Sabtu, 23 Oktober 2010

BILA BUAT SESUATU TAK IKUT HUKUM...ADAKAH MEREKA TAK TAKUT SEKSAAN ALLAH...ATAU BERSANGKA SEMPAT BERTAUBAT....

Calon PAS: Tuduhan khalwat fitnah semata-mata
Abdul Rahim Sabri
Okt 22, 10
3:54pm


Tidak sampai 24 jam selepas diumumkan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas, calon PAS Dr Zulkefli Mohamad menjadi sasaran media rasmi Umno - Umno Online - yang melaporkan bahawa beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan 'isterinya' sekarang, Ramelah Mat Jusoh.
Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, sebaliknya menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

"Fitnah semata-mata, - boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia," katanya dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Selain mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap berkhalwat, Umno Online juga memperlekehkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini mengenakan syarat untuk menjadi calon adalah bukan perokok dengan memberikan gambaran seolah-olan beliau adalah perokok.

"Saya tidak merokok. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang membuat fitnah," kata Dr Zulkefli.

Dr Zulkefli diumumkan sebagai calon PAS oleh Nik Aziz di Gua Musang malam semalam.

Beliau adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008 tetapi tewas.

Berusia 44 tahun, Dr Zulkefli merupakan anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

Beliau adalah lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992.

Dr Zulkefli mengendalikan klinik sendiri di Chiku 3, Gua Musang.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, dengan mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman 3,753 undi.

Selain Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, turut hadir di majlis pengumuman calon tersebut ialah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang atau 16.35 peratus




Mohon maaf dan lantik penasihat syariah, kata Asri
Okt 22, 10 5:46pm

Mereka yang terlibat dengan penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, 9 Ogos lalu perlu membuat permohonan maaf kepada umat Islam kerana tindakan mereka itu adalah satu penghinaan kepada Islam, kata bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Sama sekali ia tidak Islamik. Penganjur amat salah jika menyangka Islamic design dan Islamic fashion hanya berkaitan dengan penonjolan tulisan yang berunsur Islamik tanpa memahami soal etika dan hukum-hakam syarak,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun tidak menamakan sesiapa, namun kenyataan Dr Asri itu merujuk kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik dan juga orang perseorangan yang membidas tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung yang Festival Busana Muslim itu.

“IFF boleh memberikan gambaran salah yang serius mengenai pakaian dalam Islam. Ia juga melambang kecelaruan fikiran mereka yang terlibat.

“Islam tidak menghalang fesyen untuk wanita, tetapi mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Penganjuran fesyen pakaian itu tidak salah, tetapi konsep dan pengisiannya IFF itu salah disebabkan tidak memahami prinsip dan etika dalam hal ini,” katanya.

Menurut Dr Asri, adalah bahaya untuk isteri pemimpin utama negara Islam terlibat dengan hal-hal yang seperti itu kerana ia akan memberikan mesej Islam yang salah kepada dunia.

“Apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting. Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan.

“Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya muslim,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Asri yang kini di Doha, Qatar mencadangkan kepada mereka yang berminat menganjurkan pertunjukan fesyen Islam supaya mewujudkan penasihat syariah terlebih dahulu.

“Mereka boleh menjemput ilmuwan yang lebih terbuka dan fleksibel tetapi mengikut prinsip-prinsip umum syarak,” katanya lagi.

Pada festival di Monte Carlo itu, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.
Rosmah, pada pembukaan majlis itu dilaporkan berkata Fesyen busana Muslim kian pesat berkembang menjadi perniagaan menguntungkan dengan pasaran semasa kini dianggarkan bernilai lebih US$96 bilion (RM302 bilion) setahun.Bernama juga melaporkannya sebagai berkata: "Festival Fesyen Islam ini sebenarnya bertujuan memberi noktah kepada kelaziman bahawa wanita Islam tidak mempunyai citarasa gaya.

“Sebaliknya, pakaian berkonsepkan Islamik mempunyai gaya yang tersendiri, dan hari ini ia mulai menarik semakin lebih banyak perhatian, kerana trend arus perdana semakin menjadi tidak senonoh, mengghairahkan dan provokatif, tidak menarik kepada lebih ramai pengguna konservatif," katanya





Politik baru Najib gema tak bersahut?
Salhan K Ahmad
Okt 22, 10
9:43pm


Seruan untuk mengamalkan model politik baru yang dinyatakan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak nampaknya belum menampakkan kesan sekiranya perbahasan daripada para perwakilannya menjadi ukuran.

Najib semalam dilihat cuba mententeramkan anggotanya supaya lebih banyak bersabar dan jangan takut dengan sebarang usaha untuk mengikis hak dan keistimewaan Melayu.

Namun, seruan tersebut seolah-olah disanggah oleh para perwakilan, seperti yang disuarakan wakil Negeri Sembilan Datuk Jalaludin Alias.

Berucap ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden itu, Jalaludin mempersoalkan - takkanlah isu seperti itu tidak dapat dibincangkan di rumah Umno sendiri?

Bagaimanapun, pertentangan paling jelas ke atas seruan Najib itu dilihat daripada wakil Melaka Datuk Hasnoor Sidang Husin.

Beliau menyalahkan warga bukan Melayu kerana tidak berminat untuk memastikan golongan Bumiputera mencapai sasaran ekuiti 30 peratus bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Hasnoor yang 'mencabar' Najib supaya melaksanakan DEB "tanpa kompromi" juga berkata, warga bukan Melayu bukan saja tidak membantu malah mempertikaikan dasar tersebut.

Najib dalam ucapan dasarnya telah menggariskan bahawa hak untuk Bumiputera telah dilindungi perlembagaan negara manakala Raja-raja Melayu tidak akan mudah memberi perkenan untuk meminda peruntukan berkenaan.

"Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung," katanya.

Begitu juga usaha yang dilakukan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kedua-duanya dilihat cuba memperbaiki hubungan antara kaum di negara ini melalui perubahan di dalam Umno.

Berucap ketika merasmikan perhimpunan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri, Muhyiddin menyampaikan mesej yang jelas -- retorik kaum dan laungan yang biasa bergema di PWTC itu perlu dihentikan kali ini.

Perubahan dalam Umno ini sangat penting kerana, menurut seorang pengamal media, liputan ke atas perjalan perhimpunan agung ini lebih penting daripada membuat liputan kabinet.

Sebagai parti yang mewakili keanggotaan kelompok masyarakat paling besar di negara ini, apa saja yang perubahan yang berlaku dalam parti itu pasti akan mengubah lanskap politik negara


Penyokong Facebook anti-menara melepasi 100,000
Okt 22, 10 8:13pm

Sebuah laman Facebook untuk membantah rancangan pembinaan menara 'Warisan Merdeka' setinggi 100 tingkat di ibunegara, mendapat sokongan lebih 100,000 peminat dalam masa tidak sampai seminggu.

Laman '1M Malaysia Reject 100-story Mega Tower' yang diwujudkan Sabtu lalu - sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan projek bernilai RM5 bilion itu dalam ucapan bajet 2011 - telah mengumpulkan 101,327 penyokong sehingga jam 9.50 malam ini.

Ia mensasarkan satu juta penyokong dalam beberapa minggu akan dataang.

Pertambahan jumlah penyokong itu merupakan petunjuk peningkatan kritikan rakyat Malaysia yang mahu wang tersebut dibelanjakan untuk tujuan lain.

anti mega tower facebook group 191010 01
Bangunan Warisan Merdeka' itu akan menjadi menara tertinggi di Malaysia, jauh melebihi ikon Petronas - Menara Berkembar setinggi 88 tingkat yang siap dibina pada 1998 - dan pernah menjadi yang tertinggi di dunia.

Dua hari lalu, pencipta laman tersebut, yang tidak mahu namanya disiarkan, menuduh Facebook menyekat akses ke laman tersebut.

Mereka mengatakan disekat daripada meletakkan sebarang mesej.

Bagaimanapun, akses mereka dipulihkan setelah laman itu dikategorikan semula oleh Facebook sebagai laman komuniti dan bukannya laman peminat.

Menurut Facebook, laman peminat hanya boleh mewakili individu, jenama atau organisasi tertentu.

Tetapi pemilik laman anti-menara itu bertegas bahawa mereka memang dari mula lagi, telah mendaftarkannya sebagai laman komuniti.

Dua laman Facebook pro-menara


Sementara itu, terdapat dua laman Facebook pro-menara - 'Kami Sokong Menara Warisan' - dengan 251 penyokong, dan 'I See the Benefits of PNB's 100-story Tower' dengan 38 penyokong.

Rancangan untuk projek mega itu, yang akan dibina dan dibiayai oleh syarikat kaitan kerajaan - Permodalan Nasional Bhd (PNB) - terdiri daripada tiga fasa dan dijadual siap pada 2020




Festival busana: NGO, pelajar Islam kecam Rosmah
Okt 22, 10 10:07am


Semakin ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik dan juga orang perseorangan tampil membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW pada penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, 9 Ogos lalu.

Antaranya, bahagian hal ehwal wanita, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang berpandangan bahawa isu penjagaan aurat dan hijab adalah vital jika masyarakat mahu membicarakan tentang fesyen Islam.

“Justeru, HELWA ABIM merasa sangat kecewa dan terkilan dengan interpretasi fesyen Islam yang gagal dihayati dan difahami secara keseluruhannya, khususnya menyentuh isu penjagaan aurat yang menjadi elemen terpenting dalam penghayatan Islam secara keseluruhannya.

“Malah apa yang dipotretkan kepada masyarakat sewaktu penganjuran Islamic Fashion Festival ini nyata jauh tersasar dan mengelirukan masyarakat Islam sendiri malah serta merupakan unsur-unsur penghinaan terhadap Islam dengan jelas,” kata naib presiden Helwa, Fadhlina Siddiq dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, menutup aurat dan hijab adalah lambang wanita Islam dan ia bukan pakaian bermusim untuk pesta-pestaan serta bukan pakaian untuk melambangkan siapa yang lebih Islamik.

Dipesta-pestakan

“Andai wanita Islam jelas tentang konsep dan anjuran syariat tentang kewajipan menutup aurat, tidak timbul soal fesyen Islam yang berterusan mahu dipesta-pestakan sedangkan ia jelas bertentangan dengan syariat dan sama sekali terpesong dari fahaman esensi kepentingan menutup aurat yang sebenar,” katanya lagi.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) juga menyatakan rasa kesal dengan penganjuran Festival Busana Muslim yang didakwanya jelas menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, pemikiran sempit itu semakin mencelarukan kefahaman muda-mudi terhadap Islam itu sendiri sehinggakan terdapat pemikiran Islam ala pemerintah Malaysia sekarang dan yang dituntut di dalam Al-Quran sendiri.

"GAMIS mengecam sekeras kerasnya tindakan Rosmah Mansor yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad SAW apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.

"Sangat mendukacitakan jika rakyat Malaysia khususnya umat Islam masih tidak tersedar dan sensitif akan isu ini. Dulu umat Islam sangat sensitif terhadap isu murtad, kita juga berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark.

"Kita juga tidak terlepas menyertai perarakkan Maulidur Rasul, menyatakan sayangnya kita kepada Rasulullah, tetapi ini juga satu bentuk penghinaan terhadap Rasulullah, dan kita perlu bantah serta bertegas dengan mereka yang menganjurkannya" katanya.

Turut membidas penganjuran Festival Busana Muslim itu adalah Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak yang menyatakan ia tidak wajar dilaksanakan kerana unsur dan konsep fesyen Islam yang dianjurkan oleh Rosmah tidak diperhalusi setiap tindakan yang dibuat.

Nasihat mufti?

“Adakah pesta ini telah dirujuk atau mendapat nasihat daripada mufti-mufti atau penasihat agama?

“Persoalan yang timbul seterusnya pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan pesta ini turut serta atau tidak dalam memastikan pesta yang dianjurkan ini benar-benar mengikut landasan yang digariskan oleh syarak,” kata presidennya Mohd Syahid Mohd Zaini.

Menurut beliau, pesta fesyen yang secara zahirnya yang dianggap nampak Islamik tetapi fesyen pakaian yang dikenakan oleh isteri perdana menteri tidak mengikut cara Islam semasa merasmikan IFF tersebut.

“Kami di peringkat mahasiswa menuntut penjelasan daripada isteri perdana menteri berkenaan perkara ini dan sehubungan itu pihak NGO Islam juga mesti selidik secara terperinci akan hal ini,” kata mmahasiswa Universiti Malaya itu.

Turut membidas tindakan Rosmah, selaku penaung festival busana itu adalah Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (Ilmam).

Ilman: Jangan jadi 'syaitan bisu'

Dalam satu kenyataan, presidennya, Mohd Azizul Hisham Zulkifli berkata seluruh umat Islam perlu membantah dan mencela IFF ini dan tidak menjadi 'syaitan bisu'.

“Adakah kita puas melihat Islam dipermainkan begitu sahaja dan banyak lagi syubhat-syubhat yang telah dimainkan oleh musuh Islam untuk menghancurkan maruah Islam?

“Ilman melahirkan satu kebimbangan terhadap kepimpinan negara yang tidak prihatin terhadap isu ini. Ini secara jelas adalah satu perancangan jahat musuh Islam untuk merosakkan pemikiran umat Islam di mana sahaja mereka berada.,” katanya dalam satu kenyataan

Katanya, Ilman juga menyeru agar pihak yang terlibat agar segera bertaubat dan tidak lagi mengulangi kemungkaran ini.

Semalam, dewan pemuda PAS pusat mengumumkan akan berhimpun secara aman di masijid-masid tertentu di seluruh negara, hari ini selepas solat Jumaat sebagai membantah tindakan Rosmah didakwa menghina syariat Islamitu.

"Saya akan mengetuai bantahan terhadap Rosmah di Masjid Sultan Ahmad Shah di Kuantan manakala di Masjid kampung Baru (di KualaLumpur) akan diketuai oleh Kamaruzaman Mohamad (exco pemuda PAS)," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.Menurut beliau, tindakan Rosmah selaku penganjur majlis itu sesuatu yang keterlaluan.

Pada festival itu, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik didakwa diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan