Rabu, 3 Mac 2010

Buang bayi gejala jahiliah moden

Buang bayi gejala jahiliah moden



2010/02/19

APALAH dosa bayi yang tidak berdosa dibuang. Betapa kejam dan tidak berhati perut manusia yang berbuat demikian. Sudahlah melakukan dosa besar dengan berzina kemudian membunuh pula anak hasil hubungan haram berkenaan.

Apa sudah jadi dengan remaja kita tanpa segan silu melakukan perbuatan keji itu? Sanggup membunuh dan yang terbaru sanggup mereka membakar bayi. Tong sampah, kotak, masjid, depan rumah adalah antara tempat yang pernah menjadi pilihan untuk membuang bayi. Lebih menyedihkan lagi, media melaporkan ada bayi yang didagangkan semata-mata mahu mengejar kekayaan duniawi yang sementara ini.


Kes itu dipercayai antara ribuan kes pembuangan bayi hasil hubungan luar nikah yang dilakukan pasangan muda-mudi terlanjur dalam perhubungan mereka. Al-Quran dan sunnah acap kali memperingatkan betapa bernilai hidup setiap makhluk Allah. Janin yang baru berada dalam perut ibu walaupun masih pada proses awal, bahkan binatang dan tumbuhan dilarang untuk dicabut nyawa hidup-hidup, kecuali berdasarkan ketentuan yang dibenarkan Allah.


Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan dalam tindakan. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan daripada perhubungan haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan yang sah.


Allah berfirman yang bermaksud: "Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki atau menganugerahkan kedua-dua jenis lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia juga menjadikan mandul kepada sesiapa yang dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa." (Surah asy-Syura ayat 49-50).


Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada pasangan manusia yang seharusnya lahir daripada ikatan perkahwinan yang suci kerana secara fitrahnya berhajat dan mengharapkan kurniaan itu. Justeru, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini yang mencakupi segala keperluan fizikal, mental dan material.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran" (riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).


Realitinya, isu pembuangan dan pembunuhan bayi mengingatkan kita pada zaman sebelum kedatangan Islam iaitu zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah mereka membuang bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga mereka. Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat sekarang jika bayi yang tidak berdosa yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu saja. Sedangkan haiwan sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.


Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud, "Setiap suami pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya, dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab." (Riwayat Bukhari).


Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes, tahun lalu. Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006). Daripada 83 kes berkenaan, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan. Manakala empat kes pembuangan janin.


Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan anak pada zaman jahiliah moden ini bukan kerana takut miskin, tetapi perbuatan keji yang mereka lakukan itu adalah untuk menutup malu yang menimpa mereka selepas melakukan perzinaan.


Pasangan lelaki dan wanita yang selalu dikaitkan dengan isu pembuangan bayi ini ialah mereka yang tertekan dengan keterlanjuran terutama yang melahirkan bayi di luar nikah.


Pada zaman jahiliah, mereka membunuh kerana khuatir anak mereka diperkosa atau berzina. Bagaimanapun, pada zaman jahiliah moden ini anak dibunuh kerana ibunya sendiri diperkosa atau berzina. Kepada dua golongan wanita ini, kembalilah kepada fitrah hidup manusia yang sebenar. Sudahlah terlanjur membuat dosa sehingga hamil tanpa ikatan perkahwinan. Kemudian menambah bilangan dosa dengan menyeksa bayi berkenaan dengan membuangnya bagaikan sampah-sarap.


Firman Allah yang bermaksud: "Tidakkah patut bagi manusia apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu ada bagi mereka pilihan lain tentang urusan mereka." (Surah al-Ahzab ayat 36). Kepada remaja, sedarlah hidup pada zaman remaja hanya sementara. Pilihlah kehidupan yang baik. Pilihlah kawan yang baik. Anda sudah cukup bijak memilih. Anda bertanggung jawab ke atas perbuatan anda. Jangan salahkan sesiapa atas tingkah laku anda.


Kepada ibu bapa jika berlaku perkara yang tidak diingini, sama-sama pikul tanggungjawab. Jangan biarkan remaja bersendirian. Sedangkan Nabi maafkan umatnya. Jangan pula ditambah dosa dengan membiarkan remaja melakukan pembuangan bayi yang dilahirkan. Jika anda rasa bayi berkenaan malu dan menyusahkan, anda berhubunglah dengan anggota kebajikan masyarakat yang bertanggungjawab dan memahami masalah anda. Ramai ibu bapa lain yang memerlukan bayi untuk dijadikan anak angkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan