Sabtu, 31 Julai 2010

KENAPA TAK SEPENDAPAT SEDANGKAN SATU PARTI

Menteri: Pemuda Umno usah berkokok
Jul 31, 10 5:41pm
Cadangan Pergerakan Pemuda Umno supaya kerajaan turut membenarkan pensyarah dan mahasiswa melibatkan diri dalam politik seperti yang diberikan kepada guru perlu dipertimbangkan secara mendalam.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata universiti dijadikan sebagai gelanggang politik dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai masalah pada masa akan datang.

"Proses mempengaruh akan berlaku sekiranya universiti itu dijadikan gelanggang politik. Walaupun cadangan itu disertakan dengan syarat iaitu pensyarah perlu beri perhatian mengajar dan pelajar beri perhatian untuk belajar, namun, tetap akan menimbulkan masalah," katanya pada majlis penyampaian
hadiah golf amal anjuran Majlis Kebajikan dan Pembangunan Penyayang (Mayang) Parlimen Pasir Gudang, di Johor Bharu, hari ini.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan supaya kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan golongan mahasiswa untuk aktif berpolitik.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata langkah itu boleh melahirkan barisan pemimpin politik yang terbaik.

Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang berkata pensyarah yang mempunyai pegangan politik akan berusaha sedaya upaya supaya pemikiran dan pendiriannya menjadi ikutan dan disokong semua pihak.

"Kalau kita benarkan pelajar berpolitik dalam universiti, pensyarah pun hendak berpolitik juga. Kalau kita benarkan kedua-duanya berpolitik, bayangkan kalau pelajar itu orang Umno dan pensyarahnya pula daripada Pas, apabila tidak lulus dia akan salahkan pensyarah. Macam-macam boleh timbul," katanya.

Menyifatkan cadangan Pemuda itu sebagai populis, beliau berkata Pemuda perlu mengemukakannya kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno bagi mendapatkan keputusan.

"Kalau MT buat keputusan, saya sebagai ahli Umno akan patuh sahaja tanpa banyak soal. Jangan berkokok di luar, bawa dalam mesyuarat MT dan tengok apa keputusannya," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata pertandingan golf amal kali kelima yang berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM285,000 hari ini, akan diteruskan untuk mengisi dana Mayang bagi membantu golongan miskin di kawasan Pasir Gudang.

Beliau berkata empat buah kelas tuisyen percuma juga akan dibuka dalam masa terdekat di kawasan Pasir Gudang sebagai usaha menyediakan pendidikan sempurna kepada anak-anak golongan miskin.

--Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan