Khamis, 11 Mac 2010

APA PENDAPAT TUAN-PUAN....KEJAM ATAU TIDAK

Dirantai macam haiwan

Oleh Nur Ain Musdad
am@hmetro.com.my
2010/03/11

MELAKA: Dia dirantai seperti haiwan ternakan dalam sebuah bilik tanpa tilam dan tandas. Lebih mengejutkan, remaja lelaki berusia 19 tahun terbabit kurus kering umpama pelarian perang kebuluran di Afrika.

KEJAM...pegawai JKM melihat keadaan remaja OKU yang dirantai selepas dibawa keluar dari bilik dia dikurung.
KEJAM...pegawai JKM melihat keadaan remaja OKU yang dirantai selepas dibawa keluar dari bilik dia dikurung.
SEJUK...keadaan remaja terbabit ketika ditemui dalam bilik, semalam.
SEJUK...keadaan remaja terbabit ketika ditemui dalam bilik, semalam.
Penderaan terhadap remaja kurang upaya (OKU) itu terbongkar selepas kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Melaka Tengah diketuai pegawainya, Saidatul Aini Jafri, memeriksa sebuah pusat jagaan swasta di Jalan Tan Cheng Lock di sini, semalam.


Saidatul Aini berkata, ketika ditemui pihaknya, remaja terbabit terbaring atas lantai kesejukan dengan kaki kanannya dirantai pada jeriji tingkap bilik di pusat jagaan itu.


Menurutnya, beliau langsung tidak menyangka paksaannya supaya pintu bilik itu dibuka membongkar rahsia ia menempatkan remaja terbabit dalam keadaan amat memilukan.


Sebelum itu, katanya, wanita warga Indonesia berusia 30-an yang menjaga pusat jagaan itu cuba berdolak-dalik ketika diminta membuka bilik berkenaan dengan mendakwa ia kosong dan tidak perlu diperiksa.


Pada mulanya, beliau hairan apabila penjaga berkenaan kelihatan gelisah ketika pegawai JKM lalu di depan bilik terbabit seperti menyembunyikan sesuatu.

“Dia (penjaga) sanggup menyatakan bilik berkenaan dihuninya sendiri dan tiada apa di dalam. Melihat keadaan sedemikian, saya mendesaknya membuka pintu berkenaan bagi memastikan perkara sebenar.


“Sebaik dibuka, alangkah terkejut apabila mendapati seorang remaja lelaki yang kurus kering terbaring kesejukan di atas lantai dengan kaki dirantai.


“Tindakan berkenaan tidak wajar kerana remaja terbabit dirantai seperti binatang tanpa bertilam, tikar dan tandas,” katanya ketika ditemui mengetuai Operasi Taska dan Pusat Jagaan tidak berdaftar di sini, semalam.


Difahamkan, remaja lelaki berkenaan ditempatkan di pusat jagaan itu sejak dua bulan lalu selepas dihantar keluarganya.

Saidatul Aini berkata, JKM yakin remaja berkenaan dibiarkan terkurung dalam bilik itu berikutan tubuhnya banyak kudis dan amat kurus.


Menurutnya, penjaga pusat jagaan itu juga mendakwa tidak pernah mengabaikan remaja berkenaan, namun apabila kakitangan JKM meminta kunci untuk membuka rantai berkenaan, mereka mendakwa sudah hilang menyebabkan ia terpaksa dipotong.


“Malah, mereka mendakwa remaja lelaki itu dikurung kerana ganas dan akan mencederakan diri, namun selepas rantai dibuka, dia kelihatan seperti biasa serta tiada aksi agresif.


“Alasan itu menunjukkan mereka tidak peka dengan syarat ditetapkan JKM untuk membuka pusat jagaan berkualiti dan selamat bagi golongan memerlukan.


“Pusat jagaan itu tidak menepati kualiti dengan keadaan bangunan tidak selamat, tiada tangga keselamatan selain pakaian penghuni tidak bersesuaian serta banyak katil rosak,” katanya.

Saidatul Aini berkata, pusat jagaan terbabit menempatkan 23 penghuni terdiri daripada OKU dan warga emas.


Katanya, JKM mengambil tindakan sementara menghantar remaja berkenaan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.


“Kami akan berbincang untuk mengambil tindakan lanjut, selain memaklumkan kepada keluarga remaja itu bagi setiap keputusan dibuat.

“Jika keluarga masih mahu menjaganya, kami akan membenarkannya dibawa pulang apabila keadaannya kembali sihat, namun jika sebaliknya, dia akan ditempatkan di bawah jagaan JKM.


“Kami juga sudah mengambil tindakan terhadap pusat jagaan terbabit dengan memberi notis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan