Khamis, 16 September 2010

KHIR TOYO

Khir Toyo: Ada baiknya air percuma di S'gor
Salhan K Ahmad
Sep 16, 10
12:59pm

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan terus berhadapan masalah untuk menguruskan negeri selagi ia mengambil sikap bermusuh dengan pemimpin-pemimpin Umno, kata bekas menteri besar Datuk Seri Khir Toyo.

Bercakap dalam satu wawancara dengan Malaysiakini, Khir berkata keadaan ini boleh dilihat dalam usaha kerajaan negeri menstruktur semula perkhidmatan air negeri yang telah diswastakan oleh kerajaan BN sebelumnya.

khir toyo interview 150910 Menurut Khir, pentadbiran kerajaan negeri kini juga lebih cenderung untuk membuat tindakan secara bersendirian tanpa melakukan perbincangan dengan pihak yang terlibat, seperti dalam masalah yang dihadapinya dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Bagaimanapun, Khir percaya kerajaan negeri akan menang sekiranya disaman oleh SYABAS, berhubung tuntutan pampasannya untuk melaraskan tarif air di Selangor.

Perkembangan ini merupakan rentetan daripada tindakan kerajaan negeri memberikan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada penduduk di negeri itu.

Khir memuji dasar negeri kebajikan yang diamalkan seperti itu, namun melihat pelaksanaannya seperti yang dijalankan sekarang tidak mencapai sasaran sebenar.

Berikut adalah sedutan daripada wawancara Malaysiakini dengan Datuk Seri Khir Toyo:

Sebagai ketua pembangkang, adakah datuk lihat apa-apa tindakan kerajaan negeri yang dianggap baik?

Langkah yang baik, sudah tentu. Saya beritahu, ada baiknya dia buat, umpamanya air percuma. Kalau perkara ini diteruskan dan tidak membantutkan ekonomi Selangor, bagus. Jangan sampai membantutkan ekonomi negeri. Yang lainnya (kebaikan) saya tidak nampak. Mana penerusan (dasar) kerajaan lama seperti beri bantuan kepada orang meninggal berusia 60 tahun ke atas? Masa BN dulu kita beri kepada semua tanpa perlu daftar. Kalau rakyat Selangor tinggal di Selangor, meninggal, pergi balai polis, bukti dia bayar RM1000. Hari ini dia bayar RM2,500 tapi kena daftar dulu. Kalau tak daftar tak boleh.

Bagaimana sistem bantuan ini diberikan sebelum ini?

Sebelum ini senang. Katalah bapa kita meninggal, pergi ke alamat dia betul, ketua kampung sahkan dia tinggal di kampung itu, pergi ke pejabat daerah lepas dapatkan laporan polis atas kematian tersebut, kita beri RM1,000 on the spot.

Tujuan kita adalah untuk meringankan bebanan pengurusan jenazah. Tapi sekarang kena daftar. Kalau tak daftar tak dapat. Itu satu. Kemudian, dia beri RM1,000 dulu lepas tujuh lapan bulan dia kumpul ramai-ramai beri ceramah politik bagi RM1,500 lagi. Ia tidak mencapai matlamat. Patutnya dia buka ruang luas kepada orang ramai daripada kumpulan yang didaftarkan saja. Saya ada bukti, kena isi borang parti tertentu dulu. Sebab itu tak ada orang datang daftar. Nak dapat RM1,000 mahasiswa kena tanya dulu...

Apa bukti yang boleh dikemukakan untuk dakwaan ini?

khalid ibrahim selangor waterDi kampung ramai yang beritahu. Tapi (kerajaan negeri) tetap nafikan. Bukti yang paling mudah ialah pemilihan nazir masjid di satu kampung di kawasan saya. Orang yang dapat nombor tiga dipilih jadi nazir. Yang dapat undi terbanyak tidak dapat jadi nazir. Ini jadi contoh, belum banyak lagi saya dedahkan. Kita akan begerak (pededahan) perlahan-lahan. Saya ada kesemua maklumat. Sebab itu tugas kita kali ini adalah tegur dahulu biar dia betulkan. Kalau dia tidak betulkan kita akan keluarkan bukti kesemuanya. Saya dah bangkitkan dalam DUN.

Bagaimana pula dengan masalah kerjasama dengan SYABAS untuk lakukan kalibrasi ke atas meter air di pangsapuri? Ini menyebabkan penghuni tidak dapat nikmati air percuma.

Ini masalahnya mereka buat sesuatu tidak berbincang dulu. Kita tidak boleh buat sebab kos untuk bagi meter individu di flat ini kosnya memakan dijangka lebih RM1 bilion saya rasa. Dia kena fikir sebelum laksanakan. Tak bolehlah buat sebab hendak popular tapi akhirnya menghadapi masalah.

Kenapa SYABAS nampak enggan untuk bekerjasama dalam isu ini?

Masalahnya sekarang, adakah SYABAS bertanggungjawab untuk memasang paip baru di rumah pangsa? ataupun SYABAS hanya bertindak untuk menyalurkan air kepada rumah flat? Sekarang tanggungjawab siapa nak buat paip baru di rumah flat ini?

Kalau ada meter individu lebih mudahkan dia. Kerajaan negeri suruh SYABAS pasang paip, pasang meter tanpa paip dalam bangunan tidak penuhi apa-apa tujuan. Soalnya siapa hendak (pasang paip) baru dengan meter individu dalam bangunan ini. Itu persoalan yang patut ditimbulkan.

Adakah SYABAS langsung tidak mahu kerjasama dengan kerajaan?

Saya tidak tahu. Kalau SYABAS langsung tidak mahu kerjasama dengan kerajaan, dia tidak bijaklah kerana dia perlukan kerajaan Selangor.

Jadi pertikaian politik tidak timbul?

Tidak ada masalah apa. BN pertikaikan kenapa rumah persendirian, landed property dapat pengurangan 20 peratus sedangkan rumah flat tidak dapat. Kita tegur dia. Rumah flat ini berapa orang tidak dapat (air percuma)?

Adakah disebabkan pengerusi SYABAS itu juga pemimpin Umno negeri?

khir toyo interview 150910Business is business. Kalaulah kita jadi ahli Umno dan kerajaan daripada PKR, (tanggapan itu) tidak betul. Meniaga ini meniaga, parti itu parti. Mana boleh kita buat sekali macam tu. Itu kita kena bezakan.

Masalahnya sekarang ini PKR dan PAS melihat Umno sebagai musuh. Itu masalah dia. Kita tidak pernah menganggap PAS sebagai musuh sebelum ini dengan PKR. Berapa ramai ahli perniagaan mereka kita beri peluang perniagaan. You are creating your own enemy. Dia takut dengan bayang-bayang sendiri ini masalahnya.

Bagaimana dengan rancangan SYABAS untuk kemuka saman kepada kerajaan negeri berhubung tarif air?

Kerajaan negeri boleh menang. Biar SYABAS saman, kita ada klausa khas. Kenapa kerajaan negeri hendak besarkan isu (sedangkan) klausa itu jelas? Jika SYABAS gagal turunkan (kadar air tidak berhasil) NRW di bawah 20 peratus, dia tidak boleh naikkan harga air.

Perjanjian antara SYABAS dengan kerajaan negeri dulu, bukan saja kita terlibat kerajaan persekutuan juga terlibat. Kementerian terlibat sekali, JPM terlibat sekali sebab itu saya tidak bimbang kerana ketika itu kerajaan negeri hutang dengan kerajaan persekutuan lebih kurang RM1.8 bilion. Saya letak syarat pada SYABAS masa itu, ambil lock stock and barrel. Hutang sekali dia ambil, ini (proses) penswastaan pertama di Malaysia hutang diambil oleh syarikat yang ambil sebanyak RM1.8 bilion.

Jadi adakah perjanjian ini akan menaikkan tarif?

Ya, dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Jawatankuasa ini yang akan tentukan sama ada ia boleh naik atau tak boleh naik sebab kalau SYABAS saman kerajaan negeri, saya tidak ada masalah. Saya yakin kerajaan negeri boleh menang.

Tapi jika syarat itu dipenuhi dengan kadar NRW, tarif tetap naik?

Yalah, tapi kita akan kurangkan kos pembangunan. Tak perlu bina empangan baru dan sebagainya. Janji, kualiti air itu (baik), tidak perlu disaring.

Adakah benar dakwaan bahawa kadar air akan meningkat menjadi lebih mahal daripada petrol dengan penswastaan ini?

Tidak, tidak, tidak. Tidak benar. Kalau kita dapat kurangkan kos pembangunan, kerajaan negeri boleh bagi insentif yang lain kepada rakyat. Sekarang masalahnya kita dalam lose-lose situation. NRW meningkat dan kita kena bina empangan, bina infrastruktur baru tapi air tetap keluar, hilang dan kerajaan negeri kena bina infrastuktur yang merosakkan alam sekitar.

Mengapa langkah penswastaan ini dijalankan sejak dahulu tapi masih belum selesai?

Tak selesai, memang susah. Saya dulupun menghadapi masalah. Ceritanya di Selangor ini masa saya masuk dulu pun sebahagian industri air telah diswastakan. Saya punya matlamat ketika itu kita hendak pihak yang sama akan terlibat kerana di situ akan berlaku cross-subsidy. Kita tak mahu ada player baru, jadi kita hendak buat konsortium (antara) syarikat yang terlibat dulu dengan syarikat yang baru terlibat dengan pembinaan empangan (Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor) Splash di (Kuala Kubu Bharu) seumpamanya.

Ketika saya masuk kerajaan negeri, Splash tengah bina empangan. Ia menelan kos sebanyak kira-kira RM2.4 billion. Satu empangan terbesar di Malaysia sekarang ini. Jadi saya cuba menstrukturkan semula (syarikat berkaitan air) untuk semua duduk bawah satu bumbung supaya ada cross subsidy.

Sekarang ini syarikat pengeluar air dia akan keluarkan air dia caj kepada syarikat penyaluran. Sedangkan NRW 30 peratus. Jadi syarikat pengedar air akan hilang (pendapatan) kerana dia bayar kepada syarikat pengeluar 100 peratus tapi dia pungut daripada pengguna hanya 70 peratus. Jadi tidak ada cross subsidy. Memang bermasalah.

Sampai sekarang tak selesai-selesai sampai saya tak jadi menteri besar dah. Bila kerajaan persekutuan berjanji dengan kita nak selesaikan dan mereka meluluskan penyaluran air Selangor beri kepada Puncak Niaga pada ketika itu, kita ikut. Asalkan hutang kita semua dia tanggung. Hutang itu tidak lagi dianggap hutang kerajaan negeri.

Kerajaan negeri sebelum ini buat banyak hutang dengan kerajaan persekutuan untuk ganti paip dan sebagainya. Masalah kita pada masa itu tak ada dana untuk bayar hutang. Di Selangor saja masa itu kita kena ganti 2,400 kilometer.

Jadi kenapa masih timbul lagi dakwaan ada konflik kepentingan antara pentadbiran BN sebelum ini dengan Puncak Niaga.

Masalahnya Khalid Ibrahim menganggap orang Umno ini akan sokong Umno. Tan Sri Rozali sekarang ini pun bukan aktif dalam Umno lagi dah. Dia bukan bendahari Umno Hulu Selangor lagi.

Sebelum saya dulu dia bendahari, masa (bekas menteri besar) Tan Sri Muhammad (Mohd Taib) dulu, dia jadi ketua bahagian. Masa (ketua bahagian Umno Hulu Selangor) Datuk Mohd Idris (Abu Bakar), dia bukan bendahari lagi.

Konsesi itu diberikan kepada SYABAS pada tempoh bila?

Konsesi dengan SYABAS pada zaman saya. Tan Sri (Rozali) (sudah) tak jadi bendahari lagi.

Kenapa Tan Sri Rozali diberikan konsesi itu?

Sebab dia terlibat dengan Puncak Niaga dan dia terlibat dalam SYABAS ketika itu dan kerajaan persekutuan melihat dia syarikat yang paling berkemampuan, kita ikut keputusan kerajaan persekutuan pada ketika itu, asalkan hutang-hutang itu dapat dilangsaikan oleh Puncak Niaga.

Saya pada ketika itu pro kepada memperbaiki pengurusan (Perbadanan Urus Air Selangor) PUAS. Saya tubuhkan PUAS pada ketika itu. Tapi dibincangkan dalam kabinet, diputuskan ia diberikan kepada syarikat yang terlibat supaya ada sistem cross subsidy. Supaya penstrukturan ini mudah.

Apa masalah kerajaan negeri sekarang dalam menstrukturkan semula pengurusan air ini?

Masalah sekarang kena libatkan semua, jangan libatkan pihak baru. Satu ketika dulu kita fikirkan industri air ini patut diketuai oleh (Kumpulan Darul Ehsan Berhad) KDEB, satu ketika dulu kita buat keputusan melalui perangsang Selangor untuk ketuai industri air ini. Sebab itu kita ambil syarikat SYABAS, sahamnya KDEB pegang 30 peratus dalam SYABAS, dalam Splash dan Puncak Niaga.

Sepatutnya dia teruskan, KDEB patut ketuai. Sebab KDEB ialah GLC kerajaan negeri. Bila kerajaan persekutuan tubuhkan (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) SPAN ini yang menjadi konflik sekarang, kerajaan persekutuan kata industri air tidak boleh diberikan kepada negeri kerana satu hari nanti kita akan perlukan pindahan air antara negeri. Sebab itulah bila kita bincang dengan Pahang, kena ada campur tangan dengan kerajaan persekutuan. Kerana Pahang kita raw water pada ketika itu 30 sen. Kita minta pada masa itu dua sen.

Tapi kesalahan diletakkan balik kepada SYABAS. SYABAS tidak mahu kerjasama untuk struktur semula, dia saman kerajaan negeri. Saya tidak ada masalah, negeri boleh menang sebabnya panel yang diketuai kementerian air dan tenaga ini, ada wakil Selangor di situ, kita ada full say di situ.

Adakah masalahnya sebab pihak yang terlibat dalam SYABAS terdiri daripada pembangkang?

Tak ada kena mengena.

Tan Sri Rozali juga bersuara seperti pembangkang, seperti yang diucapkan dalam satu majlis buka puasa...

Dia peniaga bila tak ada kerjasama dalam ini jangan salahkan Umno. Tan Sri Rozali tidak aktif lagi saya rasa (dalam Umno). Bukannya wakil rakyat, bukannya pemimpin bahagian. Jadi kalau nak meniaga di Selangor tak boleh jadi ahli Umno ianya tidak adil. Adalah hak dia untuk melibatkan diri dalam parti tertentu tetapi perniagaan tetap perniagaan. Jadilah profesional. Khalid Ibrahim kata dia seorang profesional.

Adakah ia disebabkan apa yang Tan Sri Rozali sebut dalam majlis buka puasa itu ada kena mengena dengan SYABAS?

Saya rasa hubungan antara mereka (Rozali dan Khalid) tidak baik. Untuk berunding, pertama sekali mereka meesti boleh duduk bersama dan ketepikan masalah. Apa yang penting, rakyat dapat keuntungannya. Kita tak boleh bincang dengan orang kita salahkan dia Umno, (dia ada) kroni, dia pun ada perasaan juga. Macam saya nak jumpa you, saya mengata macam-macam lepas itu panggil you datang, ini tidak betul.

Sebagai menteri besar ni banyak perkara yang kita tak gembira kena simpan sebab nak jaga hubungan supaya masalah selesai. Perasaan tidak puas hati dia kepada Tan Sri Rozali, marah Tan Sri Rozali jadi ahli Umno, patutnya dia simpan, jangan cerita dekat media. Ini kita tengok dalam suratkhabar yang dikeluarkan kerajaan negeri memang terus terang (anti-Umno). Kerajaan ini berkuasa penuh, ada pengaruh. Tak sepatutnya kita buat macam itu.

Jadi ia lebih kepada isu peribadi antara Khalid dengan Rozali?

Tentulah. Tidak profesional lagi.

Bagaimana pula dengan tindakan kerajaan Selangor pendengaran awam melalui awatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat)?

Selcat ini hanya alat politik. Kalau Selcat betul-betul telus, kenapa (Exco, Datuk) Hasan Ali bila kritik Selcat tak kena tindakan tapi saya kena tindakan sampai setahun? Tak dipanggil pun (untuk beri penjelasan).

Tapi ada yang lihat pendengaran secara terbuka ini lebih baik daripada tindakan beri penyapu kepada pentadbir awam?

Hasil saya beri penyapu, pejabat daerah itu dapat yang terbaik. Kalau hari ini saya ingat lagi banyak pegawai kerajaan yang tak jalankan tugas. Saya nak beritahu kepada kawan-kawan, kalau pegawai kerajaan tak jalankan tugas, apa kita nak buat? Nak ambil tindakan ikut prosedur ambil masa yang lama. OK? Bukan senang hendak buang pegawai kerajaan. Kalau hendak letak dia kat peti sejuk (cold storage), dia lagi seronok. Dapat gaji tapi tak ada kerja. Isunya sekarang rakyat marah kerana pegawai kerajaan tak jalankan tugas. Jadi kita ambil tindakan bagi pihak rakyat. Dan ia dipolitikkan sebenarnya. Ini bukan perkara baru di sini. Di Malaysia baru, tapi di Jepun, Korea jadi perkara biasa.

Datuk tak rasa malu kalau ada orang kata Datuk teruk dan beri penyapu?

Saya tak rasa begitu. Ia satu peringatan yang baik. Saya sangat terbuka. Pegawai kerajaan kalau kita tegur empat lima kali kemudian kalau tidak (tingkat prestasi) juga saya nak tanya rakyat, nak bagi apa? Saya pun tak faham kenapa ia dipolitikkan.


Khir Toyo: PERKASA lebih ke depan isu Melayu
Aidila Razak & Salhan K Ahmad
Sep 16, 10
12:31pm

Datuk Seri Khir Toyo berkata, beliau melihat bahawa NGO seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) lebih ke hadapan dalam menyuarakan isu-isu berkaitan orang Melayu di Selangor.

Dalam satu wawancara khas dengan Malaysiakini sebelum ini, bekas menteri besar Selangor itu berkata, beliau tidak tahu mengapa pergerakan Pemuda Umno tidak memainkan peranan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menafikan tanggapan bahawa peranan Umno dalam bersuara mengenai isu-isu tersebut telah 'dikontrakkan' kepada NGO seperti PERKASA .

"Mungkin NGO lebih banyak bersuara berbanding Umno, (tetapi) Umno ada strateginya sendiri (iaitu) cuba untuk mendekati masyarakat terlebih dahulu.

"(Presiden Umno) Datuk Najib (Razak) beritahu kita, turun ke bawah, jumpa lebih banyak (anggota) masyarakat (dan) dan bersama dengan mereka. Itu strategi kita," katanya lagi dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Beliau juga mendakwa, Umno kini berjaya mengukuhkan kedudukannya di kawasan majoriti Melayu di Selangor, hasil daripada kempen 'Selamatkan Selangor.' Ini merupakan kejayaan peringkat awal, sebelum mereka mula memasuki kawasan majoriti bukan Melayu, kata Khir lagi.

Teguh di belakang PERKASA

Khir menyuarakan pandangan beliau itu sebelum perkembangan terbaru yang dilihat meletakkan Najib dalam kedudukan yang tidak menyenangkan untuk menyatakan pendiriannya terhadap hubungan antara Umno-PERKASA.

Ini diperhatikan apabila penaung NGO berkenaan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah memberikan amaran bahawa Umno bakal kehilangan sokongan sekiranya ia bertindak memusuhi PERKASA.

Berlainan pula dengan pendirian ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam isu berkenaan. Khairy yang kerap bertegang leher dengan presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali telah memberikan kata dua -- beliau akan bertindak keluar daripada parti sekiranya Umno menyokong pergerakan itu.

Khir pula berdiri teguh di belakang PERKASA. Katanya, pertubuhan itu wajar diberikan ruang untuk bersuara, seperti mana kebebasan yang dinikmati kumpulan yang menumpukan kepentingan kaum lain.

"Macam (pertubuhan) Suqiu, yang menjadi tempat untuk masyarakat Cina menimbulkan keprihatinan mereka terhadap pendidikan, hak masyarakat Cina, perkara-perkara seperti itu.

"Kalau nak negara terbuka, jadi kena terbukalah. Jangan bila PERKASA buat kita suruh tutup mulut dia. Orang lain kita suruh buka mulut pula. Kalau terbuka, biar terbuka, biar semua orang bersuara," katanya lagi.

Khir juga menolak tanggapan bahawa kekalahan Umno BN dalam dalam pilihan raya umum sebelum ini disebabkan keangkuhan parti tersebut.

'Pakatan lebih angkuh'

Malah, pemimpin dalam Pakatan Rakyat sekarang mungkin lebih angkuh apabila enggan menerima teguran-teguran yang disuarakan oleh pembangkang di negeri itu, kata Khir lagi.

Katanya, perkara itu boleh dilihat dalam isu melibatkan ADUN Serdang Teo Nie Ching (kiri) yang bertindak memasuki sebuah surau di dalam kawasannya pada 22 Ogos lalu.

"Teo ini jika Tuanku tak keluarkan arahan dia akan masuk masjid juga. Masalahnya kerajaan negeri tak boleh ditegur. Kalau kita tegur secara baik (dan) dia dengar (teguran), tak ada masalah. Benda ini (pernah) berlaku. (ADUN Andalas, Dr) Xavier (Jayakumar) pernah ceramah di Masjid di Andalas.

"Dah tegur, kenapa buat lagi? Adakah kerajaan negeri menerima teguran? Adakah terlalu angkuh? Xavier ditegur secara baik, tak ada isu besar. Tapi kenapa buat lagi? Jangan terperanjat jika satu hari nanti ada bukan Islam membaca khutbah, mungkin," katanya lagi.

Jelasnya, tindakan untuk menakut-nakutkan masyarakat Islam dengan kenyataan tersebut merupakan satu langkah yang perlu .

"Masalahnya sekarang, kalau kita tak beri satu fear factor kepada orang, orang akan biasa (dengan) perkara ini. Patutnya kes ini tak payah sampai Tuanku terlibat," tambahnya.

Khir juga berkata, berdasarkan pertemuan dengan masyarakat akar umbi di Selangor, beliau dapat menyimpulkan bahawa pilihan raya akan datang di negeri itu akan lebih tertumpu kepada isu-isu melibatkan kos sara hidup rakyat.

"Saya lihat, isu yang akan datang -- rakyat tak gembira tentang taraf hidup yang tinggi. Saya kurang setuju bila katakan subsidi ancaman untuk rakyat dan kerajaan. Kerajaan perlu fikirkan bagaimana untuk mengurangkan kos hidup dan pada waktu yang sama tambah pendapatan. Ini yang orang risaukan, harga minyak naik, beras, gas. Orang sekarang merungut," katanya lagi.

Negara kebajikan

Tambahnya, kerajaan hari ini menganggap subsidi kepada orang ramai sebagai satu ancaman, sedangkan hampir semua kerajaan di dunia mengambil pendekatan "negara kebajikan."

"Pucuk pimpinan perlu fikirkan balik. Saya tahu apa yang rakyat mahukan sebab saya di bawah. Rakyat merungut kos hidup semakin tinggi. Itu tak dapat dinafikan. Saya pun terasa. Beras dulu RM18 sekarang RM24. (Harga) gas, beras, tol, minyak (juga meningkat)," katanya.

Tambahnya, kerajaan Pakatan di Selangor juga perlu membuktikan pencapaiannya, berdasarkan kajian daya saing yang dilakukan BN sebelum ini yang membolehkan negeri itu diiktiraf sebagai "negeri maju."

Katanya, sebelum kerajaan BN tumbang di Selangor, satu kajian yang dilakukan Institute of Management and Development (IMD), menunjukkan pentadbiran kerajaan itu mencatat 81 peratus markah.

Kajian oleh firma Switzerland itu melibatkan 70 indikator, meliputi kemajuan dari segi infrastruktur, kecekapan perniagaan persendirian, kecekapan kerajaan dan pembangunan ekonomi, kata Khir.

"Daripada indikator itu kalau kita capai tahap markah 75 peratus maka diangap negeri atau kawasan itu maju. Sebab itulah pada 2002, kita buat dengan IMD dan kita dapat hanya 60 markah. Tapi pada 2005 kita tingkatkan pada 76.5 peratus.

"Jadi kalau (menteri besar) Tan Sri Khalid (Ibrahim) hendak melihat tentang pencapaiannya sama ada lebih baik ataupun tidak, sepatutnya dia gunakan syarikat yang sama ataupun pertubuhan yang sama dengan kaedah indikator yang sama barulah boleh kata dia lebih baik daripada BN.



'Khir Toyo nak tunjuk macho'
Sep 16, 10 10:14am
Walaupun berminat, bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak akan dapat merampas kembali kerusi tersebut daripada Tan Sri Khalid Ibrahim, kata setiausaha kanan menteri besar.

"Kalau dia (Dr Mohamad Khir) berminat pun, dia tidak akan dapat. Untuk kelihatan macho dan berlapang dada, dia katalah, dia tidak minat," kata setiausaha politik menteri besar Selangor Faekah Husin (kanan) kepada TV Selangor.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, Ketua Pembangkang Dr Mohamad Khir tidak lagi berminat kembali menjadi menteri besar Selangor sekiranya BN berjaya merampas kembali negeri itu daripada Pakatan,

Sebaliknya beliau menyarankan supaya jawatan berkenaan diserah kepada pemimpin yang lebih layak di kalangan BN, jika berjaya merampas semula negeri itu.

Dr Khir memberi alasan, beliau tidak mahu mewarisi masalah-masalah yang berlaku di negeri itu selepas Pakatan menubuhkan kerajaan di Selangor kerana ia 'sangat teruk' dan tidak dapat dipulihkan dalam jangka masa singkat.

Bercakap kepada saluran televisyen dalam talian kerajaan negeri semalam, Faekah juga berkata label "sangat teruk" yang dinyatakan itu Dr Mohamad Khir itu sepatutnya dituding kepada dirinya sendiri kerana Pakatan baru dua tahun mentadbir negeri itu.

Faekah berkata, agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dilaksanakan kerajaan Pakatan di Selangor, terpaksa menempuh jalan sukar berikutan masalah-warisan kerajaan BN, khususnya ketika pimpinan Dr Mohd Khir (kiri) sendiri.

Bercakap kepada TV Selangor, Faekah percaya kenyataan Dr Khir itu hanya bertujuan melindungi keinginan sebenar.

"Saya tidak perlu risau pun dia tidak berminat. Dia minat pun, dia tidak akan dapat dengan cara mereka menguruskan Selangor selama 50 tahun ini" katanya yang percaya rakyat Selangor sudah bosan dengan corak kepimpinan Umno-BN




Tuduhan rasuah: Khir Toyo tak kecil hati
Aidila Razak & Salhan K Ahmad
Sep 15, 10
11:41am

Khir Toyo mengakui bahawa beliau tidak pernah sunyi daripada melakukan kesalahan. Namun katanya, tohmahan rasuah yang dilemparkan ke atasnya setakat ini masih belum berjaya dibuktikan.

Dalam satu wawancara dengan Malaysiakini, Khir mengambil peluang untuk menjelaskan satu persatu, setiap tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

Antara dakwaan berkenaan adalah berhubung kunjungannya ke 'Disneyland' di Perancis dan Amerika Syarikat.

Katanya, lawatan kerja itu bukan semata-mata untuk melawat taman tema tersebut tetapi untuk mendapatkan pelaburan daripada negara berkenaan ke Selangor.

Hasil daripada semua lawatan itu, Selangor berjaya memperoleh pelaburan asing berjumlah RM11.87 billion. Pelaburan ini juga menyediakan 30,000 peluang pekerjaan di Selangor, kata Khir.

Begitu juga dengan bayaran insentif kepadanya selaku pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang disifatkan sebagai imbuhan atas masa tambahan yang diluangkannya di syarikat berkenaan.

Mengulas dakwaan berkaitan pembelian unit apartmen di Mekah yang dibuatnya selaku pengerusi syarikat milik kerajaan negeri. Katanya rumah berkenaan kekal dimiliki oleh syarikat berkenaan.

Berikut adalah sedutan daripada wawancara dengan Khir Toyo:

Rentetan daripada siasatan ke atas isu melibatkan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Tun Ling Liong Sik dibawa ke mahkamah. Pada masa itu timbul nama Datuk Seri.

Nama sayalah (timbul). Saya tak ada ambil hati. Saya tahu semua cerita. Saya tahu dua tiga hari sebelum tu. Saya tak risau. Negara kita ada undang-undang, ada sistem. Yang salah akan tetap dikenakan tindakan. Mahkamah akan tentukan salah atau tidak.

Saya ambil contoh tentang (pengarah penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad), semua salahkan Kudus, tapi hari ini dia diadili. Jadi jangan cepat buat persepsi orang ini dia ada kes. Tun Dr Ling Liong Sik pun belum tentu salah lagi.

Satu lagi yang menjadi tuduhan ialah berkenaan kediaman Datuk Seri. Adakah lebih baik jika sebuah agensi hartanah menilai rumah Datuk Seri untuk memadamkan cakap-cakap ini?

(Firma) Rahim & Co sudah nilaikan rumah saya. Saya dah keluarkan dalam blog saya, apa lagi? Adakah Rahim & Co tak independen? Dia dilantik oleh bank, bukan saya. Takkanlah bank tak bijak dan biarkan saya lantik penilai sendiri? Saya dapat pinjaman daripada bank (untuk beli rumah tersebut). Kalau saya dapat rumah itu dengan tunai, orang bolehlah siasat saya.

Kosnya tak mencecah RM24 juta?

Kalau 24 juta saya dah kayalah.

Jadi apa yang Datuk Seri tulis dalam blog ini...

(Adalah) realiti. Saya nafikan (tuduhan). Sebab itu saya saman balik (ADUN Sekinchan) Ng Sue Ling ini. Orang ini tidak lulus matematik dalam STPM pun. Dia tak terlibat dengan penilaian harta. Saya tak faham kenapa press semua percaya dengan dia. Kalau dia ni ada kelulusan dalam penilaian hartanah, bolehlah percaya. Saya saman tanya beritahu dari mana datang 24 juta, tak boleh jawab. Ini adalah tuduhan politik daripada political animal. Terpulang pada pihak berkuasalah. Kalau dipanggil saya akan pergi. Malah, saya isytiharkan semua aset saya.

Bagaimana pula dengan tuduhan mengenai lawatan ke Disneyland?

Ini bukan isu. Saya pergi, singgah dekat Perancis, nak pergi ke Jerman. Ada masa terluang kita lawat Disneyland untuk mencari pengalaman. Bukan kita betul-betul ke Disneyland. Untuk kunjungan itu saya bawa balik RM3 billion. Tiada apa-apa kesalahan.

Kalau hari ini, kerajaan negeri tak pergi ke Eropah. Pergi ke China dan Singapura sahaja untuk dapatkan pelabur, ia mustahil sebab syarikat di China takkan buka kilang di Selangor kerana kos untuk menjalankan perniagaan di Selangor tinggi berbanding di China.

Tetapi syarikat di Eropah (saya) tumpukan, yang ada teknologi tinggi semua sedang mencari tapak untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan di Selangor. Tiap-tiap tahun saya pergi tiga kali. Saya pergi Jepun, saya pergi Korea, Eropah, Amerika, sebab nak tarik pelaburan.

Jika saya duduk dalam negara sahaja, jadi macam sekaranglah. Terus terang saya katakan, nak pergi negara Arab untuk pelaburan susah. Saya dah buat. (Penasihat ekonomi Selangor Datuk Seri) Anwar Ibrahim kata apa? Dia kata kerajaan (dapat pelaburan) berbillion (daripada) syarikat dari Timur Tengah padahal sampai sekarang tak berlaku.

Timur Tengah bukan (dalam industri) pembuatan. Dia macam kita, pemaju, syarikat infrastruktur, perkara seperti itu. Tapi yang betul-betul (dalam) pembuatan, perjalanan saya ke Disneyland inilah hasilnya (syarikat pembuat sel solar) Q-Cell tengah buat tu.

Jadi hasil dari pergi Morocco dan Disneyland jumlahnya RM3 billion?

Kita pergi ke sekeliling tempat masa tu. 15 hari kita pergi, bukannya (dengan) tangan kosong sahaja. Saya boleh duduk dalam negara sahaja. Tak ada perbelanjaan.

Ada tak perbelanjaan tambahan ditanggung. Contohnya Datuk membawa terlalu ramai orang?

Mereka tanggung kos sendiri. Mereka boleh ikut lawatan saya selagi mereka tanggung kos sendiri. Kalau anda nak bincang dengan syarikat besar-besar ni tak boleh pergi seorang. Anda kena datang dengan pegawai dan delegasi.

Jadi berapa banyak pulangan yang diperolehi daripada misi dagangan ini?

Kalau that lawatan itu sendiri, kita dapat RM3 billion. Yang selebihnya banyak lagilah. RM1 billion, RM2 billion. Saya pergi ke Jepun dapat RM1 billion. Sebab itu kita dapat RM11.87 billion (semuanya).

Jadi Datuk kata semua perbelanjaan untuk lawatan ini sudah ditampung dengan pelaburan yang dibawa masuk?

Ya. Peluang pekerjaan cukup banyak. 30,000. Ia bukan (kerja) mudah. Anda ingat seronok ke pergi seberang laut ni?

Bolehkah lawatan ini dibuat dengan kos lebih murah?

Isunya sekarang, OK. Saya terus terang katakan saya ikut Arahan Am. Saya ikut undang-undang.
OK, anda (tanya) begitu, OK. Anda tidak persoalkan mengapa PM naik penerbangan kelas pertama? Isunya sama. Saya tak nampak ada salah. Kalau ada masalah, maka ambil tindakan.

Jadi Datuk hanya menikmati kemudahan ini?

Saya rasa, kalau nak kira kemudahan, saya kerja 18 jam sehari. Sepatutnya saya dapat lebih lagi. Saya rasa dan lihat pembangunan selama lapan tahun itu sangat baik. Rekod menunjukkan IMD (Institute of Management and Development) sendiri buat laporan, bukan saya yang hendak angkat bakul, rekod dalam audit syarikat berkaitan kerajaan negeri pun nampak semua.

Bagaimana pula dengan bayaran insentif daripada GLC kepada Datuk sebagai MB? Khalid Ibrahim persoalkan perkara ini

Saya rasa semua MB dapat, termasuk Khalid Ibrahim hari ini. Ini (amalan) daripada MB sebelumnya. Kita ikut sahaja.

Datuk tak persoalkan? Mengapa?

Tidak. Setiap MB. Siapa-siapa pun (dapat).

Adakah ini amalan standard di negeri lain?

Setakat yang saya tahu. Sebab kita habiskan banyak masa bersama. Dan, yalah, kita ikut bonus pegawai dapat. Dan kita jalankan perniagaan. Kita tak guna duit rakyat pun.

Jadi bayaran ini hak sebagai MB?

Sebab isunya, PKNS (menghasilkan keuntungan) daripada menjalankan perniagaan. (Seperti) setiap CEO dia setiap syarikat swasta. Samalah, sebagai menteri besar, kita sebagai pengerusi PKNS satu perkara berbeza. Kita kena luangkan masa lebih.

Jadi ini bayaran untuk usaha lebih untuk GLC ini?

Ya, kalau syarikat rugi saya kena tanggung juga, betul tak? Ini perniagaan. Business is business.

Datuk juga ambil tanah yang ditawarkan pada harga diskaun. Datuk tidak rasa 'saya tidak patut ambil?'

Sekali sahaja seumur hidup saya. Dekat Bangi, tiga lot rumah, tak ingat dah. Sekali. Seumur hidup. Setakat pengetahuan saya, saya tidak ambil hak rakyat.

Ini pula tentang pembelian apartmen di Mekah


Saya beli atas nama saya on behalf sebagai pengerusi. Ia dipunyai oleh negeri. Saya dah suruh (pindah milik kepada kerajaan negeri) sekarang ini. Tapi (GLC) tak mahu buat. Tak tahu (kenapa). Apa saya dokumen (yang perlu), saya akan tandatangan. (Ketika itu) PNSB (Permodalan Negeri Selangor Berhad) memberi kuasa untuk membeli lima buah apartmen. Kita ditawarkan lebih, tapi mereka pun nak beli lima sebab (terma belian) tunai. Lima buah (milik) KDEB (Kumpulan Darul Ehsan Berhad) ada lagi lima, sepuluh.

(Saya jelaskan dalam blog), kami ditawarkan lebih sebab masa saya beratur ramai-ramai saya dapat lebih, tawarkan kepada kerajan negeri, kerajaan negeri sanggup beli hanya lima. Yang lain ditawarkan kepada orang lain lah, kalau tidak rugilah deposit.

Tapi sebelum beratur tu Datuk tentu ada kelulusan daripada lembaga pengarah untuk beli lima sahaja?

Tidak, tidak, tidak. Saya pergi ke sana dulu.

Jadi apabila sudah beli baru ditanya kerajaan negeri mahu atau tidak?

Tidak, saya tawarkan kepada mereka di sini (Malaysia). Mereka (lembaga pengarah) buat mesyuarat semua di sini.

Tapi masa mula-mula beli, beli untuk Datuk sendiri dululah?

Tidak, saya tidak ada. Saya beli sebagai pengerusi. Mula-mula kita beli dapat lima, tapi ditawarkan lebih. Syarikat kata dia tak nak. Saya kata kalau ada pembeli yang nak beli lebih baik dibeli. Kalau tidak, tak diambil. Lembaga kata beli lima. Saya ditawarkan lebih

Itulah soalnya. Lembaga pengarah kata beli lima sahaja, mengapa Datuk beli lebih?

Saya ditawarkan lebih. Lembaga kata beli lima, di sana ditawarkan lebih. Saya kata kalau tidak mahu beli, cari pembeli lain.

Masa itu belum beli lagi?


Belum lagi. Saya jalankan dengan fikiran yang jelas. Tiada apa yang hendak disembunyikan. Lima, itu yang depa mampu. Sebab bayar tunai. Jadi sampai sekarang sebarang surat saya (akan) tandatangan. Saya tak terlibat langsung dalam pengurusan, transaksi, tak ada. Tiada satu pun masuk ke dalam akaun saya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan