Selasa, 14 September 2010

KITA HARAP APA DIKATAKAN BETUL DAN BERUSAHA AGAR PEMBUNUH DAPAT DISABITKAN DAN DIHUKUM SETIMPAL DENGAN PERBUATANNYA

Masyarakat India Kutuk Sekeras-kerasnya Pembunuh Sosilawati, 3 Individu

Murugiah menghabiskan masa kira-kira sejam bersama keluarga Sosilawati di kediaman jutawan kosmetik itu. Foto Chan Tak Kong/TheStar

GOMBAK: Masyarakat India di seluruh negara mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mereka yang membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah menegaskan, tindakan penjenayah itu wajar mendapat hukuman setimpal dengan kekejaman yang mereka lakukan.

Katanya, kaum India tidak pernah menyokong perlakuan jenayah walaupun dilakukan di kalangan mereka sendiri.

Beliau mengulas pembunuhan yang dilakukan secara kejam sehingga semua mayat dibakar dan dibuang abunya di sebatang sungai berhampiran lokasi kejadian, Ladang Gadong, Tanjong Sepat di Banting, dekat sini.

Murugiah berkata, beliau berharap pihak polis melakukan siasatan secara terperinci tanpa memberikan sebarang ruang sedikit pun kepada mereka terbabit dalam kes tersebut.

Menurut beliau, masalah gangsterisme di negara ini terutama kaum India tidak dapat dibendung dan memerlukan tindakan serius daripada pihak berkuasa.

“Kita tidak mahu orang yang tidak bersalah ini dianiaya dan dibunuh. Jika ia terus belaku, orang ramai mulai takut dan negara tidak akan dikunjungi pelabur asing.

“Kita tidak mahu diberikan ruang kepada mereka yang tidak berhati perut, tiada belas kasihan pergi membunuh orang kerana wang,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kes pembunuhan itu tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman namun tidak dinafikan perbuatan kejam itu begitu melampau.

“Ini bukan soal perkauman tetapi soal nyawa orang yang diragut. Satu Malaysia marah terhadap perbuatan yang berlaku kepada Sosilawati dan mereka yang lain.

"Tidak kira apa juga bangsa yang terlibat, gangsterime harus diatasi dengan segera,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Murugiah melawat ahli keluarga Sosilawati dan menghabiskan masa satu jam di kediaman jutawan kosmetik itu di sini.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada semua keluarga keempat-empat mangsa. Saya berharap mereka semua tabah menerima kejadian yang berlaku.

"Saya akan berusaha melawat tiga keluarga mangsa lain selepas ini bagi memberi sokongan," katanya



Polis Menyiasat Berhubung Laporan Kehilangan Beberapa Individu

KUALA LANGAT: Polis sedang menyiasat kehilangan beberapa individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan adik-beradik peguam yang ditahan berikutan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Menurut beberapa sumber, keluarga kepada individu yang hilang telah membuat laporan polis sejak 36 bulan lalu namun tiada perkembangan ekoran kekurangan maklumat dan petunjuk.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin pada Ahad lalu berkata, kes kehilangan individu terbabit akan disiasat semula berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mereka yang mempunyai kaitan dengan adik-beradik peguam itu.

Sumber itu memberitahu, mereka yang hilang dipercayai ‘dihapuskan’ merupakan warganegara India, seorang wanita tempatan dan dua lelaki.

Difahamkan suspek mungkin turut terbabit dengan pembunuhan empat lagi individu meskipun perkara itu belum disahkan.

Turut difahamkan, polis bahagian pemalsuan wang akan memohon Attorney-General Chambers untuk mendapatkan perintah membuka semua aset termasuk akaun bank milik dua peguam terbabit.

Suspek utama dikatakan memiliki sekurang-kurangnya sembilan kereta mewah bernilai jutaan ringgit termasuk tujuh Mercedes Benze.

Peguam bergelar Datuk berusia 41 tahun itu disyaki sebagai dalang di sebalik pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain dibawa ke lokasi kejadian di Ladang Gadong dekat sini pada pukul 3 pagi, Isnin bagi membantu siasatan.

Pasukan penyelam Polis Marin meneruskan pencarian bahan bukti di Sungai Kanchong tetapi tiada sebarang senjata dijumpai setakat ini.

Pegawai polis di jabatan forensik menjalankan siasatan sepanjang masa di ladang seluas 1.6 hektar di mana barangan peribadi milik Sosilawati ditemui.

Sumber berkata, penyiasat percaya pembunuhan tiga individu yang bersama Sosilawati tidak dirancang.

“Kami percaya lelaki itu (pembunuh) menjangkakan Sosilawati akan datang berjumpa dengannya seorang diri,” kata satu sumber.

Katanya lagi, Sosilawati telah bertemu dengan peguam terbabit untuk mendapatkan semula beberapa juta ringgit yang telah dibayar sebelum ini bagi membeli sebidang tanah di Pulau Pinang.

Menurut sumber lain pula berkata, beberapa suspek telah dibayar RM2,500 untuk membakar setiap mayat dan menghapuskannya dengan membuang abu di sungai berhampiran lokasi kejadian.

Media dilarang memasuki kawasan berkenaan yang dari awal dikawal oleh pihak polis bagi menjalankan penyiasatan.

Sementara itu, seorang kenalan peguam bergelar Datuk itu berkata, ladang itu menempatkan sebuah chalet untuk pekerja yang menjaga beberapa ternakan.

“Terdapat beberapa kambing, dua merak jantan, seekora lembu, ayam hutan, tupai dan musang disimpang dalam kadang di ladang itu.

“Peguam itu menjadikan ladang tersebut untuk melayan rakan-rakannya yang turut dijamu dengan daging eksotik selain bir dan minuman keras yang mahal,” kata sumber itu



Peguam Disyaki Dalang Bunuh Sosilawati Mahu Sertai MIC

GOMBAK: Peguam bergelar Datuk yang merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain bercadang untuk menyertai MIC, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah.

Murugiah berkata, beliau bertemu dengan suspek pada program komuniti Hari Raya di Bukit Cheeding, Banting pada 8 September iaitu tiga hari sebelum suspek ditahan polis.

“Saya dijemput untuk menyerahkan sumbangan yang ditaja beliau (suspek) untuk komuniti orang asli di kawasan itu.

“Ia merupakan pertemuan kali pertama dengan dia. Saya lihat dia seorang yang pemurah dan peramah tetapi tidak menyangka di sebaliknya,” katanya kepada media selepas mengunjungi rumah keluarga Sosilawati di sini.

Murugiah berkata, pada awalnya tiada masalah bagi suspek untuk menyertai MIC kerana suspek merupakan seorang peguam berpendidikan tinggi.

“Saya menasihatkan dia supaya mengisi borang keahlian dan perkara itu akan dimaklumkan kepada Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, MIC tetap tidak akan menerima suspek untuk menyertai parti sekiranya didapati tidak bersalah berikutan rekodnya sebelum ini dipertikaikan.

Menurutnya, MIC mahukan pemimpin yang bersih dan bukan golongan seperti itu.

“Kita hendak buat baik dengan orang, buat baik dengan rakyat, itulah pemimpin yang sepatutnya kita cari dalam parti,” kata Murugiah.

Beliau menambah, kemungkinan gelaran 'Datuk' suspek juga perlu disiasat kesahihannya agar tidak menyelewengkan pemikiran rakyat


Lebih Ramai Mati Di Tangan Pembunuh Sosilawati?

KUALA LANGAT: Berkemungkinan lebih ramai individu yang mati di tangan pembunuh Datuk Sosilawati Lawiya ketika polis sedang berusaha membongkarkan kes pembunuhan jutawan kosmetik itu.

Seramai sembilan orang dipercayai telah dibunuh secara kejam dan dihapuskan mayat dengan cara yang sama seperti dilakukan terhadap Sosilawati bersama tiga individu lain.

Semua individu terbabit dilaporkan hilang dan mempunyai kaitan dengan adik-beradik peguam yang disyaki sebagai dalang kepada pembunuhan Sosilawati.

Selain Sosilawati yang merupakan pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) tersebut, turut dibunuh ialah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dipukul sehingga mati dan kemudiannya dibakar sebelum dibuang abunya ke sebatang sungai berhampiran lokasi kejadi di Ladang Gadong, Tanjong Sepat dekat sini.

Sebelum itu, Sosilawati dan yang lain dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu bagi urusan pembelian tanah.

Perkembangan lain:

- Isteri kepada salah seorang lelaki yang hilang, warganegara India, berkata suaminya berkunjung ke Malaysia selepas mendapat jemputan daripada peguam adik-beradik terbabit.

- Isteri kepada pegawai bank Noorhisham Mohammad masih berharap suaminya masih hidup.

- Pasukan penyelam Polis Marin menyelam ke dalam Sungai Kanchong bagi meneruskan operasi mencari bahan bukti tetapi setakat ini tidak menjumpai sebarang senjata berkaitan kes bunuh.

- Anak perempuan sulung Sosilawati paling berkemungkinan mewarisi harta jutawan kosmetik itu.

- Polis Pulau Pinang membuka semula beberapa kes yang belum selesai membabitkan pembunuhan beberapa peguam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan