Sabtu, 30 Oktober 2010

DIDUNIA NAFI LAH...AKHIRAT PENENTUNYA...

MB Perak Dakwa Pemuda PAS Perak Main Politik Tuduh Beliau Khurafat

LUMUT: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Jumaat menyifatkan tindakan Ketua Pemuda PAS Perak Zawawi Hassan mendakwa beliau meneruskan amalan khurafat dan syirik ketika merasmikan program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Manong, Kuala Kangsar dua minggu lepas sebagai bermotifkan politik semata-mata.

Menurutnya, sudah menjadi amalan pihak pembangkang untuk mencari sebarang isu yang boleh diputar-belitkan demi kepentingan politik mereka.

"Isu seperti inilah yang bakal mereka jaja tetapi bertindak mendiamkan diri sekiranya pemimpin mereka walaupun secara terang-terang mengamalkan perbuatan bercanggah dengan ajaran Islam," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di Kampung Batu 3, Segari di sini.

Dr Zambry berkata semasa Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dan Khalil Idham Lim (ADUN Titi Serong) memperingati kematian (Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor) Teoh Beng Hock, tiada pula teguran dibuat.

Ketika merasmikan program IBU di Kampung Guar, Dr Zambry didakwa telah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan sebuah rumah orang kurang upaya.

Berikutan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah menghantar memorandum bantahan kepada Mufti Perak kerana upacara itu dianggap "khurafat dan syirik". - BERNAMA



Pemuda PAS dakwa Zambry teruskan amalan syirik
Abdul Rahim Sabri
Okt 28, 10
3:45pm


Dewan Pemuda PAS Negeri Perak kecewa dengan tindakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang didakwanya masih meneruskan amalan perbuatan khurafat dan syirik ketika merasmikan program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar dalam DUN Manong dua minggu lalu.

Dalam majlis perasmian itu, Dr Zamri didakwa telah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan rumah orang kurang upaya. DUN Manong terletak dalam kawasan parlimen Kuala Kangsar.

Ketua pemuda PAS negeri Zawawi Hassan mendakwa upacara tersebut adalah amalan yang diwarisi oleh orang dahulu yang bersifat "karut, syirik dan dan bercanggah dengan akidah Islam".

"Upacara meletakkan tiang seri - tiang tengah rumah - dengan menepung tawar diiringi bacaan doa tertentu adalah amalan karut seperti mahu menjadi rumah itu aman... Kita (orang Islam) hanya diminta untuk bergantung kepada Allah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Zawawi memberitahu demikian ketika ditanya mengenai langkah dewan itu menghantar memorandum bantahan mereka kepada Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pada 22 Oktober lalu berhubung perkara itu.

Katanya, dewan itu hari ini turut menghantar bantahan yang sama kepada kesemua mufti di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, meminta penjelasan mengikut hukum Islam berhubung perkara ini.

Zawawi berharap para mufti dapat mengeluarkan ketetapan atau fatwa yang jelas supaya umat Islam tidak terkeliru.

Menurutnya, gambar dan rakaman video ucapara tersebut boleh dilayari dalam lamanweb mereka dan Youtube.

Zawawi berkata, rombongan 15 orang anggota Pemuda PAS Perak menemui Harussani pada 22 Oktober lalu untuk menyampaikan memorandum bantahan tersebut.

Dalam pertemuan di pejabat tokoh agama itu, katanya, Pemuda PAS meminta Harussani menegur atau mengeluarkan fatwa terhadap tindakan Zambry itu.

Zawawi mendakwa mufti perak itu menyatakan rasa kecewanya terhadap tindakan Zambry itu dan berjanji akan menegurnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan