Isnin, 30 Ogos 2010

TUNTUT KERANA HAK

K'tan saman Petronas berhubung royalti minyak
Hafiz Yatim
Ogos 30, 10
10:42am

Kerajaan negeri Kelantan, dengan ketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, telah memfailkan saman terhadap syarikat minyak negara, Petronas, untuk menuntut royalti minyak yang tidak dibayar sejak 2004.

Saman terhadap Petronas itu meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan.

Nik Aziz yang diiringi oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yaakob dan exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan, menyaksikan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Dagang Kuala Lumpur pagi ini. Turut hadir ialah bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramlli.

Peguam kanan Tommy Thomas mewakili kerajaan Kelantan.

Notis sepanjang 47 halaman itu antara lainnya menuntut:

1. Pelaksanaan spesifik perjanjian petroleum Kelantan.

2. Siasatan dijalankan ke atas Petronas untuk membuat pendedahan penuh berhubung fakta berkaitan bayaran tunai yang perlu dibayar kepada Kelantan.

3. Perintah supaya semua tunggakan bayaran tunai dilunaskan dalam tempoh sebulan daripada perintah mahkamah.

4. Gantirugi beserta kos dan faedah ke atas jumlah yang diperintahkan dibayar.

5. Relief lain dan juga kebebasan untuk memohon.

Anggota polis bertindak mengawal keadaan di kawasan komplek mahkamah sejak awal pagi ini.

Pertikaian berlarutan

Isu royalti minyak yang berlanjutan selama ini, timbul semula sewaktu kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai tahun lalu.

Ini diikuti dengan tindakan kerajaan pusat pula menyiarkan beberapa dalam akhbar berbahasa Melayu, menyatakan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti minyak kerana ia telah menerima "wang ehsan" sebanyak RM20 juta.

Hujah berkenaan bagaimanapun disangkal oleh bekas naib presiden Umno dan juga bekas pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkannya sebagai "menghina kebijaksanaan" rakyat Kelantan.

Saman pemula hari ini merupakan rentetan daripada tindakan kerajaan pimpinan PAS Kelantan pada Mac lalu melantik Tengku Razaleigh sebagai wakil perunding negeri itu untuk menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat.

Kelantan didakwa berhak menerima bayaran royalti minyak antara RM850 juta hingga RM1bilion untuk pengeluaran di pelantar minyak yang terletak sejauh 170 kilometer dari perairan Kelantan.

Husam sebelum ini berkata bayaran tersebut perlu dibuat mengikut Akta Petroleum 1974 yang membolehkan negeri menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil perolehan petroleum




BN bimbang tindakan saman oleh Kelantan


SHAH ALAM – Pas mendakwa Kerajaan Pusat menukar status wang royalti kepada wang ihsan atas nasihat Peguam Negara kerana bimbang dengan tindakan saman yang diambil Kelantan terhadap Petronas berhubung isu royalti minyak yang tidak dibayar kepada negeri itu.

Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad berkata, kebimbangan itu jelas daripada kenyataan Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, kelmarin.

Menurutnya, tindakan itu melihatkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak mahu bertanggungjawab, sedangkan yang membuat keputusan adalah Kabinet BN dan nasihat Peguam Negara itu ini dicabar di mahkamah.

“Atas dasar apakah Peguam Negara tidak memberi nasihat yang sama bagi pemberian royalti untuk Sabah dan Sarawak?

“Apa pula indikator nasihat yang diberikan Peguam Negara untuk Kerajaan BN memulangkan wang royalti Terengganu selepas Aidilfitri nanti,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Beliau ingin tahu mengapa ada nasihat ‘double standard’ dalam agenda pentadbiran Peguam Negara.

“Apakah perundangan yang ditafsir Peguam Negara sekarang dan dahulu tidak sama?. Adakah mereka membaca dokumen perjanjian Petroleum Kelantan dengan Petronas dan akta berkenaan dengan cara yang berbeza?” katanya






Tiada ulasan:

Catat Ulasan