Jumaat, 5 Mac 2010

Derita lima beranak merempat tanpa rumah...KITA YG ADA RUMAH PATUT BERSYUKUR

NEGARA

Derita lima beranak merempat tanpa rumah


ZAILANI memeluk anaknya, Mohd. Bakri sementara Zalina duduk di lantai bersama Mohd. Fikri (tengah) dan Mohd. Sabri di pondok rekreasi berhadapan Istana Maziah di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Ekoran kesempitan hidup, satu keluarga lima beranak terpaksa 'menghuni' sebuah pondok rekreasi berhadapan Istana Maziah sebagai tempat berteduh sejak sebulan lalu.

Lebih menyedihkan lagi, keluarga Zailani Awang, 48, terpaksa tidur beralaskan lantai simen dan berbantalkan kotak tanpa kemudahan asas.

Sebelum ini, keluarga malang tersebut merempat di kaki-kaki lima dan pekarangan masjid di sekitar Bandar Raya Kuala Terengganu sebagai tempat berteduh.

"Inilah rumah kami dan di sinilah kami berteduh daripada panas dan hujan," kata Zailani yang berasal dari Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan sebelum berhijrah ke Kuala Terengganu awal tahun ini untuk mencari pekerjaan.

Kesengsaraan Zailani bersama isteri, Zalina Ali, 42, dan tiga anak lelakinya, Mohd. Fikri, 8, Mohd. Sabri, 6, dan Mohd. Bakri, 3, bermula sejak mereka diarah keluar dari sebuah rumah dalam pembinaan di Tok Jembal, dekat sini lebih sebulan lalu.

Sejak itu, Zailani yang berkerja mengambil upah sebagai pembantu kedai di sebuah restoran berdepan dengan kesukaran untuk mendapat rumah sewa.

"Saya memang tidak mampu bayar sewa rumah sekitar Kuala Terengganu yang berharga RM400 kerana gaji saya hanya cukup-cukup untuk makan.

"Saya ada jumpa rumah sewa berharga RM200, tetapi tuan rumah pula tidak mahu menyewakan kepada kami kerana tidak percaya saya mampu membayar sewa. Memang sedih sangat apabila orang memandang hina keluarga saya," ujarnya.

Zailani menambah, sepanjang sebulan merempat tanpa rumah, dia dan keluarga sering dipandang sinis oleh orang ramai selain menumpang tandas masjid dan tandas awam untuk mandi.

"Biarpun hidup dalam keadaan susah seperti ini, saya tidak pernah meminta-minta daripada orang ramai. Saya masih mampu memberikan makan keluarga.

"Apa yang saya sedih ialah nasib anak yang tidak pernah bersekolah dan mereka terpaksa tinggal di jalanan," tambahnya.

Sementara itu, Zalina berkata, meskipun hidup dalam keadaan terhimpit mereka juga dianiayai apabila kecurian beg pakaian, dompet dan kad pengenalan baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan