Ahad, 18 Julai 2010

FIKIR DENGAN WARAS...FIKIRLAH MENYEBELAHI HUKUM ALLAH...TAKWA MENENTUKAN SYURGA ATAU NERAKA


Harussani wajib nasihat Umno hayati Islam
Yangretibase

Menjadi tanda tanya kepada saya, atas kapasiti sebagai siapakah Tan Sri Harussani Zakaria beria-ia benar bersedia untuk memainkan peranan sebagai orang tengah atau perantara bagi tujuan menyatupadukan orang Islam PAS dengan orang Melayu Umno?

Sebagai Mufti Perak? Sebagai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria wajib menumpukan sepenuh perhatiannya pada amanah dan tanggungjawab kemuftiannyasecara khusus dalam negeri Perak Darul Ridzwan. Tidak menjadi tugas dan tanggungjawab beliau untuk urusan penyatupaduan antara dua buah parti politik.

Beliau tidak perlu bersusah payah untuk satu tugasan yang sangat berat, sedangkan beliau gagal melaksanakan satu tugasan ringan yang menjadi haknya.

Sebagai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ialah penasihat agama kepada Tuanku Sultan Perak. Tidakkah Tan Sri berasa takut dan malu kepada Allah SWT apabila nasihat Tan Sri tidak diendahkan oleh ahli keluarga Diraja Perak dalam perkara wajib yang terlalu mudah untuk ditunaikan, misalnya dalam rukun menutup aurat.

Sebagai seorang ulama? Sebagai ulama benar atau ulama akhirat, Tan Sri Harussani Zakaria sesungguhnya wajib meletak jawatan apabila nasihat yang wajib tidak dipatuhi; namun, sekiranya Tan Sri yang takuk untuk menyembahkan nasihat, maka beranilah saya mengatakan bahawa Tan Sri bukanlah seorang ulama benar, tetapi hanyalah ulama su' yang takutnya kepada manusia mengatasi takutnya kepada Allah SWT.

Kalau Tan Sri Harussani Zakaria merasakan dirinya itu ulama malaki pada peringkat nasioanal, beliau harus membuktikan peranannya yang berkesan; tetapi hingga ke saat ini setelah lebih kurang dua puluh lima tahun beliau berpeluang memainkan peranannya, saya tidak nampak apa-apa rancangan beliau yang mampu mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan gejala jenayah pelbagai jenis yang bermaharajalela yang melibatkan orang Islam di Malaysia.

Saya tidak nampak pun apa-apa program Tan Sri Harussani Zakaria secara besar-besaran dalam menolong menjadikan orang Islam Malaysia ini benar-benar orang mukminin dan mukminat sejati, atau hamba Allah SWT yang bertaqwa kepada-Nya. Menurut satu kajian, sebanyak 80% orang Islam Malaysia tidak menunaikan solat secukup lima waktu dalam masa sehari dan semalam. Aspek dahsyat ini yang patut diutamakan; bukan aspek perpaduan parti politik.

Industri hiburan dan media merupakan tsunami besar yang melanda masyarakat Islam Malaysia, terutamanya dalam kalangan remaja, sehingga menjadikan sebahagian masyarakat Islam Malaysia hilang arah, hilang matlamat hidup dan sesat. Mala petaka ini yang lebih wajib dipedulikan oleh Tan Sri Harussani Zakaria daripada menyibuki urusan PAS. Saya fikir, PAS tidak memerlukan bantuan Tan Sri.

Sebagaimana pengakuannya, Tan Sri Harussani Zakaria tidak menyertai mana-mana parti politik. Katanya, beliau orang tengah yang duduk atas pagar. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia maklum bahawa beliau berpihak kepada Umno. Oleh sebab itu, lebih wajarlah beliau menyampaikan nasihat yang wajib kepada Umno supaya Umno menghayati Islam secara holistik.

Saya berpandangan bahawa seorang ulama waris Nabi wajib senantiasa bersama-sama dengan jemaah yang jihadnya dan matlamat perjuangannya bertunjangkan al-Quran dan al-Hadith. Kalau tidak, seseorang itu bukanlah ulama warathatulanbia'; lebih-lebih lagi, jika seseorang ulama itu memusuhi kumpulan jemaah Islam berkenaan, maka ulama yang berkenaan itu pastilah seorang ulama su' atau ulama dunia.

Yangretibase,

Kuala Terengganu




Harussani semakin celaru

Harakahdaily

IPOH, 18 Julai: Sekarang sudah terang lagi bersuluh, penghujung hayat seorang mufti yang dahulunya terkenal dengan pelbagai isu seperti murtad, sudah sangat bercelaru dan kabur.

Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) menyifatkan Tan Sri Harussani Zakaria sudah menjadi pejuang assobiah dan mempertahankan perjuangan Umno yang ‘sesat’.

“Saya sangat terkejut dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

“Nampaknya dia semakin bercelaru dan semakin menampakkan usia senjanya yang kurang jelas ke mana halatujunya sebenar,” ujar Khalil di dalam blognya.

Harussani sebagai dipetik dalam Malaysiakini: "Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak di Ipoh, kelmarin.

Menurut Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS negeri, satu perkara yang mengejutkan apabila Harussani berkata terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangannya berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

“Siapa pula yang dimaksudkan oleh Harussani terutamanya dari PAS. Saya kira satu kenyataan yang bahaya dan perlu dibuktikan oleh beliau, bukannya main lepas cakap. Ataupun perbualan biasa dengan orang yang didakwa PAS oleh beliau dan dia mahu memutar belit fakta untuk sekian kalinya,” katanya lagi.

Katanya, Harussani mendakwa beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak.

Persoalannya, kata Khalil kita hendaklah kembali kepada perkara asal yang menjadi polemik antara beliau dengan bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang yang jelas menunjukkan Harussani berbohong dan memutar belit fakta yang sebenar.

Beliau yang juga Adun Titi Serong menambah, kalau mufti itu berani dan sudah kecewa, bolehlah dia berkata dan menyokong kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal yang mengatakan PAS adalah parti ajaran sesat.

“Sesudah itu buatkan kempen besar-besaran untuk menarik orang Melayu termasuk orang PAS untuk meninggalkan parti sesat seperti kata Shafie,” ujarnya sinis



dari FB

Pak Mael
Paklah Keli Best....kita bukan kata mau menilai Islam bg insan atau sesaorang itu 100% atau tidak tetapi yg kita kata adalah kita tidak mengikut Islam itu (agama Islam )100%...
kita sape nk menilai sesaorg itu Islam atau tidak.beriman atau tidak..itu urusan Allah..sedangkan Rasullullah sendiri pon Allah hantar ke bumi ni bkn untuk menilai iman sesaorang ..tp untuk menyeru manusia kpd Islam....spt yg dperintahkan Allah...cuba pahamkan..klu saya salah ..saya minta maaf..
Fadhlan Abdullah
Fadhlan Abdullah
Bukan masaallah lebih beriman or kurang beriman (itu rahsia Allah menentukan). Cuma buat sesuatu untuk membasmi kemungkaran yang ade sekarang ini. Itu dicadangkan ikut Al quran n hadis sebagai ubat setelah cara yg sedia ade tidak berhasil. Ape yg susah sgt nak ikut hukum islam. Tak semestinya PAS yg buat. Kalau BN Buat aku sokong. Tengah berkuasa sekarg ni buat lahhh. Yg utama PEMERINTAH yg buat. Tidak kira sesiapa pun.
·
Azrin Ash Burn
Azrin Ash Burn
beliau hanya memikirkan perjuangan BANGSA dan tidak memikirkan perjuangan terhadap AGAMA terlebih dahulu. Patutnya AGAMA menjadi utama atas setiap perkara yg dilakukan itu kerana ALLAH.


Nik Aziz: Politik Melayu kukuh jika Umno tukar dasar
Jul 18, 10 2:06pm
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kekuatan politik orang Melayu adalah bergantung kepada kesediaan Umno untuk menukar dasarnya kepada Islam.

"Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.

"PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu," kata menteri besar Kelantan itu dalam satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau mengulas isu perpaduan antara PAS dan Umno apabila baru-baru ini dilaporkan bersetuju untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan perkara itu.

Namun Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata pertemuan itu bukan untuk membincangkan politik sebaliknya akan bertumpu kepada kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat.

- Bernama


Umno ayam daging, PAS ayam kampung

http://aspanaliasnet.blogspot.com

Kekeliruan politik negara amat jelas dan keadaan ini belum pernah kita alami. Kita beranggapan di zaman Abdullah Badawi mentadbir negara kita ini merupakan zaman yang paling tidak menentu.

Jelas sekarang ini bahawa zaman Abdullah mentadbir negara, keadaan buruk zamannya itu tidaklah seteruk keadaan sekarang ini.

Akhirnya ramai yang saya temui mengakui bahawa keadaan politik negara sekarang ini menjadi igauan bagi sesiapa yang tidak mahu parti yang memerintah hari ini akan menyeberang duduk sebagai pembangkang di dewan-dewan lagislatif diperingkat negeri-negeri dan Parlimen.

Pandangan saya ini mungkin mendapat reaksi yang tidak menyenangkan bagi mereka yang masih didalam ‘state of denial’ dan pihak-pihak yang tidak mahu mendengar cerita-cerita buruk.

Saya lebih cenderung untuk menyebut cerita yang buruk kerana sudah terlalu ramai di kalangan pemimpin Umno kita membuat cerita yang enak-enak dan melekakan UMNO dan pemimpinnya.

Baru-baru ini timbul keinginan setengah pihak untuk melihat PAS dan UMNO duduk di meja rundingan bagi mencari penyelesaian terhadap isu Melayu dan perpaduannya.

Muhyiddin nampaknya memberi reaksi yang baik dan bersedia untuk berbuat demikian. Muhyiddin mungkin ada kesedaran yang cadangan itu adalah satu cadangan yang baik untuk mengurangkan tekanan kepada UMNO yang sedang dalam kekeliruan kerana berhadapan dengan banyk isu.

Tetapi di sebaliknya Najib pula berkata rundingan itu tidak perlu kerana UMNO sedang bertambah kuat dan beliau seolah-olah tidak nampak yang UMNO pimpinannya sudah hampir terjerumus ke dalam keaiban jika pilihanraya umum diadakan sekarang ini.

Pemikiran Muhyiddin dengan Najib memang jelas tidak selari dan tidak sehaluan. Di mana-mana orang ramai menyedari hakikat ini dan mereka menganggap itu adalah satu fenomena yang merbahaya bagi parti apatah lagi dalam keadaan sekarang ini.

Mendengar kata-kata Najib dan Muhyiddin yang menunjukkan perbezaan pandangan dan nilainya membuat kan orang ramai keliru, apatah lagi dikalangan ahli-ahli UMNO sendiri.

Saya bukan bermaksud untuk menyokong perbincangan dengan PAS kerana PAS dan UMNO tidak akan berjaya duduk bersama. Tetapi yang merunsingkan ialah Najib menjawab dengan kata-kata yang tidak benar bila beliau mengatakan UMNO masih kuat.

Di mana letaknya kekuatan UMNO itu? Bagi saya andaian itu, jika banar memanglah baik bagi parti, tetapi didalam naluri orang ramai mereka tidak langsung nampak kebenarannya.

UMNO/BN masih mampu mentadbir kerajaan kita hari ini semata-mata kerana dukungan Sarawak dan Sabah semasa pilihanraya yang lepas. Mereka yang mengundi di Sarawak dan Sabah kerana tidak menyangka yang pengundi di Semenanjung akan memberikan sokongan kepada parti alternatif dalam pilihanraya itu.

Sekarang tekanan terhadap BN di kedua-dua buah negeri itu sudah nyata kerana mereka menjadikan arah politik diSemenanjung sebagai penentu arah politik tanah air.

Di Sarawak kehadiran parti-parti pembangkan akhir-akhir ini mendapat sokongan dari orang ramai kerana kerana masalah kepimpinan Taib Mahmud yang begitu lama seolah-olah Sarawak itu adalah kepunyaan peribadi beliau sehinggakan tidak ada lagi pemimpin yang berpotensi untuk memimpin bumi kenyalang itu.

Sehingga kehari ini di Sarawak masih tidak ada indikasi pertukaran pemimpin kerana semua yang berpotensi telah hanyut kerana sikap kuku besi Taib disana. Najib tidask boleh lagi menganggap Sarawak dan Sabah sebagai ‘fixed deposit’ bagi BN.

Kalaulah tidak kerana sokongan undi pos, DAP sudah pasti berjaya merampas kerusi parlimen Sibu dengan majoriti melebihi 4,000 undi di dalam pilihanraya kecil Sibu baru-baru ini. Hanya pengundi pos yang merapatkan majoriti kekalahan BN kepada 398 undi.

UMNO di cawangan-cawangan tidak bergerak lagi seolah-olah cawangan-cawangan sudah mati kaku. Jika cawangan tidak pastas bekerja untuk parti maka tidak ada asas bagi seorang pemimpin seperti Najib bercakap seperti orang yang takbur dan mendabik dada kerana mempercayai yang UMNO itu masih kuat.

Saya berharap apa yang saya fikirkan ini adalah salah. Jika apa yang saya fikirkan ini benar maka kita akan melihat satu demi satu kubu yang tinggal kepada kita jatuh berderai maka akan bermulalah episod baru politik tanah air.

Jika BN terutamanya UMNO jatuh kali ini saya tidak nampak parti itu akan kembali berkuasa dalam tempuh yang lama kerana UMNO tidak biasa menjadi pembangkang kerana terlalu biasa dengan kemewahan yang telah membawa parti kita ini ketahap kufur nikmat yang amat rendah disisi dan pandangan agama kita.

Ahli-ahli UMNO ini serperti ‘ayam daging’, sentiasa mematuk makanan yang diberikan oleh tuannya. Tetapi ahli-ahli PAS itu diibaratkan sebagai ‘ayam kampung’ yang biasa dengan mencari makan sendiri.

Itulah sebabnya ayam daging selalunya gemuk tetapi dagingnya lembik dan jika dimasak terlalu lama dagingnya akan hancur. Di sebaliknya ayam kampung lebih keras dagingnya jika dimasak berjam-jam lamanya untuk dimasak rendang rasanya lebih sedap.

Itu sebabnya ayam kampong harganya RM11 tetapi ayam daging harganya tidak boleh lebih dari RM 7 seperti yang diumumkan oleh Ismail Sabri baru-baru ini. Harga ayam daging ini jauh lebih murah dari harga ayam kampung.

Lagi pun jika ayam daging dilepaskan dari sangkarnya ayam itu tidak akan mampu mencari makan dengan sendiri dan jika kita kejar pun dia tidak akan dapat lari kerana terlalu gemuk disebabkan makan terlalu banyak.

Tetapi akhir-akhir ini ayam daging pun sudah tidak dapat makanan yang secukupnya kerana tuannya sedang menghadapi kegawatan ekonomi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan