Jumaat, 24 September 2010

undang-undang jenayah syari'ah

Pembunuhan Sosilawati: Mencari keadilan menurut undang-undang jenayah syari'ah |
Nasrudin Hassan At Tantawi
MUKADIMAH

Kes jenayah semakin menjadi-jadi di negara kita. Peristiwa pembunuhan Dato’ Sosilawati bersama beberapa orang yang lain antara peristiwa jenayah yang paling menggemparkan yang bukanlah jenayah pembunuhan episod pertama di dalam negara kita dan juga pastinya bukanlah yang terakhir. Peristiwa yang cukup mengejutkan apabila penjenayah terbabit dikaitkan dengan beberapa siri jenayah pembunuhan yang belum dapat diselesaikan sebelum ini. Ini menunjukkan betapa banyaknya kes jenayah pembunuhan yang tidak mampu dibongkar di negara ini. Persoalan yang perlu difikirkan bersama ialah, sampai bilakah jenayah melibatkan pembunuhan akan berakhir dan adakah ianya akan menjadi kebiasaan sebagaimana kes-kes kecurian, pecah rumah dan rompakan bersenjata?

ASPEK PENILAIAN.

Antara aspek yang perlu difikirkan bersama ialah aspek perundangan. Ini kerana, perundangan antara aspek yang memberikan kesan pertambahan dan pengurangan jenayah itu sendiri. Setelah polis berjaya menangkap penjenayah setelah berhempas pulas mempertaruhkan nyawa dan jiwa mereka, ianya akan diserahkan kepada mahkamah untuk dibicarakan. Apabila dibicarakan, akhirnya hakim akan membuat keputusan berdasarkan ruang lingkup perundangan yang sedia ada, bukan menurut kehendak dan keinginan hakim itu sendiri. Di sinilah titik terakhir dalam proses penyelesaian kes-kes yang melibatkan jenayah. Jika ia berjaya, maka mangsa jenayah akan terbela, penjenayah akan insaf dan serik, penjenayah yang belum ditangkap berhenti daripada aktiviti jenayah mereka bahkan menjadi penamat bagi kelahiran bakal-bakal penjenayah yang baru.

Di samping kecekapan anggota keselamatan serta sistem kawalan keselamatan individu yang perlu dikaji dan dipertingkatkan, DPPP merasakan bahawa undang-undang yang menjadi titik penamat bagi sesuatu kes jenayah adalah amat penting untuk dinilai bersama. Jika undang-undang berjaya menjadi pendidik, pengancam dan pencegah jenayah, maka pihak polis tidak perlu bertungkus lumus mempertaruhkan jiwa dan nyawa mereka serta meletakkan isteri, anak-anak dan keluarga mereka di dalam kebimbangan.

Begitu juga halnya dengan hakim, peguam-peguam dan seumpamanya. Mereka juga bukanlah golongan yang bertanggungjawab sepenuhnya apabila penjenayah yang mereka jatuhi hukuman tidak serik atau hukuman itu tidak menginsafkan atau tidak mencegah jenayah baru daripada berlaku sekalipun sudah terlalu banyak penjenayah dijatuhkan hukum. Ini kerana, mereka tidak boleh menjatuhkan hukuman sesuka hati mereka justeru mereka juga terikat dengan undang-undang yang sedia ada, khususnya sistem kehakiman dan undang-undang itu sendiri.

Oleh itu, penting untuk dibuat penilaian terhadap sistem kehakiman dan undang-undang negara supaya ianya lebih berperanan dan lebih berkesan di dalam menurunkan atau mengsifarkan kadar jenayah. Atau dengan kata lain, lebih bersifat mencegah daripada berlaku, menginsafkan yang dah dilakukan, membela keluarga mangsa dan mengamankan negara, iaitu ciri-ciri perundangan Syari’ah Islam.



HUDUD DAN QISAS SEBAGAI PERBANDINGAN.

Alternatif dan perbandingan yang boleh kita fikirkan bersama ialah berkenaan Hudud dan Qisas yang sudah terbukti keberkesanannya di dalam bukan sahaja menyelesaikan masalah jenayah, bahkan mencegahnya daripada berlaku. Sekalipun pada hari ini hukum itu sudah tidak wujud di negara kita dan dunia amnya, tetapi penamatan perlaksanaannya bukan kerana terbukti kegagalannya, tetapi akibat daripada penjajahan yang ‘memaksa’ untuk merubah sistem perundangan tersebut kepada sistem mereka.

Berterusan di dalam mempertahankan undang-undang konvensional yang terbukti kegagalannya di dalam mencegah jenayah membuktikan bahawa sebenarnya kita masih berada di dalam minda penjajahan. Kegagalan undang-undang penjajah sudah cukup terbukti dan sepatutnya sekaranglah masa sesuai untuk berfikir undang-undang terbaik yang berkesan mengatasi jenayah. Saranan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru, tetepi telah diluahkan oleh beka Ketua Hakim negara, Tun Ahmad Fairuz Syeikh Abdul Halim yang pernah menyifatkan penggunaan Common Law hanya menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah. Beliau tidak berseorangan di dalam cadangan ini, bahkan juga turut disertai oleh Peguam Negara, Tan Sri Abd. Ghani Patail. Beliau pernah berkata bahawa undang-undang Syari’ah adalah yang terbaik kerana ia menekankan kepada keadilan dan pembahagian hak yang sama.

Penerimaan undang-undang Syari’ah pada hari ini sudah semakin tersebar hanya di negara kita, tetapi sehingga ke negara barat sendiri. Pernah seorang paderi bernama Dr Rowan Williams telah meminta agar Undang-undang Syari’ah dilaksanakan di Barat. Rowan adalah Archbishop Canterbury iaitu pemimpin terhadap 77 juta pendokong Anglican di seluruh dunia. Tapi, beliau tiada kuasa untuk menjadikan 38 bishop bawahannya akur di bawah kekuasaannya. Sekalipun undang-undang Syari’ah yang dicadangkannya bukanlah qisas yang sedang kita perbincangkan, tetapi ianya menunjukkan bahawa undang-undang Syari’ah adalah undang-undang yang relevan untuk dilaksanakan bukan sahaja di dalam negara umat Islam seperti di Malaysia, bahkan di Britain yang merupakan negara rujukan kepada undang-undang negara kita. Tetapi disebabkan oleh penyakit Islamfobia, maka akhirnya pintu cadangan yang telah dibuka oleh Dr Rowan tersebut ditutup tanpa perbahasan dan pengkajian yang lebih mendalam.

Oleh itu, kita sebagai sebuah negara merdeka, merdeka tubuh badan dan pemikiran sepatutnya kita bersedia untuk keluar dari kepompong tersebut untuk kita mula memikirkan alternatif kepada undang-undang pada hari ini. Antaranya ialah, dengan kita membuka minda kita terhadap undang-undang jenayah Syari’ah, khususnya Qisas yang relevan untuk diaplikasikan dalam kes seperti pembunuhan Dato’ Sosilawati. Di sini kita akan dapat lihat dengan jelas perbezaan-perbezaan asas yang penting di antara undang-undang Syari’ah Qisas dan undang-undang yang sudah sedia di amalkan, iaitu perbezaan dari sudut pendakwaan dan penyiasatan, penghukuman dan perlaksanaan dan juga pengampunan dan pampasan.



PENDAKWAAN DAN PENYIASATAN.

Di dalam undang-undang Syari’ah, kes pembunuhan lebih bersifat hak individu. Ini bermaksud, apabila berlaku jenayah yang membabitkan kematian, maka hak untuk mendakwa dan menyiasat adalah hak yang dipunyai oleh keluarga si mangsa. Oleh itu, para keluarga si mangsa berhak membuat pendakwaan sendiri jika mereka berkemampuan, atau melantik pihak lain yang berkemampuan. Jika keluarga si mangsa tidak mampu untuk membuat pendakwaan seperti tiada kepakaran atau kebolehan serta tidak mampu untuk mencari pihak yang boleh mewakili mereka disebabkan kos atau seumpamanya, maka pendakwaan itu menjadi kewajipan ke atas pihak pemerintah bagi pihak keluarga mangsa.

Dalam keadaan keluarga si mangsa tidak mampu untuk menjalankan penyiasatan dan pendakwaan secara bersendirian, maka pihak kerajaan wajib memainkan peranan membantu keluarga si mangsa. Ketidakmampuan ini termasuklah seperti ketidak upayaan untuk menanggung kos siasatan, seperti kos membuat forensik berkaitan keesahan tandatangan yang boleh mencecah RM2000, kos selaman dan lain-lain. Tuntasnya, leader siasatan ialah keluarga mangsa, manakala kerajaan pula wajib membantu aspek-aspek yang tidak diupayai oleh keluarga si mangsa.

Firman Allah swt bermaksud: dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia Yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak). – (Al-Israa’: 33).

Dalam konteks perundangan di Malaysia pada waktu ini, ada baiknya kuasa mutlak Peguam Negara untuk mendakwa itu diintegrasikan dengan keluarga mangsa, di mana Peguam Negara perlu mendapatkan pandangan keluarga si mangsa sebelum meneruskan pendakwaan. Ini adalah sebagai pendekatan yang lebih adil dan perubahan mampu yang paling dekat boleh dilaksanakan, sekalipun ia tidak seratus peratus bertepatan dan seadil hukum Islam.

Dalam sistem hari ini jelas boleh membuka pintu penyelewengan khususnya apabila penjenayah melibatkan golongan atasan yang mempunyai kuasa politik, atau pihak yang korup terlibat di dalam pendakwaan dan seumpamanya. Maka kes-kes jenayah berat seperti ini boleh diabaikan begitu sahaja, atau akan tertangguh sehingga tempoh yang tidak berkesudahan.

Jika perlaksanaan undang-undang Syari’ah ini, maka kes Memali tidak akan bertangguh begitu lama, keluarga mendiang Al-Tantuya akan pulang dengan hati lebih puas dan juga nescaya isu kepada punca kematian Teoh Beng Hok tidak akan berbangkit.

Tetapi di dalam realiti hari ini, keluarga si mangsa bukan setakat tidak mempunyai hak pendakwaan bahkan tiada hak untuk akses maklumat berkaitan kes, tidak sebagaimana di dalam hukum Syari’ah Islam.

PENGHUKUMAN DAN PERLAKSANAAN.

Apabila si tertuduh di dapati bersalah, maka hak untuk menjatuhkan hukuman adalah merupakan hak keluarga si mangsa. Menurut hukum Syari’ah, jika si mangsa mati dibunuh oleh seseorang penjenayah, maka keluarga mangsa sendiri berhak untuk menjatuhkan hukuman balas terhadap penjenayah terbabit. Firman Allah swt bermaksud: maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. – (Al-Israa’: 33).

Jika pembalasan balik terhadap penjenayah tidak mampu dilakukan sama seperti yang dilakukan, keluarga mangsa berhak membalas dalam bentuk yang lebih minimum. Islam tidak membenarkan pembalasan yang dilakukan oleh keluarga mangsa melebihi perbuatan jenayah yang telah dilakukan oleh si penjenayah bagi memastikan hak keadilan si penjenayah juga mesti dipelihara. Firman Allah swt: oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. – (Al-Baqarah: 194),

Seringkali apabila kita bercerita tentang cara hukuman di laksanakan di dalam Islam, umum seolah-oleh melihat Islam itu keras. Tetapi sebenarnya apabila dibandingkan dengan jenayah yang dilakukan, kesakitan yang dirasakan oleh mangsa, kesan kepada masyarakat dan bebanan yang dipikul oleh keluarga, maka kita akan melihat hukuman itu cukup adil. Justeru itu, masyarakat tidak perlu fobia dengan hukuman ini kerana hukuman ini bukan dijatuhkan kepada mereka yang tidak bersalah, tetapi hukuman ini adalah setimpal dijatuhkan kepada mereka yang melakukan kesalahan membunuh, satu jenayah berat yang boleh meletakkan masyarakat di dalam ketakutan.

Bagi keluarga mangsa, tentulah cara Islam ini lebih dicenderungi justeru ia boleh mengubat perasaan dendam dan perasaan tidak puas hati terhadap penjenayah yang menjadi punca kepada kehilangan orang yang tersayang atau individu yang menjadi tempat pergantungan hidup jika si mangsa adalah bapa kepada keluarga terbabit.

Apabila keluarga mangsa tidak mampu melaksanakan hukuman tersebut, maka ia boleh mewakilkan kepada pihak kedua atau mewakilkan kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan hukuman ini.

PENGAMPUNAN DAN PAMPASAN.

Setelah si penjenayah di dapati bersalah, jika keluarga si mangsa menuntut pembalasan untuk membunuh balas, maka tidak ada pihak termasuk kerajaan atau Khalifah yang boleh memberikan keampunan dan pembebasan si penjenayah.

Dalam masa yang sama, keluarga mangsa juga berhak untuk memberikan pengampunan kepada si penjenayah sama ada pengampunan yang bersyaratkan pampasan atau dikenali sebagai Diat menurut istilah Fiqh Islam, atau pengampunan tanpa apa-apa balasan.

Apabila keluarga si mangsa memberikan pembebasan dan pengampunan kepada si penjenayah dan menuntut wang pampasan Diat, maka wang itu hanya berhak diterima oleh keluarga si mangsa, bukan pihak yang lain. Firman Allah swt yang bermaksud: maka sesiapa (pembunuh) yang mendapat keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. – (Al-Baqarah: 178)

Kerajaan menurut Syari’ah Islam, adalah dilarang keras memberikan keampunan kepada si penjenayah tanpa izin daripada keluarga mangsa dan mengambil wang bayaran tertentu daripada si penjenayah tanpa diberikan kepada keluarga mangsa. Ini di istilahkan sebagai Suhtun, iaitu wang keampunan bagi mengabaikan hak keluarga mangsa. Suhtun dianggap seperti rasuah, iaitu kerajaan menerima bayaran daripada penjenayah, membebaskannya serta melindunginya daripada balas dendam keluarga mangsa.

Dengan kata lain, jika seseorang pembunuh yang di dapati bersalah diampunkan oleh lembaga pengampunan, jika keluarga mangsa masih tidak berpuas hati dan seterusnya mengambil tindakan membunuh atau mencederakan si penjenayah tadi, maka keluarga si mangsa pula akan menerima hukuman akibat perbuatan membalas dendam tersebut. Oleh itu, Islam menganggap ianya adalah bentuk rasuah, tetapi mengistilahkannya sebagai Suhtun, iaitu istilah khusus bagi pembayaran wang yang melibatkan kezaliman, sebagaimana tafsiran Ibnu Masud yang diriwayatkan oleh Imam Tabari di dalam tafsirnya.

Walau apapun istilahnya, perbuatan mengambil wang oleh kerajaan tanpa izin keluarga mangsa adalah merupakan kesalahan yang besar menurut Islam kerana telah menceroboh hak keluarga si mangsa dan juga bercanggah dengan hak yang diberikan oleh Allah kepada mereka melalui ayat 33, surah Al-Israa’ dan ayat 178 surah Al-Baqarah.

KESAN PERLAKSANAAN HUKUM ISLAM.

Daripada penjelasan di atas, jelas menunjukkan kepada kita kesan daripada perlaksanaan hukum Syari’ah Qisas yang tidak terdapat di dalam undang-undang Inggeris pada hari ini. Antara terpenting ialah:

1. Menutup pintu rasuah: apabila keluarga mangsa adalah pihak yang paling bertangungjawab untuk melakukan pendakwaan dan pengumpulan bukti, maka tidak ada ruang untuk rasuah boleh berlaku. Maka tidak ada ruang untuk orang politik, orang kaya dan orang yang berpengaruh untuk merasuah pendakwaraya, pegawai penyiasat dan seumpamanya, jika kes pembunuhan membabitkan golongan seperti ini. Mereka tidak ada ruang untuk merasuah pendakwaraya kerana pendakwa itu adalah keluarga mangsa yang menuntut pembalasan, mereka tidak ada ruang untuk merasuah pegawai penyiasat kerana pegawai penyiasat adalah lantikan yang dipercayai oleh keluarga mangsa atau penyiasat itu adalah keluarga mangsa sendiri. Cara Islam ini bukan setakat menutup ruang-ruang berlakunya rasuah dan salah guna kuasa, tetapi ia juga dapat menghindari wasangka perlakuan rasuah dan salah guna kuasa.

2. Bebas daripada penipuan dan penyembunyian fakta kes: Setelah diyakini siasatan dan dakwaan bebas daripada rasuah, maka sepastinya ianya akan bebas daripada penipuan dan penyembunyian fakta kes. Ini kerana, apabila pihak yang berhak untuk membuat pendakwaaan dan penyiasatan adalah keluarga si mangsa sendiri sebagaimana disebutkan sebelum ini, maka sudah tentu mereka akan mengorek dan mencari bukti pembunuhan sehingga ke lubang cacing. Kesungguhan mereka sepastinya kesungguhan yang maksimum justeru mangsa adalah orang yang tersayang. Ini berbeza jika penyiasatan pendakwaan dan pencarian bukti dibuat oleh orang lain yang bukan kerabat atau suku sakat kepada si mangsa, sekalipun ianya bergelar kerajaan atau polis. Sepastinya usaha mereka tidak semaksimum usaha yang dilakukan oleh keluarga mangsa itu sendiri.

3. Membela nasib keluarga mangsa: Jika keluarga si mangsa sangat bergantung kewangan dan sumber pendapatan kepada al-marhum atau mendiang dan jika mereka ingin memberikan peluang kedua kepada si penjenayah, maka nasib mereka akan terbela dengan wang Diat pampasan yang diperolehi daripada si penjenayah. Ini secara langsung dapat menjadikan keluarga mangsa terbela, bukan sahaja dari sudut hak tuntutan darah, tetapi ia juga melibatkan pembelaan kewangan.

4. Memuaskan hati keluarga mangsa dan mengelakkan daripada membalas dendam: antara yang terpenting di sebalik undang-undang jenayah Syari’ah ialah, keluarga mangsa akan berpuas hati dengan hukuman dan perlaksanaanya. Istilahnya disebutkan sebagai Al-Jabr di dalam Fiqh Islam. Apabila puas hati berlaku di kalangan keluarga mangsa, maka tidak timbul isu balas dendam terutamanya apabila penjenayah dibebaskan dengan pengampunan bukan keluarga mangsa atau dibebaskan dengan bukti yang keluarga mangsa tidak berpuas hati terhadap bentuk siasatannya.

5. Menghalang golongan yang berkuasa daripada terbebas: apabila jenayah dilakukan oleh mereka yang mempunyai kuasa di dalam negara, seperti pemimpin-pemimpin politik tertinggi di dalam negara, atau mereka yang mempunyai pertalian darah atau pertalian kroni dengan mereka, atau melibatkan pihak polis sendiri atau seumpamanya, maka ruang untuk mereka terlepas adalah terbuka justeru mereka mempunyai kuasa sekalipun secara tidak lansung dengan pihak-pihak yang terbabit dengan pendakwaan. Tetapi di dalam sistem Islam, sistem yang telus dan adil adalah mustahil bagi golongan seperti ini untuk terlepas justeru kuasa pendakwaan, penyiasatan dan penemukaan bukti adalah di bawah kuasa keluarga mangsa sebagai kuasa pendakwa.



KESAN PENCEGAHAN.

Antara yang menjadi Maqasid Syariyyah di dalam perlaksanaan hukum hudud Islam ialah konsep pencegahan. Menurut keyakinan golongan yang beriman, apabila hukuman ini dilaksanakan, maka yang mencegah daripada berlakunya jenayah bukannya hakim, bukannya polis dan bukannya kerajaan, tetapi yang mencegahnya ialah Allah swt. Di sinilah sebenarnya letaknya paksi dan rahsia utama kurangnya jenayah di dalam negara yang mengamalkan hukum Syari’ah.

Ini dilogikkan dengan punca sebenar kepada berlakunya jenayah ialah disebabkan tiada sifat dan perasaan takut di dalam diri mereka untuk melakukan jenayah. Justeru itu, mereka tidak pernah terfikir dua kali untuk memukul, menikam dan menembak orang lain apabila tiada perasaan takut di dalam diri mereka. Hakikatnya, perasaan takut bukan perkara yang boleh dengan senang difaktorkan oleh perbuatan manusia, hatta dengan undang-undang itu sendiri. Lihat sahaja undang-undang gantung mandatori bagi pengedar-pengedar dadah, ia tidak menggerunkan para pengedar sekalipun hukumannya cukup berat.

Justeru itu, yang mampu memasukkan perasaan takut di dalam diri penjenayah adalah tuhan yang mencipta manusia itu sendiri, iaitu Allah swt. Maka dengan ini, masyarakat akan terus hidup di dalam aman dan damai, tidak takutkan keselamatan nyawa mereka atau keluarga mereka yang tersayang, justeru jaminan Allah swt yang bermaksud: dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, Wahai orang-orang Yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa. – (Al-Baqarah: 179). Inilah kepercayaan yang wajib diimani oleh setiap mukmin yang beriman.

Walau bagaimanapun, ini bukanlah satu paksaan untuk golongan bukan Islam untuk mempercayainya. Tetapi mereka berhak untuk membuat penilaian-penilaian terhadap perbandingan antara undang-undang Islam dengan undang-undang konvensional yang disebutkan di atas jika si mangsa adalah keluarga mereka, kerabat mereka, sahabat mereka atau orang yang mereka sayangi.



KESIMPULAN.

Daripada perbincangan di atas, sudah tiba masanya untuk masyarakat di dedahkan dengan hukum hakam perundangan Islam sebagai alternatif penyelesaian kepada kemelut jenayah yang berlaku pada hari ini.

Dengan ini juga kita dapat melihat dengan jelas, bahawa jika keluarga mangsa diberikan pilihan antara hukum Islam dengan hukum yang bukan Islam, nescaya hukum Islam adalah pilihan mereka, bukan kerana pemilihnya adalah Islam atau tidak, tetapi kerana hukum ini lebih dekat dengan hati mereka, lebih dilihat bersifat membela hak mereka, tanpa mengira sama ada mereka Islam atau bukan Islam.

Hukum Islam yang hakikatnya lebih bersifat dekat dengan hati masyarakat pernah dibuat kajian sekitar 279 responden yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama oleh Majlis Penyelidikan dan Pengkajian Hukum (MPPH), Dewan Ulama PAS pusat pada tahun 2006. Tanpa menyebut ini undang-undang Islam dan undang-undang konvensional, MPPH membuat survey manakah satu pilihan mereka jika mereka menjadi keluarga kepada mangsa langgar oleh pelumba-pelumba haram, atau pemandu cuai.

Yang menariknya ialah, dalam point ini kesemua seratus peratus responden memberikan respon memilih hukum Syari’ah Qisas tanpa menyedari sebenarnya pilihan mereka sebenarnya adalah hukum Islam. Hasil kajian ini juga secara tidak lansung menunjukkan, bahawa mereka yang menolak undang-undang Islam sebenarnya akibat terpengaruh dengan serangan Islamfobia dan sebahagiannya lebih bersifat sentimen justeru mereka sebenarnya tidak mengenali hukum Syari’ah Islam dengan lebih dekat. Antara sebab yang diberikan oleh responden kenapa mereka memilih hukum tersebut, sebab yang diberikan ialah kerana hukum yang mereka pilih lebih membela nasib mereka sebagai keluarga mangsa justeru mendapat pampasan, berbeza dengan hukum konvensional.

Malangnya, sebenarnya masyarakat berbilang kaum yang membuat pilihan tersebut, yang mereka anggap sebagai adil dan membela nasib mereka, tidak memahami sebenarnya mereka sedang memilih hukum Qisas. Justeru itu, PAS khususnya dan semua peringkat pendakwah Islam amnya, sama ada individu atau NGOs Islam perlu mempergiatkan dakwah memperkenalkan kepada masyarakat sama ada muslim atau non-muslim tentang hukum Qisas yang sebenar berbanding undang-undang konvensional, supaya masyarakat bebas berfikir dan membuat pilihan yang lebih adil untuk mereka.

Hukum ini sebenarnya tidak boleh ditanya kepada penjenayah, menteri atau kerajaan sahaja, tetapi lebih utama hukum ini ditanyakan kepada keluarga mangsa, justeru mereka adalah penanggung kesan jenayah, berbanding menteri atau pihak kerajaan.

Bagi penjenayah dan mereka yang terlibat dengan korupsi, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan jenayah semestinya dan sepastinya mereka menolak hukum Islam justeru mereka tidak berpeluang untuk lepas, sebaliknya mereka akan lebih suka dan selamat dengan sistem undang-undang yang membuka ruang kepada mereka.

Justeru itu, DPPP sangat bersetuju dengan cadangan Mursyidul Am PAS, YB. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya kita menyelesaikan masalah kemelut negara yang disebungi masalah jenayah dengan kembali kepada perlaksanaan hukum Qisas.



Disediakan Oleh
Ust.Nasrudin Hassan At Tantawi
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan