Khamis, 29 Julai 2010

NI ZAMAN MACAM2 JENIS PENIPUAN/MENCURI..ORANG LAH NI NAK KAYA CEPAT...TAK KIRA HUKUM AGAMA...BAHAYA JIKA MENGANGGAP APA KITA BUAT BETUL ORG LAIN SALAH

NEGARA

Waspada kegiatan curi e-identiti


ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai e-mel mengenai LHDN yang meragukan kerana ia mungkin jerat penjenayah Internet.


KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap percubaan kumpulan tertentu mencuri e-identiti (phishing) dengan mengambil kesempatan daripada langkah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengembalikan lebihan bayaran cukai ketika ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan semalam memberitahu, mangsa akan menerima e-mel tidak diundang (spam) kononnya daripada LHDN yang mengatakan mereka berhak mendapatkan pengembalian wang berjumlah RM700.

Mereka kemudian diminta mengklik logo sebuah bank tempatan yang disediakan di laman web palsu LHDN untuk meneruskan proses selanjutnya.

"Jika arahan ini diikuti, orang ramai tanpa disedari akan mendedahkan maklumat kewangan peribadi mereka," kata kenyataan itu yang memberi gambaran ringkas tentang modus operandi percubaan mencuri e-identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.

Sehubungan itu, MCMC mencadangkan orang ramai agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menggunakan browser laman web terkini dengan penyaring e-mel phishing tersedia bina.

Selain itu, mereka juga tidak perlu mudah mempercayai e-mel yang mengumumkan kejayaan memenangi hadiah wang tunai atau pengembalian wang yang meminta maklumat perbankan di Internet.

Orang ramai juga dinasihati supaya tidak menjawab e-mel sedemikian dan menghubungi bank masing-masing jika ragu-ragu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrun Maslim berkata, pihaknya ada menerima aduan mengenai e-mel palsu tersebut pada 21 Julai lalu dan siasatan terhadap perkara itu sedang dilakukan.

"LHDN menerima laporan mengenai aduan tersebut dari 37 cawangan LHDN di seluruh negara dan kami dapati e-mel tersebut sememangnya mempunyai unsur jenayah iaitu mencuri identiti serta maklumat akaun individu lain.

"Ini kerana LHDN tidak pernah menghantar sebarang e-mel atau pemberitahuan kepada pembayar cukai melalui e-mel. LHDN hanya menghantar surat rasmi kepada pembayar cukai berdaftar," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.



NEGARA

Pelaburan auta syarikat MLM


SEORANG pegawai polis melihat sebahagian daripada 18 buah kereta mewah yang dirampas daripada 59 individu di Subang Jaya semalam.


KUALA LUMPUR - Keghairahan golongan muda yang ingin mendapatkan keuntungan cara mudah melalui satu skim jualan langsung (MLM) dengan cara mencari orang bawahan yang mampu melabur sehingga RM41,000 musnah apabila mendapati mereka sebenarnya ditipu.

Modus operandi sindiket tersebut ialah dengan mengedarkan risalah di sekitar kawasan perniagaan dan perumahan di Subang Jaya. Risalah tersebut mengandungi kata-kata manis untuk mengecap kekayaan dengan usaha yang minimum.

Anggota-anggota sindiket itu pula akan menggunakan kereta-kereta mewah seperti BMW pelbagai siri, Mercedes Benz, Toyota Aplhard dan Nissan Fairlady setiap kali hadir menyampaikan ceramah di lokasi-lokasi yang ditetapkan.

Difahamkan, kesemua kereta itu didaftarkan dengan digit nombor yang sama bagi meyakinkan orang ramai.

Mangsa-mangsa dikehendaki membayar antara RM10,000 dan RM41,000 mengikut pakej yang ditetapkan dan perlu mencari orang bawahan bagi melayakkan mereka menerima imbuhan iaitu sebanyak RM2,500 dalam tempoh tiga hari.

Bagaimanapun, kegiatan penipuan sindiket yang beroperasi di Subang Jaya sejak dua tahun lalu itu terbongkar apabila seramai 59 ahli sindiket termasuk sembilan wanita ditahan selepas polis menerima tiga laporan daripada mangsanya yang terdiri daripada kakitangan kerajaan.

Serbuan pada pukul 10 malam kelmarin di dua buah restoran di kawasan Mentari Court Subang Jaya itu dilakukan ketika ahli sindiket berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an itu sedang leka mengadakan ceramah.

Difahamkan, ketika serbuan terdapat lebih 30 pengunjung berada di situ.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa (gambar) berkata, selain pulangan wang, sindiket itu juga menawarkan hadiah berupa barangan serta percutian.

Katanya, mangsa yang gelap mata akan mudah terpedaya dengan imbuhan serta hadiah yang ditawarkan dan terus membuat pinjaman untuk melabur ke dalam skim tersebut.

"Sindiket juga membantu menyediakan bantuan kewangan bagi pelabur yang berminat. Mereka kemudian akan mengarahkan mangsa supaya mencari orang bawahan bagi merancakkan perjalanan wang tersebut.

"Itu hanyalah taktik sindiket di mana mereka akan menggunakan wang yang dicari daripada orang bawahan untuk dibayar kepada pelabur berkenaan dan begitulah seterusnya. Skim tersebut sebenarnya tidak membuat sebarang keuntungan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Rohaimi berkata, tiga kakitangan kerajaan yang membuat laporan polis tersebut mendakwa mereka ditipu sindiket berkenaan apabila langsung tidak menerima pulangan wang yang dijanjikan



NEGARA

Kabel lesap, beribu-ribu terjejas


MOHD. ZAHIR menunjukkan pagar yang dipotong dalam kejadian pencerobohan di pencawang utama TNB di Chemor, Perak semalam.


IPOH – Tindakan beberapa pencuri melarikan kabel tembaga dari Pencawang Pembangunan Utama (PPU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini awal pagi kelmarin menyebabkan lebih 2,000 pelanggan termasuk 1,000 kilang terputus bekalan elektrik selama lebih enam jam.

Kumpulan pencuri itu yang sekadar menggunakan gergaji dan lampu suluh menceroboh kawasan itu dengan memotong pagar di bahagian belakang PPU tersebut.

Sebaik sahaja memotong beberapa set kabel tembaga berharga RM150,000 dan sepanjang 50 meter setiap satu, keseluruhan kawasan seluas beberapa kilometer persegi di sekitar PPU itu bergelap mulai pukul 4 pagi.

Walaupun bekalan disambung semula enam jam kemudian, ada kawasan mengalami gangguan susulan sehinggalah pulih sepenuhnya pukul 7 malam kelmarin.

Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Perindustrian Kanthan yang menempatkan lebih 1,000 kilang.

TNB percaya ada suspek melecur terkena percikan api sewaktu mencuri kabel itu.

Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Mohd. Zahir Md. Nagor berkata, siasatan TNB membawa kepada penemuan gergaji yang terbakar dan sedikit mencair.

“Kami harap hospital atau klinik yang menerima pesakit yang melecur menghubungi polis,’’ katanya kepada pemberita di sini semalam.

Zahir percaya perbuatan jenayah ini dilakukan lebih daripada seorang berdasarkan hampir 20 kepingan batu berat yang menutupi laluan kabel telah dialihkan



Kereta mewah pancing mangsa

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/07/29

KUALA LUMPUR: Kumpulan sasarannya ialah kakitangan kerajaan berpendapatan rendah yang dimomokkan dengan keuntungan amat lumayan mencecah enam angka serta kereta mewah bernilai ratusan ribu ringgit setiap satu.

PELBAGAI...antara kereta mewah di lokasi perjumpaan ahli skim  terbabit.
PELBAGAI...antara kereta mewah di lokasi perjumpaan ahli skim terbabit.
TAHAN...antara ahli skim cepat kaya yang ditahan.
TAHAN...antara ahli skim cepat kaya yang ditahan.
Setiap kali pertemuan, deretan kereta mewah milik ‘upline’ antaranya BMW 5 Series, Nissan Fair Lady, BMW Z4 Spider, Mitsubishi Evo Lancer serta Nissan GTR Skyline akan diparkir di hadapan kafe atau restoran yang menjadi lokasi perjumpaan bagi memancing mangsa, selain menggambarkan keuntungan luar biasa yang bakal diperoleh.

Itu taktik digunakan satu sindiket skim cepat kaya yang mengaut keuntungan atas angin dan aktif sejak tiga tahun lalu, kini disertai ribuan ahli di seluruh negara dengan majoritinya kakitangan kerajaan.

Berselindung di sebalik nama kelab riadah dan keluarga, sindiket itu menawarkan pelaburan eksklusif dengan menjalankan perniagaan jualan langsung berasaskan produk makanan kesihatan sedangkan ia palsu.

Modalnya juga bukan sedikit kerana ahli perlu membuat pelaburan sekurang-kurangnya RM41,000 sedangkan pulangan yang diterima tidak mencecah RM5,000 sebulan.

Sesi perbincangan untuk berkongsi pelan pemasaran tidak berakhir dalam sehari. Dalang yang juga upline berpura-pura akan berkongsi keuntungan dan membantu mencarikan modal pelaburan melalui pinjaman bank yang akan diluluskan segera

Selain kereta mewah, dalang lintah darat terbabit sentiasa bermegah-megah dengan barangan mewah dan menceritakan pendapatan mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit sebulan.

Segala taktik itu terbongkar apabila lokasi pertemuan ahli kelab terbabit diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, JSJK Selangor dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) melalui Ops Serama di Pusat Perniagaan Mentari, Bandar Sunway, dekat sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata bertindak atas maklumat dan laporan orang ramai pihaknya menyerbu empat restoran dan menahan kira-kira 100 ahli serta dalang skim terbabit.

“Mereka tidak mempunyai pendaftaran syarikat dan bergerak bebas mencari mangsa yang juga kakitangan kerajaan muda serta berpendapatan rendah. Pada peringkat awal, mangsa diminta membuat pelaburan RM41,000. Jika mangsa tidak berkemampuan mereka akan menawarkan pelaburan RM13,000 dan paling rendah RM2,000.

“Namun, dek kerana tamak, ada yang sanggup meminjam daripada ahli keluarga dan saudara-mara untuk melabur dengan modal tinggi kerana dijanjikan keuntungan lebih besar,” katanya sambil memberitahu skim itu menjalankan pelaburan berkonsepkan piramid.

Rohaimi berkata, jika mangsa gagal mendapat pinjaman daripada institusi kewangan, sindiket itu akan bekerjasama dengan koperasi yang ‘tenat’, namun jika gagal mendapatkan pelabur baru untuk melangsaikan hutang, mereka akan menerima ugutan dan ancaman ala along.

“Dalam serbuan itu kami menahan beberapa dalang yang sedang memperdayakan mangsa untuk melakukan pelaburan dan merampas 17 kereta mewah menggunakan nombor pendaftaran 8282, 925 dan 3399 yang menjadi simbol identiti sindiket itu.

“Dalang terbabit memujuk serta meyakinkan mangsa terutama mereka yang bekerja sebagai penjawat awam, badan berkanun atau syarikat swasta yang mempunyai panel dengan institusi kewangan kerana mudah membuat pinjaman melalui skim potongan gaji atau Biro Angkasa,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

Menurut Rohaimi, pihaknya sudah sebulan melakukan intipan dan memerhati pergerakan sindiket penipuan terbabit dan pihak KPDNKK juga menerima lebih 30 laporan berhubung kegiatan itu.

“Selepas mengambil keterangan, kami menahan 50 lelaki dan sembilan wanita dipercayai ‘orang kanan’ sindiket terbabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan direman sehingga esok.

“Siasatan awal juga mendapati, mereka tidak mempunyai sebarang lesen jualan langsung serta pendaftaran syarikat. Segala transaksi pemindahan wang dimasukkan ke dalam akaun individu upline masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan KPDNKK Putrajaya, Shahrudin Hamzah meminta orang ramai berhati-hati dengan sebarang skim pelaburan cepat kaya dan berkonsep piramid.

“Mereka boleh mendapatkan maklumat melalui laman web KPDNKK bagi mengesahkan sama ada syarikat yang menjalankan aktiviti jualan langsung itu berdaftar atau tidak. Mereka yang meragui kesahihan perniagaan itu diminta membuat laporan di pejabat KPDNKK untuk tindakan selanjutnya.

“Skim cepat kaya ini kebiasaannya menyebabkan mangsa terjebak masalah kewangan, kekeluargaan dan kemasyarakatan serta menjejaskan prestasi kerjaya. Ini perkembangan tidak sihat untuk penjawat awam,” katanya




Bersama Selebriti: ‘Tiada jalan pintas hidup mewah’


2010/08/01

Deja Moss
Deja Moss
Artis perlu bijak elak ditipu skim cepat kaya

CERITA ‘duit hangus’ gara-gara skim cepat kaya bukan cerita baru. Malah isu ini bagaikan sudah berakar umbi dalam masyarakat kita gara-gara terpengaruh dengan janji manis kalangan yang memang bijak bermain dengan kata-kata. Tetapi masih ada yang tidak serik dan sanggup melabur wang yang begitu banyak sehingga akhirnya menjerat diri sendiri


Ikuti temu bual wartawan Berita Minggu, RAJA NURFATIMAH MAWAR MOHAMED dengan penyanyi bersuara gemersik, Deja Moss yang juga pernah menjadi mangsa skim cepat kaya.
Apa pandangan anda mengenai skim cepat kaya yang bukan saja tumbuh melata seperti cendawan selepas hujan, tetapi turut berlumba-lumba menyasarkan golongan artis sebagai ‘pelaris’ iaitu sebagai duta mereka.

Pada pandangan saya, semua skim ini perlukan pemantauan pihak kerajaan. Skim cepat kaya kebanyakannya mengelirukan dan banyak memberi kekayaan kepada pelopor ataupun golongan terdahulu menyertainya, ‘upline’ ataupun ‘pioneer’.

Bagi Deja, apakah faktor yang menyebabkan orang ramai termasuk artis boleh tertarik dengan skim cepat kaya.

Kekayaan dan kesenangan. Semua orang mahukan kesenangan dan kemewahan, bebas belenggu hutang. Sesiapapun tanpa membuat kajian dan pemahaman teliti dan mendalam apabila dijanjikan kesenangan dan kemewahan akan mudah dipengaruhi.
Janji manis ditaburkan membuat masyarakat atau artis terpedaya dengan kemewahan dijanjikan. Apa lagi dengan penampilan dan kenderaan mewah ditunjukkan, kononnya golongan yang berjaya, pasti membuat sesiapa pun terpengaruh, termasuk golongan artis. Kebanyakan skim ini menyasarkan artis kerana mereka mempunyai ramai pengikut. Akses kepada media elektronik dan cetak begitu meluas termasuk internet dapat dicapai masyarakat di seluruh pelosok negara. Skim cepat kaya perlukan manusia sebagai pelabur.

Lagi ramai pelabur, lebih cepat akan terkumpul modal. Golongan paling ramai pengikut selepas menteri atau ahli sukan adalah selebriti. Pada pandangan masyarakat pula, jika artis ini dilantik sebagai duta, mereka tidak akan menipu. Ke mana mereka akan lari kerana wajah mereka dikenali masyarakat. Itu terjadi apabila golongan artis sendiri menjadi mangsa tipu, masyarakat lebih cenderung memilih artis memikul tanggungjawab daripada mencari pelopor kepada skim ini. Pihak berkenaan adalah golongan orang yang tidak dikenali. Sebab itu kadang kadang kita melihat berita di dada akhbar, artis yang dijadikan duta terpaksa tampil membersihkan nama dan menjawab segala kekeliruan yang timbul. Padahal golongan pelopor skim ini yang meraih keuntungan.

Bagaimana Deja boleh terpedaya dengan syarikat itu? Apakah taktik yang diamalkan mereka.

Seperti yang saya nyatakan, skim itu diperkenalkan oleh kawan yang dikenali lebih lima tahun. Memang datang dari keluarga berada seperti biasa, menjemput saya ke rumah bersama rakan-rakan lain untuk makan malam sebelum memperkenalkan rakan lain kepada skim itu. Cerita disampaikan memang cukup meyakinkan sampaikan saya terfikir, “oh macam ni rupanya dia mewah” padahal saya sudah tahu memang dia daripada golongan berada. Kawan yang diperkenalkan kepada kami tampil dengan cukup bergaya, tetapi selepas diselidik dia hanya menyewa sebuah bilik di sebuah rumah kedai dan menunggang motosikal cabuk!

Apakah langkah yang boleh diambil bagi mengawal perkembangan skim cepat kaya ini, termasuk memperketatkan undang-undang sedia ada.

Skim cepat kaya, sistem piramid atau lain-lain perlukan pemantauan dan pemerhatian pihak berkuasa dari semasa ke semasa. Perlu ada lesen dan permit, bukan selepas ramai menjadi mangsa baru hendak memantau. Undang-undang dan prosedur sedia ada bagi saya sudah cukup ketat dan susah, tetapi golongan golongan ini bijak mencari ruang dan kelemahan pada peraturan sedia ada.

Apa nasihat Deja kepada peminat yang mudah percaya atau yakin dengan skim ini semata-mata kerana terpengaruh dengan artis kesayangan mereka yang turut menyertainya.

Masyarakat lebih bijak menilai dan berfikir yang baik dan buruk. Mereka perlu ingat, artis juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan akan terus melakukan kesilapan. Nasihat saya, berhati-hati dan selidik secara mendalam apabila ingin melaburkan wang yang disimpan hasil dari peluh keringat diri sendiri, sebelum menyerahkan kepada orang lain. Seperti yang saya nyatakan, nothing comes easy.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan