Selasa, 21 September 2010

REZEKI..HAQ..KEBENARAN JANGAN DINAFIKAN..ALLAH MAHA BERKUASA...TUNGGU AJE KEADILAN DARI ALLAH

Royalti: Tok guru pondok bermunajat di Mekah
Sep 21, 10 2:42pm
Exco perancangan ekonomi, kewangan dan kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa menyeru rakyat bersama-sama bermunajat bersama 40 ulamak serta tok guru pondok dari seluruh pelusuk negeri berhubung isu kes tuntutan royalti minyak daripada Petronas, lapor Suara Keadilan.

Husam menerusi twitternya berkata sebuah laman web, www.munajatroyalti.com serta laman sosial facebook - www.facebook.com/pages/Misi-Munajat-Royalti-Rakyat telah diwujudkan bagi rakyat melayari dan seterusnya menyatakan sokongan mereka kepada usaha itu.

Menurut laman itu, kutipan derma telah dilancarkan bagi menampung kos membawa 40 ulamak serta tok guru pondok dari seluruh Kelantan untuk bermunajat secara khusus selama 40 hari dan 40 waktu di Mekah.

Majlis membaca doa dan beribadah di kota suci itu bertujuan untuk memberi sokongan spiritual kepada seluruh rakyat negeri itu berhubung tuntutan berkenaan.

"40 ulamak dan tok guru pondok dari seluruh Kelantan akan bermunajat untuk memohon kerahmatan dan kesejahteraan khusus buat rakyat negeri Kelantan semuanya dan untuk seluruh rakyat Malaysia amnya.

"Tujuan kami adalah untuk mempertahankan dan memartabatkan kepimpinan ulamak, alim ulama dan ahli agama di dalam kehidupan hal ehwal seharian kita sebagai umat Islam," menurut laman itu.

Tuntutan royalti minyak Kelantan dianggarkan bernilai lebih RM800 juta setahun sejak 2005 dan sehingga tahun ini jumlah terkumpul dianggarkan sebanyak RM4.8 bilion.

Kerajaan negeri Kelantan mendakwa Petronas melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana tidak membayar royalti, hasil daripada minyak dan gas di perairannya dan di kawasan laut yang bertindih di antara Kelantan - Thailand, Kelantan - Vietnam dan Kelantan - Terengganu.

Berikutan dinafikan royalti minyak itu, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu


Cek RM4 bilion: Nik Din tidak wakili MB

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 21 Sept: Pihak yang tampil menerima replika cek berjumlah RM4 bilion daripada syarikat I’DA World Group Sdn Bhd di sini malam kelmarin menjelaskan kehadiran di majlis itu tidak mewakili Menteri Besar seperti dilaporkan.

Nik Din Nik Mat adik kepada Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu kehadiran di majlis berkenaan di atas kapasiti peribadinya sendiri setelah menerima jemputan.

“Saya tidak mewakili Menteri Besar di majlis berkenaan. Malah saya juga terkejut tiba-tiba dipanggil untuk menerima replika cek terbabit.

“Memang Ayah Din tak tahu menahu tentang perkara itu, Ayah Din pergi hanya memenuhi jemputan, siapa Ayah Din untuk mewakili kerajaan negeri dan Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi di sini.

Akhbar hari ini, menyiarkan gambar Nik Din menerima replika cek berjumlah RM4 bilion yang ditulis atas nama Parti Islam Semalaysia (PAS) yang diserah Pengerusi Eksekutif I’DA World Group Sdn Bhd, Abdul Rahim Abdul Wahab.

Abdul Rahim dilaporkan berkata, sumbangan kepada PAS Kelantan untuk membantu melaksanakan prasarana di beberapa jajahan di negeri ini.

Nik Din menegaskan beliau hanya hadir pada majlis itu sekadar memenuhi jemputan penganjur yang turut mengundangnya.

Ditanya mengenai syarikat berkenaan, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana mendakwa tidak tahu menahu tentang mengenainya


Adik Nik Aziz akui terima replika cek RM4 bilion
Sep 21, 10 7:51pm
Adik Menteri Besar Kelantan, mengesahkan beliau menerima replika cek bernilai RM4 bilion dari sebuah syarikat Bumiputera, I'Da World Group Sdn Bhd, bagi membantu Pas Kelantan atas sifat peribadi dan bukan mewakili parti atau Kerajaan Kelantan.

Nik Din Nik Mat berkata, beliau terpaksa berbuat demikian kerana tiada wakil kerajaan negeri atau Exco yang tampil mewakili Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik untuk menerima replika cek itu di suatu majlis di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu, dua hari lalu.

"Oleh kerana tidak ada wakil kerajaan negeri dan parti yang tampil menerima cek (replika) bernilai RM4 bilion itu, maka saya naik ke pentas itu sebagai bertindak atas sifat peribadi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, dekat Kota Bharu hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai sebuah syarikat Bumiputera, I'Da World Group Sdn Bhd yang menimbulkan misteri dan kejutan banyak pihak kerana bermurah hati untuk menderma kepada Pas Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Nik Din berkata, beliau tidak menaruh prasangka kepada mana-mana pihak dan tampil menerima replika cek itu kerana mengenali salah seorang anggota syarikat itu yang merupakan kawan baik beliau sejak di sekolah.

Replika cek bernilai RM4 bilion itu disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif syarikat itu, Abdul Rahman Abdul Rashid, seorang anak Kelantan yang kini menetap di luar negara.

- Bernama


Sekolah mengandung: Apabila nasihat ditolak, inilah akibatnya!
http://mutaligat.blogspot.com/

Apabila saya mengkritik pembukaan Sekolah Mengandung ramai pengampu Ali Rustam melenting menyatakan bahawa PAS hanya pandai mengkritik dan tidak berbuat apa-apa. Persoalannya sekarang siapa yang berkuasa di Melaka ini?

PAS sejak dari dahulu kini dan selama mencadang dan menasihatkan kerajaan negeri supaya menutup semua pusat maksiat dan menghentikan program maksiat supaya punca-punca maksiat ini dapat dikurang dan dibasmikan.

Kerajaan negeri Melaka yang mentadbir dan menguasai negeri mempunyai kuasa untuk menutup semua pusat maksiat seperti kelab malam, pub, rumah urut, pusat pelacuran, night club, dangdut, Spa dan sebagainya. Selain itu program-program maksiat yang melibatkan percampuran dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan mesti dihentikan serta merta.

Pada masa yang sama kerajaan negeri mesti memperbanyakkan kelas-kelas pengajian agama di masjid dan surau, memperbanyakkan sekolah agama, menambah peruntukan untuk progam agama Islam dalam bajet negeri dan sebagainya.

Namun semua nasihat dan cadangan yang kita ajukan ditolak mentah-mentah malah kerajaan negeri menggalakkan pula program-program maksiat di negeri ini.

Cuba tuan-puan melawat Taman Melaka Raya pada malam hari .......sudah pasti tuan-puan akan melihat ianya bagaikan tempat pesta maksiat yang tidak kawal. Hotel-hotel murah yang menjadi tempat melampias nafsu tumbuh bagaikan cendawan tumbuh. Itu semua menjadi tempat maksiat dan zina yang sesetengahnya melahirkan anak luar nikah.....

PAS yang tidak mempunyai kuasa di negeri Melaka ini sememangnya hanya pandai bercakap dan menasihat sahaja kerana kami tidak ada kuasa. Namun kita hendaklah merujuk kepada Hadis Nabi....Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dicegah dengan kuasa, Jika tiada kuasa cegahlah dengan lisan, jika tidak berkuasa dengan lisan bencilah dalam hati....itu adalah selemah-lemah iman.


* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan



Pusat beku 118 projek pembangunan di Kelantan
Harakahdaily

KOTA BHARU, 21 Sept: Sejak Rancangan Malaysia ke-6 diperkenalkan pada tahun 1991, sejumlah 118 projek pembangunan telah dibekukan kerajaan pusat di negeri Kelantan.

Jumlah itu meliputi 1,086.278 hektar atau melebihi 2500 ekar tanah dari sepuluh jajahan di negeri ini.

Pendedahan itu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias pada sidang media selepas menghadiri perasmian Forum Model Baru Ekonomi Kelantan di Dewan Teratai Kota Darulnaim, pagi ini.

Menurutnya lagi, tindakan tersebut telah membantutkan pembangunan negeri dan dipandang serong oleh rakyat yang terlibat dengan pengambilan tanah tersebut.

“Kita berharaplah kerajaan pusat dapat menyegerakan penggunaan tanah yang diambil ini dalam sambungan RMK 9 dan ke10 nanti.

“Maklumlah tanah tersebut adalah kebanyakannya milik rakyat dan rakyat melihat ia masih belum dibangunkan dan mungkin ada kekangan dalam hal ini, tetapi ia seharusnya tanah ini tidak dibiarkan lama untuk dibangunkan,” katanya seperti lapor web gegarkelantan.net.

Menurut Aiseri lagi, pengambilan tanah tersebut melibatkan 16 kementerian dan perkara tersebut akan dimaklumkan segera kepada Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk diambil tindakan.

Ditanya kerjasama antara kerajaan negeri dengan pusat berhubung pengambilan tanah di negeri ini, beliau memberitahu kerajaan negeri memberi kerjasama sebaiknya.

“Kerjasama yang kita berikan kepada Pusat dalam hal ini amat memberangsangkan dan amat mudah dan ia tidak timbul soal kelewatan kelulusan tanah untuk pembangunan di negeri ini," katanya lagi.

Beliau juga berkata sehingga kini tidak ada sebarang permohonan dari kerajaan pusat untuk mengambil tanah bagi pembangunan negeri ini dihalang.

Tambahnya bermula dengan RMK9, sebarang kelulusan tidak perlu lagi dibuat dalam Mesyuarat Exco negeri kerana Pejabat Tanah dan Galian hanya perlu berurusan dengan Timbalan Menteri Besar untuk disegerakannya.

PAS mula megambil alih pemerintahan negeri itu selepas Pilihan Raya Umum 1990 setelah mendapat majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Sejak mentadbir negeri itu, PAS mendakwa Kelantan sering dianaktiri oleh kerajaan pusat khususnya dalam meyalurkan peruntukan.

Manakala terbaru, Kelantan sedang berdepan kerajaan pusat dalam usaha mendapatkan hak royalti rakyat negeri itu


Zam celaru: Selamat tinggal Umno BN
Harakahdaily

IPOH, 21 Sept: “Sekadar mahu bersatu dengan asas bangsa semata-mata yang rapuh dan longgar, malah ternyata telahpun gagal, maka saya ucapkan selamat tinggal kepada Umno dan BN,” kata Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim.

Beliau menegaskan bahawa sesungguhnya Pakatan Rakyat adalah pilihan rakyat Malaysia untuk melahirkan sebuah negara yang mempunyai masa depan yang lebih baik setelah dihancur dan dirosakkan oleh Umno BN sekian lama.

Justeru, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) yang dipetik sebagai berkata perpaduan Umno dan PAS tidak akan menjamin kekuatan bangsa, sebaliknya tiga parti utama pengasas BN iaitu Umno, MCA serta MIC perlu memulihkan jati diri dengan tegas dan berani menerusi pendekatan baru, untuk menjamin masa depan negara.

“Walaupun kenyataan Zam nampak keliru dan bercelaru, namun hakikat yang saya dapat ambil dari bekas menteri Umno itu ialah dia sudah mengakui mustahil akan wujudnya perpaduan selagi Umno tidak mahu kembali kepada Islam sebagai landasan perjuangan,” ujar Khalil di dalam blognya.

B eliau menambah, penegasan awal oleh kepimpinan PAS bahawa asas perpaduan sesama Melayu atau dengan banga lain adalah di atas dasar dan asas yang diajarkan oleh Islam sebagaimana yang berlaku di Madinah semasa tertubuhnya Kerajaan Islam contoh.

Demikianlah, jelasnya penyatuan semua bangsa di bawah Pakatan Rakyat yang terdapat sebuah parti Islam iaitu PAS adalah asas yang kukuh bahawa penyatuan semua bangsa bukan kerana idealogi masing-masing yang dipertahankan namun kerana kehebatan Islam itu sendiri yang lengkap dan melengkapi idealogi manusia yang banyak kepincangan.

Ini, kata beliau tentunya kerana idealogi Islam bersumberkan dari Al-Quran dan As-Sunnah.

“Malah saya membantah kenyataan Zainuddin yang tidak bertanggungjawab sebagai seorang Islam dengan berkata perjuangan berasaskan ideologi, terutamanya agama, tidak mengenal tolak-ansur, bersifat keras serta wajah manis mereka adalah bersifat sementara dalam menunggu kesempatan.

“Kenyataan Zam semacam menolak kesyumulan Islam yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang mengaku Islam,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Katanya, kecelaruan pemikiran Zam yang mengajak bersatu atas asas bangsa semata-mata tanpa matlamat yang jelas melihatkan kecetekannya dalam menelusuri kekuatan bangsa mana sekalipun yang memerlukan kekuatan penghayatan rohani, akhlak atau moral.

Ini, jelasnya sehingga sesuatu yang dipanggil maksiat dalam Islam atau pelanggaran akhlak dan moral dalam agama lain merupakan asas yang kuat untuk melahirkan sebuah negara yang aman dan makmur, kuat dan berdaulat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan