Isnin, 19 April 2010

BAHAGIAN DAN TAKDIR MASING2....MATI ITU PASTI TAPI TAK TAHU BILA...BERSEDIALAH JGN DILUPAKAN....

Pencari kotak mati dalam kotak


Mayat Shwe Sava yang disumbat ke dalam kotak televisyen dijumpai di kawasan perindustrian di Jalan Telok Batu 36/1, Seksyen 36, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Sejak berada di negara ini lima tahun lalu, seorang pelarian Myanmar berusaha keras mencari rezeki dengan membeli kotak-kotak terpakai dan besi buruk di daerah ini bagi menyara kehidupannya empat beranak.

Namun semalam adalah nasib malang bagi lelaki itu apabila dia ditemui mati dalam sebuah kotak televisyen 21 inci yang dipercayai baru dibelinya.

Lebih menyedihkan apabila kotak televisyen yang berisi mayat itu diletakkan pula di atas besi letak barang motosikal jenis Suzuki 110 miliknya di sebuah kawasan perindustrian di Jalan Telok Batu 36/1, Seksyen 36 di sini.

Semasa mayat mangsa ditemui pada pukul 8.25 pagi itu, mangsa Myint Shwe Sava, 40, yang memegang dokumen pelarian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) mempunyai kesan kecederaan parah di kiri kepala.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, sebelum dibunuh, mangsa disyaki telah dirompak berdasarkan kehilangan beg duit, wang tunai dan telefon bimbit miliknya.

Menurut beliau, siasatan awal percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam kotak televisyen dan diletakkan di atas motosikal mangsa di lokasi kejadian kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Kampung Jawa di Klang.

"Mangsa mungkin telah dipukul bertubi-tubi dengan objek tumpul di bahagian kiri kepalanya menyebabkan dia mengalami pendarahan yang teruk sehingga menyebabkan kematian.

"Berdasarkan topi keledar mangsa yang dipenuhi air hujan, polis juga percaya mangsa dibunuh lebih enam jam sebelum mayatnya ditemui orang awam yang melalui kawasan kejadian," kata beliau di sini semalam.



Mati terkena bom buatan sendiri


ANAK mangsa, Mohd. Shahrir menunjukkan perahu bapanya, Abdullah (gambar kecil) yang terbakar selepas bom buatan sendiri meletup di Tasik Danau Toban, Tok Uban, Pasir Mas kelmarin.


PASIR MAS - Seorang penoreh getah ditemui mati di dasar sungai selepas terkena letupan bom buatan sendiri dalam kejadian di Tasik Danau Toban, Tok Uban, dekat sini petang kelmarin.

Mayat Abdullah Hassan, 49, ditemui tanpa tangan kiri dan kedua-dua belah kaki selepas mengalami cedera parah akibat bom buatan sendiri yang digunakan untuk mencari ikan di tasik berkenaan meletup secara tiba-tiba pada pukul 5.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Supritendan Tengku Azman Tengku Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui di dasar tasik oleh penduduk kampung yang bergegas ke tempat kejadian selepas seorang pemancing yang berada di tasik itu terdengar bunyi letupan.

Siasatan mendapati, mangsa menaiki sebuah perahu bersendirian di kawasan Tasik Danau Toban untuk mencari ikan dengan menggunakan bom buatan sendiri.

"Kita percaya bom itu meletup ketika mangsa yang berada di atas perahu cuba memasang suis pada bom itu.

"Mangsa kemudian terpelanting ke dalam sungai dengan sebahagian perahunya turut terbakar," kata beliau.




Minta isteri, anak tonton Gah 1 di TV2


TASYA bersama anaknya, Putri Salfiah menyiram air mawar di pusara Achik di Makam Tuan Haji Said, Seremban semalam.


SEREMBAN - "Achik beria-ia berpesan supaya saya dan anak-anak menonton program Gah 1 di TV2 yang ditayangkan pada pukul 4 petang kerana dia akan menyanyi secara langsung."

Itulah luahan sebak, H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, balu kepada penyanyi, Abdillah Murad Md. Shari, 27, atau Achik Spin yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), Seremban petang kelmarin.

Dalam program itu, Achik bersama rakan duetnya, Siti Nordiana Alias menyanyikan lagu Mencari Ketenangan sebelum mendendangkan lagu Engkau Yang Ku Cinta secara solo.

Dalam kejadian pada pukul 6.15 petang itu, Achik maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang papan tanda jalan.

Ketika kejadian, vokalis kumpulan Spin itu bersama seorang rakannya, Mohd. Salihin Shah Mohd. Salleh, 29, dikatakan dalam perjalanan pulang ke Seremban dari Kuala Lumpur.

"Permintaan terakhir arwah itu seperti ada makna tersirat kerana itulah kali terakhir kami melihat arwah masih hidup," kata Rose Zaitul.

Dia yang lebih dikenali sebagai Tasya berkata, dalam perjalanan pulang, Achik menghubunginya. Achik meminta dia serta anak-anak bersiap kerana hendak membawa mereka makan malam di luar.







Jenazah Achik selamat dikebumikan

Apr 18, 10 7:44pm
Jenazah vokalis kumpulan Spin, Achik yang meninggal dunia setelah terbabit dalam kemalangan semalam selamat dikebumikan di Makam Tuan Haji Said di Seremban, kira-kira 1 petang ini.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Achik, 27, dituntut oleh ahli keluarga di bilik mayat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban setelah selesai bedah siasat.

Jenazah kemudian dimandi dan dikafankan di hospital itu dan dibawa dengan van jenazah ke rumah mertuanya di Taman Desa Ros, Ampangan di Seremban kira-kira pukul 11.30 pagi bagi membolehkan kaum keluarga dan kenalan terdekat memberi penghormatan terakhir.

Jenazah disembahyangkan di surau Taman Bukti, berhampiran Taman Desa Ros dan dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 12.00 tengah hari.

Suasana sedih dan sepi menyelubungi rumah mertua Allahyarham yang dihadiri lebih 100 orang termasuk saudara mara dan penduduk kawasan berkenaan.

Antara artis yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Hattan, Siti Nordiana atau Nana, Tomok dan Lan Kristal.

Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari yang popular dengan lagu 'Janji Kita' terbunuh apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama sepupunya, Salihin Md Salleh, 29, terbabas lalu terbakar di KM 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) dekat sini kira-kira jam 6.15 petang semalam.

Isteri Allahyarham, HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, 29, berkata setengah jam sebelum kemalangan itu berlaku, suaminya ada menelefon meminta beliau dan anak supaya bersiap tapi tidak pula dinyatakan hendak ke mana.

"Bagaimanpun tak berapa lama kemudian saya dapat panggilan telefon yang
menyatakan suami saya telah meninggal dunia dalam satu kemalangan. Berita sedih
yang sungguh mengejutkan saya," katanya.

Katanya minggu lalu beliau sekeluarga pindah di sebelah rumah emaknya setelah seminggu sebelum itu Allahyarham beriya-iya mengemas rumah itu termasuk mengecatnya.

"Katanya ini akan memudahkan ibu mertuanya untuk 'melihat' isteri dan anaknya Sofia, 3 tahun dan Safia, 10 bulan," katanya.

Emak Allahyarham Badariah Awaluddin, 54, berkata kali terakhir beliau berjumpa Allahyarham dua minggu lalu di rumah salah seorang adiknya.

"Allahyarham nampak pendiam dan tidak seperti biasa. Allahyarham adalah anak kelima daripada sepuluh orang adik beradik. Suami saya (ayah Allahyarham) telah meninggal dua tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Siti Nordiana yang merupakan rakan rapat Allahyarham sejak kecil berkata beliau berasa amat sedih kerana dia adalah orang terakhir berjumpa Allahyarham di Angkasapuri, semalam.

Katanya Allahyarham memang tidak ada apa-apa perubahan, cuma Allahyarham lebih banyak hendak berbual dengannya, tidak macam biasa.

"Semasa di Angkasapuri dia tumpang naik kereta Nana pada jam 5.30 petang semalam sebab keretanya jauh sedikit.....tahu-tahu jam 6 petang dia sudah meninggal dunia. Nana sangat sedih dan terkejut. Tambah sedih lagi semalam Nana lihat anaknya panggil ayah," katanya.

Hattan berkata ia satu kehilangan kerana Allahyarham masih muda lagi dan aktif.

"Saya rasa sedih dan ia juga kehilangan besar buat Negeri Sembilan kerana tidak ramai penyanyi kelahiran Negeri Sembilan. Saya ucapkan takziah dan harap keluarga Allahyarham bersabar menerima dugaan ini," katanya.

Tomok, 26, pula berkata ketiadaan Allahyarham satu kehilangan besar dalam industri muzik.

"Saya amat terkejut dan sedih apabila mendapat berita itu semalam dan tidak sangka Allahyarham pergi dulu. Saya sudah lama tidak berjumpa Allahyarham iaitu sejak lebih setahun," katanya yang seangkatan dengan Allahyarham.

Lan Kristal, 25, pula berkata walaupun tidak rapat tapi terasa kehilangan Allahyarham.

"Saya dapat tahu berita kemalangan dan kematian Achik dari Siti Nordiana melalui khidmat pesanan ringkas," katanya.

- Bernama






Lambaian akhir

Oleh MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD dan ARIFIN SALLEH
am@hmetro.com.my
2010/04/18

MASJID TANAH: “Kami sempat melihat mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Saga melambai meminta bantuan tapi tak berkata apa-apa sebelum api marak secara tiba-tiba,” kata seorang anggota Bomba dan Penyelamat yang cuba menyelamatkan mangsa kemalangan ngeri meragut tiga nyawa di Jalan Baru Solok Duku, Tanjung Bidara, di sini, pagi semalam.

Namun api yang marak menyebabkan Che Ku Mohd Hakimi maut di tempat kejadian dengan kesan terbakar hampir 70 peratus tubuhnya.


Dua lagi mangsa yang terbunuh itu ialah Syed Al-Amin Abdul Jalil, 25, yang memandu kereta Perodua Viva dan isterinya, Rohana Hassan, 23. Bapa tiri Rohana, Jaidal Ibrahim, 30-an, parah dan kini dirawat di Hospital Kem Terendak manakala anak sulungnya, Siti Syaria Waldina, 10 bulan terselamat.


Dalam kemalangan kira-kira jam 6.50 pagi, Che Ku Mohd Hakimi dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ayer Hitam Darat, Tanjung Bidara selepas membeli barangan keperluan untuk kedai runcit bapa mentuanya di pasar awam Masjid Tanah, manakala Syed Al-Amin bersama keluarga dan rakannya itu dari arah Port Dickson menuju ke pusat bandar.


Che Ku Mohd Hakimi yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Kuala Linggi meninggalkan seorang balu, Norashikin Wahid, 31, yang juga guru di Sekolah Rendah Pengkalan Balak dan dua anak, Che Ku Wafiq Shahmi berusia tiga tahun dan Che Ku Syafi, 10 bulan.

Syed Al Amin pula pekerja kontrak di sebuah syarikat di Alor Gajah dan menetap di Sungai Udang.


Menurut ibu saudara Che Ku Mohd Hakimi, Azizah Md Yassin, 54, dia diberitahu mengenai kemalangan itu oleh seorang jiran selepas resah menunggu kerana anak saudaranya lewat pulang berbanding biasa.


“Selalunya ipar dia yang pergi ke pasar awam di Masjid Tanah tapi entah kenapa pagi ini (semalam) dia beriya-iya hendak pergi seorang diri, menyebabkan saya rasa pelik. Saya juga sedikit terkilan sebab dia baru saja buat kenduri doa selamat minggu lalu kerana berpindah ke rumah baru,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.


Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka apabila puluhan ahli keluarga kedua-dua mangsa terbabit menunggu bedah siasat dilakukan. Norashikin yang sebak dan mendukung anak bongsunya enggan ditemubual.


Sementara itu, bapa tiri Syed Al Amin, Habil Mohammad, 65, berkata arwah anak tirinya bersama isteri dan cucunya dalam perjalanan balik menziarahi keluarga mentuanya di Port Dickson.


“Baru petang semalam (kelmarin) saya berbual dengan arwah dan dia beritahu hendak melawat keluarga mentua di Port Dickson memandangkan dia kini bercuti,” katanya.


Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian satu daripada kenderaan terbabit.

Katanya, polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan, termasuk dakwaan saksi bahawa kereta Proton Saga dari arah pasar Masjid Tanah dikatakan cuba membuat pusingan U di satu jalan lurus mendaki bukit sebelum dirempuh oleh kereta Perodua Viva.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






Ibu hamil dibunuh

Oleh NAZARALI SAERIL
nazarali@hmetro.com.my
2010/04/18

KUALA LUMPUR: Seorang ibu yang mengandung dibunuh dan dipijak sehingga janinnya berusia 12 minggu terkeluar dalam kejadian di kawasan rekreasi Taman Tasik Perdana, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman, berkata berdasarkan maklumat, mangsa dijerut dengan sapu tangan yang dipintal dan dimasukkan kayu.


“Polis turut menemui kesan pijak pada perut mangsa dan mungkin ini menyebabkan janin berkenaan terkeluar,” katanya.


Menurut beliau, mangsa dipercayai wanita berbangsa India melalui manik subang yang ditemui terlekat di kolar bajunya.


Katanya, mangsa berusia lingkungan 30-an dan dipercayai mati antara lima hingga enam hari lalu berdasarkan keadaannya yang berulat.

“Dia memakai jam jenama Omega dan bajunya pula sudah reput. Fizikalnya berambut ikal serta panjang. Selain itu, polis menemui topi keledar bersebelahan mayat.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya selepas merasmikan Program Kempen Derma Darah Peringkat Polis Kuala Lumpur Sempena Peringatan Hari Polis ke-203, di sini, semalam.


Untuk pengecaman, individu berkaitan diminta ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Dalam kes berasingan, Muhammad Sabtu mengatakan, dua penjenayah ditahan selepas gagal dalam cubaan menyamun seorang lelaki warga Indonesia di Jalan Hishamuddin, di sini.


Menurut beliau, kedua-dua penjenayah terbabit ditahan MPV polis sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian.


“Mangsa cedera di perut selepas ditikam penjenayah dalam cubaan itu. Seorang penjenayah pula patah kaki selepas terjatuh ke dalam parit ketika cuba melarikan diri.


“Penjenayah ketiga pula meloloskan diri dan kini diburu. Polis menemui senjata tajam di tempat kejadian dipercayai digunakan suspek. Mangsa dirawat di HKL dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Berkaitan kes pelakon, Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 32, yang memfailkan writ permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi, 8 April lalu, Muhammad Sabtu mengatakan, biar undang-undang menentukan keputusan berkenaan.


“Polis akan membiarkan undang-undang menentukan perkara berkenaan dan selepas itu baru kita boleh mengeluarkan kenyataan. Buat masa sekarang, biar ia ditentukan oleh mahkamah,” katanya.


Melalui permohonan itu, Benjy selaku pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden. Ia difailkan menerusi peguamnya, Amer Hamzah Arshad.






Pelajar kolej ditemui mati

Oleh NOR AZIAH OTHMAN
am@hmetro.com.my
2010/04/18

PORT DICKSON: Seorang pelajar kolej ditemui mati dibunuh dengan beberapa kesan tikaman pada badannya di sebuah taman permainan di Batu 10, Jalan Pantai dekat sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan K Baljeet Singh, berkata mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang dan ditemui kira-kira lapan jam kemudian di taman permainan itu.


“Mangsa dibunuh dengan lehernya dijerut menggunakan tali selain ada beberapa tikaman di badan. Penyerang dipercayai lebih dua orang,” katanya.


Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan berlaku pergelutan antara mangsa dengan pembunuhnya.


Ketika ditemui, mangsa berpakaian lengkap dengan baju T dan ada sebuah beg galas bersamanya.

Menurutnya, beberapa barangan peribadi mangsa seperti telefon bimbit dan wang tunai didapati hilang manakala kad pengenalannya ditemui di dalam beg galas.


Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, bapa mangsa, G Athiselva, 56, berkata dia menerima panggilan daripada polis sebelum bergegas ke tempat kejadian.


“Anak saya ada memberitahu ingin bercuti bersama rakannya ke sini (Port Dickson) dan datang dengan menaiki bas. Dia keluar rumah jam 2 petang semalam (kelmarin) untuk bercuti dan saya nampak dia gembira,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hopsital Port Dickson, di sini.


Prakash adalah pelajar dalam bidang komputer.





Wanita maut kereta terbabas



2010/04/18

REMBAU: Seorang wanita maut apabila kereta dipandunya terbabas dan berpusing beberapa kali di Lebuhraya Utara Selatan (Plus), dekat sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku dalam hujan lebat ketika mangsa dan anggota keluarganya dalam perjalanan ke Klang.


Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang memandu kereta jenis Naza Citra gagal mengawal kenderaannya ketika tiba di tempat kejadian, menyebabkannya melanggar besi penghadang jalan.


“Kenderaan dipandu wanita itu kemudian berpusing beberapa kali namun tidak terbalik. Suami dan tiga anaknya yang berusia antara lima hingga 18 tahun dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk mendapatkan rawatan,” katanya.


Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah, mengesahkan kejadian itu dan meminta mereka yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6851222 atau balai polis berhampiran.




Mayat dalam tilam

Oleh JAAFAR MULUP
am@hmetro.com.my
2010/04/04

GEMAS: “Saya tersentak melihat objek hitam yang kelihatan seperti gulungan tilam rupa-rupanya menyelimuti mayat manusia yang hampir rentung sepenuhnya,” kata pekerja ladang, Kardi Sumayan, 38.

“Bagaimanapun, selepas membukanya, saya terkejut melihat mayat yang hangus dalam keadaan tertiarap.


“Saya segera kembali ke pejabat dan memaklumkan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Kata Sumardi, dia tidak menolak kemungkinan mayat itu dibunuh di tempat lain sebelum dicampakkan ke situ kerana lokasinya yang hanya terletak kira-kira 200 meter dari Jalan Gemas — Pasir Besar.


Mayat mangsa yang identitinya belum dikenalpasti dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadian berkenaan, terutama mengenal pasti identiti mangsa.


Menurutnya, pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri dihantar ke tempat kejadian untuk mencari bahan bukti berkaitan kes berkenaan.


Orang ramai yang ada maklumat berhubung perkara itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4431999 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.






Presiden Poland maut



2010/04/11

MOSCOW: Presiden Poland, Lech Kaczynski (gambar), isteri dan beberapa pemimpin tertinggi tentera serta awam negara itu terbunuh semalam bersama-sama puluhan penumpang lain apabila pesawat presiden itu terhempas ketika hendak mendarat dalam keadaan kabus tebal di barat Russia.

pix_middle


Pesawat berkenaan membawa Kaczynski, isteri dan kakitangannya ke majlis memperingati ulang tahun ke-70 pembunuhan beramai-ramai tentera Poland oleh askar Russia di Smolensk, barat Russia.

Ketua Turus Tentera, Jeneral Franciszek Gagor, Presiden Bank Kebangsaan Poland, Slawomir Skrzypek dan Timbalan Menteri Luar, a Andrzej Kremer turut berada dalam pesawat itu, kata Kementerian Luar Poland.


Ketua badan penyiasat Russia, Sergei Markin berkata, 132 orang berada dalam pesawat Tu-154. itu.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Poland berkata, terdapat 89 orang penumpang saja di dalamnya.

“Kami masih belum dapat memastikan punca tragedi ini. Belum pernah kemalangan sebegini berlaku di Poland,” kata jurucakap itu.

Gabenor wilayah Smolensk, Sergei Anufriev berkata, kejadian berlaku jam 11 pagi (3 petang waktu Malaysia).

Menurutnya, ramalan awal menunjukkan pesawat itu melanggar pokok sebelum terhempas dan terbakar.

Pesawat Tu-154 milik Presiden Poland itu berusia sekurang-kurangnya 20 tahun.

Pegawai Poland sudah sekian lama berbincang untuk menggantikannya tetapi rancangan itu terhalang kerana masalah kewangan.

Syarikat penerbangan Russia, Aeroflot baru-baru ini menghentikan penggunaan pesawat Tu-54. - AFP





Pemuda murung mati tergantung

KUANTAN - “Saya nampak dia macam tidak berselera untuk makan sejak tiga hari lalu dan bertanya sama ada dia mengalami masalah,” kata ibu lelaki yang ditemui mati tergantung di dapur rumahnya di Taman Tas di sini, semalam.

Wanita itu berkata, anak kedua daripada enam adik-beradik berlainan bapa itu kelihatan murung sejak beberapa bulan lalu.

“Ketika pulang kerja bersamanya pada jam 1 petang semalam, dia diam sahaja. Saya berehat sehingga terlelap kerana keletihan, sementara anak saya tidur di kerusi.

“Saya terkejut apabila anak bongsu yang ada di dapur menjerit meminta saya pergi ke dapur, selepas melihat abangnya tergantung,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Katanya, anak lelakinya yang berumur 26 tahun itu pendiam dan membantunya sebagai tukang cuci di sebuah sekolah selepas berhenti kerja di bengkel motosikal.
Adik keempatnya berkata, ketika kejadian, dia di ruang tamu dengan ahli keluarga.

“Saya tidak sangka perkara seperti itu boleh berlaku kepada abang saya, walaupun dia alami kemurungan,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha berkata, lelaki itu dipercayai mengalami kemurungan selepas pulang dari kampung neneknya di Terengganu tahun lalu.

“Lelaki itu dijumpai tergantung dengan kain langsir diikat pada besi siling dan dipercayai mati sekitar antara jam 1.20 petang dan 2 petang,” katanya. Dia dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat.






Mati dalam lori

HULU SELANGOR – Seorang pemandu lori pembekal ais di gerai dan kedai semasa pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor ditemui mati dalam lorinya kira-kira jam 8 pagi berhampiran tandas awam di sini semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Rohaimi, 30-an dipercayai mati akibat serangan jantung dan mati terduduk di tempat duduk pemandu.

Kelindannya, Nageshraw, 23, berkata, mangsa ada mengadu sakit dada dan panas serta muntah-muntah sebelum ditemui mati.

“Mangsa mengadu sakit dada dan disebabkan terlalu panas mangsa membuka baju dan muntah-muntah.

“Selepas saya tinggalkan seketika sewaktu menghantar ais ke kedai, saya lihat mangsa sudah tidak sedarkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Yahya Affandi yang mengesahkan kejadian itu berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.






Misteri remaja maut dijerut

TELOK KEMANG – Orang ramai yang berkunjung ke sebuah kedai makan untuk bersarapan di Batu 10, Jalan Pantai Pasir Panjang, dekat sini, terkejut berikutan penemuan mayat seorang remaja lelaki.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, mayat A Prakash, 18, dari Taman Cheras, Kajang ditemui orang ramai dalam keadaan terlentang lengkap berpakaian t-shirt dan berseluar panjang dengan sebuah beg galas bersamanya kira-kira jam 7.10 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan itu.

“Remaja itu percayai meninggal dunia enam hingga lapan jam sebelum mayatnya ditemui.

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibu-nuh dengan dijerut di leher dari arah belakang berikutan terdapat beberapa ke-san calar di bahagian dada berkemungkinan akibat pergelutan sebelum mangsa mati,” katanya, semalam.

Baljeet berkata, polis mendapati telefon bimbit dan duit mangsa hilang, manakala kad pengenalan mangsa berada dalam beg galas yang dibawa, di tempat kejadian.

Menurutnya, polis percaya pembunuhan dilakukan oleh dua atau lebih suspek dan kes ini akan disiasat di bawah seksyen 302 kanun keseksaan.

“Orang ramai yang mem-punyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membuat laporan di balai polis terdekat,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga pada jam 2 petang, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, G Athiselva, 56, berkata, dia menerima panggilan dari polis memaklumkan anaknya dijumpai mati dibunuh pagi semalam.

Menurutnya, anaknya ada memaklumkan mahu bercuti ke Port Dickson bersama rakan-rakan dan dia mengizinkan anaknya berbuat demikian.

“Prakash keluar jam 2 petang Jumaat lalu untuk ke Port Dickson bersama kawannya menaiki bas dan dia dilihat sangat gembira.

“Saya terkejut apabila menerima panggilan me-nyatakan polis menemui mayat seorang remaja lelaki dan ternyata itu adalah anak saya, lebih menyedihkan dia mati dibunuh.

“Prakash seorang anak yang baik dan bijak. Dia sedang melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta dalam bidang Komputer di sini. Dia juga anak bongsu dari dua beradik dan saya sangat sedih dengan kejadian ini,” katanya.



Mati lepas dipukul menantu mabuk

PENDANG – Seorang lelaki berumur 90 tahun mati tiga hari lalu - 13 hari selepas dipukul menantunya di rumah mereka di Kampung Paya Mat Inson, kira-kira 20 kilometer dari sini.

Menantunya, seorang penoreh, dipercayai berpindah ke Baling bersama ibunya selepas kejadian itu, dengan meninggalkan isteri dan dua anaknya yang masih kecil, di kampung itu.

Seorang penduduk yang tidak mahu namanya disebut, mendakwa lelaki itu memukul bapa mertuanya, dikenali sebagai See Keo, kira-kira jam 8.45 malam 30 Mac lalu.

“Orang tua itu dipukul teruk. Dia cedera di tangan, giginya patah dan dirawat di hospital,” kata penduduk itu.

Beberapa penduduk kampung bergegas ke kawasan rumah itu setelah mendengar bunyi bising, tetapi tidak berani masuk ke rumah itu kerana takut dituduh menceroboh.

“Seorang daripada penduduk pernah cuba menolong, tetapi penoreh itu mendakwa dia menceroboh dan menuntut RM500 daripadanya,” katanya.

Penduduk itu mendakwa kejadian pada 30 Mac itu adalah kali kelima dalam bulan itu penoreh tersebut memukul bapa mertuanya.
“Kami difahamkan, dia akan pukul bapa mertuanya apabila dia mabuk,” katanya.

Difahamkan keluarga warga emas itu tidak melaporkan kepada polis kerana menganggap dia mati akibat sakit tua, bukan akibat dipukul.





Achik Spin maut kemalangan ngeri

SEREMBAN - Penyanyi, Abdillah Murad Md Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, 27, maut dalam kemalangan di Kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang–Seremban Sdn Bhd (Lekas), di sini, lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, Allahyarham yang popular dengan gandingan penyanyi Siti Nordiana atau Nana, meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum melanggar sebuah papan tanda.

Achik dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Green Street Homes, Seremban 2, dekat sini, selepas menghadiri satu program bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Kuala Lumpur.

Ketika kejadian, Allahyarham dikatakan tercampak keluar dari kenderaan sebelum kereta pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaikinya terbakar lalu meletup.

Orang ramai dan beberapa pekerja Lekas yang berada di tempat kejadian cuba menyelamatkannya penyanyi tersebut, bagaimanapun gagal.

Rakan mangsa, Mohd Salihin Shah Mohd Salleh, 29, yang berada di dalam kereta berjaya dibawa keluar dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk rawatan.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah berkata, mangsa meninggal di tempat kejadian selepas kenderaan yang dipandunya melanggar papan tanda selepas kawasan Rawat dan Rehat (R&R) dekat susur keluar ke Pajam.

"Allahyarham dikatakan tercampak keluar dan tidak sedarkan diri sebaik sahaja keretanya merempuh tiang papan tanda berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Mantin, Hamizin Khaidir berkata, penyanyi berkenaan tercampak keluar dari kenderaan dan orang ramai cuba menyelamatkannya sebelum dia disahkan meninggal dunia.

"Bomba menerima panggilan pada jam 6.32 petang dan kebakaran berjaya dipadamkan beberapa minit kemudian," katanya.

Jenazah akan dituntut keluarga jam 10 pagi ini selepas selesai bedah siasat untuk dibawa ke rumah keluarga isterinya di Taman Bukti, Ampangan di sini.

Sementara itu, isteri dan keluarga Allahyarham enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian tersebut.




Bold

Gurauan maut seorang suami

KUALA TERENGGANU – Seorang isteri tidak menyangka gurauan suami tercinta yang mengatakan tempoh hidupnya di dunia sudah tidak lama rupa-rupanya sebagai petanda bahawa mangsa, Nordin@Mamat Ismail, 70, benar-benar meninggalkan mereka sekeluarga setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya, di Pengadang Baru, di sini, semalam.

Fatimah Mohamad, 59, ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkata, arwah suaminya pernah beberapa kali menyuarakan bahawa ajalnya hampir tiba pada minggu lepas namun tidak dianggap serius.





Kecoh rebut jenazah

Oleh Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my
2010/04/19

TAMPIN: Pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin di sini, kecoh seketika apabila jenazah seorang lelaki beristeri tiga menjadi rebutan sehingga memaksa campur tangan polis dan hospital.

REMUK...kenderaan mangsa yang terbabit kemalangan, semalam. Gambar  kecil, Abdul Rahman Abdul Rashid.
REMUK...kenderaan mangsa yang terbabit kemalangan, semalam. Gambar kecil, Abdul Rahman Abdul Rashid.
Jenazah Abdul Rahman Abdul Rashid, 55, yang maut dalam kemalangan menjadi rebutan isteri kedua dengan anak lelaki isteri pertama.


Isteri kedua mangsa, Faridah Abdullah, 60, datang ke Hospital Tampin kira-kira jam 8.45 pagi membuat pengecaman dan menuntut mayat suami bagi dibawa pulang Rembau untuk dikebumikan.


Sejam kemudian, anak lelaki sulung mangsa (anak dengan isteri pertama), Mohd Fadil, 35, datang ke bilik mayat hospital berkenaan membuat pengecaman.


Mereka enggan mengalah menyebabkan polis dan hospital campur tangan.


Faridah berkata, ketika hayatnya, arwah suaminya berpesan supaya dia dikebumikan di Rembau.


Sementara itu, Mohd Fadil berkata, dia lebih berhak menuntut jenazah berkenaan kerana anak sulung daripada tujuh beradik isteri pertama arwah.


Kekecohan itu bagaimanapun diselesaikan Pegawai Penyisat kes berkenaan, Sub Inspektor Othman Sulaiman serta beberapa kakitangan hospital dan jenazah berkenaan diserahkan kepada Mohd Fadil.


Jenazah Allahyarham yang juga Pembantu Perubatan Hospital Alor Gajah Melaka dibawa balik ke rumahnya di Taman Bachang Baru, Melaka dan dikebumikan di tanah perkuburan Pasir Putih, Bachang, selepas selesai dimandi dan dikafankan di Hospital Tampin.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Suprintendan Mizan Mohd Dom, berkata kejadian itu berlaku selepas kereta dipandu mangsa bertembung sebuah lori di Kilometer 15, Jalan Seremban-Tampin, dekat Pedas, kira-kira jam 3.20 pagi semalam.


Menurutnya, sepasukan polis yang menerima maklumat kejadian itu bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan.


“Berdasarkan siasatan awal, Proton Saga dipandu mangsa terbabas ke kanan jalan dan bertembung lori berkenaan.


“Mangsa mati di tempat kejadian kerana parah bahagian dalaman selain kaki kiri patah,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit bagaimanapun cedera ringan.


Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6851222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



Nota terjun tingkat 11

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/04/19

KUALA LUMPUR: Tekanan perasaan dialami selepas mendakwa sering dimarahi keluarga kerana mendapat keputusan peperiksaan tidak memuaskan membuatkan seorang pelajar tingkatan tiga sanggup terjun daripada tingkat 11 pangsapuri didiami.

Sebelum terjun, pelajar perempuan itu sempat menulis surat meluahkan perasaan kecewanya kerana kerap dimarahi ibu bapa apabila gagal mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.


Malah, dia juga turut merakamkan gambar sendiri menggunakan telefon bimbit yang menunjukkan seolah-olah cuba menjerut leher menggunakan rantai yang dipakainya.


Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, remaja berkenaan dipercayai bertindak terjun dari tingkap bilik tidurnya selepas meninggalkan surat dan bukti berhubung masalah dialami.


Menurutnya, pelajar yang tinggal bersama ahli keluarga di Ketumbar Height, Cheras di sini, cedera parah di kepala dan tubuh kesan dari hentakan kuat menyebabkan dia mati di lokasi kejadian sebelum mayatnya ditemui penduduk pangsapuri itu.


“Berdasarkan siasatan, mangsa kerap menginap di rumah mak ciknya di tingkat empat di pangsapuri sama, namun pada hari kejadian, mangsa dikatakan pulang ke rumahnya di tingkat 11 kediaman itu.


“Sebelum terjun, mangsa sempat menggunakan telefon bimbit kamera miliknya untuk merakam perbuatan anehnya. Berdasarkan siasatan, dia dilihat sengaja menggunakan rantai leher sambil seolah-olah cuba menjerut lehernya sendiri,” katanya.


Menurutnya, pelajar itu kemudian menulis di atas dua keping kertas mencurahkan segala masalah dan rasa isi hatinya. Antaranya mendakwa tertekan dengan keputusan akademiknya yang mengecewakan menyebabkan dia kerap dimarah oleh ibu bapa.


“Mangsa mendakwa tertekan dengan tindakan ibu bapanya yang kerap meluahkan rasa tidak puas hati sehingga dia mengambil keputusan untuk membunuh diri bagi menghentikan penderitaan dialami,” katanya.

Menurutnya, mayat remaja itu dihantar ke Pusat perubatan Hospital Kebangsaan Malaysian (PPUKM) untuk bedah siasat.


“Setakat ini siasatan mendapati kematian mangsa tidak membabitkan unsur jenayah dan ia adalah kes mati mengejut,” katanya.


Bagaimanapun, keluarga mangsa yang diambil keterangan polis tidak percaya mangsa sanggup membunuh diri hanya kerana tertekan dengan keputusan peperiksaan diperoleh.


Bapa mangsa berusia 49, mendakwa dia dan isteri tidak pernah memarahi anak gadis mereka atau memberi tekanan kepadanya.

Difahamkan, bapa mangsa meminta polis menyiasat punca kes kematian mangsa lebih terperinci bagi mengenal pasti motif sebenar di sebalik kematian anak gadisnya itu.















Tiada ulasan:

Catat Ulasan