Jumaat, 15 Oktober 2010

DUNIA MEMANG BEGINI...AKHIRAT MENANTI UNTUK DIADILI....MAKA BERHATI2LAH DIDUNIA....

Bunuh Sosilawati: 2 pekerja ladang dipenjara 7 tahun
Okt 15, 10 12:23pm

Dua lelaki hari ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Datok di Banting atas tuduhan melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, yang masing-masing menghadapi empat pertuduhan melupuskan bahan bukti, didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.

Mereka merupakan antara lapan orang yang ditahan di antara 9 dan 12 September lalu bagi membantu siasatan polis berikutan laporan kehilangan Sosilawati pada 30 Ogos lalu.

Sarawanan dituduh menghilangkan bukti itu dengan membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Beliau yang merupakan seorang bekas mekanik didakwa membakar mayat keempat-empat mangsa itu di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat Banting pada 30 Ogos lalu antara 9.45 malam dan 12.00 tengah malam.

Suresh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap pula didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 31 Ogos lalu antara 8 pagi hingga 10 pagi.

Mereka berdua didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelakkan empat-empat tertuduh di dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain daripada tindakan undang-undang.

Rabu lalu, peguam N Patmanabhan, 41, pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.

- Bernama




'Rosmah, tiada jawatan rasmi tapi berlagak menteri'
Okt 15, 10 10:36am

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin membidas cadangan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor supaya pusat bersepadu bagi membantu golongan remaja perempuan yang melahirkan bayi tanpa berkahwin ditubuhkan, lapor Suara Keadilan.

Ini kerana menurut Zuraida (kanan), tindakan Rosmah itu dilihat mahu mengambil alih tanggungjawab serta memperlekehkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dam Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil.

"Saya hendak cakap pun tak faham, apakah sebenarnya peranan Rosmah. Beliau menteri atau isteri Perdana Menteri ke, apa jawatan rasmi beliau yang sebenarnya?

"Cadangan beliau menunjukkan beliau ingin campur tangan dalam kementerian dan urusan kerajaan, dia tidak ada apa-apa latar belakang maklumat mengenai masalah tersebut tiba-tiba nak bagi idea yang sebegini. Ini adalah satu perkara yang 'adhoc'.

"Sebarang cadangan sekali pun, Rosmah perlu berbincang dengan pihak kementerian yang berkenaan dan bukannya berlagak seperti mahu ambil alih tugas menteri dan campur tangan dalam pentadbiran negara," kata Zuraida.

Zuraida berkata Rosmah seolah-olah mencerminkan kepada rakyat bahawa Shahrizat tidak menjalankan tugasnya sebagai anggota jemaah menteri.

"Kalau macam ini baik tutup sahaja kementerian Shahrizat dan letak sahaja tanggungjawab ini di bawah Rosmah," sindir beliau lagi.

Semasa di Belgium mengiringi Datuk Seri Najib Razak, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Kelapan di Brussels, Rosmah telah melawat "Centre of Integrated Family Welfare" (CIG) untuk mendapatkan input bagi menangani masalah pembuangan bayi .

Pusat itu ditubuhkan oleh kerajaan Belgium dengan bertujuan mendekatkan lagi perhubungan ibu dengan anak di mana remaja yang tidak berkahwin akan diberikan latihan bagi menjalankan kehidupan seperti biasa.

Lawatan Rosmah ke CIG itu telah dibidas Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad (atas, kanan) yang menyifatkan seolah-olah kerajaan hilang punca dan kontang idea untuk mengatasi gejala berkenaan.

Idris berkata tindakan Rosmah itu ibarat memohon sedekah dan ehsan daripada orang lain, sedangkan Islam mempunyai penyelesaiannya yang jitu terhadap masalah ini



Pilihan raya Batu Sapi serentak dengan Galas
Okt 15, 10 11:35am

Tarikh pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi di Sabah akan diadakan serentak dengan pilihan raya kecil dewan undangan negeri Galas iaitu pada 4 November ini.

Manakala tarikh penamaan calon juga diadakan pada hari yang sama, iaitu 26 Oktober ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff.

Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat pagi ini, katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya.
Abdul Aziz berkata keputusan itu berdasarkan faktor undang-undang tidak melarang berbuat demikian dan pengalaman SPR sebelum ini yang mengadakan pilihan raya kecil secara serentak di tiga tempat iaitu di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai tahun lalu.

Beliau berkata jika dijalankan serentak, tempoh untuk mengadakan pilihan raya kecil itu menjadi pendek berbanding secara berasingan, sekali gus menjimatkan masa, perbelanjaan SPR dan mengurangkan ketegangan.

Katanya selain itu, SPR melihat tarikh berkenaan sebagai yang terbaik memandangkan faktor ruang yang terhad berikutan banyak peristiwa berlaku menjelang hujung tahun seperti sambutan perayaan Deepavali, Aidiladha, sidang DUN Sabah, awal Muharram, peperiksaan SPM.

"Dan yang paling penting, Sabah telah menyatakan kesediaannya untuk menghadapi pilihan raya kecil.
"Sebanyak 25,582 pemilih yang melibatkan 24,047 pengundi biasa dan 1,535 pengundi pos layak mengundi dalam pilihan raya ini," katanya.

Beliau berkata dua DUN di kawasan Parlimen Batu Sapi iaitu masing-masing Sekong dan Karamunting, mempunyai 11,321 dan 14,261 pengundi.

Menurutnya, daftar pemilih yang digunakan adalah Daftar Pemilih Induk 2009 dan digabungkan bersama dengan daftar pemilih suku tahun pertama dan kedua tahun ini yang dikemaskini pada 9 Oktober lalu.

Menurut Abdul Aziz lagi, Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan Mohamad Hamsan Awang Supain telah dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan beliau akan dibantu oleh empat penolong pegawai pengurus.

"Sebanyak 45 saluran akan dibuka manakala 405 petugas telah dilantik bagi mengendalikan perjalanan pilihan raya ini," kata Abdul Aziz.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, 9 Oktober lalu.

Mendiang menduduki kerusi itu sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah - menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.SPR, menurut Abdul Aziz menjangkakan pengumuman keputusan akan dibuat serentak bagi kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan iaitu kira-kira jam 8 malam



Empat pemimpin JMM ditahan polis
Abdul Rahim Sabri
Okt 15, 10
3:47pm


dikemaskini 4.00pm Empat pemimpin Jaringan Melayu Malaysia (JMM), termasuk yang dipertuanya, Azwandin Hamzah ditahan polis di hadapan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq Bangsar selepas solat Jumaat hari ini.

Mereka dijadual untuk mengadakan perhimpunan anti sebuah portal berita - Malaysian Insider.

Tiga lagi pemimpin JMM yang ditahan ialah naib yang dipertuanya, Omar Salleh; setiausahanya, Tengku Sani Tengku Amalluddin dan bendaharinya, Yusof Mahmud.

Mereka dibawa ke ibupejabat polis Brickfields untuk memberi keterangan mengenai tujuan mereka berhimpun di situ.

Mereka dibebaskan kira-kira jam 4 petang tadi.

Sebelum itu, anggota polis dilihat menghampiri Tengku Sani yang sedang berdiri di persimpangan lampu isyarat di depan masjid tersebut, sambil membawa pembesar suara.

Ketika dia sedang disoal oleh anggota polis, Azwandin pula datang, difahamkan, untuk bertanya apa yang berlaku.

Para wartawan dan jurugambar turut menghampiri mereka. Azwandin kedengaran meminta polis memberi alasan mengapa mereka tidak boleh berkumpul di situ.

Polis kemudiannya meminta Azwandin menunjukkan kad pengenalannya, tetapi pada mulanya beliau enggan berbuat demikian.

Selepas arahan sebanyak tiga kali diberikan, akhirnya beliau akur dengan arahan tersebut.

Tidak lama selepas itu, kedengaran arahan supaya pembantunya ditahan, menyebabkan mereka berpautan bagi mengelak ditahan polis.

Kemudiaan beberapa anggota polis membawa pembantu Azwandin masuk ke dalam kereta poranda polis.

Azwandin juga turut ditahan sejurus kemudian dengan tangannya digari.

Beliau juga dimasukkan ke dalam kereta peronda yang sama dan kedua-duanya kemudiannya dipercaya dibawa ke balai polis.

Insiden itu menarik perhatian para jemaah yang baru selesai mengerjakan solat Jumaat.

Berikutan itu, perhimpunan anti Malaysian Insider yang diwar-warkan sebelum itu, tidak berlaku.

Sebelum itu, kira-kira 20 anggota polis kelihatan mengawal lalulintas dan sekitar masjid tersebut ketika jemaah bersolat Jumaat.

Anggota polis juga kelihatan di hadapan bangunan UOA yang terletak tidak jauh dari masjid tersebut, yang menempatkan pejabat Malaysian Insider.

Sementara itu, Tengku Sani ketika dihubungi Malaysiakini petang ini berkata mereka memberi kerjasama sepenuhnya ketika memberi keterangan kepada pihak polis.

Katanya, mereka dibebaskan dengan jaminan polis.




Ku Li tolak jadi calon Galas
Abdul Rahim Sabri
Okt 15, 10
12:40pm


Tengku Razaleigh Hamzah menolak cadangan Umno bahagian Gua Musang - yang mengadakan mesyuarat khas petang semalam - supaya bertanding sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas 4 November ini.

Cadangan tersebut dikemukakan oleh ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Ghani dan disokong oleh ahli jawatankuasa bahagian yang menghadiri mesyuarat khas itu di pejabat Umno bahagian selama kira-kira dua jam mulai 5 petang.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mat Yusoff mengesahkan beliau membuat cadangan tersebut dan mendapat sokongan para AJK bahagian.

Bagaimanapun, katanya, Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang dan ketua bahagian berkenaan, meminta mereka memilih calon lain daripada beliau dan dua ADUN dalam Parlimen Gua Musang - Nenggiri dan Paloh.

Mat Yusoff berkata, mesyuarat khas itu turut meneliti senarai calon yang dicadangkan oleh kalangan AJK bahagian, yang turut mengandungi nama Tengku Razaleigh.

Katanya, turut dijemput menghadiri mesyuarat khas petang semalam termasuk di kalangan wakil kerajaan, pegawai lantikan politik, penggawa di bahagian berkenaan.

"Tengku Razaleigh telah memberi kebebasan kepada AJK bahagian untuk menentukan calon BN di Galas.

"Dan calon pilihan mereka itu akan diserahkan kepada pihak pusat untuk diputuskan.

"Beliau kata walaupun perdana menteri mahu beliau (Tengku Razaleigh) sendiri yang memilih calon, tetapi beliau mahu perdana menteri yang memutuskannya," katanya.

Menurut Mat Yusoff lagi, senarai calon tersebut turut diedarkan kepada mereka yang menghadiri mesyuarat khas semalam untuk mencadangkan calon yang sesuai.

"Dua tiga hari lagi kita tahulah keputusannya," tambah beliau.Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang. Kerusi tersebut kosong selepas kematian ADUN dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September, kerana barah usus.

Che Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 dengan mengalahkan Mohd Saufi Deraman dari BN, dengan majoriti 646 undi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan