Khamis, 14 Oktober 2010

MASING2 INGINKAN KEMENANGAN...MENUDUH DAN MEMBELA DIRI TU PERKARA BIASA...JANGAN BUAT FITNAH DAN MENIPU DAH

'Wee patut beritahu polis Rahimi tak dipaksa'
Hazlan Zakaria
Okt 14, 10
7:19pm


Jika dipanggil, peguam PKR Saiful Izham Ramli meminta ahli parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong memberitahu "perkara sebenar" bahawa Rahimi Osman - bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim - tidak dipaksa membuat akuan bersumpah.

Saiful Izham yang juga anggota majlis pimpinan pusat PKR berkata, Wee tidak pernah diminta menjadi pesuruhjaya sumpah kepada Rahimi sebaliknya dia didakwa menawarkan diri sendiri bagi tujuan itu.

Menurut Saiful Izham (kiri) juga, pihaknya tidak mahu Wee di kemudian hari mungkin mendakwa beliau juga dipaksa menjadi pesuruhjaya sumpah kepada Rahimi.

"Mungkin dia ada sesuatu hendak disembunyikan," kata Saiful Izham dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya awal petang tadi.

Semalam, Wee enggan mengesah atau menyangkal dakwaan balas bahawa Rahimi tidak dipaksa atau dikurung.

Wee berkata peranannya dalam hal ini hanya terhad sebagai pesuruhjaya sumpah yang menyaksikan Rahimi menandatangani satu akuan bersumpah pada 29 Jun 2008.

Rahimi menjadi tumpuan Rabu lalu, apabila dia menuduh peguam Latheefa Koya dan yang lain, menahannya di Hotel Quality, Shah Alam dan memaksanya untuk menandatangani akuan bersumpah palsu



Polis: Aminulrasyid langgar lampu isyarat
Aidila Razak
Okt 14, 10
3:00pm


Kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid Amzah, 15, yang ditembak mati oleh polis, tidak berhenti di lampu isyarat Bulatan Kayangan, Shah Alam ketika dikejar oleh kereta peronda polis.

Bagaimanapun, Lans Koperal Shamsul Ismail yang memandu kereta peronda yang turut mengejar kereta mangsa, tidak dapat mengesahkan sama ada ia lampu merah ketika itu serta tidak dapat menganggarkan kelajuan kereta.

Shamsul turut mengejar kereta mangsa selepas mendapat panggilan
radio dari sebuah daripada dua kereta peronda, yang meminta bantuan ketika mengejar kereta Iswara yang menghala ke arah bulatan dari Hotel Concorde.

Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, Shamsul berkata dia tidak melihat atau mendengar bunyi tembakan kerana dia tidak masuk ke Jalan Makyong 11/2 bersama kereta lain selepas kereta Iswara itu memecut meninggalkan bulatan tersebut dan kerana siren keretannya tenggelam dengan bunyi hingar yang lain.

Menurutnya, dia berjaga di luar Jalan Makyong 11/2 sekiranya kereta Iswara itu berpatah balik ke jalan utama.

Shamsul berkata, dia turun dari keretanya dan mendekati (tertuduh Jenain Subi) ketika dia berpusing masuk ke Jalan Tarian.

Katanya dia juga ternampak empat anggota polis dan sebuah kereta yang merempuh tembok dan bertanya kepada Jenain sama ada dia telah melaporkan kejadian itu kepada bilik kawalan.

Jenain menjawab sudah, dan dia (Shamsul) kembali semula ke keretanya.

Dalam keterangannya, Shamsul tidak ingat sama ada dia ada ternampak "budak kecil" atau orang awam lain di tempat kejadian, sama ada di luar atau di dalam kereta Iswara

Rakan Aminulrasyid Azamuddin Omar, 15, yang juga berada di dalam kereta itu, mendakwa dia dipukul oleh anggota polis tetapi sempat melarikan diri setelah kereta itu merempuh tembok.

Jenain Subi menghadapi tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyied tanpa niat membunuh di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2 Pagi 26 April lalu.


BN siap sedia hadapi p'raya mengejut, kata Anwar
Joseph Sipalan
Okt 14, 10
4:26pm


Tindakan terbaru kerajaan menunda pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah petanda “utama” bahawa pilihan raya umum ke-13 semakin hampir, kata ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ada kemungkinan kita akan saksikan pilihan raya umum yang mengejut dan saya jangkakan pembentangan bajet esok adalah bajet pilihan raya,” katanya pada sidang akhbar di lobi parlimen hari ini.

Anwar, yang pernah menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan berkata, rang undang-undang GST itu dirangka dengan lemah dan ia bukan hanya akan membebankan rakyat tetapi juga tidak mampu membantu menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Katanya, adalah jelas kerajaan BN tidak memikirkan kesannya ke atas rakyat apabila membentangkannya tahun lalu.

Menurut Anwar, kerajaan “takut” kerana tidak mampu menangani asakan oleh Pakatan Rakyat yang berpendapat cukai baru itu akan membebankan rakyat, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

"BN kini terdesak menjelang pilihan raya kecil di Galas dan Batu Sapi. GST bukan rang undang-undang yang dirangka dengan baik dan penangguhan kali ini adalah kerana pilihan raya kecil dan kemungkinan diadakan pilihan raya mengejut,” katanya,

Semalam, kementerian kewangan, mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa kerajaan telah menangguhkan pelaksanaan GST.

Menurut kenyataan itu, GST ditangguhkan bagi membolehkan kerajaan berinteraksi dengan semua lapisan rakyat mengenai pelaksanaan cukai baru itu.

"Kerajaan akan mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat bagi memastikan penguatkuasaan GST diterima dengan baik," petik kenyataan kementerian itu



Pendedah maklumat mati diikat beg di kepala
Okt 14, 10 5:53pm

Bekas pekerja empayar firma perniagaan yang dimiliki oleh keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijumpai mati Ahad lalu di sebuah bilik hotel di Los Angeles dengan sebuah beg diikat di kepalanya.

Ross J Boyert, 60, adalah bekas ketua pegawai operasi Sakti International - firma hartanah yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang dimiliki oleh keluarga Taib.

"Menurut spekulasi, dia mungkin membunuh diri, tetapi pihak koroner masih menangguhkan keputusan sementara menunggu siasatan lanjut,” kata laman sesawang anti-Taib Sarawak Report, yang sebelum ini banyak mendedahkan berita 'mengejutkan' berhubung keluarga ketua menteri itu.

Menuruk Sarawak Report, Boyert telah berkhidmat selama 12 sebagai pengurus yang mengendalikan beberapa blok pejabata dan unit kediaman yang dimiliki oleh keluarga Taib di San Francisco dan Seattle.

Sakti International dianggarkan memiliki hartanah bernilai US$80 juta (RM258 juta). Antaranya adalah Bangunan Abraham Lincoln yang setinggi 14 tingkat yang didakwa mempunyai sistem keselamatan yang canggih. Bangunan ini menempatkan pejabat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) cawangan Seattle dan unit pencegahan pengganas - Washington Fusion Centre.

Boyert adalah pegawai yang bertanggungjawab bagi membantu Sakti International memujuk FBI menempatkan cawangannya itu di bangunan berkenaan pada 1998.

Selain Bangunan Abraham Lincoln, hartanah utama Sakti yang lain termasuk 260 California Street, San Francisco, yang penyewanya termasuk Citibank.

Boyert mengambil-alih pengurusan Sakti International yang tenat pada 1994 daripada anak Taib - Sulaiman - yang ketika itu seorang pelajar di California.

Sulaiman, yang sekarang ini adalah ahli parlimen mengambil-alih kerusi bapanya di Kota Samaharan. Beliau meletak jawatan sebagai timbalan menteri pelancongan tahun lalu dengan alasan faktor peribadi. Menurut khabar angin, Sulaiman sekarang menghadapi masalah kesihatan.

Diketepikan keluarga Taib

Menurut Sarawak Report, Boyert meninggalkan Sakti International pada 2006 setelah persaingan yang tidak sihat berlaku di kalangan keluarga Taib.

"Butiran berhubung apa yang terjadi ke atasnya boleh didadapti daripada rekod samannya di mahkamah di California. Rekod berkenaan membekalkan beberapa maklumat di sebalik pendedahan kepentingan hartanah yang dimiliki oleh Taib yang dibuat oleh Sarawak Report,” lapor laman sesawang itu.

Taib, yang memerintah Sarawak sejak 1981, disebut sebagai antara rakyat Malaysia yang terkaya dan mempunyai kepentingan perniagaannya baik secara langsung ataupun melalui pihak ketiga di dalam dan juga di luar negara.

Antara konglomerat yang menonjol kepunyaan keluarganya adalah Cahaya Mata Sarawak Bhd, yang banyak diberikan kontark membina infrastruktur di Sarawak.

Menurut notis saman yang dikemukakan oleh Boyert, Sulaiman menjanjikan beliau 50 peratus keuntungan Sakti International jika berjaya menyelamatkan syarikat itu.

Namun, Sulaiman yang kurang cekap kemudiannya digantikan sebagai pengarah tunggal dengan menantu Taib yang berbangsa Kanada, Sean Murray - suami kepada seorang lagi anak Taib - Jamilah



'Kontrak diberi kepada kroni tiada kelayakan'
Joseph Sipalan
Okt 14, 10
4:41pm


Kontraktor utama yang dipertanggungjawab membina Istana Negara yang baru tidak layak mengendalikan projek bernilai jutaan ringgit itu, dakwa ketua pemabngkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, syarikat berkenaan, Maya Maju (M) Sdn Bhd, disenaraikan sebagai tidak aktif oleh Suruhanjaya Syarikat ketika ia diberikan tender untuk projek berkenaan oleh Jabatan Kerja Raya pada 26 Oktober 2007.

"Syarikat ini dikuasai oleh seorang yang bernama Datuk Haji Man bin Mat, yang merupakan bekas bendahari Umno bahagian Merbok,” kata Anwar pada sidang akhbar di lobi parlimen hari ini.

"Ia hanya berdaftar sebagai sebuah syarikat pembinaan pada Ogos 2008. Ia tidak dilesenkan oleh PKK (Pusat Khidmat Kontraktor) atau CIDB (Construction Industry Development Board), yang menjadi antara syarat wajib.”

Anwar berkata tiada penjelasan diberikan berhubung mengapa kos pembinaan projek Istana itu naik berlipat ganda daripada kos permulaan di bawah RM400 juta kepada melebihi RM800 juta sekarang.

"Cadangan pembinaan dengan kos RM395 juta ditawarkan kepada Maya Maju mengikut konsep penswastaan tetapi selepas rundingan terus dengan JKR, ia naik menjadi RM650 juta."Tiada penjelasan berhubung kenaikkan mendadak ini dan kosnya itu sekarang meningkat kepada RM811.2 million," katanya sambil menambah bahawa kontarktor utama itu tidak mendapat kebenaran menggunakan nama Maya Maju, yang telah didaftarkan sebelum itu kepada syarikat lain.

Menurutnya, pihak pembangkang melalui ahli parlimen Indera Mahkota Azan Ismail, akan menimbulkan isu itu kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi menuntut sisatan terperinci berhubung projek kontroversi berkenaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan