Isnin, 18 Oktober 2010

RAKYAT TELAH CERDIK UNTUK MENILAI....

Hadi kritik PERMATA Rosmah
Okt 18, 10 12:37pm

Peruntukan besar sebanyak RM111 juta kepada Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) yang dinaungi isteri perdana menteri Rosmah Mansor disifatkan PAS sebagai tidak masuk akal kerana ia didakwa hanya melibatkan segelintir pihak.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) berkata, fokus kerajaan telah tersasar memandangkan pusat itu juga masih di peringkat percubaan.

Anggota parlimen Marang itu juga membandingkan peruntukan kepada PERMATA berbanding usaha bagi meningkatkan taraf Orang Asli dan pribumi yang diberikan RM100 juta, manakala sekolah agama rakyat pula diberikan hanya RM95 juta.

Dalam pembentangan Bajet 2011 oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak, PERMATA dimumkan bakal mendapat peruntukan itu meliputi projek pembinaan fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, bagi membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.

Peruntukan itu turut meliputi program PERMATA yang lain seperti PERTAMA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

Dalam satu kenyataan, Abdul Hadi berkata agenda ekonomi dan transformasi yang dinyatakan dalam pembentangan bajet 2011 hanyalah satu penjenamaan semula yang "ditaburkan dengan angka yang indah-indah dengan mengkesampingkan aspek pembinaan manusia".

"Apa yang penting bukannya angka-angka yang sedap didengar, umpamanya dibentangkan bahawa pendapatan per kapita meningkat sebanyak 6.1 peratus kepada RM28,000; kononnya kadar pengangguran di takuk 3.5 peratus; sedangkan realitinya rakyat di luar bandar tidak menikmati faedah langsung dari peningkatan angka-angka sedemikian, bahkan jauh sekali dari menikmati kesejahteraan hidup akibat dari perubahan angka-angka ini!" kata Abdul Hadi.

Beliau juga membidas perdana menteri dengan gelaran yang digunakan dalam pembentangannya Jumaat lalu - "saudagar mimpi yang memperdagangkan dongengan" kerana didakwa mengelirukan rakyat dengan angka-angka sedemikian.

Mengulas cadangan projek seratus tingkat menara Warisan Merdeka, beserta kemudahan yang menelan belanja asas RM5 billion, Abdul Hadi mempertikaikan kenapa peruntukan bagi tujuan itu hanya "secebis" jika dibandingkan dengan projek koridor yang didakwanya lebih bermanfaat kepada rakyat.

"Contohnya peruntukan untuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) hanyalah RM178 juta, iaitu dalam lingkungan 3.6% dari projek Warisan Merdeka.

"Ini tidak lagi dicampur dengan kemungkinan projek RM5 billion itu meningkat sebagaimana yang sentiasa berlaku dalam pemerintahan kerajaan Umno-BN."



FDI merosot 81% - Anwar
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulihkan ekonomi negara melalui Program Tranformasi Ekonomi (ETP) terus dipersoal.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, era pentadbiran Najib menyaksikan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara merosot sebanyak 81 peratus dari RM23.47 bilion pada tahun 2008 kepada RM4.43 bilion pada tahun 2009.

"Ini merupakan kemasukan FDI paling rendah sejak 20 tahun lalu selain tahun 2001 di mana negara mencatat kemasukan FDI RM1.54 billion," ujarnya ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, petang ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, World Investment Report 2010 baru-baru ini turut melaporkan yang negara mengalami kemerosotan ketara dalam kemasukan FDI serta peningkatan dalam pengaliran keluar FDI yang menunjukkan ketidakyakinan pelabur dalam ekonomi negara.

"Di kalangan negara-negara Asean, hanya Malaysia mengalami negative inflow," ujarnya yang ditujukan kepada Najib selaku Menteri Kewangan I.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, Thailand walaupun bergelumang dengan pelbagai kacau bilau politik dan boikot sepanjang 2009 dan 2010 dijangka tumbuh pada kadar 6.5 hingga 7.5 peratus; iaitu setanding atau lebih baik dari sasaran Malaysia, 6 peratus.

Singapura pula katanya, dijangka berkembang pada kadar 13 peratus hingga 15 peratus, iaitu dua kali ganda lebih pantas dari kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Pun begitu, Indonesia ujarnya tidak mengalami apa-apa penguncupan dan pertumbuhan ekonominya kekal 6 peratus.

Bagaimanapun katanya lagi, pertumbuhan 6 peratus ekonomi Indonesia adalah lebih baik.

Ini kerana katanya, 7 peratus yang dijangka capai oleh Malaysia adalah pertumbuhan ekonomi negarah selepas penguncupan.

Melihat pada senario ekonomi Asean, beliau berpendapat kadar pertumbuhan ekonomi negara adalah setara dengan Cambodia, Mynmar, Brunei, Laos dan Timor-Leste.

"Ini merupakan pertama kali dalam sejarah FDI Filipina mengatasi Malaysia," ujarnya.

Walhal, katanya lagi, FDI negara-negara Asean yang lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam jauh meninggalkan Malaysia.

Tambahnya lagi, laporan terbaru Bank of America dan Merill Lynch turut tidak menyenaraikan Malaysia sebagai 10 destinasi kemasukan pelaburan asing berbanding China.

Tidak cukup dengan itu, dilaporkan Malaysia diketegorikan sebagai antara negara yang paling kurang diminati oleh pelabur luar.



Rakyat terima RM100, bukan bangunan 100 tingkat
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengambil pengajaran daripada kezaliman pemerintahan Firaun yang zalim.

Perdana Menteri dinasihatkan demikian kerana sanggup mengetepikan tuntutan bonus dua bulan gaji oleh 1.2 juta kakitangan awam walhal dalam masa yang sama bercadang membina bangunan Menara Warisan.

"(Bajet 2011) tidak sanggup berbelanja RM3.1 bilion (bonus sebulan), tetapi kerajaan boleh mengeluarkan RM5 bilion untuk bina bangunan 100 tingkat," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pagi tadi di lobi Parlimen.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, rancangan membina menara tersebut seakan mengulangi sejarah Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri membina Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya mengutamakan kebajikan rakyat dari membina projek-projek mega yang nyata memberi kepentingan kepada kroni-kroni tertentu.

Lim menyuarakan rasa yakin bahawa kakitangan kerajaan di Pulau Pinang lebih rela menerima bantuan kewangan dari projek mega tersebut.

"Kalau rakyat Pulau Pinang, mereka lebih rela terima RM100 bantuan daripada kerajaan negeri dari terima bangunan 100 tingkat," beliau menambah.

Beliau turut mendakwa Bajet 2011 yang dibentangkan Najib itu suatu belanjawan yang tidak mengutamakan rakyat dan pembaziran yang nyata bertentangan dengan Islam.

Jumaat lalu, Najib ketika membentangkan Bajet 2011 mengumumkan kakitangan kerajaan hanya mendapat RM500 Bantuan Khas Kewangan.

Najib sehari kemudian berkata, sekiranya pentadbirannya memberi RM3.1 juta kepada 1.2 juta kakitangan awam, kerajaan akan menanggung perbelanjaan yang lebih besar




Bajet pinggir siswa, kebejatan sosial tanpa penghujung

http://persadakini.blogspot.com

Dengan segala masalah sosial yang kritikal melanda masyarakat sekarang, saya mewakili suara dan pandangan anak muda mahasiswa, amat geram, kecewa, sedih dan marah bila mana beberapa orang pimpinan kerajaan dan parti politik, membuat kenyataan membantah konsert Adam Lambert yang mana ianya dipandang sebagai suatu tindakan yang ekstrim. Bukanlah hanya kerana ianya datang dari mulut pimpinan Barisan Nasional, akan tetapi ianya lebih menyedihkan bila mana ianya keluar dari mulut salah seorang Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia sendiri.

Demostrasi secara aman tersebut yang disertai Dewan Pemuda PAS Pusat dengan penyertaan ahli-ahli Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), yang mewakili mahasiswa dari pelbagai kampus, adalah bagi membuka minda masyarakat, betapa penerapan dan pengaruh nilai-nilai budaya songsang yang sememangnya wajib dibendung. Jika tidak dibendung, dikhuatiri dan amat dibimbangi ianya akan melarat seterusnya menjadi ikutan dan budaya masyarakat kita pula. Sebelum ianya membarah dalam masyarakat, biarlah ianya dicegah sebelum terlambat.

Saya tidak mahu memfokuskan sama ada Pemuda Pas atau Pemuda Umno sekalipun yang membuat bantahan terhadap konsert tersebut, sudah semestinya sebagai mahasiswa yang boleh berfikir secara matang, akan menyokong sepenuhnya bantahan tersebut, kerana dengan penganjuran konsert tersebut, ianya sebenarnya lebih membuka ruang ke arah keburukan berbanding kebaikan. Jika tidak, mana mungkin mahasiswa yang berada bawah payungan GAMIS mahu menyertai bantahan tersebut secara konsisten, dengan penyerahan memo sebelum ini dan sebagainya, berkaitan dengan konsert ini.

Agak kurang bijak bagi seorang yang ‘menjaga’ hal ehwal kementerian pelajaran, bertindak mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Beliau menyatakan bantahan konsert Adam Lambert ini menjadikan PAS sebuah parti ekstrim. Menolak dan mengekang budaya serta budata ‘gay’ dikatakan ekstrim? Lihatlah dan nilailah sendiri mentaliti seorang timbalan menteri pelajaran di negara kita. Inikah yang kita harapkan untuk membentuk dan menjaga sistem pendidikan di negara ini??

Ya, mungkin beliau mengeluarkan kenyataan tersebut atas kapasiti beliau sebagai pimpinan Pemuda MCA, namun perlu diingat kesan kenyataan yang keluar dari beliau itu datangnya dari batang tubuh seorang Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada masa yang sama, bukannya beliau dari kementerian kebudayaan dan kesenian sebagai contohnya. Sedangkan jika kita fahami, ini bukanlah masalah yang melibatkan parti politik semata-mata, akan tetapi ianya masalah masyarakat dan negara.

Kita mahu generasi anak muda kita, tidak terpengaruh dengan anasir-anasir barat seperti itu. Setiap agama juga menekankan kepentingan menjaga adab dan moral dalam penghayatan agama masing-masing. Kita mahu anak muda dan belia mempunyai jati diri, berakhlak, bermoral tinggi, dan bukannya mengambil contoh teladan dari mana-mana personaliti luar negara yang mengamalkan gaya hidup dan norma yang songsang.

Cukuplah dengan masalah pembuangan bayi yang makin membarah, gengsterisme perkauman, meragut, merogol, merompak dan membunuh, yang sudah melanda negara kini. Jangan ditambah lagi penyakit masyarakat bila mana kerajaan sendiri yang menyediakan medium dan ruang yang banyak ke arah kebejatan sosial tersebut.

Mahasiswa menuntut kerajaan memandang serius perkara ini, jangan dibuat atas kepentingan politik pihak-pihak tertentu sahaja! Sudahlah PTPTN dan AUKU yang masih menghantui mahasiswa, termimpi-mimpi bajet mahu berikan mahasiswa hadiah berupa bantuan biasiswa, elaun atau yang seumpama dengannya, seperti mana yang terselit dalam peruntukan perlembagaan.

Terutama sekali bagi pelajar dan mahasiswa yang datangnya dari keluarga latar belakangnya sederhana dan tidak berkemampuan, tiadakah bantuan atau peruntukan sedikit buat mereka, tambahan pula dengan keuntungan PETRONAS yang semakin bertambah setiap tahun, namun mimpi tersebut ternyata indahnya sekejap cuma! Bila tersedar, ianya hanyalah sekadar sebuah mimpi. Harapan dan perubahan, hanyalah mimpi kosong!! Bajet meminggirkan mahasiswa, kebejatan sosial pula tiada penghujungnya!!


Buang bayi: Cari penyelesaian setelah parah
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Dr Siti Mariah Mahmud mendakwa kerajaan hanya mengambil jalan menyelesaikan masalah yang sudah parah, tanpa ada usaha pencegahan dalam isu pembuangan bayi.

Ahli Parlimen Kota Raja itu ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, Pakatan Rakyat tidak pernah menafikan usaha yang dilakukan kerajaan untuk memberi perlindungan kepada ibu dan bayi luar nikah.

Namun, katanya, kerajaan juga harus mencari jalan untuk mencegah masalah itu daripada terus berlaku.

Tambahnya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendaftarkan selama empat tahun iaitu dari tahun 1999 hingga 2003 sebanyak 70,430 bayi luar nikah dilahirkan.

"Persoalannya ialah kita (Pakatan Rakyat) bukan nak menyalahkan kementerian atau sesiapa cuma dalam kita menangani masalah pembuangan bayi, kementerian baik rumah-rumah perlindungan yang disebutkan Yang Berhormat tadi, hanya menyelesaikan masalah di penghujungnya sahaja. Kita hanya menyelesaikan masalah pembuangan bayi.

"Adakah puncanya, pencegahannya, perundangannya dan segala bentuk yang kita tahu untuk mencegah kelahiran bayi luar nikah ini diambil kira?” soal beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau juga mencadangkan satu makmal ditubuhkan untuk mengkaji secara khusus punca dan langkah-langkah dalam menangani masalah itu yang melibatkan semua kementerian.

"Adakah kerajaan atau kementerian mengambil satu sikap bahawa gejala sosial ini perlu ditangani secara konprehensif dan mengadakan satu makmal seperti kita buat makmal bagaimana nak menurunkan insiden jenayah jalanan.

"Tanggungjawab ini merentasi semua kementerian dan sekiranya dilakukan kita perlu mengadakan satu polisi. Persoalannya adakah kabinet membincangkan satu plan tindakan konprehensif merentasi semua jabatan dan kementerian?" soalnya lagi.

Beliau dalam soalan asalnya meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan sejauh mana usaha mewujudkan "baby hatch" berjaya menangani pembuangan bayi dan apakah usaha dan tindakan spesifik kerajaan dalam menangani gejala sosial yang semakin meruncing dalam negara ini


Debat: Ali Rustam belum beri maklum balas
Sofi Wahab

MELAKA, 18 Okt: PAS Negeri Melaka sehingga kini masih belum mendapat sebarang maklum balas dari Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam isu debat mengenai sekolah mengandung.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman (gambar) dalam jawapan spontan sedia berdebat dengan Ketua Menteri Melaka berkaitan isu penubuhan Sekolah Harapan.

Menurutnya, PAS menerima cabaran debat dan bersedia pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk menerangkan kebenaran kepada rakyat.

Beberapa orang rakyat yang ditemui kesal dengan sikap Mohd Ali yang seolah-olah takut untuk berdebat sedangkan beliau sendiri yang mencadangkan mengenainya.

Haji Jaya Mohamad, 65, dari Bukit Katil berkata, apa yang hendak ditakutkan kerana perdebatan itu adalah untuk mencari kebenaran, bukannya atas emosi dan kepentingan diri.

"Kita mesti berbincang dan berdebat dalam sesetengah isu untuk mencari kebenaran bukannya untuk tunjuk pandai," ujar beliau.

Mohd Jas Abdul Rahman, 66, dari Taman Saujana kesal dengan sikap Umno yang tidak mahu berbincang sebelum mengambil keputusan.

"Bila kita tegur mereka melenting tanpa usul periksa dan berlapang dada, kita mesti sedar rakyat berhak untuk menegur dan menasihatkan pemimpin dalam apa juga isu lebih-lebih isu penting seperti ini," kata beliau.

Dalam kenyataan sebelum ini, Abdul Ghani menyifatkan cabaran ketua menteri itu untuk berdebat bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, orang menjual maka PAS sanggup membelinya walaupun dengan harga yang mahal.

Menurutnya, PAS meminta Mohd Ali menentukan masanya dan di mana tempat dan mencadangkan supaya dibuat siaran langsung secara terbuka agar rakyat dapat menilai hujah kedua-dua pihak.

Dua minggu lalu, Mohd Ali dilaporkan mencabar PAS berdebat dalam isu sekolah hamil, Sekolah Harapan.

Beliau berbuat demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan negeri di Seri Negeri yang dihadiri oleh pegawai-pegawai agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab kesal dengan sikap Umno yang sering menuduh PAS hanya mengkritik setiap program dan projek yang dilaksanakan tanpa memberikan cadangan balas yang membina.

Beliau berkata, dalam isu sekolah mengandung yang dikatakan sebagai penyelesaian masalah buang bayi dan zina, PAS sudah sejak dari dahulu, kini dan selamanya menasihatkan Umno supaya kembali kepada Islam dalam menangani isu zina dan maksiat ini.

Katanya, malangnya Ketua Menteri Melaka dalam akhbar Sinar Harian menghentam PAS kerana dikatakan hanya pandai mengkritik tanpa memberikan cadangan membina.

Namun, ujarnya Ali langsung tidak mempedulikan saranan PAS sejak dahulu iaitu mengamalkan amar makhruf nahi mungkar dalam menangani masalah zina dan pembuangan bayi.

"Contohnya dalam isu sekolah mengandung, Ketua Menteri berulang kali menyatakan penubuhan sekolah mengandung dapat menyelesaikan masalah buang bayi dan perzinaan sedangkan punca sebenarnya berlakunya buang bayi adalah disebab perzinaan.

“Punca perzinaan pula adalah disebabkan ajaran agama yang longgar, banyaknya pusat-pusat maksiat, pergaulan bebas dan tiadanya undang-undang yang mampu mencegah kemungkaran sertanya pemantauan yang amat minima oleh pihak berkuatkuasa," katanya.

Yusof juga menggesa Mohd Ali supaya menyatakan masa, tempat dan tajuk debat yang dicadangkannya beberapa minggu lalu kerana sehingga kini masih membisu tentang kesanggupan PAS untuk berdebat.

"Jika benar Umno ikhlas dan berani berdebat dalam isu Sekolah Harapan ini, sila nyatakan masa, tempat dan tarikh bila ia hendak dilaksanakan kerana Pesuruhjaya PAS negeri telah sanggup untuk berdebat," ujarnya


Tiada ulasan:

Catat Ulasan