Khamis, 11 Mac 2010

GUNALAH KOMPUTER UNTUK TUJUAN YG DIBENARKAN SYARAK ,MENYAMPAI MAKLUMAT@DAKWAH AGAR MANUSIA SEDAR MEREKA AKAN KEMBALI PADA ALLAH JUA

Rangkaian unggul Lenovo


Model G460 yang didatangkan dengan rekaan yang unik dan memudahkan pengguna.


BAGI peminat komputer riba, jenama Lenovo mungkin kurang mendapat perhatian berbanding jenama popular lain seperti Sony, Acer dan Dell. Namun, mereka pastinya akan berfikir dua kali apabila melihat dan mengetahui kelebihan produk pengkomputeran daripada syarikat tersebut.

Hadir dengan 11 model terbaru bagi komputer riba IdeaPad dan komputer meja IdeaCentre, ia pasti mampu menarik perhatian pengguna.

Lebih mengujakan, Lenovo turut memperkenalkan empat lagi produk terkini mereka semasa Pameran Antarabangsa Pengguna Elektronik (CES) baru-baru ini.

Empat produk itu adalah Ideapad S10-3t, Ideapad S10-3, Lenovo G460 dan IdeaCentre B500.

Ia merupakan hasil perkembangan gaya reka bentuk serta teknologi terbaru bagi memberi kepuasan penggunaan pada tahap maksimum.

Menurut Pengurus Negeri dan Pengguna Lenovo Malaysia, Sunny Ooi, idea menghasilkan produk terbaru merupakan langkah Lenovo menawarkan keseronokan mengikut kemahuan dan cita rasa pengguna.

"Ia merupakan pencetus kepada langkah seterusnya dalam menghasilkan produk antarabangsa yang direka mengikut kehendak pengguna," katanya.

Kesungguhan itu menunjukkan komitmen Lenovo dalam menghasilkan produk yang boleh dipercayai dan ditawarkan pada harga mampu dimiliki.

Lenovo S10-3t dan S10-3 merupakan komputer riba pertama memiliki kapasiti tablet yang boleh ditukar selain dilengkapi teknologi skrin sesentuh hujung jari.

Paparan S10-3t seluas 10.1 inci juga boleh dilipat dan dipusingkan pada sudut 180 darjah untuk membentuk tablet sesentuh bertujuan memudahkan operasi pengguna.

Ia disempurnakan dengan pemproses Intel Atom N450, cakera keras 250 gigabit (GB) dan pembesar suara stereo Dolby.

Antara kelebihan lainnya adalah aplikasi VeriFace yang merupakan sistem keselamatan perlindungan cakera keras komputer daripada sebarang masalah.

Levono IdeaPad S10-3 ditawarkan pada harga pasaran RM1,399 manakala S10-3t pada harga RM1,899.

Bagi Lenovo G460 pula, ia hadir dengan pemprosesan Intel Core dan teknologi Intel Turbo Boost bersama simpanan memori 8GB DDR3 dan keluasan simpanan cakera keras 500GB.

G460 dibangunkan dengan skrin 14 inci serta dilengkapi teknologi LED berdefinisi tinggi (HD).

Ia juga didatangkan dengan sistem sokongan grafik definisi tinggi (HD) dan sambungan HDMI untuk membolehkan pengguna menikmati kandungan multimedia tersedia.

Model berkenaan turut dilengkapi aplikasi Pengurusan Tenaga Lenovo 5.0 yang boleh memanjangkan kuasa bateri komputer dan memperlahankan bunyi kipas.

Dari segi sekuriti, model itu mempunyai Sistem Penyelamat Satu kunci untuk keselamatan dokumen dan fungsi pengecaman wajah pengguna dikenali sebagai VeriFace.

Model berkenaan boleh diperolehi dengan harga RM2,249.

Produk terakhir, penalaan televisyen binaan pula memiliki pemproses Intel Core 2 Quad yang dapat memberi kepuasan dan pengalaman hiburan maksimum.

Ia turut dimuatkan dengan paparan grafik berkuasa dan memiliki saiz memori besar iaitu 4GB DDR3 dan ruang cakera keras satu terabit (TB)

IdeaCentre B500 sememangnya menyasarkan pengguna yang menggemari permainan video dan multimedia.

Ditambah pula dengan keluasan skrin sehingga 23 inci, penalaan televisyen binaan dan pembesar suara berkualiti tinggi, pastinya tidak akan mengecewakan.

Dengan segala kelebihan tersebut, IdeaCentre B500 ditawarkan pada harga RM3,699.



salah guna....guna untuk menipu



Guru berputih mata

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/03/19

KUALA LUMPUR: Seorang guru pelatih berputih mata apabila kerugian RM2,000 selepas tertarik dengan tawaran murah komputer riba berjenama di Internet yang dijual pada separuh harga.

Mangsa dikenali sebagai Syikin, 29, berkata dia yang masih menuntut di sebuah institusi perguruan di ibu negara berkata, semuanya bermula apabila dia terdesak ingin memiliki komputer riba bagi memudahkannya menyiapkan tugasan. “Pada awal Mac lalu, saya melayari sebuah laman web yang mengiklankan beberapa barangan untuk dijual dan tertarik dengan komputer riba Sony Vaio berharga RM2,000.


“Saya kemudian menghubungi pemilik komputer itu yang dikenali sebagai Sahizatul dan dia mendakwa komputer itu masih baru dengan nilai pasaran mencecah RM4,000,” katanya.


Menurutnya, pemilik komputer itu turut menawarkan beberapa barangan lain yang akan diberi secara percuma termasuk beg komputer berjenama, tetikus, kad USB dan barangan lain menyebabkan dia bersetuju membelinya.


“Selepas berbincang dengan keluarga, saya menghubunginya dan diarah memasukkan wang ke dalam akaun miliknya sebelum berjanji untuk menghantar komputer berkenaan dalam tempoh sehari.


“Pada mulanya saya enggan bersetuju kerana ingin terus berjumpa dan mengambil barangan itu daripadanya, namun pemilik komputer itu mengelak dan mendakwa berada di luar daerah atas urusan kerja dan meminta saya mempercayainya,” katanya.

Syikin berkata, pemilik komputer terbabit turut memberikan alamat rumah serta nombor kad pengenalan untuk meyakinkannya menyebabkan dia terpedaya dan memasukkan wang ke dalam akaun seperti diarahkan.


“Namun selepas empat hari menunggu, komputer yang dijanjikan tidak juga tiba. Saya cuba menghubunginya, namun talian tidak berjawab serta alamat diberikan juga tidak wujud,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan