Jumaat, 25 Jun 2010

FIKIR UNTUNG SAJE...DAH BERKHAYAL BERKERETA BESAR TANPA MEMIKIR RISIKO UNTUNG RUGI SERTA PANDANGAN AGAMA...

Minda: Jerat pelaburan haram



2010/06/25

SIFAT rakus, tamak dan suka kepada wang serta keuntungan segera tanpa memikirkan soal halal atau haram dari segi hukum agama dan peruntukan undang-undang menjadi lumrah kepada segelintir manusia. Golongan ini mudah terpedaya, dipergunakan dan akan membuat apa saja agar dapat memiliki wang atau pulangan keuntungan sesuatu pelaburan yang tinggi dengan begitu cepat tanpa perlu bersusah payah atau berusaha mendapatkannya.

Secara prinsipnya, kewangan Islam menghendaki kita menjauhi sesuatu transaksi yang mempunyai elemen seperti gharar (ragu-ragu), maisir (judi) dan riba yang sangat dibenci agama. Ini bagi memastikan sistem perekonomian Islam yang berteraskan tauhid, keadilan dan taawun atau tolong-menolong serta kemakmuran bersama dapat diterjemahkan ke dalam kehidupan seharian dan bukan berlandaskan keuntungan semata-mata.


Biarpun begitu, walaupun saban waktu didedahkan dengan berita dan cerita mengenai kegiatan skim judi internet dan pelaburan palsu atau taktik penipuan secara terancang di media massa, malangnya masih ada yang berdegil dan lupa diri apabila dijanjikan dengan wang, imbuhan atau pulangan segera oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengambil kesempatan ke atas mereka yang cuai dan kurang pendedahan terhadap skim berkenaan. Sikap dan sifat mazmumah (negatif) ini jelas dilarang dan membelakangkan ajaran agama serta akhlak bermuamalah dalam Islam. Kadangkala jika digunakan akal yang waras dan pertimbangan yang rasional, segala tawaran dan janji manis kekayaan segera seperti judi bola sepak misalnya yang begitu heboh diperkatakan ketika Piala Dunia 2010 sekarang sememangnya tidak masuk akal dan sukar diterima. Pun begitu, Islam tidak melarang umatnya mengejar kekayaan asalkan ia tidak bertentangan dengan piawaian syariah dan memberi kebaikan kepada semua.


Justeru, melihat kepada perkembangan tidak sihat dan membimbangkan ini, umat Islam perlu berhati-hati agar tidak mudah tertipu dan alpa dengan lambakan skim judi dan pelaburan haram perdagangan mata wang asing yang kini menjadi trend dan giat ditawarkan oleh syarikat tempatan, individu atau institusi asing menerusi media bercetak, elektronik, e-mel, SMS dan sepanduk di tepi jalan atau laluan utama bagi menarik perhatian orang ramai. Dilaporkan modus operandi mereka sangat profesional dengan menawarkan pelbagai bentuk sesi latihan, seminar dan bengkel pelaburan secara percuma untuk menarik minat orang ramai menghadirinya. Malahan ada yang diadakan di hotel mewah dan tempat eksklusif sebelum menjemput mereka membuka satu akaun skim dagangan mata wang asing secara dalam talian dengan sebuah syarikat utama yang didakwa mempunyai lesen sah untuk berdagang mata wang asing di seberang laut. Hanya mereka yang prihatin dan sensitif, mempunyai tahap kesabaran tinggi dan tidak terburu-buru saja akan dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket judi berkenaan. Kebiasaannya, orang ramai akan mudah tertarik untuk menghadiri sesuatu program pelaburan atau latihan yang menjanjikan pulangan wang segera, luar biasa dan besar berbanding kaedah pelaburan atau perniagaan biasa yang sah dan diiktiraf kerajaan. Bagi mengaburi mata pelabur, turut disediakan kemudahan untuk pelabur mengakses laman web syarikat bagi memantau perkembangan program yang ditawarkan dan dimasuki. Skim itu juga mengkhendaki pelabur mendeposit sejumlah wang ke dalam akaun untuk memulakan pelaburan tersebut dan diminta menambahnya pada masa tertentu bagi mengelakkan kehilangan modal dalam pelaburan mereka. Bagi mereka yang tidak berpengalaman, gelojoh dan ingin menjadi kaya cepat serta tidak mendapat nasihat pakar atau daripada orang lain yang lebih arif akan mudah terpedaya apabila menghadiri program, taklimat atau apa saja aktiviti penerangan yang dianjurkan mereka. Kebiasaannya setelah dipujuk rayu di samping diperlihatkan testimoni yang meragukan, sasaran akan bertindak membuka akaun dengan syarikat berkenaan. Keadaan menjadi lebih parah apabila ada yang sanggup berhutang dan meminjam wang daripada orang lain semata-mata untuk melabur di dalam skim judi dan pelaburan palsu ini yang menjadikan mereka terperangkap di dalam permainan, helah serta penipuan sindiket. Malangnya, sindiket tersebut juga turut mempergunakan graduan lepasan universiti dengan merekrut mereka sebagai eksekutif pemasaran dan menggalakkan ahli keluarga dan sahabat handai mereka menyertai skim dagangan mata wang asing berkenaan.


Perlu ditegaskan, mengikut Akta Kawalan Pertukaran Asing 1953 (ECA), adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang untuk membeli atau menjual mata wang asing atau terbabit dalam sebarang perbuatan atau mempunyai kaitan atau membuat persediaan di dalam membeli atau menjual mata wang asing dengan sebarang orang atau selain daripada peniaga yang dibenarkan. Hakikat ini sangat mustahak dan perlu diberi perhatian sepenuhnya kepada pelabur dan syarikat yang terbabit di dalam skim pelaburan haram ini.


Senarai peniaga dan institusi kewangan yang dibenarkan Pengawal Pertukaran Asing untuk membeli atau menjual mata wang asing boleh diperoleh daripada laman web BNM (http://www.bnm. gov.my/fxadmin) atau meng hubungi BNM di talian 1-300-88-5465. Kemudahan yang disediakan ini sangat membantu dan akan memudahkan orang ramai untuk merujuk serta menyemak status senarai peniaga dan institusi kewangan yang sah sebelum memasuki sesuatu perjanjian atau transaksi.


Oleh yang demikian, melihat kepada penipuan yang berlaku, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyertai skim berbentuk judi dan pelaburan haram atau menghadiri program latihan dagangan mata wang asing yang ditawarkan individu atau syarikat yang tidak bertauliah, lebih-lebih lagi jika transaksinya mempunyai unsur keraguan, judi dan riba. Biarpun dijanjikan keuntungan berlipat ganda, jika ia berlawanan dan tidak selari dengan kaedah syariah ia perlu dihindari. Oleh itu, kita tidak boleh secara membuta tuli memasuki sesuatu transaksi pelaburan yang meragukan sebelum mendapat nasihat daripada pakar atau agensi yang bertauliah dan sah mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989. Di samping itu, soal halal dan haram sesuatu transaksi yang ingin dimasuki bakal pelabur juga perlu diberikan keutamaan dalam hal ini. Kerajaan dan pihak berwajib juga bertanggungjawab memberi penerangan dan kesedaran kepada rakyat di samping bantuan pihak NGO serta yang paling penting ialah sikap pelabur itu sendiri yang perlu bertindak secara lebih berhati-hati dalam apa jua tindakan yang ingin dilakukan.

>Penulis ialah seorang guru

Tiada ulasan:

Catat Ulasan