Ahad, 6 Jun 2010

Ingatlah hari mati dan padang masyhar

Manusia dihisab di akhirat


Allah SWT sentiasa menerima taubat hamba-Nya, cuma manusia sering alpa.


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Apabila langit terbelah. Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan. Dan apabila lautan pecah bercampur-baur. Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan. (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.

Wahai manusia! apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, ia menyusun kejadianmu. (al-Infitar: 1-8)

Mukadimah

Surah al-Infitar termasuk dalam kategori Surah Makkiah, ia berjumlah 19 ayat dan diturunkan selepas surah al-Nazi'at. Persamaan surah ini dengan surah al-Takwir.

Firman Allah SWT: Apabila langit terbelah. Al-Maraghi berkata: Ketika langit terbelah dan susunan planet-planetnya berubah, maka tidak ada lagi bintang yang beredar pada orbitnya sebagaimana yang kita lihat sekarang.

Firman Allah SWT: Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan.

Syed Qutb berkata: Andainya bintang-bintang itu gugur dan terlepas daripada ikatan peraturan yang selama ini mengikat dan memelihara perjalanannya, sebagaimana yang akan berlaku pada hari kiamat yang menamatkan ajalnya, maka ia akan hancur lebur di angkasa raya sebagaimana hancurnya atom yang terlepas daripada ikatannya.

Firman Allah SWT: Dan apabila lautan pecah bercampur-baur. Ibn Abbas r.a berkata: Allah SWT menghamburkan air di lautan ke atas sebahagian yang lainnya.

Firman Allah SWT: Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan. Ibn Abbas r.a berkata: Iaitu dikeluarkan dan al-Suddi berkata: Perkuburan itu bertaburan dan bergerak sehingga keluarlah orang yang ada di dalamnya.

Firman Allah SWT: (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.

Al-Maraghi berkata: Ayat ini mendorong agar melakukan ketaatan dan meninggalkan perbuatan dosa.

Firman Allah SWT: Wahai manusia! apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?

Syed Qutub berkata: Inilah kecaman secara langsung dari Allah SWT. Dia memanggil manusia, lalu berdiri di depan-Nya sebagai seorang yang cuai, berdosa, terpedaya, tidak menghargai kebesaran Allah SWT dan tidak beradab sopan terhadap-Nya.

Kemudian Allah SWT mengingatkan nikmat-Nya yang agung, kemudian mengingatkan kecuaian manusia, kebiadapannya dan kekeliruan dan keterpedayaannya.

Firman Allah SWT: Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya.

Al-Maraghi berkata: Allah SWT menyebut zat-Nya dengan karim (pemurah), bukan qahhar (pemaksa), sebab sifat pemurah itu tidak layak menjadikan manusia membiarkan dirinya digoda oleh syaitan.

Sebagai contoh pernyataan: Kerjalah semahumu kerana Tuhanmu Maha Pemurah. Dia telah bermurah hati kepadamu di dunia dan akan berbuat begitu di akhirat.

Namun, maksud yang tepat untuk pengertian ini adalah untuk menyatakan kesungguhan dalam menerima cahaya keimanan dan ketaatan para hamba-Nya.

Firman Allah SWT: Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, ia menyusun kejadianmu.

Ikrimah berkata: Jika berkehendak, Dia akan menciptakan dalam bentuk kera, dan jika mahu Dia akan menciptakan dalam bentuk babi.

Penutup

Dalam penutup ini suka dinyatakan sedikit pendapat Syed Qutub berkenaan dengan manusia, antara lain katanya: Katakanlah segala apa yang ditanggap itu sampai ke otak melalui alat-alat saraf yang seni itu, tetapi di manakah hendak disimpankan semua hasil tanggapan itu?

Andainya otak itu sebagai tali pita rakaman nescaya manusia memerlukan selama umur hidupnya, purata 60 tahun kepada ribuan juta meter pita tersebut untuk merakam sekian banyak gambaran, kata-kata, makna perasaan dan kesan-kesannya untuk diingatkan kembali setelah melalui masa puluhan tahun.

Kemudian bagaimana otak itu menyusun di antara kata-kata, makna, peristiwa dan gambaran yang tunggal untuk menjadikannya satu budaya yang terkumpul.

Seterusnya meningkatkannya daripada maklumat kepada ilmu seterusnya tanggapan kepada kefahaman dan pengalaman kepada pengetahuan.

Inilah salah satu ciri manusia yang membezakannya daripada makhluk yang lain. Yang lebih daripada ciri ini adalah roh yang dikurniakan Allah SWT, iaitu roh manusia khusus untuknya yang menghubungkan dengan keindahan alam oleh Pencipta-Nya.

Itulah roh yang memberikan kepada manusia detik yang gemilang menghubungkan dengan zat yang mutlak tidak terbatas setelah berhubung dengan pancaran keindahan alam ini.

Begitulah roh yang tidak diketahui oleh manusia. Itulah roh yang memberi nikmat kesukaan dan kebahagiaan yang tinggi walaupun ia berada di bumi dan menghubungkannya dengan alam al-Malaul a'la dan menyediakannya untuk hidup di dalam syurga yang kekal abadi





Syahid tanpa jelas hutang tak ke syurga

Bapa seorang kawan di atas katil mautnya telah memberi kepada keluarganya senarai orang-orang yang berhutang dengannya, juga hutangnya dengan beberapa rakan bisnesnya. Pesanan terakhirnya: Jelaskan hutangnya dan kutip hutang. Nyata arwah tahu tentang sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam Bukhari "bahawa di ampun semua dosa bagi orang yang mati syahid kecuali jika dia ada hutang!"

Tetapi ramai orang kita pandang remeh masalah hutang yang kini melanda bangsa kita seolah-olah berhutang ini satu amalan biasa. Ramai pula berhutang keliling (selilit) pinggang, bercagar atau tidak. iklan tawaran menarik pinjaman dari bank boleh dibaca dalam akhbar, dari individu dan kumpulan yang menyediakan pinjaman boleh dibaca diiklan ditampal di pokok, tiang telefon dan elektrik, belakang bas dan teksi - semuanya jemputan, ajakan yang menggodakan, amat pengundang. Sejumlah besar bersesak-sesak menjadi pelanggan - kalau tak bayar - mangsa kejam ah long.

Hari Jumaat lepas, saya solat di surau Almunawarah Taman Tadisma, Seksyen 13, Shah Alam sebelum ke pejabat Sinar. Saya minat dengan khutbah hari itu berjudul "Kewajipan Membayar Hutang Menurut Pandangan Islam" yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Dalam ingatan saya, ini adalah kali kedua dalam masa hampir 10 tahun saya dengar khutbah tentang bahaya berhutang.

Pertama, di Masjid Baitul Aman, Jalan Damai Kuala Lumpur dan saya telah menulis tentangnya dalam Berita Minggu semasa saya Ketua Pengarang Kumpulan akhbar NST.

Tegas Speaking "high time the imam preached on the vital subject of indebtedness among your people - sudah sampai masa imam berkhutbah tentang hutang yang menyerang bangsamu?." Diharap khutbah seperti ini diulangi tiga empat kali setahun dan anak-anak dididik sejak awal-awal lagi di sekolah.

Islam, seperti ditegaskan dalam khutbah Jumaat 4 Jun, tidak melarang umatnya berhutang bagi memudahkan urusan kehidupan dan jika wujud keperluan yang terpenting bukan bagi bersenang lenang, berhibur dan bermewah-mewahan; berjoli dan hutang wajib di bayar kalau tidak tak masuk syurga! Kerana hutang ini bencana besar - satu musibah - hatta Rasulullah SAW sendiri berdoa supaya baginda dijauhi daripada berhutang.

Sabdanya “Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari dosa hutang.”

Seorang bertanya Rasulullah SAW: “Banyak sungguh Rasulullah berdoa meminta jauhi dari hutang, kenapa?”

Sahut Rasulullah SAW “Jika seorang itu berhutang, bila bercakap dia dusta, bila berjanji dia memungkiri!" Apa yang dimadahkan oleh Rasulullah SAW amat kena, tepat dan jitu. Banyaklah orang yang bersalah, berasa tersinggung.

Jelas, terang dan nyata bahawa amalan berhutang tidak sihat, tidak digalakkan kalau hutang tidak diuruskan dengan baik; hutang membawa mudarat, menggalakkan manusia suka bercakap berbelit-belit , berbohong, menipu, berbalah, berseteru hatta bunuh membunuh. Walaupun ramai sedar bahawa berhutang ini buruk, masih ramai terus berhutang melalui berbagai-bagai cara - kredit kad, tunai dan kontra - kebanyakannya bukan keperluan hidup tetapi kerana mahu hidup lebih tinggi dan mewah dari kemampuan, kerana mahu melancong, mahu berjudi bola piala dunia. Jarang berhutang kerana pendidikan dan perubatan! Berhutang untuk kereta mewah, berhutang untuk membeli intan berlian; saya faham kalau berhutang beli rumah!

Ada mereka berharap mereka di ampun oleh orang yang mereka berhutang. Jangan berharap sangat. Tak bayar hutang, pada saya, dosa besar!, dosa itu lebih besar lagi, jika berhutang dengan MARA dan PTPTN, tak bayar pinjaman biasiswa, maka MARA, kerajaan dan agensi-agensi lain tidak dapat menghantar ramai anak bangsa kita menyambung pelajaran di seberang laut terutamanya. Yang sedihnya - tak tahu dosakah, tak aibkah mereka ini? setengahnya lebih dari mampu untuk membayar balik tetapi enggan berbuat demikian barangkali dengan harapan pembayar cukai dan rakyat mengampuni mereka. "Fat hope!" kata Speaking.

Hutang banyak hutang – hutang darah, hutang budi (di bawa mati), hutang berbaris, hutang nyawa. Apa pun ada baik jika kita elak berhutang. Mengikut Bible (Injil) "the borrower is servant to the lender - orang yang berhutang adalah hamba kepada pemberi pinjaman."

Kata Shakespeare, "jangan meminjam dan jangan juga jadi tukang pinjam (lender)." Speaking mengingatkan saya Shakespeare bermadah lebih dari itu dalam dramanya ‘Hamlet’.

"Neither a borrower nor a lender be; For loan oft loses both it self and friend. "Terjemahlah sendiri.

Fasal hutang ramai orang jadi muflis begitu juga negara Yunani (Greece). Britain dan Amerika Syarikat walaupun belum muflis banyak hutang.

Marilah kita berdoa dan bertindak (melaksanakan ketetapan) agar kita semua dihindari dari berhutang dan kalau terpaksa berhutang wajib dibayar balik. Hidup dalam iman, dimurahkan rezeki, terus belajar, terus mencari dan meningkatkan ilmu yang dapat dimanfaatkan umat dan watan; penuhilah jiwa kita dengan budi pekerti yang mulia, beradab, bersopan santun, bertimbang rasa, kukuhlah perpaduan kita dan jangan senang diperdayakan oleh pemimpin-pemimpin yang rasuah, tamak haloba, munafik; bikin tidak seperti cakap.

Allah SWT berfirman dia mencintai orang (dan pemimpin) yang menunaikan janji kepada rakyat, kepada individu dan orang (dan pemimpin) yang bertakwa.

Dan bagi mereka yang tak bayar hutang sila rujuk kepada cerita bagaimana Rasullah (SAW) enggan menyembahyangkan jenazah seorang yang tidak membayar hutangnya. Rasullah (SAW) sendiri menjelaskan hutangnya barulah menunaikan solat jenazah. Begitu pentingnya dan peri mustahaknya menjelaskan hutang.

Penekanan Islam pada hutang amat besar. Kenapa (wahai bangsa ku) kita mengambil jalan senang – tidak menjelaskan hutang kepada kawan, saudara mara, bank, ko-op, MARA, PTPTN dan agensi-agensi kerajaan, sekolah dan syarikat?

Marilah kita bertakwa kepada Ilahi dengan sebenar-benarnya, meninggalkan yang dilarangnya seperti judi, baik bola atau lain kerana keingkarannya bakal membawa padah dan kemurkaannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan