Sabtu, 28 Ogos 2010

AKHIR ZAMAN ADA MANUSIA BERTUHANKAN WANG...INGAT! SEKETUL DAGING YANG DATANG DARI SUMBER YG HARAM,ALLAH HARAMKAN MASUK SYURGA

'Terkejut, kecewa'
Oleh Norfatimah Ahmad dan Nor Fazlina Abdul Rahim
bhnews@bharian.com.my
2010/08/28

pix_gal0
Pegawai Imigresen Tinggi diberi surat tunjuk sebab kes sogokan RM60,000

KUALA LUMPUR: “Saya terkejut dan kecewa.” Itulah maklum balas awal Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman (gambar) ketika ditanya mengenai kegiatan sogokan mencecah RM60,000 yang diterima sesetengah anggota dan pegawainya di Jeti Pulau Ketam hingga menyebabkan pintu masuk negara di Pelabuhan Klang itu mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.

Malah, beliau juga tidak menjangka keadaan sebegitu teruk walaupun selepas menempatkan antara empat hingga lima pegawai dari ibu pejabat imigresen di setiap pintu keluar masuk untuk memantau operasi harian menjelang Aidilfitri ini.

“Nampaknya langkah menempatkan pegawai dari ibu pejabat imigresen ini masih tidak cukup dan tidak berjaya untuk mengekang kejadian itu (pendatang tanpa izin bolos dan sogokan kepada anggota serta pegawai imigresen). Tidak ada kompromi dalam hal ini (rasuah), semuanya kerana mereka tidak boleh kawal nafsu.

“Dalam hal ini, amaran adalah kepada Pegawai Imigresen Tinggi (PIT) yang bertanggungjawab mengawal selia situasi di pintu keluar dan masuk negara kerana jika mereka alpa, tentunya pelbagai masalah berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai anggota penguatkuasa jabatan itu dipercayai dibayar kira-kira RM2,000 sehari untuk ‘peranan’ mereka memudahkan urusan keluar dan masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cap palsu atau tiada dokumen.

Habuan yang diterima anggota penguatkuasa itu dibiayai sekurang-kurangnya empat sindiket yang dianggotai kira-kira 80 ejen warga Indonesia yang dikatakan beroperasi di jeti itu, selain berpuluh ribu pendatang tanpa izin yang menggunakan khidmat chalo setiap hari.
Chalo terbabit menawarkan khidmat dikenali sebagai ‘bawah pokok’ bagi urusan cap palsu imigresen bagi warga Indonesia yang tiada dokumen keluar-masuk negara ini dan tinggal melebihi tempoh, tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing.

Ejen haram ini mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM1,800 bagi setiap pelanggan mereka bergantung kepada khidmat yang disediakan.

Abdul Rahman berkata, mengikut prosedur biasa, pihaknya akan mengemukakan surat tunjuk sebab untuk dijawab anggota dan pegawai di jeti berkenaan dalam tempoh tertentu.

“Langkah pertama yang diambil semalam adalah mengarahkan PIT jeti berkenaan memberi penjelasan berhubung isu ini,” katanya.

Mengenai kawalan di pintu keluar masuk negara ini, beliau berkata, pelabuhan dan jeti sering kali menjadi tumpuan terutama golongan bawahan kerana ia menjimatkan, berbanding laluan darat atau udara.

“Sebenarnya kerja imigresen ini mudah, kecuali anggotanya tidak menggunakan mata, telinga dan hati. Bagaimanapun, jika ada yang membolosi pintu masuk ia bukan saja kegagalan imigresen, malah agensi penguatkuasa lain,” katanya




Cari dalang sindiket Pulau Ketam
Oleh Norfatimah Ahmad dan Nor Fazlina Abdul Rahim
bhnews@bharian.com.my
2010/08/28

pix_gal0
APMM hantar unit khas siasat terperinci individu terima sogokan

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menghantar satu unit siasatan khas ke kawasan perairan yang menjadi laluan feri keluar masuk dari Pelabuhan Klang ke Indonesia untuk menjalankan siasatan dalaman berhubung sogokan yang diterima seperti yang dilaporkan.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish, berkata walaupun pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan berhubung kes berkenaan, namun tetap memandang serius perkara itu kerana bimbang keselamatan negara akan tergugat.

Beliau berkata, unit penyiasatan khas yang ditugaskan ke lokasi terbabit akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti individu yang menjadi dalang membantu sindiket membawa keluar masuk pendatang asing.

“Sekiranya siasatan mendapati anggota APMM terbabit, hukuman setimpal akan dikenakan iaitu tindakan tatatertib termasuk membuang kerja kerana menganggap kesalahan yang dilakukan itu terlalu berat.

“Memang saya sendiri terkejut ketika dimaklumkan kegiatan tidak bermoral itu kerana sebelum ini menyangka pemeriksaan yang dilakukan bagi mengawal kemasukan warga asing tanpa dokumen dalam keadaan terkawal dan ketat.

“Bagaimanapun, APMM meminta sekiranya ada pihak yang mempunyai sebarang bukti supaya tampil membantu memudahkan siasatan kerana perkara itu bukan kesalahan kecil,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Berita Harian semalam melaporkan, anggota penguatkuasaan termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Laut, APMM dan Polis Marin yang ditugaskan menjaga perairan negara dan pintu keluar masuk jeti di pelabuhan jeti Pulau Ketam didakwa menerima wang sogokan lumayan menyebabkan pelabuhan itu mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.

Mohd Amdan berkata, semua pihak tidak boleh menuding jari kepada satu jabatan saja untuk meletakkan kesalahan ini kerana tanggungjawab menjaga sempadan negara adalah tugas bersama jabatan penguatkuasaan lain.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Laut, Datuk Kapten Ahmad Othman, berkata setiap anggota yang ditugaskan di jeti berkenaan sentiasa bertukar ganti dan masalah seperti itu sepatutnya tidak berlaku.


Imigresen Tidak Amanah, SPRM Tiada Kuasa, Menteri Dalam Negeri Letak Jawatan Segera
Ustaz Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu pihak Kerajaan mempertingkatkan Intergriti dan Kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam langkah memerangi rasuah dinegara ini. Laporan Berita Harian pada hari ini mengenai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa kalangan penguatkuasa Imigresen di Pulau Ketam adalah antara contoh kelemahan sistem pentadbiran negara.

Kebanjiran warganegara asing tanpa izin yang dilaporkan melebihi melebihi 2.1 juta orang merupakan ancaman besar pada negara. Tetapi amat malang kerana kehadiran mereka turut didalangi oleh penguatkuasa imigresen yang sepatutnya mengawal kemasukan warganegara asing ke negara ini.

PAS amat kecewa dengan laporan ini dan mahu Menteri Dalam Negeri dan Pengarah Imigresen mengambil tanggungjawab meletakan jawatan dan
penguatkuasa yang tidak amanah ini dipecat segera.

PAS yakin bahawa rakyat masih belum melupakan insiden 20 tahanan warga Afghanistan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal bulan ini dan kes 16 lagi tahanan yang berjaya melepas diri di depoh yang sama awal tahun ini.

Kelemahan urustadbir Imigresen menjejaskan kredibiliti keselamatan negara. PAS mahu rombak besar dibuat dalam organisasi Imigresen dan mahu SPRM membuat siasatan penuh kepada agensi ini dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

PAS juga mahu kenyataan bekas Ketua Pengarah Biro Pencegahan Rasuah-BPR (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia-SPRM), Datuk Shafee Yahaya yang mengatakan terdapatnya orang-orang politik dalam pentadbiran Kerajaan yang menjadi punca dan mengetuai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa selama ini disiasat.

SPRM seharus menjadi sebuah badan yang bebas dan berani bertindak kepada mereka yang melanggar amanah rakyat termasuklah kalangan wakil rakyat dan Menteri. Kerajaan perlu serius untuk meningkatkan keupayaan SPRM dengan menambahkan kuasanya, meningkatkan jumlah anggota penyiasat serta membekalkan peralatan logistik yang sewajarnya.

PAS yakin, begitu banyak amalan rasuah yang berleluasa dalam agensi Kerajaan kerana setiap tahun Laporan Audit Negara pasti akan membentangkan kecurangan-kecurangan yang sukar diterima rakyat. Oleh itu setiap Kementerian dan Jabatan Penguatkuasaan perlu melantik satu jawatankuasa khas membanteras rasuah bagi membantu menyalurkan maklumat kepada SPRM serta meningkatkan intergriti jabatan mereka.

PAS menasihatkan agar para penjawat awam meningkatkan intergriti mereka dan menunaikan amanah rakyat dengan sebaiknya. Tidak semua penjawat awam mengamalkan rasuah tetapi kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. PAS yakin, amalan rasuah dan kecurangan intergriti ini akan dapat dihapuskan jika pemimpin yang menguruskan kerajaan ini terdiri dari orang-orang yang amanah kerana ikan yang busuk hanya bermula dari kepalanya.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan