Khamis, 18 Mac 2010

Mufti patut utamakan akidah

Mufti patut utamakan akidah


Wan Nik Yusof


Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya fi-Fiqihi al-Aulawiyat banyak memaparkan seni keutamaan fikah kehidupan umat Islam berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Antara yang penting diberi perhatian ialah mengenai ‘keutamaan kualiti ke atas kuantiti’ yang memfokuskan kepada perspektif syariat di dalam mengukur kebaikan yang diraih. Oleh itu, kunci kepada pencapaian kualiti itu bukannya bilangan, tetapi nilai ilmu yang dikuasai. Mereka yang berilmu adalah tidak ramai, sedangkan merekalah diakui oleh Allah sebagai orang yang mulia di sisi-Nya.

Firman Allah; ”Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”
(Surah az-Zumar 39:9)

Keutamaan ilmu

Ia bermakna, tradisi kelangsungan ilmu kalangan umat Islam harus diutamakan bagi menjadi umat yang sempurna. Ilmu sahajalah dapat memastikan kedudukan umat terus relevan mengikut perkembangan persekitaran hidup yang penuh mencabar. Ia selari dengan maksud hadis dari Muaz Ibn Jabal radhialLahu anhu: “Ilmu adalah pemimpin, dan amal adalah pengikut.” Oleh sebab ini, mereka yang berilmu itu adalah sifatnya takut kepada Allah dan sifat itu sebenarnya sifat ulama’.

Firman Allah; ”Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.”
(Surah Fatir 35:28)

Berikutnya dari Ibn Hajar dalam sahih al-Bukhari, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa orang yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, maka akan diberikan ilmu (kefahaman) mengenai agama-Nya. Kerana seseorang yang berilmu dan memahami ajaran Islam, ia akan mengamalkannya dengan benar dan baik.”

Mungkin, Khalifah Umar Abdul Aziz memahami konteks hadis di atas lalu beliau menanggapinya sebagai, “sesiapa yang berbuat sesuatu tanpa memiliki persiapan ilmu, maka ia akan lebih banyak menyebabkan kerosakan daripada menimbulkan kebaikan.”

Sifat pemimpin hendaklah berilmu

Dalam konteks ini, Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi telah menyentuh secara langsung dalam kaedah kepemimpinan, betapa ilmu adalah suatu seni keutamaan yang mesti dilalui dan dikuasai. Lantas menguasai pelbagai cabang ilmu termasuk ilmu agama adalah syarat bagi semua jenis kepemimpinan (politik, ketenteraan dan kehakiman). Justeru itu, penguasaan ilmu kalangan pemimpin hendaklah diselarikan dengan mengamalkan ilmu dan komited atas amalannya. Natijah sifat pemimpin itu akan membawa kebaikan kepada seluruh kepemimpinannya.

Ia bermakna, pemimpin politik harus menguasai ilmu pemerintahan, pengurusan sumber negara dan cukup amalan agamanya. Begitu pula, pemimpin tentera harus menguasai semua ilmu peperangan, strategi keselamatan dan komited dengan agama. Pun seorang kadi juga mufti yang mengurus dan merencana kehakiman harus mendalami kesemua ilmu kehidupan umat, kepemimpinan dan sedia taat mengamalkan ajaran agama.

Apa pun, seseorang pemimpin itu hendaklah berilmu pengetahuan tinggi dan sedia lengkap dengan kefahaman dan amalan agamanya. Tanpa ilmu dan agama, pemimpin itu hanya akan berjaya menguruskan diri dan umat yang dipimpinnya setakat di dunia sahaja. Tanpa agama, kepimpinannya tidak mungkin akan menyelamat dirinya dan umatnya sampai ke akhirat. Ini merupakan visi kepimpinan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.

Kelantan menerapkan kepemimpinan berilmu

Visi kepimpinan Rasulullah inilah yang sedang diisi melalui wadah kepimpinan ulama’ dan kepimpinan Islam negeri Kelantan. Ia berlaku sejak 20 tahun lepas di bawah pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru itu, pengalaman 13 tahun Rasulullah di Mekah dengan agenda memantapkan generasi pertama Islam telah diberi keutamaan. Program pembinaan akidah (keimanan) dan bimbingan kerohanian telah diutamakan. Sehingga generasi pertama itu memenangi ujian pertama di dalam peperangan Badar. Maka, di Kelantan asas-asas pembinaan akidah dan kerohanian menjadi keutamaan tatkala melaksanakan program pendidikan massa yang menolak segala kaedah dan pendekatan keduniaan yang menafikan agama.

Berlaku secara amali di Kelantan ialah falsafah Islam telah diterapkan di dalam sistem pentadbiran dengan mengutamakan prinsip akidah (ubudiah), syariah (masuliah) dan kualiti (itqan). Sehubungan itu, agenda pembebasan campur-baur antara halal dengan haram diutamakan. Misalnya, memindahkan akaun kerajaan Negeri ke Bank Islam, mewujudkan tabung Serambi Mekah yang mengasingkan sumber halal dengan yang haram, memperkenalkan peraturan pakaian menutup aurat, mengamalkan bacaan al-Fatihah sebagai adab memulakan majlis dan bacaan doa tasbih kafarah dan surah al-Asri ketika mengakhiri majlis, menyedia tempat duduk khusus untuk lelaki dan wanita, dan mempamerkan mesej dakwah melalui papan tanda dan billboard. Malah, menerapkan budaya pengurusan berintegriti, tadbir urus terbaik, tanpa rasuah dan mengutamakan kualiti. Di samping sentiasa berserah kepada Allah di atas setiap kekusutan dihadapi dengan menganjur solat hajat dan munajat.

Kesemua kaedah dan pendekatan akidah, syariah dan kualiti itu adalah bersifat keagamaan yang tidak pernah wujud di dalam falsafah sekular atau mana-mana pihak yang memakai perkiraan pentadbiran sekularisme. Justeru itu, pihak kerajaan Barisan Nasional amat tidak popular di dalam mengamalkan seni keutamaan berteraskan akidah mahu pun keagamaan. Oleh itu, tidak berlaku di sepanjang penguasaan pentadbiran pihak kerajaan BN untuk menerima prinsip akidah, syariah dan kualiti berteraskan Islam. Maka, tidaklah menjadi syarat utama untuk kerajaan BN mentadbir segala urusan politik, ketenteraan dan kehakiman mengikut acuan Islam.

Kesannya ada Mak Menteri yang tidak menutup aurat, maka jauh sama sekali untuk mewajibkan isteri-isteri Pak Menteri, pembesar negeri dan kakitangan wanita menutup aurat. Muncul pula, NGO seperti Sisters in Islam yang mengkritik undang-undang syariah mengenai hukuman sebat. Salah faham Islam terus melebar kalangan umat Islam sendiri. Jauh sekali orang bukan Islam untuk memahami Islam.

Oleh itu, keberkatan tidak dapat dirasai di dalam pentadbiran kerajaan BN. Ia adalah manifestasi amalan sekularisme kerajaan BN yang mengabaikan tuntutan akidah Islam. Di atas perjalanan pincang akidah Islam itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mencadangkan agar Umno sebagai tunggak BN menukar dasar perjuangan yang sekular itu kepada Islam.

Mufti sepatutnya menegur sekularisme


Atas aspek ini, ada ulama’ termasuk mufti yang bersikap tidak cuba memberi keutamaan untuk memperbetulkan perjuangan Umno agar tidak berkompromi dengan sekularisme. Sebaliknya, pihak ulama dan mufti tertentu sibuk mengutamakan usaha menangani perselisihan sesama umat Islam. Sedangkan punca segala-gala kepincangan di dalam masyarakat Islam di negara ini adalah sekularisme.

Sepatutnya ulama’ dan mufti bergegas-gegas menemui pemimpin Umno yang sekular itu supaya menerima dasar Islam di dalam menjalankan urusan pentadbiran negara dan negeri. Mereka sepatutnya mereka memberi penjelasan dan keyakinan kepada para pemimpin dan pembesar Umno betapa segala-gala kesan buruk akan menimpa umat Islam bila mana mereka terus bergelumang dengan sekularisme, termasuklah berlaku perselisihan sesama umat Islam selagi mana tidak menerima dasar Islam.

Sememangnya para ulama’ dan mufti amat arif di dalam menilai keutamaan akidah dan syariah serta kualiti Islam. Tiadalah alasan untuk ulama’ dan mufti mengunci mulut di dalam persoalan hukum qat’i ini. Janganlah pula ada ulama’ dan mufti tersalah menilai seni keutamaan ini. Sehingga ada yang mengutamakan usaha menyelesaikan isu perselisihan antara parti-parti politik berbanding usaha membetulkan akidah perjuangan yang sekular kepada Islam.

Apa yang berlaku dalam krisis politik di Perak sebelum ini adalah jelas angkara kegagalan ulama’ dan mufti kerajaan. Apabila sikap hukumah para ulama’ dan mufti gagal menegur tindakan tidak berakidah oleh ahli politik yang sanggup ‘murtad’ dengan parti sendiri dan keluar menjadi ahli politik ‘bebas’ dan menyokong pula puak BN. Kesanya, terbaliklah sebuah kerajaan Negeri yang dipilih oleh majoriti rakyat dan muncullah kerajaan BN sebagai kerajaan bertaraf ‘kerajaan yang merampas kuasa.’

Sebaliknya, selepas kejadian ahli politik ‘murtad’ itu dan berkuasa semula kerajaan BN di Perak (tanpa mandat majoriti rakyat), dengan tiba-tiba muncul seorang mufti berpihak kepada kerajaan yang merampas kuasa, atas alasan kononnya kembali semulalah kuasa orang Melayu. Sedangkan kerajaan yang terbalik dek kerana tindakan ‘murtad’ ahli politik tersebut sebenarnya juga dikuasai oleh orang Melayu dan seorang beragama Islam menjadi Menteri Besar.

Dalam hal tersebut, di manakah benarnya hujah keutamaan untuk seorang mufti berpihak kepada kerajaan yang merampas kuasa? Malah, sanggup pula menjadi broker untuk mengadu-domba beberapa pemimpin agar bersetuju dengan sikap ‘agamanya’ yang tersasar daripada hukum fikah keutamaan berteraskan akidah dan syariah.

Jika benar mufti itu mempunyai niat untuk membina keutuhan akidah dan syariah, seeloknya pada ketika dua ahli politik itu ingin ‘murtad,’ sewajarnya mufti yang berkhidmat kepada kerajaan Negeri itu menegurnya, kerana ia boleh menggugat kestabilan politik umat Islam yang sedang menerajui kerajaan Negeri.

Namun, ia tidak berlaku, malah seni keutamaan yang diamalkan oleh mufti itu sudah dilihat tumpul. Maka, tidak berlakulah apa yang sepatutnya. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah tidak sepatutnya berlaku. Dan rakyat kini sudah mengetahui arah kiblat mufti itu. Natijahnya, kepada Allah jua kita kembali, dan kepada-Nya kita semua berserah diri.



lah ni


Minda: Islam semakin kukuh di Eropah

Oleh Mohamad Sofee Razak

2010/03/22

PERANGKAAN dan kajian menunjukkan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) seperti Britain, Sepanyol dan Belanda akan mempunyai kadar penduduk Muslim yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat. Perangkaan 2008 menunjukkan lima peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk di 27 negara Eropah terdiri di kalangan umat Islam. Perkembangan ini membuktikan Islam agama universal, relevan dan komprehensif kepada umat manusia di muka bumi ini.

Ini bukanlah suatu yang baru kerana Islam dan Eropah mempunyai sejarah tersendiri yang cukup lama sejak wujudnya era emas empayar Islam di Sepanyol selama lebih 700 tahun sebelum ditewaskan Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella. Akibatnya, pada 1609 orang Islam dihalau dari benua berkenaan dan amalan agama Islam dilarang pelaksanaannya sehinggalah Islam kembali diterima masyarakat moden Eropah hari ini.


Peranan, pengaruh dan sumbangan Islam kepada alam sejagat sangat besar sehingga ramai sejarawan dunia mengiktiraf sumbangan Islam kepada Timur dan Barat terutama dalam bidang intelektual, pembinaan tamadun, sains, kemajuan perubatan moden, perkembangan budaya dan falsafah, disiplin ilmu dan sebagainya. Philip K Hitti dalam bukunya ‘The Arabs: A Short History’ menukilkan seperti berikut: “Orang Islam Sepanyol mengarang salah satu daripada bab gemilang dalam sejarah intelek pada Zaman Pertengahan Eropah. Di antara pertengahan abad ke-8 dan permulaan abad ke-13, orang Arab ialah pemimpin utama dalam budaya dan peradaban di seluruh dunia. Kedua-dua bidang ini adalah perantara untuk memulih, menambah dan menyebar sains dan falsafah kuno yang telah memungkinkan pembaharuan di Eropah Barat.” (Halaman 174-175).


Peningkatan jumlah pendatang dari negara Islam di Eropah dan kadar kelahiran rendah di kalangan penduduk asal Eropah bermakna jumlah umat Islam di sana akan meningkat menjadi 20 peratus pada 2050 seperti dilaporkan kajian mengenai Euro-Islam dalam jurnal Current History oleh William Finan. Ketika ini di United Kingdom (UK) sahaja mempunyai lebih 1.8 juta penduduk Islam, ditambah 72 juta di Turki sedia ada biarpun negara berkenaan belum diiktiraf sepenuhnya oleh negara Eropah lain sebagai sebahagian daripada benua itu.


Manakala pada 2005 direkodkan Perancis mempunyai bilangan orang Islam paling ramai di Eropah, iaitu kira-kira 5 juta, diikuti Jerman kira-kira 3 juta warga Islam, Itali (2 juta), Belanda (730,000 orang), Sepanyol (350,000), Austria (300,000), Belgium (290,000), Sweden (250,000) dan beberapa negara Eropah lain yang terus mencatatkan peningkatan jumlah umat Islam di sana. Keadaan ini sangat signifikan dan mampu memberi impak positif kepada perkembangan Islam di sana serta menggembleng kemampuan umat Islam dalam segala aspek.


Menurut Tariq Ramadan, seorang sarjana falsafah dan pengajian Islam di Switzerland dalam beberapa tulisan berkenaan peningkatan jumlah umat Islam di Eropah berpendapat bahawa Islam kini telah menjadi sebahagian dari budaya Eropah dan masyarakat Islam di Eropah bukan lagi pendatang yang kemudian kembali ke negara asal, tetapi telah menjadi sebahagian daripada warga Eropah di samping menjadi ejen perubahan, warga yang bertanggungjawab serta bersama-sama membangunkan negara masing-masing.

Sementara itu, sarjana Barat tersohor iaitu John Esposito, pengasas Majlis Persefahaman Islam-Kristian di Washington, Amerika Syarikat (AS) berpandangan Islam bukan saja agama kedua terbesar secara global, tetapi agama kedua atau ketiga terbesar di Eropah dan Amerika. Ini akan membuka peluang dan ruang lebih besar kepada Islam berkembang ke seluruh dunia memandangkan Eropah dan AS adalah antara kuasa dunia utama meliputi geopolitik dan struktur ekonomi sejagat.


Keadaan ini membuka prospek luas kepada negara, institusi serta organisasi Islam yang telah diakui di peringkat antarabangsa berpengalaman luas dalam sektor ekonomi Islam global. Dalam kedudukan yang baik serta potensi yang ada di Eropah dan AS membolehkan produk dan institusi Islam menawarkan perkhidmatan, pengalaman, kepakaran dan kemudahan berkaitan perbankan Islam di Eropah dan AS secara lebih komprehensif dan akomodatif. Institusi kewangan dan perbankan Malaysia misalnya perlu mengadakan kerjasama dengan bank di Eropah dan AS untuk memperluaskan perkhidmatan dalam perbankan Islam di sana. Ini kerana perbankan Islam global kini terus berkembang pada kadar pantas kerana ia berorientasikan nilai dan membolehkannya menarik dana daripada orang Islam dan bukan Islam. Hari ini, lebih 250 institusi kewangan Islam beroperasi di seluruh dunia membuktikan sekali lagi Islam adalah cara hidup sempurna dan mampu menjadi peneraju kehidupan umat manusia.


>Penulis ialah seorang peguam




Nik Aziz sokong guna 'Allah' pada Rukun Negara

Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU, 27 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dangan gesaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar kalimah Allah digunakan bagi menggantikan perkataan Tuhan dalam prinsip pertama Rukun Negara.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, penggunaan kalimah Allah itu mampu merungkai kekeliruan dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.

"Sekarang ni rakyat keliru, Allahpun Tuhan, Nabi Isa pun Tuhan, kubur keramat pun tuhan, jadi hak mana sebenarnya tuhan, tapi kalau kita pakai satu nama Allah sahaja, yang mereka tertanya-tanya tu, kita sedia bagi penjelasan yang mana satu tuhan sebenarnya," ujarnya pada sidang media di Majlis Ramah Mesra Warga Orang Kurang Upaya (OKU) di Perdana Resort hari ini.

Turut hadir di majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood dan Pengarah Urusetia, Abdul Aziz Yunus, Setiausaha Sulit khas, Rosdi Abdullah dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Isu pindaan perkataan Allah pada prinsip Rukun Negara dibangkitkan Abdul Hadi sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ujar Tuan Guru Nik Aziz lagi, jika masih timbul kekeliruan berhubung penggunaan perkataan Allah itu, PAS bersedia mengambil tanggungjawab memberi penjelasan kepada masyarakat.

Mengulas kedudukannya sebagai Mursyidul Am PAS pula, beliau sedia memikul amanah tersebut jika terus diberi kepercayaan oleh parti.

Namun, beliau juga menyatakan kesediaan untuk berundur jika parti mempunyai pengganti yang lain.

Ketika ditanya Jom Heboh di Kelantan pula, Nik Aziz berkata, kerajaan negeri akan sentiasa membuat apa yang sedia ada,namun akan dipantau dan diselaraskan dengan undang-undang dan berkaitan yang wajib mematuhi enakmen hiburan Kelantan.

"Tuan-tuan kena ingat, Islam ni orang lain kata tak boleh, tapi kita kata boleh, mereka pula akan kata adanya huru-haralah bila Islam memerintah, kemunduran dan sebagainya, ertinya walaupun mereka ini Islam, mereka ini mengatakan Islam tidak boleh,"katanya lagi.

Nik Aziz berkata pembentukan kerajaan Kelantan masa kini adalah hasil daripada kepercayaan rakyat dan akan diselaraskan dengan kehendak Islam termasuklah dalam hiburan.

"Alhamdulillah, Jom Heboh dapat berjalan dengan baik, tetapi kita baiki apa yang ada dalam program mereka ini agar selari dengan peraturan hiburan dalam negeri kita.

"Kita akan terima jika Jom Heboh ingin diadakan pada tahun hadapan sekiranya mereka akur dengan kehendak kerajaan," kata beliau



Ulama tiada kuasa vs Ulama ada kuasa

http://peguampas.blogspot.com/

Antara isu yang sering dimainkan media ke atas gerakan Islam seperti PAS adalah dakwaan kononnya Pas anti hiburan. Mesej yang cuba dibawa dari dakwaan tidak berasas ini - amat berbahaya untuk memberi kepada gerakan Islam seperti Pas . Memberi sokongan kepada Pas ertinya menyokong supaya industri hiburan ditutup. Tiada konsert, tiada filem, tiada nyanyian. Begitulah fitnah yang sering dimainkan oleh musuh gerakan Islam.

Tidak dinafikan jika yang dimaksudkan hiburan itu adalah satu bentuk keseronokan yang bebas sepenuhnya dari sebarang sekatan dan kawalan maka Pas mengaku bahawa ia memang menentang hiburan sebegitu. Jika yang dimaksudkan dengan hiburan misalnya adalah nyanyian atau lakonan yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan wanita yang tidak terkawal , pakaian yang menjolok mata, senikata dan skrip yang tidak membina keperibadian manusia sepertimana yang ditonjolkan oleh Hollywood atau Bolywood dan ditiru oleh industri hiburan tanahair maka hiburan yang seperti itu akan pasti ditentang oleh Pas meskipun seluruh alam membenci Pas.

Bagi Pas hasrat manusia untuk berhibur adalah satu fitrah manusia. Memandangkan ianya satu fitrah maka adalah mustahil untuk Pas melarang perkara tersebut. Sebaliknya hiburan itu patut disuburkan bagi membantu manusia lari dari masalah dan kerunsingan yang mereka hadapi. Bukankah itu matlamat hiburan ?

Apa yang malang manusia barat mengaitkan hiburan dengan keseronokan yang tidak dikawal. Industri hiburan barat menghiburkan manusia dengan meminta manusia mengikut selera hawa nafsu manusia . Tiada had dan batasan dibenarkan. Hiburan barat adalah berdasarkan falsafah hedonism – keseronokan yang tidak dibatasi oleh sebarang sekatan dan kawalan. Sistem ekonomi kapitalisme bukan sahaja merangsang industri hiburan barat malahan ia juga menjadi pengawal kepada industri hiburan tersebut.

Soal adab, akhlak , maruah, harga diri dan keperibadian insan tidak ada dalam kamus kapitalisme dan dunia hiburan barat. Apabila manusia dibiarkan untuk mengikuti hawa nafsunya untuk berseronok atas nama hiburan ia hanya membantu manusia lari sementara dari masalah dan kerunsingan . Bagaimanapun selepas menikmati hiburan itu ia akan membawa manusia itu kepada beribu masalah yang lain. Paparan akhbar tentang apa yang berlaku kepada artis-artis negara barat dan juga di negara ini – masalah dadah, khalwat, zina, gay, mabuk, kadar penceraian yang tinggi adalah contoh yang boleh kita lihat di depan mata kita.

Sebagai gerakan Islam yang ingin membawa manusia kepada kebaikan dan kesejahteraan yang hakiki Pas tidak boleh membiarkan dunia hiburan terus dinodai oleh acuan dunia hiburan barat. Maka tindakan mengharamkan terus industri hiburan sudah semestinya bukan satu pilihan yang wajar dan bijak. Jika itu pilihan Pas maka ia adalah satu bentuk escapism. Jika itu yang dilakukan maka ia menjustifikasi dakwaan jahat musuh bahawa Pas adalah anti hiburan.

Justeru itu tindakan Kerajaan Kelantan membenarkan konsert jom heboh baru-baru ini bagi saya adalah satu tindakan yang positif dan patut dipuji. Sebelum ini kita juga dapat melihat Negara Iran yang dipimpin oleh golongan ulama telah berjaya membawa revolusi industry perfilemen negara itu – dari industri glamour kepada industry yang membina. Perfilemen Iran menunjukkan bahawa sesebuah filem itu masih mampu menang award meskipun tiada arak dan adegan seks di dalam filem.

Bagi yang tidak senang dengan Pas, tindakan Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Nik Aziz membenarkan sure heboh di bumi serambi Mekah dilihat seolah-oleh menempelak kenyataan Mufti Perak sebelum ini yang mengatakan jomheboh atau sure heboh adalah haram.

Jika itu kritikan yang ditujukan kepada Kelantan , jawapan kita mudah sahaja. Haram atau tidak haramnya sesuatu perkara bukan hanya kerana namanya . Sebagai contoh adakah kasino itu haram kerana namanya kasino ? Bagaimanakah jika kasino menukar programnya dari yang berbentuk permainan dengan wang taruhan ( judi ) kepada permainan semata-mata tanpa ada unsur judi. Adakah ketika itu kasino masih haram hanya kerana namanya Kasino !

Sewaktu saya bersama dengan Presiden Pas bertemu para pelajar di Australia suatu ketika dahulu, Presiden Pas, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang memberikan satu contoh yang menarik kepada pelajar tentang kaedah hukum dalam Islam. Contoh yang beliau berikan adalah melibatkan makan nasi. Beliau mengatakan hukum makan nasi boleh jadi harus atau wajib atau haram mengikut keadaannya. Asal hukum makan nasi adalah mubah ( harus ). Bagaimanapun ia boleh bertukar menjadi wajib jika apabila seseorang itu dalam kebuluran dan hanya ada nasi sahaja dan tidak ada makanan lain di hadapan beliau. Makan nasi ketika itu jadi wajib kerana ingin menjaga nyawa. Makan nasi juga boleh jadi haram jika makan di waktu siang semasa berpuasa di bulan Ramadhan..

Hal yang sama juga boleh berlaku kepada sure heboh. Sure heboh boleh jadi harus atau haram mengikut keadaan . Jika program sure heboh dipenuhi maksiat sudah tentu ia haram. Tetapi jika kandungan maksiat di program itu dapat dibuang atau dielakkan adakah hukum program itu akan terus berkekalan haram hanya kerana namanya sure heboh. Sudah tentu tidak.

Kita percaya bahawa apabila Mufti Perak mengatakan sure heboh haram ianya bukan kerana namanya tetapi kerana isi kandungan program tersebut. Program sure heboh sebelum ini termasuk di Perak sendiri tidak dikawal .Para penonton lelaki dan wanita dibenarkan duduk bersama-sama . Artis wanita dibenarkan terkinja kinja menyanyi di pentas dengan pakaian yang tidak sopan dan tidak menutup aurat. Mufti Perak yang tidak bersandarkan kuasa politik tidak dapat berbuat apa-apa apabila sure heboh berkunjung ke negeri Perak sendiri. Beliau terpaksa akur melihat fatwanya dilanggar oleh orang-orang politik di negeri itu. Konsert sureheboh di Perak terpaksa mengikut gendang TV 3 sebagai penganjur program itu.

Keadaan yang sama tidak berlaku di Kelantan. Di Kelantan pihak penganjur terpaksa ikut gendang Kerajaan yang dipimpin oleh Ulama’. Apabila Kelantan bersuara tiada artis wanita – maka TV 3 ikut. Tiada percampuran lelaki dan wanita- sekali lagi TV 3 ikut. Inilah bezanya apabila Ulama yang bersandar dengan kuasa dengan ulama yang tidak mempunyai kuasa.

Ulama tiada kuasa hanya dapat menyatakan ini haram itu haram tanpa dapat berbuat apa-apa jika manusia tidak endahkan fatwanya. Apabila TV 3 tidak endah fatwa Ulama yang tiada kuasa maka ulama seperti Mufti Perak tidak boleh buat apa-apa .

Apabila ulama ada kuasa ia boleh bertindak dengan lebih aktif dan efektif. Ia boleh ‘dictate” pihak penganjur supaya tunduk kepada peraturan Kerajaan negeri. Akhirnya ulama yang ada kuasa boleh menawarkan rakyatnya hiburan alternatif yang terbaik kepada sure heboh yang diharamkan oleh ulama yang tiada kuasa.


Mohamed Hanipa Maidin,
AJK PAS Pusat.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan