penasihat jentera pilihan raya PAS di Galas.

Sikap ini diambil oleh jentara plihan raya PAS berdasarkan pengalaman Pakatan menghadapi dua pilihan raya penting yang memberikan banyak pengajaran kepada PAS.

"Semasa di Manik Urai, kita ambil pendekatan bertahan kerana kita sudah menang. Terbukti, ia merugikan kita sehingga kita hampir kalah. Berbanding dengan jentera Pakatan di Sibu yang meletakkan kita kalah. Kita berusaha sehinggalah kita menang di sana," kata Wan Rahim yang merupakan penasihat jentera pilihan raya itu.

Wan Rahim, anggota Parlimen Kota Bharu pernah bertanding melawan Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen Gua Musang dan dia kalah. Dia juga pernah menjadi Yang Dipertua PAS Gua Musang sebelum ini.

Kalau dilihat dari mata kasar, PAS nampaknya terus mendahului Umno dalam kempen pilihan raya kecil Dun Galas apabila melancar jentera pilihan rayanya 19 Oktober lalu.

Umno masih lagi tenggelam dalam kemelut dalaman apabila difahamkan wujud dua kem utama dalam Umno Gua Musang iaitu kem bekas Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dengan kem Umno asal yang dipimpin Saufi Deraman yang mendapat sokongan padu Wanita dan Pemuda Bahagian.

Kehadiran ribuan penduduk tempatan dalam majlis pelancaran itu memberi satu isyarat Dun Galas seakan-akan sukar digugat Umno biar pun mempertaruhkan Tengku Razaleigh sebagai pengarah jentera pilihan raya BN di Galas.

Di antara ribuan yang hadir dengan bersesak-sesak di hadapan Markas Besar PAS Dun Galas adalah masyarakat bukan Islam termasuk orang Cina dan India.

Situasi itu kelihatan berlainan berbanding dengan pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai tahun lepas kerana tiada ragam kaum yang hadir pada pelancaran jentera pilihan raya PAS.

Pilihan raya umum 2008

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS, Dr Zulkefli Muhamad mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah sebanyak 317 undi untuk Dun Galas dalam pertembungan mereka untuk merebut kerusi Parlimen Gua Musang.

Namun Ku Li memenangi kerusi itu selepas menang lebih besar di dua Dun lagi iaitu Paloh dan Nenggiri yang juga terletak di bawah Parlimen Gua Musang.

Menurut kajian sebuah badan bebas, pengaruh peribadi Ku Li hanya 30 peratus sahaja di Gua Musang. Selebihnya adalah sokongan daripada Umno. Jika Ku Li bukan calon dalam pilihan raya ini, bermakna pengaruh peribadi itu akan hilang.

Seramai 11,553 pemilih layak mengundi dalam pilihan raya ini dengan Melayu berjumlah 7,123 atau 61.67 peratus dari jumlah pemilih itu. Cina 2317 (20.06 peratus), Orang Asli 1,889 (16.35 peratus) manakala India 185 (1.6 peratus).

Kubu utama PAS dalam pilihan raya ini adalah daerah mengundi Sungai Terah yang mempunyai pemilih seramai 1,912. Dalam pilihan raya umum lalu, 68.45 peratus telah mengundi Dr Zulkifli (undi Parlimen) dan 68.56 peratus mengundi Che Hashim Sulaima untuk undi peringkat Dun Galas.

Kekuatan PAS terletak di Lembaga Kemajuan Tanah Sungai Terah yang mempunyai 1,380 pengundi. Mereka adalah peneroka asal yang dihantar oleh kerajaan negeri pimpinan Datuk Asri Muda untuk membuka tanah kawasan itu.

Daerah mengundi yang paling ramai adalah Kampung Bharu yang 52.60 atau 1131 pengundinya adalah kaum Cina. Selebihnya iaitu 999 pengundi atau 46.47 peratus adalah Melayu.

Dalam pilihan raya lalu, 52.41 peratus memberikan undi kepada Dr Zul (Parlimen melawan Ku Li) manakala 55.91 peratus memberikan undi kepada Che Hashim.

Dalam pilihan raya umum lalu juga, PAS hanya kalah di Kampung Pulai yang mempunyai pemilih seramai 471 di mana 83.86 peratus atau 395 orang adalah pengundi Cina.

Namun menurut Nasir Daud, Penyelaras Operasi bilik gerakan PAS di Galas, isu yang melanda pengundi kawasan ini sudah dikenalpasti. Beliau yakin, pengundi Cina kawasan ini akan kembali kepada PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Keutamaan pengundi

Dengan data-data inilah, jentera PAS yang disokong Pakatan Rakyat dan jentera Umno yang disokong BN akan berebut pengaruh dalam pilihan raya ini.

Namun, isu utama yang menjadi pengkiraan pengundi kawasan ini tetap kepada apa yang mereka untung atau rugi jika mengundi BN dan apa yang mereka untung atau rugi jika mengundi PAS.

Yang pasti, jika mereka memilih PAS, penduduk kawasan ini termasuk Gua Musang keseluruhannya akan mendapat seorang wakil yang boleh menghubungkan mereka dengan kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS. Tanpa wakil PAS bermakna, mereka terputus hubungan dengan kerajaan negeri. Urusan paling penting bagi penduduk di sini adalah hak dan pemilikan tanah. Ia adalah bidang kuasa kerajaan negeri.

Jika mereka memilih calon BN, ia hanya menambahkan seorang sahaja lagi wakil mereka kerana BN sudah ada anggota Parlimen di situ dan dua Adun lagi iaitu Paloh dan Nenggiri sudah Adun BN. Ketiga-tiganya sudah lebih dari cukup untuk mewakili mereka dalam berurusan dengan kerajaan Pusat.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan