Selasa, 20 Julai 2010

TAK MUSTAHIL BAGI ALLAH...IA MEMILIH SIAPA YANG ALLAH NAK PILIH

DUNIA

Pengemis seksi jadi kaya kerana Internet


PAKAIAN Cheng Guorong semasa berkeliaran di jalan-jalan Ningbo, China kini menjadi fesyen selepas gambarnya disiarkan di Internet pada Januari lalu.


NINGBO - Seorang pengemis di China, Cheng Guorong menjadi kaya dan terkenal selepas gambarnya tersiar di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.

Walaupun selekeh, berambut panjang dan berjanggut, lelaki tersebut memiliki wajah kacak yang menarik perhatian ramai peminat sejak gambarnya tersiar pada Januari lalu.

Guorong, 34, digelar pengemis paling seksi di China dan dia turut mengecapi status simbol seks di kalangan pengguna Internet.

Nasibnya berubah selepas gambarnya dirakamkan oleh seorang jurugambar amatur ketika dia berkeliaran di jalan raya di bandar ini untuk meminta makanan pada tahun lalu.

Tidak lagi menyelongkar tong sampah, Guorong kini menerima banyak tawaran iklan dan dia turut bekerja sebagai model peragaan.

Pakaiannya semasa dia menjadi pengemis turut menjadi ikon fesyen.

Para peminat lelaki tersebut turut menderma sebanyak 100,000 yuan (RM49,138) bagi membantunya memulakan hidup baru.

Dia juga ditawarkan berlakon dalam sebuah filem mengenai kisah hidupnya yang diterbitkan oleh penerbit filem tempatan, Deng Jiangguo dan menelan kos sekitar 72 juta yuan (RM34.3 juta).

Filem tersebut akan menjalani penggambaran pada September depan dan ia dijadualkan ditayangkan pada Februari 2011.

Guorong berpindah ke bandar di timur China ini pada 1996 untuk mencari kerja bagi menyara isteri dan dua anaknya tetapi malu untuk menghubungi mereka setelah dia hilang pekerjaan dan wang simpanannya habis.

Saudara-maranya menyangka dia mati sehingga mereka melihat imej-imejnya di Internet.

Guorong tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapati bapa dan isterinya terbunuh dalam satu kemalangan kereta setelah dia kembali ke kampung halamannya untuk kali pertama dalam tempoh 14 tahun baru-baru ini. - Agensi



DUNIA

Majikan beri amah RM14 juta


GAMBAR menunjukkan apartmen yang dipercayai menjadi tempat tinggal Christine bersama majikannya di Singapura.


SINGAPURA - Seorang amah Filipina yang setia berkhidmat selama lebih 20 tahun menjadi jutawan segera kerana majikannya memberikannya sebanyak S$6 juta (RM14 juta) menerusi wasiat, lapor sebuah akhbar semalam.

"Sama ada memiliki atau tidak wang itu, saya merupakan amah yang paling bertuah di Singapura," katanya yang dikenali dengan nama Christine.

Berusia 47 tahun dan masih belum berkahwin, dia enggan mendedahkan identiti dirinya dan mahu dikenali sebagai Christine kerana bimbangkan keselamatannya di Filipina yang merupakan negara yang sering menjadi lokasi penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.

Dia mendapat wasiat itu daripada majikannya yang juga seorang wanita, Dr. Quek Kai Miew yang meninggal dunia pada tahun lalu semasa berusia 66 tahun.

Kekayaan segera itu meliputi wang tunai dan sebuah pangsapuri mewah berhampiran pusat beli-belah Orchard Road.

Dia sangat rapat dengan majikannya.

Christine yang kini sedang memohon menjadi penduduk tetap Singapura menyatakan bahawa kekayaan itu tidak akan dapat mengubah gaya hidupnya.

Amah tersebut turut menjaga ibu doktor itu dan dia diberitahu akan menjadi seorang penerima wasiat yang sedang disediakan oleh majikannya pada 2008.

"Tidak ada rahsia di antara kami. Saya tidak terkejut apabila diberitahu berapa banyak yang saya akan perolehi" katanya.

Christine berasa kecewa setahun lalu apabila majikannya meninggal dunia.

"Kematian itu amat mengecewakan saya kerana tempoh saya bersama dengan doktor itu lebih lama daripada saya bersama ibu saya," tambahnya.

"Saya akan berasa sedih setiap kali saya teringatkan dia (majikannya)," kata amah tersebut. - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan