Ahad, 23 Mei 2010

BANTUAN KE GAZA



PERKEMBANGAN KONVOI KE GAZA

Konvoi kemanusiaan dijangka tiba di perairan Gaza hari ini
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Mei: Pasukan polis laut Gaza telah membuat beberapa latihan bagi menyambut ketibaan konvoi kemanusiaan antarabangsa Gaza termasuk bagi tujuan menyelamatkan kapal daripada sebarang ancaman zionis.

Semalam, laman web http://www.lifeline4gaza.org/ melaporkan kapal-kapal bantuan itu dijangka tiba di perairan Gaza pada hari ini.

Laporan itu menyebut, setelah belayar sejak lebih 12 jam lalu daripada pelabuhan Yeni Antalya di Turki, kapal Mavi Marmara kini sedang berada di tengah Lautan Mediterranean berhampiran perairan Cyprus.

Kapal Mavi Marmara sudah mula bergabung dengan sebuah kapal daripada Greece yang bernama Challenger-2. Mereka menunggu ketibaan tujuh buah kapal-kapal lain. Kapal-kapal itu dijangka meneruskan pelayaran terus ke Gaza apabila kesemua sembilan buah kapal bertemu di perairan tersebut.

Semangat 11 orang sukarelawan Malaysia yang mengikuti konvoi ini begitu tinggi sekali walaupun ada sebahagian daripada mereka yang tidak begitu selesa apabila mengikuti pelayaran jauh di lautan dalam buat pertama kali. Ketabahan mereka ditingkatkan lagi dengan kerjasama yang sangat erat dengan sukarelawan daripada negara jiran, Indonesia.

Pagi jam 10:00 pagi semalam, sukarelawan-sukarelawan daripada Malaysia dan Indonesia telah mengambil kesempatan bersama-sama Syeikh Ra’id Salah, Ketua Pertubuhan Palestina 1948 untuk mendapatkan nasihat dan berkongsi pengalaman beliau dalam memperjuangkan pembebasan Palestin dan Masjid al Aqsa.

Menurut Sheikh Ra’id, beliau menjangkakan akan berlaku Nakbah ke-2 dalam masa terdekat ini kerana Israel berusaha keras untuk mengusir 1.5 juta penduduk Palestin 1948 dan juga menghapuskan semua generasi 1948 yang kini bertebaran di kem-kem pelarian.

Beliau turut memberi amaran tentang perancangan Zionis untuk meruntuhkan Masjid al Aqsa sebelum akhir tahun 2010. Sambil mengemukakan bukti-bukti dakwaan beliau itu, Sheikh Ra’id menyebut bahawa isu Al Aqsa adalah isu al-Quran yang wajib dipikul oleh semua orang beriman.

Semalam dalam satu sidang media bersama-sama wakil-wakil daripada lebih 45 buah negara, Haji Noorazman Mohd Samsuddin yang berucap mewakili NGO-NGO daripada Asia Tenggara telah menegaskan bahawa masyarakat Nusantara terhutang budi kepada negara Palestin kerana mereka adalah merupakan antara negara yang pertama mengiktiraf kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945.

“Menyedari kepahitan hidup dalam penjajahan, rakyat Indonesia dan Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk membantu rakyat Palestin yang kini dijajah secara kejam oleh rejim zionis Israel,” kata Noorazman.

Sementara itu, Haluan Palestin di dalam laman webnya melaporkan, Imam Masjid Al Aqsa, Syeikh Yusuf Abu Sneinah dalam khutbah Jumaatnya semalam mengutuk sikap zionis Israel yang mengancam sekatan terhadap usaha armada bantuan kemanusiaan Gaza terbesar yang saat ini sedang berada di tengah Lautan Mediterranean berhampiran perairan Cyprus.

Seterusnya beliau menyeru agar ditamatkan pengepungan yang tidak adil terhadap Jaluran Gaza yang telah dilakukan oleh regim Yahudi Israel.

Syeikh Yusuf Abu Sneinah mengatakan bahawa: “Kami bangsa Arab dan umat Islam seharusnya menyatukan usaha untuk menghentikan pengepungan yang telah dikenakan pada saudara-saudara kita di Jalur Gaza, malahan pengepungan tersebut tidak boleh diterima secara rasional oleh mana-mana pegangan agama atau undang-undang dunia”.

Dengan tegas Imam Masjid Al Aqsa itu juga mendesak Israel menghentikan sikap sombong dan bongkak atas apa yang telah mereka lakukan terhadap Gaza kerana tindakan kejam mereka telah membunuh orang awam, menyebabkan lebih ramai warga Gaza menjadi pelarian dan menderita kelaparan






Kapal kemanusiaan Gaza dikepung helikopter Israel

Ismail Hashim SHAH ALAM, 28 Mei: Keselamatan konvoi sembilan kapal kemanusiaan Gaza kini terancam ekoran sedang dikepung helikopter komando Israel dan cuba untuk merampas kapal tersebut. [Image]Menurut Setiausaha Masjid Jamek Raja Tun Uda, Ustaz Nasaruddin Hasim yang menerima mesej dari sana berkata, ketika ini konvoi sedang berada di perairan Gaza dan jam 4.30 petang (waktu Malaysia) akan berhadapan dengan kapal Israel. Beliau mengumumkan perkara itu sebaik selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda Shah Alam, lebih 500 anak jemaah mendirikan solat hajat memohon bantuan daripada Allah SWT. Perkara ini disahkan oleh Naib Presiden Muslim Care, Zulkifli Mohd Nani yang baharu sebentar menghubungi Harakahdaily; kini konvoi sedang berada dalam ancaman kerana segala kemungkinan boleh berlaku. Untuk rekod, seramai 11 rakyat Malaysia turut berada di dalam kapal induk menyertai konvoi itu yang berlepas sejak semalam dari pelabuhan di Turki. Mereka diketuai oleh Noorazman Mohd Samsuddin dari Haluan Palestin yang menjadi kordinasi utama wakil Malaysia, Dr Mohd Arba’ai Shawal, Dr S Muhamad Haleem S Hassan, Dr Selamat Aliman, Jamuliddin Elias (Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia), Al Hami Husain Suhaimi, Mohd Nizam Mohamad (Wakil Media) dan Abdul Halim Mohamed Redzuan (Muslim Care) dan tiga yang lain. Dalam pada itu, Haluan Palestin di dalam blognya di bawah tajuk Israel Mengesahkan Akan Menghalang Armada Bantuan Kemanusiaan Memasuki Gaza: Kabinet politik Kerajaan Haram Israel memutuskan untuk mengarahkan tentera dan angkatan laut tidak membenarkan armada bantuan kemanusiaan terbesar atau “Freedom Flotilla” memasuki pantai Gaza dan mereka akan memastikan tidak ada sesiapa yang akan memasuki Gaza. Sebaliknya Israel mengarahkan kumpulan hak asasi manusia dan aktivis yang mahu menghantar bekalan ke Gaza, mereka harus menghantar kargo mereka ke Israel untuk diperiksa dan “diluluskan.” Setelah mengosongkan kargo di Israel, kapal harus belayar kembali ke tempat mereka berasal, begitulah arahan dari pemerintah zalim Israel. Tentera Israel dan tentera laut berkata bahawa mereka tidak akan membenarkan kumpulan bantuan kemanusiaan tersebut memasuki Gaza. Malahan jika perlu, kapal-kapal akan diambil alih oleh tentera Israel sekiranya kumpulan bantuan tersebut masih mahu memutuskan untuk meneruskan perjalanan mereka. Kerajaan Israel menggambarkan perjalanan kapal-kapal menuju Gaza sebagai provokasi “yang tidak perlu.” Israel mengatakan bahawa armada bantuan kemanusiaan tersebut adalah provokasi sementara pegawai tentera Israel yang bertanggung jawab atas Jaluran Gaza, Kolonel Moshe Levy, menyatakan bahawa tidak ada krisis di Gaza dan situasi di sana adalah “baik dan stabil.” Israel mengatakan bahawa armada bantuan kemanusiaan tersebut akan dibawa ke pelabuhan di Esdod “Asdod” dan semua penumpang akan ditangkap. Gerombolan kapal tersebut yang terdiri daripada sembilan kapal sarat dengan 10,000 ton bantuan kemanusiaan dan bahan bangunan di jangka akan tiba di perairan Gaza pada Hari Sabtu minggu ini. Sementara itu, pihak Israel juga berusaha untuk menghalang hubungan internet dan satelit antara peserta konvoi dengan negara luar; sehingga kini halaman rasmi konvoi Malaysia, http://www.lifeline4gaza.org/ tidak dapat dikemaskini






Konvoi Gaza berhenti di tengah Laut Mediterranean
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza masih terhenti di tengah Laut Mediterranean berhampiran perairan Cyprus.

Walaubagaimanapun, Lifeline4Gaza semalam melaporkan penangguhan itu tidak mengganggu jadual asal konvoi untuk tiba di Gaza.

Dalam satu sidang media di atas kapal Mavi Marmara semalam, Presiden IHH, Bulent Yildirim menjelaskan bahawa konvoi itu masih menunggu sebuah kapal penumpang daripada Cyprus yang akan membawa ahli-ahli parlimen Eropah.

Kapal tersebut dijangka sampai dalam masa terdekat.

Terdahulu, sebuah kapal kargo IHH telah mengalami sedikit kerosakan. Kerosakan tersebut telah dipulihkan sepenuhnya oleh sekumpulan jurutera dan juruselam yang dihantar daripada kapal Mavi Marmara.

Walaubagaimanapun, kapal Rachel Corries yang telah berlepas daripada Ireland dijangka mengambil masa lebih sehari lagi untuk sampai.

Dalam satu kenyataanya, Bulent menegaskan bahawa ancaman berterusan rejim zionis Israel terhadap konvoi kemanusiaan itu sekali-kali tidak membuatkan mereka takut mahupun menukar perancangan.

“Peserta paling muda dalam kapal ini berumur kurang daripada setahun. Peserta paling tua pula berumur lebih daripada 80 tahun.

“Kami tidak membawa sesuatu apa senjata pun. Jadi kalau Israel ingin menggunakan kekerasan terhadap kami, mereka akan benar-benar bertindak di luar akal yang waras,” kata Bulent.

Semua mereka yang menggunakan akal dapat menerima bahawa kapal itu hanya membawa bahan bantuan kemanusiaan.

Ketika ditanya apakah persiapan mereka untuk berhadapan dengan tentera Israel yang mungkin berlaku, Bulent menjawab, “kami tidak bawa apa-apa senjata, kami akan lawan dengan keinginan dan keyakinan kuat kami sahaja”.

“Adalah tidak masuk akal bila mana Israel cuba menentang kami seolah-olah mereka berhadapan dan berperang dengan sebuah negara. Kami hanyalah sebuah konvoi bantuan yang dibawa oleh NGO,” sambung Bulent.

Beliau juga tetap menegaskan pendirian untuk tidak menyerah mana-mana bahan bantuan yang dibawa mahupun peserta-peserta konvoi itu kepada Israel.

Ketika berita ini ditulis, sebuah kapal penumpang baru tiba daripada Sweeden. Kapal itu tidak termasuk dalam peracangan asal, menjadikan jumlah kapal yang menyertai konvoi itu sebanyak tujuh buah





Israel sedia serang armada kemanusiaan Gaza

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Pasukan ketenteraan Israel kini di bawah pengawasan dan arahan terus daripada kerajaan negara haram itu telah bersedia untuk misi yang mereka namakan Operation Sky Wind (Operasi Angin Laut) bagi menyerang dan menangkap aktivis armada bantuan kemanusiaan Gaza atau Freedom Frotilla yang akan bergerak menuju ke Gaza dalam masa terdekat. Sumber Israel melaporkan bahawa angkatan laut telah bersiap sedia dengan semua persiapan untuk pengambilalihan kapal-kapal tersebut, sama ada secara paksa jika perlu, dalam usaha untuk mengelakkan daripada konvoi tersebut berlabuh di pantai Gaza. [Image]Laman web Haluan Palestin hari ini melaporkan operasi itu dipimpin langsung oleh Komando Angkatan Laut Israel, Mayor Jenderal Elizer Marom. Serangan yang dirancang meliputi empat tahap: Pertama, tahap amaran. Tentera Laut akan sentiasa berusaha untuk menghentikan kapal daripada menghampiri garis sempadan yang ditentukan yang dikategori sebagai garis merah, apabila kapal menceroboh garis yang ditentukan, mereka akan diberi amaran bahawa mereka telah “melanggar undang-undang”. Kedua, menghentikan dan mengawal kapal-kapal tersebut; sekiranya kapal-kapal gagal mematuhi arahan Tentera Laut Israel, tentera laut Israel akan menyerang dan seterusnya mengambilalih lapan buah kapal yang mengangkut hampir 800 aktivis. Kapal-kapal akan dibawa ke Asdod Port dan aktivis akan ditahan di sebuah khemah besar yang telah dipasang untuk tujuan ini. [Image]Ketiga, diasingkan dan dihantar balik; tentera dan polis Israel memerintahkan para aktivis ditahan untuk menandatangani kenyataan menerima untuk dihantar balik ke negara asal mereka, dan akan dihantar pulang melalui udara di Lapangan Terbang Ben Gurion. Keempat, penangkapan sebelum dihantar balik; sekiranya aktivis enggan dan menolak untuk menandatangani kenyataan untuk dihantar balik ke negara asal, mereka akan ditangkap, dihantar untuk pemeriksaan perubatan, kemudian dipindahkan ke Brigade Nahason milik Pentadbiran Penjara Israel sebelum dihantar ke Penjara Be’er Sheva Penjara dan kemungkinan penjara yang lain. Mereka akan diadili dan dihantar pulang pada tahap seterusnya. Sekitar 600 aktivis hak asasi manusia yang menaiki lapan buah kapal misi bantuan kemanusiaan menuju Gaza mengatakan bahawa mereka bertekad untuk sampai ke Gaza tanpa menghiraukan ancaman Israel. Greta Berlin, juru bicara dari Gerakan Pembebasan Gaza, menyatakan bahawa “tidak ada yang akan menghentikan kapal ini, para aktivis hak asasi manusia tekad untuk mematahkan pengepungan dan sekatan Israel ke atas lebih 1.5 juta penduduk Palestin di Gaza, dan kami akan tetap menghantar bantuan kemanusiaan ini”


Komando Israel serang kapal bantuan


SEBUAH bot tentera Israel mendekati sebuah kapal bantuan ke Gaza pada waktu pagi semalam.


BAITULMAQDIS – Sebanyak 19 orang terbunuh kebanyakannya rakyat Turki manakala berpuluh-puluh yang lain cedera selepas anggota-anggota komando Israel menyerbu enam buah kapal yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin yang sedang dalam misi menghantar bantuan termasuk dari Malaysia kepada penduduk Palestin di Genting Gaza semalam.

Operasi ketenteraan di perairan antarabangsa dekat dengan pesisir pantai Gaza itu bukan sahaja bertukar menjadi mimpi ngeri bagi Israel berikutan ia menjejaskan reputasi negara berkenaan di kaca mata masyarakat antarabangsa, bahkan ia memburukkan lagi hubungan tegang negara itu dengan dengan sekutunya, Turki serta membuka mata dunia terhadap penderitaan penduduk Gaza.

Kedua-dua belah pihak memberi kenyataan bercanggah berhubung apa yang berlaku pada hari kejadian.

Seorang wartawan di dalam salah sebuah kapal misi bantuan itu berkata, anggota-anggota komando Israel melepaskan tembakan sebelum menaiki kapal mereka tetapi pihak Israel memberi alasan kononnya mereka hanya melepaskan tembakan setelah diserang aktivis-aktivis berkenaan dengan menggunakan kayu, pisau dan senjata api.

Ketika kejadian, aktivis-aktivis itu sedang menuju ke Gaza bagi mengalih perhatian dunia terhadap sekatan laut selama tiga tahun yang dikuatkuasakan Israel selepas Hamas mengambil alih kuasa di wilayah berkenaan.

“Sungguh menjijikkan kerana mereka (pasukan komando Israel) menceroboh kapal dan menyerang orang awam. Kami adalah orang awam,” kata jurucakap Gerakan Membebaskan Gaza, Greta Berlin, yang menganjurkan misi armada bantuan tersebut.

Bercakap dari pulau Cyprus di timur luat Mediterranean, wanita itu berkata, dia terputus hubungan dengan armada kecil itu ada pukul 3.30 pagi waktu tempatan.

Israel sebelum ini mengisytiharkan untuk tidak membenarkan kapal-kapal itu sampai ke Gaza.

Menurut seorang aktivis Palestin di Greece yang terbabit dalam misi bantuan tersebut, pasukan komando Israel menyerbu semasa bot dan sebuah kapal itu berada di perairan antarabangsa setelah mengarahkan misi berkenaan berhenti kira-kira 130 kilometer dari perairan Gaza.

Sebuah laman web Turki menunjukkan rakaman video keadaan huru-hara di atas kapal itu dengan aktivis-aktivis memakai jaket keselamatan berlari-lari di dalam kapal manakala sesetengahnya cuba membantu seorang rakan mereka yang tidak sedarkan diri di atas dek.

Laman web berkenaan turut menunjukkan sebuah helikopter Israel sedang berlegar di atas kapal itu dan beberapa kapal perang Israel yang berada berdekatan.

Kapal-kapal misi bantuan itu kemudian ditunda ke pelabuhan Ashdod di Israel manakala mangsa-mangsa cedera dibawa keluar dengan helikopter bagi menerima rawatan di hospital-hospital Israel.

Setakat ini, tiada maklumat mengenai identiti mangsa yang terbunuh atau cedera mahupun keadaan beberapa individu berprofil tinggi di atas kapal-kapal tersebut termasuk pemenang Hadiah Nobel Keamanan 1976, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland Utara, beberapa wakil rakyat Eropah dan mangsa yang terselamat dalam kejadian pembunuhan besar-besaran kaum Yahudi oleh tentera Nazi, Hedy Epstein, 85.

Semua telefon satelit di atas kapal-kapal itu dimatikan dan komunikasi dengan sekumpulan kecil wartawan yang menyertai tentera Israel turut disekat.

Gerakan Membebaskan Gaza adalah sebuah pertubuhan antarabangsa yang mendakwa sekatan terhadap Gaza tidak adil dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. – AP



12 rakyat M'sia di kapal yang diserang Israel
Joseph Sipalan
Mei 31, 10
12:51pm

Dua belas rakyat Malaysia disahkan berada di kapal Mavi Marmara - kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel.

Mereka termasuk dua wartawan sebuah televisyen berbayar di Malaysia.

Mereka adalah sebahagian daripada misi 11 anggota yang dinamakan Lifeline4Gaza, yang mengambil bahagian dalam 'Flotila Kebebasan' bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Semenajung Gaza.

Adalah dipercayai Lifeline bukan badan kemanusian tunggal dari Malaysia yang terbabit, kerana ada beberapa kumpulan yang bergerak secara berasingan dengan kapal yang lain.

Jurucakap Lifeline4Gaza, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata sembilan daripada mereka adalah sukarelawan dari enam NGO dari Malaysia.

Mereka termasuk Haluan, Aqsa Syarif, Yayasan Amal, Muslim Care, Palestine Centre of Excellence (Pace) dan Jemaah Islamiah Malaysia (JIM).

Dr Hafidzi berkata dia gagal menghubungi kumpulannya itu apabila serangan bermula dan mereka belum dapat mengenal-pasti identiti ke-12 rakyat Malaysia berkenaan.

Sementara itu, menurut ADUN Meri, Dr Abd Rani Osman ang kini di Instanbul juga mengesahkan penahanan rakyat Malaysia itu.

Dr Abd Rani melalui SMS kepada Malaysiakini juga memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 16 aktivis pro-Palestin dibunuh, manakala puluhan lagi cedera dalam serangan itu.

Kapal Mavi Marmara yang dimiliki Turki itu kini dilaporkan dibawa ke Haifa, manakala semua penumpangnya akan dipenjarakan.

Dua wartawan Astro Awani itu dikenalpasti sebagai Ashwad Ismail dan jurugambar dan Samsul Kamal Abdul Latip. Usaha Malaysiakini menghubungi Ashwad setakat ini tidak berhasil.

Manakala dalam laman Twitter-nya, Ashwad hanya mengemaskinikan statusnya kira-kira 14 jam lalu.

"Mavi Marmara on alert. Semua berada pada tahap tertinggi. Dua pesawat pemantau Drone dipercayai milik Israel kelihatan," coretan terakhirnya sebelum tragedi itu dipetik.

Terdahulu, menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, laporan awal mengesahkan dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007








Semua rakyat M'sia di kapal Rachel Corrie selamat
Mei 31, 10 3:28pm
Rakyat Malaysia yang menaiki kapal utama 'Rachel Corrie', satu daripada enam kapal dalam armada kapal kecil yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, selamat, selepas tentera Israel menaiki kapal Turki bagi menghalang konvoi itu.

Al-Jazeera melaporkan sekurang-kurangnya 15 aktivis terbunuh dan ramai yang cedera apabila komando Israel menyerang kapal Turki yang mengetuai armada kapal kecil awal pagi ini.

"SMS dari Rachel Corrie -- Semua yang berada di atas kapal selamat. 1,000 batu dari Gaza," kata seorang pegawai dari Perdana Global Peace Organisation (PGPO) di Kuala Lumpur.

Tiga wakil dari PGPO di atas kapal itu ialah Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu dan anggota parlimen kawasan Parit, Mohd Nizar Zakaria.

Mereka turut disertai wartawan TV3 Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin.

Dalam SMSnya kepada PGPO, Shamsul berkata mereka berada kira-kira 1,000 batu nautika dari Gaza.

"Kami telah mendengar mengenai IHH (kapal Turki). Rancangan sekarang adalah untuk terus maju dan berpatah balik sekiranya terdapat amaran daripada tentera Israel," katanya.

Menurut PGPO, kapal-kapal itu membawa 5,000 tan bahan-bahan pembinaan semula, peralatan sekolah dan peralatan perubatan ke Semenanjung Gaza.

- Bernama



Mesyuarat tergempar, Hamas isytihar 'intifada'
Mei 31, 10 6:03pm
Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa, memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan perkumpulan 22 negara Arab terhadap apa yang disifatkan "tindakan keganasan" Israel terhadap kapal misi bantuan antarabangsa ke Gaza.

"Setiausaha Agung Liga Arab sudah memanggil mesyuarat tergempar peringkat wakil bagi membincangkan jenayah kejam tentera Israel terhadap orang awam tidak bersenjata yang menyebabkan ramai terbunuh dan cedera.

"Liga Arab mengutuk tindakan keganasan itu," menurut kenyataan pertubuhan itu yang dipetik oleh Reuters.

Sementara itu, AFP pula melaporkan Hamas hari ini menyeru rakyat Arab dan umat Islam supaya 'berhimpun' di kedutaan-kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah serangan maut rejim itu terhadap kapal-kapal yang membawa bekalan bantuan ke Semenanjung Gaza.

“Ka
mi menyeru semua rakyat Arab dan umat Islam supaya berkumpul di kedutaan-kedutaan rejim Zionis itu di seluruh dunia,” kata jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri sambil menggunakan perkataan Arab 'intifada'.

Perdana Menteri Hamas Ismail Haniya di Gaza mengecam 'serangan' berkenaan dan turut meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melindungi aktivis yang mengikuti misi penghantaran bekalan bantuan itu.


Dr Rani selamat, Jamuliddin dan wartawan Awani tidak diketahui
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Semua rombongan rakyat Malaysia yang menyertai Konvoi Bantuan Antarabangsa Gaza selamat walaupun 16 dari anggota konvoi itu terbunuh dan lebih 30 cedera.

Adun PAS dari Meru, Dr Rani Othman dalam smsnya berkata beliau selamat dan kini kapal yang dinaikinya dipaksa berlabuh di Haifa.

Namun begitu, keadaan Timbalan Pengarah Yayasan Amal, Jamuliddin Elias belum diketahui lagi kerana tidak ada sebarang perhubungan dengan beliau. Setiausaha Politik MB Selangor, Nik Nazmi berkata, Jamuliddin berada di atas salah satu kapal dalam konvoi itu.

Lapan rakyat Malaysia disahkan berada dalam Mavi Marmara, kapal utama dalam flotila pro-Palesti yang diserang tentera Israel hari ini

Manakala itu, Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan kini berada di Istandul dan sedang berusaha untuk menyertai penduduk tempatan Turki yang sedang berdemo menentang tindakan Israel terhadap konvoi damai itu.

Turut selamat adalah tiga wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) iaitu Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu dan anggota parlimen kawasan Parit, Mohd Nizar Zakaria.

Mereka turut disertai wartawan TV3 Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin.

Namun begitu nasib dua wartawan Astro Awani tidak diketahui.

Shamsul berkata mereka berada kira-kira 1,000 batu nautika dari Gaza.

"Kami telah mendengar mengenai IHH (kapal Turki). Rancangan sekarang adalah untuk terus maju dan berpatah balik sekiranya terdapat amaran daripada tentera Israel," katanya


Konvoi Gaza: Kematian meningkat, Gaza berkabung
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Sekurang-kurangnya 20 orang telah meninggal dunia dalam serangan ganas tentera zionis Yahudi dan masih ada kemungkinan akan terus bertambah serta lebih daripada 50 orang lainnya mengalami kecederaan, lapor laman web Haluan Palestin.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyatakan hari berkabung selama tiga hari di seluruh wilayah Palestin sebagai penghormatan terhadap para korban serangan kejam Israel ke atas konvoi Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

Perdana Menteri Palestin daripada Hamas, Ismail Haniyah juga mendeklarasikan aksi mogok beramai-ramai sebagai tanda berkabung untuk para korban dan tercedera akibat serangan Israel yang terjadi hari ini terhadap para aktivis kemanusiaan.

Di antaranya adalah Syeikh Raed Salah, ketua Gerakan Islam di Palestin, yang mengalami luka serius akibat serangan tentera Zionis ke atas kapal-kapal Freedom Flotilla.

Ismail Haniyah juga berkata dalam kenyataannya kepada media bahawa mereka yang bersama konvoi bantuan Gaza sebagai pahlawan bangsa Palestin, dan Hamas mendesak para pemimpin Arab untuk mengambil langkah-langkah praktikal untuk mengakhiri pengepungan Gaza.

“Pemerintah Palestin di Gaza menghormati usaha konvoi armada freedom flotilla untuk memecahkan pengepungan terhadap Gaza,” kata Ismail lagi.

“Kami menganggap semua yang terkorban dan tercedera dalam serangan tersebut sebagai syuhada Palestin, syahid atas usaha mereka merobohkan pengepungan terhadap Gaza,” tambahnya.

(12.30 tengah hari waktu Malaysia) – Israel dilaporkan telah merampas kapal-kapal konvoi Freedom Flotilla. Dilaporkan jumlah kematian meningkat kepada 16 orang dan lebih dari 30 orang cedera ketika pasukan Israel menyerang kapal-kapal Freedom Flotilla pada pagi ini, menurut laporan dari Radio Tentera Darat Israel.

Laman web Haluan Palestin melaporkan, konvoi kemanusiaan itu diserang ketika menghampiri 65 km dari pantai Gaza. Mereka juga berkata kapal-kapal itu sekarang sedang ditarik ke bandar Haifa Israel, bukan ke Asdod untuk mengelakkan wartawan menunggu di sana.

Wartawan Al Jazeera, Elshayyal Jamal yang berada dalam kapal Mavi Marmara, mengatakan bahawa tentera Israel telah menggunakan peluru hidup ketika mereka memasuki dan merampas kapal.

Menurut wartawan Ayman Mohyeldin dari Al Jazeera yang melaporkan dari Baitulmuqaddis, berkata tindakan Israel itu mengejutkan.

“Semua gambar yang dipaparkan dari para aktivis di kapal-kapal menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah warga awam dan bertujuan membawa misi kemanusiaan dengan bekalan perubatan di atas kapal. Tindakan Israel ini pasti akan mengejutkan masyarakat antarabangsa atas apa yang telah mereka lakukan,” katanya.

Ketika ini, ribuan masyarakat Turki mengadakan demonstrasi aman di hadapan kedutaan Israel.

Untuk makluman, seramai lapan orang wakil sukarelawan dari Malaysia berada dalam konvoi kemanusiaan tersebut di atas kapal Mavi Marmara yang diketuai oleh Sdr Noorazman Shamsudin dari HALUANPalestin bersama empat orang lagi juga dari HALUANPalestin dan baki dari Yayasan Amal Malaysia, Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Muslim Care.

Pihak Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) Malaysia masih belum menerima sebarang berita akan situasi dan keadaan mereka di sana memandangkan jalur perhubungan dengan pihak kapal telah terputus.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) akan mengadakan sidang media tergempar pada hari ini (Isnin, 31 Mei 2010) berhubung perkembangan serangan Israel terhadap Armada Bantuan Kemanusiaan Gaza atau Freedom Flotilla pada jam 3.00 petang bertempat di Hotel De Palma Inn, Seksyen 19, Shah Alam. Semua wakil media dijemput hadir.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi; Saudara Solehuddin Shuib, Setiausaha CMT-LL4G Telefon: 019 5511 600.

Marilah sama-sama kita berdoa agar diselamatkan sukarelawan NGO yang berada di atas kapal dan Allah SWT sentiasa memberikan keselamatan dan kebaikannya kepada mereka. Walau apapun yang berlaku diharapkan mereka sentiasa ikhlas dan mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Untuk mengikuti lintas langsung perkembangan tersebut, sila layari http://www.livestream.com/insaniyardim/




Dunia jadi saksi kekejaman zionis Yahudi di perairan antarabangsa
Haluan Malaysia

PERBUATAN jijik dan amat memalukan yang dilakukan oleh rejim Israel pada hari ini (31 Mei) dengan mengarahkan komando tentera lautnya menyerang kapal misi kemanusiaan Lifeline for Gaza (LL4G) “MV Mavi Marmara” sehingga mengakibatkan 20 orang terbunuh dan puluhan lagi penumpang yang tidak bersenjata cedera terkena tembakan telah menzahirkan betapa kejam dan ganasnya rejim Israel yang terkutuk itu.

HALUAN Malaysia selaku ketua NGO delegasi Malaysia ke LL4G dengan ini mengajak seluruh lapisan masyarakat, tidak kira kaum ataupun agama, agar segera mengutuk dan mencela Israel atas sikap kurang ajar mereka ke atas pelayaran damai (Freedom Flotilla) yang membawa barangan keperluan hidup harian kepada penduduk Gaza yang semakin terhimpit dek tekanan ketenteraan, ekonomi dan kemanusiaan oleh rejim Israel di bawah pemimpin-pemimpin mereka yang mendapat dokongan kuat Amerika Syarikat dan Britain.

“Kami ingin menegaskan bahawa penindasan Israel ke atas rakyat Palestin dan kini pembunuhan terbuka di atas kapal penumpang “MV Mavi Marmara” dengan penggunaan peluru hidup ke atas penumpang yang sedang tidur telah menzahirkan sikap ganas Israel yang jelas menyalahi undang-undang antarabangsa dari segi hak asasi kemanusiaan mahupun undang-undang maritim antarabangsa yang menegaskan bahawa tiada suatu negara pun berhak bertindak sewenang-wenangnya di perairan antarabangsa. Jelaslah Israel telah bertindak ala samseng dunia. Kini satu dunia mengutuk Israel dan konco-konconya,” tegas Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman, Presiden HALUAN Malaysia.

“Kami ingin menegaskan bahawa seluruh penduduk dunia yang diwakili oleh para sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dari lebih 50 buah negara yang berada di atas kapal tersebut itu, mengutuk sikap Apartheid yang ditunjukkan Israel itu sebagai satu tindakan yang amat kejam. Israel telah sedar bahawa modus operandinya selama ini untuk decimate ataupun meluluhkan bilangan rakyat sah warga Palestin daripada tanah tumpah darah mereka sendiri sebagai suatu tindakan bangsa yang bangkrap adab, akhlak, idea dan tamadun. Israel sudah tahu bahawa sudah ada gerakan antarabangsa yang kini sedang menjadi arus penentangan ke atas polisi luarnya yang amat menindas dan amat tidak berperikemanusiaan. Dakwaan mereka sebagai negara “underdog” yang dikepungi negara-negara Islam sudahpun lapuk dan kini Israel mahu mempamerkan yang ia mampu berlagak samseng di mata dunia untuk melangsungkan agenda kejinya itu. Ketahuilah, bahawa warga dunia tidak akan berpeluk tubuh terhadap sikap Apartheid Israel itu. Dunia TIDAK akan memaafkan Israel,” ujarnya lagi.

Pada bulan April yang lepas, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman menegaskan di dalam suatu sidang akhbar bahawa penglibatan HALUAN di dalam misi LL4G ini adalah untuk “expose to the public the crimes which is being inflicted by the Zionist Israel regime and its allies upon the citizens of Gaza and the Palestinian Nation as a whole”. Kini, buktinya telahpun jelas lagi nyata.

Rejim Israel mengisytiharkan bahawa permusuhan mereka bukan hanya kepada orang Islam tetapi semua bangsa dan agama yang menentang agenda zionisnya. Sebab itulah tanpa rasa malu mereka telah memusnahkan masjid, gereja, hospital, sekolah, universiti, kompleks pentadbiran, stesen janakuasa elektrik, tadahan air minuman dan semua yang diperlukan untuk kelangsungan hidup.

Rejim ganas ini PERLU disekat oleh kita semua, rakyat Malaysia.

HALUAN dengan ini menegaskan bahawa kami melalui gabungan semua NGO dan badan-badan lain yang menentang sikap degil dan kejam Zionis Israel akan “Bersatu Untuk Palestin”. Kami menyeru semua lapisan rakyat Malaysia agar menulis surat atau emel kepada Duta Besar Amerika, Britain dan Mesir di Malaysia untuk menyatakan solidariti kita menentang sikap mereka yang menyokong bangsa dan negara Israel yang terang-terangan amat keji itu.

Akhirnya kami memohon dan merayu kepada seluruh rakyat Malaysia supaya berdoa dan bermunajat kepada Allah agar menyelamatkan semua sukarelawan yang menyertai LL4G dan menghancurkan Israel laknatullah





10 maut Israel serang konvoi bot bantuan



2010/05/31

JERUSALEM: Sekurang-kurangnya 10 maut apabila askar Israel menyerang bot yang membawa aktivis pro-Palestin dalam perjalanan ke Gaza.

Saluran 10 Television persendirian Israel yang dipetik oleh agensi berita AFP melaporkan, pasukan komando marina Israel mula melepaskan tembakan selepas dikatakan diserang dengan kapak dan pisau oleh penumpang bot keselamatan itu.

Bagaimanapun stesen itu tidak memberitahu jumlah sebenar kematian dan sama ada mangsa itu adalah penumpang bot atau tentera Israel.

Radio tentera Israel pula melaporkan, antara 10 hingga 14 orang terbunuh dalam pertempuran yang berlaku kononnya selepas cubaan penumpang bot terbabit merampas senjata milik komando tentera laut yang cuba menahan mereka.

Tidak jelas sama ada pertempuan itu hanya membabitkan sebuah bot saja ataupun enam konvoi bot yang membawa misi bantuan, dan pihak Israel tidak mahu mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Tentera Israel juga mengeluarkan arahan yang menghalang sebarang maklumat keluar berhubung kematian atau kecederaan akibat kejadian itu. - AFP



Konvoi Gaza: Dr Rani berada di Turki
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 1 Jun: Adun PAS dari Meru, Dr Rani Othman yang selamat bersama 12 anggota keselamatan ke Gaza berada di Turki.

Mereka dijangka sampai ke tanah air kira-kira pukul empat petang esok setelah terpaksa transit di Dubai beberapa jam.

Setiausaha Yayasan Amal Malaysia, Hamid Othman yang baru menghubungi Harakahdaily kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, memberitahu Dr Rani yang dikatakan terpaksa berlabuh di Haifa, sebenarnya tidak berlaku.

Menurut Hamid, Hifa adalah kawasan Israel dan konvoi mereka tidak pernah sampai di sana.

Beliau bagaimanapun berkata, Timbalan Presiden Yayasan Amal, Jamulidin Elias memang belum diketahui nasibnya.

“Turut bersama saya sekarang dan selamat ialah Presiden kita, Husin Ismail, Dr Rani dan beberapa orang anggota lagi ada bersama saya.

“Saya ingin membetulkan kenyataan dalam Harakahdaily yang mendakwa kami selamat di Haifa, sebenarnya tidak Haifa dalam kawasan Israel,”aujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua rakyat Malaysia mendoakan seluruh rakyat Palestin di Gaza yang kini sedang meningkat kematiannya akibat diserang tentera Israel.

Tambahnya, doakan juga semua konvoi misi keselamatan di sana selamat.




Pertubuhan Yahudi mahu Amerika putuskan hubungan dengan Anwar
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Jun: Sebuah pertubuhan Yahudi yang berpengaruh di Amerika meminta negara itu agar menyenaraikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai musuh Amerika berikutan tindakannya mendedahkan hubungan kerajaan dengan APCO dan Asia Soft di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menurut surat B’nai B’rith International’s, The Global Voice of the Jewish Community, yang mempunyai 200,000 ahli dan penyokong itu, mereka sangat kesal dengan kenyataan anti-Sematic yang dikeluarkan oleh Anwar itu.

Melalui surat yang ditandatangani oleh Dennis W. Glick, Presiden dan Daniel S. Mariaschin, Naib Presiden Executif B’nai B’rith International’s itu, mereka mendesak kerajaan Amerika memutuskan hubungan dengan Anwar.

Surat yang bertarikh 25 Mei itu ditujukan kepada John F. Kerry, Pengerusi dan Richard G. Lugar, Ahli utama Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa Amerika Syarikat.

Dalam surat itu, pertubuhan itu melahirkan rasa prihatinnya dengan sikap anti-Sematic Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Anwar yang telah menghabiskan beberapa tahun tinggal di Amerika dan membina imej pro-Barat telah menggunakan kedudukannya untuk menyebarkan propaganda anti-Sematic.

Anti-Sematic adalah istilah yang digunakan oleh Yahudi untuk melebelkan pihak-pihak yang anti Yahudi atau Israel.

Bagi pertubuhan itu, langkah Anwar mengkritik Perdana Menteri Najib Razak dengan memasukkan unsur-unsur fitnah anti-Yahudi dan anti-Israel adalah tidak boleh diterima.

"Contohnya, kenyataannya pada 30 April yang perisik Israel terlibat secara langsung dalam menguruskan kerajaan.

"Contoh lain adalah, dia mendakwa agen perisik Israel dalam unit IT pasukan Polis," kata surat itu.

Mereka juga berkata, Anwar mendakwa kerajaan menggunakan khidmat syarikat perhubungan awam yang dikawal oleh Yahudi di Parlimen.

Selain itu, mereka mendakwa Anwar pernah membuat kenyataan kepada Islam Online yang dia mempunyai bukti kerajaan menyokong lobi Yahudi di Amerika dan sesetengah pihak di Israel.

"Memandangkan peranan Anwar dalam kebangkitan anti-Sematic dalam politik Malaysia, kami memohon semua pegawai Amerika menggantung sebarang hubungan dengan Anwar Ibrahim," kata surat pertubuhan Yahudi itu.

Sementara itu, pertubuhan ini jugalah yang menyalahkan Flotilla Gaza dan melebelkan Hamas sebagai pertubuhan pengganas.

Bagi pertubuhan ini, Flotilla ini adalah satu provokasi oleh kumpulan pro-Hamas yang berlindung di sebalik bantuan kemanusiaan bertujuan untuk memusnahkan negara Yahudi yang dianggap mereka sah itu.





Semua 12 rakyat Malaysia bebas, kini ke Amman
Jun 2, 10 12:00pm
Semua 12 rakyat Malaysia yang ditawan oleh tentera Israel semasa kapal Mavi Marmara diserang pagi Isnin lalu disahkan selamat.

Perkara itu disahkan oleh wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail, 26 yang menghubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

"Alhamdulillah, kini kami selamat," katanya.

Ashwad adalah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang ditahan itu.

"Penderitaan rakyat Palestin selama enam dekad dapat saya rasakan sepanjang 28 jam berada dalam tahanan Israel.

"Saya dapat rasakan bagaimana derita penduduk Palestin semasa berada dalam tahanan," katanya ketika menceritakan mengenai layanan yang diterimanya ketika ditahan tentera Israel.

Menurut Ashwad, dia dan jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip, 43, kini berada di Jordan selepas dibebaskan daripada tahanan Israel dan menunggu untuk dibawa pulang ke tanah air.

Semua mereka kini berada di sempadan di Jordan sementara menunggu persiapan bagi membawa mereka pulang ke Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kini dalam perjalanan ke Jordan bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia yang ditawan pihak Israel itu.

Beliau berlepas ke Jordan pada jam 10.15 pagi tadi dan dijangka tiba di Amman pada jam 1.30 tengahari waktu Malaysia.

“Anifah diiringi beberapa pegawai Wisma Putra,” kata seorang pembantu beliau.

Sementara itu menurut laporan AP, seramai 124 aktivis pro-Palestin dari 12 negara Islam termasuk Malaysia tiba di Jordan hari ini selepas dibebaskan oleh Israel.

Kumpulan itu yang ditahan dalam serangan komando Israel ke atas flotila bantuan Gaza kelmarin menyeberangi Jambatan Allenby ke Jordan dengan menaiki lima bas.

Pegawai

tentera Jordan, Brigadier Mahmoud Abu Jumaa berkata, negaranya akan membantu menghantar pulang aktivis itu ke negara masing-masing dengan kerjasama kerajaan mereka.

Aktivis yang dibebaskan itu terdiri daripada rakyat Malaysia, Azerbaijan, Indonesia, Pakistan, Algeria, Jordan, Kuwait, Maghribi, Mauritania, Yemen, Oman dan Bahrain.

Rakyat Malaysia sehelai sepinggang

Sementara itu, Bernama melaporkan seramai 12 sukarelawan Malaysia itu yang kini selamat dan sedang dalam perjalanan melalui darat ke Amman, Jordan.

Rombongan itu diiringi Duta Malaysia ke Jordan Datuk Abdul Malek Abdul Aziz dan pegawai kedutaan yang lain.

Sebelum itu, rakyat Malaysia telah melepasi sempadan Jordan.

"Kesemua mereka selamat dan berada dalam keadaan baik," kata duta itu apabila dihubungi dari Dubai.

Katanya semua sukarelawan hanya sehelai sepinggang dan tidak mempunyai pasport.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dijangka tiba di Amman hari ini.

Abdul Malek berkata Kementerian Luar Malaysia dan pihak kedutaan akan menyediakan semua persiapan bagi memudahkan sukarelawan itu pulang ke Malaysia.

Pengalaman ngeri

Salah seorang daripada mereka, Noor Azman Muhamad Samsuddin, memberitahu Bernama melalui telefon, serangan yang dilakukan pada awal pagi oleh tentera komando Israel adalah pengalaman yang mengerikan.

Katanya sebahagian besar penumpang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza, yang telah disekat Israel sepanjang tiga tahun yang lalu, tidak menyangka akan menerima tentangan dari tentera Israel sewaktu insiden maut tersebut.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam serangan itu, menyebabkan Israel dikutuk di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Menurut Noor Azman, dua sukarelawan Indonesia juga tercedera dalam serangan tersebut




Senarai 12 rakyat M'sia yang ditawan

Berikut senarai nama nama-nama rakyat Malaysia yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza yang berada di kapal Mavi Marmara yang diserang dan ditawan tentera rejim Israel awal pagi semalam.

Maklumat adalah berdasarkan laman web Lifekine4Gaza.

  • Noorazman Mohd Samsuddin, HaluanPalestin
  • Dr Mohd Arbai'e Syawal, Haluanalestin
  • Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, HaluanPalestin
  • Al-Hami Husain Suhaimi, HaluanPalestin
  • Mohd Nizam Mohd Awang, HaluanPalestin
  • Hasanuddin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
  • Jamuliddin Elias, Yayasan Amal
  • Dr Selamat Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
  • Abdul Halim Mohd Redzuan, Muslim Care
  • Mustafa Mansur, Mapim
  • Ashwad Ismail, wartawan Astro
  • Shamsul Kamal Latif, jurukamera Astro
Nasib mereka masih belum diketahui



'Merangkak di kawasan berlumuran darah'

Wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail nyaris terkena tembakan komando Israel yang menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmara, pagi Isnin lalu.

Menceritakan insiden itu melalui telefon setelah dihubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur, selepas dibebaskan tentera Israel pagi tadi, Ashwad berkata aktivis Turki di kiri dan kanannya terkena tembakan komando Israel ketika serangan itu.

Katanya, tentera Israel mula mengepung kapal misi mereka pada jam 11 malam dan menghampiri kapal mereka pada jam 2 pagi sebelum menyerang pada jam 4.30 pagi dengan sokongan bot dan kapal perang serta helikopter penggempur Apache.

"Kami diserang bertubi-tubi dan Alhamdulillah saya dan jurukamera, Shamsul (Kamal Abdul Latip), terselamat daripada tembakan di mana peluru hidup digunakan.

"Dua orang Turki di sebelah kiri dan kanan saya ditembak di bahagian tangan dan juga di bahagian bahu. Tapi saya sempat menyelamatkan diri dan merangkak turun dari dek kapal melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat di dalamnya.

"Saya merangkak di kawasan yang berlumuran darah dan ternyata pengalaman yang memeritkan untuk kita imbas kembali tetapi jika diperhatikan kami berjaya membuka mata dunia tentang apa yang berlaku.

"Saya tidak menjangkakan bahawasanya Israel boleh bertindak sedemikian kerana kami orang awam di dalam kapal tetapi tindakan ketenteraan yang dilakukan. Ini satu isytihar perang atas kemanusiaan," katanya dalam lintas langsung dari sempadan Jordan semasa berita Awani tengah hari ini.

Ashwad dan Shamsul adalah antara 12 sukarelawan negara yang ditawan bersama ratusan sukarelawan antarabangsa oleh tentera Israel kelmarin selepas kapal mereka diserang.

Sambil menyatakan kesyukuran dan penghargaan kepada semua pihak, khususnya kerajaan Malaysia, yang berusaha membebaskan mereka, Ashwad berkata pengalaman 28 jam ditahan tentera rejim Zionis itu amat memeritkan.

Katanya, keperitan yang dialami dalam tempoh singkat itu sudah cukup untuk beliau menyelami kesengsaraan yang ditanggung rakyat Palestin akibat kezaliman rejim Zionis selama enam dekad konflik Palestin-Israel itu.

"Apa yang saya dapat simpulkan, 28 jam itu saya boleh rasakan pengalaman konflik enam dekad Israel-Palestin, kesengsaraan Palestin di bawah kekejaman rejim Zionis dalam masa 28 jam dan ternyata tidak dapat digalas dengan segala apa yang ada pada kita," katanya.

Ditanya bagaimana layanan tentera Israel terhadap mereka, Ashwad enggan menjawabnya dan hanya mahu seluruh penonton memahami kezaliman rejim Zionis itu terhadap rakyat Palestin selama enam dekad.

"Seperti yang saya katakan tadi, mesej saya ringkas, saya merasakan konflik enam dekad Palestin-Israel bagaimana Palestin ditindas tetapi saya merasakan dalam tempoh 24 hingga 28 jam.

"Saya harap penonton semua termasuk Zaiful dan ibu bapa saya sudah mendapat mesej itu, Tak perlu saya huraikan jenis apa yang telah dilakukan ke atas saya," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan